Aku tahu pandanganku ini bakal mengundang
kontroversi, tetapi wajib ke atasku bercakap benar. Ini sekadar pandangan
peribadi berdasarkan sedikit pengalaman yang sentiasa memberi kaunseling
terhadap komuniti dan sebagai seorang Muslim yang dibesarkan dan mempunyai
sedikit basic dalam bidang agama.
Setuju atau tidak, terpulang kepada diri
masing-masing. Sila baca secara dewasa dan terbuka. Tidak setuju, abaikan. Tak
perlu kecoh-kecoh.
Aku akui bahawa sejak didiagnos sebagai people living with HIV (PLHIV), aku turut
memberi sokongan terhadap komuniti. Aku memang menjalin silaturrahim dengan
ramai lesbians, man sex man (gay), biseksual, dan transgenders atau selalu diistilahkan sebagai golongan LGBT. Bahkan adalah biasa aku dituduh
sebagai biseksual.
Ada sebahagian mereka yang masih aktif dengan
cara hidup tersebut. Malah ada di kalangan mereka adalah sex workers.
Aku tidak menyisihkan mereka kerana menghukum
bukan caraku dan penguatkuasaan bukan dalam bidang kuasaku. Aku tidak
mencampuri urusan peribadi dan sekadar memberikan pandangan jika diminta. Bagi
aku, kita ada tanggungjawab terhadap diri masing-masing. Setakat ini, mereka
tidak pula menjauhkan diri dan perlu dingatkan bahawa tidak semestinya mereka
juga adalah PLHIV.
Mereka yang sering menghubungiku untuk
mendapatkan pandangan akhirnya menjadi sahabat akrab. Kami sering bertanya
khabar dan berkongsi sokongan melalui call,
WhatsApp, dan sebagainya. Mendengar
keluhan dan rintihan mereka menjadi rutin harianku. Tidak kisah apa juga latar
pendidikan dan karier mereka.
Fakta
Apabila seseorang dilahirkan, jantinanya
dikenal pasti melalui alat kelamin. Jika alat kelaminnya lelaki, hakikatnya
tetap lelaki. Jika alat kelaminnya perempuan, hakikatnya tetap perempuan
sekalipun ada yang telah mengambil keputusan melakukan pembedahan untuk
membuang atau menukar alat kelamin masing-masing. Langsung tiada kaitan dengan LGBT.
Dalam proses pendewasaan, faktor persekitaran
seperti bagaimana individu tersebut dididik, pergaulan, dan pengalaman peribadi
membentuk keperibadian, psikologi, naluri, dan kecenderungan seksualiti. Malah
atas nama dakwah, aku berkompromi apabila ada yang mendakwa bahawa ianya
berlaku sejak kecil tanpa apa-apa faktor sampingan. Namun, ujian Allah tetap
ujian Allah dan lebih ramai yang diuji dengan berbagai-bagai ujian Allah yang
lebih besar.
Orientalis hanya melihatnya dalam skop human right dan nature sahaja. Maka terciptalah istilah LGBT.
Perjuangan orientalis sangat terencana supaya
golongan yang sedang diuji ini mesti diberikan hak atas prinsip 'keadilan' dan
sama rata mengikut acuan dan pemikiran mereka. Kononnya setiap manusia berhak
menentukan nilai dan hak hidup masing-masing.
Kecelaruan Gender
Istilah yang tepat bagi individu yang
merasakan psikologi dan seksualitinya berbeza dengan jantina anugerah Allah
adalah golongan yang berdepan dengan ujian "Kecelaruan Gender". Islam
tidak pernah mengiktiraf LGBT.
Pandangan
Islam Tentang Kecelaruan Gender
Khunsa
Khunsa ialah individu yang tidak diketahui
jantinanya sama ada lelaki ataupun perempuan kerana mereka dilahirkan dengan memiliki
zakar dan faraj serentak ataupun tidak memiliki kedua-duanya langsung semenjak
dilahirkan.
