Friday, December 23, 2011

LUAHAN ISTERI SEORANG PEMBAWA HIV (ISTERI KEDUA)


selepas setahun abang didiagnos HIV, sepanjang setahun itu jugalah kite tak dapat tengok abang. kite berkursus jauh, 8 jam journey dengan train. masa balik rumah jarang² tu sajalah kite dapat tengok abang. abang just inform keadaan abang kepada kite thru sms/mms/emails sahaja. bila kite sibuk nak balik kalau abang mengadu tak sihat, mesti abang tak izinkan.

apa yang dapat kite lihat, abang changed pretty much! he's totally a different person. mari kite lihat dr sudut JERI... eceh... macam falsafah pendidikan kebangsaan plak eh.

jasmani

wuiyooo... sangat berbeza! kalau orang jarang² jumpa, mesti mereka terkejut
tengok abang. abah kite kata abang 'halus'. ha3. halus pulak. kite pun
perasan, tangan abang dah kecik. mata abang dah cengkung. dagu abang dah tajam. kesian abang. saiz abang lebih kecil berbanding anak². abang juga sangat menjaga pemakanan beliau. nasi tanpa kanji jadi makanan ruji abang walaupun sangat tak sedapnya pun.

tapi, ada juga masanya abang terbabas makan nasi berkanji biasa. contohnya kalau makan di rumah orang lain atau di kedai makan. di rumah sendiri pun, ada masa abang jamah juga sikit nasi berkanji biasa. minuman manis hampir abang tak sentuh langsung.

kalau makan di luar, most of the times memang air suam. berat badan abang jauh susutnye berbanding before being diagnosed. size baju abang daripada XL dah jadi L atau M. apa pun, abang tetap hensem... ngeee...

emosi

emotionally abang sangat hebat. abang dah tak grumpy sangat macam dulu. abang cool sokmo. kalau ada orang acah or provoke abang on the road, abang buat tak tau saja. kalau dulu, memang abang layan! ngeri juga la kalau ada dalam kereta tu.  kadang-kadang abang drive boleh sampai 180-200 km/h! lebih pun ada sebenarnya. lagi banyak corner, makin abang mengada-ngada

pastu, abang dah tak marah² kalau kite terlalu banyak tanya. kite memang suka bertanya. perkara yang remeh pun kite nak abang jawab. Sekarang ni abang akan jawab atau abang akan diam saja. kalau abang diam saja, kite tau
la abang malas melayan kite. ha3!

abang pun, kite tengok sangat tenang. kalau abang  tak daya, abang akan lay down, rest, relax. abang tak merungut tentang sakitnya. abang akan baca ayat² shifa'. kalau dulu, abang sangat susah nak jumpa orang² yang abang tak kenal, apa lagi dalam crowd.

tapi kali ni, kite tengok abang sangat selesa bila bersama² dengan ahli komuniti AHP. wajah abang sangat ceria, seceria emosinya. abang akan berusaha juga menghadiri crowd yang ada ahli komuniti.

di situlah abang memperolehi kekuatan selain daripada rahmat kekuatan kurniaan Allah swt. abang juga kite tengok mendapat kepuasan yang tidak terhingga apabila dapat berblog, melayan komen, email dan sms daripada
mereka yang memerlukan khidmat nasihat dan kaunseling daripada abang. kite sendiri masa berkursus jauh dulu, tak ada dilayannya macam itu tau!

kalau abang tak contact kite, kite senyap saja sebab kite tau abang busy dan tak larat nak layan kerenah kite yang mengada² nak bermanja virtually. kalau dengan kawan² komuniti abang, sms @ email panjang berjela² sampai pagi.

dengan anak² dara dia lagi la! sibuk elebiu, elebiu! kite jeles tau!
gurau aje, memang abang sentiasa cakap cenggitu kat family even kat mak abang pun... kalau kite telefon abang mintak fetch kite kat stesen KTM pukul 2 pagi, dia jawab “hmmm... hmmm...” jer.

nak call kite liat sangat kecuali betul² perlu atau kalau kite tengah down je. kite send email @ sms ke abang berjela². abang reply “k”, “ya” atau tak reply langsung pun ada! pastu abang mintak lagi kredit kat kite. benci tau! hi3.



rohani

spiritually, abang sangat jauh berubah. abang sangat menjaga hubungan dengan Allah swt. abang sentiasa pastikan solat pada awal waktu jika tiada sebarang kekangan kesihatan. perkara² syubhah juga abang jauhi. ayat² shifa'
menjadi wirid wajib abang usai setiap solat fardhu. abang banyak bercakap tentang hal² ukhrawi (akhirat) melebihi hal² duniawi.

kalau kite terlalu banyak cakap hal dunia, abang mesti tegur. erm... terima kasih, abang! semua perkara² dunia yang abang saksikan, tak kira lah di tv or in real life, biasanya mesti abang akan relate dengan akhirat. contohnya, masa kite nak exam bulan november lepas. kite complain kat abang sebab risau sangat tak dapat score.

abang kata, buat la yang terbaik. yang penting usaha. bukannya result
tu nak buat perhitungan kat kubur nanti. ehehehe... baekkk...

intelek

abang yang kite kenal sebenarnya sangat bijak semenjak awal² lagi. abang mampu berfikir secara kritis, kreatif, dan analitikal. abang tak tengok sesuatu
perkara tu dari sudut 1D sahaja. abang berfikir secara 3D. abang boleh andaikan or predict consequences.

untuk urusan sakit abang, abang akan pastikan mendapat maklumat yang tepat dari pelbagai sumber. memang Internet adalah sumber yang sangat utama sebab kami mudah mengakses.

walau bagaimanapun, abang tidaklah terima bulat² segala apa yang abang came across on. abang akan saring maklumat tersebut dengan mengesahkannya dengan dr. Is terlebih dahulu everytime abang ada consultation dengan beliau. dr. Is adalah abang's best doctor! he is, indeed.

kids

anak² adalah kesayangan abang yang sangat berharga. being away from his anak² bujang adalah antara perkara yang sangat sukar untuk abang tempuhi. malah kite tengok semakin kuat dan rapat. abang masih melayan anak² bujang abang macam abang melayan mereka semasa mereka masih kanak-kanak dulu. peluk cium perkara biasa. bergumpal bergusti pun abang suka dengan those big boys. i can say that the love simply remains and never can end.

anak² dara kami pula adalah antara kurniaan Allah yang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. kami tidak mempunyai anak perempuan. cuma kadang-kadang abang melayan kite macam anak perempuan.

abang kata kite adalah anak kecil yang terperangkap dalam tubuh seorang wanita tua. agaknya sebab kite banyak tengok kartun Disney kot... he3.

abang sangat sayangkan anak² dara kami. kasih sayang, semangat, dan motivasi yang dikongsikan sangat membahagiakan abang. walaupun kami tidak pernah bersua wajah dengan mereka, tetapi terpancar kegembiraan di wajah abang bila dapat berhubung dengan those beautiful girls.

pesanan kita

surah al-asr pun ada suruh kite berpesan² kepada kebenaran dan kesabaran.
kite pun bukanlah bijak pandai sangat nak pesan² kat orang ni. pesan² untuk
diri kite sendiri, dan share dengan yang lain².

being married to a PLHIV brings no problem at all to me. it's normal
to be very shocked at first. very normal. but then, manusia macam kita
semua Allah dah kurniakan akal fikiran untuk berfikir dan menerima
perkara² yang benar, bukannya berfikir dan enggan terima fakta yang sah²
benar, tapi lebih percayakan stigma, judgmental, dan diskriminasi orang banyak!

memang para isteri mempunyai hak untuk quit the marriage, terpulanglah. as for me, i am extraordinarily happy being married to a PLHIV. Allah
tests me to live in a polygamy, living under the same roof, sharing the same house, i accept it and I feel so very proud being the chosen one.

now, Allah BLESSES me to live with a PLHIV, and he's the love of my life! i couldn't be more happy, glad, grateful, and thankful coz i know Allah loves me & my family.

that's why He tests & blesses us with His previous LOVES! ujian tidak pernah mudah, tapi kite sangat berpuas hati bila kite mampu menghadapinya, ALHAMDULILLAH.

kepada mereka yg berkapel (tak elok kapel lelama tau!) atau bertunang dengan PLHIV, pun anda berhak untuk continue your love journey till the day you say "I do" and forever, of course, ATAU quit and leave the sweetest and
greatest challenge of life, and be the chicken all your life. fikirlah, istikharahlah.

the choice is in your hands. zaman hari ni, kita dah advanced dengan pelbagai teknologi termasuklah dalam bidang perubatan. zuriat bebas HIV boleh diperolehi dengan izin Allah. keluarga bahagia boleh diwujudkan dengan izin Allah. hayat yang panjang boleh dilalui juga dengan izin Allah. sila rujuk lah previous n3s dlm blog AHP ni yea.

apa yang kite dapat tengok, kebanyakan pasangan (tunang @ wife) para PLHIV mengatakan mereka menerima ujian Allah, tapi hakikatnya mereka sebenarnya tidak redha sepenuh hati. still doubting their spouses and the destiny.

sidang hadirin yang dihormati sekalian... eh... he3... para pembaca
sekalian. Allah tak ubah nasib kita jika kita tak ada usaha nak mengubahnya.
hidup kalau nak senang jer, memang tak ada fun.

