Thursday, July 24, 2014

BERTEMU DR. ISKANDAR FIRZADA BIN OSMAN KALI KE-39



My Best Doctor
Dr. Iskandar Firzada bin Osman
MD (USM), MMed (Family Medicine) (USM),
MAFPM (Mal.), FRACGP (Australia), FAFPM (Mal.),
Fellow in Adolescent Health (Melbourne)
Family Medicine Specialist / Primary Care Physician


Date: 17 July 2014
Day: Thursday
Venue: Klinik Kesihatan Jaya Gading, Kuantan
Time: 4.03 pm

Bersamaku adalah Kak Da, Ummie, dan Danial. Turut serta adalah dua orang rakan komuniti PPWM, iaitu sepasang suami isteri dari Cherating, Kuantan.

Routine check-up:

Weight: 71.2 kg (turun sedikit)
Blood pressure: 116/68 (normal)
Pulse rate: 56/min
Glucose: 5.9 (taken by Dr. Iskandar)
Temperature: 36.5°C
Mouth: No oral candidiasis
Lung: Clear

Sambil menjalankan tugasnya memantau kesihatanku, Dr. Iskandar berkongsi maklumat tentang keperluan seorang PLHIV (People Living With HIV) yang turut menghidap Hepatitis-C supaya viral load Hepatitis-C nya turut dipantau secara berkala melalui ujian darah..

Virus Hepatitis C bagi PLHIV yang mengambil Lamivudine sebagai salah satu kombinasi rawatan HAART dapat dihalang peningkatannya kerana Lamivudine pernah digunakan untuk membantu mengawal viral load Hepatitis-C. Jadi, ujian darah tersebut adalah untuk melihat keberkesanan pengurangan viral load Hepatitis-C selepas pengambilan Lamivudine. Jika tidak berkesan, doktor akan mempertimbangkan beberapa langkah rawatan yang lain.

Cara jangkitan Hepatitis-C adalah lebih kepada blood-borne atau melalui darah yang telah tercemar oleh virus berbanding melalui air liur atau mana-mana cecair badan. Antaranya termasuklah melalui perkongsian jarum suntikan dadah di kalangan pengguna dadah suntikan atau injected drug user (IDU), cacah atau tattoo, prosedur pemindahan darah, atau pemindahan organ.


Sebagai contoh, sekiranya seorang PLHIV lelaki yang juga seorang penghidap Hepatitis-C berkahwin dengan seorang wanita non-PLHIV, wanita tersebut mempunyai kemungkinan dijangkiti HIV sahaja (jika suaminya tidak mengambil rawatan HAART). Sangat jarang yang turut dijangkiti Hepatitis-C kerana mereka tidak terlibat dengan risiko jangkitan melalui darah.


Sesi kaunseling dan sharing


Soalan 1:

Bagaimanakah prosedur jika seseorang patient atau client mahu membuat sebarang aduan rasmi secara bertulis terhadap sesebuah Klinik Kesihatan (KK) tertentu disebabkan tidak berpuas hati semasa menjalani rawatan di KK tersebut? Adakah cukup sekadar menghantarkan aduan tersebut secara direct ke pihak pentadbiran KK berkenaan atau kepada Hospital Negeri, Bahagian, atau Daerah?

Jawapan:

Menurut Dr. Iskandar, aduan rasmi secara bertulis itu bolehlah dihantar kepada Pegawai Kesihatan Daerah, bukan kepada Klinik Kesihatan (KK) tersebut. Walau bagaimanapun, nama KK berkenaan dan aduan tidak puas hati perlulah dinyatakan dengan jelas di dalam aduan tersebut.


Contohnya, jika ada aduan yang mahu dibuat ke atas Klinik Kesihatan Jaya Gading, maka aduan tersebut hendaklah dihantar kepada Pegawai Kesihatan Daerah Kuantan. Klinik Kesihatan Jaya Gading perlulah dinyatakan dengan jelas di dalam aduan tersebut.


Soalan 2:

Bolehkah seorang PLHIV mengambil vaksin Anti Tetanus Toxoid (ATT) kerana ianya melibatkan mikroorganisme lemah termasuk Mantoux test?

Jawapan:


Apa itu ATT?
This medication is given to provide protection (immunity) against tetanus (lockjaw) in adults and children 7 years or older. Vaccination is the best way to protect against this life-threatening disease. Vaccines work by causing the body to produce its own protection (antibodies).
Sumber: sini


Apa itu Mantoux test?
The tuberculosis (TB) skin test, sometimes called a “Mantoux,” is a simple, harmless way to find out if you have latent TB infection.
Sumber: sini

Menurut Dr. Iskandar, ATT dan Mantoux test boleh diambil oleh PLHIV. ATT adalah vaksin untuk kancing gigi, manakala Mantoux test pula bukanlah vaksin, tetapi sekadar ujian untuk melihat reaksi terhadap TB. Kedua-dua ujian ini boleh diambil oleh PLHIV. Vaksin ATT biasa diberikan kepada mereka yang terlibat dalam kemalangan dan ibu-ibu yang hamil.

Berbeza dengan life vaccine iaitu vaksin yang hidup tetapi telah dilemahkan. Life vaccine ini boleh diambil oleh PLHIV, tetapi tidak boleh diambil oleh penghidap AIDS. Antara contoh life vaccines termasuklah BCG (Bacillus Calmette-Guerin), MMR (Measles, Mumps, Rubella), oral Polio, dan Chicken Pox.

Untuk perhatian: Vaksin oral Polio dan Chicken Pox kini tidak lagi diberikan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Oral Polio telah digantikan dengan secara suntikan.


Soalan 3:

Seorang ahli komuniti PLHIV mahu menjalani ujian viral load bagi tujuan mendapatkan baby (conceive). Walau bagaimanapun, doktor di Hospital Sungai Buloh tidak dapat menjalankan ujian itu kerana kehabisan reagents. Reagents adalah antara bahan yang diperlukan untuk menjalankan ujian viral load.

Jawapan:

Menurut Dr. Iskandar, kehabisan stok reagents untuk ujian viral load bergantung kepada pembelian reagents tersebut. Disebabkan itulah, PLHIV yang telah mencapai not-detectable viral load jarang menjalani ujian viral load.


(AHP Pie – Sekali lagi diulangi bahawa ujian viral load sebelum ini yang mengesahkan virus not detected adalah memadai jika merancang untuk mendapatkan bayi bebas HIV kerana ujian tersebut sangat ketat prosedurnya).


Soalan 4:

Seorang rakan komuniti PLHIV mempunyai bacaan fungsi hati sebanyak 124, di mana bacaan normal beliau sebelum itu adalah kurang daripada 65. Doktor yang merawat beliau memintanya membuat pemeriksaan selepas Hari Raya. Rakan komuniti tersebut bimbang rawatan HAART iaitu Stocrin yang diambilnya memberi kesan kepada fungsi hatinya.

Beliau bercadang untuk detox hatinya secara natural dengan mengamalkan pemakanan yang sihat dan senaman. Beliau juga turut mempunyai high blood pressure atau tekanan darah tinggi. Selain itu, beliau turut risaukan perutnya yang boroi. Adakah perut buncit berkaitan dengan fungsi hati?

(He he he… aku terbayangkan ekspresi wajah yang bertanya apabila aku kata dia boroi...)

Jawapan:

Menurut Dr. Iskandar, kesemua ubat yang digunakan untuk rawatan HAART adalah dikumuhkan (metabolized) oleh hati, kecuali Tenofovir yang dikumuhkan oleh buah pinggang. Sangat jarang sekali PLHIV mengalami masalah hati yang disebabkan oleh rawatan HAART. Doktor akan sentiasa memantau fungsi hati PLHIV. Ada masa bacaannya naik, dan kemudiannya turun semula.


High blood pressure adalah lebih penting untuk dipantau. Dr. Iskandar turut menyatakan bahawa tekanan darah tinggi adalah jauh lebih bahaya berbanding HIV. Antara contoh kemungkinan kesan tekanan darah tinggi adalah angin ahmar (stroke), serangan jantung (heart attack), dan kegagalan buah pinggang (kidneys failure).

(AHP Pie – Agak menghairankan apabila lebih ramai yang risaukan HIV sedangkan ‘pembunuh senyap’ yang menjadi punca utama kematian di Malaysia adalah darah tinggi.)

Berkaitan dengan perut buncit, Dr. Iskandar menasihatkan rakan komuniti tersebut untuk membuat pemeriksaan dengan doktor. Ianya berkemungkinan disebabkan oleh lemak atau pengumpulan air. Jika sekiranya hanya disebabkan oleh budaya hidup yang kurang aktif (kurang pergerakan fizikal), ianya sepatutnya boleh dikawal dengan pengambilan makanan seimbang (diet) dan senaman sahaja. Sekiranya beliau menghidap Hepatitis, pemeriksaan fungsi hati turut perlu dilaksanakan.


Seterusnya aku memanggil dua orang rakan komuniti yang bersama-sama kami tadi untuk masuk ke dalam menemui Dr. Iskandar.

Mereka mempunyai satu surat daripada pihak Hospital Sungai Buloh untuk mengambil ubat Tenofovir. Ubat tersebut juga boleh diambil di Hospital Kemaman, Terengganu yang berhampiran dengan tempat mereka tinggal kini iaitu di Cherating, Kuantan. Walau bagaimanapun, surat tersebut tertinggal di kediaman mereka di Kuala Lumpur.

Pihak Hospital Kemaman tidak dapat memberikan ubat tersebut tanpa surat berkenaan sebagai rujukan. Mereka bertanya Dr. Iskandar sama ada beliau dapat membekalkan Tenofovir kepada mereka untuk sementara waktu.

Menurut Dr. Iskandar, Tenofovir hanya boleh diambil di hospital sahaja, bukan di Klinik Kesihatan. Beliau menasihati pasangan suami isteri itu untuk meminta pihak Hospital Sungai Buloh menghantarkan faks surat tersebut kepada pihak Hospital Kemaman seberapa segera.

                                                    
Soalan 5:

Apakah itu Palmar Erythema?

Jawapan:

Apabila terdapat tanda merah yang ketara di tapak tangan, khususnya di bahagian bawah tapak tangan, selari dengan jari kelingking dan ibu jari, ianya dikaitkan dengan Palmar Erythema.


Palmar Erythema disebabkan beberapa faktor dan jika PLHIV turut menghidap Hepatitis-C (contoh), doktor boleh mengagak sebarang keberkesanan atau keperluan rawatan yang selanjutnya untuk seseorang client.

