https://www.facebook.com/SandakanSAGA |
Pada 9 Disember 2013
(Isnin), aku menerima jemputan mewakili Pertubuhan Positive Warriors Malaysia
(PPWM) untuk menghadiri Sambutan Hari AIDS Sedunia 2013 Kawasan Sandakan, Sabah
yang bertemakan “Sifar Kematian Disebabkan AIDS/HIV anjuran Pejabat Kesihatan
Kawasan Sandakan.
Ianya atas recommendation pihak SAGA kerana aku turut
dijemput khas oleh mereka untuk membantu memberikan penerangan secara terbuka
kepada masyarakat menentang stigma, diskriminasi, dan judgemental terhadap ODHA. Kehadiranku 2 hari lebih awal (mulai 7
Disember 2013 – 10 Disember 2013) adalah atas jemputan dan tajaan SAGA untuk
saling bekerjasama memberikan sokongan membantu komuniti.
Untuk makluman
pembaca, SAGA adalah sebuah NGO yang sangat aktif membantu dan terlibat dengan
isu-isu komuniti di Sandakan yang telah ditubuhkan 5 tahun yang lalu. Ianya diterajui
oleh Dr. Zaiton Yahaya dari Klinik Kesihatan Kawasan Sandakan yang sangat
prihatin tentang isu-isu komuniti. Beliau turut dibantu oleh sebilangan volunteers dan supporters
yang berdedikasi.
Aku bersama Dr. Zaiton |
Sebenarnya, peluang
berada di Sabah adalah antara kemuncak impianku berjuang membantu komuniti
sepanjang 2013. Aku banyak mendapat permintaan komuniti untuk ke sana, tetapi
kekangan jadual dan kemampuan kewangan menghadkan batas pergerakanku. Tawaran
pihak SAGA umpama mimpi jadi nyata dalam kesempatan yang serba tidak pasti.
Walau bagaimanapun,
akibat kepenatan terlampau dan jadual yang terlalu padat sepanjang Disember
2013, menjelang pemergianku ke sana aku rasa sangat tidak bermaya dan berbelah
bahagi. Maklum sahaja keadaan banjir di Pahang ketika itu agak mencemaskan dan
sekeliling rumahku mula ditakungi air. Demi perjuangan, aku tawakal kepada
Allah SWT.
Ketibaanku di
lapangan terbang Sandakan lebih kurang pada pukul 1.00 petang disambut oleh Cik
Zarina Yahaya, SAGA Program Coordinator
dan ditempatkan di Best Western Sandakan Hotel & Residence yang sangat
selesa. Aku diminta berehat seketika sebelum menghadiri pertemuan dengan
beberapa kumpulan komuniti untuk berkongsi pengalaman pada pukul 3 petang.
Walau bagaimanapun,
perkongsian tersebut telah ditangguhkan atas beberapa sebab. Jadi, aku
mengambil kesempatan tersebut untuk meluruskan pinggang buat seketika. Untuk
berehat sepenuhnya memang tidak sempat kerana sentiasa sibuk melayan pertanyaan
via e-mel, Whatsapp, panggilan
telefon, dan FB. Fikiranku pula asyik melayang teringatkan keadaan keselamatan
keluarga di kampung yang berhadapan dengan kemungkinan banjir.
Selepas Maghrib, aku
menghadiri jamuan steamboat di Ocean
King Seafood Restaurant, Sandakan untuk saling berkenalan dengan sebahagian
daripada volunteers SAGA. Sedikit
sebanyak aku mula mendapat gambaran yang lebih jelas tentang perjalanan program
sepanjang beberapa hari tersebut melalui briefing
santai yang diberikan oleh Dr. Zaiton.
Keesokan paginya (8
Disember 2013 / Ahad), aku dijemput oleh Dr. Zaiton untuk menghadiri sebahagian
daripada kempen dan Sambutan Hari AIDS Sedunia peringkat Sandakan anjuran SAGA
di Pasar Tamu Sandakan.
Sebahagian susunan
program mereka adalah seperti berikut:
7.00 pagi Ketibaan semua AJK Kerja
8.00 pagi Ketibaan VVIP – Datuk Linda Tzen (P186
Batu Sapi)
Nyanyian Lagu Negaraku
Nyanyian Lagu Sabah
Tanah Airku
Persembahan Tarian
(Sambut Tamu) – Kumpulan SPAG
Ucapan Dr. Zaiton binti Yahaya
– Presiden SAGA
Ucapan dan Perasmian
oleh Datuk Linda Tzen
Penyampaian sumbangan
daripada Datuk Linda Tzen kepada SAGA
Cenderakenangan daripada
SAGA kepada Datuk Linda Tzen
Cenderahati kepada semua
penaja
Persembahan Nyanyian –
Jello
Body Banner
Sesi Perkongsian – Encik
Mohamad bin Wahid (Positive Warriors)
Persembahan Modern Dance
– Hellectron Dance Crew
Persembahan Nyanyian –
Chinese Songs
Kuiz Terbuka
Persembahan Tarian –
Kumpulan Skoutz1134
Persembahan Nyanyian –
Jello & Mel-c
Persembahan Tarian –
Starx Remix
Kuiz Terbuka
Persembahan Modern Dance
– Hellectron Group
Kuiz Terbuka
Persembahan Tarian
Tradisional – Sinar Tari
Persembahan Nyanyian –
Live Band
Sesi Fotografi
Sebenarnya, ini cuma
sebahagian daripada pelbagai program yang diaturkan di Pasar Tamu tersebut.
Ianya tidak termasuk pameran info berkaitan HIV/AIDS dan beberapa aktiviti lain
yang telah dijalankan sejak beberapa hari sebelum ini.
Datuk Linda Tzen
mengetuai upacara melepaskan burung merpati
sebagai simbol ‘Getting
To Zero’ dan ulang tahun SAGA yang kelima |
Sebahagian kecil daripada penonton yang hadir |
Aku kagum melihat
pihak SAGA mengatur program dengan begitu tersusun yang melibatkan pelbagai
pihak dan penyertaan pelbagai kaum. Malahan terdapat sekumpulan bikers motorsikal besar berkuasa tinggi
turut memeriahkan majlis. Aku dimaklumkan bahawa kehadiran kumpulan dan
individu sokongan berkenaan bukanlah dengan bayaran, sebaliknya atas kerelaan
dan kesedaran sendiri.
Body banners oleh sukarelawan SAGA |
Sepanjang sesi
perkongsian pengalaman ringkasku secara terbuka sebagai ODHA di Pasar Tamu, aku
melihat sokongan dan sambutan padu para penduduk masyarakat setempat sungguh
hebat. Bahkan ucapan tahniah dan pelukan tidak putus-putus sehingga aku perasan
seperti selebriti tua pula pada hari tersebut.
Sesi perkongsian secara terbuka |
Orang awam yang sudi naik ke pentas memberikan sokongan dan pelukan |
Terbuktilah,
masyarakat boleh sahaja menerima kehadiran ODHA jika kita tampil dengan sikap
positif. Mereka cuma perlu diberi sedikit kefahaman (jika keliru) dengan cara
jangkitan.
(Come on, buangkan terlebih dahulu self stigma jika mahu masyarakat
membuang stigma terhadap komuniti.) – ODHA
Hellectron Dance Crew – antara remaja yang sangat memberikan sokongan |
Bersama Dr. Zaiton dan sebahagian daripada volunteers dan supporters SAGA |
Program selesai
menjelang 1.30 petang sebelum aku berehat seketika di hotel dan disambung pada
sebelah malamnya dengan majlis “Sparkling Dinner Night” di Swiss Inn Waterfront,
Sandakan sempena ulang tahun SAGA yang kelima dan sebagai menghargai sokongan
individu dan penaja setempat.
Suasana “Sparkling Dinner Night” |
Majlis gilang-gemilang
tersebut mendapat sambutan hebat dengan pelbagai aktiviti dan ianya turut bertujuan
menghampiri golongan yang terdedah dengan risiko jangkitan. Sekali lagi aku
rasa sangat terharu kerana diterima dan dilayan seperti VVIP oleh pihak SAGA
dan para tetamu.
Pada pagi 9 Disember
2013 (Isnin), aku diamanahkan oleh Dr. Zaiton untuk berjumpa dengan beberapa
orang patients beliau di Klinik
Kesihatan Kawasan Sandakan untuk berkongsi sokongan dan memberi sedikit
motivasi kepada mereka.
