Monday, December 30, 2013

TIGA TAHUN AKU HIDUP SEBAGAI SEORANG PEMBAWA HIV (ODHA)




Sebenarnya agak sukar untuk aku berkongsi pengalaman sekerap dulu. Selain faktor kesibukan dengan pelbagai komitmen membantu komuniti, aku memang bermasalah untuk menulis di blog kerana terpaksa duduk lama mengadap PC. Apabila aku mengadap PC terlalu lama, masalah utama yang aku hadapi ialah bengkak kaki dan sakit kawasan pinggang. Akibatnya, banyak entries yang masih tertangguh. Di FB aku nampak aktif, tetapi kerana melalui FB aku boleh lakukan pelbagai perkara sambil berbaring atau di mana-mana sahaja menggunakan handphone.

Baiklah, fokus kepada tajuk entry. Alhamdulillah, pada 28 Disember 2013, genap 3 tahun aku diagnosed HIV positif. Sama tarikh dengan hari lahir Danish, anak aku yang bongsu. Bukan senang nak dapat tarikh ‘kelahiran semula’ sama dengan tarikh lahir anak. He he he.

3 tahun hidup sebagai ODHA sebenarnya masih terlalu hijau. Ramai yang sudah berpuluh tahun hidup sebagai ODHA, sihat walafiat, dan kaya pengalaman. Aku pula serba-serbi kurang ilmu, kecuali punya rasa ingin cuba membantu sesama insan.

Apa yang dirasakan setelah 3 tahun diagnosed?

Agak-agak kau orang faham atau tidak kalau aku katakan bahawa aku sangat bersyukur hidup sebagai ODHA, rasa bahagia, dan disayangiNya? Susah hendak faham, bukan? “Biar betul Mamat ni. Ada HIV pun masih merepek.” Itulah yang menjadikan aku rasa blur hendak kongsikan.


Apa yang aku tahu, melalui HIV, Allah telah didik dan anugerahkan aku dengan pelbagai perkara yang tidak terjangka dek akal. Sebahagiannya pernah aku kongsikan dalam entries sebelum ini. Rawatannya pula sangat simple. Aku mampu menjalani kehidupan seperti biasa dengan penuh bermakna. Aku menikmati setiap detik kehidupan dengan tenang. Bersikap realistik. Apa lagi yang mahu dirungutkan?

Keep your friends close and keep your enemies closer.” Apabila kita kenal musuh, faham HIV, dan yakin dengan ketentuan Allah, tiada apa yang menggentarkan. Syukur Alhamdulillah. Allah tidak pernah zalim. Zalim cuma sikap iblis dan manusia.

Cabaran?

Huh, cakap pun tak guna! Bukan HIV yang menyakitkan, tetapi kerana sikap manusia. Sepatutnya ODHA yang risaukan pelbagai jangkitan jika bergaul dengan bukan ODHA, tetapi sekarang ini terbalik; bukan ODHA yang takutkan ODHA. Seolah-olah HIV akan berjangkit melalui udara dan sentuhan. Masuk akal ke?

Ada yang beranggapan segala ujian yang aku hadapi sebagai ODHA adalah mudah kerana aku bukan memperolehinya daripada aktiviti berisiko tertentu dan aku mempunyai keluarga yang sangat supportive. Tetapi adakah mereka tahu apa yang aku rasa?

Apa sahaja punca jangkitan, aku pernah dituduh melakukannya. Ada yang tuduh aku penyalahguna dadah. Ada yang tuduh aku pengamal seks bebas. Malah ada yang tuduh aku biseksual. Segala macam punca jangkitan aku borong, kecuali jangkitan melalui ibu bapa (dilahirkan daripada pasangan ODHA tanpa rawatan). He he he… best juga! Tidak perlu panjang-panjang cerita. Cakap banyak pun tak guna. Fikirlah apa yang kau orang hendak fikir!

Sebahagian yang lain tuduh aku membela golongan berdosa dan memang sengaja cari penyakit. Inilah bala’ daripada Allah. Gatal, bini dua pun tidak cukup lagi. Campak sahaja ke Sungai Pahang. Mak aih… memanglah belum cukup. Kuota lagi dua ni!

