Tuesday, July 16, 2013

BERTEMU DR. ISKANDAR FIRZADA BIN OSMAN KALI KE-30



My Best Doctor
Dr. Iskandar Firzada bin Osman
MD (USM), MMed (Family Medicine) (USM),
MAFPM (Mal.), FRACGP (Australia), FAFPM (Mal.),
Fellow in Adolescent Health (Melbourne)
Family Medicine Specialist / Primary Care Physician


Maaf, terlalu lama tidak sempat update entri. Ramai yang mula menghantar macam-macam pertanyaan melalui Whatsapp dan SMS. Kesibukan harian dengan urusan komuniti hanya Tuhan sahaja yang tahu.

Baiklah, kita terus sahaja fokus kepada perkongsian pengalamanku kali ini kerana masa sangat berharga. Tiada masa untuk syahdu syahdan melayan kepenatan. Esok, belum pasti kita masih diberi kesempatan bernyawa sekalipun secara fizikalnya tampak sihat dan gagah perkasa.

Tarikh: 28 Jun 2013 (Jumaat)

Sebenarnya sejak 7.30 pagi aku yang ditemani Ummie dan sahabatku yang dikenali sebagai bro. Zainal telah bertolak ke Kuantan. Hajat kami, sebelum ke KK Jaya Gading pada sebelah petang, kami mahu bertemu Ustaz Nasharudin bin Ngah, Penolong Pengarah, Bahagian Penyelidikan, Jabatan Agama Islam Pahang, di Pekan, Pahang atas urusan komuniti.

Memandangkan hari tersebut hari Jumaat, kami agak tergesa-gesa. Syukurlah Ustaz Nasharuddin pada hari tersebut mempunyai urusan di Kuantan dan beliau sudi meluangkan sedikit masa untuk bertemu dengan kami di sebuah gerai berhampiran pantai berdekatan Taman Gelora.

Ada beberapa perkara yang kami perbincangkan dan ternyata Ustaz Nasharuddin bin Ngah memang antara golongan agamawan yang sangat memahami isu komuniti dan sedia memberikan sokongan kepada kami menjayakan sebuah program yang bakal dianjurkan bersama dengan pihak JAKIM di negeri Pahang.

Aku bersama Ustaz Nasharudin bin Ngah, Penolong Pengarah, Bahagian Penyelidikan, Jabatan Agama Islam Pahang, dan Bro. Zainal


Sesudah solat Jumaat di sebuah masjid bersebelahan lapangan terbang TUDM Kuantan, kami mula bergabung dengan tiga orang lagi kenalan yang asalnya terdiri daripada pembaca blog ini dari pelbagai tempat. Mereka meminta pertolonganku untuk berjumpa Dr. Iskandar untuk mendapatkan kaunseling atas sebab masing-masing. Hajat mereka telah aku maklumkan terlebih awal kepada Dr. Iskandar Firzada bin Osman.

Tempat: KK Jaya Gading, Kuantan.
Masa: 2.50 p.m.

Pemeriksaan rutin:

Blood pressure: 118/68
Weight: 76 kg
Glucose: 7.2 (Aku mula risau kerana bacaan gula dalam darahku semakin meninggi)
Mouth: No oral candidiasis

Pada hari tersebut juga, Dr. Iskandar telah mengambil beberapa tabung darahku untuk ujian. Ujian ini bertujuan untuk memeriksa tahap diabetes (HBa1C ) dan fungsi hati.

Dr. Iskandar turut memberikan sedikit panduan pengambilan metformin untuk bulan Ramadhan bagi pesakit diabetes seperti aku. Pada hari pertama Ramadhan, ambil dos penuh pada waktu sahur dan waktu berbuka puasa.

Sekiranya pada hari kedua Ramadhan aku mengalami situasi hypoglycaemia (kurang gula), aku hanya perlu mengambil separuh dos pada waktu sahur dan melengkapkan satu dos setengah lagi pada waktu berbuka puasa. Aku juga perlu segera berbuka puasa jika masalah hypo berterusan.

Alhamdulillah setakat ini aku tidak mengalami sebarang masalah semasa berpuasa, bahkan terasa lebih sihat berbanding bulan-bulan yang lain.

Berikut adalah antara sebahagian daripada soalan-soalan yang sahabat komuniti minta aku tanyakan kepada Dr. Iskandar.

Soalan 1:

Adakah benar bahawa pengambilan Tenvir @ Tenofovir mampu menyebabkan peningkatan CD4 dengan kadar yang agak cepat?

Jawapan:

Kesan daripada pengambilan Tenvir atau Zidovudine ada dua iaitu:

-          virologic response (mengurangkan jumlah virus)
-          immunologic response (meningkatkan imuniti tubuh)

Tenvir perlu diambil sekali sehari, manakala Zidovudine perlu diambil dua kali sehari. Tenvir dan Zidovudine memberikan kesan sampingan yang sama.

Menurut kajian, bagi virologic response, Orang Yang Hidup Dengan HIV (ODHA) yang mengambil Tenvir atau Zidovudine sepatutnya akan mengalami tahap Viral Load not detected selepas 6 bulan.

Berbeza dengan immunologic response, hasil daripada pemantauan kajian yang dilakukan mendapati bahawa pengambilan Tenvir yang diambil dijangka dapat meningkatkan tahap CD4 lebih cepat berbanding pengambilan Zidovudine. Walau bagaimanapun, kesannya adalah tidak sama bagi setiap ODHA dan ianya bergantung kepada biologi setiap ODHA.

Rawatan yang diberikan adalah lebih kepada virologic response.

Soalan 2:

Bagaimana jika ODHA yang terpaksa mengambil HAART second line kerana tubuhnya tidak serasi dengan kombinasi first line suatu ketika dahulu mahu kembali ke first line selepas tubuhnya menunjukkan keserasian dengan second line?

Jawapan:

Tidak boleh kerana telah terbukti berlaku kesan sampingan semasa mereka mengambil regime first line. Side effect is for good.

Soalan 3:

Salah seorang ahli komuniti yang merupakan seorang PLHIV telah menjalani prosedur Laser-Assisted In Situ Keratomileusis (LASIK). Walau bagaimanapun, tidak lama selepas daripada prosedur itu, ada tanda-tanda beliau kembali rabun semula. Persoalannya, adakah akibat rabun semula itu ada kaitannya dengan kesan pengambilan rawatan HAART?

Jawapan:

LASIK adalah proses pembentukan kornea. Tujuan LASIK adalah untuk membolehkan seseorang itu melihat jarak jauh tanpa menggunakan cermin mata. Secara fitrahnya, apabila semakin berusia, kita turut akan kehilangan kemampuan pandangan (sight) sedikit demi sedikit.

Rawatan HAART sepatutnya tidak memberikan sebarang kesan terhadap mata. Situasi rabun semula itu adalah kemungkinan akibat komplikasi. ODHA tersebut perlulah merujuk doktor mata yang merawatnya untuk tindakan selanjutnya.

Disebabkan kesuntukan masa, aku memberi peluang kepada Bro. Zainal menanyakan beberapa perkara. Selepas itu aku menemani seorang demi seorang ketiga-tiga kenalan yang ingin meminta pandangan Dr. Iskandar tentang masalah yang mereka hadapi. Menjelang pukul 7 malam barulah segala urusan tersebut selesai.

Penatnya Tuhan sahaja yang tahu, tetapi apabila memikirkan berkemungkinan Allah balas segala penat lelah tersebut menjadi amal ibadah, aku rasa lapang.

Sebaik selesai, sahabat-sahabat yang belum menunaikan solat Asar bergegas menunaikannya di masjid berhampiran. Syukur aku terlebih dahulu telah solat jamak taqdim. Selepas solat jamak taqdim Maghrib dan Isya’, kami bertiga pun bergerak pulang ke Temerloh.

Kepada Dr. Iskandar Firzada bin Osman dan semua kakitangan KK Jaya Gading yang telah memberikan kerjasama dan komitmen yang profesional dan cemerlang, aku mendoakan kebahagiaan dunia dan akhirat. Hanya Allah dapat membalas segala kebaikan. Alangkah indahnya jika semua kakitangan KKM bersikap prihatin begini.

Beberapa info dan fakta penting yang dikongsikan oleh Dr. Iskandar:

1.                  We are not killing the HIV but we block them from multiplying.
(Rawatan sekarang sangat efektif tetapi belum mampu membunuh HIV. Rawatan adalah untuk mengekang virus daripada berganda).

2.                  HIV is a Virus. STIGMA is the DEADLY disease.
(HIV hanyalah virus yang boleh dikawal. STIGMA adalah jangkitan maut yang sebenar).

3.                  Selain untuk kesihatan ODHA sendiri, rawatan juga bertujuan untuk melindungi pasangan dan zuriat kepada ODHA.

4.                  Kadangkala (sangat jarang berlaku) rapid test menunjukkan keputusan HIV positif yang palsu. Ada kemungkinan ianya disebabkan oleh lyme diseases. Untuk pengesahannya, ujian yang terperinci perlu dilakukan. Ianya bukan disebabkan oleh HIV.

5.                  Terdapat beberapa ubatan atau antigen tertentu yang diambil oleh klien akan menyebabkan demam. Kenapa? Apabila sesuatu ubat baru dimasukkan ke dalam tubuh, sel darah putih akan mengenal pasti ubat tersebut sebagai bendasing. Untuk sel darah putih berfungsi, suhu badan perlu naik (demam).

6.                  Aerobic – jangkitan melalui udara (lebih bahaya). Contoh H1N1 dan Sars.

Anaerobic – jangkitan selain udara (bendalir badan). Jangkitan melalui udara adalah jauh lebih bahaya dan HIV bukan jangkitan melalui udara!

7.                  Efavirenz biasanya diberikan kepada ODHA yang turut menghidap Hepatitis B.
  
1.                 

Aku hamba-Nya yang dhaif
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP


Info Berkaitan:

Laman Web Rasmi PPWM: http://www.positivewarriors.org/

NO AKAUN PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Camelia Sulaiman: camelia_sulaiman@yahoo.com
Luka Rafieqa: rafieqakl@hotmail.com

NGO Sokongan:

Pertubuhan Amal Firdausi Kuala Lumpur (PAFI)
Sila hubungi:
E-Mel: amalfirdausi@gmail.com
Talian Marhabah: 018-207-0953 (Encik Hamli) @ 017-311-0306 (Encik Raffie)
Telefon / Faks: 03-9174-0934
FB PAFI: http://www.facebook.com/amalfirdausi (open group)
Twitter: twitter.com/amalfirdausi

Sokongan khusus kepada komuniti wanita: PEWAHIM
Untuk menyertai FB PEWAHIM (secret group) sila hubungi:
E-Mel: pewahim@gmail.com
Telefon: 019-259-5864 (Norlela) Pengasas
No akaun PEWAHIM: 562740121438 (Maybank)