Saturday, March 29, 2014

ENTRY WAJIB: PENGURUSAN JENAZAH ORANG YANG HIDUP DENGAN HIV (ODHA)



TOLONG SEBAR-SEBARKAN ENTRY INI JIKA ANDA BERSETUJU BAHAWA IANYA MUNGKIN BERKESAN MENENTANG SALAH FAHAM TENTANG HIV, AIDS, STIGMA, DISKRIMINASI, JUDGMENTAL, DAN MALPRACTICE!

IANYA BOLEH DICETAK DAN DILEKATKAN DI NOTICE BOARD PEJABAT, SEKOLAH, MASJID, SURAU, KOLEJ, IPTA / IPTS, DAN DI MANA SAHAJA YANG DIFIKIRKAN SESUAI.

IANYA JUGA BOLEH DISEBARKAN MELALUI APA JUGA WEBSITES, E-MAIL, TWITTER, FACEBOOK DAN BLOG UNTUK 
TUJUAN PENDIDIKAN.





Pendahuluan

Apabila seseorang ODHA telah meninggal dunia, masih ramai yang mengandaikan bahawa kononnya jenazah mereka akan dimandikan dengan cecair sodium hypochloride (Clorox) yang akan menyakitkan dan mengaibkan jenazah, serta mendatangkan aib kepada ahli keluarga.

Mungkin mereka membayangkan bahawa jenazah ODHA akan dimandikan dengan cecair sodium hypochloride semata-mata atau jenazah akan dicelup ke dalam tong sodium hypochloride tersebut.

Itu SILAP besar. Campuran cecair sodium hypochloride tidak mampu membunuh virus. Ianya cuma berfungsi untuk membasmi kuman.

Salah faham tersebut adalah antara faktor yang menyebabkan ODHA yang baru didiagnos merasa sangat tertekan, enggan menjalani rawatan, dan seboleh mungkin merahsiakan status kesihatan mereka.

Mari fahami bahawa pengurusan jenazah ODHA dikategorikan sebagai PENGURUSAN JENAZAH BERISIKO.


Apakah yang dimaksudkan sebagai PENGURUSAN JENAZAH BERISIKO?

Pengurusan Jenazah Berisiko lebih kepada Standard Of Procedure (SOP) langkah-langkah pencegahan terhadap jangkitan kuman dan bakteria melalui cecair badan dan udara. SOP PENGURUSAN JENAZAH BERISIKO bukanlah susah dan tidak khusus kepada ODHA sahaja.


Contoh jenazah berisiko?

Antara beberapa contoh JENAZAH BERISIKO adalah jenazah yang telah beberapa hari dijumpai mati disebabkan oleh kes-kes jenayah, kemalangan jalan raya, bunuh diri, mati terbakar, dan memerlukan bedah siasat (post mortem). Jenazah begini biasanya perlu diuruskan dan dikebumikan dengan segera.


Maaf, visual ini terpaksa dipaparkan untuk tujuan pendidikan


Selain itu, terdapat juga jenazah yang meninggal dunia disebabkan oleh pelbagai jangkitan yang tersebar melalui udara dan cecair badan. Kesemuanya memerlukan SOP yang sama.

Ianya juga bertujuan untuk memelihara aib jenazah, keselamatan pihak yang menguruskan jenazah, kesihatan awam, dan memudahkan ahli kariah menguruskan pengkebumian.


Maaf, visual ini terpaksa dipaparkan untuk tujuan pendidikan


Jangan kita fikir semua keadaan jenazah adalah sempurna dan sama sahaja. Jika kita mempunyai pengalaman menguruskan jenazah ahli keluarga yang telah dibedah siasat, meninggal dunia semasa menjalani pembedahan besar dan akibat kemalangan ngeri di jalan raya , tentu kita tahu keadaan tubuh jenazah sebegini. Sekalipun luaran kelihatan sempurna, organ dalamannya berkemungkinan telah mereput dan terdapat lelehan cecair badan.


Maaf, visual ini terpaksa dipaparkan untuk tujuan pendidikan


Selain itu, JENAZAH BERISIKO ada yang telah terbiar selama berminggu-minggu, berbau, berkudis, mereput, berulat, dan keadaan fizikal yang mengerikan. Ianya juga adalah untuk mengelakkan fitnah yang lebih besar.


Maaf, visual ini terpaksa dipaparkan untuk tujuan pendidikan


Maksudnya, jenazah ODHA berisiko menjangkitkan HIV kepada orang lain?

SOP PENGURUSAN JENAZAH BERISIKO bukan disebabkan oleh risiko jangkitan HIV. Virus akan mati apabila ODHA telah meninggal dunia dan jangkitan HIV cuma boleh berlaku dari dalam tubuh ke dalam tubuh orang yang masih hidup. HIV tidak akan berjangkit jika virus berada di luar tubuh.

Masalah timbul apabila ada sebahagian ODHA meninggal dunia dalam keadaan imuniti tubuhnya lemah dan berisiko terhadap jangkitan penyakit bawaan pathogen. 

Lebih-lebih lagi jika ODHA tersebut meninggal dunia disebabkan oleh jangkitan penyakit influenza, kencing tikus (leptospirosis), adenovirus (virus yang mudah tersebar melalui sentuhan dan udara), dan jika terdapat lelehan cecair badan yang boleh dan mudah menyebabkan jangkitan penyakit yang disebabkan oleh pathogen. 

Sebahagian kecil ODHA pula ada yang terbiar dan meninggal di jalanan dan telah dijangkiti pelbagai jenis penyakit opportunistic. Oleh itu SOP tersebut perlu dilaksanakan.

Apa yang dimaksudkan dengan pathogen?

Pathogen adalah organisme atau mikroorganisme. Ianya merupakan agen yang menyebabkan berlakunya jangkitan kepada organism lain. Secara perubatannya, pathogen berkemampuan menyebabkan seseorang dijangkiti penyakit-penyakit tertentu. Penyakit-penyakit akibat pathogen diistilahkan dengan pathogenesis.

Situasi ini turut berlaku di hospital-hospital di seluruh dunia tanpa kita sedari. Petugas perubatan yang bergerak daripada seorang patient ke patient lain menyediakan ruang kepada pathogen untuk berjangkit. Ini yang dinamakan Hospital Acquired Infection (HAI).

Contoh agen pathogen adalah bakteria, virus, fungus/kulat, parasit, prion, dan pelbagai lagi mikroorganisme. Jika jangkitan berlaku di luar hospital, kita istilahkannya sebagai nosocomial.

Jangkitan nosocomial yang paling kerap ditemui ialah pada urinari (berkaitan saluran kencing) dan pelbagai jenis pneumonia (radang paru-paru).


Itu tujuan sebenar SOP JENAZAH BERISIKO?

Ya, kerana jangkitan melalui udara, najis manusia atau haiwan, sentuhan, dan cecair badan bawaan pathogen lebih mudah tersebar. Diulang sekali lagi, walaupun dalam jenazah atau mayat ODHA terdapat HIV sebelum kematian, ianya tidak tersebar selepas kematian dan di luar tubuh. 

Apabila seseorang sentiasa terdedah kepada pathogen, ianya mendedahkan diri mereka sendiri kepada risiko jangkitan pelbagai jenis penyakit, dan menjadi agen penyebar jangkitan kerana individu tersebut bebas bergerak, bersin, terbatuk dan mungkin menghampiri atau menyentuh mana-mana individu lain yang ketahanan badan atau sistem imunnya rendah. Maka kemungkinan risiko jangkitan sentiasa berlaku.



  
Info tambahan:

Mikroorganisme pathogen mengandungi pelbagai bakteria atau virus merbahaya yang boleh hidup di dalam tubuh manusia selepas kematian dan boleh berjangkit melalui pelbagai cara yang disebutkan tadi.


Apakah hak-hak pengendali jenazah menjaga keselamatan diri dan dan orang lain?



"Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya." (Surah al-Baqarah, ayat 195)

“Tidak boleh membahayakan diri sendiri dan tidak boleh pula membahayakan diri orang lain.
(al-Hadith)


Apakah antara SOP pengendalian atau PENGURUSAN JENAZAH BERISIKO?

Antara SOPnya ialah pihak yang memandikan jenazah mesti memakai sarung tangan (gloves), penutup mulut, dan boot getah, menjirus jenazah dengan bilasan air bercampur cecair sodium hypochloride 10%. Secara mudah, nisbah campurannya adalah 1/10.

Masukkan jenazah ke dalam beg plastik khas jika perlu seperti apabila terdapat cecair badan yang meleleh tanpa henti dengan banyak seperti darah, nanah, mayat reput atau relai, bau yang terlalu kuat, dan banyak anggota badan yang telah teruk bersepai.

Perlu difahami bahawa semasa memandikan jenazah (sama ada ODHA atau bukan ODHA), memang SOP inilah yang sebaik-baiknya digunakan untuk membasmi kuman yang mungkin terdapat pada setiap jenazah.

Pihak yang menguruskan JENAZAH BERISIKO adalah terlatih dan dipantau oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sendiri. Di samping mesti berhati-hati menjaga kebajikan diri mereka, pengurus jenazah perlu tahu menjaga adab-adab pengurusan jenazah dan tidak akan mendedahkan aib.

Jika JENAZAH BERISIKO dibenarkan untuk diuruskan oleh ahli kariah, pengurus terlatih mewakili pihak KKM akan hadir memantau hingga selesai urusan pengkebumian.

Bagi jenazah ODHA dalam keadaan sempurna dan meninggal dunia atas sebab-sebab biasa seperti diabetes, kegagalan fungsi jantung, dan darah tinggi, SOP PENGURUSAN JENAZAH BERISIKO tidaklah terlalu ketat. Tiada masalah untuk disentuh, dilihat, atau dicium oleh ahli keluarga rapat buat kali terakhir. 

SOP JENAZAH BERISIKO dapat melindungi maruah ODHA kerana bukan semestinya jenazah ODHA sahaja diuruskan sedemikian.

Masyarakat mesti JELAS dengan maksud "PENGURUSAN JENAZAH BERISIKO". Kewajiban memelihara aib dan tanggungjawab fardhu kifayah bukan mainan. Apa hukumnya memfitnah jenazah yang tidak mampu membela diri?

ODHA pula tidak perlu paranoid.




Bukti atau Statistik?

Setakat ini, belum ada statistik menunjukkan pengendali jenazah yang terkena
jangkitan bawaan pathogen daripada jenazah yang berpenyakit. Apatah lagi jangkitan HIV yang kononnya berpunca daripada atau kerana pernah menguruskan  jenazah ODHA. Namun begitu, sekecil mana pun risiko jangkitan akibat pathogen, kita perlulah mengambil segala langkah berhati-hati.


PENGURUSAN JENAZAH ORANG ISLAM SECARA UMUM

Fardhu kifayah bagi menyempurnakan jenazah termasuk:

* Memandikan
* Mengkafankan
* Menyembahyangkan
* Mengkebumikan

Penyediaan peralatan pengendalian jenazah:

* 2 pasang sarung tangan getah (surgical gloves)
* Sarung tangan kain
* Apron plastik
* Alat pelindung hidung dan mulut
* Kasut but getah (digalakkan)

Alatan memandikan jenazah:

* Air mutlak
* Bekas air / baldi
* Takungan mandian jenazah
* Kain penutup jenazah
* Gunting atau pisau
* Air mawar
* Kapur barus
* Daun bidara
* Serbuk cendana
* Kapas
* Penapis atau kain kasa
* Putik kapas / sugi
* Beberapa gayung
* Dulang

Peralatan mengkafan jenazah:

* Kain putih
* Pakaian jenazah
* Tali
* Gunting
* Kapas
* Serbuk cendana / kapur barus / minyak wangi
* Piring / dulang
* Tikar

Cara memandikan jenazah:

* Menggunakan sarung tangan.
* Disalinkan dengan kain yang mencukupi.
* Pastikan air diratakan diseluruh badan jenazah dan tiada halangan seperti plaster, pewarna kuku dan sebagainya.
* Diwudhukkan.
* Disunatkan didahulukan dimandikan dari sebelah kanan.
* Dimulakan dengan air bidara dan gosok pada setiap anggota badan.
* Bersihkan najis pada rongga yang terbuka.
* Jirus dengan air mutlak ke seluruh badan dan ratakan.
* Pastikan air mandian dialirkan ke longkang.
* Lapkan jenazah dan salinkan dengan kain yang bersih dan dibawa ke tempat mengkafan.

Mengkafankan jenazah:

* Letakkan jenazah di tempat yang telah disediakan kain kafan.
* Letakkan kapas pada bahagian anggota tubuh terutama di bahagian anggota sulit.

(Jenazah yang ada luka ditambah kapas pada bahagian tersebut. Bagi jenazah yang mengalami luka yang berdarah, elok dilapiskan dengan plastik nipis.)


PROSEDUR PENGENDALIAN JENAZAH BERISIKO TINGGI

Persediaan terbahagi kepada 3 peringkat:

* Persediaan tempat dan kakitangan yang terlibat dalam urusan pengendalian sebelum terima jenazah.
* Prosedur semasa mengendalikan / memandikan jenazah.
* Prosedur selepas jenazah disempurnakan.

Prosedur pengendalian mayat berisiko tinggi:

* Pastikan status kita mestilah sihat. (Mereka yang tidak sihat kemungkinan mendapat jangkitan pathogen adalah tinggi).
* Pastikan anggota badan terutama tangan tidak ada luka atau cedera.
* Sebaik-baik mereka yang mengendalikan jenazah telah mendapat imunisasi.
* Pastikan kuku sentiasa pendek supaya tidak mencederakan jenazah atau boleh mengumpulkan kotoran daripada jenazah tersebut.
* Menggunakan Personal Protective Equipment (PPE).
* Jumlah mereka yang terlibat hendaklah dikurangkan.
* Semua pakaian dan apa-apa bahan yang terlekat di badan hendaklah ditanggalkan dan dimasukkan ke dalam bekas plastik yang dikhaskan.
* Siramkan mayat dengan air yang bercampur dengan sodium hypochloride 10% di seluruh badan.
* Cucian pada rongga yang terbuka hendaklah menggunakan peralatan khas seperti forceps atau putik kapas.
* Rongga tersebut hendaklah ditutup dengan kapas yang telah direndam dengan sodium hypochloride 10%.
* Jika ada kudis atau luka, hendaklah ditutup dua lapis dengan kapas atau gauze yang telah direndam dengan sodium hypochloride 10%.
* Setiap lapisan kain kapan hendaklah disembur dengan sodium hypochloride sebanyak 10%.
* Jika perlu boleh ditambah dengan 1 lapisan plastik bagi lapisan kedua terakhir.
* Setelah selesai hendaklah dimasukan ke dalam beg plastik khas.

Perhatian:
Waris dibolehkan melihat tetapi tidak digalakkan untuk menyentuh atau mencium mayat. (Bergantung kepada kondusi kesihatan jenazah sebelum kematian).


PROSEDUR DAN INFO UMUM YANG PENTING

Seksyen 329: Kewajipan Pegawai Polis Menyiasat Kematian

Tiap-tiap Ketua Polis yang menerima maklumat:
(a) Bahawa seseorang itu telah membunuh diri;
(b) Bahawa seseorang itu telah dibunuh oleh orang lain atau dibunuh oleh binatang, atau jentera atau mati kerana kemalangan;
(c) Bahawa seseorang yang telah mati dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah bahawa orang lain telah melakukan suatu kesalahan;
(d) Bahawa mayat dijumpai tetapi tidak diketahui akan sebab-sebab kematiannya atau; bahawa seseorang telah mati secara mengejut, hendaklah seberapa segera menyampaikan maklumat ini kepada Ketua Polis Daerah.

Seksyen 328: Erti Kematian

Sebab kematian termasuklah bukan sahaja sebab kematian yang nyata yang boleh ditentukan melalui pemeriksaan atau post mortem terhadap badan si mati itu, tetapi juga semua perkara yang perlu untuk membolehkan suatu pendapat dibuat bagaimana si mati itu menemui ajalnya dan sama ada kematiannya disebabkan atau dipercepatkan oleh perbuatan atau kecuaian yang menyalahi undang-undang yang dilakukan oleh mana-mana orang lain.

(AHP Pie - Contoh kes: Si A dijumpai mati terbakar di dalam kereta akibat kemalangan jalan raya. Tetapi setelah bedah siasat dijalankan, didapati sebab sebenar si A mati adalah kerana beliau menjadi mangsa pembunuhan sebelum kejadian kemalangan.)



  
Pembuangan sisa buangan

Semua bahan buangan hendaklah dimasukan ke dalam beg plastik (kuning). Seelok-eloknya dua lapisan dan diikat, dibakar atau ditanam.

Semasa memandikan jenazah:

* Lakukan secara lembut dan jangan tergopoh-gapah.
* Pastikan tiada percikan cecair jenazah atau mayat terkena pada bahagian anggota badan mereka yang mengendalikan jenazah.
* Jangan terlalu ramai mengendalikannya dan jika terkena percikan, tidak perlu panik, cuma perlu dicuci dengan segera.


Kesimpulan

Jenazah ODHA memang dikategorikan dalam kumpulan JENAZAH BERISIKO, tetapi anda perlu faham maksud JENAZAH BERISIKO dengan tepat terlebih dahulu untuk mengelakkan stigma, diskriminasi, judgemental, paranoia, dan fitnah.

Salah faham menyebabkan semua ahli kariah menanggung dosa dan akibatnya menyebabkan jangkitan HIV semakin meningkat apabila ODHA enggan menjalani rawatan akibat pelbagai tekanan yang sepatutnya tidak berlaku. Tekanan dan aib turut ditanggung oleh ahli keluarga dan sahabat-sahabat mereka (affected people).

Pembaca juga perlu faham perbezaan antara PENGURUSAN JENAZAH BERISIKO dengan PENGURUSAN JENAZAH BERISIKO TINGGI. Jika masih kabur, aku sarankan ahli keluarga atau waris kepada ODHA meminta pihak hospital menguruskan jenazah. Pihak KKM sedia maklum SOP tersebut dan setelah selesai, barulah jenazah dibawa pulang untuk disembahyangkan dan dikebumikan.

Berdasarkan pengalaman peribadi, para pengendali jenazah sendiri biasanya terus sahaja menyembahyangkan jenazah tersebut di bilik mandi mayat hospital setelah selesai urusan memandikan. Hebat dan besar sungguh ganjaran pahala untuk mereka.

Simple, bukan? Itu sahaja. Moga ada manfaatnya kepada semua.

Sumber: Pelbagai carian daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia, The Malaysian Bar, laman web JAKIM, dan Jabatan Forensik HKL. Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua, khususnya kepada Tuan Haji Abu Bakar bin Lajis.

Sharing ini disediakan oleh aku, orang awam yang hidup sebagai seorang ODHA, bukan oleh seorang medical practitioner. Mohon teguran dan pandangan melalui mereka yang pakar dan berpengalaman.


Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP
Facebook: Ahp Pie


Info Berkaitan:

Laman Web Rasmi PPWM:
http://www.positivewarriors.org/

Facebook Fan Page:
https://www.facebook.com/ppwmfanpage?ref=hl

No. Akaun PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Abd. Shukor Mohd Yunus: shux@positivewarriors.org
Hishamudin Rahman: carphatz_04@yahoo.com






BAHAYA TERSEMBUNYI KETIKA DI HOSPITAL YANG SEPATUTNYA DIFAHAMI SEMUA (TERUTAMA ORANG YANG HIDUP DENGAN HIV/ ODHA)


HAI PENYAKIT JANGKITAN HOSPITAL



SEPERTI yang kita sedia maklum, hospital menempatkan sejumlah besar orang sakit dan mempunyai sistem imun atau ketahanan tubuh yang lemah.

Petugas perubatan bergerak daripada pesakit ke pesakit sekaligus menyediakan ruang kepada patogen (mikroorganisme penyebab penyakit) untuk tersebar. Begitu juga dengan prosedur-prosedur perubatan yang melangkau penghadang perlindungan semula jadi tubuh.

Justeru, tidak hairanlah jika tinjauan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan, lebih 1.4 juta orang menderita komplikasi jangkitan yang diperoleh dari hospital (hospital acquired infection) atau ringkasnya HAI, di seluruh dunia.


Sementara itu, kira-kira 10 peratus kadar jangkitan berlaku di hospital-hospital seluruh Asia Tenggara. Bagaimana dengan Malaysia? Berapa banyakkah yang kita ketahui mengenai senario jangkitan ini di dalam negara?

Kementerian Kesihatan dalam satu kajian baru-baru ini menganggarkan 1.3 peratus kes HAI berlaku di negara ini. Nampak kecil. Bagaimanapun, angka itu jauh lebih berkurangan daripada situasi sebenar disebabkan oleh kesukaran untuk mendapatkan data-data tempatan yang memerlukan pemantauan berterusan daripada kakitangan hospital.

Apa yang pasti, HAI merupakan satu bebanan penyakit major yang mana sebahagian besar daripadanya boleh dielakkan sebagaimana yang dibincangkan pada Kongres Antarabangsa Persatuan Kawalan Jangkitan Asia Pasifik Ketiga (APSIC) yang dianjurkan Kuala Lumpur, baru-baru ini.

HAI merujuk kepada jangkitan yang terjadi semasa pesakit tinggal di hospital yang sebelum ini tidak mereka hidapi sebelum dimasukkan atau ditahan di wad. Jika seseorang mengalami patah tulang di hospital, adakah itu juga boleh dinamakan sebagai HAI? Turut dikenali sebagai nosokomial, ia hanya eksklusif untuk jangkitan.

Nosokomial merupakan satu nama lain yang cuma agak fancy bunyinya bagi HAI. Ia diambil daripada perkataan Greek nosokomeion yang bermaksud hospital (nosos = penyakit, komeo = penjagaan).

Kamus jururawat penerbit Fajar Bakti mendefinisikan jangkitan nosokomial sebagai jangkitan yang berpunca dari hospital, seperti yang dihidapi oleh seorang pesakit selama ditempatkan di hospital atau yang berkembang di kalangan kakitangan hospital.


Beberapa agen tertentu yang boleh ditularkan termasuklah bakteria, virus, fungus/kulat, parasit, dan prion. Bakteria Clostridium difficile dikenal pasti sebagai ketua penyebab cirit-birit nosokomial di Amerika Syarikat dan Eropah.

Jangkitan nosokomial yang paling kerap ditemui termasuklah trek urinari (berkaitan saluran kencing) dan pelbagai jenis pneumonia (radang paru-paru).

Setiap tahun, ribuan nyawa melayang disebabkan oleh jangkitan yang berlaku dalam lingkungan kemudahan penjagaan kesihatan di negara-negara maju dan membangun yang perlu segera ditangani kerana masalah ini berlaku di seluruh dunia, kata Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran APSIC, Prof. Dr. Nordiah Awang Jalil.

HAI mendatangkan bebanan yang ketara terhadap pesakit dan kesihatan awam kerana ia merupakan punca utama kos morbiditi (keadaan berpenyakit) dan mortaliti (kematian).

Justeru, ujar beliau, meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai tahap keselamatan pesakit serta memperbaiki kualiti penjagaan kesihatan di negara ini, terus menjadi keutamaan.

Kemajuan dalam intervensi kawalan penyakit telah dikenal pasti sebagai salah satu medium kritikal bagi memastikan keselamatan pesakit sekali gus mengawal prevalens/kelaziman insidens HAI di hospital-hospital.

Jangkitan melalui aliran darah merupakan salah satu daripada HAI yang paling kerap berlaku disebabkan oleh bakteria atau fungus yang memasuki saluran darah.
Sementara itu, jangkitan intravena (IV) iaitu terapi pemindahan cecair ke dalam pembuluh darah adalah prosedur invasif yang paling biasa dilakukan di hospital dan diberikan sama ada melalui periferal atau laluan pusat.

Kateter IV merupakan antara sumber jangkitan HAI melalui aliran darah yang sering terjadi. Kateter adalah suatu tiub untuk disisipkan ke dalam bukaan yang sempit supaya cecair-cecair dapat dimasukkan atau dikeluarkan.

Menggunakan pendekatan yang ringkas dan strategi intervensi berkesan boleh membantu dalam mengurangkan kadar HAI terutamanya di kalangan mereka yang mempunyai risiko jangkitan yang tinggi, jelas Pengasas dan Pengerusi Konsortium Kawalan Jangkitan Nosokomial Antarabangsa, Prof. Dr. Victor Rosenthal.


