Oleh Sarah Zulkifli, Nor Azura Abdul Jalil dan Izlaily Nurul Ain Hussein
Kuala Lumpur: “Dulu apabila doktor sahkan saya
dijangkiti virus HIV, saya rasa macam terkena sumpahan dan menjangka dua isteri
akan meminta cerai serta hidup saya akan berakhir.
“Tapi, alhamdulillah semua itu tidak berlaku kerana
kedua-dua isteri saya tetap bersama saya dan hingga kini kami hidup bahagia
bersama anak,” kata penghidap virus HIV, Mohamad Wahid, 46. Dia yang lebih
mesra dengan nama Pie dalam kalangan rakan berkata, sudah tiba masanya
masyarakat lebih memahami keadaan sebenar individu dijangkiti HIV atau dalam
istilah perubatan disebut ‘People Living With HIV’ (PLHIV).
Menurutnya, pemahaman itu penting bagi mengelakkan PLHIV terus menerima layanan tidak adil hingga menyebabkan mereka tertekan dan sukar meneruskan kehidupan.
“Masalah utama individu dijangkiti HIV seperti saya
ialah stigma dan salah tanggapan masyarakat hingga menyebabkan kami dipulau,
disisih dan difitnah.
“Hakikatnya, dengan kaedah perubatan terkini kami sebenarnya boleh hidup berkeluarga seperti insan normal,”katanya yang sudah lebih dua tahun dijangkiti HIV akibat proses pemindahan darah. Pie berkata, amat menyedihkan apabila ada PLHIV hilang pekerjaan, putus hubungan dengan rakan dan keluarga, tidak dibenarkan berkahwin serta gagal mempertahankan perkahwinan hanya disebabkan salah faham masyarakat.
“Perkara itu tidak sepatutnya berlaku dan saya kini aktif membantu insan senasib dengan saya,” katanya yang aktif menulis dalam blog http://akuhivpositif.blogspot.com selain melakukan aktiviti sukarela melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Positive Warrior.
Mengimbas kisah lampaunya ketika peringkat awal
disahkan doktor dijangkiti HIV, Pie mengakui ketika itu dia menjadi seperti
‘separuh gila’ dan pernah terfikir membunuh diri.
Katanya, dia mengambil masa lama memaklumkan perkara itu kepada isterinya, Mariani Sulaiman, 46, dan Hashimawati Hashim, 36, kerana takut mereka tidak dapat menerima berita buruk menimpa dirinya. “Ketika itu saya beranggapan orang sekeliling pasti menjauhkan diri daripada saya dan saya percaya mereka akan meminta menceraikan mereka. “Nak batuk, bersin, kongsi makanan dengan mereka (isteri dan anak) pun saya takut, saya mahu menjauhkan diri daripada mereka sebenarnya,” katanya.
Berikutan itu, kata Pie, dia mengambil masa lama
memaklumkan perkara itu kepada kedua-dua isterinya.
“Selepas beberapa lama, barulah saya mendapat kekuatan berterus-terang dengan mereka. Pada mulanya mereka terkejut, namun mereka pasrah dan menerima perkara itu sebagai takdir. “Untuk tidak menzalimi mereka, saya memberi mereka pilihan sama ada meneruskan perkahwinan atau meninggalkan saya kerana tidak mahu mereka terseksa hidup dengan penghidap HIV seperti saya. “Saya bersyukur kerana mereka masih lagi ingin bersama saya dan sangat positif menerima berita itu,” katanya sambil menegaskan sokongan keluargalah membuatkan dia mampu meneruskan kehidupan seperti biasa.
Pie berkata, selepas mengambil ubat secara konsisten dan mengikut segala nasihat doktor, dia lega kerana dia tidak ‘mewariskan’ virus HIV kepada kedua-dua isterinya.
Malah, hasil pengambilan ubat dan pemantauan berterusan doktor, dia tidak berdepan masalah melakukan hubungan kelamin dengan kedua-dua isterinya.
“Bukan setakat itu, doktor juga mengesahkan PLHIV sebenarnya boleh mendapat zuriat yang bebas daripada HIV atau penyakit AIDS,” katanya.
Sama seperti isteri Pie, dua anak lelakinya yang berusia 17 dan 21 tahun turut menerima keadaan dirinya dengan hati terbuka. “Kami sekeluarga mengambil keputusan menghadapi situasi itu seperti biasa. Saling menyokong dan menjaga rahsia itu selama-lamanya,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/26
Sumber:
Begitulah berita tentang kehidupan aku sebagai Orang
yang Hidup Dengan HIV (ODHA) yang dipaparkan dalam Harian Metro pada 26 Ogos
2013 (Isnin).
Sebenarnya ini bukanlah kali pertama gambar dan
wajahku dipaparkan di media tetapi bezanya kali ini ianya di muka hadapan dan
melibatkan gambar isteri-isteriku. Temubual bersama wartawan diadakan pada 12
Ogos 2013 (Isnin) yang lalu di rumah kami.
Ianya ekoran bantahan rasmi yang Pertubuhan Positive
Warriors Malaysia (PPWM) kemukakan berkaitan salah faham info berkenaan dengan
isu HIV dalam akhbar yang sama sebelumnya. Syukur Alhamdulillah pihak Harian
Metro mengambil tanggungjawab untuk memperbetulkan persepsi tersebut.
Walaupun terdapat beberapa perkara yang agak tidak
menepati berbanding yang aku nyatakan semasa temubual, tetapi secara keseluruhan artikel kali ini adalah memuaskan dan
error boleh difahami. Tahniah kepada
pihak Harian Metro.
Antara maklumat yang tidak berapa tepat tersebut
ialah, aku dikatakan mengambil masa yang lama untuk berterus-terang kepada
keluarga, sedangkan sebaik sahaja didiagnos sebagai ODHA, aku terus sahaja
memaklumkan statusku kepada kedua-dua isteriku.
Selain itu, aku telah meminta jasa baik wartawan supaya
tidak memaklumkan punca jangkitan untuk mengelakkan bertambahnya stigma dan
diskriminasi yang tidak diperlukan serta mungkin boleh menimbulkan perbahasan
dari sudut perundangan tetapi punca jangkitanku yang sepatutnya off record tetap disiarkan. Walau bagaimanapun,
objektif yang ingin disampaikan sangat jelas. Itu yang lebih penting.
Harian Metro di rumah semasa temubual
Sebaik sahaja berita tentangku dikeluarkan di media,
banyak respon pro dan kontra yang aku dan keluarga terima. Malahan terasa
kelakar apabila isu poligami yang lebih diperdebatkan oleh pembaca di
laman-laman sosial. Kepada yang mengutuk, Alhamdulillah dan terima kasih. Tidak
mengapalah, sekurang-kurangnya mungkin boleh juga membantu stigma masyarakat
terhadap poligami yang diharuskan oleh syarak.
Itulah buktinya betapa kadang-kadang kita sibuk
menuding jari kononnya akhbar mengutamakan berita-berita sensasi berbanding
fakta, sedangkan kitalah peneraju sebenar berita sensasi dan sarcasm.
Kutukan dan celaan tidak perlu dihiraukan. Langsung
tidak menjadi kudis. Jika takut dengan hinaan, kami sekeluarga tidak akan
mendedahkan diri kepada media. Aku lakukan demi mencari keredhaan Allah dan
demi perjuangan. Hidup bukan kerana pujian, lemah semangat bukan kerana
cercaan, sindiran dan sikap sinis.
Ramai juga yang menganggap bahawa aku (kami sekeluarga)
sengaja mencari publisiti murahan. Kenapa perlu didedahkan aib diri? Persoalannya,
hinakah aku apabila secara terbuka mengakui hidup sebagai ODHA?
Risiko yang kami sekeluarga ambil sebenarnya bukan
kecil. Tambahan aku bukanlah seorang yang hidup semata-mata sebagai volunteer, supporter dan menguruskan NGO
sepenuh masa.
