Wednesday, August 29, 2012

BERTEMU DR. ISKANDAR FIRZADA BIN OSMAN KALI KE 21 DAN 22

My Best Doctor
Dr. Iskandar Firzada bin Osman

MD (USM), MMed (Family Medicine) (USM),
MAFPM (Mal.), FRACGP (Australia), FAFPM (Mal.),
Fellow in Adolescent Health (Melbourne)
Family Medicine Specialist / Primary Care Physician

Lama sungguh rasanya aku tidak berkongsi pengalaman di blog. Macam-macam yang mahu aku kongsikan, tetapi kesempatanku terbatas.

Medan perjuanganku bersama ODHA (Orang Dengan HIV AIDS) bukan setakat di sini, tetapi di medan yang lebih luas. Tidaklah sehebat mana pun, tetapi sentiasa bersama komuniti dengan caraku. Jadi, kesibukan harap difahami.

Tekanan juga silih berganti dan berlapis-lapis. Sangat menguji ketahanan diri, tetapi semuanya adalah didikan Allah sebelum aku melangkahkan kaki ke medan perjuangan yang lebih luas.

Bohong jika aku katakan bahawa langsung tidak terluka apabila menerima kutukan dan cemuhan yang tidak disangka-sangka, terutama di kalangan sesama komuniti sendiri. Anggaplah apa sahaja. Yang penting, Allah mengetahui apa yang ada di dasar hati.

Ada kalanya, mereka meminta bantuan kita. Salam tidak, perkenalkan diri pun tidak, tahu-tahu terus mengarahkan dan meminta kita buat itu ini. Bila ditanya beberapa maklumat asas supaya dapat dikenal pasti punca masalah dan cara untuk menyalurkan bantuan dengan tepat, tiba-tiba kita disergahnya kerana banyak bertanya.

Itu belum termasuk kes-kes cuba mengambil kesempatan dan menipu. Nak tergelak ada, hendak menangis pun ada dibuatnya.

Kutukan, cacian, dan cemuhan banyak membantu memperbaiki dan memperkasakan diri. Penghargaan dan pujian sering membuatkan kita dibuai khayalan. Terima kasih atas segala-galanya.

InsyaAllah, segala kritikan akan aku cuba perbaiki. Susah-susah sangat, aku abaikan sahaja. Aku tidak mahu stress akibat perkara remeh-temeh dan tekanan yang tidak perlu. Aku mahu fokus.

Fokus kepada tajuk entry “Bertemu Dr. Iskandar Firzada Bin Osman Kali Ke 21”

Sebenarnya, ianya lebih kepada dedikasi dan journal peribadiku sahaja. Ianya berlaku pada 8 Ogos 2010 (Rabu) di Klinik Kesihatan Jaya Gading seperti biasa.

Setelah aku periksa di dalam diary, ternyata sesi temujanji tersebut lebih kepada kaunseling tentang beberapa masalah kesihatan peribadi dan perkongsian maklumatku untuk membantu sahabat-sahabat ODHA. Maklumat-maklumat tertentu yang penting akan aku kongsikan dalam entries seterusnya sebagai entry khas.

Secara umumnya, kondusi kesihatanku memuaskan. Mungkin sempena Ramadhan, berat badanku susut kepada 72.4 kilogram. Tekanan darah 110/70. Lain-lain result ujian darah dan pemeriksaan kesihatan adalah memuaskan. Selebihnya, aku mengambil bekalan HAART.

Aku juga mengambil kesempatan dalam pertemuan tersebut untuk melaporkan beberapa maklumat dan perancangan terkini Positive Warriors Support Group bersama MAC kepada Dr. Iskandar.

Jika segala-galanya berjalan lancar, beliau merupakan Penasihat kepada sebuah NGO baru yang akan muncul dengan konsep Islamik dan kemelayuan di Malaysia. Para pembaca tolonglah doa-doakan dan sokong supaya ianya menjadi realiti.

“Bertemu Dr. Iskandar Firzada Bin Osman Kali Ke 22”

Berlaku pada 28 Ogos 2012 (Selasa) lebih kurang 11:10 pagi. Yang menariknya, pertemuan tersebut adalah atas permintaan peribadiku untuk mendapatkan nasihat Dr. Iskandar yang aku mohon sehari lebih awal.

Kenapa? Tidak perlukah aku jelaskan. Ini perkara biasa dalam perjuangan.

Tekanan yang datang bertimpa-timpa tanpa henti secara mendadak sedangkan kita sangat-sangat sibuk dan kepenatan ada masanya hampir tidak tertanggung.

Sejujurnya, aku alami depression. Sukar untuk dilihat kerana tersembunyi dalam senda gurau.

Sebelum memulakan sesi kaunseling Dr. Iskandar berkongsi beberapa maklumat gembira kepadaku. Tidak aku sangka bacaan terakhir CD4ku meningkat kepada 80 berbanding 56 sebelum ini.

Mungkin bagi orang lain, ianya satu perkara yang kelakar kerana masih sangat rendah. Tetapi bagi aku sendiri yang mengetahui kondusi kesihatan diri, jumlah tersebut sangat-sangat bermakna.

Aku pun tak sangka kerana aku telah menerima hakikat bacaan CD 4ku tidak akan naik dan hanya sekitar 70 ke bawah sahaja. Aku terima diriku umpama timed bomb bahkan semasa ujian darah dilakukan sebelum ini, aku sangat-sangat kepenatan dan tidak cukup rehat. Penat dan tidak cukup rehat adalah antara penyebab yang boleh mempengaruhi result ujian CD4.

Begitu juga ujian fungsi buah pinggangku. Ianya memuaskan. Syukur Alhamdulillah…

Apabila meluahkan punca tekanan yang dialami kepada Dr. Iskandar, setiap respon yang diberikan dapat meyakinkan aku bahawa aku tidak perlu bersikap demikian kerana tetap ada cahaya di hujung terowong.

Sesi kaunseling tersebut terasa sangat-sangat berharga dan membantu. Bahkan aku dapat memahami beberapa jawapan dan tips tertentu untuk membantu komuniti yang aku kabur sebelum ini.

Kadang-kadang, jawapan ada di hadapan mata, tetapi apabila mendengar semula daripada mulut orang lain terutama daripada seseorang yang kita percayai, ianya kembali membina semula keyakinan diri.

Kerana itu, kita perlu bersama komuniti kerana kita perlukan seseorang yang dipercayai untuk rasa berkongsi. Bersama mencari persamaan dan kekuatan. Bukannya sibuk mencari perbezaan dan kelemahan.

“Kaunselor Kena Kaunseling”

Kelakar juga bila aku fikirkan, tetapi itulah hakikat kehidupan. Kita ada kemahiran dan bidang masing-masing. Inilah yang aku maksudkan bahawa tidak ada yang terlalu kuat dan tidak ada yang terlalu lemah sesama kita.

InsyaAllah tips dan jawapan yang Dr. Iskandar berikan itu akan aku kongsikan juga secara beransur-ansur pada lain masa.

Di hujung sesi kaunseling, Dr. Iskandar turut berkongsi pengalaman dan minat beliau terhadap motorsikal. Rupa-rupanya Dr. Iskandar pun ada memiliki sebuah motorsikal easy rider dan sedang merancang sesuatu untuk melayan hobi tersebut.


Itu sahaja perkongsian untuk kali ini. Maafkan aku kerana masa sangat mencemburui.

Entries akan bergerak perlahan sehingga ke satu tahap tertentu sebelum kembali normal. Maaf jika terdapat salah silap pemilihan bahasa dan pendekatan. Aku insan yang masih belajar.

Kepada Dr. Iskandar Firzada bin Osman dan kakitangan KK Jaya Gading, Kuantan, anda semua sangat-sangat mengkagumkan.

AHP: Betul kata-kata MGDA bahawa, Dr. Iskandar adalah antara bantuan dan anugerah Allah kepadaku.


Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Untuk menyertai, sila hubungi:

Survivor: survivorpng@yahoo.com
Luka Rafieqa: rafieqakl@hotmail.com 
AHP: positive4eva@gmail.com


Sokongan khusus kepada wanita: PEWAHIM.
Untuk menyertainya FB PEWAHIM, (secret group) sila hubungi:

pewahim@gmail.com
019-259-5864 (Norlela) Pengasas

No akaun PEWAHIM: 562740121438 (Maybank)