Thursday, October 27, 2011

KEPENTINGAN MENJAGA KEBERSIHAN MULUT DAN GIGI KEPADA PEMBAWA HIV


Mulut dan gigi merupakan bahagian badan yang cenderung untuk mendapat jangkitan apabila anda HIV-positif.  Ia disebabkan oleh sistem daya tahan badan anda yang lemah.  ini bermakna anda mungkin memerlukan penjagaan dan rawatan yang lebih kerap.  Selain itu, tanda-tanda awal perkembangan HIV boleh dikesan di dalam mulut.  Sebagaimana yang kita sedia maklum, mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.

Orang biasanya beranggapan bahawa penjagaan mulut dan gigi yang sempurna adalah suatu kemewahan.  Mulut yang sihat adalah penting untuk mengunyah dan menelan makanan.  Ia adalah penting untuk mengekalkan penampilan dan keyakinan diri anda.

Anda akan menemui soalan-soalan yang biasa ditanya berhubung penjagaan mulut dan gigi di dalam bahagian ini yang mungkin boleh membantu anda memahami kepentingan penjagaan mulut dan gigi bagi mereka yang HIV-positif.


Berapa kerapkah saya perlu berjumpa doktor gigi?
Sekurang-kurangnya 3 – 6 bulan sekali.  Lebih kerap jika anda menghidap kudis dalam mulut.

Saya tidak mampu untuk mendapatkan perkhidmatan penjagaan gigi swasta.  Apa yang patut saya lakukan?
Terdapat klinik gigi kerajaan di kebanyakan Bandar.  Kosnya adalah murah.  Anda boleh membuat pertanyaan di klinik-klinik tersebut berkaitan kos yang dikenakan.

Bilakah saya patut pergi berjumpa pakar gigi?
Anda mungkin perlu berjumpa dengan pakar gigi untuk masalah mulut dan gigi yang rumit.  Anda memerlukan surat rujukan daripada mana-mana doktor untuk berjumpa dengan pakar gigi kerajaan.

Perlukah saya membayar untuk berjumpa dengan pakar gigi kerajaan?
Ya, tetapi caj / yuran yang dikenakah adalah murah.




Perlukah saya memaklumkan kepada doktor gigi berkenaan status HIV saya?
Ia adalah keputusan peribadi anda sama ada hendak memaklumkan status anda atau tidak.  Walau bagaimanapun, memaklumkan kepada doktor gigi berhubung status HIV anda akan membantu beliau mengendali dan memantau dengan lebih baik kesihatan gigi anda.  Semua doktor gigi bertauliah dikehendaki mengambil langkah berjaga-jaga berhubung kawalan jangkitan yang boleh mengelakkan jangkitan HIV atau penyakit berjangkit melalui darah kepada kakitangan pergigian dan pesakit-pesakit lain.

Adakah sebarang perkara yang perlu saya pertimbangkan sebelum saya memutuskan untuk berjumpa doktor gigi?
Berikut adalah beberapa panduan yang boleh anda ikuti:
·    Pilihlah doktor gigi yang boleh dibawa berbincang, mampu menenangkan, dan membuat anda berasa selesa.
·    Pilihlah doktor gigi yang memahami keadaan anda dan yang sedar berhubung kesan AIDS terhadap kesihatan mulut dan pergigian.
·    Pilihlah doktor gigi yang mempunyai pengalaman merawat pesakit HIV.
·    Pilihlah doktor gigi yang mengambil langkah berjaga-jaga berhubung kawalan jangkitan untuk mengelakkan jangkitan HIV kepada orang lain dengan menggunakan:
o   Alatan perlindungan seperti sarung tangan getah, topeng perubatan, pelindung muka, dan lain-lain.
o   Membersihkan semua peralatan selepas digunakan.
·    Pilihlah klinik di mana semua kakitangannya boleh membuatkan anda berasa selesa.


AHP: Kredit kepada KKM, MAC & Saudara Mohamad Raffie bin Jaafar.


Wednesday, October 26, 2011

PANDUAN PEMAKAIAN DAN PENGGUNAAN KONDOM SECARA TEPAT



Adakah kondom benar-benar berkesan?
Ia tidak memberi perlindungan 100% daripada HIV tetapi hampir 100% jika digunakan dengan cara yang betul.  Ia juga merendahkan risiko mendapat jangkitan seksual / penyakit kelamin yang lain.  Ia adalah satu-satunya pilihan berkesan yang kita ada pada masa ini.

Adakah kondom yang disediakan untuk wanita?
Ada, tetapi ia agak mahal.  Tanyalah dengan doktor anda di mana anda boleh membelinya.

Bagaimanakah cara yang betul memakai kondom?
Gambar rajah berikut menunjukkan cara memakai kondom yang betul.








Maaf jika visual ini mengganggu anda. Ianya untuk tujuan pendidikan semata-mata.

Apakah pelicin yang disyorkan untuk digunakan dengan kondom?
Pelicin yang paling baik digunakan adalah yang berasaskan air seperti ‘KY Jelly’.  Pelicin yang berasaskan minyak seperti losen dan ‘Vaseline’ boleh merosakkan kondom yang mungkin boleh menyebabkan air mani mengalir keluar.


Apa yang dinyatakan di atas adalah panduan am.
Berbincanglah dengan doktor anda berhubung langkah berjaga-jaga lain yang mungkin perlu anda ambil.


AHP: Kredit kepada KKM, MAC & Saudara Mohamad Raffie bin Jaafar.


SEKS LEBIH SELAMAT BAGI PASANGAN HIV



Wujud pelbagai kekeliruan berkaitan kehidupan seks mereka yang HIV-positif.  Ingatlah, anda memainkan peranan penting dalam mengawal jangkitan HIV.

Anda mungkin berasa malu untuk menanya pelbagai soalan mengenai seks.  Orang yang terbaik untuk anda bertanyakan soalan-soalan tersebut adalah doktor anda.  Kami juga telah menjawab beberapa soalan yang sering ditanya yang mungkin boleh menjelaskan isu ini kepada anda.

Adakah selamat bagi seseorang yang tidak menghidap HIV melakukan hubungan seks dengan orang yang HIV-positif?
Menggunakan kondom merendahkan risiko jangkitan.  Anda perlu mempertimbangkan untuk memberitahu individu tersebut berhubung status HIV-positif anda.  Mereka berhak untuk tahu berhubung perkara tersebut.

Saya bimbang bahawa saya mungkin akan menjangkitkan virus HIV kepada pasangan saya.  Apa yang patut saya lakukan?
Berbincanglah dengan pasangan anda berkaitan kebimbangan anda dan pilihlah cara-cara lain untuk menikmati hubungan antara satu sama lain.  Aktiviti-aktiviti intim seperti ciuman, urutan, dan lain-lain.

Bagaimanakah seseorang boleh dijangkiti HIV?
HIV wujud di dalam air mani, darah, dan cecair faraj (air mani perempuan).  HIV boleh dijangkiti melalui seks yang tidak selamat (tidak menggunakan kondom), dengan berkongsi jarum suntikan yang tercemar dan daripada ibu kepada anak.

Apa itu seks yang selamat?
Seks yang selamat adalah aktiviti seks yang mengelak air mani, darah, atau cecair faraj (air mani perempuan) daripada memasuki aliran darah, mulut, dan kemaluan orang lain.

Adakah seks oral selamat?  Apa akan terjadi jika pasangan tersebut mempunyai kepecahan atau luka di dalam mulut?
Seks oral yang tidak selamat (tidak menggunakan kondom) ada risiko jangkitan.  Oleh itu, pastikan anda menggunakan kondom.

Adakah selamat untuk melakukan seks semasa seseorang yang menghidap HIV datang haid?
Tidak.  Haid adalah darah kotor dan boleh menambahkan risiko jangkitan.  Risiko adalah lebih rendah jika pasangan lelaki menggunakan kondom.  HIV wujud di dalam darah dan seks yang tidak selamat (tanpa kondom) mempunyai risiko jangkitan.

Jika kedua-dua pasangan menghidap HIV, perlukah kami menggunakan perlindungan (kondom)?
Perlu.  Anda mungkin menghadapi risiko dijangkiti dengan penyakit atau strain HIV yang berlainan (jangkitan semula).

Apakah jangkitan semula?
Jangkitan semula bermaksud seseorang mendapat jangkitan baru atau kedua daripada sesuatu virus yang telah pun menjangkiti mereka.  Ini berlaku disebabkan oleh strain virus yang berbeza.  Orang yang menghidap HIV boleh dijangkiti semula melalui seks yang tidak selamat.

Apakah risiko-risiko jangkitan semula?
Ia mungkin membolehkan virus HIV membuat salinan yang baru.  Kandungan Virus (Viral Load) anda mungkin akan meningkat dan ini boleh meletakkan kesihatan anda dalam keadaan yang bahaya.


AHP: Kredit kepada KKM, MAC & Saudara Mohamad Raffie bin Jaafar.

TIP-TIP PEMAKANAN SEWAKTU SAKIT



Lebih mudah untuk mereka yang HIV-positif dijangkiti pelbagai penyakit disebabkan oleh keadaan sistem daya tahan badan yang lemah.  Berikut adalah beberapa tip berhubung apa yang boleh anda makan dan amalkan ketika anda sakit:

·        Simpan stok makanan di rumah dan berhampiran tempat tidur anda jika terlalu letih untuk bangun dari katil.
·        Mengambil makanan dalam jumlah yang sedikit secara kerap berbanding kepada makan 3 kali sehari.  Cara ini mungkin lebih mudah dan tidak begitu memenatkan untuk disediakan.
·        Minum jus segar tanpa ais.
·        Meminta bantuan rakan dan keluarga untuk menghantar makanan.
·        Jika anda menghadapi kesukaran mengunyah dan menelan, cuba makan makanan yang dicairkan atau memakan bubur atau sup.
·        Jika anda sakit atau menghadapi jangkitan di dalam mulut, elakkan makanan pedas, masin, atau terlalu panas.
·        Jika anda tidak ada selera makan, mengalami pengurangan berat badan yang teruk, atau sakit bila menelan, minta nasihat doktor anda dengan segera.


AHP: Kredit kepada KKM, MAC & Saudara Mohamad Raffie bin Jaafar.