Saturday, January 18, 2014

ENTRY WAJIB: HIV - PENTINGNYA STIGMA, DISKRIMINASI DAN JUDGEMENTAL DIHAPUSKAN




Berbanding sahabat-sahabat senior yang jauh berpengalaman dan berjasa kepada komuniti, aku baru sahaja 2 tahun 3 bulan didiagnos sebagai Orang Yang Hidup Dengan HIV (ODHA). Apa sangatlah yang telah aku lakukan untuk membantu komuniti.

Selepas 2 tahun juga, aku tidak nampak apa isunya yang menjadi halangan kepada seseorang ODHA untuk hidup sihat dan normal sebagai insan lain di bumi Allah ini. ODHA mampu melakukan apa sahaja dan tidak membahayakan sesiapa.

Isu sebenar yang ODHA hadapi ialah stigma, judgemental, diskriminasi dan sikap tidak profesional segelintir anggota masyarakat. Akibat perkara-perkara tersebut, maka berlakulah penganiayaan dan ramai pihak yang tidak bersalah menjadi mangsa termasuk di kalangan affected people.

Apakah bentuk penganiayaan tersebut? Antaranya, tekanan kepada ODHA untuk mendapatkan rawatan, dipulau, disisih, difitnah, rosaknya aqidah, hilang pekerjaan, masalah kewangan, kesukaran untuk berubah menjadi insan yang lebih baik, penularan virus yang semakin berleluasa, putusnya silaturrahim, gagal membina atau mempertahankan sesebuah perkahwinan, dan sebagainya.

Sikap cepat menghukum dan mengambil alih kerja Tuhan menjadi amalan biasa. Tidak ramai yang ambil peduli golongan ODHA kerana HIV sering dikaitkan dengan isu moral dan agama. Mereka gagal melihat musibah tersebut sebagai satu kaffarah atau tanda Allah kasihkan ODHA. Hak ODHA mendapat bantuan, sokongan, dan rawatan sama seperti insan lain telah diabaikan.

Mereka lupa bahawa begitu ramai yang menjadi mangsa sebenar HIV adalah para pasangan dan anak-anak kepada ODHA yang tidak mengerti apa-apa. Mereka pejam mata terhadap hakikat bahawa betapa ramai affected people turut menderita akibat sikap negatif tersebut.

Jadi, siapa yang sebenarnya diuji? Siapa yang sebenarnya sakit? Bukankah bersikap menghukum, menabur fitnah, mengaibkan, menganiaya dan menyebarkan salah faham juga adalah salah satu dosa besar? Cuba fikirkan secara rasional.

Itulah isu yang aku perjuangkan selama ini kerana itulah masalah sebenar yang ODHA hadapi. Miskin minda, penyakit emosi, dan rohani adalah punca penularan HIV. Di sebalik HIV, megah berdiri ujian yang jauh lebih besar yang dinamakan ujian iman. Angkuh dan takabbur lebih bahaya daripada HIV.

Dua tahun lebih aku hidup sebagai ODHA, akhirnya sudah tidak tertanggung lagi menahan kesakitan akibat semua sikap negatif yang aku sebutkan tadi. Aku mengambil risiko yang sangat besar terhadap diri sendiri dan keluarga apabila mula tampil secara terbuka sebagai ODHA ke dalam masyarakat.

Mungkin mudah untuk orang berkata, ramai ODHA yang telah tampil secara terbuka, jauh lebih lama sebelum ini. Baiklah, tolong senaraikan satu persatu yang sanggup heret anak isteri sepertiku untuk sama-sama berjuang dalam komuniti secara terbuka.  Silakan.

Harus diingat, aku bukannya volunteer sepenuh masa terhadap apa-apa NGO, pertubuhan atau Majlis dan mendapat imbuhan kewangan untuk terlibat dengan isu ini. Bukan setakat tiada imbuhan kewangan, habis segala punca kewangan adalah biasa. Aku dan isteri-isteriku ada karier dalam bidang masing-masing. Pendapatan kami sekeluarga tidak dibayar oleh NGO. Risiko kami menerima tekanan majikan dan akhirnya melibatkan kesan ekonomi keluarga terutama kepada anak-anak sangat tinggi.

So, kenapa aku mengambil risiko tersebut? Kerana aku yakin bahawa cara yang paling berkesan menentang salah faham tersebut adalah dengan cara ODHA sendiri mesti bangkit untuk menentang ketidakadilan secara terbuka. ODHA sendiri mesti buktikan sesuatu. Cukuplah, aku tidak mampu melihat sakitnya ODHA menanggung pelbagai tekanan yang tidak perlu.

