Wednesday, November 07, 2012

PERTUBUHAN POSITIVE WARRIORS MALAYSIA






Syukur alhamdulillah, Positive Warriors Support Group (PWSG) atau nama rasminya Pertubuhan Positive Wariors Malaysia telah diluluskan pendaftarannya pada 30 Oktober 2012 (Selasa) sebagai sebuah NGO.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang menyokong dan membantu ianya direalisasikan. Kredit khas kepada Survivor AHP yang banyak menguruskan urusan pendaftaran.

Bagi aku pencapaian tersebut adalah milik semua pihak yang ingin melihatkan PWSG berada di medan yang tersendiri untuk saling bekerjasama dengan NGO lain bagi membantu komuniti. Ianya daripada komuniti kepada komuniti.

Seiring dengan kejayaan tersebut,  bermakna PWSG kini mempunyai peluang yang lebih besar untuk membantu komuniti. Peluang yang lebih besar bermakna semakin besarnya amanah dan tanggungjawab.

NGO perlu berfikir dan bertindak sebagai sebuah NGO. Perlu dan dianggap mampu berdikari. Wajib bermula dengan baik untuk memberikan momentum yang sempurna ke arah keberkesanan pencapaian. Sedia berdepan dengan ujian yang semakin getir cabarannya.

Sekarang bukan lagi sekadar perjuangan di blog atau Facebook. Soal remeh-temeh wajib diketepikan. Perlu terbuka kepada teguran tetapi tetap berhak membuat keputusan sendiri. Mengutamakan priority dalam tindakan dan perjuangan.

Sukacita diingatkan untuk kesekian kalinya bahawa PWSG menekankan nilai-nilai Islamik, kekeluargaan dan kemelayuan secara santai. Ianya sesuatu yang sangat rapat di hati ODHA Muslim. Kesemua nilai tersebut sangat-sangat penting untuk dipertahankan.

Marilah kita berdoa perjuangan ini sentiasa dilimpahi inayahNya. Istiqamah membantu komuniti dengan pendekatan tersendiri. Satu-satunya pilihan yang ada hanyalah bersatu untuk kekal berada di landasan perjuangan yang menekankan nilai-nilai tersebut. Alangkah rugi ianya sekadar menjadi NGO dan support group yang kosong tanpa makna.

Selaku Presiden PWSG, sudah tentu aku memerlukan kekuatan dan bantuan semua sahabat mengikut peranan dan keupayaan masing-masing. Aku tidak pernah berhasrat untuk kekal berada di posisi tersebut. Apabila ada sesiapa sahaja yang lebih layak menerajuinya, terpulang kepada ahli membuat pilihan. Aku dengan berbesar hati akan melepaskan jawatan.

Cabaran dan kerenah dalam sesebuah pertubuhan adalah perkara biasa. Usahkan sebuah NGO, jika kita pernah berpengalaman menjadi ahli jawatankuasa PIBG, Taska, masjid atau surau sekalipun, kita memang sentiasa terdedah dengan kritikan. Ianya terpulang kepada bagaimana kita melihatnya.

Yang penting ialah jemaah dan perjuangan, bukan individu. Telinga pemimpin mesti tebal tetapi hati mesti tulus. Sakit macam mana pun mesti ditanggung kerana memang begini resam perjuangan. Batu api pula ada di mana-mana. Mengkritik memang mudah tetapi teguran juga adalah sesuatu yang sangat perlu.

Seiring dengan pertambahan komitmen, masa untuk aku berblog dan melayan ahli keluarga ODHA di FB semakin terbatas. Keutamaan kini telah berbeza. Untuk itu aku secara rasminya memberikan kepercayaan kepada sahabatku Fareez Fauzi untuk membantuku di blog.

Aku dapat melihat abang Fareez Fauzi semakin bijak dan memahami cara untuk menguruskan pertanyaan pembaca. Lebih utama ialah komitmen yang diberikan beliau tidak pernah surut sejak dulu. Aku terharu dan sahabat sejati begini sukar dicari ganti.

InsyaAllah abang Fareez Fauzi akan sentiasa dibantu oleh sahabat-sahabat yang lain apabila mereka berkesempatan. Walau bagaimanapun jangan bimbang, entry terbaru akan sentiasa ada cuma bukanlah sekerap dulu.

Di FB pula, Survivor AHP memang sentiasa memberikan komitmen yang baik. Walau bagaimanapun, insyaAllah kita akan cuba perbaiki jika timbul mana-mana kelemahan dalam waktu yang terdekat. Tolong berikan sedikit masa kerana kami bergerak secara sukarela. Bantu-membantulah untuk penambahbaikan.

Bersama kita berjuang untuk mencari keredhaan Allah dan membuktikan bahawa salah faham terhadap ODHA selama ini adalah satu bentuk kezaliman. Usahlah mendiskriminasikan ODHA semata-mata kerana kononnya mereka pengamal aktiviti berisiko.

HIV boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Apakah kewajarannya ahli keluarga ODHA (affected people) yang tidak bersalah turut dikeji? Bayangkan akibat salah faham  tersebut ada sebahagian ODHA yang menjadi penaung keluarga hilang pekerjaan, menderita dan takut mendapatkan rawatan.

Apapun punca jangkitan, kesemua yang terlibat berhak mendapat bimbingan, sokongan dan rawatan sama seperti pesakit kronik lain. Bahkan HIV bukanlah virus yang bahaya seperti yang digambarkan.

Bahaya sebenar ialah  miskin iman dan minda, sikap tidak ambil kisah, dan menghukum membuta-tuli.

OK, kita jumpa lagi dalam entry yang seterusnya.


Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Untuk menyertai, sila hubungi:

Survivor: survivorpng@yahoo.com
Luka Rafieqa: rafieqakl@hotmail.com 
AHP: positive4eva@gmail.com


Sokongan khusus kepada wanita: PEWAHIM.
Untuk menyertainya FB PEWAHIM, (secret group) sila hubungi:

pewahim@gmail.com
019-259-5864 (Norlela) Pengasas

No akaun PEWAHIM: 562740121438 (Maybank)