Tuesday, February 21, 2012

ANUGERAH HARGAI JASA, TINGKAT KESEDARAN HIV


KETOKOHAN Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali sebagai seorang ibu dan isteri sentiasa menjadi inspirasi wanita berjaya sama ada di dalam negara mahupun di persada antarabangsa.

Justeru, mengambil sempena nama beliau, Anugerah Tun Dr Siti Hasmah kembali semula pada tahun ini selepas penganjuran kali terakhirnya pada tahun 2008.

Anugerah yang dianjurkan oleh Yayasan Aids Malaysia (MAF) itu akan fokus dalam memberi penghargaan kepada individu atau organisasi yang banyak berjasa dan melakukan kerja amal dalam meningkatkan kesedaran mengenai HIV dan Aids.

Pada 2008, anugerah ini dimenangi oleh Yayasan PT yang cemerlang berkhidmat dan membantu insan istimewa bergelar pesakit HIV dan Aids di Kuala Lumpur.

Anugerah ini terbuka kepada individu dan organisasi berdaftar di Malaysia yang aktif serta secara positif tidak putus asa untuk menyedarkan masyarakat mengenai bahaya dan masalah berkaitan HIV dan Aids.

Untuk pencalonan pada kali ini, mereka yang aktif sepanjang tempoh Januari 2010 hingga Disember tahun lalu layak untuk bertanding. Antara kriteria yang perlu ada untuk memasuki pertandingan ini ialah:

  • calon mesti aktif dan terbabit dalam mana-mana bidang kerja seperti mencegah penyebaran HIV di Malaysia;
  • meningkatkan kesedaran isu-isu HIV dan Aids; menyokong masyarakat yang hidup dengan HIV (termasuk rawatan, penjagaan dan program-program sokongan);
  • menyokong masyarakat yang dipengaruhi dan terdedah kepada pesakit HIV;
  • menegakkan hak asasi komuniti terbabit; dan
  • memungut derma bagi golongan ini. 
Pemenang Anugerah Tun Dr Siti Hasmah akan menerima wang tunai bernilai RM10,000, sijil kecemerlangan dan trofi yang direka eksklusif oleh pereka terkenal, Richard Mille.

Pemenang akan hanya diumumkan pada Majlis Makan Malam Sapura & Kencana Petroleum Red Ribbon GP 2012 bertempat di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur, 22 Mac depan.

Menerusi penganjuran anugerah ini juga diharapkan dapat menggalakkan lebih banyak organisasi dan individu untuk tampil dengan semangat yang proaktif, inovatif dan komited kepada perjuangan mereka membantu pesakit HIV dan Aids.

Usaha ini turut diharapkan dapat mencapai sasaran sifar jangkitan HIV yang baru, sifar diskriminasi dan sifar kematian berkaitan Aids.

Untuk maklumat lanjut berhubung sejarah, senarai pemenang dan syarat penyertaan, layari laman web MAF di
sini
Tarikh tutup penyertaan pada 24 Februari ini.

Sumber: sini


AHP: Salah seorang kumpulan Positive Warriors telah mencalonkan blog ini untuk menerima anugerah berkaitan. Spontan aku menolaknya kerana merasakan aku tidak layak, bahkan mencadangkan beberapa nama sahabat-sahabat yang lebih senior. Perjuangan aku pula pula bukan untuk mengejar apa-apa kepentingan. Terasa diri terlalu kerdil untuk sebuah perjuangan yang sangat besar.

Walau bagaimanapun selepas dinasihati, aku akur dengan kehendak dan sokongan mereka. Menang atau kalah bukanlah isu. Sekurang-kurangnya blog ini berkemungkinan lebih dikenali dan terdapat peluang menyebarkan maklumat positif kepada masyarakat untuk menentang salah faham terhadap HIV/ AIDS.

