Monday, September 16, 2013

HIV: BEBERAPA CABARAN APABILA BERJUANG SECARA TERBUKA MEMBELA KOMUNITI





Seperti yang aku pernah maklumkan sebelum ini, bahawa apabila aku berjuang secara terbuka dengan statusku sebagai seorang Orang Yang hidup Dengan HIV dalam masyarakat (ODHA), sebenarnya ianya bukanlah mudah. Tambahan lagi aku juga mengheret keluargaku turut serta.

Ramai yang beranggapan ianya mudah bagiku berdasarkan rasional mereka yang tersendiri, tetapi hanya kami yang menempuhinya sahaja yang faham situasi sebenar. Setakat ‘jatuh saham’ sudah memang dijangka sejak awal.

Tekanan menjadi berganda kerana aku sentiasa berdepan dengan beberapa masalah kesihatan sedia ada, tekanan kewangan, mesti menjaga nama baik tugas hakikiku (karier), dan sebagainya.

Dalam perjuangan, setakat tidak mampu membayar pelbagai bil, ansuran bulanan kereta, atau terputus duit belanja harian keluarga adalah perkara biasa. Setakat hilang kawan adalah biasa. Setakat disalah anggap membela golongan ‘berdosa’ adalah biasa. Setakat berlakon kuat umpama ‘Superman’ sekalipun sangat-sangat turut memerlukan sokongan dan kepenatan adalah perkara biasa. Dipandang mudah kerana hanya memperjuangkan isu stigma, diskriminasi, paranoia, dan judgemental terhadap komuniti adalah biasa.

Itu tidak termasuk segala macam umpat cela, kerenah, dan fitnah daripada segelintir komuniti sendiri atas sebab-sebab kemiskinan peribadi diri dan gagal melihat perjuangan dalam skop yang lebih luas. Tidak kurang yang mengambil kesempatan tanpa mempedulikan sedikitpun keadaan yang perlu aku tanggung.

Masa-masa berkualiti untuk diri sendiri dan bersama keluarga juga sering terabai. Tetapi, jika seseorang pejuang hanya memikirkan soal diri dan keluarga sendiri, jawapannya nikmat Islam dan iman tidak akan kita rasai sekarang.




Antara yang paling menyakitkan apabila ada yang menganggap bahawa aku berjuang untuk glamour dan mencari sumber pendapatan sampingan. Barangkali kerana aku tidak suka mengadu masalah remeh-temeh dan kelihatan ‘sedikit berharta’, maka semuanya dianggap mudah.

Aku tahu betapa sakitnya stigma, diskriminasi, paranoia, dan judgemental berbanding rawatan yang perlu dilalui oleh ODHA. Lantaran itu aku tidak sanggup membiarkan diri dan komuniti disakiti dengan cara tersebut. Sikap menghukum lebih jelas songsang daripada nilai sebenar Islam yang menjadi rahmat untuk seluruh alam. Memperjuangkan nasib golongan yang teraniaya dan miskin ilmu juga adalah satu jihad yang sangat besar dalam zaman fitnah ini.

Dalam kebanyakan sharing, events, dan program yang aku hadiri ianya adalah atas tanggungjawab untuk menerangkan salah faham masyarakat terhadap isu-isu HIV. Ianya untuk membantu supaya ODHA diterima sebagai anggota biasa dalam masyarakat. Lillahi Taala.

Melalui perjuangan ini (ODHA sendiri yang tampil terbuka menerangkan situasi sebenar), sedikit sebanyak mula dapat membuka mata masyarakat. Malahan aku sudah mula menerima beberapa jemputan daripada pihak masjid dan sekolah-sekolah.

Aku lihat peluang mendapatkan pahala melalui medan ini seumpama berada di sebuah gudang emas tanpa persaingan. Tidak ramai yang merebutnya dan mustahil peluang tersebut aku sia-siakan. Alhamdulillah perjuangan tersebut jugalah yang membuatkan aku rasa ingin terus bernyawa dan bersemangat untuk hidup.

Sekadar perkongsian, majoriti jemputan yang aku hadiri adalah dengan perbelanjaan sendiri. Memang terdapat sedikit imbuhan. Katakanlah RM100, tetapi perbelanjaan yang aku keluarkan sendiri untuk urusan pengangkutan, makan minum, dan penginapan mencecah RM200. Itu tidak termasuk kepenatan yang aku alami sehingga berhari-hari akibat perjalanan yang jauh dan aktiviti yang padat bertemu pelbagai pihak. Bayangkan jika sekurang-kurangnya aku menghadiri sebanyak 10 jemputan sebulan.

Semua cabaran tersebut tidak aku pedulikan kerana aku yakin dan lebih percaya bahawa Allah sebaik-baik perencana, bahkan kepuasan yang Allah berikan jauh tidak ternilai.

Sedikit imbuhan kewangan setimpal yang aku dapat hanyalah melalui beberapa program yang dianjurkan oleh pihak JAKIM dan MAC. Itupun sangat jarang berbanding dengan jemputan-jemputan lain yang jauh lebih banyak.

Sebahagian daripada cabaran yang aku kongsikan tadi bukanlah bermakna aku mahu menagih simpati, tetapi aku mahu pembaca memahami betapa pentingnya ikhlas dalam perjuangan. Jika mahu melepaskan diri sendiri, untuk apa aku menyakitkan diri dengan semua ini? Cabaran-cabaran tersebut juga bukanlah cabaran utamaku dalam perjuangan.

Antara cabaran utama ialah kekangan untuk aku meneruskan perjuangan. Ada 2 kekangan utama.
  1. Kekangan disebabkan oleh keupayaan kesihatan diri yang dapat dirasakan semakin hari semakin merosot (bukan disebabkan HIV) tetapi disebabkan faktor-faktor masalah kesihatan disebabkan oleh beberapa penyakit kronik lain.
  2. Kekangan untuk mendapatkan kebenaran bergerak bebas oleh majikan lantaran kerenah birokrasi

Cabaran pertama, aku tidak gusar kerana ianya lebih kepada ketentuan Tuhan. Kemampuan yang kita ada hanyalah berusaha sebaik mungkin, berdoa, dan bertawakkal. Selebihnya ketentuan Allah.




Cabaran kedua memang membuat aku semakin hari semakin tertekan. Dikekang daripada terus berjuang secara halus umpama memenjarakan aku ke satu ruang gelap yang sangat sempit.

Bayangkan setiap kali menghadiri jemputan mana-mana program, aku terpaksa memaklumkan kepada pihak majikan. Walaupun majikan aku sangat menyokong dan memahami, tetapi aku dan beliau terikat pula dengan birokrasi Jabatan dan Kementerian kerana aku memang seorang penjawat awam walaupun aku hanya memperkenalkan diri sebagai seorang ODHA, blogger, dan mewakili Pertubuhan Positive Warriors Malaysia.

Ditambah dengan salah anggap bahawa aku menghadiri jemputan-jemputan tersebut dan mendapat bayaran tinggi seperti mana-mana kakitangan yang terlibat dengan consultants tertentu berasaskan keuntungan, maka makin ramailah pihak yang sakit mata.

Mahu atau tidak, pilihan yang aku ada hanyalah melalui permohonan keluar Cuti Tanpa Gaji. Itu sahaja pilihan yang aku ada. Take it or leave it!




Aku keluar bukan untuk bercuti. Aku keluar bukan untuk berseronok-seronok. Aku keluar bukan untuk mencari pendapatan sampingan. Aku keluar untuk educate masyarakat. Aku keluar untuk membantu golongan yang memerlukan. Aku keluar untuk bantu masyarakat faham isu sebenar HIV. Aku keluar untuk menaikkan imej majikan, Jabatan dan Kementerian. Aku keluar untuk rasa terus hidup! Adakah kau faham? Uwaaa!!!

Aku keluar menggunakan kewangan sendiri, terpaksa menangguh bayaran itu ini dan kadangkala hingga terpaksa berhutang-piutang, kau orang masih tergamak mahu potong gaji aku yang ciput itu? Sampainya hati.

Adalah mudah pelbagai individu dan pihak memberikan berbagai cadangan sekalipun mereka seringkali tidak pernah turun pun ke medan juang sebagai pejuang sebenar. Kadangkala hanya gah dan hebat di laman-laman sosial bermain kata-kata penuh sindiran dan emosi. Pedulikanlah, langsung tidak menyakitkan aku tetapi menghalang aku meneruskan perjuangan dengan masa dan kesempatan yang sangat terhad memang tidak adil!

Baiklah, hanya ada 2 penyelesaian yang aku nampak sekarang. Aku akan mohon jasa baik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), JAKIM, dan MAC untuk mengeluarkan surat sokongan rasmi khas kepada Kementerianku supaya diberi pertimbangan khas untuk mendapat sedikit kelonggaran cuti apabila aku menghadiri apa juga program untuk membantu masyarakat. Itu pun jika mereka yakin aku ada peranannya.

Bagi aku, kebenaran dan nilai kemanusiaan lebih tinggi daripada birokrasi. Bukankah kita digalakkan mengamalkan budaya sebagai Masyarakat Penyayang merentasi semua agama dan bangsa yang dipantau direct oleh Jabatan Perdana Menteri?

Penyelesaian kedua, aku terpaksa mengambil cuti tanpa gaji selama setahun atau dua tahun untuk berjuang sebagai volunteer sepenuh masa bergantung kepada kemampuan kesihatanku. Susah payah biarlah aku tanggung sendiri. Hendak makan apa pun, tidak menyusahkan orang lain. Rezeki Allah yang tentukan. Senang, tidak payah kecoh-kecoh.
                                                                                                                                     
Daripada menjadi rungutan dan cemuhan orang, aku akan buktikan bahawa Allah juga yang Maha Berkuasa atas segala-galanya. Jika sudah sampai ajalku dalam tempoh tersebut, aku pergi dalam keadaan puas hati kerana berada di medan perjuangan. Aku bersedia jika itu yang terpaksa dipilih.

Bukan bermaksud bercakap besar, jika aku menarik diri daripada perjuangan ini, bukan aku yang rugi tetapi komuniti dan negara yang rugi. Memang ramai pejuang di luar sana, tetapi namakan seorang yang tampil secara terbuka dengan statusku ini bersama keluarga.

Usah berbohong, jika pejuang tersebut hadir dengan nilai dan keperibadian tertentu yang dapat dihidu oleh masyarakat, awal-awal lagi mental block menyukarkan maklumat yang ingin disampaikan dapat diterima walaupun ianya betul dan tepat.

Insya-Allah dalam tempoh 2 tahun, perjuanganku secara terbuka ini akan memberikan sedikit impak tertentu untuk kebaikan masyarakat.

“Kau mampu patahkan sayapku,
Kau mampu tambatkan kedua kakiku,
Tapi kau tak akan dapat,
Mematahkan semangatku untuk hidup.”

Never retreat, never surrender!



Aku hamba-Nya yang dhaif
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP


Info Berkaitan:

Laman Web Rasmi PPWM: http://www.positivewarriors.org/

NO AKAUN PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Camelia Sulaiman: camelia_sulaiman@yahoo.com
Luka Rafieqa: rafieqakl@hotmail.com

NGO Sokongan:

Pertubuhan Amal Firdausi Kuala Lumpur (PAFI)
Sila hubungi:
E-Mel: amalfirdausi@gmail.com
Talian Mahabbah: 018-207-0953 (EncikHamli) @ 017-311-0306 (EncikRaffie)
Telefon / Faks: 03-9174-0934
FB PAFI: http://www.facebook.com/amalfirdausi (open group)
Twitter: twitter.com/amalfirdausi

Sokongan khusus kepada komuniti wanita: PEWAHIM
Untuk menyertai FB PEWAHIM (secret group) sila hubungi:
E-Mel: pewahim@gmail.com
Telefon: 019-259-5864 (Norlela) Pengasas
No akaun PEWAHIM: 562740121438 (Maybank)