Saturday, November 05, 2011

BERDEPAN DENGAN MASALAH?




Selamat Hari Raya Idil Adha kepada semua.

Semoga kita sama-sama mengambil pengajaran daripada peristiwa besar ibadah qurban.

Dengan entry ini bermakna sehingga selasa (8 November 2011) aku tidak akan online.

Maaf kepada yang menghubungi melalui emel. Insya-Allah semuanya akan aku uruskan kembali satu persatu selepas itu. Sebagai bekalan, aku kongsikan video ini untuk semua.


Kredit kepada As

Friday, November 04, 2011

UJIAN PENDERITAAN DAN KESENANGAN


Firman Allah yang bermaksud;
“Yang menjadikan mati dan hidup, supaya dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. dan dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun,”
[Surah Al-Mulk : Ayat 2]

Manusia di dunia ini selalu mendapatkan kenikmatan dan kepedihan. Terkadang mereka menjadi lemah ketika mendapatkan penderitaan hingga mengalami kehinaan. Dan terkadang mendapatkan kenikmatan yang berlimpah sehingga menjadi sewenang-wenang atau melampaui batas. Yang dituntut dari kita adalah tidak menyeleweng dan tidak sombong serta tetap teguh dalam keimanan tatkala menghadapi dua keadaan tersebut.

Selama hidup, kita tidak mungkin terbebas dari ujian yang selalu datang. Allah S.W.T. menguji kita untuk mengetahui sejauh mana reaksi kita dalam mengatasi suatu masalah. Allah S.W.T. memberikan penilaian kepada kita sesuai dengan sikap kita terhadap ujian yang kita hadapi. Hidup ini memang penuh dengan ujian, sebagaimana firman Allah S.W.T;

“Sesungguhnya kami Telah menciptakan manusia dari setitis mani yang bercampur [1535] yang kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan), Karena itu kami jadikan dia mendengar dan Melihat.”

[1535] Maksudnya: bercampur antara benih lelaki dengan perempuan.

[Surah Al-Insaan : Ayat 2]

Penderitaan yang menimpa kita menunjukkan kelemahan kita sebagai manusia. Sayangnya, ketika tertimpa kesengsaraan, banyak orang yang berburuk sangka kepada Allah. Lalu menjadi kufur, disebabkan menganggap Allah tidak adil dengan memberikan penderitaan itu kepadanya. Na’udzu billahi mindzalik.

Kesenangan hidup merupakan kurnian Allah yang akan dimintai pertanggungjawabanNya. Orang yang menjadi kufur kerana kesenangan lebih banyak lagi dari orang yang ingkar kerana penderitaan. Jadi, keduanya sama berbahaya bagi menstabilkan keimanan seseorang.

Seorang yang sedar akan berhati-hati terhadap penderitaan atau kesenangan, sehingga tidak terperosok dalam kelalaian. Ia melihat setiap yang menimpa dirinya, baik duka mahupun gembira ujian dari Allah dan itu pula merupakan takdir dari Allah.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud;

“Tiada suatu bencanapun yang menimpa di bumi dan (Tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan Telah tertulis dalam Kitab (Lauhul Mahfuzh) sebelum kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.”

“(Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berduka cita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira[1459] terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri,”

[1459] yang dimaksud dengan terlalu gembira: ialah gembira yang melampaui batas yang menyebabkan kesombongan, ketakaburan dan lupa kepada Allah.

[Surah Al-Hadid : Ayat 22 – 23]

Ujian Penderitaan

Penderitaan merupakan salah satu realisasi ujian Allah. Di saat menderita sebagai orang yang beriman, kita terasa terusik untuk mengetuk pintu Allah dalam erti kata memohon keampunan, keselamatan dan mengharapkan kasih sayangNya. Dengan demikian, setiap penderitaan merupakan saranan untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. Bukankah Rasulullah s.a.w. telah bersabda; “Hendaklah seseorang mengucapkan kalimat Irtirjaa’ ketika tertimpa musibah (Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un). Sesungguhnya kita ini hanyalah milik Allah dan kepadaNyalah kita kembali.” Sekalipun mengenai tali sandal/kasut yang putus kerana hal itu termasuk dalam hal musibah.

Dengan sikap ini seorang muslim sentiasa mengharapkan pertolongan Allah dalam seluruh hidupnya. Cara ini membuat persoalan menjadi mudah kerana dikembalikan kepada yang Maha Berkuasa. Pengaduan terhadap Allah merupakan usaha untuk mendekatkan diri kepadaNya.

Ia mengandungi hikmah yang jauh lebih besar dari penderitaan kurniaan Allah baik yang telah ada pada diri kita mahupun yang akan diberikan bagi mereka yang bersabar menanggungnya. Sayangnya banyak orang yang enggan mengadukan masalah kepada Allah untuk memohon perlindungan dan bimbinganNya. Inilah di antara makna sabar yang diajarkan Islam kepada kita.

Ujian Berupa Kesenangan

Sebaliknya kesenangan hidup seringkali melalaikan manusia. Mereka terjebak dengan perangkap yang menipu dan merasa diri sebagai orang yang sukses kerana hasil ilmu atau usahanya sendiri. Padahal tiada daya upaya dan kekuatan kecuali dengan izain Allah.

Orang yang beriman tatkala menghadapi sesuatu yang menyenangkan segera bersyukur kepada Allah. Ia tidak akan lupa kepada Allah Yang Maha Pemberi Nikmat. Dan menyalurkan kurnian Allah itu pada jalan Allah sebagai merealisasikan rasa syukur dan untuk meningkatkan ketaatan kepadaNya. Dengan demikian kenikmatan menjadi pangkal untuk mendekatkan diri kepada Allah pula. Dengan demikian, orang-orang yang mukmin selalu berada dalam dua keadaan ini iaitu sabar dan syukur.

Rasulullah menyampaikan kekagumannya pada sikap orang yang beriman; “Sungguh mengagumkan urusan kaum mukmin. Seluruh aktivitinya menjadi kebaikan baginya. Dan yang demikian itu hanya ada pada orang yang beriman. Bila ia ditimpa kesulitan ia bersabar. Maka itu baik baginya dan bila ia mendapat kesenangan, maka ia bersyukur dan itupun baik baginya.”

[Riwayat Bukhari & Muslim]

Orang yang mukmin tidak mudah tertipu dengan kesenangan hidup. Ia menyedari bahawa kesenangan merupakan ujian Allah. Dengan ujian ini Allah akan menilai apakah ia bersyukur atau kufur terhadapnya. Nabi Sulaiman diberikan Allah dengan harta, kekuasaan yang luas juga bersyukur kepada Allah untuk mendapatkan ilham supaya tetap mesyukuri nikmat Allah, dan supaya dimasukkan ke dalam golongan hamba-hamba Alah yang soleh.

Dan sebaliknya, sesungguhnya Rasulullah mengajar umatnya untuk tetap sabar serta tabah dan menganggap penderitaan yang dihadapi sebagai ujian untuk memperolehi keredhaan Allah dan kenikmatan akhirat yang jauh lebih kekal.



 

AHP: Kredit kepada As.                                                                                 
p/s- Bukankah jelas bahawa sabar dan syukur itu sama-sama penting?

Thursday, November 03, 2011

HIV: BICARA UNTUK TEMAN


Teman…

Nama blog AKU HIV POSITIF dipilih sebagai satu manifestasi penerimaan dan redhaku terhadap ujian Allah ini.

Kenapa aku memilih untuk berblog dan berbicara secara terbuka tentang HIV/AIDS dan kehidupanku sebagai seorang PLHIV? Panjang ceritanya, kalau rajin belek-beleklah entries lama.

Didiagnos sebagai PLHIV pada 28 Disember 2010. 15 Januari 2011 blog inipun wujud. Di luar jangkaanku sendiri, jumlah pengunjungnya telah mencecah ratusan ribu dengan pantas sekalipun blog ini bukan bertemakan gossip artis dan berita sensasi. Aku sekadar menulis mengikut cara dan gayaku.

Perlahan-lahan daripada sebuah blog peribadi, ianya bertukar menjadi sebuah blog komuniti. Aku redha dan hadiahkannya dengan besar hati. Ini blog kita, dari kita untuk kita. Tiada kepentingan peribadi jika boleh mendatangkan manfaat kepada masyarakat.

Ya, ianya bukan dikendalikan sebagai seorang yang professional tapi inilah luahan dan medan kita sebagai PLHIV amatur yang masih belajar memuhasabah dan memperbaiki diri.

