Sunday, April 14, 2013

MAKSUD PERKATAAN STIGMA, PEREJUDIS, JUDGMENTAL, PARANOIA DAN DISKRIMINASI TERHADAP ORANG YANG HIDUP DENGAN HIV (ODHA)







Nina (bukan nama sebenar) adalah seorang isteri muda (non-Muslim) berbangsa Iban yang tinggal di Kuching, Sarawak. Suami Nina bekerja dalam bidang perkapalan dan atas tuntutan kerja selalu belayar sehingga berbulan-bulan.

Nina sedang sarat mengandung anak pertama dan ketika ujian saringan HIV yang dijalankan terhadap ibu-ibu mengandung, Nina didiagnos positif. Akibat pelbagai tekanan dan kekeliruan pada peringkat awal diagnos, Nina terpaksa berhenti kerja dan tinggal menumpang bersama ibu bapa bersama adik-beradik yang lain. Berdasarkan pengakuan Nina, aku anggap taraf pendidikan dan ekonomi keluarganya sekadar cukup makan pakai. Mewah jauh sekali.

Sudahlah hidup keseorangan tanpa suami di sisi, tiada pekerjaan, sarat mengandung, menumpang kedua ibu bapa dalam sebuah rumah yang sesak, baharu sahaja menjalani rawatan HAART untuk mengurangkan risiko jangkitan terhadap bayi, tinggal pula dalam masyarakat yang masih tinggi stigma dan diskriminasi terhadap ODHA. Cuba pembaca bayangkan situasi Nina.

Ringkas cerita, sebahagian kakitangan KKM yang merawat Nina di salah sebuah hospital di Kuching, Sarawak mengenali Nina sekeluarga kerana terdapat ahli keluarga dan ramai jiran tetangga yang bekerja di hospital tersebut.

Sejak rawatan semasa mengandung sehinggalah selamat melahirkan bayi baru-baru ini, setiap hari Nina menghantar SMS dan menelefon aku memerlukan sokongan dan nasihat.

Aku cuba membantu Nina mendapatkan sokongan melalui komuniti lain di Sarawak, tetapi akibat beberapa pengalaman pahit kerana salah pendekatan oleh pihak yang sepatutnya membantu, Nina jadi serik. Tersalah pendekatan dalam membantu lebih memudaratkan. Nina pula masih di fasa keliru.

Sekalipun aku akui sering tertekan (bukan kerana HIV) dengan pelbagai urusan komuniti yang lain, aku perlu pula menyokong Nina memahami kekeliruan tidak kira masa. Aku redhakan sahaja atas dasar empati. Bahkan golongan isteri, wanita, dan kanak-kanak ODHA lebih rapat di hatiku kerana memang naturenya aku adalah a family man.

Penat apabila perlu sentiasa menjadi kuat tidak kira masa. Silap sedikit, ramai yang menghentam sesedap rasa. Baru aku faham betapa sunyi dan tertekannya hidup sebagai Superman. Biasalah, he he he. Tanggung dan telan sahajalah. Aku yakin, jika ada sedikit pahala, ada jugalah manfaatnya kepada kami sekeluarga.

Lebih membebankan Nina apabila suaminya seolah-olah enggan menjalani ujian saringan HIV. Apabila bersalin pula, kakitangan KKM yang sepatutnya menjaga status kerahsiaan sibuk menelefon adik-beradik Nina yang lain bertanyakan pelbagai soalan yang pelik-pelik. Rasanya KKM perlu lebih agresif memahamkan kakitangan mereka sendiri tentang isu HIV. Simple sahaja. Bukan susah pun hendak faham isu HIV.

Akibatnya tekanan dan trauma menjadi berganda. Seperti yang selalu aku katakan, masalah utama kehidupan kami sebagai ODHA bukanlah tentang rawatan dan peluang hidup sihat sama seperti insan lain, tetapi akibat sikap manusia iaitu stigma, diskriminasi, judgmental, paranoia, prejudis, malpractice, dan sebagainya.

Kesan daripada sikap-sikap tersebut berlarutanlah menjadi pelbagai fitnah, penganiayaan, berleluasanya jangkitan virus, masalah aqidah dan kezaliman.

Sentiasa bercakap tentang stigma, diskriminasi, judgmental, paranoia dan prejudis, aku tertarik untuk mencari maksud sebenar perkataan-perkataan tersebut untuk dikongsi dengan pembaca. Mungkin ada yang masih kurang jelas tentang maksud perkataan-perkataan tersebut.

Mari kita lihat:

Stigma:

Sifat atau sesuatu yang menjatuhkan maruah, kecelaan, keaiban.

(Kamus Dewan, 2007)

Stigmatization adalah sikap merendahkan (mendiskreditkan/ menyebabkan orang hilang kepercayaan) terhadap seseorang atau kelompok yang memiliki atribut (ciri-ciri) tertentu sehingga menimbulkan pandangan buruk masyarakat.

Dalam konteks psikososial, stigma memiliki makna yang menggambarkan ciri negatif yang melekat pada seseorang, biasanya kerana faktor persekitaran atau perbuatan yang pernah dilakukannya sehingga individu tersebut dianggap jijik oleh orang ramai. Contoh: Seorang seorang bekas penyalahguna dadah, pekerja seks, atau ODHA.

Prejudis:

Rasa suka atau tidak suka yang tidak berasas terhadap sesuatu kaum, agama, dan sebagainya.

(Kamus Dewan, 2007)

Judgemental:

adjective

of or concerning the use of judgement: judgemental decisions about the likelihood of company survival

having or displaying an overly critical point of view: I don’t like to sound judgemental, but it was a big mistake

(Oxford Dictionaries online)

Judgemental adalah suatu perilaku yang berkaitan dengan sifat menghakimi atau menilai. Ianya juga bermaksud mempunyai atau memaparkan sesuatu pandangan atau pendapat yang kritikal secara berlebihan atau melampau.

Paranoia:

Gangguan mental yang menyebabkan seseorang mengkhayalkan perkara yang aneh-aneh seperti merasa dirinya terlalu penting atau percaya bahawa orang lain sentiasa mengancamnya.

Perasaan takut, curiga, atau tidak percaya terhadap orang lain dengan berlebih-lebihan.

(Kamus Dewan, 2007)

Diskriminasi:

Perlakuan membeza-bezakan warna kulit, keturunan, dan sebagainya.

(Kamus Dewan, 2007)

Diskriminasi adalah tanggapan negatif, sikap pilih kasih, atau perbuatan tidak adil yang dilakukan terhadap individu atau kelompok atas sikap jijik, hina, dan berdosa. Biasanya akibat dikaitkan dengan isu moral dan agama.

Punca utama stigma dan diskriminasi

Kurangnya informasi atau tidak cukup pemahaman tentang hal tersebut (misalnya HIV/AIDS) yang benar, sehingga adanya keterbatasan pengetahuan dan pengalaman atau ketakutan yang tidak rasional.

Terdapat 6 golongan yang terdedah kepada jangkitan HIV dan menerima kesan akibat jangkitan HIV:

1. Pengamal aktiviti berisiko.
2. Bekas pengamal aktiviti berisiko.
3. Pasangan kepada 1 & 2.
4. Anak kepada 1 & 2.
5. Pesakit yang menerima transfusi darah atau menjalani pemindahan organ yang tercemar.
6. Ahli keluarga kepada kesemuanya (affected people).

Berdasarkan kategori-kategori tersebut, peranan kita terhadap mereka ialah:

1. Wajib didekati dan dibimbing untuk mengubah cara hidup bagi mengelakkan mereka berterusan dalam maksiat dan bahaya penularan jangkitan.
2. Perlu dihormati kerana telah insaf daripada kekhilafan (taubat nasuha).
3. Mangsa keadaan (Sokongan dan bantuan).
4. Mangsa keadaan (Sokongan dan bantuan).
5. Mangsa keadaan (Sokongan dan bantuan).
6. Mangsa keadaan (Sokongan dan bantuan).

Tindakan

Cuba bandingkan 6 golongan yang menerima kesan akibat jangkitan HIV dengan peranan yang sepatutnya kita lakukan untuk membantu mereka. Kaitkan pula dengan maksud-maksud perkataan yang aku kongsikan di atas.

Tanya pada diri sendiri, adakah selama ini kita telah mengambil tindakan yang wajar untuk membantu mereka? Apakah kita telah menjalankan tanggungjawab kita membantu sesama Muslim dan insan?

Renungan

Moga firman Allah ini dapat memberikan kita kelembutan hati dan jelas akal pemikiran serta wajar dalam tindakan.



Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.

(al-Hujurat: 11)


Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP


Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:
Camelia Sulaiman: camelia_sulaiman@yahoo.com
Luka Rafieqa: rafieqakl@hotmail.com


NO AKAUN PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia


NGO Sokongan:

Pertubuhan Amal Firdausi Kuala Lumpur (PAFI)
Sila hubungi:
Laman Web: http://www.amalfirdausi.org
E-Mel: amalfirdausi@gmail.com
Talian Marhabah: 018-207-0953 (Encik Hamli) @ 017-311-0306 (Encik Raffie)
Telefon / Faks: 03-9174-0934
FB PAFI: http://www.facebook.com/amalfirdausi (Open Group)
Twitter: twitter.com/amalfirdausi


Sokongan khusus kepada komuniti wanita: PEWAHIM
Untuk menyertai FB PEWAHIM (secret group) sila hubungi:
E-Mel: pewahim@gmail.com
Telefon: 019-259-5864 (Norlela) Pengasas
No akaun PEWAHIM: 562740121438 (Maybank)