Tuesday, March 27, 2012

HIV: 500, 000 KUNTUMAN HARAPAN UNTUK MENJALANI KEHIDUPAN YANG LEBIH POSITIF



Alhamdulillah, Sabtu lepas (24 Mac 2012), jumlah pengunjung blog ini secara rasminya melebihi setengah juta orang pengunjung dalam tempoh setahun 2 bulan ianya diwujudkan.

Aku memang bercadang nak buat entry khas sempena pencapaian tersebut, tetapi malangnya kesibukan melampau bersama komuniti dalam kehidupan harian menghalang hasrat mengemaskini blog.

Bagi sebuah blog kerdil yang bukan mengutamakan berita sensasi, pencapaian tersebut amat membahagiakan. Ianya cukup bermakna kerana ianya antara indicator pencapaian perjuanganku menyebarkan info bermanfaat kepada masyarakat.

Dalam tempoh setahun, bermacam-macam yang telah kita kongsikan. Info, motivasi, HAART, tips, kaunseling, khidmat sokongan komuniti, tazkirah, dan sebagainya bersama para pembaca.

Sudah tentu ianya bukan terlalu sempurna, tetapi cukuplah sebagai maklumat asas secara santai. Aku juga bukan pakar di bidang perubatan dan keutamaan adalah lebih kepada perkongsian sokongan moral.

Melalui beberapa kategori yang telah ditetapkan, terutamanya dalam kategori AKU, hampir semua sejarah suka-duka hidupku sebagai PLHIV aku kongsikan. Bukan bertujuan mendedahkan aib diri, tetapi lebih kepada berkongsi rasa dan pengalaman.

Alhamdulillah, melalui blog ini juga, aku dapat menjalin hubungan dengan beberapa NGOs tertentu yang terlebit secara aktif dan profesional membantu komuniti, bahkan beberapa individu berpengalaman yang berhati mulia, doktor-doktor, kakitangan KKM, para pelajar di bidang perubatan, dan sebagainya.

Jika aku mahu senaraikan, senarainya terlalu panjang dan bagi pengunjung yang biasa ke blog ini, nama-nama tersebut sangat sinonim. Kadangkala mereka tidak menonjol di blog, tetapi sentiasa membantuku melalui emel, SMS dan sebagainya.

Bukan itu sahaja, kita juga berpeluang membina rangkaian kumpulan sokongan yang dinamakan sebagai POSITIVE WARRIORS dan rangkaian blog komuniti PLHIV yang sentiasa terbuka berkongsi pengalaman dan suka-duka, saling bantu-membantu dan sebagainya. Ianya cukup-cukup menakjubkan dan bermakna.

Bahkan akhir-akhir, ini blog kita turut mendapat perhatian beberapa tokoh dan pemimpin penting dalam masyarakat termasuk pihak media.

Sokongan para pembaca pula, Allahu Akbar! Tidak putus-putus bersilih ganti. Hanya Allah yang dapat membalas jasa baik semua. Pertolongan Allah datang tanpa disangka-sangka.

Untuk itu, atas semua perkongsian yang sungguh bermakna ini, aku doakan kalian sentiasa berada dalam rahmat dan redha Allah dunia akhirat. Aku tidak mampu membalas jasa kalian.

Teruskan sokongan dan perkongsian secara positif di sini. Tolong sebar-sebarkan maklumat atau mengenai blog ini supaya kita dapat mencegah HIV secara tepat kepada masyarakat.

Kepada semua sahabat PLHIV, ujian virus ini terlalu ringan jika dibandingkan dengan segala ujian Allah yang lain. Yakinlah kita mampu hidup seperti insan lain, bahkan dalam keadaan sentiasa diberi peringatan untuk memperbaiki kelemahan diri.

Kekuatan kita adalah daripada pertolongan Allah dan dalaman diri sendiri. Aku bukanlah individu yang memberikan inspirasi, kekuatan, dan sebagainya kerana aku juga punya masalah serta ujian yang sama. Kadangkala kuat dan ada ketikanya turut memerlukan sokongan.

Insya-Allah selagi langkah mampu dihayun, selagi itu perjuangan diteruskan.

Sunday, March 25, 2012

HIV ATAU PARANOID YANG LEBIH BAHAYA?


Gadis itu baru berusia belasan tahun, namun dia mempunyai sikap berdikari yang amat tinggi di dalam dirinya. Dia sukakan cabaran dan yang paling menonjol adalah sikap periang. Dia mudah diterima walau di mana pun dia berada.

Ibunya sering bergurau dengan mengatakan, "Adawiyah ni buang kat pulau pun boleh hidup, buang kat hutan boleh hidup." Itulah yang sering digambarkan tentang gadis lincah itu. Namun hakikatnya dia juga masih seorang manusia yang memendam segala perasaan. Baginya, sepahit manapun perlu ditelan dan cukuplah yang manis dizahirkan.

