Saturday, August 04, 2012

KAPOSI SARCOMA



Kaposi Sarcoma atau KS adalah sejenis kanser. Ia adalah salah satu penyakit yang kelihatan dalam orang yang mengidap AIDS dan masih merupakan kanser yang kerap berlaku kepada orang HIV positif.

Para pakar bersetuju bahawa ia disebabkan oleh virus Kaposi Sarcoma associated herpes virus (KSHV) atau human-herpesvirus-8 (HHV-8) menyebabkan KS.

Walau bagaimanapun, virus ini sahaja tidak cukup untuk mengakibatkan KS. Perubahan dalam sistem imun, seperti orang yang mengalami AIDS membolehkan virus ini mengakibatkan KS.

Lebih kurang 30% daripada kesemua lelaki homoseksual dan biseksual HIV positif dijangkiti KSHV manakala hanya 2% hingga 3% HIV positif penerima transfusi darah atau hemofiliaks dijangkiti virus ini.

Bagi wanita HIV positif heteroseksual pula, hanya 3% hingga 4% dijangkiti KSHV.

KS telah dijumpai di kalangan HIV positif dengan kiraan sel-T yang tinggi (dalam 500 sel/mm3). Risiko KS berkembang adalah lebih tinggi bagi mereka yang dijangkiti HIV dan KSHV, bertambah dengan kerosakan sistem imun.

Mujurnya, terapi anti-HIV membolehkan ramai HIV positif menyimpan kesihatan sistem imun dan ini mencegah KS dari membentuk.

Simptom

Tompok-tompok KS yang dipanggil tumor atau lesi, berwarna antara ungu-merah ke coklat-hitam. Lesi ini biasanya rata, tidak sakit dan tidak berubah warna walaupun ditekan.

Lesi KS pada bahagian kulit biasanya tidak menggugat nyawa. Walau bagaimanapun, ia boleh menyebabkan masalah emosi, khususnya apabila ia berlaku di bahagian muka. Lama-kelamaan, lesi ini mungkin bengkak dan menjadi sakit.

Sesetengah orang mungkin mengalami satu lesi sahaja, mungkin di bahagian kaki dan tidak di bahagian badan yang lain. Setengah orang pula melihat lesi KS baru membentuk perlahan-lahan seperti mengikut jadual dan muncul satu setiap beberapa bulan; setengah pula membentuk lesi baru setiap minggu.

Secara am, lebih rosak sistem imun, maka lebih kerap lesi baru akan membentuk.

Lesi KS dalam mulut boleh menyebabkan kesakitan ketika makan. Lesi dalam perut khususnya di usus besar dan kolon boleh mengakibatkan cirit-birit, sakit perut dan berdarah. KS dalam paru-paru (KS pulmonari) boleh menyebabkan kesesakan nafas. Lesi dalam perut dan paru-paru boleh membawa maut sekiranya tidak dirawat atau dikawal.

Bagaimana didiagnos?


Walaupun ujian boleh dibuat untuk KSHV dalam darah, tiada ujian khas yang boleh dilakukan oleh doktor. Sekalipun ujian ini wujud, perlu diingati bahawa bukan semua orang yang dijangkiti KSHV akan mendapat KS, walaupun sistem imun anda telah rosak.

Lesi pada bahagian kulit biasanya didiagnoskan melalui biopsi. Untuk menjalankan biopsi, doktor, biasanya pakar onkologi, kulit atau pakar bedah akan mengambil sedikit tisu lesi untuk dikaji dalam makmal. Laporan dari makmal itu akan mengesahkan jenis tumor.

Untuk mendiagnos KS pulmonari, satu skop yang dipanggil bronchoskop akan dimasukkan ke dalam saluran paru-paru untuk mengesahkan kehadiran lesi. X-ray juga boleh digunakan untuk mencari lesi KS paru-paru.

KS perut biasanya didiagnos menggunakan skop yang dimasukkan melalui kerongkong atau dubur (endoskopi). KS perut mempunyai ciri-ciri yang unik. Jadi, biopsi biasanya tidak perlu.

Bagaimana KS dirawat?

Lesi KS di kulit, oleh kerana ia tidak mengancam nyawa, tidak semestinya memerlukan rawatan. Walaupun beberapa terapi setempat wujud iaitu terapi di mana ubat diletakkan di kulit lesi, ia biasanya tidak berkesan dalam mencegah lesi baru daripada membentuk.

Manakala terapi sistemik iaitu ubat yang dimakan atau melalui saluran IV boleh merawat kedua-dua lesi sedia ada dan mencegah lesi baru daripada membentuk. Ia boleh mengakibatkan kesan sampingan.

Lesi KS dalam perut dan paru-paru memerlukan terapi sistemik. Tanpa rawatan, lesi ini boleh menjadi penyakit yang merbahaya.

Tidak ada satu rawatan yang 100% efektif, 100% setiap kali. Dalam kebanyakan kajian, hanya segelintir pesakit menampakkan lesi KS lenyap.


Sesetengah pesakit mungkin tidak akan melenyapkan lesi, tetapi menampakkan perubahan yang ketara dari segi saiz, warna, bentuk dan kebesaran. Setengah pesakit pula tidak menampakkan sebarang perubahan, tetapi dapat mencegah lesi baru daripada membentuk.

Alitretinoin (Panretin™): Satu-satu rawatan topikal yang diuji dan diluluskan oleh FDA, AS untuk lesi KS kulit. Gel ini disapukan ke lesi tiga atau empat kali sehari dan telah menunjukkan kesan.

Cryotherapy: Cecair nitrogen diletakkan pada lesi. Ini membunuh sel dalam lesi dan sebaliknya membolehkan kulit sel sihat yang baru untuk tumbuh di tempatnya. Baik untuk lesi kecil.

Terapi Radiasi: Untuk lesi yang besar dan bengkak atau mendalam. Keputusan daripada radiasi agak baik. Terapi radiasi biasanya disyorkan kepada lesi yang terdapat di penis dan kaki memandangkan terapi setempat yang lain agak sakit bila digunakan di kedua-dua tempat ini.

Terapi intralesional: Sesetengah tumor, seperti yang terdapat di dalam mulut boleh dirawat dengan menggunakan suntikan ubat kemo ke tempat tumor.

Vinblastine: sejenis ubat kemoterapi yang diberi melalui saluran IV boleh juga disuntik ke dalam lesi.

Setengah dari terapi ubat sistemik termasuk:

Terapi antiretrovirus (HAART): Memandangkan keberkesanan terapi anti-HIV kepada bebanan virus dan kiraan sel-T, ramai orang HIV positif dengan KS sering nampak lesi mereka lenyap semasa dalam terapi. Kadangkala kesannya agak dramatik atau terapi anti-HIV berjaya mencegah lesi baru daripada membentuk.


Terapi antiretrovirus biasanya digunakan terlebih dahulu atau bersama rawatan sistemik yang lain untuk memastikan keberkesanan.

Interferon-alfa: Dadah ini mimik protein semulajadi dalam badan. Ia amat aktif terhadap HIV, membantu memulihkan sistem imun, dan juga telah menampakkan keberkesanan terhadap KS. Interferon-alfa boleh menyebabkan kesan sampingan dan adalah lebih baik digunakan oleh pesakit dengan sel-T yang tinggi (lebih daripada 200 sel/mm3) sebelum memulakan terapi.

Kemoterapi liposomal (Caelyx): Dadah ini mewakili satu sejenis dadah kemo yang baru. Setiap dos dadah ini mengandungi berjuta-juta lemak yang meliputi dadah ini. Ini membolehkan dadah ini hidup lebih lama dalam darah dan sampai ke lesi. Kajian telah menunjukkan kemoterapi liposomal lebih berkesan dan kurang toksik daripada kemoterapi biasa.

Kemoterapi biasa (doxorubicin, vincristine, bleomycin, etoposide,vinblastine, paclitaxel): Beberapa kajian tentang dadah-dadah ini, sama ada digunakan sebagai monoterapi atau bercampuran dengan satu sama lain, menunjukkan kejayaan yang berbeza. Namun begitu, terapi campuran lebih berkesan daripada monoterapi. Walau bagaimanapun, kesan sampingan dengan terapi campuran lebih tinggi berbanding monoterapi dan liposomal.

Bolehkah KS dicegah?

Pada masa ini, KS tidak boleh dicegah. Walau bagaimanapun, menggunakan ubat-ubat untuk mencegah KS adalah mungkin pada masa hadapan. Memandangkan bahawa KSHV adalah penyebab utama KS, kajian kini menumpukan kepada ubat anti-virus yang boleh menentang virus ini.


PLHIV yang dijangkiti virus KSHV dan mempunyai kiraan sel CD4+ yang rendah mungkin mendapat faedah daripada ubat ini kerana ia mungkin mencegah lesi KS dari membentuk.


Sumber: Luka Rafieqa melalui Facebook AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group)


Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Untuk menyertai, sila hubungi:

Survivor: survivorpng@yahoo.com
Luka Rafieqa: rafieqakl@hotmail.com 
AHP: positive4eva@gmail.com


Sokongan khusus kepada wanita: PEWAHIM.
Untuk menyertainya FB PEWAHIM, (secret group) sila hubungi:

pewahim@gmail.com
019-259-5864 (Norlela) Pengasas

No akaun PEWAHIM: 562740121438 (Maybank)