Friday, March 16, 2012

HIV: BEBERAPA CATATAN PENTING DALAM DIARY KEHIDUPANKU SEBAGAI PLHIV


12 Mac 2012 (Isnin)

Ditemani isteri-isteriku ke HTAA, Kuantan menghadiri temujanji dengan doktor pakar haematology bernama Dr. Ahlam Naila. Kepada pembaca setia blog ini pasti faham kenapa aku perlu menghadirinya.

Walaupun hakikatnya sekadar memandang bangunan hospital pun sudah membuat aku trauma, inikan pula menjalani rawatan di sana. Demi sebuah perjuangan, aku terpaksa gagahkan diri.

Aku jangkakan rawatanku kali ini hanya untuk mendapat 2nd opinion tentang masalah platelet dan CD4ku yang rendah dan mendapatkan kaunseling sama ada adakah aku betul-betul perlu menjalani semula Bone Marrow Biopsy, seperti yang dimaklumkan. Rupa-rupanya tidak!

Kaunseling berkaitan memang dilakukan, tetapi seolah-olah focus rawatanku kali ini untuk mengesahkan punca aku mendapat HIV. Kemudian, seolah-olah aku akan memulakan rawatan di HTAA pula. Luka di hati, hanya Tuhan yang tahu.

Mula-mula aku diperiksa oleh seorang doktor lelaki muda.

“Pernah main bohsia tak?” “Tak ada, ada maklumat dalam fail rawatan terdahulu.”
“Pernah berkongsi jarum suntikan dadah?” “Tak ada.”
“Pernah minum arak tak?” “Tak.”
“Pernah tercucuk jarum tak?” “Tak pasti.”
“Pernah main belakang dengan sesama lelaki tak?” “Tak ada.”

Aku tersenyum sinis mendengar pertanyaan yang sungguh bijaksana dan doktor tersebut sentiasa melindungi tanda namanya dengan memakainya secara terbalik.

Soalan-soalan bijak ni kadang-kadang buat aku kepingin jawab secara reverse psychology untuk melihat respon mereka.

Apa kata agaknya kalau aku kata:
“Pernah main bohsia tapi pakai kondom.”
“Pernah suntik dadah tapi tak kongsi jarum.”
“Pernah meliwat Halim (sekadar nama contoh) tapi pakai kondom. Hahaha…

Mesti dia orang kata kondom pun belum tentu selamat, kan?

Paling best, masih sempat bagitahu, “Tak ada risiko jangkitan HIV melalui pemindahan darah, encik…”

Aik, ada aku tanya ke?

Owh, ye ke? Baru aku tahu. Habis, yang sign borang akujanji untuk akur risiko jangkitan sebelum pemindahan darah tu tak perlulah ya? Dua kali tests yang mengesahkan aku HIV negative sebaik sahaja selepas pemindahan darah tu tak ada makna apa-apalah ya.

Ini kaunseling untuk urusan lain, kan? Bukan pasal punca jangkitan.

Kemudian dicari semua symptoms HIV yang mungkin aku alami. Mereka tanya sejak bila aku susut berat badan. Tanya punca aku dimasukkan ke hospital. Tanya sama ada isteri-isteriku bebas HIV. Tanya sejak bila aku guna kondom. Tanya sama ada anak-anak dah test HIV atau belum. Tekan-tekan perut untuk tahu itu ini. Cek kemungkinan lymphoma, jangkitan di mulut dan sebagainya.

Allahu Akbar!

Kemudian kaunseling pula dengan Dr. Ahlam Naila.

Tak mengapalah, aku dah tua, malas aku nak cakap banyak. Doktor kan pandai-pandai semuanya. Terima kasih banyak-banyak, doktor.

Sampai ke hospital sebelum 9 am. Habis rawatan termasuk 2 kali ujian darah sehingga 2:15 pm.

Habis sahaja di HTAA, aku terus menelefon Dr. Iskandar mohon untuk berjumpa dan mendapat kaunseling lanjut. Kami bergegas ke KK Jaya Gading. Apa yang aku boleh katakan, tidak ramai yang sehebat Dr. Iskandar dalam soal keikhlasan dan keprihatinan melayan patients.

Setelah mendapat kaunseling daripada Dr. Iskandar, aku rasa sedikit lega walaupun sehingga sekarang telah sampai ke satu tahap aku dah tak kuasa nak ingat dan berkongsi pengalaman rawatanku di HTAA tempoh hari.