Keputusan SPMnya tidak secemerlang kawan-kawannya. Kawan-kawannya sudah ada yang membuat ke persediaan untuk keluar negara, matrikulasi atau ke mana-mana sahaja Institut Pengajian Tinggi. Dia masih di sini dan mungkin akan meneruskan pengajian ke Tingkatan 6.

Sungguhpun keputusan SPMnya tidak secemerlang mana, tetapi tidaklah gagal kerana dia masih boleh melanjutkan pelajaran ke Tingkatan 6 Sains.

Langkahnya ke Tingkatan 6 Sains kali ni amat longlai, antara suka dan tidak. Antara mahu dan tidak mahu. Namun hanya inilah satu-satunya peluang baginya untuk melanjutkan pelajaran. Benci menyarung pakaian seragam sekolah mula dirasai. Bezanya kali ini, pakaian seragamnya serba putih yang menunjukkan dia berada di pra-U. Bukan lagi murid sekolah menengah biasa.

Cikgu Idris yang merupakan kaunselor sekolah menerangkan bahawa Tingkatan 6 ini umpama memasukkan kaki kanan ke universiti. Terpulanglah kepada pilihan masing-masing sama ada mahu menarik diri atau mahu meneruskan langkah. Gadis itu hanya diam, fikirannya kosong. Cita-citanya mahu ke alam universiti bersama teman dan rakan baiknya.

Saban hari dia menerima pesanan ringkas di telefon bimbitnya menceritakan keseronokan berada di dunia luar dan kehebatan universiti masing-masing. Mahu sahaja gadis itu membaling telefonnya ke dinding. Namun dia perlu bersabar kerana bukan murah telefon yang ayahnya hadiahkan sempena hari lahirnya yang ke-17. Walaupun bukanlah jenis yang mahal, tetapi Adawiyah tetap menghargainya.

Adawiyah sebenarnya anak kampung dan dilahirkan pada tahun 1990.  Ayahnya Ismail menamakannya dengan nama Afia Adawiyah. Tidak ada Nurul, Siti, mahupun Nur di depannya.

Kata ayahnya sambil berseloroh, “abah namakan kakak sebagai Adawiyah supaya nama kakak sentiasa di depan sekali sebab bermula dengan A."

Pakcik Ismail adalah seorang guru sekolah rendah yang mengajar Matematik dan isterinya Puan Sabariah merupakan surirumah sepenuh masa. Adawiyah merupakan puteri sulung mereka. Kemudian lahirlah pasangan kembar yang diberi nama Amir Adwa dan Aiman Afiq. Amir dan Aiman masih muda dan mentah.

Sebagai anak sulung, Adawiyah gemar mengusik adik-adiknya. Sikapnya diwarisi daripada ayahnya yang merupakan seorang guru yang baik serta mudah didekati oleh anak-anak murid. Setiap tahun apabila menyambut Hari Guru, Cikgu Ismail adalah antara guru yang mendapat hadiah yang paling banyak.

Ujian buat Adawiyah tidak terhenti di situ. Sedang sibuk belajar di kelas, tiba-tiba seorang guru datang di muka pintu memanggil namanya dan berkata, "Adawiyah. Ayah awak kemalangan. Sekarang dia berada di hospital." Guru tersebut menepuk bahunya dan berlalu pergi.

Pucat lesi muka Adawiyah mendengarnya. Adawiyah segera mengemas buku dan meminta izin untuk meninggalkan kelas. Dalam keadaan badan yang terketar-ketar selepas menerima berita ayahnya, Adawiyah langsung tidak mengalirkan air mata. Mungkin  kerana masih dalam keadaan terkejut.

Adawiyah meninggalkan kelasnya dan segera pulang ke rumah. Sampai di rumah, ibunya dan adik-adiknya sedang menangis. Segera Adawiyah memeluk Puan Sabariah. Teresak-esak Adawiyah di dalam pelukan Puan Sabariah. Mereka segera menaiki kereta untuk ke hospital. Sampai di hospital, Adawiyah segera berjumpa petugas yang bertugas dan bertanya akan hal ayahnya.

Sebelum itu, di Unit Kecemasan menerima pesakit yang kemalangan. Pesakit tersebut retak bahu kanan dan patah kaki kiri akibat jatuh daripada motor ketika dalam perjalanan ke tempat kerja. Kemalangan berlaku apabila sebuah kereta melanggar lampu merah dan Cikgu Ismail terlanggar kereta tersebut.

Akibatnya, Cikgu Ismail terpelanting dan terhempas ke jalan. Nasib baik topi keledar dipasang kemas. Bahagian kepala Cikgu Ismail terselamat daripada hentakan. Topi keledar yang direka untuk menyerap hentakan telah menyelamatkam kepala Cikgu Ismail daripada mendapat kecederaan dengan izin Allah. Hanya bahu dan kakinya mengalami kecederaan yang amat serius.

