Apabila seseorang
didiagnos sebagai Orang Yang Hidup Dengan HIV (ODHA), antara perkara utama yang
terlintas di fikiran mereka adalah peluang hidup sihat dan rawatan. Ini juga
mungkin antara yang difikirkan oleh affected
people seperti pasangan dan keluarga kepada ODHA.
Menyentuh soal
rawatan, sebenarnya berdasarkan sains perubatan, ianya simple. Kaunseling dan farmakologi. Sudah tentu jika mereka
turut mengidap atau mendapat jangkitan penyakit-penyakit lain, ianya juga perlu
dirawat demi kebaikan hidup mereka dan affected
people.
Rawatan Farmakologi
Rawatan farmakologi
sebenarnya sangat mudah dan terbukti berkesan. Cuma cara setiap individu
berfikir adalah unik dan tersendiri. Ada yang kononnya membayangkan untuk
memulakan rawatan HIV (HAART) sangat berat. Seolah-olah akan menjalani hukuman
gantung. Relax lah… apa yang kau
melalut ni?
Rawatan sebahagian
penyakit kronik lain jauh lebih teruk. Rawatan diabetes, dialysis, darah tinggi, kanser (chemotherapy),
dan thalassemia jauh lebih mencabar. JIKA berlaku sedikit kesan-kesan
sampingan peringkat awal, itu normal. Bayangkan biologi kita baru belajar menerima
bendasing, sudah tentu ada sedikit tindak balas pertahanan tubuh. Makan panadol
atau minum ubat batuk pun ada kesan sampingan kepada sesetengah orang. Kesan sampingan
tersebut pula subjektif. Umpama minum kopi, ada yang sukar tidur, ada yang
semakin lena tidurnya.
Rawatan farmakologi
untuk ODHA bukanlah seteruk yang disangka. Ramai juga yang tidak mengalami
sebarang kesan sampingan pada peringkat awal rawatan HAART. Aku pula, setiap
kali makan HAART, cuma bayangkan seperti makan jamu awet muda sahaja. Peluang
hidup sihat dan kebaikan diri serta family
jauh lebih penting berbanding sedikit cabaran.
Akibat paranoia tidak
menentu ini, ada yang mula mencari pelbagai rawatan alternatif. Konon-konon
buat kajian sendiri. Saintis melakukan research
sehingga berbillion ringgit. Kita setakat kutip pucuk pegaga, akar tongkat ali,
beberapa ulas bawang putih, dan sebagainya, terus mendakwa itulah rawatan yang
lebih baik. Terus mengeluarkan segala macam hujah. Termasuklah cicak tokek,
bintangor, jamu herba itu ini, dan entah apa-apa lagi.
Ada yang berhujah,
bahawa semua rawatan farmakologi termasuk HAART ini adalah permainan Yahudi dan
kapitalis. Kata mereka, bukan tiada rawatan lain pun, tetapi sengaja
dirahsiakan semata-mata untuk kepentingan perniagaan dan untuk meracun umat
Islam. Fine! Kau ada hujah dan
rasional. Aku terima, tetapi apa alternatif yang kau cadangkan? Bagaimana hujah
dari sudut saintifiknya?
Ayat-ayat shifa’,
mendekatkan diri kepada Allah dan pemakanan sunnah? Yup, boleh sahaja kerana
hanya Allah sebaik-baik penolong. Setiap penyakit ada penawarnya. Mustahil aku
mampu tolak hujah tersebut kerana aku seorang Muslim. Tetapi, adakah kau boleh
tolak hakikat usia yang semakin tua, mata yang semakin rabun, atau gigi yang
mula mereput? Setakat rawat sahajalah, bukan? Ada ubat untuk elak mati tak?
Fir’aun pun mati bro…
Combivir & Kaletra |
Rawatan Alternatif
Maksud rawatan alternatif
secara umum ialah menolak rawatan farmakologi dan memilih untuk menjalani
rawatan dengan cara lain sebagai ganti. Contoh, hanya memakan ubat, supplement food, atau pil itu ini yang
dijual oleh pelbagai pihak. Ada yang melibatkan kos yang sangat tinggi. Ramai yang
mengambil kesempatan terhadap ujian hidup orang lain. Biasalah, bisnes!
Rawatan Complementary
Rawatan complementary (gabungan). Bermaksud
menggabungkan rawatan farmakologi dan alternatif.