Aku juga terbuka menyebarkan maklumat tentang anugerah ini kepada individu yang difikirkan layak untuk dicalonkan oleh para pembaca. Tiada istilah bertanding di sini. Bersama berkongsi maklumat atas dasar perjuangan.

Monday, February 20, 2012

SELAMAT TINGGAL DUNIA MAK NYAH – ERIN

Erin berbincang sesuatu bersama pekerjanya
di Pusat Kecantikan Modahish, Klang, Selangor.


Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my
Foto SAFRIZAL AZMI


MUNGKIN ramai yang memandang serong dan mencemuh kehadiran 'wanita jelmaan' ini, namun kewujudan mereka di tengah-tengah masyarakat sebenarnya seakan-akan telah diterima.

Namun, tidak ramai yang benar-benar menyelami kehidupan sebenar golongan yang lebih dikenali sebagai mak nyah dan mengambil berat tentang dilema mereka.

Baru-baru ini penulis berpeluang mendekati seorang lelaki yang dahulunya mak nyah, Mohd. Khairiri, 32 atau pernah selesa dipanggil Erin.

Ketibaan penulis dan jurugambar di Pusat Kecantikan Modahish miliknya di Klang, Selangor disambut mesra.

Suaranya lembut. Cuma dia tidak berpakaian seperti wanita. Jika dahulu, Erin akan memakai pakaian wanita lengkap dengan solekan.

Namun atas izin-Nya, Erin kini memilih untuk kembali ke pangkal jalan, mendekatkan diri dengan Allah dan melupakan zaman gelapnya.

Terpesong

Mengimbas detik-detik awal dirinya terpesong menjadi mak nyah , Erin memberitahu segala-galanya bermula sewaktu alam kanak-kanak.
Sebagai anak bongsu, dia sangat rapat dengan ibu dan arwah kakak sulungnya.

Kebetulan dia memang suka bergaya dan ingin kelihatan cantik seperti seorang wanita. Anak patung dan main masak-masak menjadi kegemarannya.

“Semasa di sekolah, naluri saya juga lebih kepada lelaki. Suara saya juga bukan buat-buat. Tengoklah saya tidak mempunyai halkum,” ujarnya sambil tersenyum.

Bagaimanapun, jelas Erin, pernah terdetik di hatinya, sampai bilakah dia akan menjadi sedemikian?

Dia pernah mencuba untuk menjadi lelaki sejati tetapi tidak berjaya.
Ini kerana menurutnya, dia tidak boleh menipu diri sendiri selain hatinya memberontak.

Hari ini, Erin bukan sahaja seorang insan yang berjaya dengan kerjayanya malah dia juga gembira di samping keluarga tersayang.

Erin sememangnya seorang individu yang amat bertuah kerana ibu bapanya sentiasa memberi sokongan.

“Mereka jugalah yang banyak memberi saya nasihat dan dorongan untuk berubah. Walaupun ada yang mencemuh termasuk insan terdekat, saya tidak pernah mengalah. Saya meneruskan pelajaran sehingga berjaya dalam kerjaya. Semasa di sekolah, saya juga sangat aktif dalam pelbagai bidang sama ada pelajaran atau kesenian,” katanya.

Insaf

Di sebalik kisah keinsafan Erin, dia sebenarnya melalui kehidupan yang sangat sukar.

“Kira-kira tiga tahun dahulu, saya pernah mempunyai seorang teman lelaki yang lebih tua daripada saya. Saya jadikan dia insan istimewa dan mentor dalam hidup saya. Namun, kebaikannya pada saya rupa-rupanya bersebab. Selama lapan bulan tinggal bersamanya, hidup saya terseksa. Duit saya habis berpuluh ribu hanya untuk dia. Tidak cukup dengan taburan duit, saya dipukulnya sehingga patah hidung. Saya juga dipaksa mengambil dadah. Ketika itulah, saya tersedar. Sampai bila saya harus hidup seperti ini,” ujarnya yang mendakwa turut disihir oleh lelaki tersebut.

Kehidupan penuh seksa itu menyebabkan dia bertekad keluar daripada dunia mak nyah.

Dia kemudiannya menjalani rawatan secara Islam di Tanjung Rambutan, Perak.

“Perlahan-lahan saya keluar dari dunia saya sebelum ini. Saya mempelajari semula ilmu agama dan membaca al-Quran untuk mendekatkan diri dengan Tuhan. Alhamdulillah, saya berjaya merubah diri saya. Dunia mak nyah saya tinggalkan,” katanya yang turut mengadakan kelas dan kuliah agama di pusat kecantikannya.

Erin mahu jalan yang dipilihnya ini juga diikuti oleh golongan mak nyah lain. Erin bersedia membantu mereka yang ingin kembali ke pangkal jalan.

“Saya tahu golongan ini sangat keras hati. Tiada cara lain untuk mengubah mereka selain daripada kelembutan. Saya masih lagi berkawan dengan mereka. Saya berdoa supaya mereka juga diberi hidayat,” ujarnya.

Pesan Erin kepada ibu bapa yang mempunyai anak mengalami kecelaruan identiti sama ada mak nyah atau pengkid, jangan terlalu memaksa atau menekan mereka untuk berubah.

Paling penting, katanya, jangan sisihkan mereka.

“Banyakkan solat hajat supaya mereka menjadi lebih baik. Cara yang paling baik ialah menerusi perubatan Islam,” ujarnya yang boleh dihubungi 012-6425636.


Dipetik dari sini. 

Sunday, February 19, 2012

SAKARATUL MAUT



“Abang ada sesak nafas hari ni?” tanyaku mesra. Mata ptosis dah (kelopak mata jatuh – ngantuk)

“Sesak nafas tak ada, batuk kuat ajer, tak dapat tidur dibuatnya,” jelas abang Harun.

Aku senyum. Paru-paru masih penuh dengan jangkitan. Berair-air. Cuba ambil sehelai kertas dan konyot. Begitulah bunyi yang keluar dari stetoskop ini – crepitation. Salur putih nasal prong menyumbat kedua-dua lubang hidungnya dengan oksigen. Pesakit stabil. Ku mengorak langkah ke pantry. Haus sangat rasanya. Kering dah tekak ni.

Gulp, Alhamdulillah! Sedap betul air 100 Plus ni. Beli sebelum subuh tadi, kerja, petang baru sempat minum. Banyak sangat urusan dunia , hal ehwal merawat manusia yang perlu diuruskan secara jujur dan hati-hati, sampai makan minum pun dah kucar-kacir.

Kugapai beg sandang coklatku. Eh, ada newspaper rupanya dalam beg ni! Tarikh 24 September. Hari ni dah 26. Hmm, tak sempat baca lagi. Simpan dululah. Ada masa nanti baru baca.

Begitulah rutin harian sampai melambak-lambak surat khabar lama kat rumah yang dibeli tanpa dibaca. Waktu beli tu memang semangat nak baca, apabila dah sibuk kerja, entah bilalah nak baca. Buku medic pun tak sempat habis!

“Doctor Faizal, ada patient asystole! (tiada degupan jantung),” jerit nurse ke dalam bilik pantry. Ku segera bangkit, meletakkan tin minuman di atas meja lantas menghayun kaki keluar dari bilik pantry dengan tergesa-gesa.

“Ya, Allah jauhkan wad ini daripada malaikat maut,” itulah antara ayat yang terpacul keluar dari mulut tanpa sedar. Pintu bilik pantry kukuak. Dentuman pintu di belakang tak kuhirau.

“Katil berapa kak?”

“Katil 2, nenek Jah, nak inform sesiapa tak?” tanyanya pantas.

