Tuesday, April 29, 2014

HIV: WAJARKAH TINDAKAN KITA?


Sila share
Bersama Ustazah Puan Nor Asniah Mohd Noh (JAKIM)


Bagi yang peka, HIV bukanlah virus yang menakutkan. Ianya tidak mudah berjangkit dan hanya berjangkit melalui beberapa cara tertentu sahaja. Tiada masalah untuk bergaul seperti biasa dengan Orang Yang Hidup Dengan HIV (ODHA). Rawatan HIV sekarang sangat mudah, berkesan, dan boleh dielakkan daripada menjangkiti pasangan dan bakal zuriat. ODHA mampu bekerja dan meneruskan kehidupan seperti biasa.

Masalah utama ODHA berbanding rawatan dan peluang hidup sihat adalah salah faham, stigma, diskriminasi, dan judgemental. Kononnya ODHA dikaitkan dengan perbuatan berdosa. Virus akibat sengaja “cari penyakit” dan akibat balasan serta bala’ daripada Allah S.W.T. HIV dikatakan hanya isu terpencil dan terpinggir. Hanya penyalahguna dadah yang berkongsi jarum suntikan, pekerja seks, dan pengamal seks bebas yang dijangkiti HIV.

Jika begitu pendapat kita, ianya mencerminkan betapa jahilnya kita dengan isu HIV. Orang yang bersikap sebegitu sebenarnya lebih memerlukan bantuan berbanding ODHA, kerana mereka sedang diuji dengan kejahilan dan miskin jiwa. Mungkin mereka tidak sedar yang mereka sedang menganiaya ramai pihak dan menyebarkan fitnah. Tawa sinis yang membawa dosa.

Jika mahu bicara tentang undang-undang dan penguatkuasaan, apa kata kita abaikan seketika. Jangan ditanya kepadaku kenapa dan mengapa penyalahgunaan dadah semakin berleluasa, kenapa seks rambang dan bebas berlaku di mana-mana sahaja. Kenapa begitu dan kenapa begini?

Semuanya boleh dijawab sendiri jika kita jujur mengakui kelemahan diri dan tidak saling menuding jari. Jawapan standard aku, Al-Qur’an dan Sunnah adalah sebaik-baik jalan penyelesaian segala permasalahan. Berdebat secara terbuka tidak ada sudahnya. Mahu berdialog, dipersilakan. Bagus untuk kita sama-sama saling memahami dan mencari persamaan dan jalan penyelesaian. Tanya kepada diri sendiri, setakat mana usaha kita untuk menjadikannya sebagai the way of life? Jika kita menafikan kesempurnaan petunjuk Allah, terimalah akibatnya.

Cuma sebagai ODHA dan mempunyai sedikit pengalaman membantu komuniti, alhamdulillah aku berpeluang memainkan sedikit peranan menyebarkan maklumat yang mungkin dapat mengurangkan jurang perbezaan pandangan.

Sedia maklum, umumnya ODHA yang dijangkiti disebabkan oleh perkara-perkara berikut:

1.      Mengamalkan akitivi berisiko.
2.      Bekas pengamal aktiviti berisiko.
3.      Pasangan kepada pengamal atau bekas pengamal aktiviti berisiko.
4.      Zuriat kepada pengamal atau bekas pengamal aktiviti berisiko.
5.      Terdedah kepada risiko seperti akibat blood transfusion dan organ transplant (sangat rare)

Sekumpulan lagi yang turut menerima kesan yang hampir sama akibat jangkitan ialah ahli keluarga kepada ODHA (affected people). Mereka juga turut dihukum dengan salah faham dan penghinaan oleh pihak yang mengamalkan sikap judgemental. Terdapat kes, sehingga ODHA telah meninggal dunia pun, affected people masih dicemuh dengan pelbagai andaian. Inilah antara punca perpecahan dalam masyarakat yang tidak ada kesudahannya.




Untuk mengetahui wajar atau tidak sikap stigma dan judgemental terhadap ODHA, analogi berikut biasa aku gunakan dalam kebanyakan sesi perkongsian pengalaman.

1.      ODHA kerana mengamalkan aktiviti berisiko.

Si A memang kaki pecut. Pantang bawa kereta, si A memang memecut tidak kira tempat dan keadaan. Suatu hari, si A telah kemalangan dan sebelah kakinya terpaksa dipotong. Cacat seumur hidup. Ramai yang mencemuh, “Padan muka si A, memang dia kaki pecut.”

Hakikatnya tiada seorang pun pasti bahawa ketika kemalangan, apakah situasi sebenar yang telah berlaku? Mungkin pada hari tersebut, si A memandu kereta mengikut peraturan jalan raya dan berhati-hati. Kemalangan terjadi akibat kecuaian orang lain.