Aku juga dituduh menyokong aktiviti LGBT. Segelintir LGBT pula tuduh aku mendiskriminasikan mereka, tidak memahami, dan sebagainya. Habis, aku ini siapa pula yang sepatutnya faham? Ambui, ambui, ambui… sedapnya mulut kau jadi magistrate, ya Minoh?!


Tetapi, dalam banyak-banyak cabaran tersebut, sikap negatif sesama komuniti sendirilah yang sangat menyedihkan. Bukan ODHA ramai yang empati dan prihatin terhadap komuniti, tetapi bagi segelintir ODHA yang mempunyai konflik dalaman, masya Allah… hanya Tuhan yang tahu betapa dahsyatnya ujian pemikiran mereka.

Akibat sikap negatif, ada yang sanggup menghancurkan apa juga kebaikan demi melihat kehendak dan kepuasan hati tercapai. Kita cakap lain, dia faham cara dia juga. Sedikit pun tidak memuhasabah kekurangan diri. Sekadar berada dalam kelompok kecil yang sealiran pemikiran, terus merasakan dirinya hebat dan gah. Amanah dan kerahsiaan sukar dijaga. Mulut umpama laser dan berita lebih pantas tersebar berbanding CNN. Kritik, kritik, kritik… kondem, kondem, kondem…

Apa yang mereka buat untuk membantu sesama komuniti, kita pun tidak tahu. Kalau yang terbukti memang ada usaha untuk berjuang, kita masih boleh kompromi dan bertolak ansur. Faham bahawa mereka mungkin berdepan pelbagai tekanan. Yang pasti, golongan begitu biasanya parasit, pemanipulasi, pengadu domba, good pretenders, mufti FB, atau keyboard warriors. Aku langsung tidak faham, apa yang hendak dikecohkan di dalam komuniti yang sepatutnya saling sokong-menyokong dan bersatu.

Berbeza sedikit sahaja dengan kehendak hati, habis dicaci-cerca. Mula-mula dulu aku hampir-hampir give up, tetapi apabila difikirkan semula, aku tidak mahu jadi bodoh berganda-ganda. Ramai lagi yang benar-benar memerlukan sokongan. Lagipun, memang Allah telah memperingatkan tentang cabaran sedemikian di dalam al-Qur’an dan sirah perjuangan Rasulullah. Biasalah, mereka ada konflik dalaman.

Iri hati, tikam-menikam, dan cemburu tidak pernah habis. Kejujuran menjadi terlalu mahal. Agenda peribadi tersembunyi di sebalik topeng pelbagai kumpulan, persatuan, dan NGO. Sangat sukar bersatu. Akibat sikap negatif beginilah akhirnya, ODHA sukar diterima masyarakat. Apabila masyarakat menolak sikap negatif tersebut, masyarakat pula yang disalahkan.

Kenapa perlu menganiaya sesama komuniti demi mengikut hati? Tidak puas lagi menganiaya diri sendiri dan keluarga? Tiada langsungkah pengajaran daripada didikan Allah melalui HIV ini? Hendak tunggu sampai bila? Tunggu kaffarah menjadi bala’?

Kadang-kadang, sebagai ODHA, aku pun ada terfikir juga sebelum cepat-cepat istighfar. “No wonderlah Mamat ini tidak habis-habis merungut apabila Allah bagi HIV.” “Orang lain ada HIV okay je, Mamat ni period sepanjang tahun.” Ha ha ha… ampun bro!

Kelakar apabila difikir-fikirkan. Aku tidak kuasa melayan soal remeh-temeh dan emosi begini. Banyak lagi perkara penting perlu diuruskan. “You want to come in my life, the door is open. You want to get out of my life, the door is open. Just one request. Don't stand in the door, you're blocking the traffic.” “Mahu bersama gua, pastikan lu punya speed that is over 200 km per hour, bro!” “Kau hendak main-main, pergi cari lain port.” “Attention seekers are not allowed.”

