Wednesday, August 14, 2013

HIV: PERLUNYA IBU BAPA MEMAINKAN PERANAN MASING-MASING SEPERTI YANG TELAH DIATURKAN ALLAH




Bersama Ustaz Muhamad bin Abdullah
Pengasas Yayasan Al-Ijabah dan Darul Ukhwah


Aku cuba santaikan perkongsian ini untuk mudah difahami. Jika disampaikan dengan cara yang terlalu akademik, mungkin ianya tidak mencapai objektif.

Umum mengetahui bahawa generasi yang ada sekarang adalah Generasi-X dan Generasi-Y. Generasi-X lahir dari 1960an hingga 1980an. Generasi-Y lahir dari 1980an hingga akhir 1990an.

Generasi-X berperanan besar membentuk keperibadian Generasi-Y. Ada sebahagian yang berpendapat bahawa Generasi-Y adalah lemah modal insannya berbanding generasi-generasi sebelumnya. Idea dan cara mereka juga jauh lebih berbeza dengan Generasi-X dan mereka lembik apabila berdepan dengan pelbagai tekanan mental dan emosi. Benarkah begitu?

Beberapa ciri asas Generasi-Y

Berikut beberapa ciri asas Generasi-Y. Mereka dilahirkan oleh ibu bapa yang mempunyai karier dalam pelbagai bidang, kurang berdikari, mudah mendapat akses pelbagai maklumat dari seluruh dunia, pengguna kepada kebanyakan aplikasi dan teknologi komunikasi terkini dan kurang bersosial secara realiti. Mereka dilahirkan dalam era yang selesa dan maju.

Secara ringkasnya, mereka adalah generasi millenia (Generasi Trofi). Para ilmuan akademik, kaunselor, dan pendidik tentu faham beberapa istilah yang sinonim dengan Generasi-Y seperti tech-savvy, family-centric, achievement-oriented, team-oriented dan attention-craving. Kalau tidak faham, sila search, bersepah maklumat berkaitan.

Anak-anak Generasi-Y pula (Generasi-Z) yang baru berusia 3 – 4 tahun tetapi ketagih bermain iPad, pandai dan mendapat sokongan ibu bapa menari K-Pop dengan baik bukanlah perkara aneh sekarang.

Air tangan masakan ibu menjadi terlalu mahal dan masakan segera menjadi kebiasaan. Entah apa-apa nama minuman berkarbonat dan makanan segera mendapat sambutan yang hebat di pasaran sehinggakan burger tinggi sekaki pun habis ditelan tidak bersisa. Obesiti perkara biasa.

Dalam beberapa keadaan, aku bersimpati dengan Generasi-Y kerana mereka mungkin adalah mangsa kesibukan Generasi-X untuk memenuhi tuntutan hidup dan memenuhi definisi kebahagiaan yang mereka fikirkan, sama ada kepada Generasi-X sendiri atau kepada Generasi-Y.

Sebahagian Generasi-X telah terlupa arah sebenar pembentukan sahsiah keluarga demi memenuhi tuntutan tersebut dan dalam masa yang sama turut berdepan tempias cabaran dan nikmat kemajuan dunia yang dinikmati oleh sebahagian besar Generasi-Y.

Kenapa?

Ibu dan bapa Generasi-X majoritinya terpaksa bekerja untuk memenuhi tuntutan hidup yang semakin tinggi. Tugas menyara keluarga kini dikongsi bersama oleh ibu dan bapa. Kebanyakan masa Generasi-Y membesar adalah bersama pembantu rumah, pengasuh, nursery, sekolah dan institusi pengajian. Selepas menamatkan pengajian, mereka sibuk pula dalam bidang kerjaya.

Peranan dominan bapa sebagai ketua keluarga semakin terhakis. Jika sekali pun kekal, ianya lebih dipengaruhi mengikut perspektif pemikiran liberal. Panduan syarak diamalkan secara rawak atau diserahkan kepada pihak ketiga. Masa berkualiti bersama seisi keluarga sangat terhad.

Apabila pulang dan kepenatan selepas seharian bertugas mencari rezeki, ibu bapa (Generasi-X) mencurahkan perhatian dan kasih sayang memanjakan anak-anak dengan membawa mereka menjamu selera, membeli-belah, bersantai di depan televisyen, atau membiarkan Generasi-Y leka bersama pelbagai gajet komunikasi terkini. Sesekali mereka akan bercuti atau berlibur. Sesetengah ibu bapa pula terpaksa melakukan part-time job demi meningkatkan pendapatan.

Anak-anak mereka ‘jangan disentuh’. Generasi-X memang ‘kurang masa’ (u.p: masa kita yang aturkan, bukan masa yang aturkan kita) untuk beriadah, menziarahi sanak-saudara, dan sebagainya. Bahkan ramai yang ibu bapa langsung tidak perasan beberapa perubahan gaya kehidupan dan pemikiran anak-anak mereka menjalani proses kedewasaan. Mereka lebih peka dengan perkara luaran atau keperluan material. Segala-galanya cuba disediakan dengan sebaik mungkin tetapi keperluan akal, jasmani, rohani, akhlak, dan sosial hakiki Generasi-Y sering terabai.


Aku bersama hero-heroku


Perbezaan peranan ibu dan bapa yang semakin terhakis

Timbul kecenderungan bahawa bapa bukan lagi penentu atau pemimpin sebenar keluarga. Kesamarataan dan hak bersuara mengikut acuan Barat menjadi lazim. Lelaki semakin hilang ciri-ciri kepimpinan akibat budaya pemikiran liberal. Tambahan lagi jika isteri lebih besar jawatan dan pendapatannya.

Contoh, bapa hanya bertugas sebagai seorang kerani tetapi ibu adalah seorang doktor. Sekalipun si ibu menghormati si suami, tetapi sedikit sebanyak Generasi-Y akan merasai perbezaan pendekatan dan level pemikiran yang ketara.

Sering juga terjadi si bapa mengabaikan peranan sebagai pemimpin dan menyerahkan tanggungjawab menguruskan keluarga kepada si ibu. Terdapat bapa di kalangan Generasi-X yang tersasar dan terlibat dengan pelbagai gejala sosial. Akhirnya bapa hanya menjadi liabiliti kepada sesebuah keluarga. Menjadi imam atau pemimpin kepada keluarga jauh sekali.

Sudah tentu situasi tersebut menimbulkan konflik dan protes dalam diri Generasi-Y. Akhirnya mereka lebih selesa berkomunikasi dengan ibu mereka dan ibu perlahan-lahan menjadi idola mutlak.

Bayangkan jika si ibu turut gagal meneutralkan keadaan dan adik-beradik perempuan kepada anak lelaki keluarga tersebut pula sentiasa mengelilingi serta melindungi anak lelaki dalam keluarga yang berdepan isu berkenaan. Kesudahannya mereka tidak berapa jelas siapa yang sepatutnya memimpin, menyara dan menguruskan rumahtangga. Anak-anak lelaki dan perempuan sama sahaja layanan dan tugasannya di rumah.

Terdapat juga anak-anak perempuan hilang keyakinan dengan kepimpinan yang ditunjukkan oleh bapa mereka. Mereka lebih selesa berkongsi rasa dan masalah bersama kawan-kawan perempuan yang bersifat dominan dan dapat melindungi mereka. Mereka rasa lebih difahami dan selamat.

Dalam masa yang sama, mereka muda, naif, bertenaga, ingin mencuba, kurang perhatian, kasih sayang, bimbingan, tiada mentor, dan sebagainya. Sikap melodrama dan menagih perhatian melalui pelbagai penyalahgunaan aplikasi teknologi maklumat menjadi budaya hidup. Bayangkan!