Adilkah sikap mencemuh tersebut sedangkan selama si A memecut, tiada seorang pun cuba mendekati dan menasihati si A dengan penuh kebijaksanaan? Si A hanya dicemuh dan dijauhi. Adakah telah digunakan pendekatan yang betul untuk membimbing A menghentikan perbuatannya yang suka memandu laju tidak kira masa?

Bukankah sekarang ini telah ada “rempit atau racing Islamik?” Aturkan konvoi beramai-ramai mengikut peraturan untuk aktiviti amal seperti menziarahi rumah anak-anak yatim, rumah perlindungan orang-orang tua, dan menghadiri kuliah agama. Apakah kita membantu usaha pencegahan dengan penuh perancangan, hikmah dan strategi yang tersusun mendekati si A dan kawan-kawannya? Perlahan-lahan mereka boleh ditarbiah. Benci perbuatan, bukan benci pelakunya.

2.      ODHA kerana pernah menjadi pengamal aktiviti berisiko.

5 tahun dahulu, siapa yang tidak kenal si A? Memang juara racing. Selepas beberapa ketika, si A terbuka hati untuk mengubah sikap dan telah menghentikannya setelah terlibat dengan kemalangan.

Pada suatu hari, kaki si A terpaksa dipotong kerana setelah didiagnos, terdapat kesan lama kemalangan yang mengakibatkan kakinya mendapat jangkitan kuman. Cacatlah si A seumur hidup. Apabila mengetahui si A mengalami kecacatan, kita tanpa sedikit pun rasa bersalah mencemuh si A.

“Padan muka si A. Dulu dia memang kaki pecut. Aku memang tahu sangat perangainya. Inilah balasan Tuhan akibat memandu laju tidak kira dahulu. Sakit hati betul bila diingatkan perangainya ketika itu. Inilah akibat dimakan sumpah seranah orang.”

Adil dan masuk akalkah tindakan kita tersebut? Kesan sikap negatif begini terhadap ODHA para pembaca boleh huraikan sendiri.

3.      ODHA kerana mereka adalah pasangan kepada pengamal atau bekas pengamal aktiviti berisiko.

Si B berkahwin dengan Si A. Jenuh si B menasihatkan si A menghentikan sikapnya yang suka memandu laju tetapi si A tetap curi-curi melakukannya, atau memang si A telah menghentikannya dan insaf bahawa perbuatan tersebut tidak baik.

Suatu hari, ketika membawa isterinya bersiar-siar, mereka kemalangan dan suami isteri tersebut mengalami kecederaan parah. Cacat seumur hidup.

“Padan muka si B. Inilah akibatnya berkahwin dengan si A yang jahat itu.”

Persoalannya, kenapa kita sanggup hukum mereka terutama si B? Budi bicara dan pertimbangan apa yang kita gunakan?

4.      Zuriat kepada pengamal atau bekas pengamal aktiviti berisiko.

Si C adalah anak kepada si A dan dan si B. Si A membawa anak dan isterinya bersiar-siar dan kemalangan. Langsung tidak pernah si B menjangkakan, akibat kecuaian suaminya akan mengakibatkan mereka bertiga bakal cacat seumur hidup.

“Inilah akibatnya berkahwin dengan pelumba haram. Itu pun nasib baik tidak terus mampus begitu sahaja. Menyusahkan orang!”

Jika si B tahu, sudah tentu beliau akan mengambil langkah-langkah keselamatan untuk mengelakkan kemalangan terhadap dirinya dan anak mereka. Apakah salah si C yang tidak tahu apa-apa pun? Kita hina si A tetapi adakah kita sedar dalam masa yang sama kita turut menghina dan melukakan si B dan si C?

Bagaimana jika mereka enggan menjalani rawatan akibat tertekan? Bagaimana jika mereka bertindak menjauhkan diri dari masyarakat? Sampai bila kita mahu bersikap begini?

Sedarkah kita bahawa Allah tidak pernah zalim dan jemu memaafkan dosa-dosa setiap hamba-Nya? Kenapakah kita mengambil alih “kerja” Tuhan yang menyamai sikap riya’, ujub, dan takkabbur? Iman siapa yang lebih teruji? Pasangan ODHA tersebut atau kita?

5.      Menjadi ODHA akibat terdedah kepada risiko seperti menjalani blood transfusion dan organ transplant (sangat rare)

Si D langsung tidak ada kena-mengena dengan aktiviti berisiko atau pernah mengamalkannya. Tetapi, kerana Allah telah aturkan sesuatu yang lebih baik dan di luar jangkauan pemikiran manusia, si D telah dilanggar oleh kereta yang dipandu si A ketika berlumba dengan kumpulannya di jalan raya.

“Ah, mustahil si D tidak berlumba. Mesti dia juga terlibat, tetapi tidak mengaku. Kalau tidak berlumba, macam mana dia kena langgar?”

Ringkasnya, akibat kejahilan dan cepat menjatuhkan hukuman, segala macam fitnah dan andaian terpaksa si D tanggung.

6.      Kumpulan terakhir yang turut menerima kesan ialah ahli keluarga (affected people) kepada si A, B, C dan D. Ayah, ibu, isteri, anak-anak, adik-beradik, tunang, mertua, sepupu, kawan rapat, dan sebagainya. Lebih kurang sahaja kesannya cuma bezanya mereka tidak perlu menjalani rawatan anti retro viral (ARV). Tetapi mungkin terpaksa dirawat disebabkan oleh depression (psychiatric) kerana menanggung pelbagai tekanan atau cemuhan.

“Kenapa ayah engkau dapat HIV? Apa yang dia sudah lakukan?” “Tak lama lagi matilah jawabnya. Emak engkau dan engkau tidak dijangkitikah?”




Mereka sentiasa melihat perbagai tekanan ahli keluarga mereka yang hidup sebagai ODHA. Tertekan, difitnah, didiskriminasi, dibuang kerja, terpaksa putus tunang, dihina, dan sebagainya. Cuba bayangkan kita berada di tempat mereka. Adilkah agaknya?

Sebenarnya, ODHA tidak minta simpati, cuma empati. Berikan mereka ruang untuk hidup seperti biasa dengan cara yang positif. Mereka tahu mereka tidak bahayakan sesiapa. Sekali lagi diulangi, ODHA lebih tertekan dengan sikap manusia berbanding rawatan.

Jika ODHA memilih untuk kekal dalam kelompok yang berisiko dan mengamalkan aktiviti berisiko, mungkin tanpa sedar, sikap kitalah yang menjadi salah satu puncanya.

Fikirkan…

Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP
Facebook: Ahp Pie


Info Berkaitan:

Laman Web Rasmi PPWM:

No. Akaun PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Abd. Shukor Mohd Yunus: shux@positivewarriors.org
Hishamudin Rahman: carphatz_04@yahoo.com






Friday, April 25, 2014

KEMPEN PENERANGAN MENENTANG SALAH FAHAM BERKAITAN HIV DI UNIVERSITI UTARA MALAYSIA (UUM) DAN AKTIVITI SUPPORT GROUP PERTUBUHAN POSITIVE WARIORS MALAYSIA (PPWM) DI UTARA






Pada 21-22 April 2014 yang lepas, aku telah dijemput untuk berkongsi pengalaman bersama sebahagian pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam persembahan amal Red Ribbon Youth Club #RRCS4RRYC anjuran pihak MAC dan JAKIM.

Apa itu #RRCS4RRYC?

RRCS bermaksud Red Ribbon Celebrity Supporters For Red Ribbon Youth Club. Secara umumnya satu program atau pendekatan yang digunakan oleh pihak MAC dengan kerjasama JAKIM dan selebriti sokongan dalam kempen kesedaran mengenai HIV terhadap generasi muda khususnya penuntut IPT. Termasuk menggalakkan cara hidup sihat, peka, dan membantu Orang-orang Yang Hidup Dengan HIV (ODHA) dan affected people bagi menuju sifar jangkitan baru, AIDS, stigma, diskriminasi, dan judgemental.

Artis-artis sokongan yang terlibat ialah Fahrin Ahmad, Bob Yusof, dan Najwa Latif. Aku sebagai wakil PPWM dan komuniti, dan Ustazah Puan Nor Asniah Mohd Noh mewakili JAKIM.




Segmen khas untuk aku berkongsi pengalaman dan ceramah bersama Ustazah Nor Asniah adalah pada pukul 9-10 malam. Moderatornya adalah Bob Yusof.


Aturcara Program

7.30 malam
·        Pendaftaran peserta
·        Kehadiran tetamu jemputan khas

8.00 malam
·        Sesi pembukaan oleh Fahrin Ahmad
·        Ucapan oleh Pengarah Projek #RRCS4RRYC
·        Ucapan oleh Prof. Ismail Baba, Penasihat RRYC UUM
·        Ucapan Timbalan Presiden Majlis AIDS Malaysia
·        Perasmian oleh Naib Canselor UUM

8.30 malam
Segmen gimmick oleh UUM
·        MAC – persembahan video korporat dan video RRYC

8.50 malam
Persembahan 
·        Persembahan nyanyian oleh Bob Yusof 

9.00 malam
Segmen perkongsian pengalaman / ceramah
·        Moderator: Bob Yusof
·        Wakil Orang Yang Hidup Dengan HIV: Mohamad bin Wahid
·        Wakil MAC: Fahrin Ahmad
·        Wakil JAKIM: Ustazah Hasniah

10.00 malam
Persembahan 
·        Najwa Latif  

10.30 malam
Penutup


Secara keseluruhannya, aku melihat program ini telah dijayakan dengan baik. Alhamdulillah dan tahniah kepada semua pihak sama ada pihak UUM, Majlis Perwakilan Pelajar dan Urusetia, MAC, JAKIM, artis sokongan Red Ribbon, dan ahli-ahli panel.