Khunsa terbahagi kepada 2:
1. Khunsa musykil (khunsa yang diragui)
2. Khunsa ghair musykil (khunsa yang tidak
diragui)
Khunsa musykil ialah individu yang tidak
diketahui langsung jantinanya disebabkan tiada sebarang tanda-tanda yang boleh
diklasifikasikan sebagai lelaki atau pun perempuan.
Manakala khunsa ghair musykil pula ialah
individu yang boleh dipastikan dan dikategorikan sebagai lelaki atau pun
perempuan berdasarkan fungsi alat kelamin yang lebih dominan dan fitrah (semulajadi)
mereka yang hakiki.
Pakar psikologi, genetik, dan perubatan
hendaklah mengesahkan status mereka sama ada lelaki atau perempuan. Jika sudah
pasti, mereka dibenarkan menjalani rawatan hormon dan pembedahan jantina.
Hukum Berkahwin
Harus dari sudut hukum syarak bagi khunsa
ghair musykil untuk berkahwin jika alat kelaminnya berfungsi mengikut jantina
yang telah ditentukan oleh pakar, tetapi haram bagi khunsa musykil untuk
berkahwin.
Jika khunsa ghair musykil itu seorang lelaki,
maka pasangannya mestilah perempuan. Jika dia itu seorang perempuan,
pasangannya ialah seorang lelaki. Malah harus juga bagi khunsa ghair musykil
untuk memotong atau membuang salah satu alat kemaluannya yang tidak berfungsi
sama ada untuk bersetubuh atau pun untuk kencing (membuang air kecil).
Mukhannas
Mukhannas pula bermaksud, seseorang lelaki yang
menonjolkan dirinya menyerupai wanita kerana mereka yakin bahawa psikologi dan
mental mereka adalah wanita. Malah ada yang lebih 'Islamik' turut 'menutup
aurat' sebagai seorang Muslimah sedangkan mereka tetap hanya mempunyai zakar
sahaja.
Masyarakat Melayu lebih mengenali mukhannas
sebagai ‘pondan’ atau ‘Mak Nyah’ iaitu lelaki yang bertindak menyerupai wanita.
Mereka mempunyai ramai peminat yang tersendiri. Orientalis mengklasifikasikan
mereka sebagai transgender (TG).
Beza Khunsa
dan Mukhannas
Perbezaan di antara khunsa dan mukhannas adalah
sangat ketara. Khunsa memiliki zakar dan faraj serentak ataupun tidak memiliki
kedua-duanya langsung semenjak dilahirkan.
Sedangkan mukhannas hanya memiliki zakar
sahaja semenjak dilahirkan, tetapi bersikap seperti seorang wanita disebabkan
dorongan naluri dan ujian jiwa (kecelaruan gender) yang dialami sehinggakan ada
yang sanggup menjalani pembedahan plastik untuk memiliki faraj dan payudara.
Dengan kata lain, seorang mukhannas itu
sebenarnya adalah seorang individu yang diuji dengan kecelaruan gender.
Pasti sekali bahawa Allah menjadikan khunsa
itu sebagai ujian kepada mereka dan kepada kita sebagai anggota masyarakat
serta sebahagian daripada bukti kekuasaan-Nya.
Jika kita melihat ianya wajar diterima
sebagai nature, ianya turut
melibatkan ujian iman dan akan mempengaruhi minda supaya kekal serta selesa
dengan ujian yang kononnya telah ditakdirkan oleh Allah Taala.
Cadangan Penyelesaian
Golongan yang melihat isu ini dalam konteks
Islam yang syumul menganggap semua ini sebagai ujian Allah. Setiap ujian Allah
ada berbagai-bagai bentuk dan cara mengikut kemampuan masing-masing. Jika kita
tidak kaitkan setiap ujian dengan Allah Yang Maha Adil dan Maha Bijaksana,
hidup kita akan merana.
Kita tidak boleh menganggap mudah bagi mereka
yang diuji dengan ujian tersebut hanya kerana kita tidak diuji sedemikian.
Ianya bukanlah semudah 'on off' suis atau
sekadar menyebut A, B, dan C.