Syukur alhamdulillah ianya mendapat sokongan moral dan bantuan daripada pakar dalam pelbagai bidang terutamanya di bidang perubatan, sukarelawan dan insan-insan prihatin (bukan PLHIV) tanpa prejudis. Jika mahu disenaraikan, senarainya cukup panjang. Biarlah empunya badan yang tahu sendiri. Hanya Allah yang dapat membalas segala kebaikan mereka.

Itu bantuan bukan PLHIV. Sokongan dan bantuan rakan PLHIV pula memang tidak terkira. Tanpa izin dan pertolongan Allah, tanpa sokongan sahabat-sahabat, blog ini tidak akan ke mana-mana.


Sekalipun aku bukanlah bekas penagih dadah secara suntikan, jauh sekali gay dan pengamal seks bebas, hakikatnya aku tetap seorang PLHIV.  Tak kisah siapapun dan apapun punca jangkitan, sahabat-sahabat aku anggap ahli keluargaku sendiri. Ujian kita berbeza tetapi perlu saling menyokong dan membantu mengikut keupayaan dan kelebihan masing-masing.

Yang penting kita sama-sama telah dianugerahkan ujian yang sama. Ujian yang penuh rahmat di sebalik segala musibah seperti yang umum bayangkan. Siapa lagi yang lebih mengerti jika bukan teman-teman senasib?

Teman…

Blog kita ini dibaca oleh pelbagai golongan sama ada professional, para pelajar IPT, kolej, murid-murid sekolah menengah dan rendah (unit B&K) dan orang awam.

Yang menghubungiku melalui emel atas tujuan-tujuan tertentu terdiri daripada pelbagai karier seperti pemandu teksi, CEO, doktor, kakitangan KKM, kaunselor, peguam, wartawan, jurutera, kerani, pereka grafik, guru dan macam-macam lagi karier yang mungkin tidak sahabat-sahabat jangkakan. Sudah tentu termasuklah jurujual pelbagai produk kesihatan.… hehehe.

Selain berkaitan permasalahan HIV, antara tujuan-tujuan utama kunjungan pembaca (bukan PLHIV) adalah untuk membuat research atau thesis mengenai kita. Majoritinya kerana mereka mahu memahami dimensi budaya hidup dan corak pemikiran kita. Anthropology.

HIV yang mereka faham umumnya adalah penyakit merbahaya, berkudis, busuk, terlantar di jalanan, hina dan menjijikkan. Golongan PLHIV perlu dijauhkan dan kalau boleh diasingkan ke sebuah pulau khas (Ini reality dan ironinya beliau adalah seorang doktor. OMG!)

Mereka langsung tidak perasan bahawa mungkin imam mereka di masjid, doktor yang merawat penyakit mereka, guru-guru yang mengajar anak-anak mereka, chef dan pekerja restoran yang menyediakan makanan kepada mereka, penulis teks ucapan mereka, peguam yang menguruskan kes mereka, motivator yang mengendalikan kem motivasi mereka, kerani jabatan-jabatan tertentu yang menyelesaikan keperluan mereka, jururawat yang mengambil darah mereka, ustaz ustazah yang memberi tazkirah kepada mereka dan sebagainya adalah seorang PLHIV! Kelakar bukan? HAHAHA….

Saban hari mereka berkongsi macam-macam keperluan dengan kita tetapi sebaik sahaja mereka tahu kita seorang PLHIV, mereka serta merta jadi takut. Apatah lagi mahu berkahwin dengan seorang PLHIV…

Jika sebelum ini mereka selesa minum dan bersembang dengan kita, serta merta sebahagiannya menjadi resah dan serba salah apabila kita mengaku seorang PLHIV. Mula kelihatan janggal duduk semeja dan berkongsi makanan dengan kita. Bahasa badan dan ekpresi wajah tidak mampu menipu.

Kalau boleh pinggan mangkuk nak diasing. Bercakap pun jauh-jauh dan kerap memalingkan muka. Ada-ada sahaja alasannya untuk segera pergi atau sekurang-kurangnya tangan asyik menutup mulut gelas.

Agaknya bimbang nafas kita menjangkitkan virus atau jika ada percikan air liur kita tersembur merata-rata dan membahayakan mereka. Hebat kita, kan? Kalah raksasa dalam cerita Ultraman Taro. HAHAHAHA….!

Mereka memantau kita dan melihat apa saja ‘keanehan’ yang berlaku di sini.

“Eh, kenapa tak tergolek lagi mamat/ minah ni?” Owh… ada rawatannya untuk HIV ya!, Owh… rupa-rupanya sama sahaja seperti penyakit-penyakit kronik lain, owh… boleh kahwin dan dapat anak bebas HIV rupa-rupanya, owh… ada karier, ingatkan mengharapkan belas ihsan orang lain je, owh… begitu cara mengelakkan jangkitan, owh…” macam-macamlah.

Segala gelagat kita diperhatikan dengan penuh minat. Kita umpama sekumpulan ikan comel di dalam sebuah akuarium. Itu pun masih ok kerana aku tak samakan seperti sekumpulan monyet buruk kepala di dalam zoo, hehehe…

Tapi tak boleh juga menyalahkan mereka sepenuhnya. Di situlah letaknya kepentingan ilmu dan rasa insani individu. Dari sinilah boleh dilihat keikhlasan dan kepergantungan individu terhadap segala kekuasaan Allah.

Kita pula janganlah sensitive sangat. Kita perlu berusaha memberikan kefahaman yang tepat kepada mereka. Sabarlah kerana sabar dan syukur sama-sama penting.

Jadi bangkitlah teman-teman. Buktikan kita tidak seperti yang mereka sangka. Kita adalah insan istimewa, real fighter bukannya loser!

Aku tidak mampu respon segala komen atau pendapat sahabat-sahabat dalam setiap entry tetapi sahabat-sahabat sendiri berkongsilah sokongan dengan penuh ikhlas dan kasih sayang. Ingatlah kita sentiasa sedang diperhatikan. Apa sahaja yang kita kongsi, sekalipun cukup simple mungkin boleh disensasikan dan mungkin juga memberi pengajaran kepada insan lain.

Ringan-ringankan tangan menulis sepatah dua kata ringkas sebagai tanda sokongan, nasihat dan ingatan. Berkongsi secebis info dan ilmu secara tertib. Janganlah hanya sekadar menjadi pembaca sepi sedangkan kita boleh memberikan sesuatu yang besar impaknya.

Mungkin sahabat-sahabat tidak perasan, sebenarnya kita telah membantu ramai insan-insan yang putus harapan dan kesepian, menyelamatkan aqidah individu tertentu, menyelamatkan sebuah rumah tangga, menyelamatkan sebuah keluarga daripada perpecahan, membantu pasangan mendirikan masjid (berkahwin), mendidik generasi muda menjauhi maksiat, mengembalikan insan khilaf ke pangkal jalan, memberi inspirasi kepada rakan-rakan para pesakit kronik lain dan sebagainya.

Ini reality dan aku bukannya bercakap tanpa bukti. Sahabat-sahabat sendiri boleh membuktikannya. Maka, apalah sangat ujian ini berbanding rahmat yang tidak terhingga yang Allah kurniakan? Bukankah sepatutnya kita bangga dan bersyukur kerana dengan HIV lah kita mendapat segala peluang tersebut?

Aku sendiri semasa sihat langsung tidak terfikir akan mendapat peluang ini. Rupa-rupanya Allah beri peluang dengan memberikan sedikit ujian terlebih dahulu sebelum rahmat. Itupun ujian untuk membersihkan segala kekotoran sama ada yang disedari ataupun tidak. Syukur alhamdulillah…

Inilah medan perjuangan dan peluang melaksanakan amal bakti bagi insan-insan yang dipandang hina seperti kita. Kita adalah golongan yang sentiasa memikirkan peluang dan harapan. Kita tidak gentar kepada masalah dan halangan.  

Pedulikan pandangan manusia. Yang lebih penting ialah pandangan Allah dan di sanalah tujuan perjalanan yang hakiki. Ada perkara yang semakin dikejar semakin menjauh (dunia) dan ada perkara yang semakin kita lari, semakin menghampiri (kematian & kebenaran).
  
Teman…

Selain itu banyakkan memberi berbanding menerima. Jadilah golongan yang sedikit bukannya golongan yang banyak. Jadilah segelintir daripada mereka yang melaksanakan fardhu kifayah bukannya sekadar melaksanakan fardhu ain. Mari taburkan bunga dan wangian di mana sahaja kita berada.

Apabila bersama rakan-rakan, jadilah antara yang terawal memberikan salam, mengukir senyuman dan berjabat tangan. Bila bersama rakan sekerja, kitalah antara yang paling awal membantu, prihatin berkongsi suka duka dengan ikhlas. Bila bersama keluarga, kita adalah pemberi ketenangan dan tempat bergantung harap.

Apabila bersama masyarakat kita bersikap rasional dan menjadi pencetus keharmonian. Semuanya bukanlah sesukar manapun jika kita melakukan dengan ikhlas dan rendah hati. Jangan sesekali menjadi kambing yang menyendiri. Kelak mudah menjadi mangsa serigala (syaitan) yang sentiasa cuba memfitnah dan menyesatkan.

Akhir kata teman-temanku yang tercinta,

Mari kita bangkit bersama-sama menentang stigma, discrimination, judgmental, paranoid, prejudice dan stigma. Usaha perlu bersungguh-sungguh tanpa mengenal lelah. Marilah berdakwah bilhal (contoh teladan) atau billisan (lisan). Lakukan dengan apa saja cara yang kita mampu. Hidup terlalu singkat untuk ditangisi. Air mata terlalu mahal dibazirkan untuk kedunguan.
 

Daripada,
Sahabatmu AHP.

Wednesday, November 02, 2011

HIV: RAHMAT DI SEBALIK MUSIBAH


Melalui entry HIV: BUAT ELOK SAJA TAU! (BEST) kita berpeluang berkongsi pengalaman hidup seorang pure gay yang menamakan dirinya sebagai 'Huei'. Supaya ianya menjadi sempadan dan teladan bersama, aku publishkan kembali.

Perkongsian asal yang orginal dan lebih panjang boleh dirujuk di situ dan seperti biasa terdapat sedikit suntingan untuk disesuaikan sebagai sebuah entry.


Ambil perhatian bahawa semua ini bukanlah bermaksud mahu mempromosikan kebebasan mutlak terhadap apa juga jenis kecenderungan seksual individu.

Objektif aku ialah pengajaran di sebaliknya supaya kita mengamalkan cara hidup yang diredhai Allah, belajar daripada kesilapan, bangkit daripada kejatuhan dan redha dengan segala teguran serta didikan Allah.

Kita wajib memberi peluang kepada setiap insan untuk berubah. Sokong mereka yang ingin kembali ke pangkal jalan. Soal dosa pahala, syurga dan neraka kita serahkan kepada Allah.  Jangan cepat menghukum kerana kita tidak diuji dengan kecenderungan seksual seperti beliau.


Kadangkala, kecelaruan identity boleh berlaku kepada sesiapa sahaja bergantung kepada faktor persekitaran dan didikan semasa kecil.

Cukuplah aku membebel, mari baca: 

Saya seorang lelaki berumur 43 tahun. Seorang pure gay sejak kecil. Berperwatakan seperti seorang lelaki tulen dan melakukan hubungan sejenis sebagai satu kebiasaan.

Kalau tak silap, pada tahun 2005 saya telah pergi check darah di klinik swasta, kerana permit kerja hampir tamat. So, sebelum jumpa company doctor, saya check darah kat klinik luar terlebih dahulu.

Saya tak sedap hati kerana 3 minggu sebelum tu saya telah alami deman dan muntah yang teruk selama lebih seminggu. Apabila sembuh, tubuh saya dinaiki ruam sekitar punggung dan kaki.

Kebiasaanmya kalau check darah, keputusannya saya call terus ke klinik dan  pembantu klinik akan kata darah ok, tak ada masalah apa-apa.

Tetapi pada kali ini pembantu klinik tu kata doktor nak jumpa. Memang saya rasa tak sedap hati dan bila jumpa, doctor kata sy +ve.

Ketika itu saya rasa dunia berpusing, wajah mak bapak dan seluruh ahli keluarga terbayang dan ingatkan mati. Menggeletar tetapi saya cuba tenang kerana keputusan tersebut memang sudah dijangka.

Doctor suruh saya pergi hospital kerajaan kerana murah dan percuma. Beliau bagitau jika tidak dirawat dari awal AIDS akan muncul selepas 5 tahun.

Saya keluar klinik berjalan tanpa tujuan. Mundar-mandir berbatu-batu. Nak kata marah, tak pulak kerana memang tahu salah diri sendiri. So saya terus call seorang kawan baik berbangsa Cina. Dia memang terkejut tetapi dah jangka risiko amat tinggi kepada golongan seperti kami.

Sepatutnya malam itu saya enjoy ke sebuah sauna gay yang menganjurkan 'naked nite'. So, waktu malam memang tak boleh tidur lena, terasa terawang-awang.