Keberkesanan sesuatu rawatan atau kaunseling ialah apabila kaunselor atau doktor mampu membina kepercayaan dengan client. Kalau client sampai tahap malas bercakap dan sibuk nak balik, tak ada gunanya. Betul, aku tak berminat.

Mudah cerita, anggap sahaja tak ada apa-apa masalah. Allah ada. Ya, Allah ada!

14 Mac 2012 (Rabu)

Atas pencalonan dan galakan beberapa orang sahabat terutama Mizan, aku dicalonkan untuk menghadiri temuduga sebagai sebahagian daripada mereka yang telah disenaraipendekkan untuk  menerima Tun Dr Siti Hasmah Award 2012 anjuran MAC.

Secara ringkasnya, award ini diberikan kepada individu, NGOs dan badan sukarelawan yang telah banyak berjasa kepada komuniti di Mandarin Oriental Hotel KL.

Sejak awal, aku memang rasa tidak layak untuk menerima anugerah ini terutama baru setahun jagung terbabit dalam komuniti. Walau bagaimanapun, atas galakan dan sokongan semua, aku hadir sebagai tanda menghargai sokongan mereka.

Mizan sempat mengucapkan selamat berjaya dari Mekah. Anak dara kami, As sanggup balik dari Kerteh dan menemaniku bersama isteri-isteriku ke sana. Macam-macam cara As dan isteri-isteriku cuba menenangkan aku yang memang menggelabah.

Anak dara kami, AO bersungguh-sungguh mengucapkan selamat walaupun pada hari tersebut menangis dalam tandas. Hahaha... Begitu juga sahabat-sahabat rapat yang lain terutama kumpulan sokongan Positive Warriors.

Panik aku melihat senaraipendek tersebut terdiri daripada NGOs berpengalaman, korporat ternama dan besar-besar, artis-artis, dan doktor-doktor pakar. Tak mengapalah. Aku hadir sekurang-kurangnya untuk berkongsi pengalaman dan menambahkan link.

Tadi, 16 Mac 2012 (Jumaat) aku mendapat maklumat bahawa aku tidak berjaya.

Tak mengapa. Kalah atau menang bukan isu. Aku sedar kemampuanku. Siapapun pemenangnya, aku turut gembira. Sekurang-kurangnya aku telah berpeluang menimba pengalaman berharga. Maafkan aku sahabat-sahabat, aku tidak mampu menunaikan impian kalian.

Sesuatu yang aku terfikir, alangkah bagus dan tepatnya jika Dr. Iskandar Firzada bin Osman yang menerima pencalonan tersebut.

1-3 Mac 2012 (Malam Jumaat-Sabtu) dan 13-15 Mac 2012 (Selasa-Sabtu)

Anak dara kami – As, Survivor, Sha, Along dan Fadil Fadilah berkampung di rumahku untuk sama-sama berkumpul sebagai sebuah keluarga besar.

As ikhlas balik ke rumah bersama keluarga sebanyak 2 kali dalam waktu seminggu. Sha kerana bimbang dengan rawatan HAART yang baru dilaluinya dan perlukan sokongan. Survivor atas keprihatinannya untruk menziarahi kami. Along dan 'Fadil Fadilah' untuk berkongsi rasa dan sokongan.

Sama-sama menikmati BBQ, makanan dan minuman secara ala kadar, melakukan pelbagai aktiviti termasuk solat jemaah, tadarus, dan tazkirah bersama-sama amat membahagiakan.

Tiada apa yang dapat aku perkatakan kecuali kami sekeluarga bersyukur atas kehadiran mereka yang datang membawa barokah dan rahmat. Maafkan segala kekurangan kami terutamanya keadaan kemampuan diriku yang terlalu kepenatan.

Asalkan keluarga dan sahabat-sahabat berbahagia, itu sudah cukup bermakna bagi kami sekeluarga. Mungkin 18 Mac dan 30 Mac-1 April 2012 nanti akan ada lagi sahabat-sahabat dan ahli keluarga komuniti yang akan menziarahi.

Itu sahaja, tolong doa-doakan semoga iman kita terpelihara dalam menghadapi segala ujian ini.

Hanya Allah tempat memohon segala perolongan. HANYA ALLAH!