Aku dan isteri-isteri mempunyai karier tetap. Silap
langkah boleh ditekan atas alasan-alasan demi kepentingan perkhidmatan dan dihumban
ke serata ceruk rantau yang pihak atasan suka. Belum apa-apa, ada sesetengah
pihak seolah-olah mengingatkan isteri-isteriku bahawa mereka boleh menjejaskan nama baik karier. Allahu
Akbar!
Berkorban diri dan cuba mendidik masyarakat memahami
isu HIV dengan tepat dan prihatin terhadap tanggungjawab fardhu kifayah
rupa-rupanya menjadi ‘jenayah?’ So,
di sini, secara terbuka aku katakan kepada ‘orang atasan’ silalah lakukan
sesuka hati atas kuasa yang dipinjamkan-Nya. Aku akan pertahankan hak dan perjuangan
ini sehingga nafas terakhirku. Jangan aniaya keluargaku kerana mereka tidak
bersalah apa-apa.
Kami mengambil risiko besar apabila di mana-mana
sahaja orang ramai mula semakin mengenali kami sekeluarga. Tambahan lagi di dalam
bandar sekecil Temerloh dengan statusku ini. Bagaimana pula dengan ahli kariah,
ahli-ahli keluarga kami, teman-teman rapat, dan sebagainya?
Tohmahan bahawa aku pembela perjuangan LGBT dan
‘orang-orang berdosa’ secara membuta-tuli terpaksa aku redhakan. Ringkas cerita, punah-ranah dan jatuh segala macam ‘sahamku’. Jangan fikir mudah dan glamour dengan langkah yang aku lakukan.
Pesanan ikhlasku untuk komuniti, ayuhlah bangkit
membuktikan bahawa selama ini kita dianiaya dan dihimpit dari segenap
sudut. Ini bukan masanya untuk bersembunyi dan melayan emosi. Buktikan kita
lebih baik dari semalam.
Jika dengan sedikit usaha ini dapat memberi inspirasi
untuk kebaikan komuniti, ucapkan syukur kepada Allah. Tidak perlu memujiku
kerana memang sejak mula aku sekeluarga telah infakkan diri untuk perjuangan.
Terpulang kepada diri masing-masing sama ada untuk terus disalah erti dan
sentiasa memberi alasan atau sama-sama berjuang.
Di kesempatan ini aku sekali lagi mengucapkan ribuan
terima kasih kepada akhbar Harian Metro, Puan Sarah Zulkifli, Puan Nor Azura
Abdul Jalil dan Cik Izlaily Nurul Ain Hussein. Semoga kerjasama ini berterusan
untuk kebaikan masyarakat Islam dan insyaAllah jasa kalian akan beroleh pahala
yang berkekalan.
Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP
Info Berkaitan:
Laman Web Rasmi PPWM: http://www.positivewarriors.org/
NO AKAUN PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive
Warriors Malaysia
Para pembaca boleh berkongsi pengalaman
melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga
dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk
menyertai, sila hubungi admins yang berikut:
Mizan Mirza: positivelypositive77@gmail.com
Camelia Sulaiman: camelia_sulaiman@yahoo.com
Arm Ly: psychonutsbeast@gmail.com
Luka Rafieqa: rafieqakl@hotmail.com
NGO Sokongan:
Pertubuhan Amal Firdausi Kuala Lumpur
(PAFI)
Sila hubungi:
Laman Web: http://www.amalfirdausi.org
E-Mel: amalfirdausi@gmail.com
Talian Marhabah: 018-207-0953 (Encik
Hamli) @ 017-311-0306 (Encik Raffie)
Telefon / Faks: 03-9174-0934
Telefon / Faks: 03-9174-0934
FB PAFI:
http://www.facebook.com/amalfirdausi (open group)
Twitter: twitter.com/amalfirdausi
Sokongan khusus kepada komuniti
wanita: PEWAHIM
Untuk menyertai FB PEWAHIM (secret
group) sila hubungi:
E-Mel: pewahim@gmail.com
Telefon: 019-259-5864
(Norlela) Pengasas
No akaun PEWAHIM: 562740121438 (Maybank)