Sunday, April 21, 2013

HIV: BERKONGSI PENGALAMAN TENTANG STIGMA, SOKONG BANTU, DAN RAWATAN DI LANGKAWI




Alhamdulillah, pada 17 April 2013 (Rabu) yang lalu, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menjemput aku mewakili Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM) untuk berkongsi pengalaman dalam satu slot khas tentang Stigma, Sokong Bantu, dan Rawatan yang dihadapi oleh orang-orang yang Hidup Dengan HIV (ODHA).

Ianya dilaksanakan dalam satu bengkel khas selama 3 hari mulai 16-18 April 2013 yang dinamakan BENGKEL MANUAL ISLAM DAN HIV/ AIDS yang diadakan di Hotel Grand Continental, Langkawi anjuran Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK), JAKIM, dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah.

Kehadiran peserta lebih kurang 30 orang yang terdiri daripada para imam atau ahli jawatankuasa masjid kariah setempat, kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi, agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), termasuk beberapa orang pegawai perubatan dan makmal dari Pusat Darah Negara.

Ianya merupakan satu penghormatan dan kepercayaan besar oleh pihak JAKIM terhadap PPWM. Walaupun ianya merupakan salah satu siri bengkel dan penerangan biasa dalam usaha meningkatkan kefahaman untuk membantu komuniti ODHA yang dianjurkan oleh JAKIM, tetapi aku rasakan ianya sesuatu yang istimewa.

Ada 2 sebab aku anggap istimewa.

1.                 Kerana kehadiranku sebagai penceramah adalah atas kapasiti sebagai Presiden PPWM dan sebagai ODHA, iaitu orang yang berdepan dengan isu sebenar. Secara tidak langsung juga mewakili seluruh ODHA termasuk affected people. Aku perlu merebut peluang tersebut sebaik mungkin tanpa mengira jumlah participants yang hadir. Tanggungjawabnya sangat besar.

2.                 Aku berpeluang berkongsi rasa dengan 2 golongan yang sangat besar peranannya membantu komuniti iaitu golongan agama dan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sendiri.

Sekalipun mereka cukup terlatih (khususnya kakitangan KKM) dalam isu HIV/ AIDS, tetapi kehadiranku adalah secara terbuka atas kapasitiku sebagai ODHA. Merasainya sendiri tidak akan sama dengan menatap beratus-ratus gambar atau membaca dan menulis beribu-ribu jurnal tentang isu berkenaan.

Selain itu, aku membawa amanah sahabat-sahabat ODHA di bahagian utara tanah air untuk mengemukakan beberapa permasalahan yang mereka hadapi di sana akibat sikap stigma, diskriminasi, dan judgmental yang diamalkan oleh segelintir golongan yang sepatutnya membantu, memberikan sokongan, dan merawat.

Antara permasalahan utama mereka (bukan bermaksud kes ini berlaku di Langkawi) kebiasaannya di pekan-pekan dan bandar-bandar kecil, ODHA sukar menjalani rawatan dengan selesa akibat sikap yang aku nyatakan tadi.

Ketirisan maklumat dan diskriminasi sehingga mengaibkan mereka dan keluarga boleh menyebabkan ODHA berdepan tekanan kewangan dan psikologi berganda kerana lebih selesa menjalani rawatan di bandar lain.

Sikap negatif tersebut juga menyebabkan sebahagian ODHA yang lain lebih rela merahsiakan status kesihatan mereka, enggan atau tidak mampu menjalani rawatan, mengakibatkan mereka sekeluarga merana, dan meningkatkan risiko penyebaran virus berlaku kepada insan lain. Penganiayaan dan zalim semata-mata akibat stigma, diskriminasi dan judgmental.

Sebahagian daripada perkara-perkara yang aku kongsikan ialah:

1.                 Definisi stigma, diskriminasi, judgemental, dan paranoia serta pandangan Islam mengenainya.

2.                 Definisi sebenar HIV dan AIDS. HIV bukanlah PENYAKIT. HIV tidak semestinya berakhir dengan AIDS. AIDS juga sekadar nama sekumpulan jenis-jenis penyakit yang menyerang ODHA tanpa rawatan.

3.                 Golongan yang terdedah kepada risiko jangkitan HIV (termasuk pasangan dan anak-anak) dan mereka yang terlibat menerima tekanan (affected people) akibat stigma, diskriminasi, judgemental, dan paranoia. Adalah SALAH menganggap bahawa HIV adalah “penyakit orang-orang berdosa”.

4.                 Cara-cara jangkitan HIV. Perawat dan golongan pembantu sepatutnya tidak perlu gusar dijangkiti jika mereka memahami HIV tidak berjangkit dengan cara-cara lain.

5.                 Kesan stigma, diskriminasi, judgemental, dan paranoia terhadap infected dan affected people.

6.                 Jangkitan ibu kepada anak. Istilah yang tepat ialah jangkitan pasangan (ibu dan bapa) kepada anak. Tidak tepat menganggap bahawa ibu sahaja yang menjangkitkan virus kepada anak kerana ibu juga kebanyakannya adalah mangsa jangkitan suami terutama jika suami tidak mematuhi rawatan.

7.                 Kelebihan Musibah Kaffarah terhadap manusia.

8.                 Imuniti badan yang lemah bukan semata-mata disebabkan oleh HIV tetapi boleh terjadi dengan pelbagai sebab dan faktor.

9.                 Mitos bahawa kononnya jangka hayat ODHA mesti berakhir dalam tempoh yang singkat.

10.             Peranan dan kelebihan khidmat sokong bantu yang tepat untuk menyekat penularan virus, peluang dan hikmah melaksanakan tuntutan fardhu kifayah, memperbaiki kualiti kehidupan ODHA dan keluarga, menjimatkan kos rawatan, serta meningkatkan ekonomi negara. ODHA bukanlah individu seperti yang digambarkan di dalam visual-visual negatif yang menjadi momokan media sarkastik.

11.             Peluang ODHA berkahwin dan mengelakkan jangkitan kepada pasangan dan secara ringkas bagaimana ODHA mampu mendapatkan zuriat bebas HIV.

12.             Tatacara pengurusan jenazah secara ringkas.

Akibat kekangan masa, aku tidak sempat mengedarkan borang penilaian tentang sesi pembentanganku untuk pemurnian tindakanku akan datang tetapi secara umum aku dapati para peserta terutama para imam dan pemimpin masyarakat setempat mengakui kekhilafan mereka dalam sesetengah keadaan, memberikan sokongan terhadap perjuangan PPWM, dan menunjukkan penghargaan yang sangat tinggi.

Sejujurnya itulah kepuasan yang jauh lebih berharga daripada segala-galanya.

Sesuatu yang mengejutkan aku ialah nama PPWM rupa-rupanya telah lama mendapat perhatian yang sangat besar oleh banyak pihak dan ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang pendekatan yang kami gunakan iaitu ISLAM, MELAYU, DAN KEKELUARGAAN.

Nasihatku kepada PPWM, terpulang kepada PPWM mengambil kesempatan ini untuk berjuang membantu komuniti. Aku tidak mampu berjuang sendirian tanpa sokongan para ahli.

Ingatlah bahawa apabila kita berjuang atas nama Islam, semakin besar perjuangan maka semakin banyaklah dugaan. Marilah abaikan yang remeh-temeh dan bersatulah untuk kebaikan bersama. Hanya yang ikhlas dan cekal mampu memperolehi ganjaran berkekalan di akhirat kelak.

Di kesempatan ini aku bagi pihak PPWM ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah, jutaan penghargaan dan terima kasih kepada semua yang terlibat sepanjang bengkel tersebut berlangsung khususnya kepada YBhg Dato’ Haji Othman bin Mustafa, Ketua Pengarah JAKIM, Puan Saimah binti Mukhtar, Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial & Komuniti, JAKIM, Tuan Haji Zakuan bin Sawai, Ketua Penolong Pengarah Sosial (K), JAKIM, dan barisan Urusetia yang sungguh profesional yang diketuai oleh Encik Arrahman bin Awang, Encik Khairi bin Othman dan Puan Siti Fatimah Mardhiah binti Roslay, JAKIM.

Moga kerjasama berkekalan untuk kebaikan semua pihak khususnya komuniti. Mohon maaf atas segala kekurangan diri.


Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP


Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:
Camelia Sulaiman: camelia_sulaiman@yahoo.com
Luka Rafieqa: rafieqakl@hotmail.com


NO AKAUN PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia


NGO Sokongan:

Pertubuhan Amal Firdausi Kuala Lumpur (PAFI)
Sila hubungi:
Laman Web: http://www.amalfirdausi.org
E-Mel: amalfirdausi@gmail.com
Talian Marhabah: 018-207-0953 (Encik Hamli) @ 017-311-0306 (Encik Raffie)
Telefon / Faks: 03-9174-0934
FB PAFI: http://www.facebook.com/amalfirdausi (open group)
Twitter: twitter.com/amalfirdausi


Sokongan khusus kepada komuniti wanita: PEWAHIM
Untuk menyertai FB PEWAHIM (secret group) sila hubungi:
E-Mel: pewahim@gmail.com
Telefon: 019-259-5864 (Norlela) Pengasas
No akaun PEWAHIM: 562740121438 (Maybank)