“Tolong call Dr. Leong, suruh dia datang cepat. Inform MO second call, Dr. Rama, kan? Saya nak intubation set sekarang, bawa ke katil 2. ETT saiz 7.5,” arahku dalam kalut. Lab coat putih kucampak ke atas kaunter. Nanti dah settle kukemas balik, desusku.

“Puan, encik, minta maaf banyak-banyak. Boleh duduk di luar dahulu, kami nak selamatkan nenek ni dahulu,” pesanku pada ahli keluarga yang cemas.

Terus kutarik langsir menutup sekeliling katil. Jururawat-jururawat turut sama membantu. Aku tak pedulikan apa-apa respons daripada ahli keluarga. Nak menangis ke, nak melolong ke, nak merengek ke, yang penting duduk luar. Aku nak buat bantuan pernafasan sekarang ni (CPR).

Langsir ditutup, ada yang cuba membuka.

“Minta maaf, tolong duduk luar sekejap, saya nak selamatkan nyawa nenek ni. Saya tak nak gangguan,” kataku tanpa intonasi namun volume suara agak tinggi. Jelas. Mustahil tak dengar.

Mataku lekas melekat di cardiac monitor. Cardiac monitoring linear, kadang-kadang baru degupan jantung kembali naik. Tak konsisten. Seorang jururawat yang bersarung tangan sedang menekan dada nenek ini. Keringatnya meleleh. Basah dahi.

“Saya nak ETT saiz 7.5, kak. Tolong buka lampu kat pangkal katil. Turunkan tempat sandar katil ni, biar katil flat. Tarik katil keluar sikit, saya nak mencelah kat dinding. Bagi adrenaline 1 mcg, then atropine 1mcg stat,” arahku monotonous. Jururawat-jururawat ni semua dah mahir dah. Tak payah suruh pun mereka akan tanya doktor, perlu bagi sekarang ke ubat-ubat itu atau tidak. Hari-hari ada orang mati dalam wad. Dah biasa.

Mata kuperiksa dengan lampu suluh. Fixed dilated pupil. Otak dah mati.

Kak Ros yang sedang meng“ambu” melalui oropharyngeal tube kuminta ke tepi. Leher pesakit kuextend. Rahang mulut kutekan dari tepi untuk meluaskan bukaan mulut. Lekas kucabut oropharyngeal tube, capai laryngoscope, ETT tube dan masukkan ke celahan peti suara pesakit apabila terzahir di mata kasar dengan bantuan cahaya daripada laryngoscope dalam kelam tekak seorang manusia.




Equal?” tanyaku pantas kepada seorang jururawat yang sedang memeriksa paru-paru dengan menggunakan stethoscope.

“Tak pastilah doctor. Doctor cuba dengar,” tuturnya perlahan.

“Tolong ambu kejap”.

Kugapai stethoscope biru yang tergantung di leherku sepanjang hari dan terus menekapnya di dada kanan dan kiri.

Transmitted sound. Equal.

“Biar saya sambung,” pintaku sopan. Kak Ros lantas mengalih pungguhnya dan membiarkanku melompat ke atas katil dan terus menekan dada nenek Jah dengan kuat.

“Faizal, perlahan sikit,” tiba-tiba suara mencelah.
“Perlahan? Speed ke, amplitude?” jawabku selamba.

Amplitude la, hemothorax pulak nenek ni nanti,” tutur Dr. Rama yang muncul di sisi katil entah bila. Aku tak perasan.

Nenek Jah tersadai di atas katil. Dadanya berombak tatkala kami cuba mengepam jantungnya secara manual. Mulut terkunci, endotracheal tube menyumbat. Mata terpejam. Tak lagi terbuka. Badannya tidak bergerak seolah-olah pasrah.

Pasrah terhadap kehidupan dunia.
Pasrah terhadap malaikat yang ingin mencabut nyawa.
Pasrah terhadap janji Allah tentang kematian, yang takkan ditunda.
Pasrah terhadap doktor-doktor yang mencuba memanjangkan nyawa, tanggungjawab seorang manusia.

Aku senyap. Air mata mengalir dari kelopak mata Nek Jah yang tertutup.

“Mak, bangunlah mak. Kami nak jumpa mak,” suatu suara wanita terdengar di sebalik langsir. Sebak. Tangisan sebagai muzik background.

“Dr. Rama, boleh tolong CPR?” pintaku sopan. Beliau mengangguk tanpa banyak bicara.

“Makcik, mengucap makcik. La ilaha illallah.”
“La ilaha illallah.”

Kalimat agung ini kubisik di telinga kanan. Mulutku tak lebih 5 cm dari cuping telinga Nenek Jah barangkali.

“Mengucap nek. Lailaha illallah.”

“La ilaha illallah.”

“La ilaha illallah.”

Cardiac monitoring linear. Tiada degupan jantung dirakam walau jantung dipam secara manual dengan tangan-tangan kami.

Dr. Rama terduduk di atas katil. Tangan kiri diangkat. Jam tangan diperhati.

Dah lebih setengah jam. Tiada response. Kita berhenti di sini. Time of death 5.30 pm.

Aku mengangguk. Tiada emosi. Bidang perubatan telah menyedut segala emosi ketika berhadapan dengan situasi begini. Memang dilatih begini.

Sekujur tubuh hanya tinggal tubuh. Kakinya yang sejuk pada mulanya, kini keseluruhan tubuh. Tiada lagi suara nenek Jah yang mampu didengar. Tiada lagi nenek Jah yang sanggup meminjamkan telinganya untuk mendengar segala keluhan kerja yang menyesakkan diri. Tubuh hanya tinggal tubuh. Bersedia untuk bersemadi. Janji Allah itu pasti.

Kusedekahkan al-Fatihah buat Allahyarhamah. Berdiri kaku di sisi katil.

“Faizal, declare to the family,” pesan Dr. Rama. Ku mengangguk lemah.

Sedang ingin berjalan keluar sambil menyelak langsir untuk berhadapan ahli keluarga, tiba-tiba...

“Doktor, katil 25 SOB (shortness of breath, sesak nafas),” jerit staff nurse.

Katil 25? Eh, tu abang Harun kan? tertujah-tujah soalan di benak.
Belum sempat declare, ku terus berlari ke bilik isolation.

Langsir telah ditarik. Beberapa pasang kaki putih terlihat dari luar di bawah langsir yang tergantung.

Lekas kumasuk. Abang Harun umpama ikan di daratan. Tercungap-cungap. Matanya terbuka dan tertutup.

Intubation set right now,” arahku pantas.

Adik-adik pelajar jururawat berlari keluar. Cuak, mungkin pertama kali berhadapan keadaan sebegini.

“Mak, panas mak! Aaaaaaaahhhhhhh,” tutur abang Harun tercungap-cungap. Nafas ditarik panjang. Matanya merah.

“Sabar nak, doktor ada ni nak tolong,” pujuk ibunya dalam tangisan.

Panas mak, panas!
Aaaaaaaaaaaaaaahhhhhhhhhhhhhhhh!!!

Abang tttak tahannn!
Aaaaaaaaaaaaaahhhh

Aku segera menyiapkan perkakas di atas troli emergency. Suara abang Harun menghirup saki baki udara sungguh menggerunkan.

Kakinya tak duduk diam, merah padam. Hemorrhagic blister dah sebesar 10 cm diameter di atas kedua-dua betis.

“Doktor saya ambil ETT (endotracheal tube) kejap. Kat troli ni dah habis, guna kat nenek Jah tadi,”pesan jururawat.

“Dah pergi cepat. Inform anaest for intubation sekali,” pesanku. Dr. Rama segera mencelah masuk.

Kubiarkan beliau sahaja memberi arahan. Beliau lebih arif. Kedua-dua tangan abang Harun kupegang kuat. Pesakit ini agresif.

