Sunday, June 23, 2013

BERTEMU DR. ISKANDAR FIRZADA BIN OSMAN KALI KE-29




Aku bersama my best doctor


Ermm… dah berabuk blog aku ini kerana lama tidak dikemaskini. Seperti biasa pelbagai idea dan pengalaman yang mahu kukongsikan tetapi rutin harian memang terlalu padat dan memenatkan. Kadang-kadang urusan komuniti tidak membenarkan aku berehat walau sedikit pun. Aku perlu bertindak mengikut priority.

Blogging adalah jiwaku kerana minatku dalam bidang penulisan dan merupakan salah satu terapi minda yang sangat bermakna. Melalui blog, aku mendapat kepuasan tertentu kerana berpeluang membantu komuniti dengan cara yang tersendiri.

Maklumat yang aku kongsikan kali ini sebenarnya sudah agak lama tetapi tetap perlu dikongsikan kerana ianya dokumentasi peribadi yang sangat penting iaitu pengalamanku menghadiri kaunseling dengan Doktor Iskandar Firzada bin Osman.

Seperti biasa, pertemuanku dengan Dr. Iskandar ditemani oleh dua orang ratu hatiku iaitu Kak Da dan Ummie. Cuma kali ini anak bongsu kami iaitu Danish turut menemani kerana temujanji awal telah diatur dengan Dr. Iskandar supaya beliau mengizinkan Danish mengadakan temubual untuk satu tugasannya berkaitan bidang kerjaya sebagai seorang doktor.

Danish perlu melaksanakan tugasan tersebut kerana cita-citanya adalah untuk menjadi seorang doktor. Untuk makluman kepada yang belum mengetahui, Danish adalah seorang pelajar MRSM yang bakal menghadapi peperiksaan SPM pada tahun ini. Tolong doa-doakan kejayaan cemerlang Danish dalam peperiksaan yang bakal dihadapi tidak berapa lama lagi.

Jom baca beberapa catatan ringkas mengenai temujanji yang telah berlaku lebih 2 minggu yang lalu.


27 Mei 2013 (Isnin)
4.45 petang

Routine check-up
Fasting blood sugar: 6.2
Weight: 75.8 kg (decreased from the previous visit)
Temperature: 36.6°C
Blood pressure: 114/68
Pass rate: 66 (< 70 is good)
Mouth: No oral candidiasis

Secara umum tahap kesihatanku adalah semakin baik. Alhamdulillah.

Berikut adalah soalan-soalan peribadi dan komuniti yang elok dikongsikan kepada umum. Jawapan yang diberikan oleh Dr. Iskandar Firzada pula adalah berdasarkan pemahamanku. Jadi, mohon maaf dan pembetulan jika terdapat beberapa fakta yang tidak berapa tepat. Mohon teguran.

Soalan 1:

Aku terlibat dengan pelbagai jadual aktiviti yang sangat padat, tetapi cepat merasakan keletihan yang agak melampau dalam tempoh yang agak panjang. Aku meminta nasihat dan pandangan Dr. Iskandar tentang cara-cara untuk mengatasi keletihan tersebut.

Jawapan:

Ianya bergantung kepada aktiviti yang dilakukan. Jadual harian yang padat sehingga tidak cukup rehat dan kepelbagaian aktiviti yang dilakukan itu melibatkan otot. Faktor usia turut memainkan peranan. Jadi, dalam usiaku yang sebegini, adalah normal jika agak lambat untuk kembali refreshed, recharged, revived, dan rejuvenated selepas melakukan pelbagai aktiviti yang memenatkan.

Dalam erti kata lain, “Sedarlah diri kau tu sudah tua, Pie…”

Soalan 2:

Seorang ahli komuniti mengalami kekaburan pada mata kirinya selepas pengambilan HAART. Adakah itu sesuatu yang normal?

Jawapan:

Menurut Dr. Iskandar, pengambilan HAART memang dijangka memberikan beberapa kesan sampingan yang bersifat sementara. Antara kesan-kesan sampingan biasa dan memang dijangka termasuklah ruam kemerah-merahan pada anggota badan dan rasa mual. Kesan-kesan sampingan yang tidak dijangka pula perlulah dibuat pemeriksaan lanjut untuk memastikan punca-punca sebenar.

Kekaburan pada sebelah mata adalah suatu keadaan yang tidak dijangka atau sangat jarang berlaku berpunca daripada pengambilan HAART. Jika kekaburan pada mata adalah suatu kesan sampingan, maka biasanya ianya akan melibatkan kesan terhadap kedua-dua belah mata, dan bukannya pada sebelah mata sahaja. Jadi, Dr. Iskandar menyarankan agar ahli komuniti tersebut membuat pemeriksaan lanjut terhadap keadaan tersebut.

Soalan 3:

Seorang ahli komuniti yang merupakan seorang ibu yang hidup dengan HIV (ODHA) baru sahaja melahirkan seorang anak. Beliau runsing pihak hospital enggan memberikan suntikan BCG kepada bayinya. Alasan pihak hospital ialah bayi tersebut belum disahkan sepenuhnya bebas HIV atau tidak.

Jawapan:

Menurut Dr. Iskandar, suntikan BCG (Bacille Calmette Guerin) adalah sebagai vaksin untuk Tuberculosis (TB) atau batuk kering. BCG mengandungi vaksin hidup yang telah dilemahkan. Vaksin hidup itu adalah mycobacterium bovis yang bertindak mengurangkan risiko jangkitan TB.

Secara umumnya, prosedur yang diguna pakai di seluruh dunia adalah terhadap bayi-bayi yang belum disahkan bebas HIV sepenuhnya (melepasi umur 18 bulan) ialah mereka TIDAK AKAN DIBERI SUNTIKAN BCG.

Rasional:

Bayi normal yang tidak menerima suntikan BCG lebih terdedah kepada jangkitan TB tetapi bagi bayi-bayi yang terdedah kepada risiko jangkitan HIV adalah lebih baik dielakkan. Vaksin yang terkandung di dalam BCG adalah ‘hidup’ dan lebih meningkatkan risiko jangkitan TB seandainya bayi tersebut didiagnos positif HIV dalam tempoh 18 bulan yang dinyatakan tadi.

Vaksin TB adalah vaksin yang ‘hidup’ walaupun telah dilemahkan. Prosedur tersebut terpaksa dilakukan untuk mengurangkan kemudaratan (harm reduction). Dengan mengelakkan risiko jangkitan TB, sistem pertahanan badan seseorang dapat bertahan daripada jangkitan TB sekalipun tanpa suntikan BCG.

Soalan 4:

Seorang ahli komuniti bertanya sama ada susu kambing formula sesuai diberikan kepada bayi beliau. Susu kambing formula tersebut menyatakan bahawa ianya adalah susu yang kedua terbaik di dunia untuk diberikan kepada bayi. Jururawat yang merawat beliau melarang dan menyatakan bahawa susu kambing adalah sukar untuk dihadam oleh bayi.

Jawapan:

Adalah menjadi dasar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa ibu yang positif HIV dilarang memberikan susu badan (breastfeed) kepada bayi mereka. Sebagai alternatifnya, pihak hospital akan membekalkan susu formula.

Justeru itu, pihak KKM telah menyediakan susu formula bayi (infant formula) secara PERCUMA kepada ibu-ibu yang positif HIV selama 2 tahun, tidak kira apa pun latar belakang ibu-ibu tersebut sama ada berkemampuan atau tidak. Ibu-ibu positif HIV tersebut boleh membuat aduan kepada pihak pengurusan hospital sekiranya susu formula bayi tidak diterima.

Dr. Iskandar turut menyatakan bahawa sebarang susu formula bayi adalah sesuai untuk diminum oleh bayi jika tiada sebarang alahan sampingan, tidak kira apa pun sumber susu itu sama ada daripada lembu, kambing, atau unta sekalipun tetapi selain yang dibekalkan oleh pihak KKM, ibu bapa kepada bayi hendaklah membelinya dengan kewangan sendiri. Walau bagaimanapun, susu formula bayi yang disediakan oleh pihak KKM untuk para ibu yang positif HIV adalah dikawal oleh Pegawai Zat Makanan.

Soalan 5:

Seorang isteri yang positif HIV mempersoalkan mengapa bacaan CD4 suaminya yang juga positif HIV lebih tinggi berbanding dirinya, sedangkan suaminya adalah pihak yang menjangkitkan. Tidakkah sepatutnya CD4 pihak yang menjangkitkan adalah lebih rendah berbanding yang dijangkiti?

Jawapan:

Menurut Dr. Iskandar, tidak semestinya CD4 pihak yang menjangkitkan adalah lebih tinggi berbanding yang dijangkiti. CD4 suami itu mungkin tinggi, tetapi Viral Load beliau juga mungkin tinggi. CD4 adalah sekadar antibodi untuk perlindungan diri sendiri dan bergantung kepada imuniti individu.

Soalan 6:

Seorang ahli komuniti perlu mengambil sejenis makanan tambahan (supplement food) bagi melegakan sejenis penyakit yang sedang dialaminya. Makanan tambahan bertindak merencatkan penyakit tersebut daripada terus-menerus merebak.

Walau bagaimanapun, doktor yang merawat itu menyatakan bahawa pihak KKM tidak menyediakan makanan tambahan untuk para klien. Klien perlu membeli sendiri makanan tambahan tersebut.

Jawapan:

Menurut Dr. Iskandar, pihak KKM tidak menyediakan makanan tambahan untuk para klien. Klien perlu membeli sendiri makanan tambahan tersebut.

Namun begitu, para penjawat awam yang terpaksa membeli beberapa ubatan tertentu yang tidak disediakan oleh KKM boleh menuntut kembali bayaran perubatan (medical claim) daripada jabatan mereka bertugas.

Pesara kerajaan pula boleh memperolehi ubat tersebut secara percuma. Kedua-dua keadaan ini adalah sah dengan syarat penjawat awam dan pesara kerajaan tersebut mempunyai preskripsi yang telah disahkan oleh pegawai perubatan kerajaan.

Tuntutan bayaran perubatan tersebut pula perlulah disertakan dengan resit dan disahkan oleh pegawai perubatan kerajaan sebelum diserahkan kepada pihak pentadbiran jabatan tempat bertugas.

Borang yang perlu diisi bagi tujuan tuntutan bayaran perubatan:

Peraturan Permohonan Perbelanjaan Kemudahan Perubatan

Soalan 7:

Mengapa di kalangan sesama doktor pakar perubatan sendiri memberikan pandangan yang berbeza-beza dan mengelirukan masyarakat tentang hasrat ODHA untuk mendirikan rumahtangga, apatah lagi memperolehi zuriat?

Jawapan:

Memang masih terdapat segelintir para doktor termasuk doktor pakar (specialist) dan kakitangan KKM unit Infectious Disease (ID) sendiri yang masih stigma tentang HIV dan AIDS.

Doktor-doktor pakar ini tidak bersetuju dengan niat dan keputusan para ODHA yang mahu berkahwin dan mempunyai zuriat walaupun terbukti wujudnya kemajuan dalam bidang perubatan HIV/AIDS. Rawatan dan teknologi terkini terbukti sangat efektif.

Dr. Iskandar menasihatkan agar masyarakat umum berhati-hati dengan doktor-doktor pakar yang mempunyai stigma dan mentaliti sebegini. Sekiranya kita bertemu dengan segelintir doktor yang mempunyai pandangan demikian, masyarakat berhak mendapatkan pendapat kedua (second opinion) daripada pengamal perubatan yang lain.

Danish bersama doktor idolanya, Dr. Iskandar

Setakat ini sahaja perkongsian kali ini. Semoga ada manfaatnya kepada kita semua. Insya-Allah jumpa lagi. Jutaan penghargaan dan terima kasih kepada Dr. Iskandar Firzada bin Osman dan semua kakitangan Klinik Kesihatan Jaya Gading, Kuantan, Pahang atas perkhidmatan yang cemerlang. Jazakumullah khier.


Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP


Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli PPWM, untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Camelia Sulaiman: camelia_sulaiman@yahoo.com
Luka Rafieqa: rafieqakl@hotmail.com

NGO Sokongan:

Pertubuhan Amal Firdausi Kuala Lumpur (PAFI)

Sila hubungi:
Laman Web: http://www.amalfirdausi.org
E-Mel: amalfirdausi@gmail.com
Talian Marhabah: 018-207-0953 (Encik Hamli) @ 017-311-0306 (Encik Raffie)
Telefon / Faks: 03-9174-0934
FB PAFI: http://www.facebook.com/amalfirdausi (Open Group)
Twitter: twitter.com/amalfirdausi


Sokongan khusus kepada komuniti wanita: PEWAHIM
Untuk menyertainya FB PEWAHIM, (secret group) sila hubungi:
E-Mel: pewahim@gmail.com
Telefon: 019-259-5864 (Norlela) Pengasas
No akaun PEWAHIM: 562740121438 (Maybank)