Thursday, February 21, 2013

HAK DAN PERUNTUKAN UNDANG-UNDANG UNTUK MELINDUNGI STATUS SEBAGAI PEMBAWA HIV







Stigma, diskriminasi dan judgmental adalah sinonim dalam kehidupan Orang Yang Hidup Dengan HIV (ODHA).

Status sebagai HIV positif kadangkala dipandang sangat jijik dan sering dikaitkan dengan isu moral dan agama berdasarkan tafsiran yang sempit. Dugaan psikososial ini berterusan menjadi tekanan utama kepada ODHA termasuk affected people.

Status kesihatan mereka boleh disalahguna oleh majikan, pihak yang sepatutnya membantu dan merawat, termasuk di kalangan mereka yang rapat dengan ODHA. Akibatnya berlakulah penganiayaan, kehilangan pekerjaan, dan maruah ODHA diperkotak-katikkan sesuka hati.

Status sebagai ODHA juga boleh dimanipulasi sebagai senjata yang sangat berkesan untuk mengugut. Sebagai contoh, ada yang mengugut untuk mendedahkan kesilapan silam mereka, status mereka kepada ahli keluarga, atau kepada pihak majikan jika tidak berpuas hati terhadap perkara-perkara tertentu.

Kebelakangan ini aku kerap menerima aduan bahawa terdapat individu di dalam komuniti sendiri yang menjadikan status dan rahsia peribadi ODHA yang dikenali sebagai salah satu cara untuk memastikan kepentingan peribadi si pelaku dipenuhi.

Salah satu kaedah untuk menanganinya dengan cara yang paling berkesan adalah melalui peruntukan undang-undang negara. Kali ini, aku sertakan peruntukan undang-undang berkaitan jika ada di kalangan komuniti berdepan dengan isu tersebut.

Walau bagaimanapun, setiap peruntukan undang-undang tidak bermakna jika tanpa keberanian untuk mempertahankan diri. Setiap ODHA mesti tahu dan faham hak mereka daripada menjadi mangsa manipulasi oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

Maklumat berikut adalah secara umum. Untuk penjelasan yang lebih terperinci, sila rujuk pengamal undang-undang. Peruntukan undang-undang ini juga cuma terpakai jika kita bersedia membawa kes ini ke mahkamah dan jika perkara tersebut sudah berlaku.

Tahap perlindungan di bawah peruntukan undang-undang mengenai isu berkaitan  boleh dibahagikan kepada 3 fasa:

FASA PERTAMA – Sebelum berlaku (berkemungkinan berlaku)

Laporan polis adalah fasa awal bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini daripada berlaku.

Laporan awal kepada pihak polis hanya memerlukan keterangan secara lisan dan/atau jika kita mempunyai sebarang bukti bertulis/fizikal, boleh dibawa bersama dan dilampirkan dengan laporan lisan kepada pegawai yang berkenaan.

Laporan perlu diletakkan atas kapasiti JENAYAH kerana pencabulan hak asasi orang lain adalah hak dan kepentingan negara (i.e. the case will be seen as the country versus the criminal).

FASA KEDUA - Telah berlaku dan sedang berlaku (privacy invasion)

Ianya berlaku apabila ODHA menerima ugutan. Pemfailan kes di mahkamah boleh dilakukan sama ada melalui khidmat guaman ATAU pembawaan kes sendiri untuk mendapatkan perintah injunksi untuk melarang pelaku daripada terus melakukan kerosakan imej terhadap seseorang. Jika pelaku masih melakukan hal tersebut, dia boleh diambil tindakan undang-undang kerana melanggar perintah mahkamah atau tidak menghormati mahkamah (hukuman penjara).

FASA KETIGA - Berlaku dan telah merosakkan imej seseorang (privacy invasion)

Perlindungan ini di bawah tort, pelanggaran hak peribadi (privacy invasion). Kes tort (bidang undang-undang yang berkaitan dengan perlakuan salah) mencakupi banyak isu termasuk fitnah dan kecuaian.

Dalam hal ini, sesiapa sahaja tidak boleh menggunapakai maklumat peribadi, atau apa-apa sahaja milik peribadi untuk kepentingan diri sendiri tanpa persetujuan bertulis atau lisan yang jelas daripada empunya diri.

Seseorang yang mendapati bahawa imej dirinya telah dirosakkan oleh seseorang individu lain boleh membuat permohonan sivil (civil claim) dengan tuntutan sebesar mana pun kerosakan yang berlaku waima berjuta-juta ringgit.

Mohon perhatian dan teguran di kalangan para pengamal undang-undang untuk penambahbaikan.


Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP



Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Camelia Sulaiman: camelia_sulaiman@yahoo.com


Pertubuhan Amal Firdausi Kuala Lumpur (PAFI)

Sila hubungi:
Laman Web: http://www.amalfirdausi.org
E-Mel: amalfirdausi@gmail.com
Talian Marhabah: 018-207-0953 (Encik Hamli) @ 017-311-0306 (Encik Raffie)
Telefon / Faks: 03-9174-0934
FB PAFI: http://www.facebook.com/amalfirdausi (Open Group)
Twitter: twitter.com/amalfirdausi



Tuesday, February 19, 2013

ANTARA EMOSI DAN REALITI KEHIDUPAN SEORANG PEMBAWA HIV YANG BERNAMA “AKU”







Sahabat-sahabat rapat selalu komplen, “Kebelakangan ini entri blog abang agak berat dan emosional!”

Emosional? Rasanya tidak. Apa yang aku rasa, itulah yang aku luahkan. Cuma mungkin kerana mereka tahu beberapa isu yang berlaku dalam kehidupanku, mereka memandangnya dari sudut tekanan harian yang aku alami. 

Semuanya sekadar perkongsian umum perjalanan kehidupanku sebagai Orang Yang Hidup Dengan HIV (ODHA) dan sentiasa berdepan dengan isu komuniti. Dulu dipimpin, sekarang ini belajar memimpin. Tentulah sedikit berbeza.

Seboleh-bolehnya aku cuba lindungkan tekanan dalaman sendiri dan hanya berkongsi nilai-nilai positif. Aku tahu jika perkongsianku menjurus kepada negatif, negatif jugalah yang pembaca akan rasa. Jika aku kongsikan nilai positif tetapi masih ada yang memandangnya dari sudut negatif, itu persepsi individu. Bermain emosi dalam usia seperti aku rasanya tidak relevan lagi. “Rumah kata pergi, kubur kata mari.”

Jika sahabat-sahabat bertanyakan khabar, biasanya aku akan menjawab, “Alhamdulillah, baik-baik sahaja.” Sebenarnya itulah doa untuk semua. Tiada gunanya aku memanjangkan apa yang aku rasa kerana setiap individu punya tekanan tersendiri.

Tidak perlu panjangkan cerita. Hidup sebagai pesakit diabetes pun banyak ujian yang terpaksa aku tanggung. Bahkan diabetes lebih bahaya daripada HIV sekalipun tidak berdepan dengan stigma, diskriminasi dan judgemental. Kewajiban menjaga diet, senaman, dan amalan hidup sihat memerlukan disiplin yang sangat tinggi. Sedikit sahaja terbabas, segala macam risiko termasuk rasa lesu dan kepenatan melampau akan aku alami. Dugaan-dugaan tersebut kadangkala agak mencabar, apatah lagi bila melibatkan pelbagai komitmen lain.

Ada masanya perlu diakui menyukarkan aku melaksanakan tugas hakiki di tempat kerja. Aku malu terhadap majikan yang sentiasa memberikan kerjasama. Seboleh-bolehnya aku cuba mengelak daripada mengambil cuti. Enggan membebankan rakan-rakan yang terpaksa mengambil alih tugas, tetapi apakan daya. Ada masanya aku terlalu kepenatan dan tidak cukup rehat.

Ditambah dengan pelbagai ujian hidup sebagai ODHA, sudah tentu bertambah lagi ujiannya. Berada di medan juang bersama komuniti menyebabkan aku sentiasa terdedah kepada pelbagai tekanan. Sama ada akibat kesibukan, simpati, dan empati, serta tidak kurang perlu berdepan dengan perkara-perkara yang aku tidak suka. Sedikit sebanyak ianya turut mempengaruhi emosiku. Terlalu banyak terdedah dengan aura negatif sedangkan diri sendiri pun masih perlukan sokongan komuniti.

Emosi tersebut saling bercampur-gaul dan peliknya aku tetap tidak mampu mengabaikannya. Mungkin kerana aku juga merasa ‘sakitnya’ hidup sebagai ODHA. Alhamdulillah, ujian-ujian tersebut jugalah yang menjadikan aku lebih kuat. Aku infakkan diriku Lillahi Taala untuk membantu.

Syukur keluargaku memahami dan semoga pahalanya berpanjangan kepada mereka. Kalaulah aku ini masih bujang, dan orang tahu keadaan sebenarku, sampai ke sudah tidak ada perempuan yang sanggup menerimaku. Bukan kerana HIV, tetapi kerana sibuk mengalahkan VVIP.

Bayangkan setiap hari aku berdepan dengan berbelas-belas kes berkaitan komuniti sama ada daripada infected atau affected people.

Aduan ketakutan akibat terdedah kepada aktiviti berisiko, dibenci keluarga, kehilangan atau diskriminasi dalam bidang pekerjaan dan peluang kenaikan pangkat, dianiaya suami, isteri atau mertua yang enggan menerima status mereka, masalah putus cinta, trauma dijangkiti virus daripada pasangan, perceraian akibat HIV, jangkitan penyakit kelamin, urusan perkahwinan, dipulau masyarakat, dan sebagainya.

Aku dapat rasakan sakitnya apabila sahabat-sahabat komuniti diungkit atas kesalahan lampau yang mereka sendiri benci mengenangnya. Asyik dipertikaikan punca, ditanya kenapa, mengapa, dan sebagainya. Sentiasa dihukum sedangkan sepatutnya mereka dibantu dan diberi sokongan.

Sebaliknya aku juga berasa sangat sedih apabila ramai yang masih gagal melihatnya sebagai satu tanda didikan atau ujian Allah supaya memuhasabah diri. Di sinilah biasanya timbul dilema supaya aku bertindak penuh hikmah supaya mereka tidak terlalu menjauhkan diri walaupun aku sendiri tidak setuju dengan apa yang mereka lakukan.

Itu belum termasuk yang masih enggan mengubah cara hidup, selesa berada dalam maksiat, enggan menjaga hubungan dengan Allah, menyalahkan Tuhan, mengugut, memanipulasi, memecah-belahkan komuniti, dan sebagainya.

Malahan, kadang-kadang ada yang menghubungi dan mengadu, “Abang, saya hendak pakai pakaian warna apa untuk pergi kerja hari ini?” Mak aihh. Manjanya kau! Aku yang sedang tersedak menahan caci-maki ini terima sahajalah segalanya. Hidup terlalu singkat untuk dibazirkan demi akhirat yang kekal abadi.

Kemuncak segala tekanan, apabila NGO yang aku pimpin iaitu Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM) dan jaringan hubunganku dengan NGO serta komuniti lain di seluruh negara cuba dihancurkan.

Apabila terpaksa memilih antara individu atau jemaah, aku wajib memilih jemaah. Di situlah konflik mula timbul dan tidak sangka sehingga begitu sekali serangan yang telah dilakukannya.

Syukur ketika serangan itu timbul, aku telah sampai ke tahap lali dengan tekanan. Bahkan bagi aku, bukan aku yang rugi, tetapi komuniti. Banyak pengajaran yang aku perolehi. Kebenaran tetap kebenaran.

Aku tidak mahu melayan perkara remeh-temeh untuk perjuangan sebesar ini. Jika terkorban sekalipun, aku rela terkorban sebagai pejuang. Tidak sesekali sebagai pengecut. Baguslah kerana semakin mematangkan aku dalam asam garam perjuangan.

Sesiapa sahaja yang ingin berada di tempatku, dipersilakanlah. Aku memang lebih selesa berjuang di blog ini dengan caraku. Aku memang menghindari stress. Tiada apa-apa kepentingan. Bahkan berhabis masa, tenaga dan wang ringgit yang bukan sedikit semata-mata untuk membantu komuniti.

Aku hanya mahu berkongsi semangat perjuangan dan mahu komuniti bangkit daripada stigma dalaman sendiri. Bukan tidak mengerti segala pahit dan pedihnya tekanan sahabat-sahabat, tetapi mengeluh dan meratap tidak ada gunanya.

Anggaplah perkongsian ini sebagai lafaz ikrar dan semangat perjuangan. Apa sahaja rutin harianku adalah untuk komuniti. Tawa dan tangisku bersama komuniti. Aku insomnia kerana komuniti. Pada waktu rehat yang sangat terhad, komuniti juga yang aku fikirkan. Penat, letih, lesu dan sebagainya, tetap komuniti, komuniti, komuniti.

So, adakah pembaca khususnya ODHA faham apa yang aku maksudkan? Wake up! Usah dirisaukan tentang rawatan kerana kita berpeluang hidup sihat sama seperti insan lain. Masalah sebenar ODHA adalah stigma, diskriminasi dan judgemental. Itulah isu yang sepatutnya kita tentang dan bersatu mempertahankan hak kita.

Jangan kita menjadi lemah hanya disebabkan oleh sikap negatif segelintir masyarakat. Jangan kerana sedikit tekanan kita terus mengalah. Buktikan bahawa dalam berbagai-bagai tekanan psikososial, kita masih berada di sini, bahkan menjadi insan yang lebih baik.

OK, jangan baca perkongsian ini mengikut persepsi negatif ya! Bacalah dengan aura dan semangat positif. HIV positif, confirmedlah mesti positif! Semakin hari, semakin terasa kemampuan terbatas. Usahlah kita bazirkan segala peluang yang ada. Sayang semua.


Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP


Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Camelia Sulaiman: camelia_sulaiman@yahoo.com


Pertubuhan Amal Firdausi Kuala Lumpur (PAFI)

Sila hubungi:
Laman Web: http://www.amalfirdausi.org
E-Mel: amalfirdausi@gmail.com
Talian Marhabah: 018-207-0953 (Encik Hamli) @ 017-311-0306 (Encik Raffie)
Telefon / Faks: 03-9174-0934
FB PAFI: http://www.facebook.com/amalfirdausi (Open Group)
Twitter: twitter.com/amalfirdausi



Sunday, February 17, 2013

E-MEL DARIPADA SEORANG PEMBAWA HIV DI TANAH SUCI






Aku mulakan perkongsian ini dengan menyisipkan salinan e-mel yang aku terima daripada seorang sahabat komuniti yang melakukan ibadah umrah. Aku lakukan sedikit editing untuk memperbetulkan beberapa istilah dan disesuaikan dengan entri.

“Assalamualaikum abang. Ketika di Tanah Suci, banyak yang saya pelajari. Kita semua wajib memperbanyakkan syukur kerana kita hidup dalam Islam tanpa bersusah-payah sedangkan para Rasul dan sahabat berjuang sehingga mengorbankan nyawa untuk nikmat Islam yang kita nikmati hari ini.

“Kita bertuah, malah ujian yg kita hadapi hanyalah sedikit sahaja. Sedikit sangat yang kita hadapi berbanding mereka dan segala didikan Allah tidak sepatutnya melemahkan kita. Kita kena bangun dari stigma ini. Kita kena beriman (AHP: Iman – hati, lafaz, dan perbuatan) dengan qadha’ & qadar Allah.

