Saturday, September 21, 2013

PENAWAR HEPATITIS



Bersama Haji Lokman Abdul Hamid


Soalan:

Assalamualaikum Saya pengidap hepatitis lebih 3 tahun. Mengikut doktor saya dijangkiti virus hepatitis, tetapi saya sendiri tidak tahu punca dan bagaimana. Kini perut saya besar seperti busung. Mata dan kulit saya menjadi kuning. Doktor mengatakan hati saya berparut dan mengeras. Adakah masih ada harapan untuk saya sembuh dengan cara rawatan Al-Quran?


Jawapan:

Waalaikumussalam. Insya-Allah penyakit hepatitis boleh diubati jika diizin Allah. Terdapat tiga jenis hepatitis iaitu hepatitis A, B dan C. Penyakit hepatitis boleh jadi kronik sehingga sirosis (penyakit hati kronik) dan mungkin boleh menular menjadi kanser hati.




Statistik

Mengikut statistik Yayasan Hati Malaysia (MLF), satu daripada 20 rakyat Malaysia menghidap penyakit berkaitan hati. Lelaki paling ramai penghidap hepatitis yang mendedahkan kepada penyakit barah hati.

Terdapat 2.5 juta rakyat negara ini dikesan menghidapinya, kebanyakannya lelaki. Sabah dan Sarawak mencatatkan kadar tertinggi bagi penghidap virus hepatitis B, manakala Kelantan pula Hepatitis A. Lima hingga lapan peratus rakyat Malaysia pembawa Hepatitis B.

Penyakit hepatitis dihidapi kira-kira 350 juta orang seluruh dunia. Lelaki lebih ramai menghidap barah hati mungkin disebabkan mereka kurang mementingkan kebersihan serta tidak mengamalkan pemakanan sihat.

Di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, hampir setiap hari kami merawat pesakit hepatitis sehingga pesakit kanser hati tahap empat. Dengan izin Allah ramai pesakit beransur sembuh dan boleh meneruskan kehidupan seperti biasa.




Pengenalan

Hepatitis bermaksud kecederaan kepada hati dengan keradangan sel hati disebabkan jangkitan virus hepatitis. Hati adalah kelenjar terbesar dalam badan manusia yang terdiri daripada beribu-ribu lobul, setiap lobul terdiri daripada sel hati yang menjadi asas metabolik hati.

Hati adalah salah satu organ penting dalam badan manusia dan mempunyai pelbagai fungsi termasuk detoksifikasi (bertanggungjawab menapis bahan toksik); penyimpan vitamin A, D, K, B12 dan mineral; sintesis protein (membuat asid amino tertentu - blok pembinaan protein).

Hati turut berfungsi mengeluarkan biokimia yang diperlukan untuk pencernaan seperti hempedu; mengekalkan tahap glukosa dalam darah; menghasilkan 80 peratus daripada kolesterol badan; mengurai sel-sel darah merah; mengeluarkan hormone; dan menghasilkan urea (bahan utama air kencing).

Hepatitis boleh sembuh dengan sendiri tanpa sebarang kesan atau boleh bertambah buruk sehingga menjadi parut hati. Hepatitis akut akan sembuh dalam masa kurang enam bulan, manakala hepatitis kronik mengambil masa lebih lama. Terdapat lima jenis hepatitis lazim dihidapi manusia disebabkan oleh virus hepatitis A, B, C, D, dan E:

Hepatitis A – disebabkan makanan atau minuman yang dijangkiti dengan virus HAV (Virus Hepatitis A). Seks oral dan anal juga boleh menjadi penyebab. Hampir semua yang menghidap Hepatitis A pulih penuh dan tidak membawa kepada penyakit kronik.

Hepatitis B –disebabkan Virus Hepatitis B dan disebarkan melalui sentuhan dengan darah dijangkiti, air mani, dan cecair badan lain. Hepatitis B juga boleh dijangkiti oleh ibu kepada anak, perkongsian jarum suntikan dadah dan gigitan.

Hepatitis C – merebak melalui sentuhan langsung dengan darah orang yang berpenyakit. Ini disebabkan virus HCV (Virus Hepatitis C). Hati boleh bengkak dan rosak. Tidak seperti Hepatitis B, risiko kanser hati meningkat pada penghidap sirosis dan hanya 20 peratus pesakit HEP C mendapat sirosis.

Hepatitis D – hanya orang yang sudah dijangkiti Hepatitis B boleh dijangkiti Hepatitis D. Ia disebabkan HDV virus (Hepatitis D Virus). Jangkitan melalui sentuhan dengan darah dijangkiti, hubungan seks tanpa perlindungan, dan penembusan kulit dengan jarum dijangkiti.

Hepatitis E – seseorang boleh dijangkiti melalui air minuman mengandungi HEV (Virus Hepatitis E). Hati bengkak tetapi tidak ada kesan jangka panjang. Jangkitan juga boleh melalui seks-oral.

Ada penyakit Hepatitis X dan G, iaitu hepatitis virus yang tidak diketahui dan selain dari A,B,C,D dan E. Biasanya tidak terdapat tanda atau tandanya sangat sederhana.


Tanda-tanda Penyakit Hepatitis

Fasa awal hepatitis dipanggil fasa akut, tanda seperti berikut:
- Cirit-birit
- Selsema ringan
- Keletihan
- Hilang selera makan
- Demam ringan
- Otot atau sakit sendi
- Loya
- Sakit perut
- Muntah
- Berat badan turun




Rawatan Moden

Rawatan diberi bergantung kepada keadaan pesakit dan tahap kronik penyakit. Rawatan termasuk suntikan, cryosurgery, pemulihan hati, kimoterapi dan pemindahan hati.

