Thursday, January 03, 2013

ENTRY WAJIB: DATUKKU SEORANG PEMBAWA HIV! (KISAH BENAR)


TOLONG SEBAR-SEBARKAN ENTRY INI JIKA ANDA BERSETUJU BAHAWA IANYA MUNGKIN BERKESAN MENENTANG SALAH FAHAM TENTANG HIV, AIDS, STIGMA, DISKRIMINASI, JUDGMENTAL DAN MALPRACTICE! IANYA BOLEH DICETAK DAN DILEKATKAN DI NOTICE BOARD PEJABAT, SEKOLAH, MASJID, SURAU, KOLEJ, IPTA/ IPTS DAN DI MANA SAHAJA YANG DIFIKIRKAN SESUAI. IANYA JUGA BOLEH DISEBARKAN MELALUI APA JUGA WEBSITES, E-MAIL, TWITTER, FACEBOOK DAN BLOG UNTUK
TUJUAN PENDIDIKAN.


Pada suatu petang seorang datuk melayan cucu lelakinya yang bernama Iman, berumur 15 tahun memancing di sebuah boathouse di Tasik Kenyir. Keindahan pemandangan alam semulajadi  ciptaan Allah memukau dan  menenangkan jiwa sesiapa sahaja. Mereka sekeluarga bercuti sambil mengadakan sambutan hari keluarga di sana. Ahli keluarga yang lain pergi menjalani aktiviti jungle trekking di Pulau herba yang berdekatan.   

Datuk tersebut sebenarnya seorang pembawa HIV dan menikmati sisa-sisa hidupnya sebagai seorang pesara dan ahli jawatankuasa masjid. Hubungan datuk dengan cucunya itu sangat rapat kerana dialah satu-satunya cucu lelaki kepada lelaki tua tersebut.  




Iman: “Atuk, Iman nak tanya sikit boleh tak?”

Atuk: “Ada apa pulak kali ni Iman…?, tanyalah.”

Iman: “HIV tu apa Atuk?”

Atuk: “HIV tu akronim kepada virus yang melemahkan sistem pertahanan badan…”

Iman: “Ooo… AIDS pulak tuk?”

Atuk: “AIDS pun akronim kepada sekumpulan penyakit yang biasa menjangkiti pembawa HIV apabila sistem pertahanan badannya menjadi terlalu lemah atau tiada lagi. Macam negara kita juga, tak ada polis dan askar ramailah yang nak menceroboh”.

Iman: “Contoh?”

Atuk: “Kanser, boleh kena pada sesiapa pun tetapi kalau kena pada pembawa HIV yang lemah imuniti badan, mereka panggil AIDS…”

Iman: “Maknanya HIV dan AIDS bukan penyakitlah?”

Atuk: “Bukan... Kenapa, apa sebenarnya Iman nak tanya ni?”

Iman: “Hehehe… atuk ada HIV kan?”

Atuk: “Iya…!”

Atuk buat-buat bodoh menunggu soalan seterusnya daripada Iman.

Iman: “Teruk ke tuk?”

Atuk: “Tak adalah biasa-biasa je, sama macam penyakit-penyakit kronik lain tapi orang luar selalu salah sangka. Selalunya mereka takut-takut untuk bergaul dengan atuk kalau tahu atuk ada HIV, kononnya mereka takut berjangkit…!”

Iman: “Kenapa tuk?” Iman kelihatan teruja.

Atuk: “Mereka tak betul-betul faham HIV dengan cara jangkitannya.  Pastu selalu orang kaitkan HIV dengan gejala negatif seperti hubungan seks bebas dan dadah. Kononnya HIV ni penyakit orang-orang jahat. Itu tidak semestinya. Dulu-dulu doktor dan kakitangan hospital pun ramai yang anggap begitu.”

Iman: “Eh, memanglah. Iman belajar pun begitu tuk… Iman tanya cikgu kaunseling, cikgu kaunseling pun cakap begitu…. HIV kan berjangkit melalui seks bebas dan dadah.”

Atuk: “Bukan kerana perbuatannya tetapi kerana punca jangkitannya. Contoh, kalau seseorang buat hubungan seks bebas tetapi mengamalkan seks selamat dan semua pasangannya bebas HIV, dia pun tak kena HIV…”

Iman: “Dadah?” Tanya Iman seperti tidak puas hati.

Atuk: “ Samalah, suntik atau telanlah 50 ribu kilo dadah sehari dan selagi tak kongsi jarum suntikan dengan pembawa HIV, HIV takkan terjangkit. Tetapi dapatlah penyakit lain pula…” Atuk tergelak.

Iman nampaknya makin keliru berbanding dengan pengetahuan sedia adanya.

Iman: “Habis, bolehlah buat sesuka hati kita tuk? Tak kena HIV ya?”

Atuk: ”Isskh… lain macam bunyi soalan Iman ni… Maksud atuk, antara fakta dengan anggapan adalah berbeza. Antara dosa dan punca jangkitan tak sama…”

“Walaupun sekali berkongsi jarum suntikan atau melakukan hubungan seks tanpa kondom dengan pembawa HIV, tidak mustahil seseorang boleh dijangkiti. Sebab tu Iman tak boleh cuba-cuba buat benda haram. Tak kiralah dengan perlindungan ataupun tidak kerana agama kita menghalangnya.”

“Mula-mula dulu atuk pun tak faham kenapa kempen cegah HIV agihkan jarum suntikan, bekalkan methadone dan kondom percuma. Seolah-olah menggalakkan pula. Bila fikir betul-betul baru atuk faham. Kalau tak buat gitu lagi teruk jangkitannya. Sekurang-kurangnya kita dah mendekati golongan berisiko untuk dibantu dan dirawat.”

Iman: “Tangkap dan hukum sahajalah semuanya tuk…!”

Atuk tersenyum memandang Iman dan berkata: “Tangkap, hukum dan penjara memang mudah. Mungkin boleh menyekat seketika tetapi takkan mampu menghapuskannya. Contoh, dadah akan ada selagi berlakunya rasuah. Pelacuran, gay dan homoseksual wujud sepanjang sejarah kehidupan manusia sama ada secara terbuka atau tersembunyi termasuk di kalangan haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Kita kena ubah keseluruhan sistem”

Iman: ”Sistem?, tak fahamlah tuk..!”

Atuk: ”Macam ni, kemajuan sesebuah negara bukan diukur dengan fizikal sahaja. Mesti seimbangkan dengan pembangunan rohani tanpa mengira agama. Bersungguh-sungguh menghalang hedonism. Pendidikan dan usaha berterusan menggalakkan nilai-nilai positif secara serius”

Iman: ”Ooo… kalau buat begitu selesailah masalah atuk ya?”

Atuk: ”Masalah tetap ada tetapi dapat kita minimakan. Islam lebih menekankan aspek pencegahan daripada rawatan tetapi masalahnya kita terlalu cepat menghukum kerana miskin minda.”

Iman: ”Habis kenapa tak ubah, tuk?”

Atuk: ”Nantilah atuk terangkan, ianya tak semudah tu. Sekarang ni kita jangan pergi terlalu jauh. Kita fikirkan apa yang kita boleh buat untuk bantu.”

Iman kelihatan berfikir untuk cuba memahami maklumat tersebut sebelum atuk menyambung kembali.

“Iman kan tahu, ada juga yang dijangkiti melalui ibu kepada anak, melalui pemindahan darah atau pun organ dan isteri-isteri yang tidak mengetahui suami mereka pembawa HIV. Mereka tidak bersalah. Jadi tidak adil kita katakan HIV ni masalah orang-orang tertentu sahaja.”

Sinar mata Iman mula menunjukkan beliau semakin memahami kekeliruan tersebut.

