Tuesday, March 20, 2012

HIV: SEJENAK BERSAMA ROZANNA, SEORANG IBU MUDA PLHIV


17 Mac 2012 (Sabtu)

Pagi itu aku mendapat panggilan telefon daripada Atuk. Atuk meminta pertolonganku menziarahi dan memberikan sokongan terhadap seorang PLHIV wanita yang bernama Rozanna (Bukan nama sebenar) di HoSHAS, Temerloh.

Rozanna seorang ibu muda kepada seorang anak. Khabarnya down sangat-sangat dan perlukan sokongan rakan senasib. Suami Rozanna berada di Penjara.

Puncanya? wallahu a’lam kerana kerana fokusku terhadap kebajikan Rozanna.

Alhamdulillah anak mereka bebas HIV. Jadi sudah tentu punca jangkitan HIV adalah melalui hubungan intim suami isteri, kan? So, fikir-fikirkan, adakah Rozanna sengaja mencari risiko atau sebahagian daripada statistik manusia malang menerima HIV akibat perbuatan orang lain?

Sebelum pergi aku call nombor handfon yang diberikan, bertanyakan apa-apa keperluan yang boleh aku bantu. Penjawab, (aku tak pasti sama ada Rozanna atau adiknya yang menemani di wad) menjelaskan mereka tak memerlukan apa-apa kerana Rozanna tidak mampu makan atau minum.

Petang itu aku sendirian ke hospital. Sampai di cafeteria hospital, aku meninjau-ninjau apakah buah tangan untuk Rozanna.

Malas berlama-lamaan aku beli sahaja sebuah buku Yaasin. Harapan aku mungkin ada manfaatnya jika sambil terlantar ada seseorang yang membacakan ayat-ayat suci al Qur’an. Paling tidak boleh direnung makna-makna ayatnya. Itu lebih baik daripada sekadar ziarah kosong tanpa menghadiahkan sebarang doa. 

Sampai sahaja di katil Rozanna, alahai, lemah kepala lutut aku. Hampir semua yang menziarahi Rozanna adalah saudara maranya yang tinggal berdekatan tempat kerjaku, ada yang merupakan bekas client aku.

Aku buat selamba sahajalah kerana niatku untuk membantu. Suka hatilah apa mereka nak fikir. Apa, hina sangatkah aku sebagai seorang PLHIV?

Mesti bekas klienku terkejut. Kaunselor ada HIV, hahaha… maaf, aku memang rasa kelakar dengan situasi tersebut.

Selepas mengucapkan salam dan bertanya-tanya khabar dengan mereka aku mengenalkan diriku kepada Rozanna. Aku lihat tangan Rozanna dimasukkan darah kerana dikatakan turut mengidap masalah anaemia.

Mulut Rozanna dipenuhi ulcer, sukar untuk bercakap. Sama seperti alahan yang aku lalui dulu.

Tubuhnya kurus dan mempunyai tanda-tanda alahan dengan ubat HAART. Wajahnya lesu dan kosong. Kelihatan bingung dan putus asa. Tetapi sinar matanya menunjukkan Rozanna amat mengharapkan sesuatu apabila aku menziarahinya.

Dengan lemah lembut aku bertanyakan serba sedikit masalah Rozanna, kondisi kesihatan dan apa-apa yang patut. Aku nasihatkan Rozanna bahawa supaya bersabar, redha dan jangan risau kerana HIV bukanlah masalahpun jika kita memahami.

Aku katakan masalah kesan sampingan HAART cuma sebahagian kecil daripada peluang dan harapan untuk hidup sihat. Jika aku mampu melaluinya, sudah pasti Rozanna juga begitu.

Aku minta supaya Rozanna sungguh-sungguh berjuang untuk sihat dan tidak berputus asa. Mengingatkannya bahawa dia boleh menghubungiku bila-bila masa sahaja jika perlu.

Aku turut menjemputnya datang ke rumah berkenalan dengan keluargaku apabila sihat kelak. Aku mahu Rozanna rasa berkongsi dan diterima. Rasa tidak keseorangan. 

Tiba-tiba sahaja Rozanna menangis teresak-esak. Mak aih, bab ni yang aku kalah! Nyaris je aku tumpang keriau sekaki. Keluarganya sibuk memujuk tetapi aku nasihatkan supaya biarkan sahaja Rozanna melepaskan tekanannya.

Aku hulurkan buku Yaasin sebagai tanda hadiah dan sokongan dan meminta izin untuk mengundur diri. Aku berjanji akan datang lagi memberi sokongan. 

Selepas itu aku mencadangkan salah seorang ahli keluarga yang terapat untuk berbincang sebentar denganku di lobby hospital.

Pertemuan tersebut aku cadangkan kerana ahli keluarga yang memahami sangat perlu untuk membantu seseorang PLHIV untuk bangkit. Selain itu mereka turut berdepan stigma, paranoid dalaman, judgmental, diskriminasi dan prejudis. Mereka mesti clear tentang beberapa perkara asas.

Adik Rozanna yang merupakan seorang jururawat di hospital yang lain, yang menjaga sepanjang Rozanna berada di hospital menawarkan diri untuk berjumpaku. Beliau ditemani anak saudaranya yang merupakan bekas klienku.

Syukurlah apabila aku dimaklumkan bahawa hanya beliau yang mengetahui status HIV kakaknya. Maknanya orang-orang lain tu hanya menganggap aku menziarahi Rozanna sebagai kenalan sahajalah.

Melalui perbincangan tersebut aku terangkan beberapa perkara yang sepatutnya mereka lakukan dan fahami. Aku cuba yakinkan mereka bahawa bahawa HIV bukanlah virus yang bahaya dan ianya senang dirawat berbanding penyakit-penyakit kronik lain. Pertama kali aku kaunseling nurse pasal HIV, hahaha….

Aku juga menjelaskan bahawa HIV bukanlah bermaksud kematian bahkan PLHIV boleh berkahwin, memperolehi bayi sihat dan sebagainya.

Selain itu, aku juga beri peluang kepada mereka mengemukan beberapa soalan. Soalan-soalan mereka adalah soalan basic untuk mereka yang masih keliru tentang HIV.

Aku turut menghulurkan namecardku untuk mereka hubungi jika perlu.

18 Mac 2012 (Ahad)

Seperti yang dijanjikan aku ziarah kembali Rozanna buat kali kedua pada petang ahad itu. Nampaknya lebih ramai saudara maranya yang hadir. Kali ini isteri-isteri dan anak lelaki sulungku turut serta menemani untuk memberikan sokongan dan harapan.

Alhamdulillah wajah Rozanna telah kelihatan semakin segar. Ceria melihat kehadiran kami. Lebih bersemangat dan tenang. Aku perkenalkan isteri-isteriku dan anakku kepada Rozanna dan ahli keluarganya yang hadir.

Ada yang tercengang melihat aku ditemani dua orang isteri sekaligus. Apalah agaknya yang mereka fikir? Ada sesiapa nak jadi calon ketiga? AO nak? Hahaha…  

Aku sempat mengusik Rozanna dan Rozanna tersenyum riang dengan lawak bodohku. Walaupun hanya lebih kurang 5 minit, aku rasa ziarah singkat itu dah memadai.

Dalam perjalanan pulang aku menasihati isteri-isteri dan anakku tentang betapa besar peranan dan pahala mereka yang menziarahi pesakit. Aku meminta mereka fikir bahawa di sebalik setiap PLHIV itu, terdapat ramai anggota keluarga mereka yang turut menderita. Mereka menjadi mangsa kejahilan semata-mata.

Selain menjaga hubungan dengan Allah, adalah sangat penting untuk menjaga hubungan sesama insan. Sikap prejudis dan mudah membuat kesimpulan adalah sebahagian daripada sikap kita yang gagal menjaga hubungan sesama insan.

Alhamdulillah, sekali lagi aku berkesempatan menikmati satu lagi peluang memberikan sokongan kepada insan-insan yang memerlukan dengan caraku sendiri.


Monday, March 19, 2012

HIV: ROSLAN@ATUK - 20 TAHUN HIDUP SEBAGAI SEORANG PLHIV


Atuk 

Kali ini aku akan kongsikan entry yang barangkali telah lama ditunggu-tunggu oleh pembaca. Kisah benar seorang PLHIV yang lebih dikenali sebagai ‘Atuk’ yang telah hidup selama 20 tahun dengan virus HIV.

Aku mula mengetahui kisah Atuk setelah terpilih menjadi antara segelintir insan istimewa bergelar PLHIV. Aku google beberapa info dan mendapat sedikit maklumat tentang seorang PLHIV yang telah lama berjuang membantu komuniti.

Melalui LR, Allah pertemukan aku dengan Atuk semasa Jamuan Aidil Fitri anjuran PTF Foundation 2011. Pertama kali berjumpa, ternyata Atuk bukan sebarangan orang kerana ramai di kalangan PLHIV dan kumpulan sokongan yang bersalam dan menyerbu beliau.

Apabila diperkenalkan dan bertukar-tukar sedikit maklumat, aku dapati Atuk penuh dengan sentuhan magisnya. Sangat lembut tutur kata sesama PLHIV, kaya dengan kasih sayang dan sifat prihatin.

