Rasional
Isu ini sebenarnya sudah terlalu kerap aku kongsikan di sini bahkan PANDUAN MENDAPATKAN ZURIAT BEBAS HIV KEPADA PLHIV telah aku sediakan dalam satu kategori khas. Beratus-ratus kali aku menerima e-mel, panggilan telefon dan berjumpa pasangan yang meminta pandangan terhadap isu ini.
Alhamdulillah, ramai yang akhirnya mendapat kekuatan untuk mendirikan rumahtangga. Dapat mengelakkan jangkitan kepada pasangan dan memperolehi zuriat bebas HIV. Sebaliknya ada yang memilih untuk membatalkan perkahwinan pada saat-saat akhir terutama yang didiagnos positif menjelang ujian pra perkahwinan.
Ada juga yang meneruskan perkahwinan tetapi enggan mendapatkan rawatan atas alasan-alasan yang mereka yakini kecuali mengamalkan seks selamat (menggunakan kondom), yang mengakibatkan mereka rela tidak memperolehi zuriat. Isu enggan mendapatkan rawatan agak pelik bagi aku, terlalu subjektif untuk diperbincangkan dan terpulanglah kepada pendirian masing-masing. Aku cuma memberikan pandangan. Keyakinan di tangan sendiri dan jodoh di tangan Tuhan.
Jika memilih untuk berpisah, bagi aku HIV cuma dijadikan alasan sedangkan mereka memang tidak ada jodoh. Bukan Orang yang Hidup Dengan HIV (ODHA) pun ramai yang gagal berkahwin atau perkahwinan mereka runtuh dengan pelbagai sebab serta cara. Janganlah HIV dijadikan sebagai satu escapism untuk mencipta alasan.
Untuk mengelakkan aku sentiasa menjawab isu yang sama terlalu kerap, aku berharap entri ini dapat memberikan panduan asas kepada ODHA yang betul-betul ikhlas untuk mendirikan rumahtangga.
Pandangan Islam
Sebagai Muslim sudah tentu kita meletakkan pandangan Islam sebagai yang teratas. Isunya, betulkah pandangan tersebut adalah pandangan Islam sekalipun ianya diberikan oleh seorang doktor yang mempunyai PhD berjela dalam bidang agama? Apatah lagi jika kajian mereka tidak digabungkan dengan kajian mendalam tentang HIV dari sudut perubatan? Bagaimana validity sesuatu kajian tersebut diukur?
Aku pula bukan pakar apa-apa pun kecuali sebagai seorang ODHA. Aku hidup dengan HIV dan sentiasa merasai rentak nadi suka-duka kehidupan seorang ODHA. Sakitnya seseorang ODHA yang lain menghadapi diskriminasi dalam soal ini, sakit juga yang aku rasa sekalipun aku tidak berdepan dengan isu tersebut secara peribadi.
Jadi kali ini mari kita kongsikan pandangan mengikut kaca mata seorang ODHA secara santai. Kalau berat sangat nanti, susah untuk dihadam. Ini bukan kajian akademik. Mahukan kajian akademik sila jumpa mana-mana profesor di universiti dalam bidang berkaitan. Dengar pandangan mereka dan bandingkan dengan pandanganku ini untuk mencari penyelesaian yang adil.
Hukum Berkahwin
Asasnya tetap lima. Wajib, Sunat, Harus, Makruh dan Haram.
Kemudian semuanya dikaitkan dengan satu istilah lagi iaitu Maqasid Al-Syariah yang juga mengandungi 5 prinsip:
Menjaga Agama.
Menjaga Nyawa.
Menjaga Akal.
Menjaga Keturunan.
Menjaga Harta.
Apabila kita kaitkan hukum dengan 5 prinsip asas Maqasid Al-Syariah tadi, ramai yang mungkin bersetuju bahawa menjaga nyawa dan keturunan menjadi isu utama. Selain itu isu sekufu juga turut ditimbulkan sekalipun kita tidak pernah pasti apa yang bakal kita hadapi di esok hari.
Apabila begitu, maka timbullah hukum haram ODHA berkahwin, makruh jika ODHA berkahwin, hendak kahwin, kahwin sesama ODHA sahaja, letakkan ODHA di sebuah pulau khas, mandulkan ODHA dan sebagainya. Berani kau orang mandulkan aku? Cubalah.