kite pun tak kata HIV ni sesuatu yang fun. kite melihatnya sebagai ujian dan kasih sayang yang Allah beri kepada mereka yang terpilih sahaja. tak kisahlah apa pun sebabnya, biarlah hanya Allah yang tahu.

apa yang penting, Allah pilih kita untuk diuji, kita redha, usaha yg terbaik, kemudian tawakkal. Jangan pasrah jer! itulah yang kite dapat tengok pada abang. kite sendiri awal² dulu pelik bile tengok abang terlalu cool dengan CD4 yang rendah dan VL yang tinggi.

mutakhir ini, CD4 abang masih rendah dan VL undetected, pun abang cool jer. abang tak kisah pun. sebab abang tau abang dah buat segala perkara yang dinasihatkan oleh doktor kesayangannya. kite yang non-PLHIV (for now) rasanya jauh lebih risau dengan keadaan abang berbanding abang sendiri.

abang tak kisah jer bercerita tentang kematian, perkara² yang bakal ditinggalkan... kite tak pandai cenggitu. memang kite ingat hal mati tu, alhamdulillah, tapi kite tak pandai go into detail.


akhirul kalam, selepas setahun abang didiagnos sbg PLHIV, kite semakin
sayangkan abang. kite dapat tengok family kite bonding semakin rapat. kite
dapat tengok abang sangat redha dengan ujian hebat yang dihadapinya. kite dapat tengok abang semakin menjaga kesihatan diri, malah nampaknya semakin sihat dan mematuhi piramid makanan dengan betul.

tahniah, abang! you have proved that HIV never scares you at all! YOU scare the virus - shoo!


Thursday, December 22, 2011

LUAHAN ISTERI SEORANG PEMBAWA HIV (ISTERI PERTAMA)


Pembaca kenali sahaja saya sebagai Sheeda. Kali ini saya nak kongsi pengalaman saya setelah setahun bersuamikan seorang PLHIV.

Begitu cepat masa berlalu, berbagai peristiwa dan cabaran yang dihadapi dan kini telah setahun abang hidup sebagai PLHIV. Sebenarnya peristiwa ini banyak memberi pengajaran kepada saya dan kami sekeluarga.

Sebelum ini maklumat saya tentang HIV sangat kurang, Ketika itu, saya anggap PLHIV ialah sesiapa sahaja yang terjebak dengan perbuatan yang berisiko, berkongsi jarum suntikan dan akibat seks bebas.

Saya tidak begitu perasan tentang golongan isteri dan anak-anak yang dijangkiti HIV akibat perbuatan suami mereka. Jauh sekali akibat pemindahan darah atau organ. Punca jangkitan pun saya tidak begitu jelas.

Golongan PLHIV yang saya gambarkan pula adalah golongan terbiar yang kurus kering dan tidak bermaya. Terukkan?

Takdir tuhan, dengan tidak disangka-sangka abang (suami) sendiri yang menjadi PLHIV. Bermula dari itulah saya mula membaca banyak info berkenaan HIV dan saya tersedar bahawa ianya tidak seperti yang saya gambarkan sebelum ini.

Gambaran melalui poster dan media yang disebarkan sebelum ini ternyata membawa tanggapan yang salah dan mestilah diperbetulkan dengan segera supaya tidak menimbulkan salah faham.

Setelah setahun, abang sangat-sangat positif dan redha menerima keadaan dirinya.

Alhamdulillah keadaan kesihatan abang juga bertambah baik. Walaupun lebih kurus berbanding sebelum ini, penyakit kencing manis abang sangat terkawal. Tiada lagi sakit otot yang serius seperti di awal pengambilan HAART.

Abang sangat positif menjalani rawatan dan mematuhi  jadual pengambilan ubat di samping mengambil beberapa supplement sekadar perlu. Berbanding semasa di peringkat awal diagnos dahulu, abang sekarang lebih rasional dalam pengambilan supplement.

Keputusan Viral Load yang semakin menurun sehingga ke tahap undetected membuktikan kekuatan semangat dan kaedah rawatan yang tepat mampu membuktikan seseorang PLHIV dapat menjalani kehidupan seperti insan lain.

Abang sentiasa berhubung dengan doktor apabila memerlukan dan hubungan kami sekeluarga dengan Doktor Iskandar sangat rapat.

Kami sangat bertuah kerana abang mendapat rawatan daripada seorang doktor yang sangat baik dan berdedikasi. Kami sekeluarga amat terhutang budi kepada beliau.

Walaupun aktiviti fizikal abang tidak seaktif dulu tetapi syukur kepada Allah kerana diberikan kekuatan rohani dan jasmani untuk hidup seperti biasa.
Bahkan abang semakin aktif membantu komuniti yang memerlukan pertolongan. Mereka saling mengambil berat dan tolong menolong antara satu sama lain.

