Assalamualaikum.
Rasanya sudah terlalu lama aku tidak berblog. Bahkan langsung tak sempat buka blog kecuali membaca emel-emel yang perlu dibalas melalui telefon bimbit.
Kali ini, aku betul-betul terperangkap dengan kesibukan karier dan komuniti.
Malahan sepanjang Ramadhan, hanya 5 hari sahaja rumah kami tidak diziarahi sahabat-sahabat komuniti. Selebihnya, syukur Alhamdulillah, ramai sahabat yang sudi singgah sama ada untuk berbuka, bertarawih dan bersahur. Inilah antara nikmat Ramadhan yang sangat hebat Allah kurniakan.
Bila tiada sahabat-sahabat, terasa sangat sunyi sekalipun hakikatnya kadangkala kita perlukan sedikit ruang peribadi.
Selain itu, aku terlalu sibuk kerana perlu fokus 100% untuk menyediakan manuskrip buku “Aku HIV Positif” yang insyaAllah akan diterbitkan nanti dengan bantuan pihak MAC.
Pada mulanya, aku jangkakan segala-galanya sangat mudah kerana hanya copy dan paste kategori AKU di blog untuk diterbitkan. Malangnya, apabila aku cetak dan baca semula, ianya hampir mencecah 1000 muka surat.
Bila aku semak semula, banyak perkara yang perlu disunting terutama jika ianya kelihatan terlalu emosional, klinikal dan sebagainya.
Aku mahu buku tersebut menjadi bahan bacaan santai penuh rasional yang membangkitkan kesedaran.
Bila ada tetamu, aku hentikan sementara untuk cuba memberi ruang kepada mereka. Jadi, penat jugalah bila pulang sahaja dari kerja, aku terpaksa menyemak kembali setiap entry 1 persatu sebelum Ummie tolong edit dalam komputer, sedangkan aku tidak mampu duduk terlalu lama.
Untuk merehatkan minda, aku selalu mengacau sahabat-sahabat di Facebook AHP Positive Warrior Group sambil-sambil berbaring. Bila sudah hilang bosan, aku sambung kembali kerja-kerja editing tersebut.
Sejujurnya, memang stress dan serabut otakku kerana tidak cukup rehat.
Jika diikutkan masalah kesihatan, aku juga ada macam-macam masalah tersendiri seperti orang lain. Jika diikutkan ketakutan, aku juga ada macam-macam ketakutan. Jika diikutkan malas, aku jauh lebih malas daripada orang lain.
Seperkara yang membanggakan aku di FB group kita ialah semakin ramai komuniti yang berani bangkit dan berjiwa besar. Kebangkitan pula nampaknya dalam bentuk yang dituntut oleh Islam.
Walaupun masih terkucil di sana sini, tetapi kebangkitan tersebut bukanlah palsu dan sekadar Harm Reduction seperti Barat.
Setidak-tidaknya masing-masing menjalankan peranan dengan cara tersendiri dan sedia berkongsi masalah atau sokongan. Tahniah aku ucapkan. Syukur Alhamdulillah…
Cuma pesanan ikhlasku apabila memilih untuk berada di medan juang, bersedialah dengan ujian yang lebih besar.
Ujian tersebut mungkin akan datang daripada golongan yang dibantu, masalah birokrasi, masyarakat, pihak yang berkepentingan peribadi, dan termasuk di kalangan sesama komuniti sendiri.
Pedih memang pedih, tetapi usah dilayan serangan berbentuk peribadi. Jika kita tidak seperti yang mereka sangkakan, abaikan sahaja. Kita doakan kebahagiaan untuk mereka. Banyak lagi perkara yang perlu kita tumpukan selain bertelingkah dalam soal remeh-temeh.
Selain itu, kita tidak boleh cepat membuat penilaian berdasarkan cerita sebelah pihak.
Contoh: Kita baca kisah seorang bapa (ODHA) yang disisih oleh 5 orang anaknya di akhbar dan kita terus buat kesimpulan anak-anaknya adalah anak derhaka. Kita pun menyerbu membantu dengan penuh simpati.
