Rasanya sudah terlalu
lama aku tidak berkesempatan berkongsi pengalaman dengan para pembaca.
Sesungguhnya itu di luar kemampuanku atas kekangan tertentu yang tidak mampu
digambarkan. Apabila sentiasa bergerak aktif melebihi 12 jam sehari untuk cuba memberikan
yang terbaik kepada NGO, komuniti, keluarga, karier, dan ujian kesihatan sendiri,
ianya sungguh memenatkan. Syukur di sebalik perjuangan kecil yang penuh rencah
ini memberikan aku kepuasan dan rasa berguna di sisiNya. Nikmat berpeluang memainkan
peranan dalam bidang fardhu kifayah amat bermakna.
Ditambah dengan
sentiasa perlu travel ke sana sini tanpa
mengira masa, setakat terlena bersama dingin pagi di dalam kereta di pinggir
lebuhraya untuk berkejar pulang ke rumah demi menunaikan kewajiban
terhadap tuntutan karier pada keesokan harinya adalah biasa. Termuntah-muntah keletihan
dan sakit-sakit badan adalah biasa. Disalah anggap sebagai sibuk mencari duit extra atau difitnah adalah biasa. Tidak sempat
berjumpa dan menziarahi mertua, saudara mara sendiri adalah biasa. Pokai walaupun
nampak selesa adalah biasa. Apa yang hendak dikeluhkan kerana itulah resmi
orang yang sedang bertatih untuk berjuang.
Semakin hari juga aku
semakin matang dengan kerenah komuniti. Ianya begitu unik dan berbeza. Ujian rohani
dan jiwa yang sakit sentiasa aku jumpa di mana-mana, sama ada di kalangan ODHA
(Orang Yang Hidup Dengan HIV) atau tidak. Kita sama-sama sedang diuji dengan
cara masing-masing. Setiap hari aku mendapat kekuatan baru dan pelbagai ilmu melalui
didikan Allah ini.
Bukan setakat urusan
berkaitan komuniti, pelbagai masalah sosial, keluarga, dan rumah tangga, ada
sahaja individu yang cuba meminta nasihat atau pertolongan. Dalam hati
tertanya-tanya, apa yang mereka harapkan daripada aku sedangkan aku punya
pelbagai kelemahan diri?
Dalam begitu, aku masih
sempat membantu beberapa orang ‘murid tua’ yang mahu kembali belajar asas Qur’an
dan fardhu ain dalam anggaran masa 3 jam sehari tanpa sedikit pun aku meminta
imbuhan kewangan. SAHAM AKHIRAT jauh lebih bermakna.
Sepenat atau selayu mana
pun, aku cuba berikan yang terbaik. Sekurang-kurangnya sambil ‘mengajar’, aku
dapat juga mendidik diri sendiri. Aku sendiri pelik dari mana datangnya masa dan
tenaga kerana aku memang sentiasa penat dan sibuk. Sentiasa terkejar-kejar. Bahkan
selalu juga masih sempat melepak dan menghabiskan masa dengan teman-teman
rapat. Sesekali masih tetap cuba melayan keluarga setakat yang termampu dengan
keupayaan kami.
Justeru, maafkan aku
jika tidak suka mempedulikan sangat perkara yang remeh-temeh dan permainan
emosi. Maafkan aku, memang tidak sempat!
Katalah apa sahaja semahumu
jika itu yang kamu fikirkan tentang aku sebagai seorang ODHA. Setiap ujian
adalah semakin menguatkan. Usah ditanya apa yang aku rasa kerana aku bahagia
sahaja dengan kehidupanku seadanya. Nilailah apa sahaja asalkan kamu gembira,
asalkan jangan kamu hina komuniti senasibku dengan sewenang-wenangnya.
Aku berjuang kerana Allah.
Jauh sekali mengharapkan puji dan nama. Bukan kerana periuk nasiku. Ada NGO
atau tidak, disokong atau dicemuh, tidak menjejaskan aku. Sesulit mana pun,
memang ini juga yang akan aku lakukan kerana itu yang aku mahu.
Baiklah. Secara ringkas,
aku akan kongsikan beberapa pengalaman terkiniku untuk cuba memberikan kefahaman dan mendidik masyarakat memahami isu sebenar HIV/AIDS dengan kerjasama, jemputan, dan bantuan pihak-pihak prihatin.
Setiap kali sharing, aku tidak pernah lupa membawa nama Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM), cuma fokus
utamaku adalah terhadap isu yang diamanahkan.
Memang setiap kali hadir dalam mana-mana sharing aku sentiasa mempromosikan PPWM, cuma tidaklah secara panjang lebar. Kalau panjang lebar,
sudah tentu objektif pihak penganjur tidak tercapai. Jadi, jelaslah bahawa
tuduhan yang mengatakan aku hanya mempromosikan diri sendiri demi kepentingan
peribadi tidak benar sama sekali. Kepentingan apa yang aku cari?
Sebagai makluman, memanglah
aku banyak kongsikan gambar peribadiku sahaja berbanding aktiviti bersama
komuniti. Jika aku dedahkan identiti komuniti, ianya bakal menjadi isu sensitif.
Sedangkan video tentang penglibatan aktiviti bersama komuniti yang aku share di YouTube (sedia disiarkan oleh
pihak media pun) masih ada yang marahkan aku kerana kononnya aku mendedahkan
personaliti mereka.
Apa sahaja yang aku
lakukan, sentiasa ada yang tidak kena di mata sebahagian individu lain. Bukan
semestinya mereka yang hadir aktiviti PPWM adalah ODHA! Ramai sahaja volunteers dan supporters. Kita maksudkan lain, mereka faham cara lain. Entahlah,
aku pun jujurnya tidak faham.
Antara program-program
tersebut adalah:
Program Seminar Wanita dan HIV/ AIDS
Tarikh: 7 November
2013
Hari: Khamis
Masa: 8.00 pagi – 1.30
petang
Tempat: Dewan Felcra,
Pejabat Felcra Daerah Kuala Pilah
Tajuk: Perkongsian Pengalaman
Anjuran: Pejabat
Kesihatan Daerah Kuala Pilah
Aturcara Program:
08.30 am
Pendaftaran peserta
08.45 am
Minum pagi
09.00 am
Ceramah: Epidemologi
HIV/STI
Oleh: Dr. Hajah Zaini
binti Haji Ishak
Ketua Penolong
Pengarah Kanan
Unit AIDS/STI,
Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan
10.00 am
Ceramah: HIV/STI dan
Wanita
Oleh: Dr. Saidatul
Fadlyana binti Mohammad Isa
Pegawai Perubatan U48
Klinik Kesihatan
Juasseh
11.30 am
Perkongsian Pengalaman
Oleh: Encik Mohamad
bin Wahid
Presiden PPWM
01.00 pm
Penutup & Makan
Tengah Hari
Sebahagian peserta yang hadir |
Peserta adalah dalam
anggaran 100 orang yang terdiri daripada kakitangan Jabatan Kesihatan Daerah Kuala
Pilah dan kakitangan pelbagai jabatan kerajaan daerah Kuala Pilah.
Sesi perkongsian |
Alhamdulillah,
sambutan dan penglibatan sangat memuaskan. Pihak penganjur berjaya menguruskan
program dengan sungguh cemerlang.
Bersama Dr. Saidatul Fadlyana binti Mohammad Isa dan Dr. Rosmala binti Mohamad |
Program Maal Hijrah 1435 H
Tempat: 11 November
2013
Hari: Isnin
Masa: 8:30 pagi – 10:30
pagi
Tempat: Dewan
Wawasan, SMK Abu Bakar, Temerloh
Tajuk: Gejala Sosial
Dalam Kalangan Remaja Islam
Anjuran: SMK Abu
Bakar, Temerloh.
Sebahagian daripada pelajar SMK Abu Bakar yang sedang mendengar ceramah |
Peserta adalah dalam
anggaran 200 orang pelajar yang terdiri daripada sebahagian pelajar Tingkatan
1, 2, 3 dan 4.
Sesi perkongsian |
Sambutan dan
penglibatan juga sangat memuaskan, bahkan aku bangga dengan penglibatan
sebahagian pelajar yang turut serta aktif melibatkan diri dalam sesi kuiz
kefahaman dan soal jawab.
Penerima hadiah saguhati yang dapat menjawab soalan kuiz dengan tepat |
Tahniah kepada pihak
pentadbir SMK Abu Bakar dan salah seorang guru hebat kesayanganku, Puan Saonah ketika aku
bersekolah di Tingkatan 6 Atas di salah sebuah Sekolah Menengah Agama Temerloh, suatu ketika dahulu. Sekarang beliau bertugas
sebagai Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid di SMK Abu Bakar.
Paling kanan, Puan Saonah, guru kesayanganku |
Perkongsian pengalaman
bersama para pelajar di daerah sendiri adalah satu permulaan yang sangat bagus kepada
PPWM untuk membuka pandangan masyarakat memahami isu HIV/AIDS secara tepat.
Program Support Group & Ziarah Bersama Komuniti
Tempat: 16 November
2013
Hari: Sabtu
Masa: 11:00 pagi – 3:30
petang.
Tempat: Rumah
Perlindungan ODHA Darul Ukhwah, Puchong.
Anjuran: PPWM dengan
kerjasama pihak Darul Ukhwah.
Aturcara Program:
11.00 am – Suaikenal
11.20 am – Minum
11.30 am – Perkongsian
pengalaman beberapa orang penghuni Darul Ukhwah
12.30 pm – Ucapan Presiden
PPWM
01.00 pm – Solat Zohor
berjamaah
01.30 pm – Jamuan makan
tengah hari
02.00 pm – Bengkel /
Latihan Dalam Kumpulan
03.00 pm – Penyampaian
sedikit sumbangan kewangan dan pakaian terpakai kepada para penghuni
03.15 pm – Sesi ziarah
kasih komuniti terlantar
Berkongsi kekuatan bersama para penghuni Darul Ukhwah |
Peserta adalah dalam
anggaran 50 orang ahli PPWM, supporters,
volunteers, dan para penghuni Darul
Ukhwah.
Salah seorang volunteer merangkap ahli PPWM yang hadir, Cik Aminah |
Program kali ini merupakan
sebuah program yang sungguh bermakna kerana ianya adalah atas kerja keras pihak
JK Bertindak PPWM walaupun sebahagian ahli yang hadir perlu berdepan pelbagai
kekangan kewangan dan komitmen. Sudah tentu pihak Darul Ukhwah sendiri
memberikan kerjasama yang sangat padu dan profesional.
Salah satu hasil bengkel |
Sambutan dan
penglibatan adalah sangat memuaskan dan penuh bermakna. Tahniah kepada semua JK
Bertindak PPWM dan pihak urusetia para penghuni Darul Ukhwah.
Akhir kata, ucapan jazakumullah
kheir dan penghargaan kepada semua ahli PPWM yang komited terhadap perjuangan, Dr. Hajah Zaini binti Haji Ishak, Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit AIDS/STI, Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan, Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Pilah, pentadbir dan para pelajar SMK Abu Bakar,
pihak pentadbir, urusetia, dan sukarelawan Darul Ukhwah yang melibatkan diri.
Sekian,
Aku hamba-Nya yang dhaif
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP
Info Berkaitan:
NO AKAUN PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia
Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive
Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi
ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila
hubungi admins yang berikut: