Wednesday, February 13, 2013

PEMBAWA HIV WAJIB HINDARI PERKARA REMEH-TEMEH







Selain akibat kekangan dan pelbagai komitmen padat terhadap komuniti, sejujurnya kadangkala aku terasa buntu untuk berkongsi pengalaman hidup sebagai seorang pembawa HIV (ODHA). Buntu yang aku maksudkan bukanlah bermaksud aku telah patah semangat.

Segala-galanya yang asas tentang punca jangkitan, simptom-simptom, tips untuk berdepan dengan ujian peringkat awal diagnosis (grief reaction), kaedah rawatan, menangani tekanan rawatan (treatment fatigue), peluang untuk hidup sihat, bersikap positif melawan stigma, peluang berkahwin, mendapatkan zuriat bebas HIV, berdepan dengan kerenah diskriminasi dan sebagainya telah aku kongsi.

Pembaca yang ingin mendapatkan info asas berkaitan hanya perlu melakukan sedikit carian dalam entries tertentu yang telah disediakan. Untuk  lebih terperinci, sudah tentulah doktor, kaunselor dan kakitangan KKM yang berkemahiran dan terlatih secara formal lebih layak membicarakannya. Sukarelawan berpengalaman di kalangan sesama komuniti juga ramai yang boleh membantu kerana mereka sentiasa berjuang dalam isu yang sama.

Kepentingan untuk tampil berjuang secara terbuka dan positif dalam anggota masyarakat sebagai insan biasa juga telah aku buktikan. Jadi, memang ada masanya aku buntu kerana isunya tetap sama. Walaupun bersimpang-siur tetapi saling berkait dalam isu yang sama.

Aku akui bahawa bukan semua yang aku kongsi boleh menyelesaikan masalah dan sesuai bagi setiap individu yang ingin tahu tentang isu HIV. Tetapi secara keseluruhan, asasnya telah ada. Panduan telah disediakan dan selebihnya terpulang kepada bagaimana cara kita berfikir.

Aku juga tidak memetik rujukan daripada sumber-sumber yang terlalu berat dan masih diperdebatkan. Ianya santai, mudah dan sesuai untuk setiap lapisan masyarakat yang mempunyai pelbagai latar belakang ekonomi serta pengetahuan. Golongan yang berkemampuan dan yakin dengan rawatan alternatif lain, terpulang kepada keyakinan mereka memilih rawatan.

Sudah tentu isu stigma, diskriminasi dan judgemental sangat sinonim sehingga menjadikan tekanan hidup sebagai seorang ODHA dan affected people berganda-ganda.

Sebenarnya, ramai ODHA yang berani dan bersedia bangkit untuk membuktikan bahawa status sebagai HIV positif menjadikan mereka insan yang lebih baik daripada sebelumnya tetapi apabila melibatkan risiko karier, penerimaan keluarga dan institusi pengajian yang sedang mereka jalani, mereka terpaksa memendam rasa.

Antara alternatif terbaik bagi golongan ini untuk berjuang dan membantu komuniti ini ialah melalui NGO. Mereka mampu memainkan peranan di belakang tabir dengan cukup berkesan dan profesional.

Semakin lama berjuang di dalam bidang ini, semakin aku faham bahawa rawatan dan peluang hidup sihat bukanlah isu sebenar. Segala permasalahan yang timbul kebanyakannya berpunca daripada kegagalan mengambil pengajaran daripada didikan Allah dan terlalu banyak bermain dengan emosi.

Akibat terlalu banyak bermain dengan emosi dan rasa hati, ada segolongan ODHA sering bertelingkah dalam soal remeh-temeh dan mahu keperluan psikologinya dipenuhi dari A-Z. Kadangkala over-acting bila rasa hak mereka disentuh tanpa sedikit pun rasa akur dengan kelemahan diri.

Biasanya individu yang bersikap begini merasakan diri mereka serba tahu, profesional dan pemimpin. Malangnya dalam masa yang sama gagal bersikap dan bertindak sebagai pemimpin.

Apabila terlalu melayan emosi, suka mendengar daripada sebelah pihak (batu api), segelintir daripada ODHA tidak merasa bersalah dengan budaya fitnah-memfitnah, caci-mencaci dan rela membuka aib diri. Meludah ada kalanya ke langit. Akibat terlalu percaya kepada naluri dan suara hati, mereka kekal berada di dalam dunia fantasi yang memenjarakan mereka.

Apabila gagal bersatu, berfikiran kerdil dan sentiasa tikam-menikam sesama sendiri, sampai bila-bila pun golongan ODHA tidak akan diterima masyarakat.

Itulah yang aku alami sepanjang masa. Membazirkan banyak masa semata-mata atas isu-isu yang tidak perlu sedangkan golongan yang benar-benar memerlukan pertolongan semakin ramai. Umpama nyamuk yang terbang di tepi telinga menjelang tidur. Ianya bukanlah masalah besar, tetapi mengganggu waktu rehat kita yang sangat-sangat diperlukan untuk kekal fokus terhadap isu-isu yang lebih penting. Nampaknya aku perlu pastikan stok penyembur racun serangga ada bersamaku.