Selepas itu kami boleh dikatakan terputus hubungan sekalipun nombor handfon dan alamat emel Atuk berada dalam simpanan. Maklumlah emel aku ketika itu tak berbalas. Aku faham kerana kami yang tua-tua ni payah sedikit nak faham dunia IT, hahaha...

Disember 2012, sekali lagi aku bersama keluarga berjumpa Atuk sambil makan malam di sebuah warung di Sungai Petani bersama Survivor dan Bro. Fareez Fauzi. Atuk rupa-rupanya diminta untuk bertugas di sana oleh pihak organisasi.

Sejak itu, perhubungan kami semakin rapat sehingga Atuk terbuka untuk berkongsi sedikit pengalaman dengan para pembaca pada kali ini. Jika memerlukan pertolongan untuk membantu komuniti di sekitar Temerloh, biasanya Atuk akan menghubungiku.

Tengah hari tadi, ketika melangkah lesu dengan fikiran yang kalut ke kereta, aku mendapat panggilan telefon daripada Atuk. Atuk segera menyatakan rasa empatinya terhadap tekanan yang aku kongsi dalam entry ini: HIV: KESEPIAN YANG TERAMAT DALAM SEORANG PLHIV (SAD BUT TRUE: TEWAS AKHIRNYA!)

Aku cuba mengelak dengan menyatakan itu sekadar luahan supaya insan lain berfikir, tetapi Atuk tetap juga bercakap.

Aku tidak berapa ingat apa yang Atuk perkatakan kerana mataku serta-merta rabak mendengar nasihatnya. Antaranya:

“Sabarlah Pie, Atuk faham perasaan Pie. Katakan 10 orang yang membaca luahan Pie, jika ada 3 orang sahaja yang betul-betul memahami, sudah cukup memberi kekuatan kepada kita.

“Bukan bantuan yang kita harapkan, tetapi cukuplah sokongan. Seseorang yang betul-betul faham, yang dapat memeluk kita, sudi mengizinkan bahunya untuk kita tumpang bersandar apabila sesekali menangis.

“Apabila membaca luahan Pie, Atuk terus memikirkan apa yang sepatutnya dan dapat Atuk lakukan untuk membantu Pie. Seorang di Utara, seorang di Pantai Timur. Tak patut Atuk membiarkan Pie sendirian begitu.

“Begitu ramai yang mengaku faham, tetapi berapa kerat sahaja yang betul-betul faham? Tak mengapalah. 1 April nanti, Atuk dan LR akan aturkan pertemuan sesama kita di KL. Itu medan kita, sesama kita.”

Aku jawab, “Cukuplah tuk, saya tak mahu menangis lagi, tolonglah…”
Mataku rabak lagi. Aduhai…!!

Sebelum itu Ham, Rusyida, Fariza, Mael, dan beberapa orang lagi SMS atau call, tetapi aku masih mampu bertahan. Tetapi, apabila tiba-tiba sahaja LR SMS: ‘I Love You bang…’ aku dah agak mesti ada yang tak kena.

Tak lama kemudian, LR menelefonku sebanyak 2 kali. Haram aku jawab. Hahaha… padan muka! Kemudian aku terima SMS:

“Memang saya call untuk menangis bersama-sama abang pun….” Hampehh… kau orang buat pakatan, aku yang meraung sorang-sorang dalam kereta!

Akhirnya, anak daraku AO kekal menjadi mangsa aku melepaskan tekanan. Aku call dia kerana dia membuktikan dirinya sentiasa ada dan menunjukkan kesungguhan untuk membantu. Aku menangis lagi sepuas-puasnya macam budak-budak. Menyampah betul. Tu lah, siapa suruh kau orang kacau aku!

Ya, aku sentiasa berkongsi masalahku dengan isteri-isteriku. Kadang-kadang menangis di depan mereka. Tetapi, apabila mahu dipeluk, biasanya aku tolak. Aku kongsikan masalah dalam keadaan kononnya aku masih kuat dan tabah. Aku masih tidak menjadi aku yang sebenarnya.

Hanya sahabat-sahabat sesama PLHIV yang bersikap empati sahaja faham perasaan kami. Bukan aku menidakkan insan-insan lain, tetapi aku pernah rasa sangat luka dan dikhianati apabila cuba berharap kepada mereka. Aku serik. Selain Allah, cukuplah sahabat-sahabat PLHIV yang betul-betul ikhlas.

Jika bukan teman sejati, sekalipun mulut sentiasa kata faham, tunggulah sampai ketikanya kita akan ditikam dari belakang. Simpati dan empati yang bukan dari dasar hati.

Point aku, jangan berseorangan. Dapatkan sokongan dan sedia berkongsi sesama komuniti. Aku bukan nak cerita sedih-sedih. Cerita sedih biarlah aku simpan di dalam. Berdarah dan luka macam mana pun aku akan cuba menghulurkan sokongan agar menjadi secebis amal bakti sebagai bekalan di akhirat. Aku insan hina dan berdosa.

Sebagai renungan bersama, bersama ini aku kongsikan emel berharga daripada Atuk untuk kita sama-sama fikirkan. Moga ada pengajarannya terutama kepada sesama PLHIV.

Dear Pie,

Atuk akan berkongsi bagaimana menjadikan HIV sebagai rakan dan bukan lawan.

Tarikh 1hb Mei 2012, genap 20 tahun Atuk hidup bertemankan HIV. Tapi tiada sesiapa pun boleh menerima hakikat yang mereka telah hidup dengan virus ini apabila mula-mula mengetahui telah dijangkiti.


Percaya kepada setinggi mana kedudukan & darjat kita, kita tidak akan mampu untuk membeli takdir yang kita inginkan.  Atuk berjuang untuk hidup tanpa menoleh ke belakang. Atuk sentiasa berusaha kerana ianya lebih penting daripada meratapi nasib & sekadar menyerah sahaja.

Adakah dengan sekali usaha, jika gagal, kita akan tersungkur?

Berpeganglah kepada prinsip "TIDAK MENEMPAH MASUK HOSPITAL KECUALI DIPAKSA MASUK." Atuk sentiasa mencari ruang untuk berada di barisan hadapan kerana itulah kekuatan yang paling jitu untuk Atuk melangkah gagah.

Atuk tidak meminta simpati dan yang paling penting, Atuk mahu isu kita difahami. Ajal itu pasti. Ianya tidak boleh dipercepatkan atau diperlewatkan walau satu saat pun, tapi perlu difikirkan oleh rakan-rakan senasib...

Kita sakit, berpunca. Mati, bersebab. Inilah antara kunci perjuangan Atuk & jika terdapat sebarang pertanyaan, Atuk benarkan nombor handphone  Atuk untuk dipamerkan.

017 3500 167

Terima kasih.

Salam Perjuangan.
Roslan @ Atuk



AHP: Terima kasih tuk. Moga hidup Atuk sentiasa dirahmatiNya. Kepada sahabat-sahabat yang panggilan telefonnya tak dijawab sementara waktu ni, faham-fahamlah ya. Aku tak mahu menangis. Aku mesti kuat!

Sunday, March 18, 2012

LIVING WITH HIV FIGHTERS: ABAH @ AHP


To be greater than our suffering.

Caption terbaik untuk describe Abah sebagai HIV fighter dan penjagaan beliau kepada ahli keluarga dan sahabat-sahabat.

"He's a family man, alhamdulillah." [Ummie, 2012]

Yup honestly Abah sangatlah seorang family man. Very caring, very close to the family, menjaga dengan sangat baik, sangat berlembut dengan setiap ahli dan menjaga agama ahli keluarganya.

Yup, living with Abah, I appreciate all things. Termasuklah solat jemaah disertai dengan tazkirah dan tilawah Al-Quran beserta tafsir. Caringnya dia pada ahli keluarga walau dalam Abah sendiri fighting untuk kuatkan diri. Sentiasa mengutamakan ahli keluarga dan sahabat-sahabat berbanding diri sendiri.

Rasanya sebab tulah people rasa comfort nak share dengan beliau. And abah, usahlah merasa sepi. Perkongsian daripada sahabat-sahabat senasib adalah satu keindahan dalam hidup. Indah sebab Abah sentiasa memberi. Seperti mana firman Allah SWT dalam At-Taubah:71

"Dan orang-orang Yang Beriman, lelaki dan perempuan, sesetengahnya menjadi penolong bagi sesetengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan solat, memberi zakat serta taat perintah Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Bijaksana."

Dan pujukan Rasul-Nya dalam riwayat AthThobaroni;

"Dan Allah membantu seorang hamba selama mana hamba itu membantu saudaranya."

Inilah persaudaraan yang merupakan semangat keimanan yang hidup. Hinggakan dia hidup dengan mereka dan untuk mereka. Seolah-olah mereka dahan-dahan yang tumbuh daripada sepohon pokok besar. Bagaikan satu ruh yang menghuni banyak jasad.

Tentang Abah, keluarga beliau dan sahabat-sahabat yang datang sama ada untuk tumpang berteduh atau berziarah, diberi layanan first class. Walau dalam kepenatan. We appreciate that. Thanks a lot.

Seminggu yang sangat meriah di rumah Abah; As dapat mengenali jiwa-jiwa HIV fighters yang lain seperti Sha, Pak Ngah Survivor (he's too young to be called Pak Ngah btw, haha), Ibnu Sina dan Along. Abah pun sangat suka mengusik dan membuli! Terutama apabila Abah buat pakatan dengan Pak Ngah Survivor yang sangat meriah gelaknya. Yosh!

Abah, you're just way too kind. And of course, you're the choosen one to have HIV as Allah loves you. Tapi sebenarnya Abah punya VL (viral load) dah tahap not detected, means takdak langsung normal like me, and like you! If undetected kira bawah 20 counts (aa lupa dah unit dia). 

Keep on fighting Abah, and be yourself! Remember, we need you, you have us and definitely you have Allah. Cheers~!


p/s: Abah sangat sedih slow-slow sorang lepas sorang meninggalkan rumah. First Sha, then me and Pak Ngah Survivor. Dun worry, we always have each other in heart. ;)

Prepared and Published by: As

Saturday, March 17, 2012

HIV: KESEPIAN YANG TERAMAT DALAM SEORANG PLHIV (SAD BUT TRUE: TEWAS AKHIRNYA!)



Kali ini izinkan aku bersikap jujur meluahkan tekanan emosi yang aku alami. Maklumlah selama ini sehabis daya aku kelihatan ‘tabah’ dan cool sahaja kan? Hahaha…

Ya, entry kali ini sarat dengan emosi. Biarkan sahaja kerana aku juga insan biasa. Kalau aku tak lepaskan, akhirnya ia akan meletup!

Allah yang pinjamkan aku nikmat mempunyai rasa hati. Punya rasa sedih, gembira, pilu, malu, dan marah, sama seperti insan lain. Dia Maha Pemilik atas segalanya.

Antara yang terawal yang aku maklumkan bahawa aku berblog untuk membantu komuniti ialah doktorku yang istimewa, Dr. Iskandar Firzada bin Osman.

Dr. Iskandar sangat menyokong dan berikut adalah antara pendapat Dr. Iskandar apabila seseorang pesakit menulis atau berblog berkongsi pengalaman:

“Banyak faedah daripada berblog. Pertama, dengan menulis perasaan serta pengalaman boleh ventilate perasaan/ emosi. Secara tidak langsung menjadi therapeutic untuk minda & emosi.

“Definisi sihat mengikut WHO bukan sekadar tidak mendapat penyakit fizikal, tetapi minda / mental, sosial, dan spiritual mesti sihat juga.

“Kedua, perasaan dan pengalaman yang dipaparkan dapat membantu bukan sahaja PLHIV, malah yang tidak ada HIV juga akan dapat memahami perasaan & pengalaman PLHIV.

“Ketiga, banyak maklumat dalam blog dapat membantu ramai PLHIV untuk lebih memahami tentang serta proses rawatan.”  

Kebelakangan ini, aku memang akui terlalu banyak tekanan yang aku alami. Sehabis daya aku cuba pendam sendiri untuk kelihatan tabah di mata keluarga dan sahabat-sahabat, termasuk pembaca blog. Aku mahu kongsikan aura positive, bukannya negative.

Kalau aku bersedih, ramai lagi yang turut menerima tempiasnya terutama isteri-isteri dan anak-anakku. Aku tidak mahu isteri-isteri dan anak-anakku risau.

Sepi dan risau di hati hanya Tuhan yang tahu. Hakikatnya nak bekerja pun aku dah hilang minat. Aku cuma mahu berblog dan membantu komuniti. Di situ kekuatan dan minatku. Masalahnya hutang aku bertepek!

Segala tekanan yang terpendam tersebut menjadikan aku berasa sepi dan sunyi yang amat sangat. Keseorangan… hanya Allah dan sesama PLHIV yang tahu perasaan tersebut kerana ujian kami memang berbeza. Maklumlah, ujian calon-calon ahli neraka, kata segelintir anggota masyarakat.

Kalau aku luahkan perasaanku, paling tinggi jawapan yang diterima ialah, “Sabarlah, AHP kuat, Allah ada, bla, bla, bla… yada, yada, yada…”

Ye lah, terima kasih, aku pun tahu. Cuma, aku ni insan biasa, sesekali perlu juga seseorang yang aku percaya mendengar luahan hati. Untuk turut rasa difahami. Itu sahaja. Dengar dulu betul-betul, kemudian baru respon. Bukan aku nak apa-apapun…

Memang sahabat datang dan pergi dan yang abadi hanya Allah. Habis, seramai ini manusia yang katanya setia di sisi aku, berapa ramai yang ambil tahu dan sekurang-kurang sudi bertanya “Abang / pakcik / uncle OK? Ada apa-apa nak share dengan saya?” Itu namanya empati, sudah cukup berharga.

Hampir 100% hanya mahukan sokongan dan meratap. Hanya menghubungi apabila rasa memerlukan bantuan dan pandangan. Hanya mahu menerima dan mengharapkan sokongan. Itupun masih nak berahsia macam-macam. Perlu dipujuk-pujuk untuk luahkan perasaan.