Alhamdulillah, aku
dibenarkan menjalankan sesi pertemuan tersebut di Bilik Mesyuarat Klinik
Kesihatan Kawasan Sandakan. Pada pertemuan tersebut, aku berpeluang berkongsi
pengalaman dengan 5 orang sahabat senasib.
Melalui pertemuan
tersebut, aku berpeluang menyelami dan mendengar suara hati mereka. Ternyatalah
mereka amat dahagakan sokongan sesama sahabat senasib, masih kekurangan info,
dan keliru untuk membentuk kumpulan sokongan jika tanpa bimbingan atau panduan. Aku percaya pihak SAGA sedang memikirkan pelan tindakan untuk membimbing mereka membentuk kumpulan sokongan sendiri dan diberikan Latihan Dalam Kumpulan (LDK) secara berterusan.
Disebabkan bimbang
dengan tekanan masyarakat, mereka lebih rela menanggung segala ujian tersebut
secara bersendirian dan tenggelam dalam stigma tertentu. Walau bagaimanapun, mereka memperakui jasa dan peranan yang
pihak SAGA jalankan selama ini di Sandakan, cuma jiwa mereka lebih rapat jika
mendapat sokongan sahabat senasib.
Pertemuan berakhir
menjelang 1.00 petang sebelum aku dan Dr. Zaiton berkejar pula untuk program
kemuncak iaitu Forum Sifar Kematian Disebabkan AIDS/HIV di Dewan Kolej
Kejururawatan Sandakan anjuran Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan pada pukul 2.30
petang hingga 5.30 petang.
Sesi forum di Dewan Kolej Kejururawatan Sandakan |
Alhamdulillah, forum
yang dihadiri oleh pelbagai agensi kerajaan dan NGO itu mendapat sambutan yang
sungguh baik dan di dalam dewan yang cukup selesa. Segala-galanya disediakan
dengan sangat terancang dan sempurna.
Moderator forum
adalah Dr. Maini. Panelnya ialah Dr. Zaiton, Encik Mohd Sufan Bahrain dari
Jabatan Agama Islam Sandakan, dan aku sendiri. Melalui reaksi spontan para
peserta atas segala perkongsian dan ketika sesi soal jawab, aku yakin ianya
mencapai objektif Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan dan SAGA. Walaupun penat,
tetapi kepuasannya tidak tergambar dengan kata-kata.
Usai majlis, aku
bersama volunteers SAGA menjamu
selera dengan pelbagai makanan laut di Pasar Sim-Sim. Aku akui menunya memang
lazat tidak terkira kerana semuanya fresh
dengan sos tradisional yang betul dengan seleraku.
Apabila sampai di hotel,
sambil-sambil mengemaskan keperluan untuk pulang ke Semenanjung, aku masih
melayan pertanyaan daripada pelbagai pihak sekadar yang termampu secara online.
Pagi-pagi 10 Disember
2013 (Selasa), aku yang ditemani oleh sebahagian sahabat daripada SAGA ke Pasar
Besar Sandakan untuk membeli sedikit cenderahati untuk family sebelum berangkat pulang. Di lapangan terbang, air mataku
tumpah melihat ketulusan dan kebaikan hati mereka melayanku sebaik mungkin hingga
ke saat-saat terakhir selama berada di Sandakan. Walaupun cuma bersama beberapa
hari, tetapi hubungan yang terjalin menjadi sangat rapat dan tidak terjangka.
Di kesempatan ini,
aku merakamkan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak
SAGA, khususnya Dr. Zaiton dan volunteers,
pihak Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan, dan semua yang telah berkesempatan
menjalin silaturrahim dan sokongan di sana. InsyaAllah jika diizinkan-Nya, kita
akan bersua lagi.
Mohon maaf atas
segala kekurangan diri. Banyak yang aku pelajari daripada SAGA dan masyarakat
di Sandakan. Semoga kedatanganku ke Sandakan dapat mencapai objektif yang
disasarkan.
Itu sahaja untuk
perkongsian kali ini. InsyaAllah kita bertemu lagi.
Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP
Facebook: Ahp Pie
Info Berkaitan:
Laman Web Rasmi PPWM:
No. Akaun PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive
Warriors Malaysia
Para pembaca boleh berkongsi pengalaman
melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga
dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk
menyertai, sila hubungi admins yang berikut: