Thursday, March 08, 2012

HIV: SEPETANG BERSAMA LUKA RAFIEQA DI PUSPEN KARAK BERTEMU AHLI KELUARGA


Pagi Selasa, 6 Mac 2012, aku menerima SMS daripada sahabat tersayang, saudara Luka Rafieqa yang mengatakan beliau berada di PUSPEN Karak untuk membantu komuniti.

Memandangkan jarak antara Temerloh dengan Karak dalam anggaran sejam sahaja pemanduan melalui LPT, aku teruja untuk bertemu dan menimba pengalaman beliau membantu komuniti di sana. Setidak-tidaknya aku dapat lepaskan sedikit tekanan bertemu seseorang yang memahami apa yang aku rasa sejak kebelakangan ini.

Sebaik sahaja usai meeting dan solat Zohor pukul 2:20 pm di tempat kerja, aku bergegas ke sana. Makanpun tak sempat kerana aku bimbang terlepas peluang. Boleh tahan juga aku speed. Setakat lori kontena dan lori balak tu, hidu asaplah jawabnya, hahaha…

“Kena samanpun samanlah bisik hatiku.” Aku gantungkan niatku untuk buat kebajikan, bukan sengaja merempit.

Lebih kurang pukul 3 pm aku dah sampai. Nervous juga apabila Fieqa bagitau aku perlu berkongsi sedikit pengalaman dengan ahli keluarga di sana terutama sebagai PLHIV. Sebaik sahaja sampai dan disambut oleh pihak Komandan PUSPEN (betul ke istilah jawatan tu?) aku dijemput duduk sebagai ‘Tetamu Kehormat’.

Mak aih... longgar lutut aku berdepan dengan lebih 300 orang ahli keluarga, tetapi atas semangat untuk membantu secara ikhlas, aku buang jauh-jauh perasaan tersebut.  Selain berkongsi pengalaman, ada sesi soal jawab dalam masa terhad bersamaku kerana kesuntukan masa.

Selepas menyaksikan beberapa persembahan dan sketsa berbentuk motivasi dan keagamaan sesama ahli keluarga, sampailah giliran aku berkongsi pengalaman. Rasa nak terkencing pun ada sebab aku ni jenis personal yang suka bekerja ‘belakang tabir’.

Duduk di kerusi 'VVIP' dan di depan pentas ni bukan jiwa aku. Sekalipun ahli keluarga adalah penghuni PUSPEN, tidak bermakna mereka bodoh, bahkan aku tahu mereka kaya dengan pengalaman hidup.

Aku pun perkenalkan diri. Antara yang aku ingat dalam ucapan aku lebih kurang begini:

…"Walaupun bidang saya adalah kaunseling dan karier yang ada kaitannya dengan pendidikan, ini tidak bermakna saya lebih pandai dan bijak daripada sahabat-sahabat semua.

“Kehadiran saya bukan untuk memberi tunjuk ajar, tetapi atas rasa ingin berkongsi sokongan dan rasa hati bersama saudara seagama atau sekurang-kurangnya atas nama insan, sesama makhluk Tuhan.

“Kehadiran saya untuk membuktikan bahawa sahabat-sahabat tidak pernah didiskriminasikan sebagai sebahagian anggota masyarakat yang sama-sama punya peranan dan impian. Saya terima sahabat-sahabat tanpa stigma, diskriminasi dan judgemental. Hina dan mulianya kita di sisi Allah bukannya pada penilaian sesama manusia.

“Setiap manusia punya khilaf dan dosa. Sayyidina Umar al-Khattab r.a. adalah salah seorang khalifah yang sangat luar biasa, tetapi pernah membunuh anak perempuan kesayangan dengan cara menanamnya hidup-hidup di padang pasir ketika zaman Jahiliah.

“Apa sangatlah dosa sahabat-sahabat kerana saya percaya sahabat-sahabat tidak sampai ke tahap tersebut. Paling tinggipun sekadar jual getah sekerap orang kampung atau rembat jeans lusuh di ampaian jiran.

“Kehidupan sahabat-sahabat sangat rapat dengan perjalanan hidup saya kerana saya sendiri bekas anak jalanan. Saya faham rasa hati sahabat-sahabat.

“Akui kita pernah khilaf, dan anggaplah ini satu didikan Allah untuk kita berubah ke arah kebaikan. Usah toleh lagi ke belakang, walaupun ini mungkin kali ke 2, 3 atau pertama sahabat-sahabat berada di sini. Ada orang kadang-kadang perlukan hanya sekali ‘sebatan’ sebelum berubah dan ada yang perlukan berkali-kali sebatan.

“Tanggapan negative masyarakat terhadap kita ialah apabila kita gagal membuktikan bahawa kita mampu menewaskan kelemahan diri sendiri. Pandanglah masa depan dengan penuh harapan.

"Sekalipun saya adalah seorang PLHIV, saya tidak akan mengalah dan akan berjuang selagi bernafas. Kita yang mengubah diri kita sendiri. Saya merayu sahabat-sahabat yang disayangi, marilah kita berhijrah dan berjuang…”

Lebih kurang begitulah yang aku kongsikan. Akhir ucapanku, aku ajak mereka berdoa. Entah betul atau tidak apa yang aku cakap, akupun tak pasti. Yang penting aku ikhlas nak sampaikan mesej, kongsi dan berikan sokongan. Selebihnya terpulanglah kepada diri masing-masing dan hidayah Allah.