Amboi, amboi, amboi, bijak sungguh ya! Kau orang ingat soal ketentuan Tuhan, nafsu dan soal perasaan ini semudah menyebut A, B, C? Janganlah cepat sangat menghukum. Akibat kejahilan dan judgemental beginilah berlakunya stigma, diskriminasi dan berleluasanya penularan virus HIV. Kami ini makhluk Tuhan juga.
Bagaimana pula dengan pesakit kanser, diabetes, dan darah tinggi yang mana mungkin turut dipengaruhi faktor genetik? Bagaimana dengan pesakit talassemia seramai hampir 1 juta orang di Malaysia sekarang dan sentiasa meningkat? Talassemia lebih bahaya daripada HIV dan sangat tinggi risiko jangkitannya kepada zuriat.
Bayangkan anda atau anak anda seorang pesakit talassemia yang mahu berkahwin tetapi pihak jabatan agama mengatakan, haram berkahwin kerana membahayakan keturunan. Apa rasanya, sanggup? Kata Emmanuel: Hidup bukan murah!
Baiklah, untuk menjawabnya aku ceritakan tentang beberapa fakta asas rawatan HIV dan isu berkaitan.
Rawatan HIV
Umumnya rawatan HIV ada dua. Kaunseling dan farmakologi. Sekarang kita fokus kepada rawatan farmakologi.
Dengan pengambilan rawatan ART (HAART) virus dalam tubuh seseorang ODHA mampu dikekang sehingga ke bawah 50 copies. Secara mudahnya ianya bermaksud mereka sihat dan mampu hidup seperti manusia biasa. Ketika ini risiko menjangkitkan virus kepada pasangan boleh dikatakan tidak berlaku. Walau bagaimanapun penggunaan kondom semasa hubungan intim masih diperlukan sebagai langkah pencegahan dan berhati-hati. Bezanya mereka wajib menjalani rawatan ini seumur hidup.
Apabila mereka berkahwin dan mengamalkan seks selamat dengan tepat, tidak ada isu jangkitan kepada pasangan. Kerana itu apabila seseorang ODHA berhasrat untuk berkahwin, doktor biasanya akan mencadangkan mereka mendapatkan rawatan HAART terlebih dahulu supaya pasangan mereka tidak dijangkiti. Mereka juga akan diberikan kaunseling.
Untuk mendapatkan zuriat bebas HIV, ringkasnya pada waktu subur isteri, mereka boleh mengabaikan kondom dan membebaskan sperma ke dalam faraj isteri sama seperti pasangan lain.
Info penting: HIV hanya terdapat dalam air mani tetapi tidak terdapat dalam sperma.
Jika pasangan (isteri) adalah negatif, sudah pasti zuriat mereka adalah negatif. Pasangan begini tidak ada apa-apa isu sangat. Ibu bebas menyusukan bayi mereka.
Jika pasangan tersebut kedua-duanya HIV positif, dengan rawatan yang betul, anak mereka juga adalah negatif seperti yang diperjelaskan tadi tetapi dengan sedikit penambahan.
Apabila zuriat kepada pasangan ODHA (kedua-dua ibu bapa adalah HIV positif) lahir, bayi tersebut akan dipantau selama 18 bulan, diberikan Post Exposure Prophylaxis (PEP) dan biasanya menjalani 3 kali ujian HIV sebelum disahkan betul-betul bebas HIV. Ibu pula tidak dibenarkan menyusukan bayi (sekadar sebagai SOP untuk meminimakan jangkitan – boleh sahaja sebenarnya).
Berdasarkan pengalaman dan dengan kepatuhan kepada rawatan, bayi-bayi tersebut memang selamat daripada jangkitan virus. Sahabat-sahabat komunitiku telah membuktikannya. Janganlah asyik membayangkan kami hanya golongan gelendangan jalanan seperti dalam media massa era 1980an.
Mahu bukti? Bersepah bukti aku boleh berikan. Hubungi sahaja. Untuk lebih detail, sila dapatkan nasihat doktor kerana ini sekadar perkongsian santai. (Mohon para doktor perubatan yang arif untuk memperbetulkan kesalahan fakta serta-merta)
Jadi dengan penerangan ini adakah 2 prinsip utama dalam Maqasid Al-Syariah tersebut menjadi isu besar? Apa, ODHA orang berdosa atau penzina sebelum berkahwin? Penzina hanya layak berkahwin dengan penzina? Mulut jaga sikit ya.