Abang kelihatan sangat bersemangat dan gembira apabila menghadiri sebarang majlis yang melibatkan komuniti. Ikatan ukhuwah dan persahabatan sesama mereka sangat erat.

Saya lihat rutin harian abang sangat-sangat sibuk berbanding sebelum diagnos. Sibuk berblog, menjawab pertanyaan dan komen melalui e-mail, SMS, panggilan telefon dan bertemu dengan PLHIV yang memerlukan.

Kami sekeluarga faham dan rela berkorban serta bertolak ansur kerana abang seolah-olah telah menjadi hak komuniti walaupun saya kasihan melihat kepenatan abang.

Melalui pandangan saya, abang banyak mendapat kekuatan apabila berkongsi pengalaman melalui blog dan membantu mereka yang memerlukan.

Kami sekeluarga merupakan antara pembaca tetap dan beruntung mengenali hampir kebanyakan ahli dalam komuniti. Terima kasih kepada saudara Luka Rafieqa dan ahli-ahli komuniti yang telah banyak membantu abang bangkit.




Abang nampaknya mempunyai keinginan tinggi untuk menyebarkan maklumat yang betul dan tepat mengenai HIV dan berasa perlu berada di medan yang lebih besar.

Sebagai permulaan, usaha abang lebih kepada mendekati golongan remaja apabila mula dijemput menyampaikan ceramah mengenai HIV/ AIDS dan menyebarkan pemahaman yang tepat mengenai kehidupan awal remaja kepada para pelajar di daerah kami atas kapasiti sebagai kaunselor dan volunteer secara bebas.

Sebenarnya langsung tiada tekanan yang saya alami sebagai isteri seorang PLHIV berbanding dengan apa yang diuar-uarkan. Pentingnya ialah persefahaman dan saling berbincang jika ada sebarang masalah di antara suami isteri.

Sebagai isteri saya perlu berperanan sebagai tulang belakang suami dan membantu apa-apa yang patut. Tidak perlu berasa takut dan hina menjadi isteri seorang PLHIV. Tak perlulah paranoid, saling tuduh menuduh dan menyalahkan.

Kalau mereka bersalah sekalipun, perkara yang lepas bukan boleh berubah. Mereka telah insaf dan bertaubat. Tiada bezanya  kita di sisi tuhan melainkan iman dan takwa. Kita sendiri ada macam-macam dosa yang mungkin kita sedari ataupun tidak.

Tak pernah saya terfikir ke tahap nak bercerai berai sekalipun sebagai isteri saya berhak menuntutnya. Ujian Allah datang melalui berbagai bentuk dan cara. Adilkah bersikap begitu setelah pasangan kita diuji-Nya?

Saya yakin Allah Maha Adil dan tidak pernah zalim kepada kami sekeluarga. Kalau tidak, takkanlah Allah temukan jodoh kami. Kalau tak kerana Allah mahu tunjukkan sesuatu, mungkin pembaca takkan pernah pun membaca blog AHP dan perkongsian pengalaman saya ini.

Saya sebenarnya bertuah kerana dapat merasakan apa yang isteri lain tidak dapat melaluinya. Melihat kesungguhan abang membuatkan saya berasa insaf dan sedar tentang banyak perkara.

Hubungan abang dengan anak-anak semakin akrab dan kami sekeluarga gigih mendidik mereka menjadi insan yang prihatin dan berjiwa besar terhadap insan-insan yang menderita terutama berkaitan dengan ketidak adilan masyarakat terhadap PLHIV.

Bagi mengelakkan anak-anak keliru dengan sesuatu perkara, abang sentiasa berterus terang dan menasihati mereka dengan cara yang berhemah dan mudah difahami. Hubungan rapat kami sekeluarga dan saling menghargai antara satu sama lain memudahkan usaha tersebut..

Saya juga berpeluang mendapat lebih ramai kawan, berjumpa ahli-ahli komuniti dan sama-sama menghadiri majlis yang disertai mereka. Ada juga rakan-rakan PLHIV yang datang ke rumah untuk berjumpa dengan abang dan kami sentiasa menerima dengan hati terbuka. Sedikit sebanyak saya dapat mengenali mereka dan saya juga gembira berjumpa mereka.

(Penyakit gatal abang pun boleh tahan juga kerana maklumlah sejak menjadi PLHIV ni, ramai benar ‘peminat’ perempuan abang. Hihihi….)

Selepas setahun, kami punya dua anak dara baru. Alhamdulillah bertambah lagi bilangan ahli keluarga. Seronok juga terus dapat anak dara yang dah besar. Tak lama lagi dapat menantulah pula ya. Kalau dulu orang selalu bertanya, tak ada anak perempuan ke? Ha, sekarangkan dah ada. Syukurlah atas segalanya.

Saya juga dapat menerima takdir Allah dan redha atas apa yang berlaku dan berusaha untuk memberi semangat dan perangsang kepada abang dalam perjuangan. Saya tidak pernah rasa kami sekeluarga terasing dengan keluarga-keluarga lain bahkan berbangga kerana dalam diam abang merupakan seorang pejuang sejati.

Tolong doakan semoga abang dan kami lebih tabah menghadapi setiap ujian. Tiada beza antara kita. Manusia yang mencipta perbezaan tersebut. Ternyata HIV bukanlah seteruk yang saya bayangkan ketika zaman jahil saya dulu. Golongan PLHIV juga kebanyakannya berhati mulia.

Percayalah, jika tidak diuji dengan HIV, kita mungkin diuji dengan ujian-ujian lain pula. Ujian dalam bentuk kesenangan dan kemewahan lebih merbahaya bagi saya. Terima kasih abang, terima kasih Allah.

Wallahu a’lam!


AHP: Selepas ini insya-Allah aku akan publishkan pula perkongsian pengalaman semua anggota keluarga yang lain. Maaf kepada para pembaca yang menghantar emel kerana aku belum berkesempatan membalasnya. Masih terlalu penat dan aku akan cuba balas mulai besok. Terima kasih.


Monday, December 19, 2011

SETELAH SETAHUN AKU DIDIAGNOS SEBAGAI PLHIV (MESTI BACA)


Maaf, entry kali ini agak panjang, sila baca dengan teliti.

22 Disember 2010 adalah tarikh aku didiagnos sebagai PLHIV di Hospital Ampang. Disebabkan aku tidak berpuas hati kerana 2 kali ujian darah sebelum ini membuktikan aku negative, aku mengambil keputusan melakukan ujian semula di sebuah Pusat Perubatan Swasta di Kuantan.

Bukan setakat HIV, aku juga dikatakan dijangkiti hepatitis C. Bukanlah aku tidak dapat menerima hakikat, tetapi semuanya tak masuk akal bagiku. Aku mahukan jawapan kenapa aku dijangkiti HIV. Selain itu, aku risau isteri-isteri dan anak-anakku turut dijangkiti.

Lebih aneh, doktor di Hospital Ampang langsung tidak mencadangkan isteri-isteriku membuat ujian HIV secepat mungkin sedangkan itulah yang sepatutnya. Ketika itu rasa bingung dan rasa sakit hati tak payah ceritalah. Makan, minum, tidur, dan apa saja semuanya aku lalui seperti dalam mimpi.

Setelah sample darahku diambil, aku diminta datang seminggu kemudian untuk mengambil keputusan ujian Western Blot yang telah dijalankan.

28 Disember 2011 aku datang kembali untuk mengetahui keputusannya. Kali ini aku bertekad, jika aku betul-betul disahkan sebagai PLHIV, aku redha. Kebetulan tarikh tersebut jatuh pada tarikh lahir anak bongsuku.

Aku ke sana dalam keadaan pening dan penat yang amat sangat. Jalanpun masih melelong dan sesekali perlu dipimpin oleh isteri. Konon-konon kami berlagak romantic, berjalan berpegangan tangan tetapi sebenarnya aku takut melelong masuk longkang. Hahaha…

Sejak menjalani Bone Marrow Biopsy (yang melibatkan pemindahan darah dan menyebabkan tulang sum-sumku ditebuk 3 kali sekaligus; yang kemudian dikatakan samplenya tak cukup dan prosedur tersebut tidak perlu) dan akibat dimasukkan pelbagai jenis antibiotic dan perlu menelan bermacam-macam pil lain, kesihatan aku jadi tidak menentu (ketika itu).

Apabila kurang rehat dan perlu pula menjaga pula ibu yang sakit, maka rasa pening, letih, melayang, mamai, dan depression saling bertindan.

Sambung cerita…

Paling aku tak boleh lupa ialah semasa aku melangkah ke Pusat Perubatan tersebut, tanpa disedari aku terkencing dalam seluar kerana terlalu risau dengan result yang bakal diketahui. Terpaksalah aku beli pula sehelai kain pelekat untuk solat selepas itu. Hahaha…

Tu lah, kau orang ingat aku tabah sangat. Aku dulu lagi teruk daripada kau orang. Bezanya aku segera bangkit, bukannya melayan emosi.

Ringkas cerita, sahlah aku akhirnya menjadi seorang PLHIV tetapi syukur alhamdulillah isteri-isteriku bebas virus tersebut. Aku juga disahkan tidak mengalami jangkitan hepatitis C. Keputusan tersebut sebenarnya menjadi turning point untuk aku bangkit. Aku rela ‘menderita’ asalkan keluargaku sihat. Itulah doaku.

Kau orang boleh nampak tak silap matanya tu? 2 kali ujian darah selepas pemindahan darah aku disahkan negative, hampir 3 bulan kemudian dikatakan positive bersama hepatitis C. Kemudian disahkan pula tiada hepatitis C.

