My Best Doctor
Dr. Iskandar Firzada bin Osman
Dr. Iskandar Firzada bin Osman
MD (USM), MMed (Family Medicine) (USM),
MAFPM (Mal.), FRACGP (Australia), FAFPM (Mal.),
Fellow in Adolescent Health (Melbourne)
Family Medicine Specialist / Primary Care Physician
Apa yang akan aku kongsikan ini berlaku seminggu yang lalu. Kekangan akibat komitmen yang terlalu padat membataskan aku berkongsi pengalaman. Apabila berpeluang pula, akibat rasa penat dan stress, idea sukar dizahirkan dalam bentuk penulisan.
Berbeza dengan Facebook peribadi, aku boleh update di mana-mana sahaja termasuk ketika sambil menunggu mata lelap.
1 Mac 2013 (Jumaat)
Kami (aku, Kak Da dan Ummie) tiba di KK Jaya Gading pada lebih kurang pukul 11.10 pagi, safe and sound, Alhamdulillah.
Pemeriksaan rutin oleh Dr. Iskandar Firzada bin Osman. Weight: 76.3 kg. Naik lagi berbanding sebulan yang lalu.
Dengan nada selamba, Dr. Iskandar mengulas, “tidak lama lagi 80 kg lah nanti.”
Aku terkulat-kulat memandang Kak Da dan Ummie. Tidak mampu berkata apa-apa melainkan tergelak mendengar ulasan yang tidak disangka-sangka. Nasihat yang sungguh cynical tetapi penuh mahabbah.
Aduhai, patutlah ramai sahabat komuniti mengatakan aku semakin boroi walaupun aku sentiasa mengadu sibuk dan kepenatan. Memang aku bermasalah mengawal diet kerana aku kaki makan dan sentiasa mengambil vitamin setiap hari. Kadang-kadang tidak sampai setengah jam selepas makan, aku sudah lapar semula.
Blood sugar? Normally aku membuat blood sugar test sendiri sebelum bertemu Dr. Iskandar. Tetapi pada pagi itu, tester kehabisan bateri. Aku telah berjanji untuk menghantar maklumat mengenai bacaan blood sugar melalui SMS.
Apabila aku periksa keesokan harinya, bacaannya 6.2. Sampai sekarang aku belum memaklumkan kepada Dr. Iskandar Firzada. Silap-silap aku kena tegur lagi kerana tidak prihatin memaklumkannya seberapa segera.
Tekanan darahku pula adalah 112/72.
Dr. Iskandar juga mengingatkan bahawa ujian Viral Load dan CD4 akan dilakukan lagi pada bulan Jun 2013.
Selesai pemeriksaan rutin, sebagaimana biasa, aku mengajukan beberapa soalan daripada sahabat-sahabat komuniti dan juga daripada diriku sendiri.
Salah seorang sahabat komuniti yang baru sahaja memulakan rawatan Hepatitis C telah dihentikan rawatan disebabkan kesan sampingan (ruam merah) yang timbul pada tubuh badannya. Beliau concerned tentang kesan penghentian rawatan tersebut terhadap kesihatannya.
Dr. Iskandar Firzada menyatakan bahawa terdapat dua kemungkinan. Berhenti sementara atau terpaksa beralih kepada pemantauan atau rawatan cara lain. Klien tidak akan dibiarkan begitu sahaja tanpa rawatan.
Salah satu cara untuk menghadapi Hepatitis C, klien (patient) hendaklah mengamalkan gaya hidup yang sihat. Cliché. Penghidap juga perlu mengelakkan atau mengurangkan pengambilan bahan yang memberi kesan kepada fungsi hati terutama pengambilan alkohol, makanan dan ubat-ubatan tertentu termasuk makanan tambahan (supplement food) yang memberi kesan terhadap fungsi hati.
Selepas pengambilan HAART, salah seorang sahabat komuniti telah mengalami erectile dysfunction semasa melakukan hubungan intim bersama isteri dan terpaksa mengambil Viagra untuk mengekalkan ereksi. Persoalan yang timbul adalah adakah rawatan HAART yang menyebabkan berlakunya situasi tersebut?
Sebenarnya soalan ini telah pernah aku kongsikan dalam entri sebelum ini dan sebagai tanda prihatin, aku kongsikan lagi sekali dengan beberapa penambahbaikan.
HAART tidak akan menyebabkan seseorang Orang Yang Hidup dengan HIV (ODHA) mengalami kekurangan ghairah seks. Keghairahan seks seseorang secara umumnya berpunca daripada 2 sebab utama:
Sebab 1
Masalah libido (keinginan atau keghairahan). Ianya biasa terjadi akibat masalah psikologi seperti seksualiti, tekanan, ketakutan dan sebagainya.
Sebab 2
Erection (ketegangan). Masalah erectile dysfunction (sukar mengekalkan ketegangan) ini biasanya berkaitan dengan masalah kesihatan seperti kurangnya senaman, faktor usia (testosterone), masalah jantung, darah tinggi, diabetes tanpa kawalan dan sebagainya.
Faktor kedua ini boleh dibantu dengan Viagra. Viagra yang diambil dengan panduan yang betul tidak memberikan sebarang kesan terhadap rawatan HAART. Ianya juga tidak membahayakan ODHA kecuali jika individu tersebut mengalami masalah jantung.
Jika mengalami masalah kesihatan, cara terbaik menanganinya ialah mendapatkan rawatan, menghindari tekanan, dan melakukan senaman secara konsisten.
Secara umumnya, erectile dysfunction ini dipengaruhi oleh faktor-faktor fizikal dan mental. Rawatan HAART bukanlah punca kepada erectile dysfunction.
Berbeza jika puncanya berkaitan dengan masalah pada tulang belakang. Penderita erectile dysfunction jenis ini memang tidak mampu mendapatkan ereksi walaupun dengan pengambilan Viagra.
Perkongsian jujur, aku sendiri mengambil HAART, pesakit diabetes dan sentiasa sibuk. Alhamdulillah tidak mempunyai masalah dalam isu tersebut selagi bijak mengawal stress, menjaga senaman, cukup rehat dan sentiasa memantau bacaan gula. Lagipun dalam usia sekarang yang aku utamakan ialah kualiti berbanding kuantiti.
Perkongsian jujur, aku sendiri mengambil HAART, pesakit diabetes dan sentiasa sibuk. Alhamdulillah tidak mempunyai masalah dalam isu tersebut selagi bijak mengawal stress, menjaga senaman, cukup rehat dan sentiasa memantau bacaan gula. Lagipun dalam usia sekarang yang aku utamakan ialah kualiti berbanding kuantiti.
Di manakah hospital atau pusat rawatan yang menyediakan perkhidmatan PEP bagi ODHA yang memerlukan?
Isu ini pun baharu sahaja aku kongsikan. Bahkan sudah beberapa kali pun sebelum ini, cuma tidak merujuk secara spesifik kepada mana-mana pusat rawatan yang menyediakan perkhidmatan.
Sekali lagi, mari kita fahami apa itu PEP terlebih dahulu.
PEP adalah akronim kepada Post-Exposure Prophylaxis.
Post adalah selepas. Exposure adalah satu situasi yang berlaku yang menyebabkan seseorang terdedah kepada risiko jangkitan melalui darah. Prophylaxis adalah tindakan yang diambil untuk mencegah jangkitan berlaku.
Golongan yang berisiko dan berkaitan:
Ianya mungkin berlaku kepada para pekerja kesihatan yang tercucuk jarum tercemar dengan HIV, sesiapa yang tercedera akibat tercucuk jarum yang disyaki mengandungi virus HIV seperti pihak polis yang menjalankan operasi menangkap penyalahguna dadah (IDU), para pekerja kebersihan sesuatu majlis perbandaran, termasuk bayi yang baru dilahirkan oleh ibu yang ODHA.
Akibat daripada tusukan tersebut, cecair badan mungkin termasuk ke dalam badan, mata dan mulut. Sekecil mana pun risiko, ianya tetap dianggap berisiko kerana itu adalah Standard Of Procedures (SOP) KKM.
Tempoh jangkitan dan layak menerima rawatan: sebaik-baiknya dalam tempoh 2 jam ke bawah atau selewat-lewatnya 72 jam ke bawah.
Golongan yang tidak berkaitan: ODHA biasa yang didapati positif selepas menjalani ujian darah.
Bagaimana ianya dilakukan?
Walaupun tidak didapati positif kerana tempoh jendela (window period) baru bermula, golongan berisiko tersebut akan diberikan kombinasi HAART rejim 2 iaitu Combivir dan Kaletra selama SEBULAN.
PEP boleh dilakukan di mana-mana klinik kesihatan dan hospital sekiranya golongan yang disebutkan tadi layak mendapatkannya. Laporan perlu dibuat kepada pihak penyelia dan pakar perubatan atau mangsa boleh terus pergi ke klinik penyakit berjangkit (ID clinic).
Ramai yang terdedah kepada risiko jangkitan beranggapan bahawa PEP adalah rawatan untuk mencegah HIV. Perlu diingatkan bahawa PEP bukanlah suatu ubat yang khusus untuk sembuh daripada HIV.
Sebelum PEP diberikan, pelbagai prosedur, analisis, dan penilaian perlu dilaksanakan. Contoh: Sekiranya seorang individu mengadu tercucuk jarum, perlu dipastikan sama ada jarum itu benar-benar tertusuk ke bahagian anggota badan.
Sekiranya terpercik, di manakah tempat percikannya terkena? Jika di tangan, adakah tangan tersebut luka? Jika tidak, maka tiada risiko. Sekiranya tertusuk jarum, jarum yang digunakan untuk apa? Jika jarum untuk mengait benang, tidak perlulah mendapatkan PEP (ini aku yang tambah).
Jika sekiranya berlaku tusukan jarum suntikan tanpa sengaja di luar rumah, seperti di tepi pantai dan kawasan yang dikenal pasti kerap berlaku penyalahgunaan dadah, maka mangsa tersebut dianggap berisiko dan PEP dilaksanakan.
Mangsa berisiko yang memerlukan PEP hendaklah turut menjalani ujian HIV, Hepatitis B dan Hepatitis C dalam tempoh 6 minggu, 3 bulan, dan 6 bulan selepas kejadian. Sekiranya kesemua ujian tersebut terbukti negatif, tiada apa yang perlu dirisaukan.
Contoh golongan yang tidak layak menerima rawatan PEP ialah:
Apabila seseorang ODHA tidak mengambil sebarang rawatan HAART. Pada suatu masa, beliau terlupa (abai) memakai kondom ketika melakukan hubungi intim bersama isteri. Isterinya pula bukan ODHA. Untuk kes sebegini, pihak KKM tidak menyokong pemberian PEP kerana tiada bukti yang PEP akan membantu.
Jika mahu mendapatkan rawatan PEP di mana-mana pusat rawatan swasta atas kehendak sendiri, Dr. Iskandar Firzada tidak mempunyai jawapan tersebut.
Bolehkan HAART dihancurkan atau dilarutkan sebelum ditelan oleh ODHA yang menghadapi masalah untuk menelannya dalam bentuk tablet?
Tidak ada masalah jika ubat tersebut adalah tablet tetapi tidak dalam bentuk kapsul.
Kenapa?
Setiap ubat dalam bentuk kapsul mempunyai delivery system. Ianya bukanlah sekadar pembungkusan dan untuk mengelakkan rasa pahit seperti yang kebanyakan orang awam fahami.
Ianya umpama ‘timed bomb’ yang dihantar ke dalam usus dan akan terlerai mengikut masa yang telah ditentukan untuk mengekalkan fungsinya dalam tempoh tertentu. Begitulah caranya ubat kapsul berfungsi. Fungsi kapsul tidak sama dengan tablet. Mudah difahami, bukan?
Adakah benar bahawa kaedah in vitro fertilisation (IVF) tidak dapat dilakukan di Malaysia oleh ODHA yang memerlukan?
Perlu diingatkan bahawa teknik ini adalah kepada ODHA yang belum memulakan rawatan HAART.
IVF adalah teknik persenyawaan di luar rahim, di mana embryo yang dihasilkan akan dimasukkan ke dalam rahim isteri. Kaedah ini adalah antara yang paling selamat namun sangat mahal dan setakat ini memang tidak disediakan di Malaysia kepada para ODHA. IVF di Malaysia hanya kepada pasangan bukan ODHA. Ianya hanya boleh dilakukan di luar negara seperti Australia.
Secara ringkasnya, IVF untuk ODHA dilakukan dengan cara membersihkan sperma daripada virus HIV, disenyawakan dengan telur (ovum) isteri, dipantau kejayaan persenyawaannya sebelum disuntik semula ke dalam rahim isteri.
Jika telah mendapatkan rawatan HAART, pastikan bacaan Viral Load adalah undetectable dan insya-Allah ODHA tidak ada masalah untuk mendapatkan zuriat bebas HIV sama ada secara normal atau IVF.
Apakah beza kaedah IVF dengan IUI?
Apa itu kaedah IUI?
IUI bermaksud Intra Uterine Insemination, satu prosedur di mana sperma suami dimasukkan terus ke dalam rahim isteri dengan harapan terjadi persenyawaan dan seterusnya kehamilan.
Secara umum, beza IUI dengan IVF ialah sperma lelaki yang telah menjalani sperm washing disuntik terus ke dalam rahim isteri tanpa memerlukan pemantauan kejayaan persenyawaan dan lebih ringkas berbanding IVF.
Untuk maklumat lebih lanjut, sila klik: http://drzubaidi.com/blog/?p=2169
dan http://ms.wikipedia.org/wiki/Persenyawaan_in_vitro. Aku pening hendak memahamkannya dengan cara yang lebih mudah kerana melibatkan banyak istilah perubatan dan biologi (malas pun ada juga, he he he).
Jika berhasrat mendapatkan zuriat, CD4 atau Viral Load yang lebih penting?
Sudah tentu bacaan CD4 tidak penting. Viral Load yang penting. Jika mahu mengetahui bacaan Viral Load dengan segera, sudah tentu pihak swasta mampu melaksanakannya dengan kos tertentu. Biasanya keputusan akan diketahui dalam tempoh 1 minggu.
Bagaimana ODHA mahu berpindah pusat rawatan?
Isu ini pun sudah banyak kali aku kongsikan. Maklumkan sahaja kepada pusat rawatan sekarang tentang hasrat anda. Doktor akan menyediakan surat rujukan dan menguruskan pemindahan fail rawatan ke tempat baru yang dipilih. Setiap klien (patient) berhak memilih pusat rawatan, second opinion, third opinion dan seterusnya.
Adakah e-cigarette dan vapor kurang bahaya kepada penggunanya?
Menurut World Health Organisation (WHO), e-cigarette dan vapor dikategorikan sama seperti sisha. Ada yang berpendapat bahawa kedua-duanya tidak sebahaya rokok kerana mereka hanya menghisap wap yang mempunyai aroma tertentu. Malah ianya tidak ada masalah untuk dihisap di dalam bilik berhawa dingin.
Mereka mendakwa pihak yang mengatakan bahawa e-cigarette dan vapor lebih bahaya berbanding rokok adalah tidak benar dan propaganda semata-mata kerana kerajaan tidak dapat mengutip hasil daripada cukai rokok. E-cigarette dan vapor bukanlah rokok.
Malahan ada yang mendakwa ianya boleh membantu mereka berhenti merokok. Memang berhenti merokok tetapi menghisap e-cigarette dan vapor. Pelik aku mendengarnya kerana seolah-olah penyalahguna dadah berkata, “aku berhenti ambil morfin kerana aku ambil ice.”
Melalui pengalaman sahabat-sahabatku yang menggunakan e-cigarette dan vapor, jika mereka terlebih hisap ianya akan menyebabkan rasa kering tekak dan sakit dada. Lama-kelamaan ianya akan hilang sendiri dan boleh mengurangkan kos kerana e-cigarette dan vapor tidak perlu dihisap seperti rokok. Lebih ‘bersih’ katanya.
Menurut Dr. Iskandar, e-cigarette dan vapor memang tidak mempunyai tar tetapi tetap mempunyai nikotin. Kedua-duanya mempunyai kesan yang sama, cuma delivery systemnya sahaja yang berbeza. Lambat laun akan memberikan kesan terhadap kesihatan masing-masing.
Terima kasih Dr. Iskandar Firzada bin Osman dan semua kakitangan Klinik Kesihatan Jaya Gading Kuantan atas perkhidmatan cemerlang.
Terima kasih Dr. Iskandar Firzada bin Osman dan semua kakitangan Klinik Kesihatan Jaya Gading Kuantan atas perkhidmatan cemerlang.
Itu sahaja kali ini. Insya-Allah jumpa lagi.
Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP
Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP
Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:
Luka Rafieqa: rafieqakl@hotmail.com
Pertubuhan Amal Firdausi Kuala Lumpur (PAFI)
Sila hubungi:
Laman Web: http://www.amalfirdausi.org
E-Mel: amalfirdausi@gmail.com
Talian Marhabah: 018-207-0953 (Encik Hamli) @ 017-311-0306 (Encik Raffie)
Telefon / Faks: 03-9174-0934
Telefon / Faks: 03-9174-0934
FB PAFI: http://www.facebook.com/amalfirdausi (Open Group)
Twitter: twitter.com/amalfirdausi