Ya, terpulanglah
selagi tidak mengabaikan rawatan farmakologi jika kau banyak duit dan tiada
sebarang kesan sampingan yang boleh mengakibatkan berlakunya rencatan terhadap
rawatan farmakologi. Jangan memandai makan HAART secara on-off. Jika resistant,
risiko tanggung sendiri.
INGAT, apa juga rawatan ada kemungkinan menambahkan pelbagai
kesan sampingan termasuk dehydration
yang mengakibatkan bahaya yang lebih besar kepada tubuh masing-masing. Tindak
balas tubuh setiap individu terhadap apa yang memasuki badan adalah berbeza.
Pendirian aku,
rawatan farmakologi sudah memadai. Jika mahu ditambah dengan pemakanan sunnah, pemakanan
berkhasiat, atau supplement food sekadar perlu, itu lebih bagus. Seelok-eloknya
berbincang doktor sebelum mengambilnya kerana mereka lebih memahami kondisi
kesihatan kita. Jangan memandai-mandai sendiri.
Menjaga hubungan
dengan Allah dan sesama insan adalah mandatory.
Budaya hidup sihat, senaman, dan pemikiran positif sangat penting. Apa sahaja
penyakit, bukan hanya HIV, jika tidak dirawat, memanglah bahaya.
Setakat ini, tiada bukti sains perubatan bahawa supplement food telah menyembuhkan HIV. Ianya
sekadar dakwaan pengeluar produk yang kononnya produk mereka memang terbukti berkesan
dan hasil kajian pakar itu ini, begitu begini. Jika terbukti, mari kita pakat
telan supplement food tersebut
beramai-ramai. Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah tentu akan
menggunakannya sebagai gantian HAART.
Atau boleh sahaja
kita letakkan sudut terapi ais di mana-mana hospital, senaraikan farmasi
terpilih untuk jual produk-produk yang didakwa berkesan tersebut atau jual kismis
goreng perisa halia bermadu tualang berinti biji delima dan sebagainya.
INGAT!
Akibat enggan
menjalani rawatan, maka perlahan-lahan sistem pertahanan badan semakin merosot.
Maka akan timbullah dakwaan bahawa apabila dijangkiti HIV, jangka hayat ODHA
untuk sihat telah tertutup, tidak boleh berkahwin, tidak boleh mendapatkan
zuriat, kurus kering, berkudis, mayat hidup, dan sebagainya.
Sedangkan dengan
kepatuhan kepada rawatan tidak begitu. Bahkan mungkin doktor, CEO, jururawat,
imam, peguam, dan arkitek yang setiap hari membantu kita adalah seorang ODHA
sama seperti aku. Ha ha ha! Lawaklah kau orang! Doktor pakar jantung pun ramai
yang mati akibat penyakit jantunglah, encik!
Lebih ramai ODHA yang
sihat di sekeliling kau setiap hari berbanding yang terlantar sebenarnya. Mereka
yang terlantar biasanya akibat sudah terlewat untuk menjalani rawatan, tidak
patuh kepada rawatan, atau sudah terlantar baharulah mahu mengambil rawatan.
Tetap Enggan Jalani Rawatan Farmakologi
“Arghhh… tipu… Aku tetap
tidak mahu menjalani rawatan farmakologi!”
“Aku tidak akan
izinkan isteriku / suamiku (ODHA) jalani rawatan kerana banyak kesan sampingan.”
“Kesan jangka
panjangnya sangat bahaya kepada tubuh badan.”
“Baik aku gunakan
rawatan alternatif sahaja, bahkan langkah pencegahan semasa hubungan intim pun
aku tidak mahu ambil.”
“Semuanya takdir
Allah subhanahu wataala…”
Kalau ODHA, pasangan,
atau ada ahli keluarga ODHA berpendirian seperti ini, maka penyelesaian sebenar
ialah kita pakat lempang mereka laju-laju. Opppsss… gurau sahaja. Janganlah
marah aku yang tua ini.
Inilah yang dinamakan
tidak bertanggungjawab terhadap diri sendiri, gagal menjaga pasangan dan
keturunan, serta berfikiran sempit. Jika suami, suami tersebut adalah suami
yang gagal. Totally! Sanggup membahayakan
isteri demi pendapat peribadi. Isteri yang patuh membuta tuli pula, taat dan naïf
tidak bertempat. Kononnya sayang, tetapi mereka sendiri yang merosakkan. Gagal
memahami maqashid syar’iah secara
tepat, bahkan akhirnya menyebabkan kadar penyebaran virus semakin meningkat.
Tetapi…
Jika masih enggan
menjalani rawatan, tiada siapa boleh memaksa kamu mengubah keputusan. Itu
pilihan sendiri. Kita cuma mampu cuba beri penerangan. Jika masih berdegil,
tolong fahami beberapa fakta asas berikut:
1. Fahami apa
itu CD4, viral load, Long Term Non Progressing (LTNP), keperluan menjalani ujian darah
secara berkala, beza menjalani rawatan
dengan KEPATUHAN KEPADA RAWATAN, jangkitan
penyakit-penyakit opportunistic, resistance, dan lain-lain info asas
berkaitan cara jangkitan dan rawatan HIV.
2. Fahami
bahawa apabila virus memasuki tubuh, ianya memerlukan CD4 untuk membiak.
3. Fahami
bahawa virus membiak dengan cara memanipulasi / memakan / membunuh sistem
pertahanan badan (CD4) dengan kadar yang sangat-sangat pantas.
4. Fahami
bahawa semakin tinggi jumlah virus (viral
load), maka fitrahnya lambat laun CD4 (imuniti / pertahanan badan) juga
semakin turun.
5. Fahami
bahawa CD4 memang boleh ditingkatkan dengan pelbagai makanan atau supplement, (pengamal mungkin akan rasa
lebih bertenaga dan sihat pada peringkat permulaannya), tetapi semuanya menjadi
tidak bermakna jika pembiakan virus tidak dikekang.
6. Fahami
bahawa apabila pembiakan virus dikekang, maka jumlah CD4 ODHA akan meningkat
semula dan dapat menjalani hidup sihat seperti manusia biasa.
Apabila rawatan HAART berkesan |
7. Fahami
bahawa dakwaan yang kononnya rawatan farmakologi (HAART) akan menyebabkan kesan
sampingan jangka panjang, adalah andaian. Dose
yang diberikan adalah mampu ditangani oleh sistem penapisan badan seperti buah
pinggang, hati dan sebagainya. Ianya sentiasa dipantau. Sebaliknya dose yang diambil untuk rawatan alternatif
dan supplement food hanyalah secara
umum sahaja. Hampir sama untuk setiap jenis penyakit.
8. Fahami
bahawa setiap ODHA yang belum menjalani rawatan HAART (tidak semestinya setiap ODHA memerlukan HAART), ada kaitannya dengan
LTNP yang aku maksudkan tadi). Mereka bebas mengamalkan apa juga pemakanan
sihat dan berkhasiat yang sesuai dengan tubuh untuk meningkatkan sistem
pertahanan badan jika tiada sebarang alahan atau kesan sampingan tertentu.
9. Fahami
bahawa apabila bacaan CD4 semakin menurun dan bacaan virus semakin meningkat,
ODHA sangat terdedah kepada pelbagai penyakit yang mengambil kesempatan (jangkitan
opportunistic) terhadap sistem
pertahanan tubuh yang lemah tersebut. Akhirnya boleh mengakibatkan rawatan
lebih sukar, malah AIDS. Dengan rawatan awal, AIDS sepatutnya tidak berlaku.
ODHA meninggal dunia dengan sebab-sebab kematian yang sama sahaja seperti
manusia lain.
10. Fahami
bahawa penyakit-penyakit kronik lain yang turut merosakkan sistem pertahanan badan
seperti diabetes, cancer, leukaemia,
thalassemia, dan sebagainya lebih memudaratkan. Perkara tersebut perlu
diutamakan untuk dirawat jika ODHA tersebut turut mengidapnya.
11. Fahami
bahawa jika tetap enggan, (suka hatilah kalau sudah degil sangat) SEKURANG-KURANGNYA LAKUKANLAH SENDIRI
PEMANTAUAN BACAAN CD4 DAN VIRAL LOAD
SECARA BERKALA. Jangan tawakal tidak menentu.
Boleh faham agaknya
apa yang aku kongsikan ini? Jika rajin, pandai-pandailah Google info lain di blog ini kerana perkongsian ini sebenarnya
telah berulang kali aku kongsikan, cuma caranya sahaja yang berbeza. Aku rasa
mudah sahaja bahasanya. Tidak perlukan kamus Oxford pun untuk faham, bukan?
Jumpa lagi.
Aku hamba-Nya yang dhaif
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP
Info Berkaitan:
NO AKAUN PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia
Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive
Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi
ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila
hubungi admins yang berikut: