Friday, March 15, 2013

SEBAHAGIAN DARIPADA PERANAN, JASA DAN PENGORBANAN ISTERI SEORANG YANG HIDUP DENGAN HIV (ODHA)




Kali ini aku kongsikan antara pengalaman hidupku yang sangat peribadi, iaitu peranan isteri-isteriku sepanjang kehidupanku sebagai ODHA. Moga ada pengajarannya kepada insan-insan lain.

Sekalipun kelihatan sangat terbuka, sebenarnya dalam sesetengah keadaan, aku seorang yang reserved. Aku kuatkan hati berkongsi pengalaman ini semata-mata untuk cuba memberikan pengajaran kepada golongan yang memerlukan.


Latar belakang keluarga

Ya, aku mempunyai 2 orang isteri. Yang pertama, kenali sahaja sebagai Kak Da, dan seorang lagi sebagai Ummie. Kedua-duanya mempunyai karier professional dalam bidang masing-masing.

Kami mempunyai 2 orang cahaya mata lelaki, seorang pelajar IPT dan seorang lagi sedang menuntut di sebuah Maktab Rendah Sains Mara.

Alhamdulillah kehidupan kami sangat rapat, bahagia dan tinggal serumah atas keputusan bersama dan saling melengkapi. Pandangan orang terhadap kami, terpulang kepada persepsi mereka. Kami tidak pernah ambil pusing kerana pilihan kami adalah berdasarkan keputusan yang kami yakin baik untuk kami. Kami tidak menagih keredhaan sesama makhluk.

Mampu dan bagaimanakah aku mengetuai keluarga ini? Gatal dan kaki perempuankah aku? Soalan tersebut lebih layak dijawab oleh mereka. Aku yakin keluargaku faham bahawa walaupun mengamalkan poligami, aku bukanlah lelaki yang akan terpesona dengan kecantikan luaran atau melakukannya kerana nafsu. Sekalipun sering dilabel nakal, aku ada pertimbangan dan punya sebab-sebab yang tersendiri. Sandaran kepada Allah yang paling utama.

Perangai burukku banyak. Skill perengusku boleh tahan. Ada masa memang headwind. Anak-anak pula sangat manja dan menurut kata. Berbanding kelembutan ahli keluargaku, perbezaan kami bagaikan langit dengan bumi. Kasihan mereka dapat ketua keluarga yang senget benget.

Jujurnya di samping isteri, aku adalah ‘RAJA.’ Apa juga keputusan dan tindakanku, jika tidak bercanggah dengan agama, jangan harap dapat dibantah.

Aku dilayan A-Z sepenuhnya tanpa rungutan. Sangat dominan. Suami mithali, rajin menolong isteri di dapur? Rajin menolong isteri melakukan kerja-kerja rumah? Romantik? Huh, itu bukan aku. Memang aku agak kasar dengan keluargaku termasuk ketika berkomunikasi.

Mahu merajuk manja-manja? Oh, tidak! Sah-sah tidak dilayan. Seingat aku, mereka tidak pernah merajuk kerana merajuk pun tidak ada gunanya kerana hanya membuatkan aku semakin marah. Aku yang merajuk? Ya, itu ada. Habislah jatuh saham aku kali ini.

Kedua-dua anak kami telah berdikari. Di rumah pula punya dua orang permaisuri yang sentiasa setia serba-serbi memanjakan aku. Habis, macam mana aku tidak manja?

Bangun pagi, baju seluar sudah licin berseterika. Mahu makan, sebut sahaja pasti tersedia. Merengek mahu dibelikan itu ini yang termampu, pasti diusahakan. Apa-apa sahaja tindakanku tidak pernah dipersoalkan. Menyebut-nyebut kelemahan diriku, tidak pernah. Meninggi suara? Tidak masuk akal. Mereka pasti bukan begitu. Bukan rajakah namanya itu?

Alhamdulillah, syukur atas nikmat Allah. Penghargaanku ini bukanlah bermakna mereka langsung tiada kelemahan, tetapi cukup sempurna di mataku sebagai makhluk Tuhan.

Peringkat awal diagnos

Fokus perkongsian kali ini adalah sebahagian daripada dokumentasi peranan dan pengorbanan mereka terhadapku sejak aku didiagnos sebagai ODHA pada Disember 2010.

Sebaik sahaja, didiagnos, aku alami grief reaction sama sahaja seperti pesakit-pesakit kronik yang lain. Terlalu banyak kekeliruan, stigma dan HIV sering dikaitkan dengan isu moral dan agama. Salah faham tersebut menyebabkan tekanan ODHA berganda.

Walaupun aku dilihat sebagai seorang yang bersikap positif, tetapi kelemahan aku pada peringkat awal diagnos hanya Allah yang tahu. Sudah banyak kali aku kongsikan pengalaman tersebut dalam entri-entri awal. Hendak dikenang pun tiada gunanya.

Apa yang pasti, sejak mula diagnos, isteri-isteriku tidak pernah mempersoalkan bagaimana aku dijangkiti. Aku sahaja yang sibuk mempersoalkan bagaimana, kenapa dan mengapa aku dijangkiti. Aku benar-benar keliru.

Mereka sentiasa membuktikan kepercayaan yang tinggi terhadapku dan menasihatkan aku supaya redha dengan ketentuan Tuhan. Sentiasa mengingatkan aku bahawa ada rahmat di sebalik segala ujian Allah.

Mana mungkin tidak keliru. Aku tidak pernah mengamalkan aktiviti berisiko. Katakanlah aku berahsia kerana pernah melakukan hubungan seks tanpa langkah pencegahan dengan perempuan-perempuan tertentu, mampukah aku mendapatkan ereksi melakukan seks tanpa kasih sayang? Aku bukan haiwan.

Aktiviti homoseksual? Haish, aku lempang nak? Alhamdulillah aku tidak diuji dengan ujian seberat itu. Jika diuji, aku sendiri pun tidak berani kata mampu bertahan. Kerana itu aku sangat menghormati sahabat-sahabatku yang sentiasa berjihad dan berjaya melepasi ujian tersebut.

Berkongsi jarum suntikan? Jangan mengarutlah. Nakal memang nakal ketika remaja tetapi sehingga sampai ke tahap tersebut memang mengarut. Kalau tidak, takkanlah aku terus sahaja berterus-terang kepada isteri sebaik sahaja aku didiagnos? Aku sudah berkahwin lebih 20 tahun. 20 tahun lebih tanpa simptom? Kelakar.

Jika aku dijangkiti akibat aktiviti berisiko, mesti aku teragak-agak untuk berterus-terang kepada mereka. Logiknya juga hampir mustahil isteri-isteriku bebas HIV kerana kami tidak pernah melakukan hubungan intim dengan langkah pencegahan selama lebih 20 tahun sebelum diagnos.

Habis, sebab apa? Biarlah. Mereka yang tahu, tahulah bagaimana aku dijangkiti. Ketentuan Allah tiada siapa dapat menghalangnya. Perlu diingat, 2 kali ujian HIV (rapid test dan ELISA) sebelum diagnos adalah negatif. Bermakna masih window period

Ketika itu, berkali-kali aku memberontak, menangisi takdir dan mengamuk kerana tidak dapat menerima ketentuan tersebut. Habis segala barang dalam bilik aku hempas dan selerakkan, keluar rumah membawa diri, berkurung di dalam bilik berhari-hari, sensitif tidak bertempat dan rasa tidak berguna. Bila dikenang-kenang, rasa kelakar, geli getik dan menyampah sendiri.

Punca utamanya ialah kerana aku memang tidak tahu punca jangkitan dan cara doktor yang sangat tidak professional ketika memaklumkan statusku. Bagaikan seseorang yang tidak tahu apa-apa, dituduh sebagai penjenayah dan menunggu tarikh mati dengan cara yang paling mengaibkan. Memalukan dan beban kepada keluarga.

Ketika putus asa, mereka sentiasa mengingatkan aku supaya sentiasa tabah. Ketika teresak-esak, mereka sudi mengelap air mata. Ketika memberontak, mereka beri masa untuk aku bertenang. Ketika panik, mereka sentiasa mengingatkan tentang hikmah ujian dan kebesaran kuasa Allah.

Mereka sentiasa melindungiku seboleh mungkin. Sentiasa sabar dengan segala kerenah jengkelku. Mereka membuktikan dengan perbuatan dan kasih sayang bahawa mereka menerima dan mencintai suami tanpa syarat. Bukan sekadar bercakap kosong bersaksi bulan bintang. Cuba menjauhkan diri, jauh sekali.


Era kebangkitan

Semasa rawatan dan mengalami treatment fatigue, mereka sentiasa memahami dan seboleh mungkin hadir menemaniku. Perlahan-lahan aku mula bangkit dan apabila secara tiba-tiba aku menghabiskan terlalu banyak masa bersama komuniti, tindakanku tidak pernah dipersoalkan. Mereka faham itulah pilihanku, cuma mereka risau dengan rutinku yang terlalu padat boleh mengganggu kesihatan.