Iman: “Betul tuk… kasihan merekakan. Lagipun atuk selalu pesan, sejahat manapun manusia, kalau dia dah sakit, kita wajib bimbing dan tolong dia tuk kan?”

“Cikgu kata, virus HIV ni sebenarnya lemah tak seperti virus Influenza dan H1N1 yang boleh tersebar melalui udara. Pembawa HIV patut belajar daripada virus tu sendiri tuk, kan? Lemah tapi tabah, pelan-pelan ‘fotostat’ diri dia sendiri sampai jadi banyak dan susah nak dihapuskan.”

Atuk: “Pandai pun… macam tu lah cucu atuk! Bermakna ianya boleh dirawat. Tak guna menghukum dan mengutuk kerana pembawa HIV pun manusia yang punya hati dan perasaan seperti kita. Perkara yang lepas bukan boleh diubah. Yang penting kita kena belajar daripada kesilapan. Penyakit adalah ujian dan didikan Allah tanda sayang-Nya pada kita.”

Iman terdiam dan kelihatan masih berfikir.

“Ujian kepada pembawa HIV pun ujian kepada kita juga sebab Allah nak tengok kita ambil berat tak pada saudara seagama dan sesama manusia. Jangan ingat kita bebas daripada soalan Allah ini di akhirat nanti.  Atuk menyambung lagi dan tiba-tiba Iman merapatkan diri dan memeluk atuknya.

Iman: “Iman sayang atuk, Iman nak minta maaf sebab sebenarnya selama ni Iman ada sedikit salah sangka terhadap atuk”.



Atuk tergelak besar mendengar luahan Iman.

Atuk: “Atuk faham, atuk dah biasa dengan keadaan macam tu,” jawab atuk tenang. 

Suasana hening seketika sebelum Iman bertanya kembali.


Iman: “Boleh Iman tahu macamana atuk dapat HIV?”

Atuk: “Haaa… inilah sebenarnya Iman nak tanya daripada tadi, kan?”

Iman: “Hehe… mana atuk tau, boleh ke tuk?”

Atuk dan Iman sama-sama ketawa.

Atuk: “Sebenarnya atuk pun tak tahu punca sebenar cuma berkemungkinan besar akibat pemindahan darah di hospital.”

Iman: “Ceritalah tuk…”

Atuk: “Masa tu umur atuk 43 tahun. Atuk ada diabetes dan masalah platelet rendah. Pesakit diabetes ni imuniti badan mereka memang lemah. Suatu hari bibir atuk tak berhenti berdarah, pergi ke klinik, dia orang suspek atuk denggi terus suruh pergi hospital dan terpaksa masuk wad.”

Iman: “Lepas tu tuk?” Iman kelihatan tak sabar-sabar.

Atuk: “Lepas tu dia orang tengok platelet dalam darah atuk tetap sangat rendah dan dia orang masukkan atuk ke HDW (High Dependency Ward) selama 2 hari. Lepas tu ke wad biasa semula sebelum doktor bagi tahu kemungkinan atuk kena macam-macam penyakit kronik. Kebanyakan mereka doktor pelatih,  dia orang diagnos atuk sambil-sambil rujuk buku.”


“Doktor senior dan pakar jarang-jarang jenguk. Habis lebam-lebam lengan atuk kena ambil darah. Dia orang belum mahir, cucuk sana, cucuk sini tak juga jumpa urat.”

“Mula-mula doktor kata kemungkinan neutropenia, baru sahaja atuk cuba belajar terima kenyataan, dikatanya kanser pula, lepas tu multiple myeloma dan dan akhirnya suspek leukemia. Pening atuk dibuatnya.”

“Sebenarnya bibir berdarah tu memanglah sebab sel darah menjadi cair akibat denggi dan masalah platelet atuk yang rendah.”

Iman: “Eeee… dahsyatnya tuk, itulah yang orang kata malpractice tu tuk kan? Nama penyakit tu pelik-pelik, Iman tak faham tuk…” Iman berterus terang mengaku kalah.

Atuk: ”Atuk pun tak faham. Agaknya jenis-jenis penyakit berkaitan sel darah. Nanti Iman boleh search info di internet”.



Keadaan kecoh seketika apabila atuk berjaya menaikkan patin buah seberat 5 kilogram.

“Lagi tuk, ceritalah…“ Iman memujuk selepas melihat atuknya kembali menjatuhkan mata kail.  

Atuk: ”Mereka pun buat BMA (Bone Marrow Aspiration), tebuk tulang punggung atuk untuk ambil sample”.

Iman: ”Fuyyooo… ngeri tu tuk, sakit tak?”

Atuk: ”Mahu tak sakit, melolong atuk dibuatnya. Mereka kata cuma satu tebukan tetapi jadi tiga sekaligus. Janji doktor pakar dan cuma 15 minit tapi semua M.O muda-muda dan dekat sejam.”

“Kalau tak salah atuk tiga orang doktor pelatih perempuan, seorang doktor muda perempuan banyak jerawat, dan seorang doktor muda lelaki cina over confident. Atuk tengok muka doktor pelatih tu lagi takut daripada atuk…hahaha...!” 

“Dia orang gilir-gilir cuba tebuk tulang punggung atuk”, sambung atuk.



Iman: “Alamak..., apa lagi tuk?!”

Atuk: ”Masa tulah berkampit-kampit plaletet dan plasma dimasukkkan ke badan atuk. Nenek Iman kata, dia nampak darah bersepah di lantai. Di hujung prosedur tu semua doktor dan Pegawai Makmal Darah yang selia prosedur tu senyap.”

Iman:”Kenapa tuk? Kat OT ya?”

Atuk: ”Tak tahulah tapi bukan kat OT. Di bilik khas sebelah wad atuk tu aje. Habis semua pesakit lain dengar atuk meraung semasa tebukan kedua dan ketiga tu.”

Iman: “Kasihannya atuk… lepas tu?”

Iman seperti gagal mengawal naluri ingin tahunya.

Atuk: ”Atuk dimasukkan ke wad semula selama 2 hari sebelum dipindahkan ke Isolation Room selama seminggu. Katanya bimbang ada jangkitan kuman sedangkan atuk rasa sihat je cuma sakit tempat tebuk tu.”



Iman: “Kenapa pula kena asing tuk?”

Atuk: “Entahlah sayang. Katanya bimbang berlaku jangkitan kuman tetapi yang atuk pelik doktor selepas tu macam takut-takut jumpa atuk kecuali seorang doktor pelatih perempuan india yang jaga atuk. Yang lain pandang dan bincang tentang atuk di sebalik cermin bilik aje.”

“Yang atuk terasa hati sangat tu, dia orang mengelak-ngelak dan tak mahu berterus terang dengan atuk."

"Kebersihan bilik tu pun teruk. Atuk berkali-kali mengadu kepada doktor ada banyak kapas dan tisu penuh darah dan nanah dalam satu tray di tandas tu. Tak ada siapa pun peduli. Doktor kata itu tugas cleaner, cleaner kata itu tugas nurse, nurse kata itu tugas cleaner. Tension punya pasal atuk campak sendiri tray tersebut dalam tong sampah.”

“Sepatutnya Isolation Room, mesti bersihlah kan? Selain tu atuk ada nampak seorang nurse pancutkan sahaja darah lebihan dalam jarum suntikan ke tepi kepala katil atuk tempat atuk solat dan makan. Terpaksalah atuk terkedek-kedek cari cleaner minta tolong bersihkan”.

Iman: ”Oii… itu tak professional, tak betul tu tuk!!”

Atuk: ”Memang pun… tapi sikap begini ada kat mana-mana jabatan pun di Malaysia ni Iman. Di sebalik semua tu ada ramai doktor dan jururawat yang bagus-bagus tetapi sebab nila setitik rosak susu sebelanga. Iman belajar tinggi-tinggi, jadi khalifah, pimpin negara kita. Ubah kepada sistem yang sepatutnya.”

Iman: ”Insya-Allah tuk. Nanti keluar berita bertajuk: CUCU PEMBAWA HIV KINI PERDANA MENTERI… best tuk kan? Kenapa dia orang letak nila dalam susu tuk?”  Iman betul-betul hairan.

Atuk: “Iskhh… kau ni sama macam nenek-nenek kaulah Iman, kadang-kadang lurus tak bertempat”. Atuk ketawa sambil memandang Iman.

“Maksudnya sebab kelemahan seorang dua habis rosak nama baik orang-orang lain!”

Iman: ”Ooo… sori!” Jawab Iman tersipu-sipu. “Lepas tu tuk?”

Atuk: “Setelah beberapa hari dia orang buat ujian HIV dan hepatitis kepada atuk. Alhamdulillah dua kali test HIV, dua kali negative. Ujian x-ray, buah pinggang, paru-paru, jantung dan semuanya masih bagus ketika itu kecuali diabetes atuk sajalah. Itu pun terkawal…”

Iman: ”Habis begitu sahaja ke tuk?”


Atuk: ”Taklah, kemudian mereka beri atuk cuti. Kena datang 3 minggu kemudian untuk review ujian darah termasuk ujian ELISA. Syukur alhamdulillah tetap negatif. Lebih kurang sebulan selepas tu kes atuk dirujuk ke Hospital Ampang. Semua yang uruskan kes atuk pun doktor pelatih."

"Doktor pakar yang sepatutnya review penyakit atuk entah ke mana. Semasa nak review penyakit atuk tu lah, mereka kata beberapa perkara penting dalam Fail Rawatan atuk hilang. Bahkan sejak nak keluar hospital lagi doctor pelatih india tu pening cari Fail Rawatan atuk..”

Iman: “Habis macam mana atuk dapat HIV?”

Atuk: "Sebab itulah atuk kata atuk tak tahu… sampai di Hospital Ampang, doktor sana minta fail rawatan atuk tetapi hospital yang atuk buat BMA tu kata Fail Rawatan atuk ‘tak ada’.

"Atuk nak claim insuran, hospital tu tetap kata, Medical Report refer to Hospital Ampang. Atuk cuma nak claim masuk wad aje. Itu hak atuk tapi banyak pula silap matanya."

"Kat Ampang darah atuk diambil lagi sekali dan sebulan lepas tu atuk disahkan HIV positif dan ada hepatitis.”

Iman: "Atuk pun ada hepatitis?” Iman terkejut.

Atuk: "Mana ada, atuk tak puas hati. Atuk buat test semula kat Private Medical Centre, tak ada pun. Mana boleh diagnos pesakit suka-suka hati, main agak-agak gitu...”

Iman: "Mana boleh macam tu, tuk kan? Kena batang hidung sendiri baru mereka tahu langit tinggi ke rendah. Habis, result BMA atuk sebelum tu macamana?”

Atuk: "Kena batang hidung dia orang, dia orang buat bodoh je. Masa atuk masuk wad tu, ada seorang suami doktor sama taraf dengan atuk duduk wad VVIP sorang-sorang. Layanan memang tip top!”

"Pasal sample tadi tu,  Itulah yang atuk rasa cukup teraniaya, senang sahaja doktor cakap sample tak cukup, ianya tak perlu."

"Tiga kali tebuk pun tak cukup lagi? Semudah itu dikatakan tak perlu?? Atuk ni ada rupa tikus makmal ke? Entahlah Iman. Kadang-kadang ada perkara apabila kita makin fikir kita jadi semakin tidak faham.”

Iman: "Ya Allah… kasihannya atuk tapi boleh ke kita dijangkiti secepat itu, bahaya pemindahan darah ni tuk kan?” ”Eh, bukan ke darah tu dah disaring dulu tuk?”  Iman menyatakan rasa was-wasnya.