Ianya memerlukan ilmu, ijtihad, dan mujahadah
yang sangat besar, sesuai dengan ujiannya yang juga cukup besar. Tersalah
pendekatan, mereka akan lari.
Tekad untuk berhijrah, menjaga solat, menjaga
pergaulan, bergaul dengan individu yang memahami, dan dapat membimbing untuk membina
kekuatan sangat penting.
Banyak ujian hidup tidak mampu dihadapi bukan
kerana tiada jalan penyelesaian, tetapi apabila kita (tidak kira walaupun
memiliki selori ijazah dalam bidang agama) gagal menjaga hubungan dengan Allah
dan sesama manusia.
Dalam masa yang sama, Islam tidak akan
berkompromi dalam aspek hukum kerana Islam ada peraturan dan kehidupan abadi.
Beruntunglah bagi mereka yang mengambil iktibar dan pengajaran di sebaliknya.
Hidup di dunia terlalu singkat dan ramai yang terpedaya dengan ujian-Nya. Dunia
bukan untuk dimiliki, tetapi sekadar persinggahan dan ujian Allah.
Pesanan Kepada
Anggota Masyarakat
1. Jagalah diri dan keluarga masing-masing
daripada azab neraka. Isu ini timbul sebenarnya banyak berpunca daripada
kelemahan ibu bapa sendiri yang gagal memainkan peranan yang tepat.
Sia-sia mendesak anak-anak kita untuk menjadi
sempurna sedangkan kita gagal menjadi contoh terbaik yang paling hampir. Past is past!
2. Semua insan mahu menjadi ahli syurga,
tetapi realiti hidup manusia pasti berbeza pemikiran. Daripada berdebat yang
tiada kesudahan, baik kita abaikan sahaja golongan yang melihatnya sebagai nature dan selesa dengan situasi
tersebut.
Fokus kita adalah kepada golongan yang mahu atau
sedang mencari penyelesaian.
Sekali lagi diulangi, kita bertanggungjawab
terhadap diri sendiri. Pemimpin bertanggungjawab memimpin dan menjaga
kemaslahatan masyarakat. Kita jalankan tanggungjawab kita. Tidak perlu counter tanggungjawab orang lain
sedangkan kita hanya berdiam diri.
3. Jangan cemuh atau jauhi mereka. Menyelesaikannya
tidak cukup sekadar membaca 1 atau 2 dalil al-Qur’an atau hadis dan kemudian
kita berlepas tangan. Santunilah dengan berhikmah dan mauizatul hasanah (bijaksana dan tunjuk contoh yang baik) kerana
mencemuh tidak akan menyelesaikan masalah. Bahkan antara punca mereka lari
ialah apabila kita terlalu mendesak dan ada pula yang mengambil kesempatan.
Kita sendiri jika diuji seperti mereka belum
tentu mampu bertahan. Malah aku yakin ramai yang kecundang. Siapa yang boleh
dakwa aku bersalah jika aku tinggal sebilik dengan seorang lelaki atau
perempuan tinggal sebilik dengan perempuan? Hari-hari melihat tubuh yang
menggiurkan di depan mata.
Ramai di kalangan mereka yang aku kenali
adalah insan-insan hebat yang banyak berjasa kepada agama, bangsa dan negera.
Dalam masa yang sama sangat tabah dengan ujian Allah terhadap mereka.
Sebahagiannya pula memang mahu berhijrah dan
sedang memulakan hijrah, tetapi sangat tertekan apabila sentiasa dipersendakan
masyarakat. Malah ada yang diketawakan apabila berada di masjid dan disindir
kerana masih belum dapat membuang payudara silikon. Masjid sepatutnya adalah
tempat yang paling selamat.
Dunia IT sekarang boleh dieksploitasi dengan
mudah untuk meneruskan apa juga kecenderungan hidup melalui pelbagai cara.
Menyisih akan tambah memudaratkan. Jangan disangka anak kita yang lebih banyak
berada di dalam bilik mengadap laptop
itu selamat daripada seks sejenis, penyalahgunaan dadah, zina dan sebagainya.