Buka minda. Fahami betul-betul maksud dan konteks ayat al-Qur’an tersebut. Fahami maksud taubat nasuha. Jangan ingat suami atau menantu kita yang pakai serban sebesar bakul pasti tidak berzina selepas berkahwin. Depan isteri memanglah suami atau menantu mithali. Aku lelaki, aku tahu sangatlah cerita lelaki. Jangan nak buka temberang selagi segala macam pintu maksiat terbentang depan mata.
Isu ODHA (lelaki) yang ingin berkahwin
Aku banyak terima aduan, keluhan dan rintihan daripada kalangan ODHA sendiri tentang isu ini. Mereka mendakwa sedih apabila dikatakan tidak layak berkahwin, banyak sangat halangan, tiada wanita bukan ODHA yang sudi terima mereka dan sebagainya. Macam-macam rintihan, alasan dan rasa rendah diri mereka.
Kalau betul mahu berkahwin dan menyintai pasangan kita, apa alasannya kita dihalang berkahwin? Kita minta secara baik, lakukan secara beradab dan beradat. Tetapi jika masih ditolak menggunakan alasan agama, maka gunakan alasan agama juga terhadap mereka. Daripada buat maksiat, kahwin sajalah asalkan sah di sisi agama selagi anda faham bahawa perkahwinan tersebut satu amanah dan tanggungjawab.
Pencinta sebenar tidak akan mengalah dengan alasan remeh-temeh. Kebahagiaan dan perceraian berlaku dengan pelbagai sebab sekalipun di kalangan bukan ODHA yang sihat, dianggap sekufu, berketurunan mulia dan kaya-raya. Kalau ODHA dihalang berkahwin tetapi keyakinan dan hujah tidak dapat dipatahkan, sepatutnya hanya Tuhan dapat memisahkan. Alasan penolakan kerana HIV adalah membuta tuli dan demi kepentingan diri semata-mata.
Lelaki perlu ada bold character sikit. Pemimpin kan. Dengar sangat cakap orang, sampai sudah tidak berkahwin sedangkan yang menentang belum tentu faham isu. Tetapi maaflah kali ini aku lebih berterus-terang menegur sikap ODHA sendiri dalam isu yang sama.
Apabila ODHA mengadu sahaja, sepintas lalu pun aku boleh mengagak isu sebenar dan cerita di sebalik cerita yang cuba diselindungkan tetapi aku cuba juga bantu setakat yang termampu.
Pastikan Kecenderungan Seksualiti
Minta maaf kerana perkongsian kali ini aku agak berterus-terang terutama menegur sikap ODHA sendiri. Niatku ikhlas. Terpulang kepada masing-masing untuk menerima atau menolaknya. Jangan marah kerana bukan maksudku untuk mencipta kontroversi.
Pastikan kecenderungan seksualiti bermaksud bahawa anda mesti pastikan diri sendiri berada di tahap wajib, haram, makruh, atau sunat berkahwin. Pastikan adakah anda heteroseksual, ex IDU, pure gay, biseksual atau langsung tiada kemampuan batin.
Jika keliru, dapatkan kaunseling profesional semasa rawatan. Jangan sesekali terdesak untuk berkahwin semata-mata kerana tekanan sekeliling dan untuk mendapatkan zuriat. Untuk kelihatan normal sebagai manusia lain. Nanti berganda-ganda dosa yang tidak tertanggung. Jangan khianati dan aniaya anak dara orang.
Aku mempunyai senarai bukti beberapa orang mak nyah, golongan yang asalnya mendakwa mereka pure gay dan dengan kebergantungan kepada Allah, usaha yang sungguh-sungguh akhirnya berjaya dalam rumahtangga. Ujian itu pasti dan memang ianya sangat-sangat berat dan memerlukan jihad yang bukan kepalang. Ada yang terus berjaya, ada yang jatuh bangun berkali-kali. Bagi aku yang paling penting effort dan belajar daripada kesilapan.
Dalam kebanyakan kes, mereka yang diuji dengan ujian seksualiti bukan tidak boleh berubah tetapi kerana kurangnya keyakinan diri dan tidak yakin sepenuhnya dengan janji Allah. Dia yang memberikan ujian, Dia juga yang menyediakan jalan penyelesaian. Lebih malang jika hakikatnya kerana mereka selesa berada di zon maksiat, tinggal serumah dengan pasangan seks sejenis umpama suami isteri.
Selepas berkahwin dan masih terdedah dengan aktiviti terlarang itu isu lain. Sama sahaja seperti lelaki straight yang masih melanggan pekerja seks untuk memuaskan nafsu.
Jangan cuba berbohong mengatakan tidak ada perempuan bukan ODHA yang sudi berkahwin dengan ODHA. Setua-tua aku ini, dengan status sebagai ODHA yang punya 2 isteri, ramai sahaja anak dara bukan ODHA yang secara terbuka mengajak aku berkahwin. Mereka mempunyai latar belakang pendidikan tinggi, mempunyai karier yang bagus dan mereka faham HIV.
Kalau sentiasa rendah diri dan gedik-gedik menangis macam perempuan, susahlah pakcik hendak bantu dik. Kalau aku rembat girlfriend kau orang nanti kau orang kata aku gatal tidak sedar diri pula.
Jadi, clearkan isu ini terlebih dahulu. Jangan semata-mata terdesak berkahwin, kita menipu pasangan dengan menelan Viagra apabila mahu menjalinkan hubungan intim. Kononnya untuk mendapatkan erection tetapi hakikatnya fikiran menerawang ke tempat lain bagi mengelakkan erectile dysfunction. Gagal menikmati seks secara normal.
Sudahlah begitu, jarang pula menyentuh isteri dan leka dengan tabiat lama. Atau mahu berkahwin tetapi enggan mendapatkan rawatan atau enggan menggunakan kondom sehingga menganiaya isteri. Pentingkan diri. Kalau begitu sikapnya memang aku sendiri katakan, anda tidak layak berkahwin. Maaflah.
Jujurlah pada diri sendiri
Kita mungkin boleh berbohong kepada bakal isteri kononnya mendapat jangkitan akibat pernah sekali menyuntik dadah ketika belajar di universiti, pernah ‘bersalam’ dengan ODHA dan macam-macam alasan merapu yang lain. Tetapi mampukah kita menipu diri sendiri? Jangan temberanglah. Tengok cara bergaul, berpakaian dan tenung body aku pun aku tahu seksualiti seseorang. Aku ini sudah tua.
Selain itu, pastikan kita bebas daripada jangkitan penyakit-penyakit kelamin. Ini sangat-sangat penting kerana lebih membahayakan pasangan dan bakal zuriat berbanding HIV. Usah bohonglah, berapa lama kau orang hendak bersembunyi daripada pengetahuan isteri semata-mata untuk menyapu Podophylin ke dubur akibat genital warts? Jangan buat lawak dengan aku.
Jangan sampai terjadi seperti 1 kes yang pernah aku hadapi. Seorang gadis naif yang risau kerana ‘abang angkatnya’ dijangkiti HIV. Sibuklah dia meminta sokongan dan panduan. 'Abang angkatnya' pula asyik meratap dan mengadu macam-macam. Dia bersungguh-sungguh mencari bantuan termasuklah menemani ‘abang angkatnya’ menjalani rawatan dan cuba mendapatkan sokongan komuniti.
Peliknya dalam diam-diam ‘abang angkatnya’ bersetuju pula kakak-kakak senior dalam komuniti mencarikan jodoh yang sesuai asalkan punya status yang sama (ODHA). Hujung-hujung satu komuniti tersebar macam-macam cerita negatif tentang gadis tersebut yang tergila-gilakan ‘abang angkatnya’.
Pedihnya hati aku Tuhan sahaja yang tahu, hampir mengalir air mata apabila memandang wajah gadis tersebut tetapi aku terpaksa menyimpan aib orang. Aku buat-buat tidak tahu tentang banyak rahsia dan perkara.
Pedihnya hati aku Tuhan sahaja yang tahu, hampir mengalir air mata apabila memandang wajah gadis tersebut tetapi aku terpaksa menyimpan aib orang. Aku buat-buat tidak tahu tentang banyak rahsia dan perkara.
Terfikir dan terdetik, alangkah naif dan lurusnya gadis tersebut. Begitu mudah tertipu dengan alasan karut marut ciptaan ‘abang’ pujaan hati. Bersungguh-sungguh membantu dan mempertahankan maruah ‘abang’ seumur hidupnya. Bertuah sungguh ODHA itu. Aku yang pernah cuba bantu untuk melihat mereka bersatu akhirnya mendapat trauma. Selenge udang betul!
Pelik apabila gadis tersebut tidak dapat meneka kecenderungan seksualiti ‘abangnya’. Mungkin akibat hanyut dengan dendangan kisah syahdu syahdan yang didodoikan. Perghhh... pilu sendu tahap gaban! Tidak sanggup aku mengingatinya semula. ‘Abang angkat’lah sangat...
Itu belum termasuk kisah-kisah sedih para isteri dan teman wanita ODHA yang lain. Kalau aku kongsikan semua, berjela-jelalah perkongsian ini nanti.
Jika clear dengan seksualiti, faham tujuan perkahwinan, telah bebas daripada penyakit kelamin, menjalani rawatan HAART, virus undetectable dan mampu memikul amanah Allah, berkahwin sahajalah. Cabaran ada di mana-mana, mahukan sokongan, aku boleh bantu melalui sahabat-sahabatku yang pernah melaluinya. Tidak bolehlah aku ceritakan semuanya secara terbuka. Ada masalah, ada penyelesaian.
Mahukan pandangan suami positif, isteri negatif dan memiliki zuriat bebas HIV boleh aku aturkan kaunseling bersama mereka. Mahukan pandangan suami negatif dan isteri positif tetapi memiliki zuriat negatif, pun boleh aku aturkan perkongsian. Mahukan pandangan pasangan yang kedua-duanya positif tetapi mampu memiliki zuriat bebas HIV pun boleh. You name it, you get it.
Lagi pun semua ini ujian Allah semata-mata. HIV sekadar virus, jika Allah sudah takdirkan kita diuji begitu, macam mana pun tetap kena juga.
Isu bukan ODHA (perempuan) yang ingin berkahwin dengan ODHA
Aku fokuskan kepada perempuan sahaja kerana bagi aku lelaki agak mudah jika mereka faham HIV seperti yang telah aku terangkan di atas.
Ceritanya lebih kurang sama. Jika lelaki tersebut berterus terang, jujur dan menjalani rawatan, memang tidak ada masalah berkahwin dengan mereka. Walau bagaimanapun anda berhak mengetahui seksualiti dan status kesihatan mereka terutama jangkitan penyakit-penyakit kelamin (STD) dan jenis-jenis hepatitis tertentu. Ini sangat-sangat penting.
Jangan biarkan diri terlalu mudah dimanipulasi dan diperbodohkan. Sejujurnya aku berpendapat ramai wanita mudah dimanipulasi oleh ODHA yang tidak bertanggungjawab akibat nature wanita itu sendiri seperti kaya dengan naluri keibuan, keikhlasan, melindungi dan sanggup berkorban demi kasih sayang. Hidup berumah tangga bukan boleh ikut emosi dik.
Janganlah kerana cinta melulu hanyut melayan emosi dan menurut kata hati. Menyesal kemudian tiada gunanya. Anda berhak menerima dan anda berhak menolak. Terpulanglah. Yang penting ialah kejujuran dan kewibawaan bakal suami.
Jangan habiskan terlalu banyak masa menyokong ODHA yang sentiasa minta dibantu dan berdolak dalih. Fahami isu yang aku kongsikan di atas. Bimbang nanti tunggu punya tunggu, teman lelaki anda tetap memberikan pelbagai alasan untuk menyembunyikan rahsia dirinya yang sebenar. Berkorban biar pada tempatnya dan umur kita semakin meningkat tanpa sedar.
Suami wajib bersikap sebagai pemimpin. Perkara yang lepas tidak perlu dikenang. Mereka yang bertaubat nasuha telah terhapus daripada segala dosa. Sejarah tidak mampu diubah. Pasangan heteroseksual bebas HIV sekalipun terdedah kepada lebih banyak isu berkaitan kecurangan dan keruntuhan rumahtangga tetapi stigma, diskriminasi dan judgemental yang menghukum ODHA. Bezanya mereka tidak diberi didikan direct daripada Allah. Kami sebenarnya insan terpilih. Kita perlu rasional dalam pemikiran dan tindakan.
Fahami juga apa itu grief reaction, treatment fatigue dan ilmu tentang HIV secara asas. Berikan sokongan dan jalani kehidupan dengan bermakna dalam mencari keredhaan Allah. Insya-Allah anda akan mendapat peluang hidup bahagia sama seperti yang pasangan normal yang lain. Cabaran hidup ada di mana-mana. Besar pahalanya untuk anda.
Isu lelaki bukan ODHA yang ingin berkahwin dengan wanita ODHA
Ringkas sahaja. Ramai wanita ODHA yang baik-baik di luar sana. Jika ada di kalangan lelaki bukan ODHA yang mahu menerima mereka, alangkah mulianya hati anda.