Aku bukan bermaksud untuk mendabik dada dan mahu menjadi hero. Aku sekadar mahu membuktikan bahawa tiada hinanya hidup sebagai ODHA kepada masyarakat melalui sisa-sisa kekuatan yang Allah pinjamkan. Aku redha jika menjadi mangsa diskriminasi. Aku tidak mencari redha manusia. Aku mencari redha Allah. Majikan sebenar aku adalah Allah yang Maha Kuasa.

Dua tahun lebih aku hidup sebagai ODHA, dua tahun lebih juga sepanjang hari (kecuali waktu tidur yang terhad) aku cuba membantu komuniti di seluruh negara mengikut keupayaanku. Semakin hari semakin bertambah.

Pie, apa yang telah engkau bantu? Tidak perlulah aku menceritakan bahawa aku telah begitu begini, buat itu buat ini. Aku tidak berminat. Bagi aku yang penting adalah keikhlasan dan kesungguhan.

Usah ditanya susah-payah dan sakit pedihnya aku berdepan pelbagai tekanan luar dan dalam semasa membantu komuniti. Jika aku karangkan sebuah novel koleksi cerita sedih nasib ODHA, rasanya sudah berpuluh-puluh siri. 

Malah aku sudah tidak sempat hendak memikirkan yang aku sendiri pun ada berbagai masalah peribadi dalam kehidupan harian. Sudah kering air mata dan sudah lali dengan segala-galanya.

Mungkin ada ketikanya aku kelihatan sedih pada hari semalam, tetapi jika ditanya pada hari ini tentang kesedihanku semalam, mungkin aku sudah tidak mampu mengingatinya kerana hari ini aku berdepan kembali dengan pelbagai lagi tekanan dengan kisah-kisah sedih komuniti. Mereka perlu disokong dan dibantu.

Mungkin ramai yang menganggap bahawa perananku membantu komuniti hanya secara maya. Sekadar di blog, Facebook dan internet. Mereka yang beranggapan begitu mungkin tidak mengenaliku secara rapat. Tanggungjawab terhadap komuniti selain daripada medium tersebut jauh lebih besar.

Ada juga yang berkata, utamakan diri dan keluarga terlebih dahulu. Betul, tetapi jika para sahabat Rasulullah S.A.W sekadar mementingkan kepentingan peribadi, dan bukan terdiri daripada golongan yang berjiwa besar, Islam tidak akan tersebar ke seluruh dunia. Islam adalah rahmat kepada seluruh alam. Kenapa kita sempitkan tafsiran?

Bersama ODHA adalah keutamaan diriku. ODHA adalah keluarga besarku sekalipun bukan dalam semua perkara aku bersetuju dengan cara hidup mereka. Aku tidak meminta balasan apa-apa kecuali mencari keredhaan Allah. Jika kau sakiti mereka bermakna kau sakiti aku.

Jika sekadar untuk kepentingan diri, aku tidak perlu bertindak begini. Aku telah mencapai segala-galanya dalam kehidupanku yang serba sederhana sebagai insan biasa. Tidak perlu bersusah-payah memikirkan masalah orang lain. Tetapi adakah fitrah kelahiran kita (sebagai khalifah di bumi Allah)  ini sekadar untuk dilahirkan begitu? Sekadar berseronok-seronok melayan nafsu?

Jadi, maaflah teman, jika segala caci-maki dan prasangkamu tidakku layan. Cakap dan tuduhlah apa sahaja yang kau mahu. Fikirlah apa yang mahu kau fikir mengikut andaian dan kefahamanmu. Aku tiada masa melayannya kerana banyak perkara yang lebih penting yang perlu diuruskan.

Jangan diandaikan bahawa rutin harianku sama seperti insan lain. Aku telah menerima hakikat tersebut semenjak aku infakkan diri untuk membantu komuniti. Terpulang kepada penilaian masing-masing.

Walau bagaimanapun, sudah tentu kemampuan makhluk ada batasnya. Aku tidak pernah terfikir untuk selama-lamanya berada di sini. Diriku yang sebenar adalah seorang lelaki tua yang dahagakan ketenangan dan kedamaian. Sangat mengelakkan kontroversi dan konfrontasi.

Aku sasarkan dalam tempoh 2 tahun ini akan lebih ramai ODHA muda yang berani tampil secara terbuka menjalankan amanah fardhu kifayah ini melalui Pertubuhan Positive Warriors Malaysia yang aku pimpin. Insya-Allah selepas itu aku akan mengundur diri. Lebih selesa berperanan di blog kerana keupayaan diriku yang terhad.

Akhir kata, salam perjuangan kepada semua sahabat ODHA. Kita mesti buktikan dan harus diingat bahawa:

”You never know how strong you are until being strong is the ONLY choice you have.”

Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP



Info Berkaitan:

Laman Web Rasmi PPWM:

NO AKAUN PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Abd. Shukor Mohd Yunus: shux@positivewarriors.org
Hishamudin Rahman: carphatz_04@yahoo.com
Arm Ly: psychonutsbeast@gmail.com