Friday, February 11, 2011

MANGSA SEBENAR HIV

KUALA LUMPUR,    7 Mei - Hati siapa yang tidak tersentuh melihat seorang kanak-kanak perempuan yang ceria perwatakannya dan baru berumur empat tahun meninggal dunia disebabkan HIV positif yang dijangkiti oleh ibu bapanya.

Itulah pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh sepasang suami isteri Marhalem Mansor, 44, dan isteri Jamaliah Sulaiman, 44, yang sebelum ini adalah sukarelawan Yayasan PT tetapi kini berkhidmat tetap di yayasan tersebut sejak dua tahun yang lepas.

Yayasan PT merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperolehi dana dari Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Kesihatan berfungsi membantu golongan penagih dadah, pelacur, mak nyah, pengemis serta anak-anak terbiar dan penghidap HIV positif yang tertumpu di kawasan Chow Kit.

Mereka akan diberi bimbingan moral, sokongan serta makanan dan seterusnya memberi peluang sama ada mereka ingin terlibat secara langsung sebagai sukarelawan atau tidak.

"Kami berjumpa dengan kanak-kanak tersebut kira-kira dua tahun yang lepas di sebuah hospital di Kuala Lumpur semasa menjadi sukarelawan untuk membantu penghidap HIV, " katanya ketika ditemuramah pemberita ketika gotong-royong tanah perkuburan Gombak di sini Jumaat menjelang sambutan Hari Aids Sedunia pada 16 Mei.
Jamaliah berkata kanak-kanak itu tidak pernah mendapat kasih sayang daripada kedua ibu bapanya kerana ditinggalkan sejak bayi.

"Apa yang paling menyayat hati kami apabila di saat-saat akhir pemergiannya, beliau pernah berkata kepada kami bahawa beliau merasa puas kerana sempat merasa kasih sayang dari kami sekeluarga yang melayannya seperti darah daging sendiri.

"Allahyarhamah juga sempat bercerita kepada kawan-kawannya yang beliau merasa gembira mempunyai kakak dan abang yang merupakan anak-anak kami walaupun dalam masa yang singkat,"
katanya.

Ketika ditanya bagaimana mereka boleh terbabit dengan yayasan ini, Marhalem berkata dahulunya beliau adalah seorang penagih dadah tegar yang pernah tidur beralaskan kotak di kaki lima dan pernah melakukan pelbagai jenayah.

Marhalem yang juga pemegang Diploma Perniagaan dari Institut Teknologi Mara (ITM) yang kini dikenali sebagai Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata beliau mula mengambil dadah semenjak di tingkatan dua yang semasa itu beliau adalah pelajar sekolah berasrama penuh di utara tanah air.

"Saya mendapat tahu yang saya ini penghidap HIV positif ketika mendapat rawatan di sebuah hospital dengan bantuan yayasan, ketika itu keadaan saya memang kritikal sehingga tidak boleh berjalan dan selepas pulih saya dengan sukarela menjadi sukarelawan di yayasan ini," katanya.

Isterinya pula berkata, beliau merupakan penghidap HIV Positif yang diperolehi daripada bekas suaminya yang pertama tetapi anak dari hubungan itu bebas HIV, bagaimanapun anak hasil perkahwinan yang kedua disahkan HIV positif walaupun bekas suami keduanya itu bukan penghidap HIV.

"Anak saya yang terkena virus ini pernah ditolak untuk memasuki sekolah tadika kerana dikhuatiri boleh terkena jangkitan kepada kanak-kanak lain tetapi apabila diterangkan dengan mendalam mengenai cara virus ini berjangkit mereka dapat menerimanya.

"Marhalem merupakan suami saya yang ketiga, kami berjumpa ketika sama-sama menjadi sukarelawan di yayasan ini tetapi tidak dikurniakan anak," katanya.

Pasangan itu bagaimanapun mempunyai dua orang anak angkat dan dua anak Jamaliah hasil perkahwinan sebelum ini.

Ketika ditanya mengenai perancangan mereka, Marhalem berkata beliau merancang menjalankan projek pertanian di tanah kepunyaan isterinya di Klang sekaligus membantu mendapatkan pekerjaan kepada sukarelawan di yayasan tersebut. 

BERNAMA

Sumber: sini