Aku berharap semoga segala info dan pengalaman positif yang diperolehi dapat dimanfaatkan dan hadirin dapat memberikan komitmen yang berterusan untuk membantu menangani kempen kesedaran HIV dan menyebarkan maklumat yang tepat bagi mencapai objektif sebenar. Terima kasih yang tidak terhingga atas keprihatinan dan layanan sepanjang penglibatan dalam program yang dianjurkan.

Sebaik sahaja program di UUM selesai, aku menyertai beberapa orang sahabat komuniti yang hadir ke rumah seorang sahabat di Changlun untuk menjalin silaturrahim dengan berkongsi sokongan dengan sahabat-sahabat baru dan lama di sana. Amat membanggakan kerana bersama kami adalah beberapa orang tokoh lama dan mentor komuniti seperti Roslan Atok dan Bonda Jameela yang turut sudi memberikan sokongan.

Kami mendapat layanan yang sangat baik daripada pihak tuan rumah sekeluarga yang bersusah-payah menyediakan pelbagai juadah istimewa dari Utara. Pertama kali dalam hidupku berkesempatan merasai menu mangga harum manis yang dimakan bersama pulut dan durian. Boleh tahan aku melahapnya sekalipun aku pengidap diabetes dan kalah dengan makanan yang tinggi kandungan gulanya.

Dalam sharing tersebut, kami saling bertanya khabar dan berkongsi pengalaman secara santai dengan ahli keluarga baru yang masih tercari-cari kekuatan serta sokongan. Perjumpaan kami penuh dengan kemesraan dan ukhwah fillah. Ada yang baru didiagnos dan pertama kali berani tampil berkongsi rasa dengan kawan-kawan. Alhamdulillah kelihatan mereka mendapat sedikit kekuatan dalam pertemuan ringkas tersebut.

Menjelang 1 pagi, aku dihantar kembali ke hotel penginapan untuk berehat seketika dan tiba di Temerloh pada lewat petang 22 April 2014 (Rabu). Kesempatan dan kenangan bersama sahabat-sahabat senasib, infected people, dan supporters di Utara sangat bermakna. Jazakumullah khier. Moga silaturrahim berkekalan.

Sepanjang program di Utara, aku sebenarnya berada dalam keadaan kepenatan dan tidak cukup rehat. Tetapi apabila berpeluang berkongsi pengalaman dan sokongan bersama masyarakat, khususnya komuniti, aku sering terlupa dengan keperluan sendiri. Syukurlah Allah bantu dan permudahkan aku melaluinya.

Selepas seharian collapsed, 24 April 2014 (Khamis) aku menghadiri temujanji rawatan di KK Jaya Gading Kuantan. 26 April 2014 (Sabtu) perlu hadir pula ke Puchong atas sebab-sebab tertentu. Moga Allah permudahkan.

Itu sahaja perkongsian pengalaman dalam keadaan yang masih kepenatan pada kali ini. InsyaAllah kita bertemu lagi.


Sisipan

Berikut adalah petikan berita yang disiarkan oleh MAC di laman web mereka: 



SINTOK, 22 April 2014 – Lebih 1,000 mahasiswa dan mahasiswi Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berhimpun di Dewan Tan Sri Othman di sini untuk menyaksikan persembahan amal #RRCS4RRYC yang dianjurkan secara bersama oleh Majlis AIDS Malaysia. Acara santai berkonsepkan hiburan yang diselang-selikan dengan perkongsian maklumat dan pengalaman berkaitan HIV ini menyatukan Selebriti Sokongan Riben Merah (RRCS) dan Kelab Belia Riben Merah (RRYC), dua inisiatif advokasi Majlis AIDS Malaysia yang utama, dan membariskan tiga penghibur popular tanah air yang juga merupakan RRCS iaitu Najwa Latif, Fahrin Ahmad, dan Bob Yusof di atas pentas yang sama.

Hampir 1,000 orang penonton yang terdiri daripada Ahli Kelab Belia Riben Merah dan warga kampus Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah yang lain memenuhi ruang Dewan Tan Sri Othman untuk menyaksikan acara #RRCS4RRYC.

RRYC yang ditubuhkan pada tahun 2012 sebagai langkah kreatif menangani kadar jangkitan HIV baru yang tinggi dalam kalangan belia di negara ini kini memasuki fasa baharu dengan pelancaran kad keahlian RRYC yang diaktifkan secara bersepadu merentasi pelbagai platform media sosial. Acara #RRCS4RRYC yang menjadi platform pengenalan kad keahlian itu sendiri telah diilhamkan oleh skala dan impak teknologi media sosial dalam menyebarkan maklumat dan mempengaruhi pemikiran pengguna khasnya golongan belia.

“#RRCS4RRYC pencetus revolusi media sosial belia banteras HIV.” Demikian ujar Prof. Dr. Ismail Baba, Timbalan Presiden Majlis AIDS Malaysia merangkap Penasihat Kelab Belia Riben Merah Universiti Utara Malaysia ketika berucap dalam majlis perasmian acara persembahan amal #RRCS4RRYC.

