Friday, February 28, 2014

PROGRAM PERTUBUHAN POSITIVE WARRIORS MALAYSIA (PPWM) BERSAMA MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR (MPP) UiTM LENDU, MELAKA BERKAITAN HIV DAN CARA MENDEPANINYA



Aku, Kak Da, Ummie, Encik Khamis, dan wakil pelajar UiTM


Sebenarnya, semakin hari keupayaanku berkongsi pengalaman di blog ini semakin terbatas akibat kesibukan yang tidak mengenal masa dengan urusan komuniti. Walau bagaimanapun, insyaAllah selagi terdaya, blog ini akan sentiasa dikemaskini mengikut keupayaan yang serba terbatas.

Pada 22 Februari 2014 (Sabtu) yang lalu, aku dan beberapa orang Exco PPWM telah dijemput khas oleh MPP UiTM Lendu, Melaka berkongsi pengalaman dalam sebuah program kesedaran HIV dan cara mendepaninya yang bertajuk “AKU HIV POSITIF”, “HIV BUKAN TITIK AKHIR” di Dewan Syura Al-Mizan, UiTM, Lendu, Melaka.

Program yang sepatutnya bermula sejak pukul 8:30 pagi hingga 5 petang, sasaran kehadiran dalam anggaran 300 orang pelajar terpaksa diubah pada saat akhir sehingga 1:30 petang sahaja kerana terdapat pelbagai aktiviti lain yang turut dijalankan pada hari yang sama.

Walaupun masa dipendekkan dan kehadiran tidak mencapai sasaran sepenuhnya disebabkan kekangan yang telah dinyatakan, itu bukanlah satu masalah kepada PPWM kerana yang penting ialah komitmen dan cuba menyampaikan info yang tepat sebaik mungkin.


Sesi forum bersama Ustaz Asri, Dr. Noor Syazwani, dan Encik Shafique Danial (moderator)


Aku diminta berkongsi pengalaman dalam sebuah slot perkongsian pengalaman khas yang bertajuk “AKU HIV POSITIF” dan turut terlibat dalam sebuah forum bersama 2 orang panel yang lain iaitu Dr. Syazwani binti Shahar daripada Pusat Kesihatan Alor Gajah, Melaka dan Ustaz Asri bin Abdullah, Pensyarah Matrikulasi Melaka. Moderator forum ialah Encik Shafique Danial bin Johari, MPP Keusahawanan, UiTM, Lendu. Selepas itu, majlis turut membuka peluang kepada para pelajar mengemukakan soalan kepada ahli panel secara terbuka.

Peluang berkongsi pengalaman bersama para pelajar IPT yang bakal menjadi pemimpin kepada masyarakat adalah antara perkara yang cukup menarik minat aku dan menepati dasar perjuangan PPWM.


Bersama Encik Norazman (Timbalan Rektor HEP, UiTM Melaka)


Umum mengetahui bahawa peranan PPWM membantu Orang Yang Hidup Dengan HIV (ODHA) dan affected people agak berbeza dengan lain-lain NGO. Kami terdiri daripada golongan profesional dalam pelbagai bidang dan berkerjaya tetap.

Fokus PPWM adalah melengkapkan perjuangan NGO sedia ada dengan cara berdepan dengan masyarakat secara terbuka bagi menentang stigma, diskriminasi, paranoia, judgemental, dan malpractice. Kesemua salah faham ini juga adalah satu tekanan yang sangat besar kepada ODHA dan affected people.

Apabila mendapat peluang ini, ianya umpama bulan jatuh ke riba. Sepanjang sesi perkongsian tersebut, aku mendapati pihak pentadbiran dan MPP UiTM telah membuat persediaan yang rapi dan cemerlang untuk memudahkan kami berkongsi info-info positif yang tidak boleh difahami sekadar melalui pembacaan.

Penglibatan para pelajar dalam sesi perkongsian juga sangat memuaskan, bahkan dalam sesi soal jawab, ahli panel kesuntukan masa kerana dihujani pelbagai soalan. Bukan setakat ahli panel, isteri-isteriku (Kak Da dan Ummie) turut disoal dan diminta berkongsi pengalaman hidup sebagai affected people.


Kak Da dan Ummie ketika sesi soal jawab


Jelas kelihatan bahawa para peserta lebih memahami isu sebenar HIV apabila ODHA sendiri sedia tampil secara positif berkongsi pengalaman. Disokong dengan ahli panel dalam bidang perubatan dan tokoh agamawan yang mantap, ianya satu gandingan yang sangat tepat untuk meningkatkan kefahaman pelajar dalam isu ini.


Sebahagian daripada pihak urusetia dan pihak MPP


Aku berharap program sebegini akan sentiasa diberikan keutamaan oleh IPT yang lain dalam usaha “Getting To Zero”, mengelakkan penganiayaan dan salah faham. Aku dan MT serta Exco PPWM mendapat layanan yang sungguh memuaskan sepanjang program dan mengharapkan kerjasama ini tidak terhenti setakat ini sahaja.


Kami dengan simbol “Getting To Zero”


Pada kesempatan ini, aku mewakili semua MT dan Exco serta ahli PPWM mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Berbahagia Prof. Madya Mohd Adnan bin Hashim (Rektor UiTM Melaka), Encik Norazman bin Harun (Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Melaka), Puan Noramalina binti Md. Yahaya dan Encik Khamis bin Harun (Pegawai Hal Ehwal Pelajar UiTM Melaka), ahli-ahli panel iaitu Dr. Noor Syazwani binti Shahar dan Ustaz Asri bin Abdullah, Cik Nur Aqila binti Mohamad Azizi (Ketua Projek), Cik Halida binti Wen (Penolong Ketua Projek), Shafique Danial bin Johari (Moderator), semua MPP yang berusaha, dan para pelajar yang melibatkan diri. Semoga segala usaha akan diberkati dan menjadi amal bakti di sisi-Nya.

Secara peribadi, aku juga kagum dengan sebahagian daripada teamwork PPWM yang turut hadir memberikan sokongan dalam majlis ilmu ini. Tidak lupa kepada yang membantu di belakang tabir, khususnya Exco PPWM cawangan Melaka. Alhamdulillah dan tahniah. Semoga komitmen jitu ini berterusan dalam mencari keredhaan Allah.


Nota sokongan dan penghargaan yang sangat berharga daripada pelajar


Mohon maaf atas segala kekurangan dan kelemahan kami. Jazakumullah khier kathira.


Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP
Facebook: Ahp Pie


Info Berkaitan:

Laman Web Rasmi PPWM:
No. Akaun PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group).Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Abd. Shukor Mohd Yunus: shux@positivewarriors.org
Hishamudin Rahman: carphatz_04@yahoo.com