sila share |
MENENTANG STIGMA, DISKRIMINASI DAN JUDGEMENTAL
Ringkas cerita:
Sue, (bukan nama sebenar) adalah seorang gadis sunti
berusia 14 tahun. Tinggal berhampiran salah sebuah ibu negeri di Pantai Timur.
Dilahirkan dalam keluarga yang bermasalah. Ayah Sue tidak mempunyai pekerjaan
tetap dan jarang berada di rumah. Ibunya pula bekerja sebagai seorang pengawal
keselamatan di sebuah pusat membeli-belah.
Sue agak tercicir dalam bidang pelajaran, tetapi susuk
tubuh Sue tampak lebih dewasa untuk remaja seusianya. Sue merupakan anak
tunggal kepada pasangan tersebut.
Pada suatu hari, ayah Sue telah ditangkap oleh pihak berkuasa
atas kesalahan terlibat dengan penagihan dadah dan akhirnya dihantar ke sebuah
CCRC untuk mendapatkan rawatan.
CCRC: Cure & Care
Rehabilition Centre ialah pusat rawatan dan pemulihan kepada klien yang ditahan
di bawah Seksyen 6(1)(a) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983
Tidak lama kemudian, ibu Sue memohon cerai daripada
suaminya. Kemudian berkahwin dan menjadi isteri ketiga kepada seorang penjual
karpet berbangsa Pakistan yang agak berusia tetapi masih tampan bergaya bernama
Pie. (Hehehe… Kebetulan namanya sama dengan nama aku)
Sue diserahkan kepada datuknya, seorang nelayan yang
mempunyai tanggungjawab besar kerana mempunyai ramai ahli keluarga yang perlu
ditanggung. Neneknya hanya suri rumah sepenuh masa. Ada dua orang bapa saudara
Sue yang sudah berkahwin masih tinggal bersama dan mereka juga tidak mempunyai sebarang
pekerjaan tetap.
Di CCRC, bapa Sue telah didiagnos sebagai seorang ODHA
dan bekas isterinya (ibu Sue) telah dinasihatkan menjalani ujian saringan HIV. Alhamdulillah,
ibu Sue disahkan negatif dan mendakwa telah bertahun-tahun tidak mendapat
nafkah batin daripada bekas suaminya ketika mereka masih hidup sebagai suami
isteri.
sila share |
Pasangan atau bekas pasangan kepada ODHA adalah
golongan yang paling terdedah kepada risiko jangkitan jika ODHA tersebut tidak menjalani kaunseling, rawatan, dan tidak tahu
bahawa mereka telah dijangkiti HIV sebelum ini.
Malangnya, tidak lama kemudian, Sue didapati mengalami
keguguran dan disahkan HIV positif selepas menjalani ujian HIV. Melalui kaunseling
dan siasatan, barulah diketahui bahawa Sue menjadi hamba seks ayahnya sendiri
sejak berusia 11 tahun.
Ianya berlaku ketika ibunya bekerja. Ayahnya telah
melayan Sue bagaikan seorang kekasih gelap. Bukan itu sahaja, dua orang
daripada bapa saudaranya turut didapati telah merogol Sue beberapa kali sejak
tinggal bersama datuknya.
Entah bagaimana, laporan polis yang sepatutnya
dilakukan dapat dielakkan oleh datuk Sue. Sue kekal dipelihara oleh datuknya
bersama ahli keluarga yang lain. Dua orang bapa saudara yang telah merogolnya
telah melarikan diri.
Pada peringkat permulaan, datuk Sue patuh membawa Sue menghadiri
kaunseling dan pemantauan kesihatan di hospital, tetapi lama kelamaan mereka mula
enggan.
Setelah disiasat, barulah diketahui bahawa datuk Sue
tidak mampu menyediakan peruntukan kewangan untuk berulang-alik ke hospital secara
berterusan dan pekerjaannya sebagai nelayan melibatkan masa yang tidak menentu.
Mereka lebih mempercayai rawatan cara kampung. Setiap
hari mereka menyediakan pelbagai ramuan herba untuk merawat Sue dan mendakwa ianya
terbukti ‘berkesan’. Maklumlah, Sue bersekolah, bergaul, dan menjalani
kehidupan seperti remaja biasa.
Sebenarnya, yang lebih membimbangkan mereka ialah jika
status kesihatan Sue sebagai ODHA diketahui oleh orang ramai. Ini akan mendatangkan
aib besar kepada mereka sekeluarga yang sedia susah dan miskin.
Bayangkan masa depan dan kesihatan Sue sanggup
dipertaruhkan demi menjaga aib keluarga sedangkan isu tersebut tidak sepatutnya
timbul. Segala maklumat patient
adalah sulit. Ianya dilindungi undang-undang. Jika kita sendiri tidak mengaku
bahawa kita seorang ODHA, tidak ada sesiapa yang boleh menyebarkannya, malah perbuatan
tersebut boleh didakwa.
Bagaimana agaknya dengan nasib Sue jika suatu hari
nanti jatuh sakit dan telah lewat untuk memulakan rawatan? Inilah antara
kisah-kisah sedih yang sentiasa berlaku dalam kehidupan harian kita, yang
mungkin tidak pernah kita ambil tahu. Umumnya kita hanya menganggap HIV adalah
isu orang-orang yang sengaja mencari risiko dan dosa.
Kita hukum ODHA seolah-olah hidup kita atau ahli
keluarga kita tidak akan diuji begitu kerana kita insan ‘baik-baik’. Kita tidak
pernah sedar bahawa ramai yang tidak bersalah. Ramai isteri dan bayi-bayi yang
tidak berdosa. Kita menghakimi orang-orang yang telah bertaubat daripada
kesalahan lampau.
Penolakan kita terhadap ODHA menyebabkan sebahagian daripada
mereka kekal dalam aktiviti berisiko kerana dipinggirkan dan dipandang sinis. Mereka
membentuk sokongan sesama kelompok mereka sendiri. Tidak hairanlah akhirnya
virus semakin menular dan sebahagiannya adalah hasil ‘sumbangan’ kita akibat
sikap negatif yang kita amalkan.
sila share |
Hampir 100 ribu orang disahkan
ODHA yang melibatkan SEMUA LAPISAN MASYARAKAT di Malaysia. Jika digandakan dua
kepada yang belum didiagnos, ianya mencecah 300 ribu. Jika kita ambil sejumlah
ahli keluarga dan insan-insan rapat dalam hidup ODHA (affected people) yang turut menerima tekanan, bayangkan sahaja
jumlah yang menerima kesan akibat salah faham ini. Adakah jumlah tersebut
sedikit atau terpencil?
Hina sangatkah ODHA? Mulia sangatkah kita? Adakah kita
pasti insan-insan yang kita minta tolong dan bergaul setiap hari itu sebenarnya
bukan seorang ODHA? Adakah mempunyai HIV dalam tubuh aku ini satu dosa dan aku melakukan
jenayah apabila hidup sebagai seorang HIV positif?
HIV hanyalah sekadar virus yang boleh dirawat. Tidak
membahayakan sesiapa, bahkan orang-orang yang hidup tanpa HIV lebih
membahayakan ODHA jika imuniti badan mereka rendah. Bergaul, berpelukan,
bersalaman, berkongsi makanan, dan sebagainya dengan ODHA bukanlah masalah.
Penyakit-penyakit yang tersebar melalui udara jauh lebih merbahaya berbanding
HIV.
Rawatannya juga sangat mudah. Rawatannya simple, kaunseling dan farmakologi.
Memang (setakat ini) belum ditemui penawar mutlak, tetapi ianya sama seperti
diabetes, darah tinggi, thalassemia, dan
lain-lain penyakit kronik. Masih boleh dirawat dan dikawal supaya ODHA mampu
hidup sihat seperti biasa. HIV tidak membunuh. Stigma, diskriminasi, dan judgemental
adalah pembunuh sebenar.
Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP
Facebook: Ahp Pie
Info Berkaitan:
Laman Web Rasmi PPWM:
No. Akaun PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive
Warriors Malaysia
Para pembaca boleh berkongsi pengalaman
melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga
dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk
menyertai, sila hubungi admins yang berikut: