Assalamualaikum pembuka kata pemanis bicara, ewah...
Lama saya termenung memikirkan pengalaman yang harus saya kongsi setelah setahun melihat abah sebagai PLHIV. Secara jujur saya bukanlah orang yang layak untuk berkongsi pengalaman.
Saya rasa orang yang paling layak untuk ini adalah rakan-rakan daripada kalangan PLHIV yang dah lama mengenali abah. Merekalah orang yang layak terutama rakan seperjuangan abah yang sangat banyak membantu abah iaitu bro Luka Rafieqa.
Sejujurnya saya tidak kenal abah. Saya hanya kenal abah melalui blog. Itu pun tak sampai setahun. Mula-mula saya ke blog abah (sekarang ni dah jadi blog kami sekeluarga) adalah secara kebetulan. Saya nampak perkataan HIV dan saya terus klik.
Pertama kali membaca perkongsian di blog, saya tertarik dengan keraguan abah tentang bagaimana abah mendapat HIV dan juga hasratnya untuk membantu PLHIV lain. Pada mulanya saya baca secara sepintas lalu sahaja dan kalau tak salah, saya jumpa blog abah sebelum raya (bulan Jun 2011). Selepas raya barulah saya betul-betul serius dengan blog ini.
Perasaan saya membaca blog ni antara simpati dan tidak pecaya sebab abah bukanlah golongan yang berisiko namun bila saya baca tentang pemindahan darah dan Bone Marrow Biopsy yang dilakukan, saya mula tak sedap hati. Ya, saya tidak mahu menuduh, namun saya yakin ramai yang dapat menjangkakan punca jangkitan abah.
Sebagai seorang yang pernah bekerja di hospital kerajaan sebagai pelatih, tentulah saya faham serba sedikit bagaimana sesuatu transfusi pemindahan darah berlaku. Lebih-lebih lagi saya pernah mendapat latihan di Jabatan Patologi, makmal yang menjalankan kerja untuk mendiagnosis penyakit dan juga tabung darah.
Ada di antara komen-komen saya mula mendapat sambutan dan abah jadikan sebahagian daripada entry blog. Saya seakan-akan tidak percaya namun saya terima jika kata-kata dan komen saya boleh dijadikan panduan dan sesuatu yang positif.
Saya mula seronok apabila setiap kata-kata saya diberikan perhatian terutamanya oleh abah dan para pengunjung tetap di sini. Perasaan seperti terbuai-buai oleh pujian-pujian. Almaklumlah saya bukanlah pelajar yang cemerlang di sekolah mahupun kolej. Jadi, bila diberi perhatian terhadap apa yang saya katakan, perasaan saya mula "S.Y.O.K.". Hehehe…
Namun panas tak berpanjangan, tiba-tiba hujan di tengahari. Dalam seronok menerima pujian, ada juga pengunjung yang datang memberikan kejian. Kutukan dan kejian yang ditujukan kepada abah sebagai empunya blog. Saya selaku seorang yang selalu meninggalkan komen dan membalas komen di sini turut terasa hati. Murung menerima komen yang sebegitu.
Komen yang menyakitkan hati itu saya balas dengan cara baik, namun kritikan yang diterima semakin melampau sehingga saya sangat berasa hati. Apabila abah buat satu entry tentang luahan hatinya yang kecewa dengan sikap pengunjung, hati saya menjadi remuk dan sedih giler! Hihi…
Akibat rasa kecewa tersebut saya mengambil keputusan tidak mahu terlibat langsung dengan blog abah! Marah nampak AO ni?
YA! Memang marah bebenor ketika itu sebab saya menjawab segala pertanyaan dengan baik, alih-alih ada orang terima kasihpun tidak, sebaliknya menuduh macam-macam. Saya sangat kecewa!
Kemudian saya tinggalkan komen yang saya akan berehat sehingga hujung tahun padahal masa tu saya sebenarnya sudah mengambil keputusan tak mahu ambil tahu apa-apa.
Namun kerinduan itu datang juga. Adakalanya saya menjenguk blog ini. Hati saya jadi sayu. Saya mula menyoal diri sendiri, adakah saya sombong? Adakah selama ini saya hanya mengharapkan pujian? Adakah saya tidak ikhlas? Adakah saya ini perasan bagus? Pelbagai soalan timbul di benak fikiran saya.
Saya mula sedih sebab hanya dengan sedikit kritikan, saya abaikan orang lain yang memerlukan di blog ini. Saya sangat pentingkan diri sendiri tetapi nak ubah keputusan pun malu dan serba salah juga sebab dah kata busy sampai akhir tahun.
(Kebetulan memang saya sibuk masa tu tapi tidaklah busy sangat dan masih ada waktu untuk menjenguk blog ini)
Dengan perasaan malu, saya datang kembali dan cuba tinggalkan komen. Masa tu saya mula sedar yang saya dah mula sayangkan blog dan rakan-rakan di sini. Maka saya dedikasikan sebuah iklan yang penuh pengertian.
Apabila bangun pagi dan sebelum tidur saya akan menjenguk blog ini, menantikan artikel-artikel dan komen-komen baru. Daripada seorang yang asalnya seronok dibuai pujian, saya mula merasakan ada satu perasaan lain iaitu kasih sayang.
Sekadar berkongsi. Pertama kali meninggalkan komen di blog ini saya merupakan orang pertama yang komen di entry baru tersebut. Kebetulan pada masa tu ada dua nick Anonymous. Untuk mengelak kekeliruan, abah panggil saya Anonymous 1.
Haaaaa… sejak itulah saya menggelarkan diri saya sebagai Anonymous One. Nama saya ni diberikan oleh abah tanpa abah sedar. Saya pula suka digelar begitu. Jadi, dalam komen-komen seterusnya, saya pakai nick Anonymous One.
Ok, ini entry berkenaan siapa ni? Saya atau abah? Nampak macam anak ambik tempat lebih daripada abah ni… hai mana aci! Takpe kut, sayakan anak tuan punya blog. Hehehe…
Ok, jom sambung cerita tentang abah. Sabar, itu baru pengenalan. Banyak lagi yang saya akan kongsi dan bebelkan. Jangan risau kawan-kawanku.
Berkenalan dengan abah melalui email membawa kami kepada hubungan kekeluargaan. Email yang saya berikan kepada abah disambut dengan baik. Alhamdulilah satu nikmat yang Allah berikan kepada saya. Insyallah akan saya jaga hubungan ini sampai syurga!
Setelah bergelar anak, saya rasa lebih bertanggungjawab untuk membantu walaupun saya sebenarnya saya tidak tahu bagaimana hendak membantu abah mengendalikan blog dan membantu komuniti. Namun saya berkata kepada diri sendiri insya-Allah perkara baik mesti Allah tolong.
Setelah lama bekenalan, bergaul mesra, beramah-tamah dengan kawan-kawan PLHIV di sini, dengan abah sekeluarga, saya mula faham bagaimana abah boleh menjadi seorang yang sangat postif.
Positif yang kadangkala kita tidak dapat melihat dengan mata kasar. Bak kata Naj Mi seperti angin dapat dirasa tetapi tidak dapat dilihat.
Kadangkala saya insan biasa ada juga mengadu kepada abah tentang masalah saya. Saya terharu apabila abah dapat memberikan nasihat sebagai seorang abah kepada saya. Terima kasih abah!
Saya seboleh-bolehnya tidak mahu mengadu dengan abah kerana bimbangkan kesihatan abah, namun kadangkala saya terlepas.
Kadangkala saya juga ingin bertanya kepada abah bagaimana abah boleh jadi seorang yang sangat positif, seorang yang dapat menyebarkan aura positif, bagaimana abah boleh membantu PLHIV-PLHIV yang lain memulakan hidup dan yang lebih buat saya kagum terhadap abah ialah bagaimana abah membantu seseorang itu tanpa judgmental, negative thinking dan juga diskriminasi.
Namun saya pendamkan segalanya kerana saya anggap abah sentiasa busy dan letih melayan kerenah saya. Kemudian saya amati betul-betul sikap abah dan cuba memahami bagaimana abah boleh menjadi sangat positif.
BAGAIMANA ABAH BOLEH MENJADI SEORANG POSITIF MENGIKUT PANDANGAN SAYA, AO
Abah Memandang Urusan Dunia Ini Hanya Sementara
Tiada yang lebih indah daripada memandang dunia ini hanya sementara. Segala duka boleh berlalu dengan mudah walaupun luka tersebut sangat pedih. Jadi nasihat saya buat kawan-kawan PLHIV, pandanglah dunia ini dengan pandangan akhirat. Cari sepuas-puasnya bekalan akhirat. Dunia bukanlah segala-galanya. Hidup adalah bagaimana kita menghadapi cabaran mengikut kehendak Allah bukanlah bagaimana yang kita mahukan. (Ingat; Al-Baqarah 2:216)
Abah Menganggap HIV Sebagai Ujian
Isinya mungkin sama seperti di atas tetapi apabila kita memandang hidup ini sebagai ujian, maka kita akan bersyukur dengan ujian dan memandang setiap ujian sebagai positif. Mungkin hidup kita susah, tidak seperti orang lain, namun kita masih terselamat daripada pelbagai ujian yang orang lain lalui. Jadi kita harus memandang cabaran hidup kita sebagai ujian.
Rasa Syukur Abah Yang Tinggi
Abah juga insan biasa yang tidak terlepas daripada ujian. Jadi sepanjang saya mengenali abah, saya boleh katakan rasa syukur abah sangat tinggi. Rasa syukur kalau virus turunpun abah dah bukan main gembira.