Sekadar berkongsi (jauh sekali daripada tujuan menjaja jasa dan kebaikan), ramai yang tidak tahu bahawa aku terpaksa korbankan banyak perkara untuk perjuangan ini. Bukan sedikit masa peribadi, keluarga, kewangan dan tenaga yang terpaksa dicurahkan. Bukan ada apa-apa bantuan dan imbuhan peribadi pun.

Malah, ramai yang cuba menipu dan meminta derma. Kalaulah tanpa sokongan keluarga yang memahami, rasanya sudah lama aku terbuang keseorangan. Siapa yang tahan dengan perangai suami atau bapa yang terlalu memberi banyak masa kepada orang lain berbanding kepada ahli keluarga sendiri? Aku terlalu banyak mengambil hak mereka demi komuniti.

Apa yang komuniti nampak hanyalah sisi riang, selesa dan ceriaku. Beberapa orang terapat sahaja yang tahu sisi tertentu terpaksa direlakan demi perjuangan. Sudahlah begitu, segelintir anggota masyarakat pula menganggap aku membela golongan ‘bermasalah’ dan ‘berdosa’.

Siang malam, hampir 24 jam sehari aku dedikasikan diri dalam perjuangan untuk membantu komuniti. Bahkan dalam tidur yang sentiasa singkat itu pun aku sentiasa bermimpikan urusan komuniti. Jika aku tidak off atau silentkan telefon bimbit, jawabnya tidak tidurlah aku dengan segala macam bunyi notification e-mel, WhatsApp, Viber, WeChat, SMS dan panggilan telefon.

Takjubnya, segelintir golongan yang dibantu dan cuba dijaga aibnya itulah juga yang menyakitkan kembali tanpa sedikit pun rasa bersalah. Dihina dan dicaci sesedap rasa.

Bila mengenangkan segala cabaran yang remeh begini, memang ada ketikanya aku bosan berada di dalam komuniti. Sentiasa terfikir, alangkah bagusnya jika aku dapat kembali kepada perjuanganku yang dulu. Selesa membantu dengan cara sendiri sekadar di blog kesayanganku ini.

Alhamdulillah, sedikit sebanyak asas agama, faktor usia dan dikelilingi sahabat-sahabat yang berjiwa besar menguatkan kembali semangat yang hampir hilang. Apa sangatlah ujian sesama manusia. Allah yang Maha Pencipta, yang meminjamkan segala macam nikmat pun tetap ramai yang angkuh dan derhaka, inikan pula kita yang serba lemah. Aku yakin segala ujian ini mengandungi banyak rahsia dan hikmah-Nya yang tersendiri untuk aku, keluarga dan komuniti.

Lalukanlah apa saja, ianya tidak akan mematahkan semangatku. Mengalah jauh sekali. Berdiam bukan bermakna kalah. Berbeza takkan menyebabkan aku memutuskan silaturrahim selagi kita sesama Muslim. Tiada yang menggentarkan jika kita lakukan semata-mata kerana Allah. Apa pun, telan sahajalah. Hasbunallah wanikmal wakil.

Sabarlah wahai keluargaku. Jika panjang usiaku, insyaAllah dalam tempoh setahun dua ini sahaja aku aktif dalam komuniti. Ramai lagi yang muda, hebat dan berketrampilan serta ikhlas berjuang di luar sana.

Jika pembaca mempunyai cadangan supaya aku kongsikan pandangan mengenai isu-isu tertentu mengenai HIV, sila tinggalkan pesanan di bahagian komen entri ini. Jika ianya difikirkan berbeza, menarik, dan mampu aku kongsikan, akan aku cuba lakukan.

Kepada ODHA dan affected people yang mahu menyertai apa juga aktiviti yang pihak Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM) anjurkan dengan kerjasama NGO tertentu sepanjang tahun 2013 ini serta memperolehi benefit tertentu keahlian, sila isi borang keahlian mulai sekarang. Ianya boleh diperolehi dengan menghubungi e-mel:

positivelypositive77@gmail.com (Mizan – Setiausaha PPWM)

Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP



Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:


Camelia Sulaiman: camelia_sulaiman@yahoo.com


Pertubuhan Amal Firdausi Kuala Lumpur (PAFI)

Sila hubungi:
Laman Web: http://www.amalfirdausi.org
E-Mel: amalfirdausi@gmail.com
Talian Marhabah: 018-207-0953 (Encik Hamli) @ 017-311-0306 (Encik Raffie)
Telefon / Faks: 03-9174-0934
FB PAFI: http://www.facebook.com/amalfirdausi (Open Group)
Twitter: twitter.com/amalfirdausi