Atuk: ”Itulah, atuk pun tak tahu. Setahu atuk, antibodi terhadap  virus boleh dikesan seawal 2 minggu. Purata 25 hari tapi yang konkrit selepas 3 bulan bergantung kepada imuniti badan seseorang.”

"Pemindahan darah memang bahaya terutama kepada pesakit yang mempunyai sistem imuniti badan yang rendah seperti pesakit diabetes dan leukemia.”

Iman: "Jadi tak boleh buat pemindahan darah ke tuk? Bukan ke ianya membantu pesakit yang memerlukan?” Iman nampaknya keliru.

Atuk: "Betul… tapi pemindahan darah cuma dilakukan apabila betul-betul perlu sahaja kerana  boleh menyebabkan berbagai-bagai kesan sampingan.”

"Darah memang telah disaring tetapi human error dan machine error boleh berlaku di mana-mana terutama jika virus masih baru di dalam darah penderma. Ini dikatakan window period, di mana virus tersebut di peringkat pengeraman. Ketika itu virus belum dapat dikesan.”

Iman: ”Oh, begitu, bahaya rupa-rupanya. Macam belajar sains pulalah tuk. Kemudian tuk?”

Atuk: ”Itu sahajalah. Kalau bukan kat hospital, kat mana? Kenapa 2 kali ujian sebelum tu negatif dan berubah positif dalam tempoh 3 bulan? Kenapa Fail Rawatan atuk yang sepenting itu hilang? Atuk nak kata apa lagi?” Atuk seolah-olah mengeluh sendiri.


Iman: ”Kenapa atuk tak saman?”

Atuk: ”Selalu orang tanya soalan tu sayang, dah penat atuk menjawabnya. Ikutkan hati, memanglah atuk pun marah tapi bila fikir betul-betul atuk tak mahu. Saman menyaman akan mengambil masa yang cukup panjang. Tuding menuding, polemik, tuduh menuduh, pusing sana, pusing sini sedangkan keputusan belum tentu menyebelahi kita. Ini mahkamah dunia. Atuk dah tua, atuk dah tengok macam-macam perkara pelik dalam dunia ni”.

“Bagi atuk, ada sesuatu yang lebih bernilai daripada wang ringgit untuk keluarga kita. Tak apalah, atuk rela menghadapinya asalkan Iman sayang atuk, boleh?” Atuk membalas pertanyaan dengan pertanyaan.

Iman: ”Boleh tuk, memang selama ini Iman sayang atuk tanpa syarat...” Iman kelihatan sebak.

“Teruk ke mula-mula terima kenyataan tu tuk?” Iman bertanya lagi.

Atuk: ”Tuhan sahajalah yang tahu Iman… nasib baiklah Allah, nenek-nenek Iman, ayah Iman, mak saudara dan pak saudara Iman sentiasa sokong atuk ketika itu. Atuk ada doktor yang bagus yang sentiasa bantu atuk dan ramai kawan-kawan yang bagi sokongan. Kalau tak, mahu agaknya atuk panjat pokok taugeh gantung diri dengan tali bihun…”

Atuk cuba melawak untuk menceriakan kembali keadaan. Iman dan atuk ketawa ketawa terbahak-bahak.

Iman: ”Atuk cakap betul-betul, atuk ada tak nakal-nakal belakang nenek?”

Kenakalan imaginasi remaja Iman membuatkannya bertanya begitu.

Atuk: ”Haha… kalau bertanya kepada nafsu, mestilah mahu. Semua orang mahu begitu Iman. Cuba bayangkan hari ni atuk tidur dengan Leha, besok dengan Kumari, lusa dengan Mary, kemudian dengan Swee Lan, kemudian dengan Margaret dan siapa sahajalah tetapi atuk masih waras...”

“Atuk berfikiran terbuka, akui banyak kelemahan diri tetapi terikat dengan satu sistem hidup yang dinamakan Islam. Ada dunia, ada akhirat. Di sana kehidupan sebenar kita. Kita bukan hidup sekadar seperti lembu, kerbau dan kambing. Itu pun makhluk  tersebut ada manafaatnya kepada kita.”

