Aku mulakan perkongsian ini dengan menyisipkan salinan e-mel yang aku terima daripada seorang sahabat komuniti yang melakukan ibadah umrah. Aku lakukan sedikit editing untuk memperbetulkan beberapa istilah dan disesuaikan dengan entri.
“Assalamualaikum abang. Ketika di Tanah Suci, banyak yang saya pelajari. Kita semua wajib memperbanyakkan syukur kerana kita hidup dalam Islam tanpa bersusah-payah sedangkan para Rasul dan sahabat berjuang sehingga mengorbankan nyawa untuk nikmat Islam yang kita nikmati hari ini.
“Kita bertuah, malah ujian yg kita hadapi hanyalah sedikit sahaja. Sedikit sangat yang kita hadapi berbanding mereka dan segala didikan Allah tidak sepatutnya melemahkan kita. Kita kena bangun dari stigma ini. Kita kena beriman (AHP: Iman – hati, lafaz, dan perbuatan) dengan qadha’ & qadar Allah.
“Semuanya punya hikmah untuk kita sebagai bekalan di sana nanti. Virus HIV juga adalah makhluk Allah. Jika virus taat kepada perintah Allah, wajib kepada kita sebagai sebaik-baik makhluk dan khalifah mencontohinya dalam soal ketaatan kepada Allah.
“Jangan toleh ke belakang lagi. Mereka yang mengutuk, menghina dan mahu melemahkan kita pun akan mati juga sama seperti kita. Sehebat mana pun makhluk tetap akan mati dan kematian dengan pelbagai punca dan sebab. Itu pasti.
“Kesimpulannya bagi saya, kita teruskan berusaha dan berubat. Selebihnya kita serah kepada Allah yang Maha Menyembuh. Sama ada rawatan HAART, alternatif, dan apa juga, yang penting kita mesti berusaha.
“Yang lebih penting ialah bekalan amal ibadah untuk di sana nanti. Biarlah kita dihina, tetapi tetap mulia di sisi-Nya sebagai hamba yang soleh. HIV hanyalah virus yang mengingatkan kita bahawa kita semua akan kembali.
“Kita sebenarnya beruntung kerana kita diberi peringatan berbanding ada yang tanpa sedar kekal dalam kelalaian dan maut secara tiba-tiba. Sehebat mana ilmunya, setinggi mana kuasanya, akhirnya akan kembali dengan sehelai kain putih yang membalut tubuh.
“Wang, harta, dan pangkat sudah tiada gunanya lagi kecuali doa anak yang soleh, ilmu yang bermanfaat dan jariah yang berkat. Rasulullah SAW sebelum nafas terakhir tetap menyayangi kita. Baginda susah hati dengan keimanan kita. Kalimah “ummati, ummati, ummati” (umatku, umatku, umatku) sentiasa di bibir baginda. Hargailah sebelum terlewat. Wallahua'alam.”
Usai membacanya aku terharu kerana nampaknya semakin ramai sahabatku, Orang Yang Hidup Dengan HIV (ODHA) faham tentang objektif perjuanganku selama ini. Alangkah bagusnya jika beliau menjadi salah seorang sahabatku yang turut sama berada dalam Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM) memperjuangkan isu yang sama.
Sejujurnya bukanlah mudah hidup kita sebagai ODHA sekali pun apa yang aku kongsikan di blog kelihatan positif. Tambahan lagi jika turut berdepan dengan pelbagai penyakit kronik lain seperti aku. Hanya Allah dan aku sendiri yang tahu apa yang dirasa.
Memang soal rawatan dan peluang hidup sihat bukan isu, tetapi tekanan stigma, diskriminasi dan judgemental menjadi rutin harian. Disebabkan HIV sering dikaitkan dengan isu moral atau agama, berkait rapat dengan psikososial, terlalu ramai yang teraniaya, hidup dalam ketakutan, memencilkan diri, hilang pekerjaan, dan sebagainya.
Bermula dengan tekanan awal peringkat awal diagnosis (grief reaction), tekanan rawatan (treatment fatigue) sehinggalah dalam soal keyakinan untuk menjalani kehidupan harian seperti insan lain.
Rasa rendah diri memang sentiasa ada. Walaupun dikelilingi oleh mereka yang memahami dan kelihatan sangat ‘berani’, aku tetap punya rasa serba salah apabila bergaul dengan mereka yang belum betul-betul faham isu HIV.
Contohnya, jika menghadiri mana-mana jemputan kenduri, makan bersama kenalan, aku biasanya memilih untuk makan sendirian atau hanya bersama keluarga rapat atau yang benar-benar mengenaliku. Aku bimbang jika ada yang rasa tidak selesa dengan kehadiranku di sisi mereka.
Aku tahu banyak mata yang memandang, menilai segala-galanya daripada A – Z. Susuk tubuhku, pakaianku, cara jalanku, caraku bersama keluarga dan sebagainya. Maklumlah aku umpama duta ODHA. Aku mesti sentiasa kelihatan sangat ceria dan positif, sedangkan aku sama sahaja seperti insan lain. Ada kalanya keletihan dan bersedih juga dengan tekanan-tekanan tertentu. Itulah antara harga untuk sebuah perjuangan yang mesti aku bayar.
Mari kita berfikir secara positif dan menjadikan segala cabaran sebagai didikan Allah untuk menjadi lebih baik daripada semalam. Itu bermakna Allah sayangkan kita. Alhamdulillah.
Jadi, apabila hidup sebagai ODHA, yang paling penting ialah mengambil pengajaran daripada didikan Allah. Perkukuhkan iman dan tinggalkanlah perkara-perkara yang menimbulkan kemurkaan Allah. Banyakkan bersyukur dan terima didikan Allah dengan redha.
Jika sebelum ini kita lalai dalam menjaga solat, peliharalah solat. Jika sebelum ini kita selesa berada dalam maksiat, tinggalkanlah maksiat. Jika sebelum ini kita menderhaka kepada ibu bapa, mohonlah keampunan dan jagalah hati mereka. Jika sebelum ini kita cuai dengan tanggungjawab terhadap keluarga, tunaikanlah segala tanggungjawab semampu mungkin. Jangan sibuk mencari alasan.
Jika sebelum ini kita selesa dengan hasad dengki dan budaya caci-mencaci, hentikanlah. Jika sebelum ini kita biasa fitnah-memfitnah demi kepentingan diri, hindarilah. Jika sebelum ini biasa memanipulasi, belajarlah berdiplomasi.
Jika sebelum ini kita pendendam dan pemarah, jadilah seorang yang pemaaf. Jika sebelum ini kita hasad dengki, cubalah berpekerti mulia. Mudah cerita, berhijrahlah. Tidak semestinya serta-merta menjadi terlalu sempurna, tetapi cukuplah sekadar sentiasa ada ansur maju. Turun naiknya iman adalah lumrah dalam mencari keredhaan Ilahi.
Jika kita kekal dengan nilai-nilai negatif, mudah sahaja masyarakat akan menghukum kita. “Patutlah ada HIV dan hilang segala, perangai macam haprak, ketegaq, cempera ulaq. Psiko!” Memalukan diri sendiri dan komuniti, kan?
Belajar-belajarlah bersyukur dan menghargai mereka yang pernah menghulurkan sokongan dan bantuan. Jangan terlalu beremosi, kelak ternampak kekurangan diri. Hidup kita bukan menongkat langit.
Membantu pula biarlah ikhlas dan tanpa kepentingan diri kecuali sebagai bekalan amal ibadah Lillahi Taala. Apabila marah, istighfar banyak-banyak dan fikir kembali apa sangatlah yang kita hendak marahkan jika kita ikhlas. Cuba muhasabah semula segala kekurangan diri. Ringkas cerita, jauhilah sikap-sikap negatif.
Fokus pada kewajipan untuk hidup sihat dan memperbaiki diri terlebih dahulu. Jika belum bekerja, cuba cari pekerjaan ikut kemampuan. Jangan banyak memilih dan memberi alasan dengan alasan yang remeh-temeh. Peluang yang ada jangan dilepaskan. Asalkan halal sudahlah. Jika sudah berkeluarga, tunaikan tanggungjawab terhadap keluarga di samping membantu komuniti.
Bertindak ikut priority. Jangan sibuk urusan lain sedangkan diri kita sendiri tidak terurus dan mengharapkan belas ihsan orang. Buktikan dulu kita betul-betul empowered dan mampu bangkit. Bimbang nanti kita dituduh mengalami helper syndrome atau attention seeker.
Kepada yang berhasrat mahu mendirikan rumahtangga pula, jika telah bertemu calon idaman hati, sudi menerima kita dan faham tentang HIV, berkahwinlah. Baguslah, apa salahnya. Bukan bahaya pun kepada pasangan dan boleh sahaja memiliki zuriat bebas HIV. Jangan peduli sangat apa yang orang tidak faham atau tidak akan mahu faham tentang kita. Kita hidup bukan menyembah golongan yang enggan faham ini.
Tetapi bukan senang untuk mendapat calon yang benar-benar boleh faham dan terima kita. Kebanyakan yang sudi hanyalah sesama komuniti dan yang kuat kebergantungannya kepada Allah. Kebanyakan mereka sejak awal telah faham dan bersedia bahawa bukan senang berkongsi hidup dengan seorang ODHA.
Jika calon pasangan dan bakal keluarga mertua enggan terima, usahlah dirayu dan minta mereka faham. Jika semakin didekati, semakin diterangkan, semakin nyata berbeza arah dan sibuk memikirkan kepentingan diri mereka, usah dirayu kepada yang tidak sudi. Itu bermakna Allah belum izinkan atau telah mengatur sesuatu yang lebih baik untuk kita. Dia sebaik-baik perencana.
Jika dirayu juga, sekalipun diterima, penerimaan mereka belum tentu sepenuh hati. Sekalipun kita mampu membuktikan kita sama sahaja seperti insan lain, kelak segala macam tekanan dan kesalahan akan dilonggokkan ke bahu kita. Sedikit sahaja kesilapan akan menjadi isu besar.
Aku sering berkongsi pengalaman dengan sahabat-sahabat yang berdepan dengan isu tersebut. Sudahlah sedia berdepan dengan pelbagai tekanan, ditambah lagi dengan pelbagai tekanan daripada pasangan atau mertua masing-masing. Seolah-olah, rumahtangga mereka yang hidup tanpa HIV tidak pernah dilanda ombak walaupun bersepah yang berantakan. Maqasid Syariah katanya!
Tidak perlulah menganiaya bakal pasangan dan diri sendiri. Mereka punya hak untuk memilih yang terbaik. Kita juga ada hak dan rasional sendiri. Buat apa pun, kita tetap sentiasa dianggap sebagai liabiliti. Bersikap realistik dan terimalah apa sahaja dengan redha. Tiada apa yang hendak dikeluh-kesahkan. Biarkan mereka dengan cara mereka, kita doakan sahaja yang baik-baik.
Setelah kita jelas dengan haluan hidup kita, nikmati hidup dengan segala apa yang Allah anugerahkan dengan redha. Kadang-kadang kita terlupa, kita terlalu banyak meminta, sedangkan Allah telah pinjamkan pelbagai nikmat. Mereka yang hidup tanpa HIV ramai yang jauh lebih merana.
Realistik, OK. Belajar-belajarlah berdikari. Hanya Allah sebaik-baik tempat memohon segala perlindungan dan pertolongan. Usahlah terlalu berharap kepada bantuan sesama makhluk, kelak dilanda resah dan gusar yang berpanjangan. Makhluk serba terbatas kemampuannya. Jadikan air mata dan kesedihan kita sebagai ODHA ini mahal sedikit. Apa pula tidak mahal, air mata ODHA, kan?
Apabila empowered, bantulah sahabat-sahabat komuniti yang sangat memerlukan bantuan di luar sana. Jangan hanya sendiri-sendiri, sedangkan ketika sedih dulu, ketika menangis dulu, komuniti juga yang kita cari.
Perkongsian ini sebenarnya sudah berkali-kali aku kongsikan, tetapi biasalah. Kita perlu sentiasa diingatkan.
Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP
Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP
Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:
Mizan Mirza: positivelypositive77@gmail.com
Camelia Sulaiman: camelia_sulaiman@yahoo.com
Arm Ly: psychonutsbeast@gmail.com
Pertubuhan Amal Firdausi Kuala Lumpur (PAFI)
Sila hubungi:
Laman Web: http://www.amalfirdausi.org
E-Mel: amalfirdausi@gmail.com
Talian Marhabah: 018-207-0953 (Encik Hamli) @ 017-311-0306 (Encik Raffie)
Telefon / Faks: 03-9174-0934
Telefon / Faks: 03-9174-0934
FB PAFI: http://www.facebook.com/amalfirdausi (Open Group)
Twitter: twitter.com/amalfirdausi