Di Unit Kecemasan, Dr. Fatimah sedang bertungkus-lumus merawat Cikgu Ismail. Dr. Fatimah merupakan doktor pakar kecemasan. Beliau sangat tenang merawat pesakit. Beliau harus segera membuat keputusan kerana nyawa pesakit kini berada di tangannya.

Beliau bertugas dengan penuh pengharapan kepada Allah dengan segala usaha dan ilmu yang dipelajari. Namun, hanya Allahlah penentu ajal maut seseorang. Beliau hanya mampu berusaha.

Cikgu Ismail dikatakan kehilangan darah yang banyak. Unit Tabung Darah di hospital segera menjalankan ujian darah bagi menentukan darah yang sesuai untuk Cikgu Ismail untuk meneruskan kelangsungan hidup. Darah segera dimasukkan ke dalam badan Cikgu Ismail.

Cikgu Ismail berdarah AB yang sukar untuk dicari. Namun hospital masih ada beberapa bekalan darah jenis AB. Hospital sentiasa memastikan darah mencukupi. Setiap hari ada saja kempen menderma darah dijalankan sama ada di sekolah mahupun melalui jabatan atau syarikat tertentu. Mereka bergerak mengutip darah di lokasi-lokasi yang ditetapkan.

Adawiyah menjaga ayahnya dengan penuh kasih sayang tanpa keluh-kesah dan rungutan. Hubungan anak dan ayah ini memang baik sejak kecil kerana Adawiyah  mempunyai adik-adik yang memerlukan perhatian Puan Sabariah. Keadaan ini menjadikan Adawiyah lebih rapat dengan ayahnya berbanding ibunya.

Segala masalah dikongsi bersama ayah tercinta. Kini gilirannya untuk membalas segala jasa ayahnya. Masih jelas di dalam ingatanya ketika menerima keputusan SPM yang tidak cemerlang. Adawiyah sendirian menangis di dalam billik. Pintu bilik diketuk dan kemudian dibuka. Ayahnya datang sambil memegang bahu dan mengusap belakang Adawiyah dan berkata, "Sabarlah. Ini semua ujian. Usaha telah dilakukan, cuma tawakal itu kepada Allah. Mungkin ada hikmah di sebalik ujian ini."

Sebulan sudah berlalu. Cikgu Ismail sudah pun beransur pulih. Dia diberi cuti selama 3 bulan untuk memastikannya betul-betul pulih sebelum kembali bertugas sebagai guru.

Menjelang bulan ketiga, Cikgu Ismail mula menunjukan tanda-tanda yang luar biasa. Tubuhnya kurus kering, cengkung, dan asyik demam. Apabila demamnya kebah, mudah pula untuk mendapat demam kembali. Puan Sabariah yang risau akan keadaan itu mengajak Cikgu Ismail untuk berjumpa doktor. Puan Sabariah menjangkakan mungkin akibat kesan sampingan daripada kemalangan.

Seminggu berlalu. Keputusan ujian darah menunjukkan suaminya mengidap HIV positif. Cikgu Ismail tidak dapat menerima tamparan hebat ini. Bagaimana dia mendapat HIV sedangkan dia tidak pernah melakukan seks bebas dan menghisap dadah. Apatah lagi berkongsi jarum suntikan.

Encik Ismail yang kebingungan ditenangkan oleh doktornya, namun dia masih tidak dapat menerima keputusan ini. Mereka pulang ke rumah. Memandangkan Cikgu Ismail tidak mampu memandu, Puan Sabariah menggantikannya.

Cikgu Ismail hanya memerhatikan isterinya yang tenang dan menggenggam tangannya sambil berkata, "Sumpah, saya tidak pernah melakukan aktiviti berisiko." Puan Sabariah diam dan tetap tenang memandu, namun dalam hatinya tiada siapa yang tahu. Bagaikan panahan kilat ketika melihat keputusan ujian HIV suaminya.

Cikgu Ismail yang sedang bingung mengalirkan mutiara jernih di pipi segera membawa tangan Puan Sabariah ke pipinya dan berkata sekali lagi, "Sumpah, saya tidak pernah curang mahupun menghisap dadah." Teresak-esak Cikgu Ismail menangis sehingga Puan Sabariah tidak mampu melihat keadaan suaminya, memberhentikan kereta di bahu jalan. Menangislah pasangan suami isteri yang diduga Allah ini.

Sampai di rumah, pasangan ini bijak menyembunyikan kesedihan di hati. Tanpa syak wasangka, mereka berlakon seperti tiada apa yang berlaku. Beberapa bulan sudah berlalu. Pasangan ini asyik berulang-alik ke hospital tanpa memberitahu keadaan sebenar kepada anak-anak mereka. Adawiyah semakin hairan melihat kelakuan ayahnya. Adawiyah terasa hati dengan sikap ayahnya kebelakangan ini yang lebih banyak menyendiri, gagal memberi respon jika Adawiyah bertanya, bahkan kadangkala ayahnya enggan ke sekolah. Lebih suka duduk di rumah.