Umpama buku, chapter 1 membuka kepada chapters seterusnya. Setelah disiasat, barulah kita tahu si bapa tersebut kaki minum, pemarah, pernah merogol anak gadisnya sendiri sehingga dijangkiti virus, dan menjadikan isterinya sasaran sepak terajang.
Apabila kita tahu cerita sebenar, barulah kita bantu dengan cara yang sepatutnya. Tahu cara untuk mencari kumpulan sokongan dan bagaimana memenuhi keperluan mangsa tersebut.
Alhamdulillah juga kerana sepanjang Ramadhan ini, aku mampu berpuasa seperti biasa. Bahkan terasa lebih bagus berbanding zaman sihat dulu.
Cuma dalam soal ibadah khusus mengikut tahap dan kemampuan semasa. Tak mampu tarawih di masjid, tarawih di rumah bersama Kak Da dan Ummie. Tak mampu tadarus panjang-panjang, buat sedikit-sedikit. Allah Maha Adil! Tak perlu push diri keterlaluan.
Di kesempatan ini, aku bagi pihak keluarga iaitu, Kak Da, Ummie, Danial dan Danish ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir Batin kepada Dr. Iskandar Firzada bin Osman dan semua kakitangan KK Jaya Gading.
Sudah tentu tidak lupa kepada semua sahabat dengan doa kita sentiasa dalam keredhaan dan keberkatan. Istiqamah dalam perjuangan.
Maafkan aku jika ada yang tersinggung terutama kepada para pembaca blog ini. Memang kadangkala bahasa yang aku gunakan agak kasar dan menyentuh hati dan jiwa lembut sahabat-sahabat, walaupun aku bukanlah seorang yang kasar dan pendesak.
Antara kaedah kaunseling ialah provokasi. Bila aku provoke, bukan bermakna aku tak faham masalah sahabat-sahabat. Tetapi memang begitulah antara kaedahnya supaya kita bangkit. Kaedah ini memang sedia ada dalam al-Qur’an dan Hadis.
Sahabat-sahabat juga tidak perlu mohon maaf kepadaku. Tiada apa yang aku mahu simpan di hati. Rosakkan kepala sendiri untuk apa? Aku tidak layak untuk bersifat sombong yang merupakan antara sifat-sifat kebesaran Allah.
Kepada para pembaca yang meminta pandangan dan nasihat, maaf jika semuanya tidak mampu aku respon atau gagal memenuhi kehendak hati. Maklumlah dalam sesetengah entries terdapat beratus-ratus pertanyaan yang sama tidak termasuk e-mel. Kemampuan manusia ada hadnya.
Aku juga memohon maaf atas segala sikap kasar para pembaca yang lain jika mereka respon terhadap pertanyaan anda dengan cara mereka. Blog ini terbuka kepada pro dan kontra. Jadikanlah semuanya sebagai cermin untuk menilai diri kita.
Aku sekadar menyampaikan. Yang mengubah ialah Allah dan diri sendiri. Pendapat aku boleh diterima dan boleh sahaja ditolak. Tidak berpuas hati di sini, bertanyalah kepada pihak lain yang lebih berilmu dan memahami. No big deal!
Sebelum berpisah: Berhati-hati di jalan raya, jauhi perkara-perkara haram dan membazir pada hari raya dan gunakanlah segala kesempatan Syawal ini untuk mengukuhkan ukhwah dan silaturrahim yang terjalin. Bebaskan diri kita daripada perkara-perkara yang tidak perlu.
InsyaAllah kita bertemu kembali selepas urusan menyiapkan manuskrip selesai.
Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Untuk menyertai, sila hubungi:
Survivor: survivorpng@yahoo.com
Luka Rafieqa: rafieqakl@hotmail.com
AHP: positive4eva@gmail.com
AHP: positive4eva@gmail.com
Sokongan khusus kepada wanita: PEWAHIM.
Untuk menyertainya FB PEWAHIM, (secret group) sila hubungi:
pewahim@gmail.com
019-259-5864 (Norlela) Pengasas
No akaun PEWAHIM: 562740121438 (Maybank)