“Semuanya punya hikmah untuk kita sebagai bekalan di sana nanti. Virus HIV juga adalah makhluk Allah. Jika virus taat kepada perintah Allah, wajib kepada kita sebagai sebaik-baik makhluk dan khalifah mencontohinya dalam soal ketaatan kepada Allah.

“Jangan toleh ke belakang lagi. Mereka yang mengutuk, menghina dan mahu melemahkan kita pun akan mati juga sama seperti kita. Sehebat mana pun makhluk tetap akan mati dan kematian dengan pelbagai punca dan sebab. Itu pasti.

“Kesimpulannya bagi saya, kita teruskan berusaha dan berubat. Selebihnya kita serah kepada Allah yang Maha Menyembuh. Sama ada rawatan HAART, alternatif, dan apa juga, yang penting kita mesti berusaha.

“Yang lebih penting ialah bekalan amal ibadah untuk di sana nanti. Biarlah kita dihina, tetapi tetap mulia di sisi-Nya sebagai hamba yang soleh. HIV hanyalah virus yang mengingatkan kita bahawa kita semua akan kembali.

“Kita sebenarnya beruntung kerana kita diberi peringatan berbanding ada yang tanpa sedar kekal dalam kelalaian dan maut secara tiba-tiba. Sehebat mana ilmunya, setinggi mana kuasanya, akhirnya akan kembali dengan sehelai kain putih yang membalut tubuh.

“Wang, harta, dan pangkat sudah tiada gunanya lagi kecuali doa anak yang soleh, ilmu yang bermanfaat dan jariah yang berkat. Rasulullah SAW sebelum nafas terakhir tetap menyayangi kita. Baginda susah hati dengan keimanan kita. Kalimah “ummati, ummati, ummati” (umatku, umatku, umatku) sentiasa di bibir baginda. Hargailah sebelum terlewat. Wallahua'alam.”

Usai membacanya aku terharu kerana nampaknya semakin ramai sahabatku, Orang Yang Hidup Dengan HIV (ODHA) faham tentang objektif perjuanganku selama ini. Alangkah bagusnya jika beliau menjadi salah seorang sahabatku yang turut sama berada dalam Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM) memperjuangkan isu yang sama.

Sejujurnya bukanlah mudah hidup kita sebagai ODHA sekali pun apa yang aku kongsikan di blog kelihatan positif. Tambahan lagi jika turut berdepan dengan pelbagai penyakit kronik lain seperti aku. Hanya Allah dan aku sendiri yang tahu apa yang dirasa.

Memang soal rawatan dan peluang hidup sihat bukan isu, tetapi tekanan stigma, diskriminasi dan judgemental menjadi rutin harian. Disebabkan HIV sering dikaitkan dengan isu moral atau agama, berkait rapat dengan psikososial, terlalu ramai yang teraniaya, hidup dalam ketakutan, memencilkan diri, hilang pekerjaan, dan sebagainya.

Bermula dengan tekanan awal peringkat awal diagnosis (grief reaction), tekanan rawatan (treatment fatigue) sehinggalah dalam soal keyakinan untuk menjalani kehidupan harian seperti insan lain.

Rasa rendah diri memang sentiasa ada. Walaupun dikelilingi oleh mereka yang memahami dan kelihatan sangat ‘berani’, aku tetap punya rasa serba salah apabila bergaul dengan mereka yang belum betul-betul faham isu HIV.

Contohnya, jika menghadiri mana-mana jemputan kenduri, makan bersama kenalan, aku biasanya memilih untuk makan sendirian atau hanya bersama keluarga rapat atau yang benar-benar mengenaliku. Aku bimbang jika ada yang rasa tidak selesa dengan kehadiranku di sisi mereka.

Aku tahu banyak mata yang memandang, menilai segala-galanya daripada A – Z. Susuk tubuhku, pakaianku, cara jalanku, caraku bersama keluarga dan sebagainya. Maklumlah aku umpama duta ODHA. Aku mesti sentiasa kelihatan sangat ceria dan positif, sedangkan aku sama sahaja seperti insan lain. Ada kalanya keletihan dan bersedih juga dengan tekanan-tekanan tertentu. Itulah antara harga untuk sebuah perjuangan yang mesti aku bayar.

Mari kita berfikir secara positif dan menjadikan segala cabaran sebagai didikan Allah untuk menjadi lebih baik daripada semalam. Itu bermakna Allah sayangkan kita. Alhamdulillah.

Jadi, apabila hidup sebagai ODHA, yang paling penting ialah mengambil pengajaran daripada didikan Allah. Perkukuhkan iman dan tinggalkanlah perkara-perkara yang menimbulkan kemurkaan Allah. Banyakkan bersyukur dan terima didikan Allah dengan redha.

Jika sebelum ini kita lalai dalam menjaga solat, peliharalah solat. Jika sebelum ini kita selesa berada dalam maksiat, tinggalkanlah maksiat. Jika sebelum ini kita menderhaka kepada ibu bapa, mohonlah keampunan dan jagalah hati mereka. Jika sebelum ini kita cuai dengan tanggungjawab terhadap keluarga, tunaikanlah segala tanggungjawab semampu mungkin. Jangan sibuk mencari alasan.

Jika sebelum ini kita selesa dengan hasad dengki dan budaya caci-mencaci, hentikanlah. Jika sebelum ini kita biasa fitnah-memfitnah demi kepentingan diri, hindarilah. Jika sebelum ini biasa memanipulasi, belajarlah berdiplomasi.

Jika sebelum ini kita pendendam dan pemarah, jadilah seorang yang pemaaf. Jika sebelum ini kita hasad dengki, cubalah berpekerti mulia. Mudah cerita, berhijrahlah. Tidak semestinya serta-merta menjadi terlalu sempurna, tetapi cukuplah sekadar sentiasa ada ansur maju. Turun naiknya iman adalah lumrah dalam mencari keredhaan Ilahi.

Jika kita kekal dengan nilai-nilai negatif, mudah sahaja masyarakat akan menghukum kita. “Patutlah ada HIV dan hilang segala, perangai macam haprak, ketegaq, cempera ulaq. Psiko!” Memalukan diri sendiri dan komuniti, kan?

Belajar-belajarlah bersyukur dan menghargai mereka yang pernah menghulurkan sokongan dan bantuan. Jangan terlalu beremosi, kelak ternampak kekurangan diri. Hidup kita bukan menongkat langit.

Membantu pula biarlah ikhlas dan tanpa kepentingan diri kecuali sebagai bekalan amal ibadah Lillahi Taala. Apabila marah, istighfar banyak-banyak dan fikir kembali apa sangatlah yang kita hendak marahkan jika kita ikhlas. Cuba muhasabah semula segala kekurangan diri. Ringkas cerita, jauhilah sikap-sikap negatif.

Fokus pada kewajipan untuk hidup sihat dan memperbaiki diri terlebih dahulu. Jika belum bekerja, cuba cari pekerjaan ikut kemampuan. Jangan banyak memilih dan memberi alasan dengan alasan yang remeh-temeh. Peluang yang ada jangan dilepaskan. Asalkan halal sudahlah. Jika sudah berkeluarga, tunaikan tanggungjawab terhadap keluarga di samping membantu komuniti.

Bertindak ikut priority. Jangan sibuk urusan lain sedangkan diri kita sendiri tidak terurus dan mengharapkan belas ihsan orang. Buktikan dulu kita betul-betul empowered dan mampu bangkit. Bimbang nanti kita dituduh mengalami helper syndrome atau attention seeker.

Kepada yang berhasrat mahu mendirikan rumahtangga pula, jika telah bertemu calon idaman hati, sudi menerima kita dan faham tentang HIV, berkahwinlah. Baguslah, apa salahnya. Bukan bahaya pun kepada pasangan dan boleh sahaja memiliki zuriat bebas HIV. Jangan peduli sangat apa yang orang tidak faham atau tidak akan mahu faham tentang kita. Kita hidup bukan menyembah golongan yang enggan faham ini.