Golongan Yang
Diuji
Bagi golongan yang terjebak dengan perhubungan
dan perkahwinan sejenis, sedarlah bahawa lama-kelamaan anda akan sentiasa dalam
dilema. Semakin berusia, semakin terasa bersalah. Jiwa akan terasa sangat
kosong selagi ada sisa-sisa iman
dalam diri. Pemberontakan dalaman sehingga membawa kepada major depression biasa aku saksikan.
Walaupun permulaannya kelihatan seperti
mustahil, tetapi Allah itu Maha Luas rahmat-Nya. Kita perlu ada keberanian
untuk berhijrah dan pasti ada inayah Allah datang secara beransur-ansur.
Ramai yang telah aku saksikan berjaya. Ramai
yang on off (sekurang-kurangnya masih
pada peringkat mujahadah), dan ramai juga yang kecundang lantaran tewas dengan
nafsu.
Cuba tanya diri sendiri:
1. Sampai bila?
2. Bukankah 'kekuatan' dan selamat yang
dirasa itu sebenarnya hanya apabila berada dalam kelompok sendiri tetapi terasa
sangat kosong?
2. Adakah kita benar-benar bersedia untuk
dikafankan dan diuruskan pengkebumian dengan identiti dan amalan hidup yang
kita pilih sekarang?
3. Bersediakah kita jika pada suatu hari ayah
kita tiba-tiba berkata, "Ayah nak ikut kau drag. Ayah sebenarnya dah tak mampu nak sembunyikan naluri ayah
untuk transform. Terseksa hidup
begini dan selama berkahwin dengan mak kau, ayah tidak pernah bahagia. Cinta
sebenar ayah pada pakcik Pie sebelah rumah tu. Ayah nak sehidup semati dengan
dia."
4. Kehidupan abadi kita di mana?
Setidak-tidaknya kita sama-sama memelihara
aib dan maruah masing-masing. Usah dipamerkan secara terbuka kecenderungan dan
kesongsangan tanpa sedikit pun rasa bersalah. Setiap perbuatan kita akan
dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.
Ujian Allah ada pelbagai. Ada yang mudah
tewas dengan zina, ada yang mudah tewas dengan judi, ada yang mudah tewas
dengan kecantikan, ada yang mudah tewas dengan harta dan pangkat, ada yang
dilahirkan tanpa kemampuan batin, ada yang ditakdirkan tidak mampu melahirkan zuriat,
ada yang dilahirkan tidak bertemu jodoh, ada yang dilahirkan sebagai OKU, atau ditimpa
berbagai-bagai penyakit kronik sejak bayi yang lebih teruji. Jika kita
melihatnya dengan kaca mata iman, segala-galanya menjadi indah dan mudah.
Allah tidak melihat kepada hasil, tetapi
Allah melihat kepada jihad dan effort
kita. Jihad melawan nafsu adalah antara sebesar-besar jihad.
Aku petik kata-kata seorang insan yang diuji
dengan kecelaruan gender: "Say hello to hijrah." Langkah pertama amat
penting kepada beribu-ribu langkah yang seterusnya. Rahmat dan kasih sayang
Allah terhadap kita tidak terbanding.
Wallahu a'lam.
Memahami HIV dengan tepat dapat menyekat
penularan dan meningkatkan kualiti hidup infected
dan affected people. Kita berperanan
memperbetulkan keadaan dan mengelakkan penganiayaan.
Wallahu’alam.
"Pertubuhan Positive Warriors Malaysia
(PPWM) komited menentang PENGANIAYAAN, STIGMA, DISKRIMINASI, JUDGEMENTAL, DAN MENDIDIK MASYARAKAT secara
terbuka."
Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP
Info Berkaitan:
Facebook
Fanpage
PPWM:
Laman Web Rasmi PPWM:
No. Akaun PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive
Warriors Malaysia
Para pembaca boleh berkongsi pengalaman
melalui Facebook AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan
menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai,
sila hubungi admins yang berikut: