Sebagai perkongsian untuk semua pembawa HIV positif, ahli keluarga mereka dan renungan bersama. against stigma, judgmental, negative thinking, discrimination and malpractice!
Saturday, March 03, 2012
KISAH SITI SEBAGAI PEMBAWA HIV- KERENAH NEGATIF SEGELINTIR KAKITANGAN KKM (BAHAGIAN 3)
Sambungan perkongsian pengalaman dari sini dan sini,
…..
MEMULAKAN RAWATAN
Apa yang H beritahu aku, dia begitu sayangkan aku dan sanggup sama-sama mengharungi apa yang akan datang. Dia berharap agar keluarganya tidak tahu akan masalah ini. Dia tidak mahu keluarganya memandang serong terhadap aku. Mulianya kau H. Dia tidak pernah pertikaikan status diriku dan tidak pernah mengungkit. Akhirnya aku akur dengan keputusannya. H mengeluarkan duit simpanannya dan membawa aku berubat ke sana sini. Aku pula membuat pinjaman peribadi semata-mata hendak mengubati penyakitku ini.
Hampir 2 bulan aku mengikuti rawatan electronik yang menelan belanja hampir 20K. Walaupun begitu, alhamdulillah sel CD4 aku dari hari pertama aku dirawat di situ meningkat. Keputusan dari HKT masih aku tidak terima. Ah... lantaklah! Apa yang penting, aku telah membuat rawatan. Hati aku masih lagi runsing disebabkan majlis pernikahan sudah hampir. Aku pernah juga bertanya dengan H adakah dia betul-betul bersedia dengan masalah ini dan mungkin akan menyebabkan dia pun dijangkiti. Namun dia hanya menjawab, Tuhan yang tentukan.
Tiba majlis pernikahan ku 4.12.2009 dan H pun telah tamat belajar. Kami sah menjadi suami isteri dan dia tahu memang aku setia padanya. Rawatan masih aku jalani seperti biasa di Bangi. Aku tak tahu nak kata macam mana. Di Bangi, aku dirawat seperti pesakit biasa. Aku dibekalkan ECPI & GTH. Alhamdulillah, aku semakin pulih.
Tahun 2010
DUGAAN DATANG LAGI
Suamiku mendapat surat penempatan di sebuah pulau di Sabah. Oh Tuhan! Apa lagi dugaanMu ini? Aku baru bersamanya, baru ingin bangkit semula dan kini Kau mahu mengasingkan aku dengannya. Pelepasan pada 3.1.2010 di KLIA. Dia perlu melapor diri ke KPM. Nak tak nak, aku terpaksa melepaskannya pergi. Mungkin ada hikmah di sebalik ini semua. Dia lebih tahu apa yang akan berlaku.
Aku menjalani kehidupan aku seharian tanpanya. Aku menjalani rawatan di Bangi lagi. Setiap 2 minggu sekali aku perlu mengambil darah untuk tahu status tahap penyakitku. Keputusan dari HKT masih aku tidak terima. Ada juga aku menelefon, namun aku dimarahi kerana tidak sabar menunggu. Aku ambil keputusan, biarlah menunggu.
KEDATANGAN ORANG BARU
Suamiku pulang pada cuti sekolah bulan 3. Seronok sangat. Tetapi hanya untuk seketika sahaja. Dia kembali untuk bertugas. Aku redha. Bulan 4 aku tidak didatangi haid. Aku mula risau, berfikir kenapa. Bulan 5 pun masih tiada haid. Aku tak terfikir yang aku mungkin mengandung kerana aku tidak mengalami morning sickness.
Sehinggalah suamiku pulang pada akhir bulan 5 itu. Dia membeli tester untukku. +ve. H peluk aku dan bersyukur kerana aku mengandung. Aku tidak percaya. H beli lagi 3 tester dan keputusannya sama. Segera dia bawa aku ke pakar bidan di bandar Seremban untuk mengesahkan yang aku mengandung.
Tak dapat nak gambarkan perasaan aku pada masa itu. Bercampur-aduk. 12 minggu preggy. Aku mula risau dengan penyakitku ini. H balik semula ke tempat dia mengajar. Aku mengambil keputusan untuk ke klinik kerajaan pada usia kandunganku lebih daripada 18 minggu. Aku akhirnya pergi ke KK Seremban. Darah sekali lagi diambil. +ve. Mereka mengambil darahku dan minta untuk aku tunggu sehingga mereka hubungi aku. Usia kandungan ku semakin meningkat, namun KK masih tidak menghubungiku.
Aku ambil keputusan untuk membuat ujian di klinik swasta dan refer aku ke pakar. Aku cukup berterima kasih dengan doktor itu yang faham keadaan aku dan menelefon temannya yang berada di HTJ untuk mendapatkan temujanji. Darahku sekali lagi diambil untuk rujukan. Keesokan harinya aku mendapat telefon dari klinik swasta tersebut. Aku segera dirujuk ke pakar HTJ. Aku ke HTJ dengan surat dari klinik swasta.
Di sini sekali lagi aku dipandang serong. Staff nurse itu bertanyakan banyak soalan berkenaan hubungan sah aku dan suami. Tidakkah dia baca tarikh pernikahanku di surat nikah? Bukan aku sengaja tidak mahu buat kad nikah, tetapi aku tidak sempat untuk membuatnya. Pelbagai rintangan dengan diriku yang jauh dari kampung halaman. Mungkin disebabkan usiaku yang muda, badanku yang kecil dan mukaku yang macam budak baru habis SPM membuatkan dia bertanya. Aku tidak salahkannya. Dia bertanya mengenai suamiku.
Aku nak buat macam mana? Suamiku jauh dan tidak ada dekat denganku. Dia memandang sinis kepadaku. Aku terasa nak balik pada saat itu juga. Tapi aku kuatkan hati aku. Aku ditendang macam bola. Kena ke bilik ini. Kemudian ke bilik itu pula. Kemudian bilik ini semula. Aku pun tak faham. Kenapa dia orang buat aku macam ini?
CERITA SEORANG MEDICAL ASSISTANT
Seorang staff Medical Assistant ada menelefon aku menanyakan waktu biasa aku pergi kerja dan balik dari kerja. Aku boleh kata aku keluar 7.30 pagi, sampai di rumah paling lewat pukul 6.00 petang. Beberapa hari selepas itu, ketika aku baru saja pulang dari ofis, tiba-tiba ada bunyi hon di luar rumah. Aku menjenguk dan melihat MA dengan pakaian seragam datang ke rumahku.
Aku lihat di sekeliling dan pandang jam, dah dekat pukul 6.30 petang. Ada apa dia datang ke sini? Dia meminta untuk masuk ke dalam rumahku. Aku tidak benarkan kerana aku sendirian di rumah dan aku bercadang untuk keluar ke kedai makan berhampiran. Namun dia tetap ingin masuk ke dalam rumahku. Nak tak nak aku buka sliding door besar-besar.
Dia memeriksa segenap rumahku. Dari ruang tamu, bilik, bilik mandi, dapur, dan toilet. Aku tidak tahu untuk apa. Kemudian dia duduk dan minta aku mengeluarkan dokumen yang diminta olehnya. Aku meminta untuk dia tunjukkan kad kerjanya dan aku sempat mencatit nama dan nombor IDnya untuk rujukan aku di memo tanpa pengetahuannya.
Aku mengeluarkan sijil nikahku, gambar suamiku, dokumen rawatan hospital HSA dan surat report aku semasa malam kecurian. Dia membaca dan meneliti semua dokumenku. Dia tidak percaya dan dia juga memaksa untuk aku mengaku aku terlibat dalam salah satu gejala yang dia sebutkan iaitu menjalani hidup berisiko atau pun berkongsi jarum suntikan. Dua-dua bukan. Aku tidak pernah merosakkan diriku. Dia mengatakan bahawa aku tipu tentang report yang aku buat pada tahun 2008. Habis, report hospital tu kenapa tak pertikaikan? Dia kata pada aku, jangkitan melalui apa yang aku ceritakan itu hanya 1 dalam 100. 0.01%. Habis tu, tidak pula dia terfikir bahawa aku merupakan orang yang 1 dalam 100 tu.
Masa ni aku dah mula marah. Dia memancing aku dengan mengatakan mungkin suamiku pernah menjalani hidup berisiko. Apa yang suamiku kata adalah dia tidak seperti orang lain. Tapi aku tidak tahu sejarahnya. Namun dia tetap –ve dalam ujiannya. Aku mula tidak sabar untuk suruh dia beredar. Aku memang cukup benci dengan orang yang tidak tahu untuk memahami dan menghormati sensitiviti orang lain.
MA ni masih tidak percaya juga. At last, aku cakap pada dia, suka hati kau. Nak percaya, percaya. Tak nak sudah. Memang itu jawapan saya. Dia ugut aku untuk datang ke ofis dan bertanya dengan teman sekerja berkenaan diriku. Aku terfikir, kalau dia datang ke ofis, tentu orang di ofis akan mengesyaki aku menghidapi penyakit yang berbahaya ini. Aku tak sanggup untuk orang lain tahu. Aku takut untuk disisih masyarakat.
Aku cuma mampu kata kat MA yang berlagak itu, silakan. Ini alamat ofis saya. Awak datang dan bertanya kepada sesiapa saja berkenaan saya. Tapi awak kena ingat, penyakit saya adalah rahsia. Sekiranya pecah, saya akan heret awak ke mahkamah dan saya akan pastikan awak menerima balasan yang setimpal dengan apa yang awak buat.
Aku juga beri beberapa nombor telefon teman rapat dan keluarga. Masa itu aku dah benci sangat pada dia. Apa, dia ingat dia MA dia boleh buat sesuka hati dia? Aku tak perlu jumpa MA macam dia. MA berlagak tu siap ugut aku untuk tidak memberi rawatan sekiranya aku tidak menceritakan hal yang sebenar. Lantak kau lah.
Masa itu aku dah menyirap sangat. Apa dia ingat dia tu terlalu bagus ke? Apa kuasa dia untuk halang aku terima rawatan di hospital? Aku kata kat dia, "OK kalau macam tu, sila tinggalkan sedikit nota awak dan tandatangan serta letak nama dan pengenalan awak. Selepas ini tidak perlu saya ke hospital. Jadi, sekiranya pihak hospital menelefon dan mencari saya kenapa saya tidak hadir buat rawatan, saya akan tunjukkan nota awak ni. Saya nak lihat kuasa awak besar mana." Bukan niat aku nak berlagak. Tapi nilailah sendiri MA tu macam mana orangnya.
Aku minta dia pulang kerana jam hampir ke pukul 8.00 malam. Dengan pintu sliding dah bertutup, namun langsir kukuak sepenuhnya. Lampu dari parking hingga ke dapur aku hidupkan. Aku tak nak orang sekeliling syak. Namun dia tetap mahu aku mengaku salah satu yang aku buat itu.
Teman sepejabatku mengetahui aku mengandung ketika usia kandunganku 5 bulan. Pelbagai reaksi daripada mereka. Ada yang ucap tahniah, ada juga yang melontar macam-macam tohmahan kepadaku. Mereka mempertikaikan anak di dalam perutku. Apa hak mereka untuk membuat pertikaian tersebut? Aku sedar diriku tidak sebaik malaikat.
Namun aku bukanlah perempuan jalang seperti mereka yang ada suami di rumah namun menjalinkan hubungan dengan suami orang. Waktu ofis check-in di hotel budget. Aku tahu hukum-hakam agama. Ibu bapaku telah terapkan dalam diri kami adik-beradik sejak kecil. Aku tahu akibat melakukan perbuatan itu.
2 minggu selepas itu, aku datang semula ke hospital untuk temujanji dengan pakar. Aku dirujuk ke ID klinik untuk memastikan aku mendapat ubat-ubat yang perlu. Aku juga ditemukan dengan pakar farmasi. Dia menerangkan jenis ubat-ubatan yang perlu aku ambil dan kesannya sekiranya aku ambil dan aku tidak ambil. Aku juga menanyakan mengapa aku perlu ambil ubat itu. Pakar itu kata sebab aku mengandung dan nak mengelakkan anak di dalam kandunganku daripada dijangkiti. Kalau aku sendiri, aku tidak perlu untuk mengambil ubat kerana badanku masih lagi sihat.
Aku berbincang dengan suamiku menerusi telefon. Dia tidak mahu aku mengambil ubat hospital disebabkan ubat itu mempunyai kesan sampingan yang begitu tinggi. Dia minta untuk aku tunggu dia pulang pada bulan 7 nanti. Aku masih meneruskan perubatanku di Bangi. Kos memang mahal, namun aku mesti terus berubat untuk mendapatkan semula kesihatan aku. Darahku setiap 2 minggu akan diambil oleh pihak hospital dan klinik di Bangi.
MIMPI PELIK
Ketika usia kandunganku mencecah 7 bulan, aku didatangi mimpi yang begitu pelik. Aku dibawa oleh 3 orang lelaki berserban ke Kaabah. Aku lihat ada 2 orang menunggu aku di pintu Kaabah. Pintu itu kemudiannya dibuka. Aku lihat didalamnya ada seorang lelaki yang begitu indah rupanya melakukan solat. Kemudian 3 lelaki yang membawa aku ke situ turut bersolat. Aku juga bersolat bersama mereka. Mereka mengajarkan aku ayat seribu dinar dan entah macam mana sejak mimpi itu aku begitu hafal ayat itu.
Bangun saja dari tidur dalam pukul 3.50 pg aku segera bersolat tahajjud. Aku meminta petunjuknya. Aku tidak dapat nak story benda tu kepada keluargaku di tengah2 pg buta tu. Aku ke ruang tamu dan mula buka laptopku.
Aku buat search di laman google bentuk dalaman kaabah. Subahanallah. Sama seperti dalam mimpiku. Grafik yang direka sama seperti mimpiku dan aku melihat orang yang membuka pintu Kaabah juga sama seperti dalam mimpiku. Sekali lagi aku menitiskan air mata. Allah telah menunjukkan keEsaan dan kebesaranNya.
BERITA BAIK
Tidak lama selepas itu, Alhamdulilah, Dr Pakar tu selalu kata kat aku, “ala siket aje ni puan. VL puan bwh 10k. Org lain dah berates dan CD4 puan 800 lbh. Kira puan sihat.’’
Sehinggalah kandunganku masuk 8 bulan. Aku dijangkiti zoaster. (kayap) Masa ni hanya tuhan aje yang tahu keadaan ku. Dengan suami tiada disisi. Aku menghadapi semua dugaan ini sendirian. Ibu bapaku memberi semangat kepadaku.
Hospital segera mengambil sample darahku dan virus telah naik ke 23k dan CD4 aku telah turun ke 622. Dr mahu aku berjumpa dengannya setiap 2 hari dan sample darah diambil sehingga aku sembuh.
Aku teruskan rawatan di klinik Bangi. Aku diberi satu jenis ubat berupa jel untuk disapu di bahagian yang sakit. Alhamdulilah 5 kali sapu penyakitku kembali pulih. Aku langsung tidak mengambil ubat hospital. Bukan sebab aku berlagak ke ape tetapi aku takut akan kesan sampingannya.
Akhirnya setelah aku sihat dokter telah menjarakkan pertemuan kepada seminggu sekali. Aku senyum aje. X payahlah aku nak menapak ke hospital setiap hari. Masa kandunganku cecah 8 bulan dokter mengatakan bahawa aku boleh bersalin secara normal disebabkan CD4 aku 1023 dan VL ku hanya 8k lebih sahaja. Dokter mahu aku terus makan ubat dan harap aku pnya VL akan turun hingga 0.
DUGAAN LAGI
Aku datang ke klinik seperti biasa untuk membuat rawatan. Hari itu aku datang agak lewat kerana aku punya kerja tengah banyak. Dokter menunggu aku. Dia ke hulu hilir mencari aku. Masa tu aku baru nak buat ujian air kencing, timbang dan tekanan darah namun tidak sempat.
Dokter nak aku terus bt operation untuk keluarkan bayi aku ni. Aku terkejut sangat. Suamiku belum pulang lagi. Aku merayu kepada dokter agar biar aku sambut raya haji yang hanya tinggal 3 hari, lepas tu nak buat, buatlah. Dokter mengatakan bahawa VLku naik ke 10k dan bimbang anak dalam perutku itu akan dijangkiti.
Akhirnya dokter akur dengan permintaan ku untuk menangguhkan pembedahan dan mengambil tarikh 25.11.2010 iaitu usia kandungan 37 minggu 2 hari. Segera aku membuat prosedur yang diperlukan. Selesai sahaja aku kembali ke dokter untuk mendapatkan kad temujanji aku. Sebelum operation aku perlu ke hospital setiap 2 hari.
Seronok kebetulan waktu cuti sekolah suami dan ibuku bercuti. Semua orang datang untuk melihat bayi aku. Aku bersyukur walaupun aku terpaksa ceaser namun suamiku ada di sisi.
Aku segera pulang ke offis dan menyiapkan segala kerja-kerja ku. Dokumen semua aku lengkapkan. Memudahkan orang yang akan mengambil alih tugas aku sepanjang ketiadaan ku. Aku harap mereka tidak tertekan dengan tugasku kerana semua aku telah buat link dalam excel. Xperlu usik yang lain. Hanya masukkan dalam buku tunai sahaja.
Senang dan bila akhir bulan tinggal print imbangan duga dan balance sheet je...*_* Aku dimasukkan ke wad sehari sebelum aku dibedah. Suamiku sentiasa di sisi. Aku mula berasa takut.
Bersambung...
AHP: Sila baca bahagian terakhir. Masih ada lagi beberapa peristiwa menarik dan tips tertentu akan kita temui nanti.
Friday, March 02, 2012
KISAH SITI SEBAGAI PEMBAWA HIV (BAHAGIAN 2)
Sambungan dari sini,
TERIMA SALAM PERKENALAN
Guru adikku yang handsome telah menyampaikan salam perkenalan kepadaku dan aku terima dengan hati yang terbuka. Namanya H. H juga merupakan lelaki ke-2 dalam hidupku dan berjaya mencuri hatiku dengan wajah yang handsome dan hati yang baik.
Dia juga banyak memberi tunjuk ajar tentang kehidupan dunia. 2 minggu berkenalan, dia menyatakan hasrat untuk lebih serius dalam perhubungan. Aku menerima dengan hati yang berbunga. Aku mengharapkan agar dia merupakan lelaki yang terakhir dalam hidupku. Hubungan kami berjalan lancar. Aku berterima kasih kepada adik aku sebab dia yang mengenalkan H kepadaku.
Tahun 2009
PEMBUKAAN TAHUN
H ditawarkan untuk mengikuti kursus perguruan selama setahun dengan elaun bulanan RM 1,333.00. Dekat je. Aku memberi semangat kepadanya untuk terus belajar dan dapat apa yang diimpikan oleh orang tuanya.
Perhubungan kami sama seperti orang lain. Yalah, orang bekerja dengan belajar mana sama. Banyak pertelingkahan kecil terjadi. Masing-masing cemburu buta.
Telefonku disambungkan ke H sekiranya aku tidak menjawab (divert call). Dah tu ramai pulak kawan-kawan sekerja yang menelefon aku waktu aku telah tidur. Aku pula jenis tidur awal. Lepas Isyak, aku akan tidur. (Tidur mati... bom meletup belum tentu bangun) Penat sangat.
REZEKI DARIPADA ALLAH
Kontrak ku dengan SPAJ tamat pada 04/2009 dan telah disambung lagi selama 2 tahun. Namun aku menerima tawaran kerja dengan kerajaan Federal (tetap) jawatan yang sama 2 bulan sebelum kontrakku tamat.
Sekali lagi ibu bapaku masuk campur dalam hala tuju kerjayaku. Tanpa pengetahuanku mereka telah menghantar borang penerimaan jawatan tersebut. Bukan susah untuk meniru tandatanganku. Tujuanku membuat tandatangan yang senang adalah memudahkan mereka sekiranya ada dokumen yang penting untuk diisi sekiranya aku tiada.
Menyesal rasanya. Aku ditugaskan di Negeri S. Adoi ai, jauhnya dari H. Aku sedih. H pun tidak setuju untuk aku ke sana. Namun aku terpaksa pergi juga. Hubungan antara aku dan H semakin jauh.
Namun setiap hari H tidak pernah lupa untuk bermesej dengan ku. Sekiranya ada masa terluang, dia akan video cam aku. Masing-masing sibuk dalam bidang masing-masing.
Aku dihantar berkursus selama 2 minggu. Selama itu kami tidak dapat berhubung. Aku rindukan H.
KURSUS DALAM PERKHIDMATAN
Aku sedih apabila perhubungan telefon tiada dalam kem tersebut. Namun aku dan teman-teman lain redha. Sebelum memulakan kursus, kami perlu menjalani ujian air kencing, darah, mata dan juga pelbagai jenis perkhidmatan perlu dijalani oleh peserta. Hanya beberapa peserta sahaja yang perlu menjalani Rapid Test dan dibawa ke hospital berdekatan atas sebab apa aku pun tak tahu. Yang penting aku selamat dan lepas daripada masalah kesihatan.
Di situ kami dibahagikan seramai 4 orang dalam 1 bilik. Aku menerima teman dari Terengganu, Perak, dan Melaka. Masing-masing lebih tua daripada aku. Seorang 1 katil. Huh… lega rasanya, tak payah aku share katil dengan orang lain.
Dalam bilik itu aku seronok sangat sebab aku kenal dengan budaya dan kebiasaan teman-temanku. Yang seorang sibuk dengan tempoyaknya, yang seorang sibuk dengan cencalok dan budu. Aku je tak bawa belacan. Hahahahhaha… kelakar!
Masing-masing keluarkan stok makanan. Termasuklah aku. Ye lah, berkursus 2 minggu. Makan 5X sehari, tapi bukan kita tau, kalau-kalau dah kebulur tengah-tengah malam, mana nak mencari.
Peserta kursus siri 2/2009 seramai 198 orang. Paling ramai dalam sejarah jabatan aku dan paling ramai adalah lelaki iaitu seramai 70% dan perempuan 30%. Gred jawatan dari 1-17. Kami akan ditempatkan di serata pelosok negara termasuk Sabah dan Sarawak. Aku alhamdullilah sebab aku telah mendapat penempatan di S tetapi mereka belum ada tempat. Kasihan.
Kami dibahagi lagi kepada groups. 1 group ada 10 orang yang terdiri daripada 7 lelaki & 3 perempuan. Di situ ramai kawan-kawan 1 ofis yang bertemu jodoh. Pelbagai tugasan dan kerenah selama dalam berkursus.
Akhirnya, setelah 2 minggu bersama, kami terpaksa berpisah. Rasa begitu sedih kerana mereka adalah teman semasa dalam kem tu. Merekalah yang berkongsi suka duka kita. Segala-gala masalah kita mereka kongsikan bersama. Dah macam adik-beradik. Itulah yang jabatan aku hendak terapkan.
Sehingga kini, walaupun kami jauh daripada pandangan, namun kami tetap mesra sekiranya bertemu dalam functions yang jabatan anjurkan. Saling tak lupa untuk ber-email dan chatting dalam extranet… rindu korang!
MULA TUGAS DI TEMPAT BARU
Selepas tamat kursus, aku ke Seremban dan dapat rumah sewa. Aku duduk sendirian di situ. Hanya ada radio, dapur, dan tong gas yang aku beli. Bayangkan keadaan aku begitu. Esok aku mula kerja. Rasa nak terkencing bila aku sampai di ofis. Nak menangis dan meraung.
Semua orang yang ada sebaya mak dan bapak aku. Nasib baik aku ada 6 orang kawan yang ditugaskan di tempat yang sama. Ada juga teman. Aku masuk dalam bilik kewangan. Dadaku berdebar sangat. Tak tahu siapa bos aku, teman seperjuanganku.
Adoi ai… dalam bilik tu ada 5 orang termasuk aku. Yang muda sememangnya aku. Yang lain sebaya mak aku. Yang nak pencen pun ada. Rasa pening kepala otak aku. Sistem pulak semua tak pakai Excel. Masih lagi pakai buku lama yang panjang menjela. Hadoi hai, macam mana aku nak buat ni? Komputer ada, tetapi masing-masing buat main game. Kelakar tak?
Aku dikehendaki menyiapkan tugasan tahun 2008. Pernah pula aku terfikir yang aku kena buat kerja yang aku tak pernah tahu. Aku start kerja pun 2009. Aku sedih. Langsung tiada tunjuk ajar. Semua aku kena buat sendiri. Aku buat tugasanku secara perlahan-lahan.
Aku bertugas dengan penuh dedikasi. Dengan kepakaran yang aku ada, aku berjaya melakukan tugasan dengan bimbingan yang minimum.
KEINGINAN HATI
H memberi kata putus untuk hubungan ini. Sekiranya aku benar-benar serius dalam perhubungan, dia nak hubungan ini terus ke jinjang pelamin. Aku mengambil masa untuk berfikir. Aku minta dia untuk habiskan pengajiannya yang sudah tidak lama. 6 bulan saja lagi, tetapi pihak keluarga dia memaksa aku untuk berkahwin tahun itu juga. Bukan apa, adiknya terpaksa menunda majlis disebabkan tunangnya kemalangan jalan raya.
Aku tersepit. Last-last aku kata pada H untuk tanya sendiri pendapat keluargaku dan aku tidak sangka yang H serius untuk menjadikan aku surinya. Dia datang bersendirian dengan membawa cincin risik. Bapaku minta tangguh disebabkan kakakku pun belum berkahwin dan dia nak H habis belajar dahulu.
H berkeras dan hendak majlis dibuat pada bulan 8 tahun tersebut. Aku cuma ada masa kurang dari 2 bulan. Aku tak sanggup. Aku nak majlis bertunang dahulu sebab aku memang belum bersedia. Umurku baru 21 tahun masa itu.
Akhirnya dia bersetuju untuk bertunang dahulu. Beberapa hari selepas majlis tunang berlangsung, keluarganya datang untuk menetapkan tarikh pernikahan. Sekali lagi aku tepuk dahi. Ingatkan dah tunang boleh relaks. Rupanya tidak. Dia tetap mahu bernikah pada tahun itu juga.
MENGETAHUI BAHAWA AKU ADALAH PEMBAWA HIV
Akhirnya aku mengalah. Dia telah mengambil semua borang yang perlu diisi bagi prosedur pernikahan termasuk borang saringan HIV. Kami mengisi segala borang yang penting dan kami pergi bersama-sama membuat saringan di HKT. Aku berdebar-debar tak tahu kenapa.
Tiba giliran aku untuk membuat ujian. Aku menunggu di luar. Beberapa ketika selepas itu, aku dipanggil lagi untuk membuat Rapid Test. Aku dengan tanpa prasangka membuat ujian itu. Akhirnya staf di situ suruh aku isi borang untuk ambil darah. Aku tanya kenapa dia tak beritahu langsung. At last budak pelatih beritahu maybe aku HIV +ve dan borang aku tidak dipulangkan.
H telah mendapat keputusan dan borang. Boleh pula staff nurse tu tak beritahu aku perkara yang penting itu. Jadi timbul pertanyaan daripada H berkenaan keputusanku dan mengapa borangku tidak dipulangkan. Mulutku berat untuk aku katakan kepadanya. Nantilah, belum sampai masa.
Keesokan hari aku meminta ibuku untuk menemani aku mengambil darah pada jam 8 pagi. Ibu banyak bertanya dengan staff nurse tu, namun tiada jawapan daripada mereka.
Ibuku beristighfar panjang. Apa yang boleh aku buat? Staff nurse tu kata 1 bulan akan datang pihak hospital akan telefon semula. Tanpa memberitahu aku status sebenar, tanpa sebarang kaunseling. Tanpa ada sepatah kata daripada mereka. Soal siasat dari mereka kujawab dengan biasa sahaja. Aku memberitahu ibuku mengapa aku perlu mengambil ujian itu. Ibuku hanya mampu untuk menangis.
Aku tahu mesti hatinya hancur luluh bila menegtahui keadaanku. Aku hanya mampu menangis dalam hati. Apa lagi yang mampu untukku lakukan? Ibu beritahu abah segalanya berkenaan diriku. Aku lihat abah menangis. Nampak titis air matanya. Namun apa yang boleh aku lakukan?
Aku sendiri tidak tahu aku dijangkiti, bila aku dijangkiti. Aku tidak punya teman sosial. Aku tidak melakukan perkara-perkara berisiko dan aku juga tidak menagih dadah. Aku betul-betul tidak tahu apa itu HIV dan cara jangkitannya. Yang aku tahu HIV adalah virus yang tiada ubat dan membawa maut. Cara jangkitannya aku tidak tahu. Takkan sekadar bertempuk-tampar boleh membawa kepada penyakit ini.
Aku tertekan dengan diriku sendiri. Aku mengambil cuti rehat selama 1 minggu untuk menenangkan diri aku. Aku duduk di dalam bilik. Bila aku rasa sesak, aku keluar dan memandu keluar ke tepi laut. Sepanjang minggu aku offkan handphone aku. Aku keluar tak tentu hala. Aku hilang punca. Aku rasa terlalu kotor dengan virus ini. Aku mencari dari mana datang virus itu. Aku menangis sepanjang hari. Aku salahkan Tuhanku kerana memberi aku begitu berat dugaan. Aku tidak mampu untuk menerimanya.
Terlintas di fikiranku untuk bunuh diri. Namun ibu bapa dan adik-beradikku memberi support yang paling baik kepadaku. Aku bersyukur kerana mereka tahu keadaan aku. Begitu beruntung kerana mereka tidak membuang aku, malah mereka mencari pelbagai ubat alternative untukku.
Naik muak aku dengan pelbagai ubat. Peria kataklah, jarum emaslah, dengan mahkota dewa, misai kucinglah. Apa-apalah semua untuk antibody dan cuci darah, tapi aku telan juga nak jaga hati mak dan abah.
Malam minggu semasa aku tidur, aku tersedar bila aku terdengar keluargaku berbincang berkenaan diriku. Banyak persoalan yang ditimbulkan oleh adik-beradikku dan abah menjawab dengan panjang lebar. Yang membuat aku terasa sedih apabila abah kata pada mereka:
“Siti tengah diduga oleh Allah. Sama-samalah kita sokong dia untuk terus hidup. Jangka masa dia dengan kita pun kita tak tahu. Keadaan kita akan datang pun kita tak tahu. Apa dugaan yang akan kita terima dan kebaikan di kemudian hari. Kalaulah abah boleh ganti kesihatan abah ni dengan dia, abah sanggup.Abah nak anak-anak abah sihat.
Apa yang jadi pada dia jadikan iktibar. Jangan ditanya mengapa dan dari mana. Abah nak korang sokong dia dengan sepenuh hati. Ingat, macam mana pun dia tetap darah daging kita. Darah dalam tubuh kita sama.”
Begitu sekali pengorbanan yang sanggup abah buat untukku. Pemikiran bapaku, orang kampung seperti bapaku boleh berfikir sepositif itu. Tetapi kenapa para educated di hospital tu boleh fikir negatif dengan PLHIV seperti aku.
Aku peluk abah kuat-kuat. Abah hanya mampu memujukku dengan mengatakan:
“Tak apalah. Allah nak duga kau. Engkau kira beruntung sebab dia dah bagi peringatan awal pada kau. Orang lain mabuk dengan maksiat, mati mengejut dan mati accident, tak sempat nak ingat pada Dia. Tapi engkau, Dia nak kau selalu ingat Dia. Kau sempat untuk bertaubat. Terimalah. Inilah kifarah yang perlu engkau bayar. Insya-Allah, sekiranya engkau terima dengan redha, kau akan dapat yang lebih baik dari Dia.Dia Maha Adil lagi Maha Mengetahui.”
Mak aku cuma mampu senyum saja. Tapi aku tahu, hati ibu dan ayah mana yang tak kecewa bila penyakit yang belum ada ubat ni ada pada anak dia.
Habis saja cuti, aku pulang ke Seremban. Kebetulan pada hari itu, H datang ke rumah ibu bapaku dan dia telah mengetahui statusku. Bapaku memberitahu status hivku kepadanya. Aku tak mampu untuk bertemu dengannya. Aku tidak keluar langsung untuk berborak dengannya. Namun aku terus menyiapkan barang-barang aku untuk dibawa pulang.
Bapaku menahan aku daripada pulang dengan keadaan sebegitu. Dia sanggup hantar aku balik sekiranya aku perlukan dia. Dia tahu hati dan fikiranku bercelaru. H tidak menghubungi aku sejak dia tahu penyakit aku. Aku pasrah. Aku sedia dengan keputusan yang akan dia ambil terhadap diriku. Akhirnya, setelah hampir 2 minggu H senyap seribu, dia muncul di pejabatku petang itu. Sepatutnya dia ada kelas. Namun dia ponteng semata-mata hendak bertemu dengan aku.
Dia menanyakan tentang kesihatanku dan dari mana aku dapat virus ini. Adakah aku curang padanya? Namun aku hanya boleh jawab dengan air mata. Aku sendiri tak tahu di mana silap aku sehingga Tuhan menduga aku sebegitu.
H minta maaf kerana mahu bersendirian dan melakukan istikharah untuknya. Akhirnya H mengambil keputusan untuk meneruskan hubungan kami. Kerana apa? Aku sendiri tak tahu. Aku tahu, begitu ramai gadis di luar sana yang inginkan dia. Dengan kerjaya yang menjamin masa depan dan personality yang menarik, mudah saja untuk menawan hati mana-mana gadis. Aku berkeras untuk berpisah dan menjalani kehidupan sendiri. Namun dia tetap ingin teruskan.
Tanpa pengetahuanku, dia merancang dengan kakakku untuk menjalani ujian saringan bagi pihakku. Dia mencuri IC ku dan aku telah buat report polis yang IC ku hilang dan duitku juga melayang kerana mengganti IC yang baru. Dia tidak mahu keluarganya tahu.
Kakakku telah bersetuju setelah mendapat kepastian yang H serius inginkan aku. Semua borang telah dihantar kerana aku telah mengisi terlebih dahulu sebelum membuat ujian saringan. Jadi semua yang perlukan tandatangan aku telah ditanda. Akhirnya permohonan nikah kami telah lulus. (AHP: Tips penting ni tetapi risiko kau orang tanggung sendiri. Aku tak campur! Gurau-gurau je, aku bukan provoke ya. Hahaha...)
Bersambung...
AHP: Sila baca bahagian seterusnya nanti. Beberapa peristiwa menarik dan tips tertentu akan kita temui nanti.
KISAH BENAR SITI SEBAGAI PEMBAWA HIV (BAHAGIAN 1)
Kali ini aku kongsikan pengalaman seorang PLHIV wanita yang aku namakan Siti (Bukan nama sebenar). Perkongsian pengalaman beliau agak panjang, menggunakan tatabahasa yang tersendiri, tetapi demi menjaga originality dan unsur-unsur pengajaran yang terdapat di dalamnya, sehabis mungkin aku meminimakan editing.
Editing hanya dilakukan dalam perkara yang aku fikirkan wajar demi menjaga maruah Siti dan memudahkan pembaca membaca pengalaman ini secara santai. Aku juga tepaksa menjadikan perkongsian pengalaman Siti kepada beberapa bahagian kerana banyak perkara yang dikongsikan. Nak diedit terasa sayang sebab menarik pengalamannya.
Selain Anonymous One, As dan Lifejacket (non-PLHIV) yang berpengalaman bergaul sesama komuniti ini atau sama ada kerana suami atau ahli anggota keluarga mereka adalah PLHIV, Siti adalah satu-satunya PLHIV wanita yang sudi menjadi menjadi Kumpulan Sokongan Positive Warriors secara terbuka. Memang jelas wanita tabah ini tidak tenggelam dalam stigma peribadi.
Alamat emel beliau terdapat di menggunakan nick Buzy Gurlz di wall blog. Terima kasih aku ucapkan. Aku harap kumpulan sokongan Positive Warriors mengalu-alukan kehadiran Siti sebagai keluarga baru. Semoga Siti sekeluarga sentiasa berada dalam rahmat dan redha Allah.
Mari baca:
ASSALAMUALAIKUM…
Sebenarnya aku sedikit ragu untuk bercerita tentang kisahku dalam mengalami pahit manis bergelar PLHIV. Terus-terang aku katakan, bukan mudah untuk meneruskan hidup. Tetapi rakan-rakan di luar sana, aku harap kalian tabah untuk teruskan hidup sebagai PLHIV.
Memang sukar untuk percaya tentang kisahku, namun sememangnya ini adalah sejarah aku dijangkiti virus ini. Harap-harap teman di luar sana mengambil langkah lebih berjaga-jaga apabila berhadapan situasi sepertiku.
Tahun 2005, 2006 & 2007
Aku merupakan anak ke-2 dalam adik-beradik. Aku salah seorang anak yang bijak dan boleh dikatakan agak nakal dalam keluarga. Namun aku masih berpegang pada ajaran yang diberikan oleh keluarga. Tamat sahaja SPM, aku menerima tawaran melanjutkan pelajaran ke UiTM Arau, Perlis dalam Jurusan Perakaunan.
Namun, kedua ibu bapaku hendak aku meneruskan ke Tingkatan 6. Aku redha dan aku meneruskan pelajaran ke Tingkatan 6.
Aku begitu kecewa kerana tidak dapat keluar dari kampung. Aku begitu teringin untuk mengikuti jejak kakak dan kawan-kawan yang belajar di kampus.
Aku mengambil keputusan memohon pula ke politeknik dan aku diterima di Politeknik Port Dickson dalam jurusan yang sama. Ibuku berkeras untuk aku terus ke Tingkatan 6.