Adawiyah masuk ke bilik ibu bapanya ketika mereka ke hospital. Diselongkar laci dan almari lalu menjumpai keputusan ujian darah. “HIV +” Terduduk gadis tersebut. Patutlah ayahnya tidak ceria dan lebih banyak membisu. Hilang gelak tawa di dalam rumah itu.

Apabila ibu dan bapanya pulang dari hospital, Adawiyah masuk ke bilik mereka. Segera mengunci pintu bilik dan menunjukkan keputusan ujian darah tersebut sambil menunggu jawapan.

Suasana di dalam bilik ketika itu sunyi. Adawiyah menunjukkan ekspresi muka yang marah dan menanti jawapan. Pasangan suami isteri itu diam. Adawiyah yang ketika itu geram melemparkan keputusan tersebut ke arah ayahnya dan berlalu pergi. Pintu bilik dihempasnya sekuat-kuat hati. Adawiyah masuk ke biliknya dan mematikan diri. Adik-adik hanya terdiam melihat perangai Adawiyah. Tidak pernah dilihat perangai kakak mereka sebegitu.

Pintu bilik Adawiyah diketuk berkali-kali. Adawiyah enggan membuka pintu, bahkan segera menutup lampu. Menangislah Adawiyah sepanjang malam, sendirian di dalam bilik.

Keesokan harinya, Adawiyah kelihatan lemah di sekolah. Dia enggan terlibat dalam apa-apa aktiviti. Ketika waktu rehat, Adawiyah berasa bosan dan dengan segera mengambil buku dan pulang. Adawiyah sudah pandai ponteng. Gadis itu memberontak, fikirannya bercelaru dan marah dengan ayahnya. Menjelang senja barulah Adawiyah pulang ke rumahnya.

Puan Sabariah segera mendapatkan anak sulungnya, namun tiada satu perkataan yang keluar daripada mulut Adawiyah. Melintas di hadapan Cikgu Ismail, Adawiyah menjeling tajam. Kemarahannya belum reda. Puan Sabariah dan Cikgu Ismail hanya diam. Panggilan adik-adiknya tidak bersahut.

Sikapnya semakin hari semakin pelik. Jika waktu makan, Adawiyah sanggup tidak makan bersama keluarga. Cikgu Ismail yang tidak tahan melihat sikap Adawiyah, memangil anak sulungnya untuk berbincang.

"Kenapa Kak Long? Sayang marahkan abah? Abah..." Belum sempat abahnya menghabiskan ayat, Adawiyah terus menengking.

"Abah apa? Kak Long tak mempunyai abah yang jahat. Kak Long tidak ada abah!" Segera "Kak Long" itu bangun dan masuk bilik. Panggilan dan pujukan abahnya tidak dipedulikan.

Saban hari sikap Adawiyah semakin menjengkelkan. Kadangkala Puan Sabariah turut menerima tempiasnya, namun mereka tetap bersabar dengan sikap anak gadis mereka. Adawiyah tidak dapat menerima ayahnya HIV+. Sewaktu maklumat di media massa terutamanya TV yang menyampaikan info mengenai HIV, Adawiyah segera bangun dan menutupnya. Sikapnya semakin hari semakin baran.

Pada suatu hari, Adawiyah ditugaskan untuk membantu pihak sekolah untuk menjalankan kempen kesihatan dengan kerjasama pihak KKM. Tidak pula Adawiyah tahu kempen tentang apa kerana sejak mengetahui ayahnya HIV positif, Adawiyah tidak ceria, pemarah, dan juga mula bersikap kurang ajar.

Guru Kaunselornya sengaja memberikan Adawiyah tugas yang berat sebagai cara untuk mendekati dan menyelami gejolak jiwa remaja tesebut yang semakin bermasalah. Cikgu Rosmah tahu Adawiyah bukanlah murid yang nakal. Dia kenal Adawiyah semenjak Tingkatan Satu lagi.

Ketika itu, beliau baru mengajar di sekolah tersebut. Guru yang masih hijau itu bijak mengambil hati anak-anak muridnya sehingga menjadi guru kesayangan anak-anak murid, terutamanya anak-anak murid yang berada di Tingkatan Satu ketika itu. Kini, sesudah 6 tahun mengajar di sekolah tersebut, Cikgu Rosmah amat mengenali karekter anak-anak muridnya.

Cikgu Rosmah memberikan tugas kepada Adawiyah sebagai pengacara majlis dan Adawiyah melakukan tugas tersebut dengan mudah kerana itu bukan kali pertama beliau menjadi pengacara majlis. Namun ketika menyiapkan teks ucapan di hadapan Cikgu Rosmah, Adawiyah tiba-tiba memberontak dan enggan menjadi pengacara majlis setelah mengetahu kempen tersebut berkaitan kesedaran HIV.

Cikgu Rosmah enggan mendengar alasan Adawiyah. Dalam keterpaksaan, Adawiyah menerima tugas tersebut. Walaupun dalam dilemma, dia juga tidak mahu melukakan hati Cikgu Rosmah yang banyak memberi tunjuk ajar.

Ketika kempen kesedaran bermula, ramai pelajar dan guru hadir di dalam dewan untuk mendengar ceramah kempen kesedaran HIV. Yang menariknya, setiap pelajar yang berjaya menjawab soalan dengan betul. Hadiah pula disediakan dan yang lebih menarik, para pelajar dapat belajar secara tidak formal dan melupakan rutin kelas buat seketika.

Adawiyah enggan mendengar sebarang ceramah di sepanjang majlis tersebut. Bermacam-macam alasan yang difikirkannya, namun dia buntu. Dia banyak membisu sehinggalah dia terdengar salah seorang daripada penceramah berkata, "HIV hanya boleh merebak melalu cairan tubuh contohnya hubungan seks rambang."

Ketika perkataan seks rambang disebut, Adawiyah ingin segera menutup mata dan telinganya. Baginya ini sejarah hitam ayahnya terhadap keluarga. Ayah yang dipercayai telah meragut kepercayaan dan kasih sayang Adawiyah. Namun untuk melakukannya di khayalak ramai, Adawiyah tahu dia akan menjadi perhatian.

Dia hanya mampu tunduk sehingga lah dia mendengar ayat, "HIV juga boleh merebak melalui pemindahan darah." Segera Adawiyah mengangkat mukanya. Sewaktu itu Adawiyah seolah-olah dibawa ke masa silam di mana dia segera dapat mengingati memori ketika ayahnya kemalangan beberapa bulan lalu.

Memori itu umpama puzzle yang datang bertubi-tub dan mula terbayang-bayang di ingatannya. Adawiyah tersentap! Ketika itu Adawiyah dengan tekun mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut penceramah tersebut.

Adawiyah menahan air matanya, dadanya berombak menahan sebak. Di dalam dewan yang ramai ketika itu, Adawiyah merasakan bagaikan hanya dia dan penceramah sahaja yang ada ketika itu. Adawiyah hilang dan tenggelam dalam keriuhan.

Sepenuh perhatiannya diberikan kepada isi ceramah tersebut. Hanya istighfar di mulutnya untuk menahan sebak dan air mata. Dia tidak akan sesekali membiarkan air matanya tumpah di hadapan orang ramai.

Adawiyah pulang ke rumah dan masuk ke biliknya. Dia malu kepada ayah dan ibunya atas sikapnya beberapa bulan ini. Dia diam dan membisu. Dilihat ayahnya sedang bermalas-malasan di kerusi rehat di luar rumah. Sejak menghidapi HIV, Cikgu Ismail sering letih dan lesu tanpa bersebab.

Adawiyah mengumpul segenap kekuatan berjumpa ayahnya. Dia duduk membisu di sisi ayahnya tanpa sepatah perkataan yang keluar daripada mulut mereka. Cikgu Ismail tenang melihat anak gadisnya. Puan Sabariah hanya memerhati dari dapur gelagat anak-beranak itu.

Perlahan-lahan Adawiyah memegang tangan ayahnya. Sambil teresak-esak,  segera dikucupnya tangan tua tersebut. Menangislah Adawiyah sepuas-puasnya melepaskan sebak di dada. Berpelukan anak-beranak itu dan Adawiyah meminta maaf kepada ayahnya tentang sikapnya yang cepat membuat kesimpulan.

Cikgu Ismail yang memang terkenal dengan sikap pengasihnya hanya memberikan kuntuman senyuman. Cikgu Ismail tahu anaknya bukan berniat begitu, tetapi keliru. Kurang pengetahuan mengenai HIV menyebabkan Adawiyah mudah bersikap judgmental, negative thinking dan malpractice terhadap PLHIV. Stigma yang dihadapi Adawiyah beberapa bulan ini bukanlah disebabkan HIV, tetapi disebabkan Adawiyah sendiri yang kurang mencari maklumat yang tepat.

Puan Sabariah membawa minuman dan kuih untuk dinikmati bersama-sama. Puan Sabariah yang bijak tahu mengendalikan situasi. Dibiarkan anaknya itu bersama ayahnya melepaskan perasaan dan berbincang. Petang itu, kuih karipap ibunya dirasakan kuih yang paling sedap bagi Adawiyah.

"Kak Long tahu sebab sebenar abah namakan along sebagai Afia Adawiyah?" Soal Cikgu Ismail. Sambil memasukkan kuih ke mulutnya, Adawiyah menggeleng."

Sebabnya Afia bermaksud tenaga, kekuatan, dan Adawiyah pula adalah ubat atau penawar." Adawiyah segera memeluk ayahnya dan Cikgu Ismail hanya mengusap kepala anaknya itu.