“Mengambil yang haram setelah memiliki yang halal seperti ghairah meratah najis busuk daripada memakan daging bersih. Atuk tak sebodoh dan sekejam itu pada nenek-nenek Iman.” Nada atuk sedikit tegas".

“Lagipun, kalau atuk masuk hospital disebabkan HIV, payah rasanya atuk bebas daripada macam-macam jangkitan penyakit opportunistic ketika itu terutamanya TB. Hampir mustahil nenek-nenek kamu bebas HIV,” kata atuk penuh rahsia sebagai seorang lelaki dewasa.

“Itu pun alhamdulillah atuk tahu awal dijangkiti. Kalau tak, kemungkinan nenek-nenek kamu pun menjadi mangsa, bayangkan.” Sambung atuk.

Iman: ”Iman tahu tuk, Iman usik-usik aje. Syukurlah nenek-nenek selamat”.

Atuk: ”Tak mengapa, atuk faham. Bukan nenek-nenek sahaja, kamu semua selamat atuk dah bersyukur sangat. Bayangkan dengan kecuaian manusia hampir pupus keluarga kita dibuatnya. Dah jelas semuanya kan?

“Yang penting, baik kita jadikan teladan dan yang buruk kita jadikan sempadan. Jangan cepat menghukum sesama manusia, kasihanilah pembawa-pembawa HIV yang tidak berdosa atau yang tersilap memilih jalan hidup”.

“Perjalanan kita berbagai cara dan ujian berbeza tetapi sama arah tujuan. Iman pernah dengar tak pembawa HIV bunuh diri atau mati di gereja akibat saudara seagama menghina dan membiarkan mereka? Dosa siapa tu? Dosa kita juga…

"Selalunya akibat judgmental terhadap seorang pembawa HIV, kita menganiaya  dan mengaibkan seluruh keluarga. Adilkah? Kita telah merasai kepedihannya.“

“Dahlah Iman, dah dekat maghrib ni. Jom kita bersedia pula untuk solat Maghrib dan Isya’ jamak berjemaah. Atuk kepingin Iman pula jadi imam ya. Lepas tu kita boleh makan-makan dan sambung cerita lain pula. Hah, itu pun mereka dah balik.”  Kata atuk menunjukkan ahli keluarga yang lain sedang menuju ke boathouse dan menutup perbualan.

Iman: “Baik tuk, terima kasih percayakan Iman”.

Nyanyian cengkerik semakin galak kedengaran dan mentari senja semakin melabuhkan tirainya.


My best doctor.
Dr. Iskandar Firzada bin Osman.

MD (USM), MMed (Family Medicine) (USM),
MAFPM (Mal.), FRACGP (Australia), FAFPM (Mal.),
Fellow in Adolescent Health (Melbourne)
Family Medicine Specialist / Primary Care Physician





Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Untuk menyertai, sila hubungi admins:
Survivor: survivorpng@yahoo.com
Camelia Sulaiman: camelia_sulaiman@yahoo.com


Sokongan khusus kepada wanita: PEWAHIM
Untuk menyertai FB PEWAHIM (Secret Group)
Sila hubungi:
E-Mel: pewahim@gmail.com
No. Telefon: 019-259-5864 (Norlela) Pengasas
Alamat: Rumah WAHIDAYAH, No. 601, Jalan 1B/5, Bandar Baru Sungai Buloh,
47600 Sungai Buloh, Selangor.


Pertubuhan Amal Firdausi Kuala Lumpur (PAFI)
Sila hubungi:
Laman Web: http://www.amalfirdausi.org
E-Mel: amalfirdausi@gmail.com
Talian Marhabah: 018-207-0953 (Encik Hamli) @ 017-311-0306 (Encik Raffie)
Telefon / Faks: 03-9174-0934
FB PAFI: http://www.facebook.com/amalfirdausi (Open Group)
Twitter: twitter.com/amalfirdausi