Hepatitis A – Tiada rawatan khusus bagi Hepatitis A. Doktor akan menasihati pesakit untuk menahan diri daripada alkohol dan dadah semasa pemulihan. Sebahagian besar pesakit pulih secara spontan.

Hepatitis B – Pesakit dengan Hepatitis B perlu berehat dan makan makanan tinggi protein dan karbohidrat. Ini untuk membaiki sel hati yang rosak, serta melindungi hati. Jika ini tidak mencukupi, doktor mungkin memberi ubat antiviral.

Hepatitis C – Seorang pesakit Hepatitis C akan diberi pegylated interferon dan ribavirin.
Pesakit Hepatitis C kronik yang menerima rawatan HCV standard boleh mendapat manfaat ketara dengan mengambil vitamin tambahan B12.

Hepatitis D atau E – Setakat ini, tidak ada rawatan berkesan untuk Hepatitis D atau E.


Rawatan Al-Quran

Daripada penerangan di atas, dapat kita fahami serba sedikit tentang hepatitis yang berkaitan dengan kebersihan, pemakanan dan gaya hidup.

Kebersihan dan kesucian disebut berulang kali dalam Al-Qur’an. Rasulullah SAW menempatkan kebersihan sebahagian daripada iman.

“Kebersihan adalah sebahagian daripada (cabang) keimanan.” (H.R Muslim no: 223)

Hadis ini sangat tepat menggambarkan bahawa kebersihan dalam Islam sangat penting. Selain itu, ada beberapa ayat Al-Qur’an dan hadis menyebut bahawa Allah mencintai kebersihan.

“Sesungguhnya Islam itu bersih, hendaklah kamu mewujudkan kebersihan kerana sesungguhnya tidak akan masuk syurga kecuali orang yang bersih.” (H.R. Khatib)

Dari segi pemakanan, cukup banyak ayat Allah memperingatkan kita pentingnya pemakanan seimbang. Bila kita menghindari makanan tidak baik, maka akan dihasilkan tulang sihat, otot kuat, saluran darah bersih, otak cerdas, paru-paru dan hati bersih, jantung dapat mengepam darah dengan baik.

Dan diperintah manusia untuk selalu memperhati makanannya, seperti firman Allah:

“Maka seharusnya manusia memperhatikan makanannya.” (Abasa [80]: 24)

Ini kerana manusia yang ingin sihat jasmani rohani, salah satu faktor yang menunjang adalah makanan. Pemakanan tidak terkawal akan mengganggu fungsi tubuh hingga boleh penyakit hati seperti hepatitis, kegemukan (obesiti), ketumbuhan, dan kanser.




Di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, pesakit hepatitis akan diberi ayat berikut untuk diamalkan disertai doa kepada Allah untuk penyembuhan. Ayat tersebut adalah:

Surah Hud ayat 65 hingga 77
Surah Yunus ayat 71 hingga 89
Surah Ar-Rad ayat 16 hingga 34
Surah An-Nahl ayat 90 hingga 102
Surah As-Soffat ayat 22 hingga 47
Surah Yunus ayat 55 hingga 70.

Pesakit hendaklah membaca surah pertama iaitu surah Hud tiga kali pada malam dan surah kedua iaitu surah Yunus tiga kali pada siang. Pembacaan hendaklah diamalkan setiap hari selama tiga hingga empat minggu. Selepas membaca tiga kali, pesakit perlu berdoa kepada Allah untuk penyembuhan. Selepas membaca dua surah pertama tadi, pesakit hendaklah mengulang amalan tersebut dengan surah seterusnya.


Penutup

Kepada semua pesakit hepatitis, jangan berputus asa mencari cara dan berikhtiar untuk berubat. Janganlah menganggap penyakit ini tidak dapat sembuh dan berserah kepada takdir. Yakinlah pertolongan pasti akan datang bagi mereka yang mencari.

“Berubatlah, kerana tiada satu penyakit yang diturunkan Allah, kecuali diturunkan pula ubat penawarnya, selain dari satu penyakit, iaitu mati.” (HR Abu Daud dan At-Tirmidzi dari sahabat Nabi Usamah bin Syuraik)


Sumber: Mingguan Malaysia, Ahad, 15 September 2013



Info Berkaitan:

Laman Web Rasmi PPWM: http://www.positivewarriors.org/

NO AKAUN PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Camelia Sulaiman: camelia_sulaiman@yahoo.com
Luka Rafieqa: rafieqakl@hotmail.com

NGO Sokongan:

Pertubuhan Amal Firdausi Kuala Lumpur (PAFI)
Sila hubungi:
E-Mel: amalfirdausi@gmail.com
Talian Mahabbah: 018-207-0953 (EncikHamli) @ 017-311-0306 (EncikRaffie)
Telefon / Faks: 03-9174-0934
FB PAFI: http://www.facebook.com/amalfirdausi (open group)
Twitter: twitter.com/amalfirdausi

Sokongan khusus kepada komuniti wanita: PEWAHIM
Untuk menyertai FB PEWAHIM (secret group) sila hubungi:
E-Mel: pewahim@gmail.com
Telefon: 019-259-5864 (Norlela) Pengasas
No akaun PEWAHIM: 562740121438 (Maybank)