Mereka ingin aku menjadi guru sepertinya. Akhirnya aku menamatkan juga pelajaranku di Tingkatan 6.
Tahun 2008
MULA BEKERJA
Selepas tamat Tingkatan 6, aku bertekad untuk duduk di bandar. Aku bekerja kilang dan setelah mendapat gaji aku mula duduk di bandaraya Johor Bahru. Di bandar, aku mula mencari pekerjaan dan pelbagai temuduga aku pergi termasuk lah di SPAJ.
Akhirnya aku mengambil keputusan untuk bekerja di McD, City Square. Di sini aku sering dipinjamkan kepada McD Angsana kerana kekurangan staf. Hidupku tidaklah enjoy seperti orang lain. Ada teman yang mesra… boyfriends. Aku lebih senang bersendiri.
Gajiku juga lebih banyak yang aku simpan daripada digunakan. Matlamat aku masa itu hanya nak cari duit untuk study. Aku takut kalau-kalau aku terjebak benda yang bukan-bukan dan duitku habis. Masa itu otak aku agak kolot. Bak kata orang macam “rusa masuk kampung.” Hehehe…
KEJADIAN MALAM MINGGU
Aku tidak akan lupa peristiwa yang menggugat kesihatan aku sehingga kini. Malam minggu itu, jadualku menunjukkan aku perlu ke Angsana. Kebetulan motorku pula rosak.
Tamat saja kerja, aku menapak ke lorong menunggu teksi. Ketika aku sedang menunggu, tiba-tiba belakangku terasa seperti digigit semut, tetapi lebih sakit lagi. Aku toleh ke belakang sebab aku rasa seperti ada orang di belakangku.
Dalam hati rasa bersyukur sebab ada juga orang yang teman aku di situ. Then, tidakku sangka aku dihentak dengan benda keras. Mata aku berpinar dan aku tak tahu apa yang jadi. Yang terakhir aku dengar adalah deruman motor pergi meninggalkan aku. (02 2008)
Pagi itu aku sedar pun disebabkan pakcik tukang sapu yang kejutkan aku. Aku segera mencari barang-barang aku. Namun semua tiada. Aku meminta pakcik tu untuk hantar aku ke balai polis berdekatan. Alhamdulillah, berkat pertolongan pakcik itu, aku sampai di pondok polis.
Di situ aku membuat laporan polis mengenai kecurian. Hampir 5 jam aku di-torture oleh abang polis. Manalah aku tahu situ black area. Bukan ada tanda pun di situ.
Aku dihantar ke HSA untuk mendapat rawatan. Aku ada memberitahu pegawai bertugas bahawa aku seperti dicucuk sesuatu.
Tahu tak apa abang perubatan tu kata?
‘‘Ala dik, kena gigit kerengga je tu. Siapa suruh duduk bawah pokok.’’ Aku rasa nak hempuk abang tu. Suka hati je cakap macam tu. Namun apa yang aku mampu untuk buat hanyalah senyap dann mengomel dalam hati.
Aku takut, mana tau dia masukkan dadah dalam badan aku ke apa. Akhirnya pegawai itu melakukan pemeriksaan menyeluruh terhadapku; darah, air kencing dan air liur semua diambil. Tubuh badanku juga semua dicheck termasuk alat sulitku. Keputusannya alhamdulilah tiada apa yang perlu aku risaukan kecuali bekas jarum suntikan di belakang badanku.
Kepalaku cuma bengkak sedikit kerana dihantuk sesuatu. Aku diberi cuti rehat selama 2 hari dengan ubat tahan sakit KK. Tiada ubat lain.
Aku juga tidak diberi tarikh temujanji akan datang. Ada juga aku Tanya, tapi dia orang cuma kata tak ada apa-apa yang perlu dirisaukan. Lagipun aku telah diberikan ubat pelali penyakit yang diambil semasa mula masuk McD. Kalau rasa tak sihat, datang ke mana-mana klinik terdekat. Itu saja. Aku rasa lega bila pegawai tu kata macam tu.
TERIMA KERJA KERAJAAN
Beberapa minggu selepas kejadian itu, aku dipanggil untuk bertugas sebagai Pembantu Akauntan di salah sebuah kerajaan negeri Johor. (03 2008) Mak dan abah menyuruh aku untuk melapor diri. Ikutkan hati aku belum nak lagi, tetapi disebabkan keputusan STPM aku belum keluar, aku pergi juga.
3 hari selepas bertugas, keputusan STPMku keluar dan aku dapat 4P dan pointer aku 2.80. Hahaha… begitu seronok aku rasa. Bagai dunia milikku. Bukan senang nak lulus STPM ni.
Niat hati nak sambung study dalam bidang akaun, namun jawapan mengecewakan daripada mak dan abah aku bila aku disuruh belajar secara part time. Menitis air mata aku. Kakak dan adik-adik aku semua dapat belajar sepenuh masa. Sedihnya.
Aku study part time di UiTM, namun separuh jalan saja. Aku tidak dapat bawa pelajaran yang diajarkan berikutan perjumpaan hanya sebulan sekali. Jauh pula di ibu kota. Aku kecewa. Namun aku bersyukur kerana aku telah ada kerja yang bakal menjamin masa depan aku walaupun masa itu aku bekerja secara kontrak.
Nak dijadikan cerita, dalam jabatan aku itu begitu ramai yang menjual ubat-ubat supplement dan macam-macam lagi. Aku pun dengan semangat yang membara mencuba supplement 4life TF. Harga sebotol hampir RM300. Aku beli juga.
Bukan sebab apa. Orang kata baik melabur beli supplement sekarang dari jadi papa kedana sebab penyakit masa akan datang. Duit tinggi gunung pun kalau dah sakit, bukan boleh beli kesihatan.
DEMAM BERPANJANGAN SELAMA 2 BULAN
Aku try ubat tu. Dalam tempoh 2 hari aku tiba-tiba saja demam. Demam yang aku tak tau dari mana puncanya. Badan aku menggigil. Aku ke HSA untuk buat pemeriksaan. (bulan 8 tahun 2008) Nurse tu kata demam biasa. Tiada tanda denggi atau apa-apa. (Masa itu aku tak tau itu adalah tanda aku dijangkiti virus merbahaya)
Aku teruskan juga makan supplement itu dan aku mengeluarkan kahak yang begitu pekat. Aku muntah-muntah. Selepas hampir 2 bulan aku demam, akhirnya demam aku itu sembuh, tetapi berat badan aku turun mendadak daripada 50 kg ke 40 kg. Kurus kering aku… (kurang keayuanku)
Hurm… masa tu aku still juga ambil supplement itu. Walaupun mahal, tapi aku rasa perubahan badan aku yang lebih sihat selepas demam teruk itu dan aku kerja macam biasa.
Bersambung...
AHP: Sila baca bahagian kedua dan seterusnya nanti. Beberapa peristiwa menarik dan tips tertentu akan kita temui nanti.
Thursday, March 01, 2012
HIV POSITIF: KRONOLOGI RAWATAN YANG AKU JALANI SEHINGGA 1 MAC 2012 (DOKUMENTASI UNTUK ANAK CUCU)
21 September 2010
Dimasukkan ke HoSHAS (Temerloh) kerana suspek denggi.
Semuanya berpunca apabila berlaku sedikit pendarahan berterusan di gusi selama 4-5 hari. Sebelum itu telah berlaku dalam tempoh sebulan dua tetapi on-off.
22 September 2010
Dimasukkan ke HDW (HoSHAS) pada pukul 2 pagi disebabkan result ujian darah menunjukkan bacaan platelet yang terlampau rendah.
24 September 2010
Pukul 11 pagi keluar HDW.
Alhamdulillah masalah gusi berdarah telah pulih sejak dimasukkan ke HDW (High Dependency Ward).
1 Oktober 2010
Dibenarkan 'bercuti' sebelum menjalani Bone Marrow Trephine Biopsy.
4 Oktober 2010
Masuk semula ke HoSHAS.
7 Oktober 2010
Menjalani Bone Marrow Trephine Biopsy. Pemindahan darah dilakukan ketika itu.
8 Oktober 2010
Dimasukkan ke Isolation Room, HoSHAS
Di Isolation Room, dalam tempoh seminggu selepas menjalani Bone Marrow Trephine Biopsy, pihak HoSHAS melakukan 2 ujian HIV:
Rapid test. Serta-merta disahkan negative.
Ujian ELISA. Juga disahkan negatif apabila resultnya diketahui pada 28 Oktober 2011)
Pemeriksaan menyeluruh kesihatan seperti ujian x-ray dada, kepala, pemeriksaan jantung, paru-paru, buah pinggang, dan sebagainya menunjukkan keadaan normal.
Untuk rekod:
Berdasarkan keputusan beberapa siri ujian darah, selama menjalani rawatan di HoSHAS telah didiagnos dengan bermacam-macam penyakit kronik.
Antaranya suspek nuetropenia, multiple-myeloma, dan leukemia dengan pelbagai andaian tempoh hayat yang berbaki.
14 Oktober 2010
Keluar HoSHAS.
28 Oktober 2010
Hadir untuk review keputusan Bone Marrow Trephine Biopsy. (Neutropanic Sepsis)
Doktor Pakar yang sepatutnya memaklumkan keputusan bernama Dr. Anilah tetapi menyerahkan kepada Dr. Shakil Ganesh A/L Nokkarajoo (Pegawai Perubatan (Latihan Siswazah)) untuk menguruskannya.
Keputusan Bone Marrow Trephine Biopsy:
Sample dikatakan tidak cukup dan ujian tidak perlu.Ujian ELISA:
Disahkan HIV negative.
Sample darah tersebut katanya dihantar ke HTAA (Kuantan). Beberapa fail penting rawatan dikatakan telah ‘hilang.’ Wallahu a'lam!
Dr. Shakil Ganesh A/L Nokkarajoo diarahkan supaya kes ini dirujuk ke Hospital Ampang bahagian Hematology.
19 November 2010
Hadir ke Hospital Ampang. Tidak dimasukkan ke wad tetapi doktor yang bertugas memaklumkan bahawa beliau sendiri akan menghubungi HoSHAS disebabkan beberapa maklumat penting tidak disertakan. Sample darah diambil lagi dan tidak dinyatakan dengan jelas keperluannya.
22 Disember 2010
Hadir temujanji biasa ke Hospital Ampang dan didiagnos HIV positif dan HCV (Hepatitis C).
Dr. Lau Ngee Siang di Hospital Ampang bertanyakan sejarah aktiviti seks dan penyalahgunaan dadah. Aku menafikan melakukan apa juga aktiviti yang boleh mengakibatkan aku dijangkiti HIV.
Sekali lagi sample Bone Marrow Trephine Biopsy dikatakan tidak cukup dan tidak perlu dilakukan. Doktor juga enggan menjawab kenapa ujian HIV aku sebelum ini membuktikan aku negative.
Dr. Lau Ngee Siang di Hospital Ampang meminta aku membuat pilihan untuk menjalani rawatan sebagai PLHIV sama ada di Hospital Sungai Buloh atau HTAA (Kuantan).
Aku memilih HTAA tetapi terlebih dahulu menjalani ujian darah sekali lagi (termasuk Western Blot) di Kuantan Medical Center – KMC (hospital swasta) dan mendapatkan kaunseling dengan Dr. Suhaimi Ayoub.
28 Disember 2010
Dr. Suhaimi Ayoub mengesahkan aku HIV positif, tetapi tidak Hepatitis C.
Atas beberapa alasan tersendiri, aku enggan mendapatkan rawatan di HTAA. Dr. Suhaimi Ayoub mencadangkan aku menjalani rawatan dengan Dr. Iskandar Firzada bin Osman di KK Jaya Gading, Kuantan.
14 Januari 2011
Temujanji pertama dan bermulalah sejarah rawatan dengan Dr. Iskandar Firzada bin Osman di KK Jaya Gading, Kuantan.
12 Mac 2012
Akan hadir temujanji dengan Doktor Pakar Hematology di HTAA. Kemungkinan besar prosedur Bone Marrow Trephine Biopsy akan dilaksanakan semula.
Akan hadir temujanji dengan Doktor Pakar Hematology di HTAA. Kemungkinan besar prosedur Bone Marrow Trephine Biopsy akan dilaksanakan semula.
Jika dilakukan, sebagai pesakit diabetes dan PLHIV risikonya tinggi dan result yang bakal dihadapi nanti semuanya menjurus ke arah penyakit-penyakit kronik yang telah disebutkan atau setidak-tidaknya penyakit thrombocytopenia dan anemia yang sedia ada.
AHP: Akan bermulakah satu lagi fasa baru kehidupan yang telah diaturkanNya? Syukur Alhamdulillah…
Subscribe to:
Posts (Atom)