Palmar erythema is a reddening of the palms, especially around the base of the little finger and thumb. A number of medical conditions can cause this clinical sign, and some people also experience such reddening when they are in normal health. When palmar erythema is identified in a patient, a doctor may recommend some follow up tests to determine the cause if the patient has no known medical condition which could cause reddening of the palms.
Sumber: sini



Itu sahaja perkongsian kali ini. Moga ada manfaat dan panduan kepada semua. Selebihnya kami mengambil sedikit masa untuk saling bertanya khabar dan mengetahui perkembangan semasa kami sekeluarga.

Jazakumullah khair kathira kepada Dr. Iskandar Firzada bin Osman dan semua kakitangan KK Jaya Gading, Kuantan yang memberikan perkhidmatan yang sangat profesional dan cemerlang.


Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP
Facebook: Ahp Pie


Info Berkaitan:

Laman Web Rasmi PPWM:

Facebook Fanpage PPWM:
  
No. Akaun PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Abd. Shukor Mohd Yunus: shux@positivewarriors.org
Hishamudin Rahman: carphatz_04@yahoo.com







Wednesday, July 09, 2014

PUASA ORANG YANG HIDUP DENGAN HIV (UTUSAN MALAYSIA)






8 Julai 2014
Oleh Rosmah Dain


MENJALANI ibadah puasa bagi semua insan beragama Islam adalah satu kewajipan pada bulan Ramadan, semuanya tidak terkecuali khususnya bagi mereka yang telah melewati syarat-syarat sah berpuasa.

Biarpun begitu, ada kelonggaran bagi mereka yang uzur syarie, sakit, kanak-kanak dan sebagainya.

Bagi mereka yang sakit dan uzur, mereka diberi kelonggaran untuk tidak berpuasa dan akan menggantikannya semula sekiranya telah sihat kerana pada waktu itu mereka sedang menerima rawatan dan memakan ubat-ubatan yang disyorkan doktor.

Tetapi bagaimana pula dengan individu yang perlu makan ubat-ubat khas untuk kesinambungan hayat? Begitu yang dialami oleh orang-orang yang hidup dengan HIV. Mereka bergantung sepenuhnya kepada ubat khas. Ia perlu dimakan secara tetap dan berjadual mengikut masa, setiap hari pada sepanjang usia mereka, satu risiko yang perlu dihadapi oleh golongan ini sekiranya mereka berpuasa pada bulan Ramadan.

Namun itu semua bukanlah satu penghalang bagi orang yang hidup dengan HIV untuk menjalani ibadah berkenaan mengikut kemampuan diri. Apa yang penting kesungguhan dan semangat atas dasar keinsafan dan ingin beribadat menjadi pendorong golongan ini berpuasa dan melakukan aktiviti terawih dan amalan-amalan yang lain sepanjang Ramadan.

NORASID Md. Said (dua dari kanan) ketika menjalankan tugasnya sebagai sukarelawan Program Pertukaran Jarum dan Alat Suntikan

Menurut seorang sukarelawan Program Pertukaran Jarum dan Alat Suntikan (N.S.E.P) dari Kelab Sahabat META Tampin, yang juga Exco Pertubuhan Positive Warriors Malaysia, Norasid Md. Said, 40, yang berasal dari Felda Palong 3 Gemas di Negeri Sembilan, orang yang hidup dengan HIV sepertinya boleh berpuasa seperti biasa. Cuma mungkin sebahagiannya tidak akan penuh puasanya dalam tempoh sebulan.

“Secara peribadi, paling banyak pun saya mungkin mampu berpuasa selama 15 hari sahaja kerana kami mesti memakan ubat-ubat mengikut jadual. Setiap hari saya akan memakan HAART (Highly Active Anti-Retroviral Therapy) dan metadon (ubat untuk bekas penyalah guna dadah).

“Umumnya HAART perlu dimakan setiap 12 jam atau 24 jam sekali. Ini bermakna sekiranya saya makan pada jam 8 pagi saya perlu makan kembali jam 8 malam. Begitulah aturannya setiap hari. Manakala metadon pula saya perlu makan sekali sehari,” jelas Norasid yang menerima virus berkenaan akibat perkongsian jarum suntikan dan didiagnos menghidap HIV sejak tahun 2003.

Kata Norasid yang sukarela memperkenalkan diri sebagai orang yang hidup dengan HIV ini, hakikatnya dia perlu bijak menyeimbangkan jadual dan masa makan ubat yang telah ditetapkan.

Jelasnya, biarpun masa makan ubat khas itu akan ‘lari’ dalam tiga ke empat jam dalam sehari dan dikatakan ada risikonya tetapi ianya bukanlah muktamad kerana turut bergantung kepada banyak faktor sampingan. Sebagai orang Islam, Norasid tetap tabah melalui perjalanan Ramadan.

“Saya akan pastikan mengambil ubat-ubat khas saya selepas bersahur dan kemudian apabila berbuka ubat-ubat itu perlu diambil dengan segera.

“Sebenarnya bagi orang yang hidup dengan HIV dan stabil dengan CD4 (penanda aras sistem kekebalan dalam tubuh) mereka yang meningkat dan kiraan virus yang rendah atau tiada dikesan langsung, golongan ini boleh berpuasa. Sekiranya mereka masih baru memulakan rawatan HIV, dengan CD4 yang rendah dan jumlah virus masih tinggi, maka golongan ini tidak digalakkan berpuasa,” katanya yang telah lapan tahun berumah tangga dan mempunyai tiga orang anak berumur enam, lima dan tiga tahun yang kesemuanya bebas HIV.

Kekangan untuk Norasid berpuasa penuh sepanjang bulan Ramadan adalah mungkin dia mengalami alahan dengan rawatan metadon, terutamanya jika perut kosong. Akibat perut yang kosong, Norasid akan mengalami gangguan dalam perut yang amat menyakitkan.

“Gangguan berkenaan terasa pedih di hulu hati sampai ke dada dan menyebabkan badan terasa kekeringan sehingga air liur terasa tiada, mulut menjadi pecah-pecah dan pada siang hari terasa amat lemah.

“Berbeza dengan sebelum saya mendapat HIV, saya rasa sihat ketika berpuasa berlainan rasanya sekarang. Akibat daripada itu saya akan mengurangkan aktiviti di bulan ini,” katanya.

Apabila ditanya apakah makanan yang perlu dimakan ketika bersahur dan berbuka, dia berkata dari segi pemakanan sama seperti individu lain, perlu makan dengan diet yang seimbang, seperti sayur-sayuran, protein dan nasi. Norasid juga akan pergi berterawih sekiranya terlarat.

Namun apa yang benar-benar ditekankannya adalah minum air dengan kuantiti yang banyak pada sebelah malam dan pada waktu bersahur agar mempercepatkan proses ubat-ubatan berkenaan berfungsi dan kekal tidak terhidrat pada siang hari.

Ketika ditanya apakah dia pernah bertanya kepada ustaz atau tokoh-tokoh agama mengenai permasalahannya itu, dia menjelaskan persoalan itu pernah ditanyanya dan ustaz menyuruh untuk dia mempertimbangkan sendiri sama ada mampu untuk mengganti puasa atau membayar fidyah terhadap puasanya yang tertinggal.

“Saya memilih untuk membayar fidyah sekiranya tidak mampu mengganti puasa. Mungkin saya akan ganti puasa beberapa hari sekiranya termampu dan selebihnya saya bayar fidyah,” katanya.

Sihat dalam bulan Ramadan

Berbeza dengan Presiden Pertubuhan Positive Warriors Malaysia, Mohamad Wahid, 47, atau lebih dikenali sebagai Pie berkata, dirinya tidak berhadapan dengan sebarang masalah untuk berpuasa pada bulan Ramadan biarpun perlu mengambil HAART secara berjadual, malah badannya terasa lebih sihat.

Mohamad yang tinggal dengan dua orang isteri dan dua orang anak di Temerloh, Pahang didiagnos menghidap HIV sejak 2010 dan dia bukanlah seorang bekas penyalah guna dadah. Dia terkenal dengan blognya akuhivpositif.blogspot.com


“Ubat saya juga perlu makan dua kali dalam tempoh 24 jam. Di bulan-bulan biasa, ubat saya ambil pada pukul 9 pagi, dan saya perlu mengambilnya semula pada pukul 9 malam. Di bulan Ramadan bertukar sekitar pukul 5:30 pagi dan pukul 7:30 malam untuk disesuaikan dengan jadual bersahur dan berbuka puasa dengan jadual pengambilan ubat supaya tidak terlalu berbeza. Alhamdulillah setakat ini saya tidak pernah tinggal puasa.

“Kalau setakat makan HAART sebenarnya tidak memberi sebarang masalah kepada orang yang hidup dengan HIV untuk berpuasa apabila masa pengambilannya ‘terlari’ sedikit. Halangan timbul sekiranya individu berkenaan turut memerlukan rawatan penyakit-penyakit yang lain, yang mungkin menyebabkan kesan-kesan sampingan," katanya.

Apa pun dia bersetuju mereka perlu minum banyak air kosong dan kawal cara pemakanan dengan makan makanan yang seimbang sepanjang masa. Dia juga turut mengambil kesempatan memperbanyakkan amalan pada bulan mulia ini tanpa perbezaan dengan orang-orang lain.

MOHAMAD Wahid (kanan) mengadakan aktiviti bertadarus dengan rakan-rakan dan isteri-isterinya

Jelasnya masa ‘terlari’ antara tiga ke empat jam itu pada peringkat permulaan puasa sahaja dan kembali seperti asal selepas bulan Ramadhan. Katanya tiada masalah sekiranya pandai mengatur diri dan tiada penggunaan ubat-ubatan lain yang diperlukan.

Dalam pada itu Mohamad menjelaskan orang yang hidup dengan HIV perlu pandai menetapkan jadual sendiri pemakanan ubat sekiranya berada di luar negara yang waktunya berbeza dari negara ini. Ada kaedahnya untuk mengubah jadual pengambilan ubat secara beransur-ansur. Tetapi jika waktu siangnya terlalu panjang, barulah dibuat pilihan sama ada menggantikan puasa atau membayar fidyah  dipertimbangkan.