Disambung lagi dengan kata-katanya yang sangat menyentuh perasaan. "Ketika kamu lahir, abah baru memulakan suatu perjalanan dalam kehidupan. Kelahiran kamu adalah kekuatan abah untuk menjadi manusia yang lebih baik dan kamu adalah ubat bagi segala kepenatan ketika itu. Kini, kamulah ubat dan kekuatan abah ketika ini."

Hasil nukilan  Anonymous One


Cerita ini rekaan tidak ada kena mengena dengan yang hidup atau yang mati 
Ini adalah hasil nukilan saya dalam menentang kejahilan HIV, bertemakan tema blog ini " against stigma, judgmental, negative thinking, discrimination and malpractice!" saya cuba menghasilkan karya santai dalam mendidik masyarakat untuk mengenal HIV dengan lebih tepat.Wallahualam. 
 

Thursday, March 22, 2012

INFO ASAS TENTANG WINDOW PERIOD, RISIKO DAN UJIAN HIV


Assalamualaikum

Saya kerap kali menerima email yang bertanyakan beberapa perkara berkaitan ujian HIV. Alhamdulilah saya menyambut baik. Namun ada beberapa perkara harus ditekankan.

Antara perkara yang saya ingin tekankan ialah tentang window period dan juga jenis-jenis ujian.

Perkara pertama yang menjadi kerisauan adalah berkaitan dengan window period. Ramai yang selalu salah faham tentang window period.

Ada di antaranya ingin melakukan ujian saringan HIV hanya apabila sudah 3 bulan selepas aktiviti berisiko dan ada pula di antaranya melakukan ujian saringan HIV setiap minggu sehinggalah masuk 3 bulan.

Biar saya jelaskan dengan mudah. Begini. Apabila anda terlibat dengan aktiviti berisiko, anda boleh melakukan ujian HIV selepas 2 minggu - 12 minggu.

Ini bermakna selepas 2 minggu aktiviti berisiko, sekiranya anda melakukan ujian HIV dan didapati positif, maka anda adalah positif HIV mengikut ujian saringan yang dilakukan.

Ini adalah penjelasan kepada yang beranggapan ujian HIV hanya boleh didapati positif selepas 3 bulan. Salah apabila anda memahaminya begitu.

Harus diingat. Dalam tempoh tersebut (3 bulan), anda tidak boleh melakukan aktiviti berisiko kerana tarikh terakhir aktiviti berisiko menjadi asas perkiraan.

HIV boleh dikesan seawal 2 minggu selepas aktiviti berisiko dan sehingga minggu ke-12. Jadi, jika anda sekarang berada pada bulan pertama selepas aktiviti berisiko dan ingin melakukan test HIV, dipersilakan. Kalau positif, maka anda HIV positif dan perlu melakukan ujian pengesahan HIV.

Bagi yang suka melakukan ujian setiap minggu pula, jika selepas minggu ke-12 anda masih negatif, maka anda telah selamat bebas HIV. Ini kerana window period bagi HIV adalah 2-12 minggu.

Keduanya pula adalah jenis ujian. Perlu difahami bagi penyaringan ujian HIV selalunya dilakukan rapid test. Rapid test adalah 99% ketepatannya dan rapid test yang digunakan di Malaysia mempunyai ketepatan begitu.

Ini bermakna, sekiranya 3 kali rapid tests menunjukkan hasil positif atau negatif, maka keputusan rapid test tersebut boleh diterima. Selepas ujian penyaringan ini dan jika didapati positif, barulah ujian ELISA akan dilakukan.

Sesetengah makmal swasta yang memang akan terus membuat ELISA tanpa membuat rapid test, bergantung kepada kehendak anda.

Yang ketiga, adalah simptom. Ramai yang bertanyakan hal simptom kepada saya. Saya tidak boleh melakukan diagnosis online kerana HIV boleh berlaku dengan simptom dan tanpa simptom.

Jadi cara yang terbaik adalah dengan melakukan ujian HIV. Hanya ujian HIV boleh menentukan anda HIV positif atau tidak.

Ramai juga bertanyakan saya tentang oral seks dengan pembawa HIV. Terus-terang saya katakan yang air liur tidak boleh menyebabkan jangkitan HIV.

Tidak kiralah mulut anda berdarah atau tidak. Begitu juga jika berkucupan, gigitan cinta, dan sebagainya. Secara teorinya, memang berkemungkinan, tetapi tidak pernah terbukti secara klinikal. Hanya seks tanpa perlindungan sahaja yang menyebabkan jangkitan HIV.

Ramai juga yang bertanya, jika ketika melakukan oral seks, terdapat luka di mulut, lidah dan darah, adakah mereka dijangkiti HIV? Atau ada yang bertanya sekiranya tertelan air mani, adakah boleh menyebabkan jangkitan HIV?

Apa yang boleh saya katakan ialah, apabila anda melakukan aktiviti berisiko, jalanilah ujian HIV. Saya tidak ada kuasa untuk menentukan anda dijangkiti HIV atau tidak.

