Wednesday, July 09, 2014

PUASA ORANG YANG HIDUP DENGAN HIV (UTUSAN MALAYSIA)






8 Julai 2014
Oleh Rosmah Dain


MENJALANI ibadah puasa bagi semua insan beragama Islam adalah satu kewajipan pada bulan Ramadan, semuanya tidak terkecuali khususnya bagi mereka yang telah melewati syarat-syarat sah berpuasa.

Biarpun begitu, ada kelonggaran bagi mereka yang uzur syarie, sakit, kanak-kanak dan sebagainya.

Bagi mereka yang sakit dan uzur, mereka diberi kelonggaran untuk tidak berpuasa dan akan menggantikannya semula sekiranya telah sihat kerana pada waktu itu mereka sedang menerima rawatan dan memakan ubat-ubatan yang disyorkan doktor.

Tetapi bagaimana pula dengan individu yang perlu makan ubat-ubat khas untuk kesinambungan hayat? Begitu yang dialami oleh orang-orang yang hidup dengan HIV. Mereka bergantung sepenuhnya kepada ubat khas. Ia perlu dimakan secara tetap dan berjadual mengikut masa, setiap hari pada sepanjang usia mereka, satu risiko yang perlu dihadapi oleh golongan ini sekiranya mereka berpuasa pada bulan Ramadan.

Namun itu semua bukanlah satu penghalang bagi orang yang hidup dengan HIV untuk menjalani ibadah berkenaan mengikut kemampuan diri. Apa yang penting kesungguhan dan semangat atas dasar keinsafan dan ingin beribadat menjadi pendorong golongan ini berpuasa dan melakukan aktiviti terawih dan amalan-amalan yang lain sepanjang Ramadan.

NORASID Md. Said (dua dari kanan) ketika menjalankan tugasnya sebagai sukarelawan Program Pertukaran Jarum dan Alat Suntikan

Menurut seorang sukarelawan Program Pertukaran Jarum dan Alat Suntikan (N.S.E.P) dari Kelab Sahabat META Tampin, yang juga Exco Pertubuhan Positive Warriors Malaysia, Norasid Md. Said, 40, yang berasal dari Felda Palong 3 Gemas di Negeri Sembilan, orang yang hidup dengan HIV sepertinya boleh berpuasa seperti biasa. Cuma mungkin sebahagiannya tidak akan penuh puasanya dalam tempoh sebulan.

“Secara peribadi, paling banyak pun saya mungkin mampu berpuasa selama 15 hari sahaja kerana kami mesti memakan ubat-ubat mengikut jadual. Setiap hari saya akan memakan HAART (Highly Active Anti-Retroviral Therapy) dan metadon (ubat untuk bekas penyalah guna dadah).

“Umumnya HAART perlu dimakan setiap 12 jam atau 24 jam sekali. Ini bermakna sekiranya saya makan pada jam 8 pagi saya perlu makan kembali jam 8 malam. Begitulah aturannya setiap hari. Manakala metadon pula saya perlu makan sekali sehari,” jelas Norasid yang menerima virus berkenaan akibat perkongsian jarum suntikan dan didiagnos menghidap HIV sejak tahun 2003.

Kata Norasid yang sukarela memperkenalkan diri sebagai orang yang hidup dengan HIV ini, hakikatnya dia perlu bijak menyeimbangkan jadual dan masa makan ubat yang telah ditetapkan.

Jelasnya, biarpun masa makan ubat khas itu akan ‘lari’ dalam tiga ke empat jam dalam sehari dan dikatakan ada risikonya tetapi ianya bukanlah muktamad kerana turut bergantung kepada banyak faktor sampingan. Sebagai orang Islam, Norasid tetap tabah melalui perjalanan Ramadan.

“Saya akan pastikan mengambil ubat-ubat khas saya selepas bersahur dan kemudian apabila berbuka ubat-ubat itu perlu diambil dengan segera.

“Sebenarnya bagi orang yang hidup dengan HIV dan stabil dengan CD4 (penanda aras sistem kekebalan dalam tubuh) mereka yang meningkat dan kiraan virus yang rendah atau tiada dikesan langsung, golongan ini boleh berpuasa. Sekiranya mereka masih baru memulakan rawatan HIV, dengan CD4 yang rendah dan jumlah virus masih tinggi, maka golongan ini tidak digalakkan berpuasa,” katanya yang telah lapan tahun berumah tangga dan mempunyai tiga orang anak berumur enam, lima dan tiga tahun yang kesemuanya bebas HIV.

Kekangan untuk Norasid berpuasa penuh sepanjang bulan Ramadan adalah mungkin dia mengalami alahan dengan rawatan metadon, terutamanya jika perut kosong. Akibat perut yang kosong, Norasid akan mengalami gangguan dalam perut yang amat menyakitkan.

“Gangguan berkenaan terasa pedih di hulu hati sampai ke dada dan menyebabkan badan terasa kekeringan sehingga air liur terasa tiada, mulut menjadi pecah-pecah dan pada siang hari terasa amat lemah.

“Berbeza dengan sebelum saya mendapat HIV, saya rasa sihat ketika berpuasa berlainan rasanya sekarang. Akibat daripada itu saya akan mengurangkan aktiviti di bulan ini,” katanya.

Apabila ditanya apakah makanan yang perlu dimakan ketika bersahur dan berbuka, dia berkata dari segi pemakanan sama seperti individu lain, perlu makan dengan diet yang seimbang, seperti sayur-sayuran, protein dan nasi. Norasid juga akan pergi berterawih sekiranya terlarat.

Namun apa yang benar-benar ditekankannya adalah minum air dengan kuantiti yang banyak pada sebelah malam dan pada waktu bersahur agar mempercepatkan proses ubat-ubatan berkenaan berfungsi dan kekal tidak terhidrat pada siang hari.

Ketika ditanya apakah dia pernah bertanya kepada ustaz atau tokoh-tokoh agama mengenai permasalahannya itu, dia menjelaskan persoalan itu pernah ditanyanya dan ustaz menyuruh untuk dia mempertimbangkan sendiri sama ada mampu untuk mengganti puasa atau membayar fidyah terhadap puasanya yang tertinggal.

“Saya memilih untuk membayar fidyah sekiranya tidak mampu mengganti puasa. Mungkin saya akan ganti puasa beberapa hari sekiranya termampu dan selebihnya saya bayar fidyah,” katanya.

Sihat dalam bulan Ramadan

Berbeza dengan Presiden Pertubuhan Positive Warriors Malaysia, Mohamad Wahid, 47, atau lebih dikenali sebagai Pie berkata, dirinya tidak berhadapan dengan sebarang masalah untuk berpuasa pada bulan Ramadan biarpun perlu mengambil HAART secara berjadual, malah badannya terasa lebih sihat.

Mohamad yang tinggal dengan dua orang isteri dan dua orang anak di Temerloh, Pahang didiagnos menghidap HIV sejak 2010 dan dia bukanlah seorang bekas penyalah guna dadah. Dia terkenal dengan blognya akuhivpositif.blogspot.com


“Ubat saya juga perlu makan dua kali dalam tempoh 24 jam. Di bulan-bulan biasa, ubat saya ambil pada pukul 9 pagi, dan saya perlu mengambilnya semula pada pukul 9 malam. Di bulan Ramadan bertukar sekitar pukul 5:30 pagi dan pukul 7:30 malam untuk disesuaikan dengan jadual bersahur dan berbuka puasa dengan jadual pengambilan ubat supaya tidak terlalu berbeza. Alhamdulillah setakat ini saya tidak pernah tinggal puasa.

“Kalau setakat makan HAART sebenarnya tidak memberi sebarang masalah kepada orang yang hidup dengan HIV untuk berpuasa apabila masa pengambilannya ‘terlari’ sedikit. Halangan timbul sekiranya individu berkenaan turut memerlukan rawatan penyakit-penyakit yang lain, yang mungkin menyebabkan kesan-kesan sampingan," katanya.

Apa pun dia bersetuju mereka perlu minum banyak air kosong dan kawal cara pemakanan dengan makan makanan yang seimbang sepanjang masa. Dia juga turut mengambil kesempatan memperbanyakkan amalan pada bulan mulia ini tanpa perbezaan dengan orang-orang lain.

MOHAMAD Wahid (kanan) mengadakan aktiviti bertadarus dengan rakan-rakan dan isteri-isterinya

Jelasnya masa ‘terlari’ antara tiga ke empat jam itu pada peringkat permulaan puasa sahaja dan kembali seperti asal selepas bulan Ramadhan. Katanya tiada masalah sekiranya pandai mengatur diri dan tiada penggunaan ubat-ubatan lain yang diperlukan.

Dalam pada itu Mohamad menjelaskan orang yang hidup dengan HIV perlu pandai menetapkan jadual sendiri pemakanan ubat sekiranya berada di luar negara yang waktunya berbeza dari negara ini. Ada kaedahnya untuk mengubah jadual pengambilan ubat secara beransur-ansur. Tetapi jika waktu siangnya terlalu panjang, barulah dibuat pilihan sama ada menggantikan puasa atau membayar fidyah  dipertimbangkan.


Republished by Ummie


Rujukan / artikel penuh:
© Utusan Melayu (M) Bhd




Info Berkaitan:

Laman Web Rasmi PPWM:

Facebook Fanpage PPWM:
  
No. Akaun PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Abd. Shukor Mohd Yunus: shux@positivewarriors.org
Hishamudin Rahman: carphatz_04@yahoo.com