Republished by Ummie


Rujukan / artikel penuh:
© Utusan Melayu (M) Bhd




Info Berkaitan:

Laman Web Rasmi PPWM:

Facebook Fanpage PPWM:
  
No. Akaun PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Abd. Shukor Mohd Yunus: shux@positivewarriors.org
Hishamudin Rahman: carphatz_04@yahoo.com
  



Monday, July 07, 2014

HIV: ORANG YANG HIDUP DENGAN HIV BOLEH BERPUASA






Setiap kali menjelang Ramadhan, aku menyediakan perkongsian maklumat ini. Aku berharap ianya boleh dijadikan rujukan asas kepada Orang Yang Hidup Dengan HIV (ODHA) yang berhasrat menunaikan ibadah puasa dan kepada semua anggota masyarakat yang prihatin.

Sukacita dimaklumkan bahawa, sila baca perkongsian ini atas dasar kita memahami bahawa Allah bersifat Maha Berkuasa, Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Penolong dan redha Allah adalah yang paling utama. Jika mahu membacanya mengikut logik akal dan harm reduction semata-mata, sila abaikan.

Perkongsian ini juga hanya terpakai kepada ODHA yang telah stabil menjalani rawatan HAART dan tidak mengidap sebarang masalah kesihatan yang lain seperti gastrik kronik dan sebagainya.

Kepada yang masih belum memerlukan rawatan HAART, mereka tidak ada masalah untuk berpuasa seperti biasa.

Secara umumnya dilema ODHA untuk menunaikan ibadah puasa adalah disebabkan oleh aturan waktu pengambilan rawatan HAART yang mesti diambil setiap 12 jam.

Contoh: HAART diambil setiap 9 malam dan 9 pagi akan bertukar secara drastik kepada 7 malam (berbuka puasa) dan 5 pagi (sahur).

ODHA bimbang jika perubahan waktu pengambilan tersebut mempengaruhi keberkesanan rawatan HAART sehingga boleh menyebabkan berlakunya risiko resistant.

Resistant bermaksud virus menjadi imun terhadap rawatan HAART dan mengakibatkan pelbagai kesan negatif yang lain terhadap kesihatan mereka.


Sila fahami rajah ini dengan teliti


Jika bukan disebabkan pengambilan rawatan HAART sekali pun, ada pendapat yang mengatakan bahawa ODHA tidak perlu berpuasa. Alasan mereka, sistem imuniti tubuh ODHA yang sedia lemah menjadi semakin lemah tanpa nutrisi yang mencukupi.

Antara penyelesaian paling popular ialah ODHA (terutama yang mengambil HAART) disarankan supaya tidak berpuasa dan situasi tersebut dianggap dharurah. Allah tidak pernah zalim terhadap perkara yang di luar kemampuan kita. ODHA boleh menggantikannya dengan fidyah.

Berdasarkan situasi tersebut juga, bermakna ODHA tidak lagi dapat berpuasa seumur hidup. Jika enggan, segala risiko tanggung sendiri. Setakat ini penyelesaian tersebut paling popular.

Walau bagaimanapun, keberkesanan rawatan HAART masih subjektif kerana turut bergantung kepada beberapa faktor sampingan seperti setakat mana ketepatan dan teraturnya ODHA itu sendiri mengambil HAART sepanjang tahun, menjaga kesihatan diri, mengamalkan cara hidup yang sihat, berfikiran positif, dan sebagainya. Rawatan bersifat dinamik, bukannya statik.
   
Sebagai individu tanpa kemahiran asas di dalam bidang perubatan, aku menghormati dan akur dengan penyelesaian di atas. Tetapi, adakah betul tiada langsung penyelesaian lain? Jika ada, bagaimana justifikasi dan pendapat siapa? Di sinilah perbahasan mula timbul.

Secara jujur, apakah maknanya bulan Ramadhan jika tanpa puasa? Tarawih, tadarus, solat berjemaah, keindahan berbuka bersama keluarga, dan sebagainya akan terasa kosong.

Segala ganjaran istimewa yang Allah janjikan bukan untuk ODHA? Teruk sangatkah hidup sebagai ODHA sehingga Allah pun mendiskriminasi kami? Aku lempang mulut tu laju-laju nak?

Terasa sangat aneh sedangkan zahirnya sebahagian besar daripada ODHA mampu berpuasa dan mustahil Allah bersifat lemah dalam setiap peraturannya.

Walau bagaimanapun, soal kesihatan bukan perkara yang boleh diambil risiko kerana Islam ada penyelesaian terhadap segala permasalahan. Setiap tindakan perlu ada rasional dan alasan yang kukuh. Berani membuta-tuli seperti tidak ada bezanya dengan membunuh diri.

Jika begitu, bagaimana penyelesaiannya?

Untuk itu, aku kongsikan pandangan kedua (2nd opinion). Sebelum aku kongsikan pandangan dan penyelesaian tersebut, sila kosongkan fikiran. Prinsipnya mudah sahaja – terpulang kepada keyakinan masing-masing. Yang penting, kita buat mengikut keyakinan dan keputusan sendiri.

TIDAK MENJADI MASALAH KEPADA PARA ODHA UNTUK BERPUASA SEKALI PUN MEREKA TERPAKSA MELEWATKAN WAKTU PENGAMBILAN HAART

Pendapat ini ialah pendapat yang diberikan oleh Dr. Iskandar Firzada bin Osman (Doktor Pakar Perubatan Keluarga merangkap Tuan Penasihat Pertubuhan Positive Warriors Malaysia) hasil perbincangan beliau dengan rakan-rakan Pakar Perubatan Muslim yang lain.

Bermakna kita sangat beruntung memperolehi pendapat hasil perbincangan sekumpulan doktor pakar.

Apa kata mereka?

“Terdapat pelbagai pendapat oleh pelbagai pihak mengenai perkara tersebut. Kesimpulannya, jika terdapat pelbagai pendapat, maka tiada satu pun yang boleh dibuktikan dengan tepat!

“Yang pasti, banyak perkara yang berupaya mempengaruhi sistem imuniti badan termasuk kesihatan mental atau psikologi. Puasa Ramadhan merupakan ibadah untuk cleanse sistem penghadaman sebagaimana puasa sesetengah pihak yang lain. Oleh itu, persediaan sebelum, semasa, dan selepas berpuasa adalah sangat penting.

“Segera berbuka apabila telah masuk waktu berbuka dan segera memakan HAART, lewatkan sahur serta dimulakan dengan niat (persediaan psikologi) adalah merupakan afdhal serta rukun ibadah puasa.

Oleh itu, isu bahawa puasa Ramadhan boleh menyebabkan sistem imuniti badan menjadi lemah tidak dapat dibuktikan sehingga ke hari ini. Tetapi, kekuatan pegangan agama (spirituality) secara langsung akan memelihara kekuatan kesihatan mental seseorang.

Adakah dengan melewatkan sedikit waktu pengambilan HAART daripada setiap 12 jam tepat kepada setiap 14 jam dan 10 jam (waktu berbuka dan sahur) akan mengakibatkan virus HIV menjadi resistant?

“Sehingga kini, tiada kajian dan tiada bukti berkaitan. Jika sekiranya seseorang ODHA tetap mengambil ubat HAART sebagaimana yang diarahkan iaitu sama ada 2 kali sehari atau 1 kali kali sehari, insya-Allah Viral Load akan menurun dan CD4 akan meningkat.

“Ada juga pihak yang menyarankan (tanpa bukti, juga tanpa pengalaman dan hanya berdasarkan hipotesis sahaja), peringkat awal memulakan rawatan HAART iaitu ketika CD4 masih rendah (juga tidak dinyatakan berapa maksud rendah tersebut).

“ODHA tidak digalakkan untuk berpuasa supaya boleh mengambil ubat HAART setiap 12 jam. Tetapi, apabila sudah stabil atau CD4 sudah meningkat (juga tidak dinyatakan apakah / berapa maksud stabil / tinggi), maka ODHA boleh berpuasa.

“Untuk itu, jawapan mudah saya, boleh berpuasa tetapi segerakan makan ubat apabila berbuka dan lewatkan sahur untuk makan ubat.

“Tetapi penting supaya ODHA faham penerangan di sebalik jawapan ini ada pihak yang mungkin tidak bersetuju dengan pendapat ini kerana bukti saintifik secara kajian (research) belum ada sama ada untuk menyokong atau menidakkannya."

Begitulah pendapat Dr. Iskandar dan rakan-rakan pakar perubatan Muslim beliau. Jazakumullah khier kepada mereka.

Aku berpegang kepada pendapat kedua dan setakat ini aku tidak menghadapi apa-apa masalah ketika berpuasa.

Jika aku kongsikan kondusi kesihatanku yang sebenar, mungkin ramai yang mengatakan aku ‘gila’ kerana tetap berpuasa, malahan menjalani rutin harian yang jauh lebih padat daripada biasa sejak baru sahaja memulakan rawatan HAART. Terbukti bacaan Viral Load not detected (HAART berkesan).

Berani aku katakan bahawa aku sangat selesa berpuasa walaupun turut mengidap diabetes dan pelbagai penyakit kronik lain. Alhamdulillah terasa seperti lebih sihat dari bulan-bulan yang lain.

Waktu pengambilan HAART yang konsisten

Sila jelas bahawa waktu mengambil HAART mesti tetap kekal. Tidak boleh hari ini makan HAART pukul 9 malam dan sekali lagi pada waktu sahur pukul 3 pagi, tetapi esoknya pula pada pukul 7:30 malam dan sahur pada pukul 5 pagi.

Tips peribadi

Untuk menunaikan ibadah puasa dengan selesa sebagai ODHA, aku sangat teliti menjaga pemakanan dan jadual pengambilan HAART.

Aku berbuka dengan sebiji kurma, sepotong dua kuih-muih dan segelas air kosong. Terus sahaja mengambil HAART dan seterusnya solat Maghrib berjemaah bersama keluarga. Selepas tadarus ringkas, kami makan sekadar yang perlu beserta sebiji Metformin 500 mg (kawalan diabetes) sebelum bersedia untuk solat Isya’ dan bertarawih.

Selain kelebihan ibadah, solat tarawih sangat bagus untuk menjaga kecergasan diri. Jika tidak larat bertarawih di masjid atau surau atas faktor-faktor kesihatan, kami bertarawih di rumah. Jangan terlalu rumitkan keadaan.

Sahur pula aku mengambil HAART menjelang penghujung waktu Imsak. Lebih kurang 5:30 pagi. Bermakna jadual pengambilan HAART aku bertukar daripada pukul 9 pagi – 9 malam kepada 5:30 pagi kepada 7:30 malam secara TETAP.

Untungnya jadual pengambilan HAART semasa sahur ini memudahkan kami sekeluarga untuk berjemaah Subuh di masjid. Pahala sunat berbuka awal dan bersahur lewat pun insya-Allah dapat. Banyak kelebihannya.

Jangan lupa meminum sebanyak mungkin air kosong untuk elakkan dehydration, buah-buahan, makanan berkhasiat dan makanan tambahan yang bersesuaian dan ikut kemampuan. Praktikal dan sederhana adalah sebaik-baiknya.

Aku bersama my best doctor


BEBERAPA INFO LAIN YANG DIKONGSIKAN OLEH DR. ISKANDAR FIRZADA BIN OSMAN MELALUI E-MEL SEBAGAI PANDUAN KEPADA ODHA YANG MAHU DAN MAMPU BERPUASA DAN MENUKAR WAKTU MENGAMBIL HAART DI LUAR NEGARA.

Soalan.

Salam Dr. Iskandar,

Saya menulis e-mail ini directly from my campus di xxx (AHP: Luar Negara).

Alhamdulillah, saya sihat dan dapat cope dengan cuaca yang tidak menentu di musim summer ini. Sakit demam pun tidak ada, allergy setakat ini pun tidak ada. Makan minum yang halal di sini pun banyak. So harap situasi ini berterusan selama 10 bulan saya di sini.

Juga saya berjaya adapt dengan tempoh memakan ubat ARV saya. Seperti yang doktor cadangkan, since saya landing di sini, saya reverse sejam ke belakang bagi setiap 3 hari bila tiba time makan ubat Combivir.

So after 45 hari saya di sini hingga sekarang, saya sudah makan ubat tepat setiap jam 7 petang dan 7 pagi seperti mana amalan saya di Malaysia. Seperti biasa, Efavirenz saya makan right sebelum saya tidur jam 12 tengah malam.

Cuma masalah saya sekarang adalah apabila tiba bulan puasa nanti. Since di sini still summer dan waktu siangnya terlalu panjang (Maghrib jam 9.50 malam dan Subuh jam 1.40 pagi), bagaimana saya harus makan ubat Combivir itu?

Apakah tidak menjadi masalah kalau selama ini selang masa 12 jam, nanti pada bulan puasa selang masanya hanya 4 jam sahaja?

Apa yang menjadi amalan penuntut Malaysia di sini pada bulan puasa adalah, mereka akan berbuka dengan makanan ringan dahulu. After tarawih jam 12 tengah malam atau lewat daripada itu, mereka akan makan nasi atau makanan berat sekaligus untuk bersahur.

So mereka akan tidur right after solat subuh sebab mereka masuk campus di sini mostly jam 9.30 - 10.00 pagi. So maknanya mereka tidak akan tidur malam sehinggalah mereka bersahur dan bersolat Subuh.

Sekiranya saya mengikut amalan jadual seperti mereka, apa nasihat doktor dari segi jadual ubat ARV tu dan maybe dari segi jadual ubat Diabetes Mellitus dan Hypertension saya yang lain.

Walau bagaimanapun, saya akan masih tetap menjalankan / melaksanakan ibadah puasa seperti biasa, cumanya saya akan makan ubat ARV mengikut yang seperti dijadualkan kerana Combivir boleh diambil dengan atau tanpa makanan.

Tujuan saya berpuasa untuk menghormati bulan Ramadhan serta rakan-rakan Muslim yang lain. Insya-Allah, yang akan menentukan sama ada puasa tersebut diterima atau tidak, hanya Allah sahaja.

Wallahu 'Alam. InsyaAllah, apabila pulang ke Malaysia saya akan qada puasa tersebut.

Harap doktor dapat membantu dalam hal ini since bulan puasa nanti sudah hampir tiba.

Jawapan Dr. Iskandar:

Assalamualaikum,

Alhamdulillah bila dengar saudara boleh menyesuaikan diri dengan keadaan di sana. Berhubung dengan pertanyaan / persoalan yang ditimbulkan, untuk makluman, sumber rujukan saya adalah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Kebiasaannya, saya akan browse soal jawab ruangan Kemusykilan Agama. Jika sekiranya tiada soalan yang sedemikian, saya akan bertanya melalui website JAKIM. Insya-Allah, kebiasaannya dalam masa tidak sampai 48 jam, saya akan terima jawapan daripada JAKIM.

Berikut adalah beberapa soalan serta jawapan yang ada kaitan dengan permasalahan / kemusykilan yang sama-sama kita hadapi:

Kod Rujukan Soalan: 9tpmt

Soalan

Saya mempunyai satu penyakit yang mungkin tidak akan sembuh kecuali dengan izin Allah. Sekarang ini saya sedang makan ubat dan tidak boleh berpuasa. Ubat yang saya makan ini mengikut jadual.

Contohnya saya makan ubat pada pukul 8 pagi, 8 malam dan 10 malam. Andai kata saya tidak makan ubat ini tepat pada waktunya, maka ianya akan memberi kesan kepada kesihatan saya.

Saya juga sudah meminta pendapat daripada seorang doktor Muslim, dan saya memang tidak boleh berpuasa. Apakah syarat saya untuk membayar puasa saya memandangkan seumur hidup saya bergantung pada ubat dan tidak boleh berpuasa.

Jawapan

Orang yang sakit boleh meninggalkan puasa dan menggantikannya pada hari yang lain. Dalam situasi yang dihadapi oleh Puan, sekiranya sakit yang Puan alami itu tidak ada harapan sembuh, maka Puan harus meninggalkan puasa. Walau bagaimanapun, Puan wajib membayar fidyah dengan kadar satu cupak beras (675 gm) bagi satu hari puasa yang ditinggalkan dan diberikan kepada fakir miskin.

Kod Rujukan Soalan: 4u4fk
(Hukum Puasa Ganti Untuk ODHA)

Soalan

Bagaimana puasa untuk ODHA? ODHA kena makan ubat setiap 12 jam, jika tidak, dikhuatiri virus HIV akan naik, iaitu jika makan ubat tidak ikut waktu yang ditetapkan. “Penyakit” ini tidak ada ubat untuk sembuh. Ubat hanya untuk kurangkan dan kawal virus HIV sahaja.

Jawapan

Pertama sekali, hendaklah mendapatkan pengesahan daripada Pakar Perubatan Muslim bahawa ODHA tersebut tidak dapat berpuasa kerana boleh membawa mudarat kepadanya, maka ODHA tersebut hendaklah membayar fidyah.

Kod Rujukan Soalan: ojy1c
(Waktu Imsak Dan Buka Puasa Di Negara Siang Lebih Panjang)

Soalan

Anak saya bermastautin di Eropah. Waktu buka puasa jam 9.45 malam, imsak jam 1.45 pagi. Waktu berpuasa 20 jam. Ada banyak negara di Eropah mengikut waktu puasa Mekah tetapi ulama’ di negara dia tidak mahu mengikut waktu Mekah semasa bulan puasa jatuh di bulan yang siang lebih panjang dari malam.

Bolehkah dia ikut waktu berbuka puasa dan imsak Mekah? Ramai umat Islam yang tidak larat berpuasa bila terkena musim siang panjang dari malam kerana terlalu lama berpuasa. Terima kasih.

Jawapan

Dalam situasi tersebut, masyarakat Islam yang berada di negara yang mengalami waktu siang lebih panjang daripada waktu malam, mereka masih perlu mengikuti sebagaimana waktu di tempat mereka, iaitu mereka masih perlu untuk menunggu matahari terbenam untuk berbuka.

Kaedah menentukan waktu berbuka dengan mengikut waktu Maghrib bagi negara yang terdekat hanya digunakan di negara-negara yang mengalami waktu siang atau malam yang berpanjangan sehingga mencecah 6 bulan dalam sesuatu masa.

Ringkasnya, anak anda yang berada di negara yang mengalami perubahan iklim tersebut masih perlu mengikut pergerakan peredaran matahari. Dia perlu menunggu sehingga terbenamnya matahari untuk berbuka puasa pada hari tersebut.

Combivir merupakan gabungan ubat Zidovudine 300mg + Lamivudine 150mg. Dose untuk Zidovudine adalah 300mg setiap 12 jam (i.e. 2 kali sehari). Dose untuk Lamivudine pula sama ada 150mg setiap 12 jam (i.e. 2 kali sehari) ATAU boleh juga diambil 300mg sekali sehari (i.e. sama seperti Efavirenz).

Oleh sebab itu, Combivir perlu dimakan 2 kali sehari atau sebaik-baiknya setiap 12 jam. Jika sekiranya pengambilan ubat tersebut tidak boleh tepat setiap 12 jam, perbezaan selang masa di antara dose pertama dan kedua ± 4 jam masih lagi boleh diterima.

Tetapi jika perbezaan selang masa di antara dose pertama dan kedua lebih dari 4 jam, ianya tidak boleh diterima.

Untuk Efavirenz, tidak akan menjadi masalah sebab hanya perlu diambil sekali sehari sahaja.

Untuk ubatan Diabetes Mellitus, Metformin mesti diambil bersama-sama dengan makanan sajian utama. Jika sekiranya hanya selepas  tarawih makan makanan berat beserta sahur, maka Metformin hanya perlu diambil ketika itu sahaja.

Acarbose sama seperti Metformin. Cumanya Acarbose diambil sebaik sahaja selepas makan, sementara Metformin diambil bersama-sama dengan makanan.

Untuk Gliclazide MR, mesti diambil ketika berbuka, tetapi dose mesti dikurangkan kepada separuh sahaja iaitu jika pengambilan Glicazide MR sebelum ini adalah 60mg, maka semasa berbuka, diambil sebanyak 30mg sahaja.

Ubat-ubatan untuk Hypertension (Enalapril dan Amlodipine), tidak sepatutnya menjadi masalah sebab hanya perlu diambil sekali sehari sahaja.

Itu sahaja setakat ini. Kepada sahabat-sahabat ODHA, terpulanglah kepada keyakinan dan pendirian masing-masing. Kondusi kesihatan dan rawatan kita pun tidak sama.

Personally, jika bertanya pendapat aku, aku lebih rela mati berpuasa berbanding dengan sengaja meninggalkan puasa selagi aku yakin berpuasa lebih baik kepadaku. Itu yang wajib aku jawab di akhirat nanti.



Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP
Facebook: Ahp Pie


Info Berkaitan:

Laman Web Rasmi PPWM:

No. Akaun PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group).Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Abd. Shukor Mohd Yunus: shux@positivewarriors.org
Hishamudin Rahman: carphatz_04@yahoo.com