Payah nak jumpa yang betul-betul ikhlas untuk berkongsi. Bila perlu, menangis-nangis, call berjam-jam. Bila bahagia, bye-bye. Maklumlah AHP hebat, AHP kuat! Tak apa, suka hatilah, buat sahaja semahumu.

Hanya segelintir yang betul-betul saling memberi, faham dan berkongsi sokongan. Antara yang bersikap empati ialah Survivor, LR, dan bro Fareez. Nasib baik Allah tolong aku melalui AO sampai ke tahap dia pula yang kadang-kadang sibuk di blog mengalahkan abahnya. Hahaha…

Lain-lain... entahlah. Aku pun tak nak fikir. Memberi kena ikhlas. Kadang-kadang siap merajuk sebab aku jarang SMS bertanya khabar. Nak tinggal komen yang sangat-sangat bermakna di blog pun payah.

Masing-masing ada bermacam-macam alasan. Sibuk, tak pandai komen dan sebagainya. Tak mengapa, aku faham.

Aku bukan tersinggung dan merayu simpati. Aku cuma share pengalaman aku. Tolong doakan kebaikan untuk aku pun dah seribu syukur. Aku tak persoalkan. Ada sokongan atau tidak, muzik jalan terus. Perjuangan tetap diteruskan.

Apabila ujian bertimpa-timpa, berterusan dalam keadaan keliru, penat dan punya macam-macam tekanan, akhirnya aku tak tahu perasaan apa yang aku tanggung. Bagaimana nak berkongsi rasa pun aku tak tahu. Terutama kalau dalam keadaan kepenatan dan tergesa-gesa.

Aku sangat perlukan seseorang yang dipercayai, spend masa bersama-sama dalam keadaan tenang, dan tak terikat dengan waktu. Kemudian pelan-pelan bimbing aku supaya kembali melihat dengan jelas. Bukan ‘bombing’ aku, formal, dan dengan segala macam peraturan.

Aku jenis yang tak pandai ikut peraturan sangat. Aku tak pandai hidup ikut skrip sangat. Mahu diterima sebagai manusia biasa. Punya kekuatan dan kelemahan. Tanpa syarat dan menjadi diriku yang sebenar. Santai mantai… Formal sangat ni kenapa???

Mesti ada yang kata, hidup mesti ada peraturan. Betullah tu, malas aku cakap banyak. Allah, isteri-isteri dan anak-anakku tahu siapa aku. Rasanya taklah kerana menjadi diriku yang sebenar menyebabkan aku hilang pedoman. Sesekali khilaf tu normallah.

Habis yang mengaku ikut peraturan tu, maksum? Eleh, macamlah aku tak nampak kau punya pekung!

Apa aku melalut ni, aku pun tak tahu. Nama pun entry pasal emosi kan?

Apabila punya masalah kesihatan, seperti diabetes, anaemia, platelet sangat-sangat rendah dan CD4 sangat-sangat rendah, thrombocytopenia, kemungkinan Bone Marrow Biopsy, kemungkinan punya pelbagai penyakit kronik, tak cukup rehat, tak cukup tidur, kepenatan melampau, makan sekadar alas perut, tekanan ekonomi, komitmen keluarga, komuniti, kerjaya, trauma dan terseksa dengan prosedur rawatan, aku tak dapat focus.

Aku terasa sangat hampir dengan kematian. Serius! Aku rasa masaku tidak lama lagi. Umpama menunggu keputusan bila tarikhnya aku bakal menjalani hukuman gantung. Aku dah bosan! Bahkan terasa rindu benar kepada kematian khusnul khatimah. Tak menyusahkan sesiapa. Soal taqdir, itu paling hujung.

Kalau Allah izinkan, aku masih punya beberapa mimpi kecil dalam beberapa perkara.

Nak daftar haji, nak pergi umrah, nak tour satu Malaysia dengan motor chopper bagi membantu komuniti (Survivor, ingat ya janji kita,- Follow saya di belakang dengan van jenazah, hahaha…), nak bina pusat perlindungan komuniti, dan beberapa perkara mengarut yang lain.

Ketidakpastian, kekeliruan, kesepian, dan kerisauan menyebabkan aku sarat dengan emosi. Sikit-sikit air mataku tumpah, duduk sorang-sorang dalam bilik, mataku rabak.

Of cozlah zikir, baca qur’an, doa dan redha bro… memanglah. Aku buat juga ikut kemampuanku. Tapi aku ni kan manusia sama seperti kau.

Dalam waktu yang sangat terhad dan keliru ini, jika aku kata menyayangi seseorang bermakna aku memang sayang sungguh-sungguh. Pada anak-anak, sehabis daya aku cuba bahagiakan, tinggalkan kenangan manis dan beri apa yang termampu. Rasa nak teman, jaga, dan peluk sepanjang masa jika mereka ketakutan atau kesakitan.

Kalau isteri-isteriku tak sihat, aku terlupa kesihatanku. Kalau mereka stress, aku lebih stress kerana risaukan mereka. Begitu juga jika saudara-mara sakit, meninggal, dan sebagainya. Aku sehabis daya beri sokongan walaupun aku tak larat drive, tak berduit, dan sebagainya.

Kadang-kadang aku pelik juga orang bujang yang selalu fikir untungnya kalau ada yang menemani ketika diuji. (Maksud aku, pasangan dan anak-anak) Habis, kau orang tahu tak cabaran hidup orang yang berkeluarga apabila diuji? Kau orang ni selalu sangat pandang sesuatu ikut sedap hati kau ajelah bro, sis… Pandang ikut 3D lah!

Kalau kawan-kawan bersedih, aku turut bersedih. Aku risaukan anakku As, Survivor, LR, Yanie, Mia dan beberapa orang lagi yang sedang menghadapi ujian-ujian tertentu. Setakat kau takut benda-benda remeh, kesan alahan makan HAART dan sebagainya tu, sumpah aku tak heran walaupun aku tetap bantu.

Kepada yang berjasa, aku sungguh-sungguh hargai dan doakan kebahagiaan mereka dunia akhirat. Aku sangat sedih jika dengan sedikit kesilapan diri, orang-orang yang aku sayangi dan hargai terasa hati dan menyisihkan aku.

Kepenatan dan kekeliruan terpendam yang saling berlapis itu menjadikan aku buntu dan sensitive. Seksanya untuk kelihatan sentiasa kuat.

Alhamdulillah, Survivor yangku anggap sebagai adik sendiri adalah antara yang sentiasa sudi mendengar luahan merapuku. Apa dia fikir, aku tak peduli. Aku selesa saling memberi dan menerima. Tiada judgemental, prejudice, dan diskriminasi.

Baru-baru ni dia datang lagi ke rumah kami atas rengekan aku. Walaupun punya masalah, punya ujian tersendiri dan berada nun jauh di utara, Survivor tetap sudi. Agaknya tak larat telinganya mendengar aku merapu. SMS tak kira masa.

Survivor datang dalam keadaan emosiku kalut. Walaupun aku sangat perlukan dia, tetapi ramai tetamu lain yang perlu diraikan. Bila berdua, aku dah terlalu kepenatan untuk berkongsi. Kesudahannya, bila Survivor bertanyakan masalahku, aku tak tahu nak cerita apa.

“Apa abang nak share?” “Entahlah Survivor, macam-macam. Tapi saya tak tau macam mana nak mula. Tak bersedia. Kita rehatlah dulu, penat sangat.”

Akhirnya kami terkebil-kebil merenung TV sambil menahan mengantuk akibat gagal tidur berhari-hari. SMS dan calls PLHIV yang perlukan bantuan tetap masuk bertalu-talu.

Ada yang berada di hospital dan suami dalam penjaralah, ada yang takut nak diagnos tapi cakap berbelit-belit, cover line punca jangkitan. Konon nak dibantu tapi membohong tak pandai. Macam-macamlah.

Tak payahlah berbelit-belit, kalau dah ambil risiko dan nakkan kepastian, buat ajelah test. Tambah dosa menipu buat apa? Aku bukan nak judge kau orang. Masalah kau orang aje yang kau orang tahu. Malas aku layan.

Dah confirmed positif dan perlukan barulah sepatutnya hubungi aku. Setakat nak pastikan positif atau tidak, manalah aku tau! Mana ada online diagnose. Iskhhh… geram aku dengan budak-budak macam ni. Nak menipu orang tua lagilah tu…

“Tak boleh, AHP mesti berjiwa besar, Rasulullah… bla, bla, bla…, yada, yada, yada…”  “Yelah, yelah… habis, kau buat apa?”

Aku bukan takut, cuma sesekali aku nak berkongsi rasa. Tak perlu nasihat aku panjang lebarpun. Aku bukan budak tadika! Kau tak perlu ilmu tinggi dan jangan anggap seolah-olah aku tak reti fikir.

Aku cuma mahu kongsi dengan ikhlas. Sudikah kau? Apa buktinya kau sudi dan adakah kau betul-betul tunjukkan kau sudi? Payah sangat ke kau nak jujur dengan perasaan sendiri, be yourself yang punya rasa hati? Sepuluh steps ke depanpun aku tahu ke mana kau nak tuju.

Jangan jual temberang dengan aku bro, please… Kau lantun perasaanku seperti bola. Hanya khilafku yang kau nampak. Tak apalah, dah tua-tua dan ada HIV ni aku mengalah. Hidup kau yang lebih penting. Aku dah puas hidup dan tak banyak masa / pilihan. Tak larat nak gaduh. Ikut saja apa yang kau mahu, asalkan bahagia.

Aku temani Survivor tidur di ruang utility untuk tunjukkan bahawa dia diterima tanpa syarat dalam keluarga kami. (Haaa… kau orang jangan kata aku ada skandal ya!)

Survivor tetamu pertama yang aku temani tidur. Tak janggal memakai pelekat burukku dan tak kisah memeluk bantal golek busukku. Aku layan atau tidak, Survivor tetap selesa menguruskan diri bagai di rumah sendiri. Kain pelekat tak boleh tinggal, hahaha…

Selesai solat Subuh, tadarus, dan bacaan hadis bersama seluruh anggota keluarga, Survivorku lihat masih nyenyak tidur. Aku renung wajahnya yang hitam metalik, menyerbu segala sebak. Aku tahu tak lama lagi Survivor terpaksa meninggalkan kami.

Belumpun puas bersama, tak sempat berkongsi cerita akibat kepenatan, entah bila pula berjumpa. Semakin aku tahan, semakin sebak menyerbu. Aku tahu kali ini aku bakal terlepas peluang akhirku berkongsi tekanan emosi bersama seseorang yang aku percaya.

Terlalu menyakitkan apabila tak dapat berkongsi dengan seseorang yang dikasihi / dipercayai. Terasa dikhianati.

Sebaik sahaja isteri-isteriku menyediakan sarapan dan Survivor mandi, aku pun keluar sendirian dengan alasan untuk membeli akhbar harian. Aku terpaksa pergi dan tak sanggup melihat Survivor pergi. Cukuplah apa yang aku rasa sebelum ini.

Biarlah. Aku tahu Survivor akan faham. Aku tak mahu Survivor, isteri-isteri dan anak-anakku melihat aku tewas teruk kali ini. Buruk benar muka tua ada HIV ni menangis macam orang sawan. Kalau nak meraung pun, biarlah aku sorang-sorang.

Aku menangis sendirian sepuas-puasnya dalam kereta. Dek kebingungan menelefon anakku AO yang sentiasa sudi melayan SMS dan panggilan telefonku. Aku menangis, menangis, dan menangis macam orang hilang akal, macam budak-budak. Mesti buruk giler muka aku kalau tengok cermin masa tu, hahaha…

Aku tak pasti apa sebenarnya yang aku dah luahkan kepadanya. Yang aku tahu, aku minta maaf kerana mengganggunya pada pagi hari dan tidak bersikap sebagai bapa macho, sepanjang masa cool dan tenang. Bapa idola ramai anak-anak di luar sana.

Tetapi aku yakin AO sudi mendengar. Itu sudah cukup. AO membuktikan dirinya amat terbuka dengan kelemahan dan kekuatanku sebagai bapa yang biasa.

AO sudah berani berkongsi macam-macam cerita tanpa prejudis. Kadang-kadang kena marah, tetapi tetap manja, mengaku salah, meminta maaf, dan cuba berubah. Ada ketikanya aku pula dimarah dan cuba dibuli sesuka hati.

Dalam seminggu dua ni dah beberapa kali AO menerima panggilanku yang sekejap ketawa sekejap teresak-esak macam budak-budak.

Tak apa, lepas ni insya-Allah tak ada lagi. Akanku simpan segala-galanya hingga akhir hayat. Ini ujian hidup aku. Aku redha.

Aku cuba bertenang sambil memandu tanpa haluan. Akhirnya singgah sarapan di sebuah kedai mamak. Perghh... hampeh! Lagi haru, susah nak control air mata yang rabak depan orang pagi-pagi buta ni. Menyampah, malunya aku! Aku buat-buat gosok mata, kononnya sakit matalah tu… hahaha… poyo!

Apabila Survivor dah bertolak dari rumah, barulah aku berani balik. Masuk sahaja rumah, menangis, menangis, dan menangis lagi. Nasiblah kalau isteri-isteri dan anak-anakku nampak. Aku dah sehabis daya sembunyikan. Tak larat terlalu lama menahan sebak ini.

“AHP, are you OK?”  Honestly I’m not OK right now. I’m just a human being, a very normal person, but I will be OK soon, insya-Allah…”

Yup, hanya Allah sebaik-baik Penolong. Luka macam manapun, aku terpaksa tanggung. Itupun masih beruntung jika luka tidak dititis cuka.

Haaa… akhirnya habis entry emosionalku. Maafkan aku wahai para alim ulama’. Kali ini aku nak jadi diriku. Untuk Survivor dan insan-insan yang memahami, the song up above is for all of you… enjoy it!