Sudahlah begitu, aku dimasukkan ke hospital tanpa apa-apa symptom jangkitan penyakit opportunistic yang biasa dikaitkan dengan HIV. Aku dimasukkan ke hospital hanya sebagai pesakit denggi.

Paru-paru, jantung, buah pinggang, hati (kecuali penyakit diabetes sedia ada) dan tekanan darah tinggi semua tak ada masalah ketika itu.

Ujian Viral Load aku pula sekitar 24,411 ekor melalui ujian darah lebih kurang 6 bulan selepas didiagnos sebagai PLHIV. Kalau dah lama aku ada virus HIV, logiknya dah ada beratus ribu atau berjuta ekor virus!

Aku bukan penagih dadah secara suntikan. Seks bebas memang ada tetapi bebas dengan yang halal lah. Maksud aku, isteri-isteri aku. Aku tak pernah pakai kondom… Salah ke? Hehehe… terkena kau orang!

Maksud aku, bila perlu dan ianya halal maka pergunakanlah. Bukankah nikah mengikut definisi syaraknya bermaksud akad (ijab qabul) yang menghalalkan persetubuhan antara lelaki dan perempuan… Tak gitu al-fadhil ustaz?

Kalau dah lama, logiknya isteri-isteri aku pun payah nak lepas virus ni sebab aku confirmed tak pernah cover dengan raincoat. Dah 21 tahun aku kahwin bro… aku dulu kahwin muda.

Tak cukup dengan itu, fail rawatanku hilang serta merta. Haaa… kau orang fikirlah sendiri dari mana puncanya.

Tak apalah, kita lupakan saja. Itu sekadar nota untuk ahli keluarga aku sendiri.

Bermula daripada zero, aku pelan-pelan bangkit, belajar banyak perkara, mula faham apa itu “Window Period”, maksud sebenar HIV, AIDS, cara mencegah jangkitan dengan tepat, rawatan, peluang, dan sebagainya.

Sehingga kini sudah setahun aku bergelar PLHIV. Masih belajar tentang HIV dan macam-macam pengalaman aku dah lalui. Nak cerita pun tak larat, mudah cerita, bacalah entries lama.




Peluang dan Harapan

Akhirnya di sebalik semua ini, apa yang aku nampak ialah sesungguhnya virus ini Allah hantar untuk mendidik aku dalam banyak perkara. Bukanlah bermaksud riak atau sombong tetapi memang kelebihannya banyak sangat!

Aku redha dan bersyukur virus ini ada dalam badanku. Allah beri aku sedikit ujian untuk beri aku begitu banyak kelebihan yang lain. Kelebihan yang takkan dapat aku rasa tanpa HIV. Serius! Jadi untuk apa aku mengeluh?

Kenapa, dah buang tebiat ke? Kalau dah seronok sangat, tak payahlah AHP dapatkan rawatan. Nak mati hina? Relax la, kau orang ni mudah sangat berfikir secara negative…

Sesungguhnya dengan HIV lah aku lebih merasai nikmat kehidupan. Susah orang biasa nak faham.

Ringkasnya, hubungan dengan Allah dan dengan keluarga lebih rapat, lebih merendah diri, lebih menjaga kebersihan, lebih bertanggungjawab, lebih menghargai, lebih prihatin, lebih panjang akal, lebih menyayangi, lebih menitikberatkan kebersihan dan peka kepada kesihatan, lebih bersabar, lebih tenang, lebih berlapang dada, dan dapat mengurangkan kecintaan terhadap dunia.

Mungkin di sebalik sikapku yang kelihatan peramah, tiada siapa yang percaya kalau aku katakan bahawa aku dulu seorang yang sangat inferior dan privacy. Sukar difahami. Alhamdulillah dengan HIV, atas rasa terpanggil untuk membantu membuatkan aku berjaya mengatasi masalah rendah diri tersebut. Mula berkeyakinan untuk bergaul dan lebih telus.

Ah, tak tersenarailah. Banyak sangat kelebihan. Semuanya perkara-perkara yang Islam tuntut tetapi aku hanya pandang sebelah mata sebelum ini.

Selain itu, ditakdirkan sejak ada HIV ni lah Allah kurniakan aku 2 orang anak dara yang solehah dan menjadi penyejuk mata serta penambah kebahagiaan kami sekeluarga.

Seorang (sulung) nama samarannya AO, dan yang kedua namanya As. Alhamdulillah keluarga kami menjadi bertambah besar dan bahagia sejak aku ada HIV. Macam-macam nikmat yang aku tak tahu sebelum ini mula aku rasai.

