Tuesday, January 21, 2014

KISAH BENAR SEORANG GADIS DIJANGKITI HIV




Kisah ini telah lama kusimpan. Memang aku berhajat untuk kongsikan bersama para pembaca sebagai renungan, tetapi sering tertangguh. Diharapkan kisah ini dapat membuka mata sebahagian anggota masyarakat untuk menentang stigma, diskriminasi, dan judgemental terhadap Orang Yang Hidup Dengan HIV (ODHA). Kami bukanlah seburuk dan sebahaya yang disangka.

Jika ada yang berasa malang dan teraniaya dengan ujian tertentu dalam hidup, ingatlah bahawa Allah tidak uji hamba-hambaNya melainkan dengan ujian yang memang mampu ditangani. Setiap ujian penuh dengan hikmah.

Bukannya kita sahaja yang berdepan dengan ujian-ujian tertentu dalam kehidupan dan seolah-olah orang lain tidak pernah diuji. Pokok pangkalnya terpulang kepada kita melihat ujian yang kita hadapi. Kisah ini cuma satu daripada ribuan kisah sedih yang aku simpan, malahan banyak lagi yang lebih menyedihkan.

Nina (bukan nama sebenar), adalah seorang remaja yang baru sahaja berusia 18 tahun. Anak sulung kepada sebuah keluarga berpendapatan sederhana yang tinggal di Selatan Semenanjung. Sementara menunggu keputusan SPM, Nina belajar berdikari dengan bekerja di sebuah kilang berdekatan rumah keluarganya.

Sama seperti kebanyakan remaja seusianya, Nina tidak dapat membuat keputusan dengan bijak semasa memilih kawan. Dalam diam, Nina mula bercinta dengan seorang lelaki yang disukainya, tetapi batas percintaan mereka masih terkawal.

Pada masa yang sama, salah seorang kawan lelaki di tempatnya bekerja menaruh hati pada Nina. Luahan cinta lelaki tersebut Nina tolak dengan baik. Setelah berkali-kali memujuk dan mungkin akibat rasa tercabar, lelaki tersebut mengugut Nina dengan mengatakan bahawa jika dia tidak dapat memiliki Nina, jangan harap ada lelaki lain yang dapat mengambil tempatnya.

Begitulah sikap manusia apabila dirinya miskin jiwa dan iman. Lebih malang apabila ianya adalah lelaki yang sepatutnya bersikap sebagai pelindung.


sila share


Nina menganggap ugutan tersebut tidak lebih daripada sekadar ugutan kosong dan terus berkawan seperti biasa sama seperti rakan setugas yang lain. Apabila tiba waktu rehat bekerja, mereka makan bersama-sama, berbual bertukar-tukar cerita dan sebagainya. Pada hujung minggu, mereka keluar beramai-ramai sesama mereka, lazim seperti remaja tipikal zaman sekarang. Nina tidak sedar bahaya yang sedang menunggu.

Pada suatu hari ketika pulang dari kerja, lelaki yang pernah mengugutnya mempelawa Nina untuk singgah makan di sebuah gerai. Sebagai seorang remaja daif yang baru berusia 18 tahun dan kerana memang lapar, Nina menurut sahaja pelawaan. Anehnya, 'secara tiba-tiba' kawan lelakinya menukar fikiran apabila sekadar mahu membungkus makanan untuk dibawa pulang. Alasannya, kerana mahu cepat balik dan kepenatan. Nina akur dengan tindakannya.

Sampai di rumah sewa lelaki tersebut, Nina dipujuk untuk makan bersama-sama sebelum pulang. Malangnya, bermula detik itulah terjadinya peristiwa yang mengubah keseluruhan perjalanan hidup Nina.

Sebaik sahaja habis meneguk air minuman yang diberikan, pandangan mata Nina mulai kabur dan seterusnya tidak sedar apa yang berlaku. Keesokan paginya barulah Nina sedar bahawa dirinya telah ternoda.


Hati Nina sakit bukan kepalang, tetapi kerana merasakan dirinya hina akibat perbuatan lelaki tersebut dan bimbang aibnya diketahui keluarga, Nina memintanya supaya bertanggungjawab. Itu sahaja jalan penyelesaian yang Nina nampak ketika itu dan memang itulah rancangan sebenar lelaki tersebut.

Teman lelaki yang dicintainya sebelum ini pula terpaksa dilupakan. Nina perlu meneruskan kehidupan seperti biasa menunggu kesesuaian masa untuk berkahwin.

Dalam tempoh menunggu tersebutlah, Nina terpaksa melayan kehendak lelaki durjana yang telah merosakkannya setiap kali diperlukan. Nina bimbang dirinya ditinggalkan walaupun penyerahannya bukanlah dengan rela. Malah Nina merasakan dirinya sentiasa diperkosa setiap kali perkara tersebut berlaku.

Dalam masa yang sama, barulah Nina tahu bahawa lelaki yang merosakkannya merupakan seorang penagih dadah tegar. Jenuh Nina menasihatkannya supaya meninggalkan dunia penagihan kerana mereka bakal berkahwin tetapi, faham-faham sahajalah apabila individu terbabit hidup dalam penagihan. Bahkan daripada ditinggalkan, Nina kadangkala memberikan duitnya kepada lelaki tersebut untuk membeli dadah dan sering melihat beliau menyalahgunakan dadah tanpa segan silu di hadapannya.

Untuk menyegerakan urusan perkahwinan, Nina terpaksa berterus-terang kepada keluarga bahawa dirinya telah dinoda. Sedihnya hati ibu dan ayah tidak terkira. Tetapi apa lagi yang mampu dilakukan kerana yang terjadi tetap terjadi? Sehingga sekarang, Nina sangat trauma mengenang kembali betapa sedihnya ayah dan ibunya melihat kesilapan yang telah dilakukannya.

Akhirnya mereka bertunang atas persetujuan kedua-dua belah pihak keluarga. Tetapi, ujian berganda apabila tunangnya jatuh sakit dan dirawat di hospital ketika tarikh perkahwinan semakin hampir. Ketika dirawat, baru diketahui bahawa lelaki yang merosakkannya adalah seorang HIV positif dan turut menghidap Hepatitis-C di samping penyakit-penyakit kronik lain.

Atas nama peri kemanusiaan, Nina tetap menjaga lelaki tersebut yang terlantar di hospital walaupun lelaki tersebutlah penyebab ujian hidupnya bertimpa-timpa. Nina redha demi menjaga aib diri dan keluarga.




Sesungguhnya Allah Maha Perencana segala kejadian. Tidak lama kemudian, lelaki itu telah meninggal dunia. Gelap-gelita terasa hidup Nina kerana terkilan tidak sempat bergelar seorang isteri yang sekurang-kurangnya dapat menutup aib. Dirinya hanya seorang perempuan. Apalah yang dapat dijawabnya nanti kepada bakal suaminya apabila mengetahui bahawa dirinya telah ternoda.

Selama 3 tahun Nina masih disahkan bebas HIV walaupun telah beberapa kali menjalani Rapid Test semasa lelaki itu baru didiagnosMalahan Nina sempat menyambung pembelajarannya sehingga menjawat jawatan tertentu di sebuah Kementerian. Alhamdulillah, bekas teman lelaki pertamanya masih sudi menerima apabila Nina berterus-terang bahawa dirinya telah teraniaya. Mereka akhirnya bertunang dan harapan hidup bahagia kembali berbunga.

Sekali lagi Nina diuji apabila ujian saringan pra perkahwinan mengesahkan dirinya adalah seorang HIV positif dan turut menghidap Hepatitis C. Kali ini, tunang Nina tidak dapat lagi menerima Nina kerana status tersebut sangat mengerikan baginya. Tambahan lagi apabila tanpa pengetahuan asas mengenai HIV, masyarakat secara umumnya menyangka Orang Yang Hidup Dengan HIV menjangkitkan virus kepada mereka dan tidak boleh melahirkan zuriat bebas HIV sama seperti 30 tahun yang lalu.

Kali ini, Nina tidak sanggup lagi memaklumkan berita sedih bahawa dirinya seorang ODHA kepada keluarga kerana tidak tergamak melihat ibu dan bapanya sedih buat kali kedua. Segala-galanya kekal menjadi rahsia peribadi. 

Malangnya, itulah juga yang sentiasa menjerat diri Nina. Apabila dihampiri mana-mana lelaki yang gagal mendapat kepercayaan Nina untuk menjadi suami, status kesihatannya sebagai ODHA dijadikan senjata paling bisa. Menyembunyikan status dianggap tidak beretika tetapi apabila memaklumkan status, sama ada ditolak atau dijadikan bahan ugutan. 

Kini, dalam usia mencecah hampir 30 tahun, Nina keseorangan menerima ketentuan hidupnya dan tercari-cari kekuatan. Fitrah sebagai seorang wanita yang inginkan kehidupan berkeluarga dan memiliki zuriat sendiri terasa sangat sulit tanpa insan yang benar-benar mengerti derita yang Nina tanggung. Sejarah tidak lagi mampu diubah walaupun Nina sendiri sangat benci apabila mengenangkan kesilapan lampaunya.

Bayangkan jika ahli keluarga kita sendiri berada dalam situasi Nina. Apakah agaknya yang kita rasa apabila ahli keluarga kita diperlakukan begitu? Bagaimanakah perasaan pembaca jika berada di tempat Nina, yang mengetahui dirinya insan yang berdosa dan hina akibat teraniaya serta melakukan khilaf pada usia remajanya yang terlalu naif? Bukankah stigma, diskriminasi, dan judgemental itulah pembunuh sebenar terhadap ODHA seperti aku?

(Mak aih, apabila aku baca semula teknik penulisanku, terasa klasik sungguh. Seklasik diri sendiri… Uwaaa!!! Confirmed aku dah tua sangat)


Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP
Facebook: Ahp Pie


Info Berkaitan:

Laman Web Rasmi PPWM:

No. Akaun PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Abd. Shukor Mohd Yunus: shux@positivewarriors.org
Hishamudin Rahman: carphatz_04@yahoo.com