“Bang, bawa mengucap bang. Ingat Allah, La ilaha illallah. La ilaha illallah.”

Badannya umpama disalai hidup-hidup. Tak berhenti bergerak. Matanya terbeliak menahan pedih, tangan dipegang. Kaki terikat di hujung katil.

“Mengucap nak, mengucap,” jerit si ibu sebak. Air mata umpama air terjun. Entah ke mana limpahnya, entah di mana empangnya.

“Sakit, mak!!!!!!!!!!!!” jerit abang Harun kuat. Nafasnya ditarik panjang. Lidahnya terjelir keluar. Tekaknya berbunyi, berdiri bulu romaku.

Tuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuttttttttt. Cardiac monitoring kupandang – asystole!

“Minta maaf makcik, kami nak beri bantuan kecemasan,” pesan Dr. Rama. Kusegera melompat ke atas katil. Dada abang Harun kehenyak kuat. Jantung dipam dengan tangan.

“Huuuuuuuuuhhhhhhhhhhhhuuuu. Ya Allah, ambillah nyawa aku, jangan ambil nyawa anakku! Ambillah nyawa aku!” jerit ibu tunggal ini. Tangan tak dilepas dari tubuh abang Harun.

Staff nurse segera memegang ibunya untuk dibawa keluar. Susah payah dibuatnya. Sudah berumur, entah mana datang kudrat itu. Tangan tak terlepas dari bucu katil.

Dr. Rama segera intubate pesakit (masukkan tube ke dalam kerongkong). Susah, yang dilihat hanya darah.

“Jangan tinggalkan mak, nak! Jangan tinggalkan mak! Ambil nyawa aku ya Allah. Biar dia hidup ya Allah! Aku mohon pada engkau ya Allah! Jangan seksa anak aku begini!” jerit si ibu seolah-olah hilang akal.

“Bangun bang, tengok mak, nak,”
“Bangun bang...”
“Bang...” (jatuh pengsan)

Teeeeeeeeeeeeeeeeeeettttttttttttttttttttttttttttttttttttttttttttttttttttt.

Begitulah bunyi cardiac monitoring tatkala diisytihar kematian. Sakaratul maut yang diperhati di depan mata terbawa-bawa ke tidur. Pesakit yang tersenyum dan menyapa doktor di kala pagi, tidak lagi bersuara menjelang dinihari. Umur muda tak menjanjikan hidup lama. Niat di hati ingin mengucap kalimah suci di saat akhir, namun berapa ramai pesakitkah yang kudengar mengucap kalimah suci ini pada akhir usia? - Tiada-

Suaranya mungkin kuat menggertak pekerja.
Nanti suaranya juga mungkin kuat merayu sebagai hamba.

Perangainya mungkin lincah mengikat manusia dengan janji durjana.
Nanti perangainya juga mungkin lincah di atas katil, namun terikat tidak bermaya

Tekaknya mungkin basah dengan arak yang dituntung ketika usia.
Nanti tekaknya juga mungkin basah dengan darah, rentung, nafasnya sia-sia.

Dadanya mungkin jelita dipasak silicon, menggiurkan pemuda gila.
Nanti dada siliconnya mungkin pecah, penyet, busuk ditekan doktor, tatkala bantuan kecemasan bermula

Mulutnya mungkin liar mencium pemuda atau gadis kota.
Nanti mulutnya juga mungkin liar mencium dan menghirup saki baki udara, di saat roh menjauh , badan terkebil-kebil menanti neraka.

Nauzubillahi minzalik!

(Sebagai renungan – abang Harun (bukan nama sebenar) hanya berusia 27 tahun, HIV positif, Hepatitis B dan C positif, transgendered with breast implant. Meninggal dunia dalam keadaan terseksa yang sebenarnya sukar digambarkan dalam bentuk kata-kata dalam tulisan ini. Seburuk-buruk manusia, dia masih anak – begitulah prinsip seorang ibu, membela anaknya tatkala derita kesakitan walau ahli keluarga lain membuang anaknya itu dari pandangan mata, dek kerana marah dan tidak mendengar kata. Kembalilah ke pangkal jalan, jangan menyeksa diri anda dan keluarga anda untuk kegembiraan yang sementara dan sia-sia.)

Tolong sebarkan artikel ini sekiranya difikirkan bermanfaat.

***PERINGATAN SEPANJANG MASA KETIKA MEMBACA BLOG INI***

(1) Semua nama karakter yang dinyatakan BUKAN NAMA SEBENAR. Saya tidak menggunakan nama sebenar untuk mana-mana karakter di dalam blog ini. Sekiranya berasa tidak selesa dengan sebarang karakter atau kebetulan sama nama atau saya cuai menukar nama karakter, sila maklumkan kepada saya.

(2) Sebarang prosedur perubatan atau investigations yang TIDAK DINYATAKAN SECARA DETAIL DAN LENGKAP harap dimaafkan. Sini bukan tempatnya untuk berbincang teori ilmu perubatan.

(3) KISAH BENAR INI DIOLAH SEMULA SERBA SEDIKIT agar sesuai untuk tatapan pembaca.


Dipetik dari sini.
Republished by Lifejacket.

SEKSI BERACUN: 'AIDS UNTUK DIJUAL'



KUALA LUMPUR: Mereka tahu bakal dijemput ajal pada bila-bila masa kerana disahkan menghidap Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit (Aids) atau menjadi pembawa virus HIV.

Bagaimanapun, persiapan sebelum dan selepas mati memerlukan perbelanjaan besar. Justeru, selagi ada hayat, mereka perlu mengumpul wang sebanyak mungkin walaupun tindakan itu menyebarkan virus maut kepada orang lain.

Itulah tindakan sebahagian wanita pekerja seks dari China yang sanggup ‘berkhidmat’ di negara ini semata-mata untuk mengumpul duit mati sebanyak mungkin.

Mereka mudah berbuat demikian kerana sebahagian besar memiliki pakej sebagai wanita idaman lelaki hidung belang di Malaysia seperti kulit putih gebu, montok dan tinggi lampai.

Ini dibuktikan apabila siasatan polis mendapati ada antara wanita terbabit mampu memperoleh lebih RM30,000 sebulan dengan hanya ‘bekerja’ 20 hari walaupun mengaku menghidap Aids/HIV.

Lebih bahaya, wanita terbabit sebenarnya dikategorikan sebagai gred C iaitu sudah lama ‘berkhidmat’ sebelum beralih angin ke Malaysia, manakala wanita gred A dan B lazimnya menawarkan khidmat di negara sendiri atau negara maju yang mempunyai kuasa beli lebih tinggi.

Fenomena menakutkan itu didedahkan Ketua Penolong Pengarah Cawangan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan berdasarkan operasi dan serbuan polis sebelum ini.

“Mereka mengaku ke Malaysia untuk mencari duit sebanyak mungkin dan berbuat demikian hingga penghujung nyawa, walaupun menyedari menghidap Aids atau pembawa virus HIV,” katanya ketika ditemui Metro Ahad.

Berdasarkan siasatan, katanya, kebanyakan wanita terbabit menguruskan sendiri kemasukan ke negara ini dan dengan kos tidak sampai RM500, mereka mampu membawa pulang RM36,200 selepas hanya ‘bekerja’ 20 hari. Itu juga menjadi punca ramai wanita asing gemar ‘cari makan’ di Malaysia.

“Lazimnya wanita, terutama dari China, diberikan gred iaitu A, B atau C. Di Malaysia, kebanyakan wanita terbabit sebenarnya cuma gred C, manakala gred A atau B mengisi keperluan di negara sendiri atau negara maju lain.

“Golongan gred C paling ramai membawa musibah, terutama jika tahap kesihatan mereka tidak diperiksa.

“Bayangkan ada antara mereka melayan sehingga 10 lelaki sehari tanpa mengetahui status lelaki ditiduri, sekali gus mendedahkan mereka kepada pelbagai penyakit berjangkit.

“Lebih mengecewakan, ada antaranya terus menjalankan aktiviti itu walaupun menyedari mereka berpenyakit.

“Ini tidak termasuk status kesihatan lelaki asing yang meniduri mereka ketika masih dikategorikan gred A atau B di negara lain sebelum ini,” katanya.

Menurut Abdul Jalil, setakat ini warga China, Thailand, Indonesia dan Vietnam masih mendominasi kegiatan maksiat di negara ini berdasarkan statistik diperoleh D7 hasil tangkapan pada 2010 dan 2011, meskipun wujud pekerja seks dari negara baru seperti Uganda dan beberapa negara Timur Tengah.

Katanya, ada antara negara terbabit mencatatkan penurunan, manakala ada juga yang menunjukkan peningkatan dan ia dipercayai didorong beberapa faktor, terutama bahasa.
“Sebagai contoh pada 2010, jumlah tangkapan membabitkan wanita China sebanyak 6,199 orang manakala pada 2011 jumlahnya menurun kepada 5,795 berbanding Vietnam yang mencatat peningkatan kepada 812 tangkapan (2,823 orang) pada 2011 berbanding 2,105 orang pada 2010,” katanya.

Secara kasar, katanya, polis mendapati kebanjiran wanita Vietnam disebabkan mahir berbahasa Inggeris atau sekurang-kurangnya boleh berkomunikasi dalam bahasa itu yang memudahkan mereka berurusan dengan pelanggan.

“Jika wanita China, pelanggan yang tidak pandai berbahasa Mandarin atau Hokkien terpaksa membuat tawaran melalui kalkulator (menaip angka) untuk meminta diskaun dan ia merumitkan, berbanding hanya menyebut angka dalam bahasa Inggeris dengan wanita dari Vietnam.

“Ia seakan-akan lucu, tetapi itulah fenomena yang berlaku berdasarkan pengamatan polis dalam beberapa serbuan sebelum ini,” katanya.

Metro Ahad difahamkan, berdasarkan hitungan kasar, wanita warga asing menawarkan perkhidmatan serendah RM180 untuk sekali perkhidmatan dan jika didarab dengan 10, ia menjadi RM1,800 jika mereka ‘bekerja’ dari jam 12 tengah hari hingga 12 tengah malam.

“Jumlah RM1,800 jika dikumpul selama 20 hari menjadikan pendapatan mereka RM36,000 dan selepas ditolak perbelanjaan makan, minum serta sewa rumah, mereka masih mampu membawa pulang RM30,000.

“Itu bagi mereka yang tidak mengamalkan cara hidup mewah dan jika berbelanja RM10,000 sebulan sekalipun, mereka masih mampu membawa wang ke negara asal sebelum kembali semula ke Malaysia untuk mengumpul kemewahan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap kehadiran pelancong sebegini, terutama yang mempunyai cop keluar masuk lebih daripada dua kali ke negara ini, dipantau supaya kegiatan seperti itu dapat dibendung, selain merekodkan cap jari pelancong bagi mengelak identiti mereka dipalsukan.

“Kita tidak nafikan ada antara mereka benar-benar melancong dan berminat dengan keindahan negara kita, tapi pada masa sama kita harus berwaspada dan mengawasi pergerakan dengan memantau aktiviti dan mengetahui lokasi mereka.

“Mungkin kita perlu memperkenalkan sistem penjamin, iaitu mereka yang ingin ke negara ini perlu ada sekurang-kurangnya seorang penjamin bagi memastikan golongan ini tidak melanggar undang-undang negara dan jika ingkar, penjamin boleh dikenakan tindakan,” katanya.


Sumber: sini