Bukan itu saja.  Aku punya begitu ramai sahabat tulen yang sangat-sangat hebat. Inipun kalau aku nak senaraikan tak tersenarai. Hubungan kami sangat-sangat rapat dan saling tolong-menolong tanpa apa-apa diskriminasi dalam apa jua cara. Sama sahaja di sisi Allah. Ada yang PLHIV dan yang non-PLHIV.

Paling best?

Haa… part inilah yang paling istimewa. Melalui HIV lah aku mengenali Dr. Iskandar.  Aku mungkin berpeluang menyelamatkan beberapa akidah, membantu orang mendirikan masjid (berkahwin), mengembalikan kerukunan rumahtangga, memberi peluang dan harapan kepada mereka yang berputus asa, berperanan membimbing masyarakat menjauhi zina dan meninggalkan maksiat, dan macam-macam lagilah.

Dahlah begitu, aku lebih ramai girlfriend berbanding dulu. (Hahaha… jangan jeles! Maaflah, aku ni jenis suka bergurau.)

Purata pembaca blog ini sahaja hampir mencecah 26,000 pelawat setiap bulan. Ambil jumlah paling minima. Katakan mesej positif ini diamalkan oleh 5 orang daripada 25,000 orang pengunjung tersebut, itupun sudah besar maknanya di sisi Allah s.w.t. Insya-Allah…

So, dengan segala tawaran dan kelebihan yang Allah berikan ini, adakah kau orang fikir layak untuk aku tukar dengan virus yang ada di tubuhku ini? Aku langsung tak hairan dengan virus ini. Suka hati dialah nak lepak dalam badan aku. Sudah tentu aku wajib berikhtiar menyelamatkan diri, tetapi hanya Allah yang boleh memberikan aku mudarat.

Sampai ke satu tahap, aku serius memikirkan untuk infakkan diriku semata-mata untuk komuniti. Aku nak letakkan jawatan dan memberi tempoh setahun daripada sekarang untuk aku memikirkannya. Melakukan istisyarah dan istikharah.

Perjuangan bersama komuniti memberikan aku kepuasan sebenar. Aku menjadi aku apabila dapat bersama dan membantu mereka. Sedikit sebanyak memberi kaunseling dan maklumat sebenar tentang HIV secara tepat kepada generasi muda lebih memuaskan hati aku.

Aku telah memikirkannya secara serius, telah berbincang dengan isteri-isteriku dan anak-anakku. Alhamdulillah mereka memberikan aku sepenuh sokongan. Masalah yang membelenggu aku ialah ketika zaman sihat dulu aku banyak sangat berhutang. Itulah masalahnya bila berhutang. Hutang wajib dibayar.

Maklumlah ketika itu aku tidak diberi peringatan secara direct oleh Allah. Jadi, aku rasakan umur aku ni panjang sangatlah kononnya. Hutang yang wajib dibayar hampir mencecah RM3000 setiap bulan. Bagi orang kaya, mungkin jumlah tersebut kecil, tetapi tidak bagi aku.

Itulah dilemma aku sekarang. Kalau tak, aku sudah bersedia untuk meletakkan jawatan. Setakat nak makan pakai secara asas, aku yakin rezeki ada di mana-mana. Hutang wajib tu yang buat aku pening.

Tips Untuk Berdepan Dengan Virus?

Tak ada tips kecuali kembali ke jalan Allah, redha dan hidup secara positif. Solat sangat-sangat penting. Doa-doa syifa’ kena amalkanlah setiap kali selepas solat. Tiada resah gelisah yang aku rasa. Bahkan feeling aku sentiasa seperti seorang teruna yang dah lama jatuh cinta dan baru menerima berita si dara pujaan hati turut menyimpan perasaan yang sama. Boleh bayangkan tak?

Doa aku tak banyak sangat. Kalau khusus untuk virus ini, aku sentiasa doakan sungguh-sungguh dalam setiap sujud akhirku supaya Allah berikan aku syifa’, dimatikan segala virus, ditingkatkan CD4, dijauhi penyakit-penyakit opportunistic yang lain, dipelihara jangkitan terhadap ahli keluarga, minta dianugerahkan kesihatan yang berkekalan, umur panjang yang diredhai, dipelihara iman, rasa redha terhadap segala ujian ini, dipelihara segala aib dan maruah dan dimatikan dalam keadaan husnul khatimah.

Apa Allah nak beri, aku redha aje. Yang penting usaha, ikhtiar doa dan tawakkal. Aku juga tak berfikir terlalu jauh ke depan. Aku hadapi hari demi hari seperti biasa dan menikmatinya.

Bahkan aku selalu pesan kepada ahli keluarga, bersedia menerima hakikat aku pergi menyahut panggilan Ilahi bila-bila masa sahaja. Don’t cry for me HIVer’s. Hehehe… ada atau tanpa aku, kau orang mampu melawan virus dengan bergaya. Kekuatan sebenar milik Allah dan dalaman individu. Bukan bergantung sesama makhluk.