Berdepan isu begini, aku meletakkan setting yang paling realistik. Aku hanya akan bantu golongan yang betul-betul memerlukan bantuan. Ada NGO atau tidak ada NGO, ditemani atau sendiri… perjuangan tetap diteruskan sebab usaha dakwah itu wajib. Jika ODHA sendiri yang hendak hancurkan NGO atau menyampah aku cuba membantu mereka, lebih baik fokus kepada yang memerlukan. Aku sudah cuba yang terbaik dan tidak rugi apa-apa. Setiap insan ada tanggungjawab terhadap diri sendiri.

Tidak ada jemputan berkongsi pengalaman ke mana-mana, otak aku lebih tenang. Berkongsi sokongan melalui blog dan FB aku sahaja pun sudah memadai! Duit tidak habis, badan tidak penat. Ahli keluarga yang memahami dan sahabat-sahabat yang hebat (ODHA atau bukan ODHA) ada di mana-mana dan tidak akan sesekali tinggalkan aku jika mereka memang sahabat sejati. Belajar mengaji dan solat berjamaah di masjid lagi best! Masa yang berkualiti untuk diri sendiri dan family pun banyak. Tak kuasa hendak senak-senakkan kepala.

Disebabkan aku bersikap terbuka dengan statusku sebagai ODHA, jujurnya aku turut terima cabaran dan tekanan halus dalam bidang kerjaya yang aku ceburi. Jangan kau orang fikir, kau orang sahajalah yang high profile, seolah-olah aku langsung tidak ada kelas. Umpat cela segelintir manusia terhadap aku sekeluarga, treatment fatigue, tekanan kewangan, cubaan individu tertentu yang cuba mengambil kesempatan, fitnah, dan entah apa-apa lagi memang jadi makanan harian.

Mudah cakap, cabaran hidup sebagai ODHA memang banyak. Sejujurnya cabaran lebih dirasai berpunca daripada sikap manusia (tidak kira ODHA atau bukan ODHA). Akan tetapi, semakin banyak cabaran dan ujian, semuanya menjadikan kita semakin tabah dan kuat. Setiap cabaran bergantung kepada bagaimana kita melihat cabaran tersebut. Lihat secara positif, maka akan nampaklah perkara-perkara positif. Begitu juga jika sebaliknya. Dengan ujian-ujian tersebutlah bukti bahawa Allah sayang kita.

Lagipun, agaknya kerana aku ini tua, jadi tahap pemikiran lebih tenang dan matang. Tanggungjawab terhadap keluarga tidak membenarkan aku melayan kesedihan. Kebetulan pernah pula menjalani pelbagai ujian hidup yang jauh lebih dahsyat berbanding HIV, jadi aku tidak perlu fikir bukan-bukan. Melalut lama-lama tidak perlu. Allah larang kita berputus asa. Dia sahaja sebaik-baik tempat berlindung dan memohon pertolongan. Sentiasa ada.

Yang penting mari letakkan kebergantungan mutlak kepada Allah sebagai sumber kekuatan yang teratas. Mesti jelas bahawa apa yang kita lakukan tidak bertentangan dengan syarak. Pedulikanlah apa pun manusia hendak judge. Realitinya, mustahil kita boleh kawal pemikiran orang lain.

Kalau mati esok lusa pun aku tidak kisah. Tolong doakan aku mati dalam husnul khatimah. Itu sahaja pertolongan yang aku pinta kerana aku insan berdosa. Hidup di dunia sekadar persinggahan. Semua makhluk akan mati dengan pelbagai sebab musabab. Cuma, selagi berkesempatan, perjuangan jalan terus. Peluang turut menyumbang sesuatu untuk membantu sesama manusia itu sangat berharga.

Kelebihan?

Kelebihan memanglah jauh lebih banyak, tetapi tidak berapa selesa hendak dikongsikan kerana bimbang membawa rasa ujub, riak, dan takabbur. Diberi peluang berjuang dan berdakwah dalam bidang ini umpama gold hunter yang terjatuh dalam lautan emas. Peluang melaksanakan tuntutan fardhu kifayah dan hablum minannas yang tidak terkira. Tanpa banyak persaingan pula tu. Wow!

Jangan sesekali tuduh bahawa aku hanya bantu sesama Muslim sekalipun NGO yang aku pimpin, iaitu Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM) – kalau panjang lagilah umur NGO ni, ha ha ha… – adalah Islam, Melayu dan kekeluargaan. Ramai pembaca blog aku terdiri daripada pelbagai latar bangsa, kaum, dan agama dari seluruh negara; dan segelintir rakyat Malaysia di luar negara.

Aku sentiasa berhubung dengan ramai pihak yang berlainan agama dan bangsa tanpa sedikitpun being racist antara satu sama lain. Saling hormat-menghormati tanpa prejudis. Jadi, tuduhan yang mengatakan aku adalah kader JAKIM, hanya membantu golongan tertentu dan sesama Muslim sahaja adalah sangat tidak adil. Kononnya tidak suka stigma dan judgemental, tetapi kita sendirilah pengamal tegar sikap tersebut.

Kesimpulan


Perjalanan urusan harianku sangat biasa. Menikmati kehidupan dengan penuh bermakna. Ke hulu dan ke hilir bersama kawan-kawan dengan motor atau kereta putih burukku. Selain itu, aku juga senang menguruskan hal komuniti, mengaji, tazkirah, dan solat berjamaah bersama family atau kawan-kawan. Sesekali jamming, head banging, dan riding. Ringkas cerita, kalau kau orang tidak kenal aku, memang kau orang melopong jumpa orang tua yang sentiasa aktif dan perasan muda 24 jam.

Ujian dan cabaran sentiasa ada walaupun kita hidup tanpa HIV atau kita dapat apa sahaja yang kita mahu. Setiap yang berlaku mesti dikaitkan dengan iman dan dengan kehebatan ilmu Allah. Awek? Perghhh… silap orang!! 1 tidak mahu, 10 menanti. Jika ada sesiapa kata tidak ada yang sudi atau sukar menerima ODHA, aku rasa itu bukan isu. Ianya lebih kepada soal ketentuan jodoh dan attitude sendiri. Tanpa HIV pun ramai yang tidak bertemu jodoh.  Cuma dalam soal jodoh, aku memang tidak layak bersaing sebab sudah tua dan berkeluarga. Timbang kilo pun tidak laku, bukan sebab aku ODHA. Ha ha ha…

Kesimpulannya, setelah 3 tahun aku hidup sebagai ODHA, Alhamdulillah aku sangat bersyukur dan bahagia seadanya dengan anugerah Allah ini. Kehidupan kami sekeluarga juga sangat rapat, malahan lebih rapat dan bahagia berbanding sebelum aku diagnosed. Hubungan suami isteri pun seperti biasa selagi kita faham bagaimana mencegah jangkitan terhadap pasangan.

Kepada sahabat-sahabat senasib, jalani kehidupan seperti biasa dengan cara yang positif. Jangan fikirkan apa yang orang lain fikirkan tentang kita jika kita tahu apa yang difikirkan tersebut tidak betul. Lebih baik kita fikirkan apa yang dapat kita sumbangkan untuk membantu orang lain dan meningkatkan kefahaman. Jangan sesekali kaitkan segala macam ujian hidup adalah disebabkan oleh HIV.

Kini, setelah 3 tahun, barulah aku faham kenapa hati aku tergerak hendak buat sujud syukur pada malam pertama aku diagnosed HIV positif 3 tahun yang lalu. Happy Birthday AHP Pie! Hik hik hik…


Kredit untuk:
Dr. Iskandar Firzada bin Osman. Family dan sahabat-sahabat. Malaysian AIDS Council. JAKIM. PPWM. Semua pihak yang membantu yang tidak mampu disenaraikan satu persatu. Moga ukhwah dan silaturrahim kekal membawa ke syurga.

Jazakumullah kheir…

Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP
Facebook: Ahp Pie


Info Berkaitan:

Laman Web Rasmi PPWM:

No. Akaun PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Abd. Shukor Mohd Yunus: shux@positivewarriors.org
Hishamudin Rahman: carphatz_04@yahoo.com
Arm Ly: psychonutsbeast@gmail.com