Kebanyakan wanita ODHA adalah mangsa keadaan, mangsa lelaki dan mereka berhak dibimbing. Tetapi mereka mempunyai rasa rendah diri dan mengalami trauma psikologi. Anda yang perlu memberikan keyakinan kepada mereka dengan kesungguhan dan keikhlasan.
Kalau anda mengharapkan kami yang bersungguh-sungguh berbanding anda (bukan ODHA), anda silap besar. Siapalah kami untuk merayu-rayu. Kami sedar diri siapalah kami. Apatah lagi wanita ODHA.
Jangan cepat mengalah dengan cabaran. Jangan sesekali mengungkit itu ini selepas berkahwin. Kasihanilah mereka. Kalau mahu terima, terimalah secara ikhlas dengan segala pakej kekuatan dan kelemahan mereka. Kalau tidak, katakan tidak, jangan sesekali dipermainkan hati dan perasaan. Jangan disangka berkahwin dengan pasangan normal yang lain tidak ada masalah langsung. Fahami segala isu yang telah aku kongsikan di atas.
Isu isteri yang berkahwin dengan suami yang kemudiannya didiagnos sebagai ODHA
Memang banyaklah isu ini. Kadangkala tidak aman hidup aku apabila para isteri meluahkan perasaan. Mereka marah kepada suami tetapi aku pula yang terpaksa tadah telinga dimaki hamun. Kadang-kadang aku tertanya-tanya, mereka marah suami mereka atau marah aku? Nasiblah.
Semasa mereka marah jangan sesekali dibantah. Apabila reda, bolehlah nasihat beransur-ansur. Marah macam mana pun, setakat yang aku lalui, jarang yang bercerai-berai. Bunyi sahaja berdentum dentam tetapi hati mereka memang tulus. Yang penting lelaki (suami) memohon maaf, jujur mengakui kesilapan dan menunjukkan sikap lebih baik daripada sebelum didiagnos.
Sebaik sahaja mengetahui status suami, jalanilah kaunseling dan ujian HIV. Pastikan ujian penyakit-penyakit kelamin turut dilakukan. Jangan berhiba terlalu lama kerana merajuk lama-lama tiada gunanya. Cubalah melihat kehidupan ini daripada view mata seekor burung yang sedang terbang. Fahamilah tekanan psikologi akibat rasa bersalah pasangan terhadap diri sendiri mungkin jauh lebih teruk daripada rasa marah anda terhadap mereka.
Tiada bahayanya HIV dengan rawatan dan kefahaman yang betul. Jalani sahaja kehidupan seperti biasa dan eratkan kasih sayang. Jangan sesekali berterusan mengungkit kesilapan, dan dicaci maki sesuka hati.
Fikirkan di sebalik tangisan, mungkin lebih banyak tawa yang kita kongsikan selama ini. Manusia bukan maksum. Kadang-kadang Allah memang pilih kita untuk diuji kerana Allah mahu tingkatkan darjat kita di sisi-Nya. Bukankah redha Allah yang lebih utama?
Bercerai-berai bukan penyelesaian masalah. Walau bagaimanapun anda berhak untuk menuntut hak anda dan kita punya rasional masing-masing. Aku menghormatinya.
Penutup
Akhir kata, kembalilah kita ke jalan Allah. Alangkah rugi jika diuji, kita masih lalai menjaga hubungan dengan Allah dan kekal dalam kemaksiatan. Hidup ini pinjaman semata-mata. Tiada apa yang menjadi hak milik kekal. Hentikan perkara remeh-temeh yang berlegar di sekeliling kita.
Minta maaf kepada sahabat-sahabat komuniti jika perkongsian kali ini melukakan hati dan terlalu berterus-terang. Mencari sengketa bukan caraku. Aku berpegang kepada prinsip, berkata benarlah walaupun pahit.
Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:
Pertubuhan Amal Firdausi Kuala Lumpur (PAFI)
Sila hubungi:
Laman Web: http://www.amalfirdausi.org
E-Mel: amalfirdausi@gmail.com
Talian Marhabah: 018-207-0953 (Encik Hamli) @ 017-311-0306 (Encik Raffie)
Telefon / Faks: 03-9174-0934
Telefon / Faks: 03-9174-0934
FB PAFI: http://www.facebook.com/amalfirdausi (Open Group)
Twitter: twitter.com/amalfirdausi