Thursday, September 27, 2012

PESANAN IKHLAS UNTUK SAHABAT-SAHABAT POSITIVE WARRIORS




Sahabat-sahabat asal Positive Warriors sebenarnya hanya 11 orang. Luka Rafieqa, Fareez Fauzi, Survivor AHP, Mizan, Ayie, Laila, Azam, Fariza, Sha, Mael dan aku sendiri.

Silaturrahim bermula selepas aku mula berblog dan hubungan kami sangat erat.

Lumrah manusia kadangkala ada juga perbezaan pandangan tetapi hubungan kami umpama keluarga besar. Masalah remeh-temeh tidak akan dibiarkan menjadi kudis. Kebanyakan kami saling menziarahi dan kenal ahli keluarga masing-masing.

Perlahan-lahan kumpulan kami semakin berkembang dengan kemunculan Seroja, ZS, Siti, Along (Zaini), Ibnu Sina, Camelia, Dhiya Belleqish, Arm Ly dan ramai lagi.

Disebabkan ruang komunikasi untuk saling berkongsi sokongan di blog agak terhad, Zaini, Survivor AHP dan Luka Rafieqa berbincang untuk mewujudkan Facebook Positive Warriors Support Group (PWSG) - Secret Group, kerana meyakini medannya lebih luas. Ianya diharapkan menjadi ruang SELAMAT dan SELESA kepada komuniti berkongsi sokongan.

Aku bersetuju dengan beberapa syarat. Antaranya mereka yang perlu menguruskan sendiri kerana aku tidak mampu menguruskannya atas kekangan masa, tidak lari daripada nilai-nilai kekeluargaan dan berteraskan dakwah Islamiah secara berhikmah.

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa sebelum ini aku  tidak mempunyai akaun Facebook dan tidak minat berFacebook pun. Tetapi demi sokongan moral untuk sahabat-sahabat, aku berusaha membuka akaun.

Aku perasan, kadang-kadang komuniti baru ada yang anggap aku poyo enter-frame diri di Facebook. Maklumlah aku bukan somebody dalam komuniti.

Ringkasnya, disebabkan beberapa masalah domestik, akhirnya berlaku beberapa perubahan dan Survivor AHP lebih banyak memainkan peranan. Luka Rafieqa sebagai professional volunteer memang terlalu sibuk dengan pelbagai komitmen.

Bagi aku, terserah kepada mereka kerana aku telah menjelaskan sejak awal bahawa mereka  perlu menguruskan sendiri Facebook ini. Komitmen, minat dan kemampuan masing-masing berbeza. Aku tidak mampu hendak melakukan semua perkara. Sekadar menyokong dan memantau.

Tanpa sedar akhirnya gerakan Facebook PWSG berkembang pantas dan mendapat perhatian serta sokongan banyak pihak. Antaranya pihak MAC, Dr. Iskandar Firzada bin Osman, Dr. Zaiton, Yayasan Ihtimam Malaysia, NGO’s dan sahabat-sahabat senior yang hebat serta berpengalaman.

Kesudian Dr. Iskandar Firzada turut memberikan sokongan di Facebook selain di blog memberikan impak yang cukup besar kepada komuniti. Lebih membanggakan beliau adalah doktor kebanggaan yang merawatku. Walaupun sekadar sesekali berpeluang berinteraksi secara maya, itu pun sangat-sangat bermakna.

Ahli-ahlinya pula berkembang dengan pantas. Sahabat-sahabat baru pula ramai. Sebahagian daripadanya tidak aku kenali tetapi tetap berbesar hati diterima sebagai keluarga.

Tahniah aku ucapkan kepada Survivor AHP, Luka Rafieqa, Along dan kepada semua pihak yang membantu.

Melalui sokongan-sokongan inilah berlaku lonjakan besar terhadap komuniti sehingga ianya mula dicadangkan sebagai sebuah NGO baru.

Tujuan PWSG didaftarkan sebagai NGO bukanlah bermaksud untuk bersaing dengan NGO sedia ada, tetapi sekadar memberi lebih banyak pilihan dan saling bekerjasama untuk kebaikan komuniti.

Aku tidak berminat dengan isu-isu dalaman NGO lain. PWSG perlu mencari persamaan dan kekuatan, bukannya perbezaan. Kita saling melengkapi.

Apabila kepercayaan semakin tinggi, maka semakin besar amanah dan tanggungjawab. Suka atau tidak dan atas nama dakwah, aku terpaksa menggagahkan diri bersetuju dengan kehendak majoriti terutama atas kepercayaan pihak MAC, Yayasan Ihtimam,  Survivor AHP dan Mama Ella.

Atas kepercayaan dan kesungguhan yang ditunjukkan, aku serahkan tanggungjawab menguruskannya kepada Survivor AHP. Selain itu, ramai sahabat lain yang boleh membantu.

Aku bertekad sekurang-kurangnya PWSG didaftarkan secara rasmi sebagai sebuah NGO terlebih dahulu. Selepas itu, aku lebih selesa berperanan sebagai ahli biasa. Biarlah mereka yang masih muda dan berkelayakan memimpinnya. Aku tiada sebarang kepentingan peribadi, bahkan ramai yang jauh lebih berkelayakan.

Sejujurnya aku lebih berminat berjuang dengan cara sendiri, tetapi apa-apa perjuangan sekalipun mesti memerlukan sokongan profesional untuk berperanan dengan lebih berkesan dan untuk mengelakkan daripada tersasar dalam tindakan.

Prinsipnya mudah. Lebih banyak payung dan links bermakna lebih mudah untuk aku menghulurkan bantuan kepada komuniti.

Untuk makluman, PWSG sedang merancang  pelbagai perkara dan ada sebahagiannya akan dilaksanakan dalam waktu terdekat. InsyaAllah KITA akan cuba laksanakan berdasarkan kemampuan yang ada sebaik mungkin.

Sebagai sebuah keluarga besar, sudah tentu PWSG ada pelbagai kerenah ahli-ahlinya. Apa-apa pun, jemaah lebih diberi keutamaan berbanding individu. Kita ada pelbagai kelebihan dan kekurangan. Di sinilah letaknya peranan kita untuk saling menyokong dan membantu. Tiada istilah One Man Show kerana kita umpama satu tubuh, satu darah, satu roh dan satu jasad. Ini tanggungjawab bersama.

Memang terdapat beberapa kes kita terpaksa remove members tetapi ianya jalan terakhir. Bukanlah dengan sewenang-wenangnya tetapi demi menjaga privacy dan keselesaan jemaah.

Justeru itu, sebagai orang yang dipertanggungjawabkan memimpin hala tuju PWSG dan kerana sayangkan sahabat-sahabat, aku wajib mengingatkan DIRI SENDIRI dan sahabat-sahabat beberapa perkara asas. Semuanya atas dasar tanggungjawab dan menjaga amanah banyak pihak. Jangan terasa hati atas rasa kasih sayangku ini.


Jaga hubungan dengan Allah

Paling asas adalah solat fardhu kerana itulah asas sebenar kekuatan kita. Kalau mahu doa-doa dikabulkan, perjuangan lancar dan diberkati, solat sahajalah jalannya. Solat adalah kunci kepada segala kekuatan kerana solat itu sendiri mengikut definisi bahasa Arab bermaksud doa.

Solat juga dapat membaiki penyakit hati. Penyakit-penyakit hati seperti hati yang keras, baran, berprasangka, dengki, khianat dan sebagainya lebih bahaya daripada hati keras akibat hepatitis.

Hepatitis boleh dirawat dengan rawatan farmakologi, tetapi penyakit hati hanya boleh dirawat dengan solat, al-Qur’an, zikir dan sebagainya.