Alhamdulilah saya tumpang gembira bila virus tidak dapat dikesan dalam tubuh abah. Saya amat yakin sifat syukur abah membawa abah kepada ketenangan dan menjadikan abah lebih sihat.
Pergantungan Sepenuhnya Kepada Allah, Berusaha Dan Tawakal
Apabila memandang hidup ini sebagai ujian, bersifat sementara dan rasa syukur yang abah terapkan dalam jiwa, maka saya dapat lihat segalanya abah harapkan kepada Allah. Segala pergantungan abah adalah kepada Allah.
Waktu berutus email, abah kerap kali menyatakan yang abah tak kisah sangat tentang virus dan ujian darah membuktikan virus dalam badan abah memang sangat rendah. Alhamdulillah.
Abah juga banyak kali pesan kepada saya jangan abaikan solat! Alhamdulilah nikmat apa yang kamu dustakan? Abah juga seorang yang berusaha mengikut apa yang disarankan oleh doktor kesayangannya. Setelah berusaha, barulah abah bertawakal.
Inilah tawakal yang sebenarnya. Usaha kita akan dipandang Allah dan ganjarannya terpulang kepada Allah. Terserah bagaimana Allah nak beri kepada kita. Sesungguhnya Allah mengetahui segalanya tentang kita.
Abah Memahami Virus HIV
Kalau kita nak berhadapan dengan musuh, tentulah kita kena kenal musuh kita, kan? Begitu jugalah abah. Abah mencari maklumat tentang HIV dan memahami.
Yang paling best, abah macam seorang pakar. Saya sendiri sebagai seorang yang berada di bidang sains kesihatan juga kadangkala mendapat maklumat baru tentang HIV di sini. Maklumat yang saya tidak dapat semasa berada di dewan kuliah dan yang paling best, maklumat tersebut disebarkan dengan nilai positif maka saya dapat memahami dengan lebih baik. Terus tertanam dalam minda saya. Hahaha!
Tiada Judgmental, Pemikiran Yang Negatif, Dan Pilih Kasih
Inilah sikap abah yang saya paling puji. Abah tiada judgmental. Ramai yang datang mengadu kepada abah. Abah kerapkali melayan mereka dengan baik, tiada isu judgmental terhadap mereka bahkan abah melayan mereka umpama anak, adik, abang dan juga sahabat.
Tiada isu untuk keuntungan sendiri, tapi lebih kepada kepuasan dapat membantu PLHIV-PLHIV bangun semula. Abah seboleh-bolehnya mahukan PLHIV ini berdikari, mempunyai keluarga, gembira dan enjoy hidup dengan HIV sebagaimana abah lakukan.
Tidak kira bagaimana latar belakang dan keadaan kawan-kawan yang mengadu kepada abah, sebolehnya saya lihat abah meraikan mereka. Abah akan mengajar mereka untuk bangun dan menghargai diri sendiri. Sikap ini juga saya copy daripada abah. Hehehe… Abah dah jadi MENTOR saya dalam kehidupan.
Erti Hidup Memberi!
Saya sangat suka membaca artikel-artikel Ustaz Hasrizal yang banyak menekankan konsep hidup memberi dan bukannya asyik menerima. Itulah yang saya lihat dalam diri abah. Abah tidak lokek berkongsi segala pengetahuannya tidak kira dalam isu HIV, keluarga, agama atau apa sahaja isu.
Ustaz Hasrizal pernah membuat satu artikel tentang kisah tukang rumah. Kisah itu sangat terkesan dalam hati saya, sejak itu saya selalu berdoa agar saya dapat menjadi orang yang hidupnya memberi, namun saya tidak tahu bagaimana saya nak beri.
Saya tiada wang ringgit untuk diberikan. Saya juga bukanlah orang yang pakar dalam bidang-bidang tertentu. Bagi saya ketika itu, memberi yang saya dapat lakukan ialah dengan menjadi anak kepada kedua ibu bapa saya. Namun, melihat abah yang langsung tidak ada asas dalam sains kesihatan pun mampu untuk memberi. Saya jadi terpanggil untuk berkongsi segala pengetahuan saya dalam bidang ini di sini.
Walaupun apa yang saya kongsikan tidaklah bagus, cedok-cedok dari internet juga, namun saya juga puas hati dapat melakukan itu. Nah! Sekali lagi abah menjadi mentor (tunjuk ajarku sifu) untuk saya.
Orang kata what goes around comes around. Itulah yang abah terima bila dia memberi sepenuh hati di komuniti ini. Saya juga dapat lihat apa yang dia beri kembali kepada dirinya. Rakan-rakan komuniti yang lain juga tidak lokek berkongsi dengan abah.
Ada sahaja pelbagai latar belakang orang datang untuk menghulurkan tangan. Ada yang bukan PLHIV pun kadangkala datang untuk memberikan komen di blog ini. Terima kasih! Itu tandanya anda juga memberi. Sokongan rakan-rakan komuniti di sini tidak pernah putus.
Kehadiran blog-blog PLHIV yang lain juga banyak membantu abah dan saya mengenal masalah para PLHIV . Boleh saya katakan sumber kekuatan abah juga adalah dengan memberi dan menerimanya daripada rakan-rakan di sini. Tahniah saya ucapkan buat rakan-rakan di sini kerana tanpa anda sedar, anda juga memberi.
Sokongan
Kata orang, kejayaan seorang lelaki mesti berdiri seorang wanita yang tabah di belakangnya. Begitu juga abah. Kuatnya abah hari ini disebabkan oleh mak, ummie dan adik-adik yang begitu banyak membantu dan menyokong abah. Abah beruntung ada keluarga yang memahami dan membantu abah.
Nasihat saya buat para PLHIV yang lain, cari sokongan yang anda boleh percayai. Contohnya komuniti HIV sendiri. Ataupun ahli-ahli keluarga dan kawan-kawan yang boleh dipercayai. Yakin pada diri untuk berkongsi segala kesusahan. Dalam memberi, kadangkala kita juga ingin menerima, bukan?
Tanggungjawab
Antara sebab-sebab lain abah cepat bangun ialah abah ada rasa tanggungjawab. Pernah kami berutus email, saya bertanya kepada abah tentang ceritanya dalam entry ini. Tentang dia marah dan kecewa bila mendapat tahu dirinya ada HIV.
Pengakuan abah bahawa dia pernah tertekan sampai ke tahap menyelerakkan barang di bilik abah sangat menyentuh hati saya. Saya sendiri pernah melakukannya akibat tertekan suatu ketika dulu. Cumanya bukan mak saya tolong kemas semula bilik tu, saya kena kemas sendiri. Hehehe…
Jiwa remajalah katakan. Ada juga sifat-sifat memberontak pada masa tu dan saya faham tekanan abah kerana saya sendiri pernah melakukan tindakan yang sama.
Abah mengaku kepada saya yang banyak lagi kekecewaan yang dirasai. Cuma bila memikirkan tanggungjawab sebagai suami dan ayah, abah tak fikir masalah sendiri dan terus melakukan perubahan dan bergerak maju terus ke hadapan.
Jadi, buat PLHIV dan diri saya sendiri, jika masih berterusan bersedih, fikirkanlah tanggungjawab kita sebagai anak. Sekurang-kurangnya bangun dan bangkit semula, jangan sedih-sedih. Apa yang telah terjadi telahpun terjadi. Jadi, kita bangun semula agar kita dapat membaiki diri sendiri untuk masa depan yang lebih baik. Insya-Allah!
Akhir Kata
Akhir kata, saya nak berterima kasih kepada abah. Bila jadi anak abah ni rasa diri ni ada tanggungjawab yang besar dan rasa bahagia bila ada tanggungjawab tersebut.
Selain itu, terima kasih atas segala nasihat abah kepada kakak dan terima kasih atas doa yang abah selalu ucapkan di sujud akhir abah buat kakak.
Terima kasih sebab buat entry khas untuk kakak dan adinda As. Saya dapat lihat entry tersebut menjadi antara entry popular.
Buat rakan-rakan PLHIV yang lain terima kasih kerana mengajar dan memberi AO satu pengalaman yang sangat baik. AO belajar erti insan dengan kawan-kawan di sini. AO belajar erti kasih sayang, erti ujian yang berbeza kepada setiap manusia, erti syukur dan sabar dan banyak lagi.
Berpeluang menyelami dan menumpang ketabahan Kak Seroja dan Alia Haryanie. Berkenalan dengan As yang sweet. Dapat baca ayat bunga-bunga daripada bro Fareez Fauzi. Melihat kesungguan bro LR. Dapat melihat Azam yang dulunya tak berapa positif sekarang ni sangat-sangat positif, melihat bagaimana ujian buat seorang isteri bernama Rasa Sayang dan juga tidak di lupakan Laila, Frz, Survivor, akulelakiitu, Naj Mi (yang blognya sangat best!) Aaaaa… blog warna-warni Insan Tabah. TERIMA KASEYYYYY! (ala-ala Alleycat)
AHP: Pergh…!! Panjang pulak entry anak dara sulung aku ni. Malu dan risau pulak bila dihargai berlebihan kerana aku memandang setiap pujian sebagai ujian. Apa-apa pun sebab anak sendiri yang puji, cair jugalah hati kita, tak gitu? Yang penting: ambil nilai positif bukannya mencari negatif.