“Epidemik HIV kini telah mengalami perubahan dari segi trend jangkitan; bagi setiap tiga kes jangkitan HIV baru, satu dilaporkan dalam kalangan belia berumur antara 13 hingga 29 tahun,” jelas Prof. Dr. Ismail Baba, Timbalan Presiden Majlis AIDS Malaysia merangkap Penasihat Kelab Belia Riben Merah UUM. “Justeru, respons terhadap HIV dalam kalangan belia juga sewajarnya mencerminkan peredaran trend komunikasi yang kini dikuasai oleh media sosial. Kami berharap acara #RRCS4RRYC ini dapat mencetuskan satu revolusi media sosial dalam kalangan belia untuk membanteras HIV,” tambah beliau lagi.

Kad keahlian RRYC bernilai RM 15 setahun yang telah dilancarkan dalam acara yang sama menawarkan baucar diskaun eksklusif untuk produk rakan-rakan korporat Majlis AIDS Malaysia. Selain itu, pemegang kad turut berpeluang menyertai aktiviti-aktiviti kemasyarakatan bersama-sama RRCS dan kuiz serta pertandingan dalam talian yang lain yang menawarkan hadiah-hadiah menarik seperti alat elektronik dan telefon pintar serta biasiswa untuk menghadiri persidangan HIV dan kepimpinan belia di peringkat serantau dan antarabangsa.

Selebriti Sokongan Riben Merah Majlis AIDS Malaysia Fahrin Ahmad (paling kiri) dan Bob Yusof (tiga dari kanan) beramah mesra dengan beberapa orang penonton di atas pentas. 


Selebriti Sokongan Riben Merah Majlis AIDS Malaysia Bob Yusof (paling kiri) menjadi fasilitator segmen perkongsian pengalaman orang yang hidup dengan HIV dan tazkirah HIV & Islam bersama-sama tetamu undangan Mohamad Bin Wahid, Presiden Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (tengah) dan Ustazah Asniah Mohd Noh, Penolong Pengarah Bahagian Undang-Undang Keluarga Islam, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (paling kanan).

Di samping persembahan hiburan oleh RRCS, acara #RRCS4RRYC juga memberikan pendedahan kepada para penonton tentang pengalaman hidup dengan HIV yang telah disampaikan oleh individu yang hidup dengan HIV sendiri dan tazkirah oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang bertujuan untuk menghapuskan stigma terhadap orang yang hidup dengan HIV dan menggalakkan khalayak supaya menghulurkan bantuan kepada mereka tanpa prejudis. Pada sebelah siang hari acara, satu bengkel latihan asas HIV telah diadakan untuk pembimbing rakan sebaya RRYC.

Selebriti Sokongan Riben Merah Majlis AIDS Malaysia Najwa Latif berinteraksi dengan sebahagian daripada penonton ketika menyampaikan lagu popularnya, “Sahabat” dalam acara #RRCS4RRYC.

“Saya sedar program seumpama ini harus dilaksanakan dari semasa ke semasa di setiap peringkat lapisan masyarakat agar kita sentiasa peka dan prihatin terhadap masalah yang berlaku di persekitaran. Saya percaya dengan pendedahan yang diberikan pada malam ini, ia sedikit sebanyak berguna pada masa hadapan,” ujar Prof. Madya Dr. Abdul Malek Hj. Abdul Karim, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM. 

Ucapan perasmian majlis disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Abdul Malek Hj. Abdul Karim, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Utara Malaysia.

“Saya berharap semua belia yang terlibat telah dapat memanfaatkan acara #RRCS4RRYC sebaik mungkin dan bersedia untuk mengorak langkah yang pertama ke arah memperkasakan diri dengan pengetahuan tentang HIV yang tepat agar risiko HIV dapat dielakkan,” komen Najwa Latif selaku duta RRYC.

Selebriti Sokongan Riben Merah Majlis AIDS Malaysia merangkap Duta Kelab Belia Riben Merah (RRYC) Najwa Latif mengajak para belia untuk menyertai RRYC dengan mendapatkan kad keahlian berharga RM15 yang akan disalurkan kepada tabung amal Yayasan AIDS Malaysia. Banyak keistimewaan menanti ahli-ahli RRYC termasuk peluang untuk menyertai aktiviti-aktiviti kemasyarakatan berkaitan HIV & AIDS bersama-sama Selebriti Sokongan Riben Merah.

Penganjuran #RRCS4RRYC telah mendapat kerjasama daripada Kelab Belia Riben Merah UUM, Kelab Kerja Sosial UUM, Majlis Perwakilan Pelajar UUM, JAKIM, Medical Latex (Dua) Sdn Bhd, Yayasan Sime Darby, 1M4U dan Hotel EDC UUM.

Majlis AIDS Malaysia

Majlis AIDS Malaysia (MAC) ditubuhkan pada tahun 1992 sebagai organisasi ‘payung’ yang bertanggungjawab untuk menyokong dan menyelaraskan usaha-usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkerja di lapangan HIV/AIDS. MAC menjalinkan kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa, untuk memastikan respons terhadap epidemik HIV oleh NGO adalah komited dan efektif. Selain melaksanakan program pencegahan, rawatan, jagaan dan sokong bantu HIV di seluruh negara, MAC dan Ahli-Ahli Gabungan bertindak mewakili suara komuniti-komuniti yang terjejas oleh HIV. Untuk keterangan lanjut, layari www.mac.org.my

Kelab Belia Riben Merah

Kelab Belia Riben Merah (RRYC) merupakan platform advokasi Majlis AIDS Malaysia untuk golongan belia (18 – 40 tahun) di negara ini menyebarkan maklumat yang tepat mengenai HIV & AIDS, selain membentuk kepimpinan dalam kalangan belia untuk menerajui usaha-usaha menangani jangkitan HIV dan menyalurkan sokongan kepada orang yang hidup dengan HIV. RRYC beroperasi di kampus-kampus IPTA dan IPTS utama di seluruh negara, dan digerakkan sepenuhnya oleh golongan belia dan siswa terutamanya melalui saluran media sosial. RRYC juga merupakan sebahagian daripada komponen utama rencana Pemerkasaan Advokasi HIV & AIDS yang disokong penuh oleh Yayasan Sime Darby. Kempen keahlian Kelab Belia Riben Merah kini sedang giat dijalankan dalam talian menerusi pautan http://bit.ly/1hVKA6U

Semarakkan perbincangan #RRYC dalam media sosial!

Facebook | http://www.facebook.com/RedRibbonYouthClub
Twitter | @RRYouthClub
Instagram | myAIDScouncil

Hubungi:

Jabatan Media & Komunikasi, Majlis AIDS Malaysia
Zaki Arzmi │ 016 292 2948 │ zaki@mac.org.my
Meera Abi │ 016 414 6400 │ meera@mac.org.my

Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Canselori
Universiti Utara Malaysia
H/P: 019-336 1906
Tel.: 04-928 3042/3047/3050
Faks: 04-928 3053



Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP
Facebook: Ahp Pie


Info Berkaitan:

Laman Web Rasmi PPWM:

No. Akaun PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Abd. Shukor Mohd Yunus: shux@positivewarriors.org
Hishamudin Rahman: carphatz_04@yahoo.com



Monday, April 21, 2014

MERS-CoV, HIV, DAN UMRAH




Menjelang cuti pertengahan tahun persekolahan 2014 yang bakal tiba, dijangka ramai yang akan mengambil kesempatan sempena cuti tersebut untuk melaksanakan ibadah umrah.

Kebetulan, jangkitan Sindrom Pernafasan Timur Tengah atau Middle East Respiratory Syndrome Coronavirus (MERS-CoV) sedang hangat diperkatakan. Sudah tentu isu ini menimbulkan kerisauan kepada ramai pihak terutama mereka yang rendah imuniti tubuh seperti Orang Yang Hidup Dengan HIV (ODHA).

Nota: ODHA tidak semestinya rendah imuniti tubuh. Kelemahan imuniti tubuh bukan semata-mata disebabkan seseorang hidup sebagai ODHA. Ianya bergantung kepada pelbagai faktor kesihatan, langkah pencegahan jangkitan dan kepatuhan kepada rawatan. Cuma, bagi ODHA yang masih rendah imuniti tubuh, risikonya agak tinggi. Ini disebabkan tubuh mereka kurang keupayaan menentang pelbagai jangkitan virus.

Mari kita fahami MERS-CoV secara mudah melalui artikel-artikel berikut sebagai langkah berjaga-jaga. Bukan sahaja kepada ODHA tetapi kepada semua yang bakal melaksanakan ibadah umrah.


ARTIKEL 1

RISIKO PENYAKIT BERJANGKIT (MERS-COV)

Ibadat haji atau umrah memerlukan tahap fizikal dan mental yang optimum, persediaan ini amat penting dalam menghadapi perbezaan suasana di Mekah berbanding di Malaysia. Dari tahun ke tahun, cabaran yang akan dihadapi mungkin berbeza daripada segi cuaca, suasana dan keadaan semasa.

Cabaran menghadapi penyakit berjangkit terutama ketika musim haji yang menghimpunkan jutaan umat Islam dari serata dunia, juga tidak kurang hebatnya. Umpamanya pada 2003, wabak Severe Acute Respiratory Syndrome (SARS) yang menggemparkan dan wabak pandemik Swine Flu (H1N1) yang melanda dunia pada 2009 turut memberi kesan kepada jemaah haji seluruh dunia. Manakala, pada tahuh 2012, Pertubuhan Kesihatan Sunia (WHO) melaporkan kes jangkitan virus yang dinamakan Middle East Respiratory Syndrome Corona Virus (MERS-CoV) yang dahulunya dikenali sebagai Novel Coronavirus telah dikesan dari negara-negara di Asia Barat.

Persediaan sebelum berangkat

·        Sentiasa memastikan tahap kesihatan berada dalam keadaan baik, khasnya yang berpenyakit kronik seperti asma, penyakit salur pernafasan tersekat kronik (COPD), sakit jantung, diabetes, dan lain-lain.

Kerajaan Arab Saudi mencadangkan agar bakal jemaah haji atau umrah warga emas dan yang mempunyai penyakit kronik menangguhkan pemergian.

·        Mengambil vaksin tambahan iaitu vaksin influenza dan Pneumococcal (amat digalakkan) terutama yang telah berumur atau mempunyai penyakit kronik lain dan mengikut nasihat pegawai perubatan.
 
·        Membawa bekalan penutup mulut dan hidung (mask) yang mencukupi dan pencuci tangan (hand sanitizer) untuk kegunaan sendiri semasa berada di Mekah dan dalam kapal terbang.
 
·        Sentiasa mengikuti perkembangan semasa mengenai wabak ini dan langkah pencegahan yang perlu diambil dari semasa ke semasa.

Pencegahan di Mekah

·        Sentiasa mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi, seperti kerap mencuci tangan, terutama selepas batuk, bersin, atau selepas bersalam.
 
·        Sentiasa membawa penutup hidung dan mulut seta pencuci tangan untuk digunakan ketika perlu.
 
·        Sentiasa mengamalkan etika batuk (cough etiquette) yang baik. (AHP Pie- Seperti menutup mulut dengan sapu tangan dan menjarakkan diri jika perlu semasa batuk atau bersin.)
 
·        Mengelakkan daripada mengambil makanan mentah atau tidak dimasak sepenuhnya.
 
·        Membasuh buah-buahan dan sayur-sayuran terlebih dahulu sebelum dimakan.
 
·        Mengelak minum air tidak terawat.
 
·        Memakai penutup hidung dan mulut sekiranya terdapat tanda-tanda jangkitan MERS-CoV dan dapatkan rawatan segera.

Secara amnya, semua bakal haji atau umrah mempunyai risiko untuk mendapat jangkitan virus MERS-CoV ini. Lantas, sebagai salah satu ikhtiar, semua bakal haji dan kakitangan Tabung Haji yang bertugas di sana mestilah mengambil langkah yang dinyatakan di atas. Di samping itu, berdoa ke hadrat Allah SWT supaya bebas daripada jangkitan.

Sumber: sini




ARTIKEL 2

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN JANGKITAN NOVEL CORONAVIRUS (MERS-CoV) UNTUK JEMAAH HAJI ATAU UMRAH DAN PELAWAT

Novel Coronavirus, yang juga dikenali sebagai Middle East Respiratory Syndrome Coronavirus (MERS-CoV) pada masa kini berlaku di Arab Saudi dan dilaporkan di beberapa negara Timur Tengah lain. Pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mula melaporkan tentangnya pada September 2012. Sehingga 31 Mei 2013, sejumlah 53 kes MERS-CoV yang disahkan melalui ujian makmal telah dilaporkan dari seluruh dunia, meliputi 30 kematian. Rakyat Malaysia juga berisiko mendapat jangkitan kerana bilangan yang mengerjakan haji dan umrah adalah agak tinggi. Justeru, para jemaah atau pelawat diingatkan agar sentiasa berwaspada tentang jangkitan MERS-CoV ini.

Untuk makluman, MERS-CoV menyebabkan jangkitan saluran pernafasan akut di kalangan manusia. Gejala utama adalah demam, batuk, dan kesukaran untuk bernafas. Kebanyakan kes mengalami radang paru-paru (pneumonia). 

Pihak World Health Organization (WHO) menyatakan punca jangkitan dan cara jangkitan bagi MERS-CoV ini masih belum dapat dikenal pasti. Pihak WHO juga menegaskan tiada vaksin untuk MERS-CoV pada ketika ini. 

Kebanyakan kes, jangkitan MERS-CoV adalah ringan. Bagi individu yang kurang daya tahan jangkitan, gejala jangkitan mungkin berlaku dalam bentuk yang tidak lazim (atypical).

Sehubungan itu, memandangkan buat masa ini punca jangkitan dan cara jangkitan masih belum dikenal pasti, pihak WHO tidak mengeluarkan sebarang nasihat perjalanan atau sebarang larangan lawatan ke negara-negara yang terlibat. Oleh itu, pihak KKM ingin menasihatkan tentang perkara-perkara berikut untuk mengelakkan jangkitan respiratori:

·        Selalu mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan (hand sanitizer), terutamanya selepas batuk, bersin, atau selepas bersalaman.

·        Semasa dalam tempoh lawatan, sentiasa membawa bersama penutup mulut dan hidung (medical mask) serta bahan pencuci tangan (hand sanitizer) untuk digunakan apabila perlu.

·        Semasa dalam tempoh lawatan, elakkan daripada menjamah makanan mentah atau tidak dimasak dengan sepenuhnya, menjamah buah-buahan mahupun sayuran yang tidak dibasuh terlebih dahulu atau meminum minuman yang menggunakan bekalan air tidak terawat.

·        Mereka yang pulang ke Malaysia dengan gejala jangkitan respiratori (demam, batuk, selsema, dan sakit tekak) adalah dinasihatkan untuk memakai penutup mulut dan hidung (medical mask). Jika gejala yang dialami berterusan dan menjadi bertambah teruk, segera dapatkan rawatan perubatan serta maklumkan tentang sejarah perjalanan mereka kepada doktor yang merawat.

KKM akan terus memantau situasi kejadian penyakit ini dan sebarang perkembangan daripada pihak WHO akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. KKM akan terus berhubung dengan pihak WHO untuk memantau situasi terkini MERS-CoV, seterusnya mengambil langkah pencegahan dan kawalan sebagaimana yang disarankan.

Disediakan oleh:
Bahagian Kawalan Penyakit
Kementerian Kesihatan Malaysia
12 Jun 2013

Sumber: sini


ARTIKEL 3

SEORANG JEMAAH UMRAH MENINGGAL DUNIA DISAHKAN AKIBAT MERS-COV – SUBRAMANIAM


PUTRAJAYA, 16 April (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan kematian seorang lelaki pada 13 April lalu yang baru pulang daripada mengerjakan umrah akibat dijangkiti sindrom pernafasan "middle east respiratory syndrome coronavirus' (MERS-CoV), yang juga merupakan kes pertama dilaporkan di Asean.

Menterinya Datuk Seri Dr. S Subramaniam berkata hasil siasatan mendapati punca kematian adalah akibat "Pneumonia Secondary to MERS-CoV" yang teruk.

Beliau berkata pihak kementerian sedang menjalankan aktiviti pencegahan serta kawalan termasuk pemantauan terhadap mereka yang pernah bersentuhan dan rapat dengan mangsa serta 15 anggota jemaah umrah yang turut pergi bersama-sama mangsa ke Tanah Suci.

"Untuk tujuan ini juga, orang awam yang menaiki penerbangan Turkish Airlines (TK93 dan TK60) bagi perjalanan dari Jeddah-Istanbul-Kuala Lumpur pada 29 Mac lalu adalah diminta menghubungi pihak kementerian bagi tujuan pemantauan," katanya.

Lelaki Melayu berusia 54 tahun berasal dari Batu Pahat, Johor itu pulang dari Tanah Suci pada 29 Mac lalu itu mengadu mengalami demam, batuk dan kesukaran untuk bernafas selepas kira-kira 10 hari kemudian dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Nora Ismail pada 10 April dan meninggal dunia tiga hari kemudian.

Subramaniam berkata buat masa ini punca jangkitan dan cara jangkitan bagi jangkitan MERS-CoV masih belum dapat dikenal pasti dan masih tiada vaksin untuk memberi perlindungan terhadap jangkitan tersebut.

"Kami dimaklumkan bahawa mangsa yang menghidap penyakit kencing manis itu telah pergi melawat ternakan unta di sana namun tidak dapat dipastikan lagi sama ada virus itu dijangkiti disebabkan oleh binatang tersebut," katanya.

Beliau menasihati orang ramai yang mengerjakan umrah di Tanah Suci atau membuat lawatan di mana-mana negara di rantau Timur Tengah agar mengambil langkah-langkah berwaspada.

"Adalah diminta agar mereka yang akan ke sana untuk sentiasa mencuci tangan, membawa penutup hidung dan mengelakkan makan makanan mentah serta mengelakkan dari membuat lawatan ke ladang ternakan walaupun masih tiada bukti mengenainya tapi ia sebagai antara langkah pencegahan," katanya.

Menteri itu berkata mereka yang pulang dari negara rantau Timur Tengah dengan mengalami gejala seperti demam, batuk, selesema dan sakit dinasihatkan memakai penutup mulut dan hidung dan menjaga kebersihan diri.

"Mereka juga dinasihatkan untuk segera mendapatkan rawatan perubatan sekiranya terus tidak sihat serta memaklumkan sejarah perjalanan mereka kepada doktor yang merawat," katanya.

-- BERNAMA

Sumber: sini




Nasihat aku kepada semua pembaca terutama sahabat-sahabat ODHA yang tekad untuk melaksanakan ibadah umrah, patuhilah segala nasihat yang disarankan, segera mendapatkan rawatan jika terdapat tanda-tanda jangkitan dan selebihnya tawakal kepada Allah.


Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP
Facebook: Ahp Pie


Info Berkaitan:

Laman Web Rasmi PPWM:

No. Akaun PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Abd. Shukor Mohd Yunus: shux@positivewarriors.org
Hishamudin Rahman: carphatz_04@yahoo.com