Sebarang kenyataan daripada saya tidak boleh diambil kira sebagai keputusan muktamad. Hanya ujian HIV yang boleh menentukan tentang status HIV anda.

(AHP: Tetapi jika anda tetap tidak berpuas hati dan masih mahu mendapatkan kepastian sekalipun telah didapati positif atau negatif, buatlah seberapa banyakpun ujian yang anda mahu, di mana-mana sahaja selagi anda larat atau sehingga duit anda habis. Hahaha... )

Diharap entry ringkas ini dapat memberi panduan kerana saya sentiasa dihubungi dengan soalan yang sama sepanjang masa. Wallahualam.



Prepared and Published by: AO


Wednesday, March 21, 2012

PROGRAM MEMPERKASAKAN ORANG YANG HIDUP DENGAN HIV (PLHIV EMPOWERMENT PROGRAMME)



Salam Perjuangan

Salam sejahtera, 

Sukacita dimaklumkan bahawa Majlis AIDS Malaysia bakal memulakan Program Memperkasakan Orang Yang Hidup Dengan HIV (PLHIV Empowerment Programme). Program ini akan dilaksanakan sebagai jalinan kerjasama strategik di antara MAM dan MyPlus (Malaysian Network of People Living With HIV). 

Objektif utama program ini adalah untuk mengasah bakat dan ketrampilan anggota komuniti PLHIV supaya mereka mampu tampil ke hadapan sebagai jurucakap untuk komuniti. Selain itu, program ini juga bakal membuka peluang kepada PLHIV untuk bersatu dalam satu platfom advokasi dalam memperjuangkan isu-isu yang berkaitan dengan HIV dan AIDS, terutamanya tentang stigma dan diskriminasi. 

Program ini akan diadakan menerusi 3 bengkel bersiri yang akan diadakan pada sepanjang tahun 2012. Sehubungan dengan itu, kami ingin memohon kerjasama ahli-ahli gabungan MAM untuk menamakan calon-calon yang sesuai bagi menyertai program ini sebelum hari Jumaat, 23 Mac 2012.

Disertakan di sini surat jemputan daripada Presiden MAM, Y. Bhg Tan Sri Mohd Zaman Khan dan juga risalah yang mengandungi maklumat yang terperinci dan borang penyertaan untuk program berkenaan.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi anggota sekretariat program di talian:

Azahemy - 016 646 5874 / azahemy@mac.org.my
Siti Syazani - 019 3055 603 / syazani@mac.org.my
Puan Norlela - 019 259 5864 / ella@mac.org.my
Raffie - 019 635 3997 / raffie@mac.org.my
Zamzuri - 012 233 7563 / zamzuri@mac.org.my

Sekian, terima kasih


Published by: Puan Lifejacket

LIVING WITH HIV FIGHTERS: SHA, STIGMA DIRI DAN MANUSIA

A figure called Sha.


Skang ni macam-macam nama wanita yang lelaki guna. Sha, jangan terasa! ;)


PLHIV pertama As jumpa face to face through Abah. Time tu As baru sampai ke rumah dan Sha terjengul.

"Hi."

Dan itulah permulaan kisah sahabat.

Dia pandai masak rupanya. Bila sama-sama keluar shopping barang masak dengan depa-depa ni [Pak Ngah Survivor, Abah, Sha, dan Ibnu Sina] baru tau Sha pandai masak. Biasalah, bajet lelaki tak berapa tahu hal masak-masak.

Oh yes, petang tu dengan Sha kami make up spagetti bolognaise for BBQ. Mak lah macam teringin sangat je nak suh As masak. So I volunteered myself to cook for BBQ [eventhough I did not help much pun, baru stand setengah jam masak-masak dah sakit sangat. Heh!] Sorry Mak. Mak still top up the food dengan nasi goreng yang sedap. ^__^

[Tapi tak cuak langsung lah sebab bukan Mak mertua yang suh masak. Hihi!]

Malam tu Sha tolong As basuh-basuh pinggan mangkuk segala. Kira ni scene kat depan sinki. Korang imagine jelah ye. Tengah-tengah basuh tu tetibe jari Sha luka terhiris pengepit besi. As sedar bila nampak dia kelam kabut ambil sabun basuh pinggan dan tenyeh-tenyeh kuat jari dia yang luka. Just imagine that. Pedih ooo.

"Sha, buat apa tu! Kenapa tenyeh luka dengan sabun!" Memang As sound dia direct dengan sangat terkejut.

"No, nanti jangkit kat you pulak." Sha balas dengan muka cuak sambil tenyeh-tenyeh lagi.

"Dah, stop thatNonsense jelah. See my hands, mana ada wound (luka) pun kalau nak jangkit." As cakap sambil tunjuk tangan. "Lagipun bukan nye membantu basuh dengan sabun basuh tu."

Lepas tu barulah dia cam tersedar. As suh dia pi rest kat depan je dengan Pak Ngah dan Ibnu Sina. Depa memang kerja sembang je. Pak Ngah asyik gelak macam biasa sampai kat dapuq la dengar gelak happy dia. Happy depan orang cover sedih, biasalah.

Kekawan, begitulah sampai macam tu sekali HIV fighters tak nak jangkitkan virus kat kita yang normal ni. But still kita penuh diskriminasi dan stigma. Ape kes? Tapi rasanya Sha pun stigma dengan diri sendiri. Hehe. It's okey maybe sebab baru dan masih proses bangkit. Dah lepas fasa denial pun syukur alhamdulillah.
 
It's such a good time spent dengan Sha. Dengar dia yang lebih positif. Dia duk bercerita tentang hakikat back to fitrah. Apa fitrah kita guys? Yup semestinya kembali pada Yang Menciptakan. Itulah penyelesaian segala masalah dan kesulitan dalam kehidupan.

As harap mesej yang As nak sampaikan tersampai sudah. Entri ni juga dedikasi khas kat hamba-hamba Allah yang masih persepsi negatif pada PLHIV. Apa yang lepas tu biarlah lepas. Kita mohon Allah bantu kita lupakan. Dan kita sendiri takleh duk ungkit kat PLHIV tersebut. Dan untuk segala perkara buruk yang dah lepas.

*aaaa sebenarnya As peringat kat diri sendiri. Sengaja. T__T *

So, takyah duk pikiaq dalam-dalam ngat aih. Mesej ni ringkas jah nak faham. Direct takdak putar sana-sini. Berilah peluang untuk saudara-saudara kita, janganlah pesimis, jangan letak barrier, jangan bajet kita lebih baik daripada depa. Sesungguhnya hakikat kejadian kita adalah untuk menyampaikan bukan untuk menghukum.

Paham dak? Tak faham pi masuk Hospital Bahagia nung ah. Okebai!


Prepared and Published by: As


Tuesday, March 20, 2012

BENGKEL JATI DIRI PLHIV





Salam Perjuangan

Untuk makluman, Majlis AIDS Malaysia akan mengadakan satu bengkel kepada Orang Yang Hidup Dengan HIV (PLHIV).

Nama Bengkel:
Bengkel Jati Diri PLHIV

Tarikh:
30hb Mac hingga 1 April 2012

Lokasi:
Radius International Hotel Kuala Lumpur.
3.0 of 5. 51-A Changkat Bukit Bintang,
50200 Kuala Lumpur, Malaysia.

Objektif bengkel ini adalah untuk memberi semangat jati diri kepada mereka yang hidup dengan HIV (PLHIV).

Selain itu, tujuan bengkel ini adalah untuk mendidik PLHIV bagaimana menangani hidup sebagai PLHIV.

Antara tujuan lain adalah untuk memberi peluang kepada PLHIV yang berminat untuk menjadi Media Spoke Person bagi menggantikan kami yang telah senior dalam kerja-kerja HIV/AIDS.

Saya berharap mendapat kerjasama daripada rakan-rakan dengan memberi maklum balas serta dapat memanjangkan kepada mereka yang lain.

Ini adalah untuk kerja-kerja admin, seperti penempahan hotel, dan pengagihan borang peserta.


Bersama Kita Adalah Penyelesaian

Mohamad Raffie Jaafar (Luka Rafieqa)
017 311 0306
019 635 3997


Published by: Puan Lifejacket

LAWATAN AMAL ANJURAN PERTUBUHAN AMAL FIRDAUSI (PAFI)


Lawatan bersiri Pertubuhan Amal Firdausi (PAFI) akan bermula tahun ini dengan sesi pertama lawatan ke Rumah Anak Yatim Taman Baiduri, Dengkil.


Dalam program ini, kita akan membeli barangan makanan hasil dari kutipan derma dan sumbangan ahli untuk dibawa ke rumah tersebut di samping tujuan untuk mengeratkan silaturrahim.

Tarikh:
31 Mac 2012

Hari:
Sabtu

No Akaun Bank:
Maybank 1648-2900-3239 (Hamli Hamdan)



ATURCARA:
9.00 a.m.:
Berkumpul di Tol PLUS Exit Kajang

10.00 a.m.:
Bergerak ke Rumah Anak Yatim Taman Baiduri, Dengkil


11.00 a.m.:
Sesi mesra bersama pengurusan & penghuni rumah berkenaan
Penyampaian sumbangan

1.15 p.m.:
Solat Zohor dan makan tengah hari

3.00 p.m.:
Penutup dan bersurai


Psychonuts
Amir PAFI / Taman Firdausi
018-2070953


Pihak PAFI amat memerlukan sumbangan kewangan dan juga dari segi makanan serta minuman untuk dikongsi bersama anak anak ini dan oleh itu kami amat mengalu alukan sumbangan anda kepada pihak kami dengan menghubungi saya sendiri.


Published by: Puan Lifejacket