Aku redha sangat-sangat cuma doaku supaya aku mati dalam nikmat husnul khatimah, dipelihara segala aib dan maruah serta janganlah ujian-Nya ini merosakkan keimananku.

Kadang-kadang aku terbayang betapa beruntungnya banduan di bilik akhir yang menunggu hukuman gantung dan sempat bertaubat. Ramai yang kita dengar akhir kalam mereka adalah syahadah, dalam keadaan berseri-seri dan mudah diuruskan jenazahnya.

Sedangkan ada antara kita yang mencemuh mereka tetapi kekal dalam keadaan maksiat sehingga tua dan akhirnya mati dalam keadaan kufur nikmat dan laknat Allah. Apa barang…

Terpulanglah kepada orang hidup nak buat apapun terhadap jenazahku nanti. Tak kuasa aku nak fikir. Nak mandikan dengan klorok ke, asid ke, dettol ke, apa ke, suka hatilah. Semut merayap di badanpun tak mampu kita tepis ketika itu.

Kau orang nak kata, nak kutuk apapun, kalau kau buat fitnah, kau tanggunglah dosa. Jangan sedih-sedih anak-anak isteri-isteriku. Redha sahaja kerana yang lebih penting kedudukan kita di sisi Allah.

Kalau kita fikir banyak sangat, nanti kita sakit kepala. Bak kata sahabatku Survivor, A, B, C, dan D hingga seterusnya. Jangan gopoh sangat nak jump daripada A terus ke D. Nanti patah kaki dan sakit badan.

Masalah kemanusiaan, bertanyalah kepada sesama manusia dan masalah ketuhanan, bertanyalah kepada Tuhan. Siapalah kita untuk pastikan apa yang berlaku esok lusa.

Aku patuhi rawatan sama ada kaunseling dan pharmacology. Aku lawan, lawan dan lawan apa juga masalah. Selain tu aku ambil beberapa supplement food sekadar perlu. Taklah terikat sangat. Sekadar ikhtiar dan bersungguh-sungguh kawal diabetes.

Banyakkan memberi daripada menerima. Cubalah membantu dan kongsi masalah bersama komuniti. Bila menolong, kadang-kadang kita banyak memberi nasihat dan dorongan. Hakikatnya aku bukan nasihat orang pun… Aku cuma nasihat diri sendiri. Bila dah sentiasa nasihatkan diri sendiri, akhirnya aura dan nilai positif tu melekat juga sikit-sikit dalam diri.

Sebab tulah sangat penting kita mengambil peranan di bidang fardhu kifayah. Bukan setakat fardhu ain semata-mata.

Cabaran dan Halangan

Eleh, yang ni tak payah fikirlah. Hidup siapa yang tak ada masalah walaupun muda, sihat, kaya, dan berdarjat sekalipun. Kita merana, ada yang lebih merana. Kita senang, bersepah yang lebih senang. Ada masalah sikit-sikit tu biasalah. Bacaan CD4 aku masih sangat rendah, (65 cells/uL) mengalami masalah platelet yang rendah dan penyakit diabetes. Bila-bila sahaja boleh terjadi perkara luar jangka tu. Habis, orang sihat tak ada risiko ke? Hehehe....

Kalau nak ikutkan masalah, kerenah segelintir pembaca yang mengirim emel atau bertanyakan masalah di ruangan komen tetapi apabila ditegur sedikit, terus mencerca, mendoakan macam-macam keburukan dan memaki hamun lebih menyedihkan aku. PLHIV yang berputus asa juga sangat-sangat menyakitkan aku. 

Umur aku pun bukan muda. Diabetes ni lebih bahaya daripada HIV jika tak dikawal. Realisticlah dengan kehidupan. Jangan terlalu berkeras dengan diri sendiri.


Konklusi

Kesimpulannya, setelah setahun aku menjadi PLHIV, HIV tidak menakutkan aku langsung! Aku tidak takut apa-apa. Non-PLHIV yang lebih takutkan HIV dan penuh dengan pelbagai andaian negative.

Prinsip aku, sesiapa sahaja boleh mati dalam pelbagai cara yang Allah sudah tentukan. Hak kita untuk berikhtiar dan berdoa. Hina dan mulianya kita bukan pada pandangan mata manusia.

Seperti yang aku sentiasa ulang, masalah PLHIV bukanlah disebabkan bahayanya virus, peluang mendapat rawatan terbaik dan kehidupan yang berkualiti, tetapi masalah PLHIV adalah kejahilan yang mengakibatkan berlakunya diskriminasi, stigma, paranoid dan judgmental. Buat apa aku nak layan semua sikap tu?

Selamat ulang tahun sebagai PLHIV wahai diri. Berbanggalah kau dididik Allah!