Tetapi bukan senang untuk mendapat calon yang benar-benar boleh faham dan terima kita. Kebanyakan yang sudi hanyalah sesama komuniti dan yang kuat kebergantungannya kepada Allah. Kebanyakan mereka sejak awal telah faham dan bersedia bahawa bukan senang berkongsi hidup dengan seorang ODHA.

Jika calon pasangan dan bakal keluarga mertua enggan terima, usahlah dirayu dan minta mereka faham. Jika semakin didekati, semakin diterangkan, semakin nyata berbeza arah dan sibuk memikirkan kepentingan diri mereka, usah dirayu kepada yang tidak sudi. Itu bermakna Allah belum izinkan atau telah mengatur sesuatu yang lebih baik untuk kita. Dia sebaik-baik perencana.

Jika dirayu juga, sekalipun diterima, penerimaan mereka belum tentu sepenuh hati. Sekalipun kita mampu membuktikan kita sama sahaja seperti insan lain, kelak segala macam tekanan dan kesalahan akan dilonggokkan ke bahu kita. Sedikit sahaja kesilapan akan menjadi isu besar.

Aku sering berkongsi pengalaman dengan sahabat-sahabat yang berdepan dengan isu tersebut. Sudahlah sedia berdepan dengan pelbagai tekanan, ditambah lagi dengan pelbagai tekanan daripada pasangan atau mertua masing-masing. Seolah-olah, rumahtangga mereka yang hidup tanpa HIV tidak pernah dilanda ombak walaupun bersepah yang berantakan. Maqasid Syariah katanya!

Tidak perlulah menganiaya bakal pasangan dan diri sendiri. Mereka punya hak untuk memilih yang terbaik. Kita juga ada hak dan rasional sendiri. Buat apa pun, kita tetap sentiasa dianggap sebagai liabiliti. Bersikap realistik dan terimalah apa sahaja dengan redha. Tiada apa yang hendak dikeluh-kesahkan. Biarkan mereka dengan cara mereka, kita doakan sahaja yang baik-baik.

Setelah kita jelas dengan haluan hidup kita, nikmati hidup dengan segala apa yang Allah anugerahkan dengan redha. Kadang-kadang kita terlupa, kita terlalu banyak meminta, sedangkan Allah telah pinjamkan pelbagai nikmat. Mereka yang hidup tanpa HIV ramai yang jauh lebih merana.

Realistik, OK. Belajar-belajarlah berdikari. Hanya Allah sebaik-baik tempat memohon segala perlindungan dan pertolongan. Usahlah terlalu berharap kepada bantuan sesama makhluk, kelak dilanda resah dan gusar yang berpanjangan. Makhluk serba terbatas kemampuannya. Jadikan air mata dan kesedihan kita sebagai ODHA ini mahal sedikit. Apa pula tidak mahal, air mata ODHA, kan?

Apabila empowered, bantulah sahabat-sahabat komuniti yang sangat memerlukan bantuan di luar sana. Jangan hanya sendiri-sendiri, sedangkan ketika sedih dulu, ketika menangis dulu, komuniti juga yang kita cari.

Perkongsian ini sebenarnya sudah berkali-kali aku kongsikan, tetapi biasalah. Kita perlu sentiasa diingatkan.


Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP



Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Camelia Sulaiman: camelia_sulaiman@yahoo.com


Pertubuhan Amal Firdausi Kuala Lumpur (PAFI)

Sila hubungi:
Laman Web: http://www.amalfirdausi.org
E-Mel: amalfirdausi@gmail.com
Talian Marhabah: 018-207-0953 (Encik Hamli) @ 017-311-0306 (Encik Raffie)
Telefon / Faks: 03-9174-0934
FB PAFI: http://www.facebook.com/amalfirdausi (Open Group)
Twitter: twitter.com/amalfirdausi



Friday, February 15, 2013

ANTARA PERKONGSIAN PANDANGAN DAN NASIHAT DR. ISKANDAR FIRZADA BIN OSMAN (PENASIHAT PPWM) SEMPENA AGM PPWM



Dr. Iskandar Firzada bin Osman



Dr. Iskandar Firzada bin Osman merupakan Doktor Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Jaya Gading, Kuantan, Pahang, merangkap Tuan Penasihat Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM).

Berikut adalah sebahagian daripada intipati petikan ucapan Tuan Penasihat PPWM yang sempat Ummie catat sempena perasmian Mesyuarat Agung PPWM di Dewan Hadhari, Pusat Islam, Kuala Lumpur pada 26 Januari 2013 (Sabtu) yang lalu.

AHP meminta Ummie  berkongsi pandangan tersebut dengan para pembaca kerana ucapan Tuan Penasihat sangat penting. Mohon maaf jika sebahagian points penting tertinggal dan perkongsian ini adalah berdasarkan pemahaman Ummie sendiri.


“Penyakit boleh dirawat tetapi terdapat beberapa jenis penyakit berkait rapat dengan faktor atau pengaruh psikologi dan sosial (psikososial).

Setiap klien (patient/pesakit) memerlukan pemuliharaan dan pemeliharaan. Antara contoh jenis-jenis penyakit yang sering dikaitkan dengan psikososial adalah Orang Yang Hidup Dengan HIV (ODHA), fibromyalgia, skizofrenia (schizophrenia) dan penyakit mental.

“Setiap ahli sesebuah pertubuhan NGO perlu mengetahui tujuan penubuhan, asal-usul penubuhan, tugas dan tanggungjawab setiap ahli, termasuklah mereka yang infected, affected, dan supporters. Psikososial adalah suatu situasi yang boleh mempengaruhi keberkesanan rawatan. Perkara inilah yang perlu diperjuangkan oleh NGO yang berkaitan.

“Rangkaian (networking) adalah perlu diwujudkan bagi menangani isu-isu psikososial yang ada. Kementerian Kesihatan Malaysia dan agensi-agensi lain turut terlibat. Agensi-agensi tersebut termasuklah para sukarelawan dan NGO.”

“Seseorang pengamal perubatan pula bertanggungjawab memperkasakan (empower) para pesakit. Ianya termasuklah memberikan pengetahuan, bukan sekadar memberikan maklumat. Pengetahuan tersebut hendaklah benar-benar difahami, dikekalkan, dan disebarkan kepada orang-orang lain.

“Pendek kata, para pengamal perubatan perlu menghasilkan pesakit atau klien yang berpengetahuan. Pesakit dan pengamal perubatan juga hendaklah mampu berbincang dengan baik di antara satu sama lain.

“Klien pula perlu memahami hak-hak mereka. Antara hak seseorang klien adalah mendapatkan pendapat kedua daripada para pengamal perubatan. Ini adalah berkaitan dengan empowerment yang seterusnya menghasilkan kemahiran.

“Kemahiran tersebut pula termasuklah dari segi kepatuhan kepada rawatan dan juga cara menghadapi kehidupan sosial sehari-hari. Pesakit yang empowered pula perlu mendapatkan sokongan melalui NGO, tidak kira daripada kalangan ODHA atau bukan ODHA.

“Maklum balas daripada para pesakit adalah diperlukan dan bukannya dikritik. Ahli-ahli NGO perlu melihat apa-apa yang boleh diperbaiki. Listen to others for others to listen. Di dalam FB group, setiap ahli di dalamnya adalah saling bantu-membantu di antara satu sama lain.



Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Camelia Sulaiman: camelia_sulaiman@yahoo.com


Pertubuhan Amal Firdausi Kuala Lumpur (PAFI)

Sila hubungi:
Laman Web: http://www.amalfirdausi.org
E-Mel: amalfirdausi@gmail.com
Talian Marhabah: 018-207-0953 (Encik Hamli) @ 017-311-0306 (Encik Raffie)
Telefon / Faks: 03-9174-0934
FB PAFI: http://www.facebook.com/amalfirdausi (Open Group)
Twitter: twitter.com/amalfirdausi