Kesibukan memang tiada hentinya bahkan semakin bertambah. “Kelintang kelantang, kring... kring..., beep... beep..., tut...., tut.... toing, toing.” Pelbagai bunyi aplikasi sehingga menjelang waktu tidur. Jika aku tidak off, berbunyi sampai pagilah jawabnya.

Bangun sahaja tidur, apabila on sahaja telefon bimbit, begitulah bunyi yang didengar sepanjang hari. Calang-calang isteri dan anak, boleh perang besar dibuatnya. Lainlah kalau bunyi bunyi-bunyian tersebut boleh ‘masuk duit’. Tidak mengapa, jangan risau keluargaku. Insya-Allah ada ganjaran yang jauh lebih mahal di akhirat nanti.

Bukan setakat memahami, mereka menyokong, rela berkorban masa, tenaga dan wang ringgit yang bukan sedikit. Sehingga sampai ke tahap sanggup berhutang-piutang tanpa rungutan. Tidak pernah  mengeluh dan meluahkan rasa terabai akibat perjuanganku membantu komuniti sekalipun mereka jenuh melihat aku disakiti hingga ke tahap tidak masuk akal oleh segelintir komuniti yang kami bantu.

Individu pesimistik sentiasa ada di mana-mana. Kehendak mereka hanyalah untuk menjahanamkan jika keperluan mereka tidak dipenuhi. Aku memang tidak mampu memuaskan hati semua pihak. Tidak mengapa jika aku disakiti, tetapi apabila ahli keluargaku turut menerima tempias, memang agak mengecewakan. Alhamdulillah daripada situlah kami belajar erti keikhlasan dan ketabahan.

Mereka tahu bahawa itulah pilihanku kerana bersama komuniti terdapat medan dakwah dan peluang ibadah yang terbentang luas. Aku selesa membantu dengan caraku yang kasual. Peluang melaksanakan tuntutan fardhu kifayah yang tidak ramai mampu melihatnya.

Mereka faham walaupun mereka menjagaku dengan sebaik-baiknya, aku tetap perlukan insan senasib untuk berkongsi rasa dan berkongsi kekuatan. Jika isteri-isteriku tidak berjiwa besar, barangkali entah ke mana tercampaknya aku.

Aku memang degil dan tidak pernah serik dengan segala dugaan tersebut sedangkan apabila disakiti, mereka jugalah tempat aku meluahkan perasaan. Mereka juga yang perlu menenangkan. Kadang-kadang turut menjadi mangsa kemarahanku kepada orang lain. Hanya Allah yang tahu betapa besarnya pengorbanan mereka.

Apabila aku perlu travel, mereka berikan sepenuh kepercayaan. Ada kalanya berhari-hari. Semuanya memerlukan perbelanjaan sendiri sedangkan kami bukanlah golongan yang berpendapatan tinggi. Mesej-mesej cinta dan rindu mereka ada kalanya aku ketawakan dan abaikan sahaja. Rimas aku dibuatnya. Teruknya aku, kan? Aku pun tidak faham, kenapalah mereka terlalu menyayangiku. ODHA tua yang serba-serbi degil.

Aku tidak pandai untuk terlalu memuji-muji kerana apa yang mereka berikan jauh melebihi daripada yang aku mampu kongsikan. Bukan ODHA yang mahu berkongsi hidup dengan ODHA, sepatutnya betul-betul tekad dan clear bahawa ujian bukannya sedikit.

Kepada isteri-isteriku dan anak-anak tersayang:
“Jika ada pahala yang Allah kurniakan kepada abah dalam perjuangan ini, abah yakin bahawa pahala tersebut turut menjadi amal jariah yang bakal memayungi kita mencari keredhaan Allah dan menuju syurga. Maafkan abah atas segala kekurangan diri.”

Sesungguhnya aku doakan isteri-isteriku dan anak-anakku akan ditempatkan di Jannatul Firdaus.


Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP


Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Camelia Sulaiman: camelia_sulaiman@yahoo.com
Luka Rafieqa: rafieqakl@hotmail.com


Pertubuhan Amal Firdausi Kuala Lumpur (PAFI)

Sila hubungi:
Laman Web: http://www.amalfirdausi.org
E-Mel: amalfirdausi@gmail.com
Talian Marhabah: 018-207-0953 (Encik Hamli) @ 017-311-0306 (Encik Raffie)
Telefon / Faks: 03-9174-0934
FB PAFI: http://www.facebook.com/amalfirdausi (Open Group)
Twitter: twitter.com/amalfirdausi