Menerusi amalan menjaga kebersihan tangan, penjagaan kateter dan sistem infusi (suntikan perlahan suatu bahan ke dalam vena atau tisu subkutaneus) tertutup, Dr. Rosenthal mendapati, kadar jangkitan aliran darah mampu dikurangkan dengan ketara. Menurut beliau, hasilnya adalah waktu tinggal di hospital yang lebih pendek bagi pesakit, kadar kematian yang rendah, kekebalan terhadap bakteria dan kos yang dapat dikurangkan.

Walau bagaimanapun, tumpuan kepada strategi intervensi berkesan secara tunggal tidak memadai. Apa yang penting, hospital dan organisasi yang menyediakan penjagaan kesihatan perlu memfokuskan kepada usaha meminimumkan jangkitan yang boleh dielakkan.

Ia boleh dilakukan dengan cara mengukuhkan program-program pencegahan dan kawalan jangkitan yang hanya boleh dicapai melalui pendekatan pasukan berbilang disiplin, tambah Dr. Rosenthal.

HAI atau jangkitan nosokomial boleh diterjemahkan sebagai:

* Jangkitan yang diperoleh di hospital oleh pesakit yang dimasukkan ke wad disebabkan penyakit lain yang tidak berkaitan jangkitan

* Jangkitan berlaku di kalangan pesakit yang berada di hospital atau lain-lain kemudahan penjagaan kesihatan yang mana jangkitan tidak hadir atau mengeram pada waktu pesakit dimasukkan ke hospital

Ini termasuklah jangkitan yang diperoleh di hospital tetapi mula timbul selepas pesakit keluar dari hospital, dan juga jangkitan pekerjaan di kalangan kakitangan di dalam bidang berkaitan.


Prevalens

* HAI berlaku di seluruh dunia termasuklah negara-negara maju dan membangun

* Lebih 1.4 juta orang menderita komplikasi HAI di seluruh dunia

* Di negara maju, 5 hingga 10 peratus pesakit yang dimasukkan ke hospital mendapat satu atau lebih jenis HAI, dengan risiko yang meningkat di negara-negara sedang membangun (>25 peratus)

* Tinjauan WHO mendedahkan kekerapan HAI paling tinggi dilaporkan dari hospital-hospital di Timur Mediterranean (11.8 peratus) dan Asia Tenggara (10 peratus).

* Kadar kekerapan bagi rantau Eropah dan Barat Pasifik masing-masing 7.7 dan 9 peratus

* Tinjauan terbaru oleh Kementerian Kesihatan menganggarkan, insiden HAI di negara ini berada pada paras 1.3 peratus. Jumlah sebenar dijangkakan lebih tinggi.


Penyebab

* HAI selalunya berpunca daripada jangkitan luka pembedahan, jangkitan trek urinari, dan jangkitan trek pernafasan bawah

* Kajian WHO mendapati, kelaziman tertinggi jangkitan nosokomial terjadi di unit-unit rawatan rapi, wad pembedahan akut, dan wad-wad ortopedik (berkenaan tulang)

* Pesakit-pesakit daripada kalangan warga emas, bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan, mempunyai penyakit-penyakit lain, dan menjalani kemoterapi adalah tergolong dalam mereka yang berisiko tinggi menjangkiti HAI.


Kesan

* Jangkitan yang berpunca di persekitaran penjagaan kesihatan merupakan antara penyebab utama kematian dan meningkatkan morbiditi di kalangan para pesakit yang terpaksa ditahan di hospital

* HAI bukan sahaja memberi beban ketara terhadap pesakit, tetapi juga kesihatan awam

* HAI menambah stres emosi dan ketidakupayaan fungsi pesakit, dan dalam sesetengah kes, boleh mendorong kepada ketidakupayaan fizikal yang menjejaskan kualiti hidup mereka

* Kos ekonomi turut bertambah dengan jangka masa berada di hospital yang lebih lama bagi pesakit yang dijangkiti.


Pencegahan

* Hadkan pemindahan organisme antara pesakit dalam penjagaan pesakit secara langsung dengan cara membersihkan tangan dengan betul (kakitangan hospital) sebelum menyentuh setiap pesakit, menggunakan sarung tangan, amalan aseptik (bebas daripada bakteria yang merosakkan) dan pembasmian kuman, strategi pengasingan, serta mencuci pakaian

* Mengawal persekitaran yang berisiko untuk jangkitan

* Melindungi pesakit melalui penggunaan antimikrobial profilaktik (agen mencegah perkembangan penyakit), pemakanan dan vaksinasi

* Menghadkan risiko jangkitan endogenous (berasal dari dalam) dengan cara meminimumkan prosedur invasif (bersifat terbuka) di samping menggalakkan penggunaan antimikrobial optimal

* Pengawasan jangkitan, pengenalpastian dan kawalan wabak

* Mencegah jangkitan di kalangan kakitangan

* Meningkatkan amalan penjagaan kakitangan-pesakit dan mendidik petugas kesihatan secara berterusan.
© Utusan Melayu (M) Bhd 

AHP Pie: Masyarakat awam perlu faham kenapa sesetengah pihak pengurusan hospital menghadkan atau menghalang bayi dan kanak-kanak dibawa dengan bebas semasa kita menziarahi pesakit.


Info Berkaitan:

Laman Web Rasmi PPWM:

No. Akaun PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Abd. Shukor Mohd Yunus: shux@positivewarriors.org
Hishamudin Rahman: carphatz_04@yahoo.com




Friday, March 28, 2014

DEDIKASI KHAS KEPADA INSAN-INSAN MULIA MEMBANTU ORANG YANG HIDUP DENGAN HIV (ODHA)


SEMANGAT JUANG ODHA MEMBAHAGIAKAN PEKERJA



HAFIZ FARHAN menyuapkan makanan kepada seorang penghuni yang sudah hilang upaya


TUGAS untuk mengurus dan menjaga ODHA (Orang Yang Hidup Dengan HIV) mungkin membawa konotasi negatif bagi sesetengah pihak, namun tidak buat Mohamad Hafiz Aizad Mohd. Khairom, yang sanggup menghulur bakti kepada mereka.

Pada mulanya, Hafiz sekadar mengikut rakan yang bekerja di Rumah Perlindungan HIV Darul Ukhwah dengan niat untuk membantu. Lama-kelamaan dia seronok melakukan tugas tersebut kerana dapat menolong insan yang memerlukan.

Akhirnya, dia terus melahirkan hasrat untuk berkhidmat secara tetap di rumah perlindungan tersebut dan kini sudah setahun Hafiz bergelar kakitangan di sana.

Menurut pemuda berusia 25 tahun itu, ketika minggu pertama bekerja, hatinya asyik memikirkan tentang risiko jangkitan virus HIV yang dihidapi ODHA. Justeru, dia mengakui kebimbangan terhadap perkara itu menjejaskan sedikit tumpuan ketika bekerja.

“Untuk menyedapkan hati, saya mengambil inisiatif membuat penyelidikan di internet. Selain itu, saya juga rajin bertanya pada doktor dan jururawat serta mereka yang pernah terlibat dalam penjagaan ODHA.

“Hasilnya, stigma buruk saya terhadap jangkitan virus HIV terus hilang. Cuma, pada awalnya keluarga tidak memberi galakan untuk bekerja di sini kerana risau dengan keselamatan diri. Selepas diterangkan secara terperinci, mereka dapat menerimanya namun meminta saya lebih berhati-hati dengan tugas yang dilakukan,” ujar Hafiz yang sebelum ini pernah bekerja dalam bidang katering dan pertanian fertigasi.

Antara tanggungjawab Hafiz termasuklah memandikan ODHA yang uzur, membersihkan luka-luka dan membawa ODHA ke hospital untuk mendapatkan rawatan mengikut tarikh temujanji.

Hilang semangat

Tambahnya, berdepan dengan ODHA yang sudah hilang semangat untuk hidup merupakan antara cabaran besar yang dihadapi. Ini kerana, mereka seolah-olah enggan meneruskan kehidupan dan berputus asa dengan nasib diri.

“Apabila keadaan ini berlaku, kebanyakan ODHA akan bersikap sambil lewa terhadap kesihatan diri seperti tidak mahu makan ubat, enggan mengikuti program motivasi yang diadakan, dan bertindak mengasingkan diri.

“Jadi, kami perlu mencari jalan supaya mereka berfikiran positif meskipun sudah dijangkiti virus berbahaya itu termasuk menggunakan pendekatan psikologi,” terang Hafiz yang berasal dari Raub, Pahang.


HAFIZ turut membantu memandikan penghuni yang sudah uzur dan berkerusi roda


Perkara itu diakui oleh Rohaya Mad Dan, 53, yang sudah tiga tahun bekerja di Rumah Perlindungan HIV Darul Ukhwah. Katanya, pelbagai kerenah ODHA boleh dilihat terutama mereka yang sudah hilang arah hidup.

“Lantaran itu, mereka perlu dilayan baik dan dipujuk seperti anak atau saudara sendiri. Memang adakalanya perangai ODHA ini boleh membuatkan kita geram, tetapi hakikatnya apabila berpeluang menjaga mereka ia mendatangkan keinsafan dalam diri.

“Ia juga membentuk kita agar sentiasa bermuhasabah untuk menjadi insan yang berguna pada agama, bangsa dan negara,” tutur Rohaya yang sering menyertai badan bukan kerajaan (NGO) dalam kerja-kerja kebajikan seperti Rumah Perlindungan Wanita, Baitul Fiqh.

Bersara awal pada usia 30-an ketika bertugas di Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra), Rohaya boleh dijadikan contoh buat ramai wanita.

Kesanggupan menguruskan kehidupan ODHA di rumah tersebut tidak harus dipandang remeh. Sebaliknya, wanita itu sudah dianggap seperti ibu oleh kebanyakan ODHA muda yang ditempatkan di rumah berkenaan.

Jelas Rohaya, setiap hari dia akan membuat air, menyediakan sarapan, mengemas katil dan peralatan, serta menyiapkan dos pengambilan ubat untuk ODHA.

“Sebelum ini, saya memang tiada ilmu langsung tentang HIV, malah saya juga menganggap ODHA sebagai berbahaya untuk didekati kerana takut berjangkit. Namun, apabila mengikuti kursus di hospital tentang kaedah penjagaan ODHA secara khusus, barulah saya celik mengenainya,” kata ibu kepada tiga cahaya mata itu.

Menyelusuri sejarah penubuhannya, Rumah Perlindungan HIV Darul Ukhwah mula beroperasi pada bulan Mac 2009 di Puchong. Ia diasaskan oleh pendakwah muda, Muhammad Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin dalam usaha menyelamatkan ODHA Muslim yang ditempatkan di sebuah gereja di Batu Arang, Rawang, Selangor.

Pada awalnya, rumah ini hanya menjaga lapan hingga 10 orang ODHA, namun jumlahnya semakin bertambah dari semasa ke semasa. Hingga kini, sepanjang tiga tahun beroperasi, lebih 150 orang ODHA telah mendapat perlindungan di Darul Ukhwah.

Rumah Perlindungan HIV Darul Ukhwah bernaung di bawah Yayasan Al-Ijabah, sebuah badan yang memberi tumpuan terhadap aktiviti kebajikan dalam masyarakat terutama anak-anak yatim.

Bagi Hafiz Farhan Mohd. Nor Izam, 18, yang baru menyertai keluarga Darul Ukhwah awal Januari lalu, niatnya adalah untuk mencari pengalaman di samping berbakti kepada mereka.


SETIAP hari, Rohaya perlu memastikan ODHA mengambil ubat mengikut waktu yang ditetapkan


“Sebelum ini saya sering mengikuti kuliah Ustaz Amin, jadi saya mahu menyelami kehidupan ODHA dari dekat. Diharap dengan cara ini, ia mampu memberi kegembiraan kepada penghuni kerana masih ada insan yang sanggup membantu di saat mereka disisihkan masyarakat,” ungkap Hafiz Farhan penuh makna.

Dalam pada itu, sebaik selesai membentangkan sejadah, Ruslizam Md. Harun terus mengumandangkan azan menandakan masuknya waktu solat fardu Asar. Gemersik suara lelaki berusia 41 tahun itu pantas mengusik tangkai hati sesiapa sahaja yang mendengarnya.

Alunan suara yang mendayu-dayu itu ternyata membangkitkan rasa insaf dalam diri sekali gus hampir terlupa bahawa dia merupakan salah seorang ODHA.

Di satu sudut lain, kelihatan beberapa ODHA yang mendiami Rumah Perlindungan HIV Darul Ukhwah telah bersedia untuk menunaikan solat Asar secara berjemaah. Masing-masing lengkap memakai baju Melayu, berkain sarung dan kopiah di kepala. Namun, ada juga yang sekadar menyarung baju pagoda.

Ujian Allah

Usai mengerjakan solat, segelintir daripada mereka meneruskan aktiviti membaca al-Quran atau buku-buku bercorak keagamaan yang memenuhi rak di dalam rumah tersebut.

Situasi tenang dan mendamaikan itu ternyata memberi satu kepuasan yang sukar diungkap dengan kata-kata bagi Azman Khalid, 24, salah seorang kakitangan merangkap imam di rumah perlindungan tersebut.

Menurut Azman yang mula bekerja di Darul Ukhwah sejak Mac 2012. Sewaktu kali pertama melihat penghuni rumah tersebut, perkara yang difikirkan ialah takut kenikmatan yang dimilikinya akan ditarik oleh Allah.

“Perasaan itulah yang memberi kekuatan kepada saya untuk membantu mereka yang diuji Allah dengan dugaan sedemikian. Bagi saya, ODHA juga manusia biasa yang punya hati dan perasaan.

“Sehubungan itu, dengan menjaga kebajikan mereka di rumah ini mungkin dapat membawa mereka kembali bertaubat dan mendekatkan diri kepada Allah,” luah Azman yang sanggup berhenti kerja sebagai juruteknik semata-mata untuk menguruskan ODHA di Darul Ukhwah.

Tambah Azman, selain menjadi imam, dia turut mengajar ODHA mengaji mengikut kepandaian masing-masing. Apa yang membuatkan dia terharu adalah kesungguhan ODHA yang buta al-Quran. Ada yang sanggup belajar membaca Iqra’ seperti anak-anak kecil.

“Apabila melihat mereka benar-benar mahu mendalami agama yang selama ini ditinggalkan, hati terasa sebak. Mudah-mudahan Allah mengampuni segala dosa dan taubat mereka diterima,” tutur Azman.



Hakcipta terpelihara


Info Berkaitan:

Laman Web Rasmi PPWM:

No. Akaun PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Abd. Shukor Mohd Yunus: shux@positivewarriors.org

Hishamudin Rahman: carphatz_04@yahoo.com