Seterusnya aku pelajari sesuatu semasa melihat sahabatku Luka Rafieqa mengendalikan sesi pencegahan STDs secara tepat kepada ahli keluarga. Bukan main meriah lagi ahli keluarga bila dikaitkan dengan topik tersebut, maklumlah sunyi berada di PUSPEN dan Luka Rafieqa pula memang berpengalaman. Nakal kau orang, hihihi…

Seterusnya sesi soal jawab. Ada 2 peluang soalan yang boleh ditanyakan kepadaku.

Soalan pertama berkaitan penyebaran maklumat yang tidak adil kepada golongan PLHIV dan penyalahgunaan dadah.

Secara ringkasnya aku jawab,

“Memang berita sensasi mengenai PLHIV dan golongan penyalahgunaan dadah punya nilai komersial dan boleh dijual kepada pembaca atau penonton. Jika pihak media gagal membuat penyelidikan daripada sumber yang tepat terhadap isu berkaitan, maka timbul dan bertebaranlah fitnah dan salah faham tersebut.  

“Tetapi jika kita bercakap tentang masalah, masalah akan timbul di mana-mana sahaja sekalipun kita bukan PLHIV atau penyalahguna dadah. Ingat, penyalahguna dadah bukanlah penjenayah, tetapi adalah pesakit yang perlu dibantu dan dirawat. Samalah seperti HIV. HIV bukannya penyakit, tetapi virus. Sehingga sekarang, masih ramai PLHIV sendiri yang belum mampu bezakan antara PLHIV dan pesakit HIV.

“Pilihan yang kita ada hanyalah melalui cara membuktikan bahawa kita tidak seperti yang mereka fikirkan. Kalau mereka silap, jangan kita jadi dua kali lebih silap. Kalau ada kedunguan, jangan jadi dua kali ganda lebih dungu.

“Bangkitlah, sama-sama berperanan menyebarkan nilai positif dan dakwah. Tiada pilihan lain kecuali kita perlu berubah dan berjuang, berjuang dan berjuang…”

Soalan kedua berkaitan boleh atau tidak PLHIV berkahwin mengikut pandangan Islam. Jawapanku:

“Saya bukan pakar di bidang agama, tetapi setahu saya, tiada satu nas atau dalilpun yang mengatakan PLHIV haram berkahwin. Pendapat dungu saya tak peduli. Begitu juga sama ada pada peringkat Majlis Fatwa Kebangsaan, dan dasar KKM tidak pernah mengatakan haram.

“Isu yang timbul ialah dalam soal ‘Kufu‘.” Jika pasangan redha dan atas kerelaan sendiri, itu hak mereka. Jika mampu dan ada calon yang sudi,  mengapa tidak?

“Walau bagaimanapun, terdapat beberapa prosedur kawalan jangkitan yang perlu dilalui.

“PLHIV boleh berkahwin, tidak menjangkitkan virus kepada pasangan, dan mampu memiliki zuriat bebas HIV sekiranya mereka memahami, mematuhi nasihat doktor dan mendapat rawatan yang sewajarnya. Ramai di kalangan sahabat-sahabat saya telah membuktikannya.

“Paling penting ialah mesti kuasai ilmu. Jika kita menguasai ilmu, apa sahaja masalah dapat diselesaikan. Apabila telah pulih dan bersedia untuk berkahwin nanti, hubungi saya. Saya cuba aturkan.” Aku buat cabaran dan lawak bodoh. Hehehe…

Terakhir adalah sepatah dua kata penutup:

“Kehadiran saya di sini semata-mata atas rasa kasih sayang. Jika dalam 300 orang sahabat-sahabat yang mendengar perkongsian saya ini, 30 orang sahaja sekalipun yang terbuka hati untuk berubah, itu adalah peluang jihad dan pahala yang saya perlu rebut. Sahabat-sahabat perlu menjadi idol kepada masyarakat.”

Akhir sesi, kami disediakan minuman petang oleh pihak PUSPEN Karak bersama Encik Ahmad Yusrey dan lain-lain kakitangan yang kelihatan sungguh komited terhadap bidang dan kerjaya mereka.

Tabik bro… kau orang semua sentiasa hidup dalam pahala yang melimpah ruah.

Terima kasih atas kesudian menjemput aku berkongsi pengalaman. Mohon maaf terlebih terkurang. Silalah jemput lagi jika dirasakan ada sedikit impak positif untuk dikongsikan.

Sebelum pulang, terasa bagaikan ingin memeluk semua ahli keluarga yang ada, tetapi apakan daya, mereka ramai sangat. Aku sempat memeluk Luka Rafieqa selama dan seerat mungkin. Tak terluah dengan kata-kata tentang perasaanku, tetapi aku yakin pelukan dan kelopak mata yang berkaca cukup menggambarkan betapa aku belajar banyak perkara dan berkongsi rasa dengan beliau.

“I Love You So Much, Fieqa”

(Eh, kau orang ni, ingat aku ada skandal ke? Aku ada 2 orang isteri tau tak? Jantan straight ok! Hahaha…)


AHP: Tak clear tentang maksud PUSPEN? Kau orang google lah sikit…