Ketika itulah teringat amal ibadat yang tak pernah buat, sembahyang pun tak tahu, ambik air sembahyang lagilah tak tau. Dalam terkejut tu saya masih tetap tenang jugak.

Bila saya fikir-fikirkan kembali, ini ujian yang Allah turunkan kepada saya, saya rasa Allah sayang saya. Tak ambil masa yamg lama terkeluar dari mulut saya syukur yang amat sangat kepada Allah kerana memberi ujian ini kepada saya.

Untuk pengetahuan semua, beberapa bulan sebelum saya tahu saya +ve, kegiatan songsang saya semakin menjadi-jadi. Kalau sebelum ini seminggu sekali saya ke sauna dan have sex tetapi semakin lama semakin kerap sehingga setiap hari.

Dalam sehari, dengan beberapa pasangan pulak tu. Bila dah hari-hari, badan menjadi penat. Anu tak boleh naik tetapi godaan syaitan sangat kuat. Saya  tewas. Saya mula mengambil pil kuat yang dijual tepi jalan.

Memang best, tersangat power! Dari setengah biji saya makan 1 biji, dari 1 biji saya mula makan 2 biji semalam dan pernah telan 3 biji sehari. Saya pernah alami perit pedih yang amat sangat di jantung tetapi saya buat tak tahu kerana perkara tersebut saya anggap biasa.

Bila difikirkan semula, memang Allah nak selamatkan dan panjangkan umur saya. DIA sayang saya kerana tidak mematikan saya dalam kemaksiatan.

Saya percaya, kalau saya masih -ve ketika ini, bermakna saya mungkin sudah lama menjadi arwah akibat serangan jantung dan kerosakan liver.

Sepekara lagi yang saya ingat bila saya semakin kerap enjoy buat sex sejenis setiap hari, tiba-tiba terlintas di kepala saya ingatkan Allah. Tiba-tiba teringin melakukan solat bila melihat beberapa orang keluar masuk ke masjid sedangkan saya pula berjalan ke panggung wayang.

Memang selalu jugak melalui masjid tersebut tetapi TAK PERNAH NAMPAK MASJID tersebut.

Dan pernah saya mengeluh kenapa selalu nak pergi sauna dan buat maksiat. Bila saya fikir kembali, saya amat bersyukur kepada Allah. Saya berterima kasih kepadaNya kerana diberi ujian ini,

Ringkas cerita, saya mula belajar dan menunaikan solat dan s
aya berhenti kerja pada 2005. Kembali ke kampung halaman tetapi saya buat pemeriksaan susulan di KL dan akhirnya kiraan CD4 menurun sehingga 180.

Disebabkan tiada kerja dan jarak KL dan kampung jauh, saya stop daripada buat pemeriksaan. Saya yakin dengan makanan yang baik dan senaman, CD4 akan meningkat tetapi saya silap. CD4 tak naik, malah semakin berkurangan.

Sehinggalah akhir 2009, saya jatuh sakit. Amat teruk, batuk, fungus dalam mulut, susut berat badan dari 70 kg dan menjadi kurus kering. Maybe 50 kg, kaki dah nampak tulang.

Turun tangga rumah setapakpun amat payah, tercungap-cungap dan sukar bernafas. Saya fikir makan ubat batuk kat kedai akan sembuh dan tetap tak mahu ke klinik or hospital.

Ketika itu saya tinggal dengan mak dan beberapa ahli keluarga lain. Mereka tidak tahu status saya sepanjang 4 tahun tinggal bersama. Bila keadaan semakin teruk, mak menangis merayu kat tangga suruh saya pergi ke hospital.

Saya takut penyakit saya diketahui mereka dan masih berdegil tetapi akhirnya saya tidak bolah tahan. Suatu hari saya ajak adik perempuan saya ke hospital. Memang dah dijangka, saya ditahan.

Selama beberapa hari doc masih tak tahu penyakit saya, mereka main agak-agak ketika memberi ubat. Hinggalah suatu pagi seorang doc perempuan muda india minta kebenaran saya untuk ambil darah untuk ujian hiv.

Ketika itu dengan mulut yang berat saya berbisik mengatakan, “saya hiv +ve,” Doc tak terkejut tetapi ia lebih mesra. Hampir 10 hari saya di hospital, terpaksa solat dalam keadaan darurat kerana tiada siapa di sisi. Tak mampu nak bangun mahu pun bersandar. Kiraan CD4 saya ketika itu ialah 12. Saya tak izinkan ahli keluarga datang melawat.

Untuk pengetahuan semua, alhamdulillah sekarang solat dah menjadi perkara yang saya jaga dan tak pernah tinggal walaupun godaan syaitan terus menerus mengganggu hidup ini.

Saya mula mengambil ubat SLN30 hingga kini sejak 2010. Alhamdulillah badan menjadi sihat, gemuk hingga 70 kg. Tetapi baru-baru ini kolesterol dalam badan saya tinggi, so saya cuba berdiet hingga berat badan saya turun ke 65 kg.

Minggu lepas saya berjumpa doc, kiraan CD4 semakin meningkat sedikit demi sedikit dan sekarang 175. Alhamdulillah walaupun masih jauh untuk menyamai kiraan orang yang normal yang melebihi 500.

Waktu ini saya masih menganggur, takut nak kerja, takut stress, takut orang tau dan macam-macam lagi ketakutan.

Sehingga sekarang, ahli keluarga masih tidak tau saya hiv +ve. Bila jumpa saudara mara, kepala mula fikir yang bukan-bukan, segan nak bergaul dengan orang dan terus terang saya tiada kawan sebenar.

Semuanya saya jauh diri kecuali kawan baik berbangsa Cina itu yang sekali sekala banyak membantu saya dari segi kewangan dan lain-lain.

Alhamdulillah sedikit demi sedikit dalam hati ini sudah mula ada keyakinan untuk bekerja. Moga saya bertemu dengan pekerjaan yang sesuai nanti.

Kegiatan songsang semakin jauh saya tinggalkan. Alhamdulillah saya semakin bijak mengawal diri dan mengawal nafsu. Dengan sedikit duit simpanan, saya terasa ingin buat umrah dan melepak sebulan di Mekah dalam bulan Ramadhan dan teringin menunaikan haji. Keinginan dalam diri nak ke Mekah semakin meluap-luap dan selalu berangan-angan ke sana.

InsyaAllah saya nak berdoa kepada Allah di hadapan Kaabah:

"Ya Allah panjangkanlah umurku ini, Ya Allah sembuhkanlah aku, Ya Allah ubahkanlah naluri aku supaya menyukai seorang yang bernama wanita, Ya Allah aku ingin berkahwin Ya Allah, aku ingin mempunyai anak...

“Ya Allah jangan sembuhkan sakit ku ini kiranya tidak diiringi dengan perubahan naluri hati songsangku ini, jangan sembuhkan penyakit ini kiranya dengan kembali sembuh itu akan membawa bencana dalam kehidupanku di dunia dan di akhirat.

“Sekira penyakit ini membawa kebaikan di masa hadapan, aku rela menanggungnya, berilah aku kekuatan kesihatan yang baik, sentiasa dimurahkan rezeki sepanjang hayat biar sedikit asal mencukupi dan tidak menyusahkan ahli keluargaku yang lain,

“Ya Allah aku bersyukur teramat amat bersyukur dengan ujian yang Engkau berikan ini, dengan penyakit yang Engkau berikan ini.

Ya Allah matikan lah aku dalam husnul khatimah..."

Alhamdulilah setelah berseorangan selama hampir 6 tahun, hanya baru-baru ini tergerak nak cari info dalam internet dan terus jumpa blog AHP ini. Sekurang-kurangnya terasa ada ramai kawan yang prihatin.

6 tahun tinggal dengan ahli keluarga dan sanak saudara yang sampai hari ini tidak tahu saya +ve hiv. Saya akan rahsiakan selama yang mungkin...

Harap diberi kekuatan dan dapat menguruskan diri ini dengan mudah hingga akhir hayat. Thank AHP dalam mengendalikan blog ini. Semoga awak dilindungi Allah selamanya, diberi kekuatan, kesihatan dan dipermudahkan kehidupan dunia akhirat.



AHP:
Adik-adik yang masih tercari-cari identity diri dan ghairah mencuba sesuatu di luar sana, fikirkanlah masak-masak sebelum merosakkan diri. Anda belum tentu mampu setabah Huei. 

Buat Huei, anda antara real fighter, bukan loser. Tahniah! Sahabat tidak keseorangan. Sila emel saya dan sahabat-sahabat lain untuk menjalin sokongan dan persahabatan dalam mencari keredhaan-Nya. Semoga segala hasrat dan doa Allah kabulkan, insya-Allah…