Tiada kekuatan sebenar tanpa solat. Jika betul-betul sayangkan diri, sayangkan keluarga dan sayangkan jemaah kita PWSG, marilah menjaga solat. Hidup ini terlalu singkat untuk dibazirkan. Dunia medan ujian untuk kehidupan abadi di akhirat kelak.

Perjuangan yang hanya bergantung kepada kekuatan semangat serta sokongan sahabat-sahabat, aku langsung tidak percaya akan bertahan lama.


Sentiasa berusaha

Sentiasa berusaha meningkatkan amal ibadah dan meninggalkan maksiat

Tidak akan makbul doa dan diterima apa jua amalan jika berterusan dalam perkara-perkara yang dimurkai Allah.

Ya, sebagai manusia biasa kita tetap akan khilaf. Tidak mengapa kerana apabila khilaf, istighfar, muhasabah diri dan cubalah bangkit kembali.

Solat sahajalah X factor yang boleh mengikat dan menguatkan kita. Alangkah malang jika akhirnya PWSG terkubur, hidup segan mati tak mahu atau disalahgunakan. Belajarlah daripada pengalaman orang lain.


Berkongsilah

Berkongsilah apa sahaja nilai-nilai positif dan masalah di Facebook PWSG. Jangan malu-malu. Kepada yang lemah dan masih baru, kita bantu, yang kuat kita sokong. Jika mampu tolong, kita tolong. Tidak mampu tolong, kita doakan sahaja. Jangan dikutuk atau diapi-apikan. Sama ada kuat atau lemah seseorang itu, tetap ada pengajaran jika kita mahu berfikir. Kemampuan dan kekuatan masing-masing berbeza-beza.


Manfaatkan sepenuhnya Facebook PWSG

Manfaatkan sepenuhnya Facebook PWSG ini sebagai ruang SELESA dan SELAMAT untuk berkongsi rasa. Kita nikmati segala nilai-nilai positif dan atas dasar dakwah. Sebarkan kasih sayang. Ayuh buktikan kepada masyarakat bahawa sekalipun kita ODHA, tetapi kita tiada bezanya dengan mereka bahkan mungkin lebih baik.


Berlapang dada

Berlapang dadalah dengan teguran dan bersikap terbuka dengan perbezaan pandangan. Jika mahu menegur, fahamilah adab dan kaedah teguran. Jika marah, ingatlah itu mungkin percikan amarah syaitan dan api neraka. Tiada rasional apabila kita dipengaruhi emosi.

Perlu diingatkan bahawa PWSG berasaskan nilai-nilai Islam dan kekeluargaan. Harm Reduction tanpa agama bukan cara kita. Jika rasa tidak selesa dengan cara PWSG, masing-masing bebas memilih haluan yang disukai.


Aku menyayangi PWSG umpama bayi sendiri. Aku percaya sahabat-sahabat juga begitu. Sama ada sahabat seorang IDU, sex workers dan LGBT, sahabat-sahabat tetap dilayan sama rata sebagai ahli keluarga sendiri.

Sama-samalah kita syukuri dan hargai nikmat yang Allah berikan. Bukankah PWSG yang ada sekarang adalah bukti asas perjuangan kita mula diterima?

Selamat berjuang sahabat-sahabat dan keluargaku tercinta. Kita ada peranan dan cara masing-masing. Jika tersasar dari landasan perjuangan, aku dengan segala hormatnya bertanggungjawab dan sukarela mengundurkan diri.

Akhir kata, terima kasih dan jazakallahu kheir. Semoga jalinan silaturrahim ini membawa ke syurga, insyaAllah.




Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Untuk menyertai, sila hubungi:


Survivor: survivorpng@yahoo.com
Luka Rafieqa: rafieqakl@hotmail.com 
AHP: positive4eva@gmail.com
  

Sokongan khusus kepada wanita: PEWAHIM.
Untuk menyertainya FB PEWAHIM, (secret group) sila hubungi:

pewahim@gmail.com
019-259-5864 (Norlela) Pengasas

No akaun PEWAHIM: 562740121438 (Maybank)