Trigger dan escapism sangat berkait rapat dengan punca permasalahan sosial sekalipun anak-anak tersebut mendapat pendidikan yang baik melalui institusi agama. Itu belum termasuk kemungkinan bahawa mereka mudah terdedah menjadi mangsa manipulasi rakan sebaya atau golongan dewasa yang sepatutnya menyokong secara positif. Harapan ibu bapa untuk mencapai kejayaan dalam bidang akademik dan karier yang terlampau tinggi juga merupakan satu tekanan besar.

Boleh faham apa yang aku cuba sampaikan?

Co-factor inilah yang menjadi sebahagian kepada punca permasalahan sosial yang kita hadapi sekarang. Jangan terkejut jika anak-anak kita melakukan silent protest dan tersilap mencari idola sehingga isu heteroseksual, homoseksual, biseksual, penyalahgunaan dadah, dan gejala sosial yang lain berleluasa termasuklah isu HIV. Belum termasuk budaya hedonisme yang merosakkan akidah yang semakin menular. Malangnya majoriti anggota masyarakat pula hanya tahu menghukum.




Persoalannya, adakah ini salah Generasi-Y?

Disebabkan ini bukanlah sebuah penulisan akademik atau jurnal, aku serahkan kepada pembaca untuk memikirkannya. Sebagai kesimpulan, aku petik beberapa dalil daripada al-Qur’an untuk muhasabah bersama.

“Ya Tuhan kami, anugerahkan kepada kami pasangan dan zuriat yang menjadi penyejuk mata kami dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang yang bertakwa.” (al-Furqan: 74)

“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri-diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka.” (at-Tahrim: 6)

“Sesungguhnya harta-harta kamu dan anak-anak kamu adalah ujian.” (al-Anfal: 28)

(Ujian yang dimaksudkan ialah ibu bapa hendaklah menunaikan tanggungjawab dan amanah yang digariskan oleh Islam kepada anak-anak mereka. Tolonglah jangan bayangkan bahawa perkahwinan hanyalah sekadar seperti dalam drama-drama, filem-filem, dan novel-novel cinta melankolik semata-mata.)

Ibu bapa mestilah memahami kepentingan tiga perkara asas sesebuah institusi kekeluargaan iaitu: penyambung zuriat, anak soleh, dan generasi ummatan wasatan. Kesemuanya berpaksikan sebagai satu ibadah kepada Allah.

Ianya satu tugas dan amanah yang akujanjinya dilafazkan kepada Allah semasa ijab dan qabul. Ianya satu amanah besar yang wajib ditunaikan dan tidak boleh dipertanggungjawabkan kepada pihak lain.

Akhir kata, sayangilah diri sendiri dan keluarga masing-masing. Kasihanilah Generasi-Y. Apa juga perbuatan yang kita lakukan di dunia ini akan dihisab di akhirat kelak.


Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP


Info Berkaitan:

Laman Web Rasmi PPWM: http://www.positivewarriors.org/

NO AKAUN PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Camelia Sulaiman: camelia_sulaiman@yahoo.com
Luka Rafieqa: rafieqakl@hotmail.com

NGO Sokongan:

Pertubuhan Amal Firdausi Kuala Lumpur (PAFI)
Sila hubungi:
Laman Web: http://www.amalfirdausi.org
E-Mel: amalfirdausi@gmail.com
Talian Marhabah: 018-207-0953 (Encik Hamli) @ 017-311-0306 (Encik Raffie)
Telefon / Faks: 03-9174-0934
FB PAFI: http://www.facebook.com/amalfirdausi (open group)
Twitter: twitter.com/amalfirdausi

Sokongan khusus kepada komuniti wanita: PEWAHIM
Untuk menyertai FB PEWAHIM (secret group) sila hubungi:
E-Mel: pewahim@gmail.com
Telefon: 019-259-5864 (Norlela) Pengasas
No akaun PEWAHIM: 562740121438 (Maybank)