Wednesday, January 25, 2012

RUSYIDA & FAMILY IN THE HOUSE


Hari ini nampaknya sudah ramai yang kembali bertugas selepas hampir seminggu bercuti. Macam-macam tempat kau orang buat dan pergi sempena cuti Tahun Baru Cina ya. Eloklah, aku tumpang seronok bila kawan-kawan seronok.

Aku pula asyik terkebil-kebil kat rumah. Maklumlah bila nak berjalan perlukan duit. Aku pulak ada masalah pengangkutan untuk ke bank berdekatan, hahaha…

Sebenarnya banyak juga tempat aku pergi tetapi semuanya atas urusan family dan komuniti. Untuk betul-betul bercuti memang tak mampu. Tak mengapalah, ini kesan sementara sahaja. Insya-Allah 2, 3 bulan lagi mendung akan berarak.

Bila asyik mengadap rutin yang sama, jemu tak terkata. Nak buat sesuatu yang berbeza serba terhad. Nak menulis di blog, mood hilang sama sekali melainkan melayan SMS dan panggilan komuniti. Depressed juga dibuatnya.

Kenduri kahwin pula tak henti-henti. Bila kenduri dan asyik travel dan drive sampai dinihari memang aku sukar kawal diet. Akibatnya glukos naik mendadak dan tak cukup rehat. Terlantar dan stress lagi. Boring berganda!

Di sebalik semua itu, syukur tetamu asyik datang ke rumah. Sejak aku menjadi PLHIV ni, rumah buruk kami ni memang meriah dengan tetamu yang datang singgah atau bercuti. Setakat ahli keluarga tu perkara biasa. Tetamu yang aku maksudkan ialah sahabat-sahabat sokongan komuniti sama ada PLHIV atau non-PLHIV. Alhamdulillah murah rezeki.

Terbaru, adik dan juga merupakan kumpulan sokongan komuniti non-PLHIV iaitu Rusyida sekeluarga sudi datang ke rumah pada Sabtu hingga Ahad lepas.

Dalam kesibukan, sempat jugalah kami melayan ala kadar. Harap mereka gembira dan berpuas hati. Banyak juga gambar-gambar kenangan yang kami ambil tetapi memandangkan bukan semua perkara boleh dikongsi sebarangan, semuanya terpaksa disimpan sebagai koleksi peribadi.

Nanti, tak pasal-pasal ada yang akan bertanya mereka, “Eh kau orang berkawan dengan orang ada HIV ke?” Itu masih ok, kalau timbul gossip, “Psstt… dia orang tu ada HIV, aku ada nampak gambar dia orang di blog pergi ke rumah orang ada HIV!” haru biru pula jadinya.   

Sebenarnya setiap kali non-PLHIV datang ke rumah, aku ada rasa rendah diri. Agaknya stigma dalamanlah. Aku bimbang di hati mereka ada rasa was-was walaupun tahu HIV takkan berjangkit dengan sentuhan, berkongsi makanan, bersin, batuk dan sebagainya.

Syukurlah sekurang-kurangnya aku nampak Rusyida sekeluarga tidak begitu. Kalau tak, takkan dia orang datang ‘menyerah diri’ untuk dijangkiti, kan?

Selain itu sepatutnya 29 Januari aku ke KL dan 5 Februari ke Putrajaya atas urusan komuniti. 3 Februari dan 13 Februari urusan rawatan di Kuantan. 29 Januari juga Survivor dijangka bertamu ke rumah sehari dua. 17 Februari ‘Mat Koya’ dari Dungun dijangka datang. Dan 20 Februari Sha pula akan datang.

Jadi disebabkan masalah-maslah domestic, fahamilah jika ada beberapa jemputan dan aktiviti tidak mampu aku hadiri. Kos dan tenaganya bukan sedikit dan aku terpaksa bertindak mengikut priority.

Jumpa lagi pada lain waktu. Petang ini terpaksa memandu pula ke Kuantan atas urusan tertentu. Popaleh weh… Letih bebenor dibuatnya! Banyak idea entry aku tersadai di kepala dan akhirnya blur begitu sahaja.

Oksigen please..!

p/s- Info berkaitan Positive Warriors Gathering akan aku cuba kongsi dalam waktu terdekat. Sila berikan perhatian dan respon untuk melancarkan urusannya nanti. Terima kasih.

  

Monday, January 23, 2012

UBAHSUAI BLOG






Ramai yang dapat lihat perubahan blog Aku HIV Positif, kan? Jadi anda tentu tertanya-tanya bagaimana AO melakukan perubahan ini atas persetujuan Ayahanda AO, Encik AHP.




OK. Tak nak cakap banyak, tapi AO bagi link yang membantu AO, atau pun tutorial yang membantu AO dalam melakukan perubahan di blog ini. Para Positive Warriors semua boleh mencuba di blog masing-masing.




 


OK. Semua pejuang-pejuang HIV boleh mencuba untuk blog anda. Selamat mencuba! Kredit untuk blog http://maribinablog.blogspot.com/





Disediakan oleh: AO.

HERPES - INFO SIHAT




Pengenalan

Herpes genital merupakan penyakit kelamin yang sangat mudah berjangkit iaitu melalui hubungan kelamin yang disebabkan oleh virus herpes simplex (HSV). Dua bentuk herpes dikenalpasti:
  • Kudis berisi air di mulut atau di muka (herpes mulut atau HSV 2)
  • Kudis berisi air di kawasan kemaluan (herpes genital or HSV 1)
Virus ini memasuki tubuh melalui luka kecil pada kulit atau lapisan mukosa. Apabila dijangkiti, virus akan tinggal kekal di dalam tubuh. Herpes kemaluan berjangkit melalui hubungan kelamin tidak selamat (tanpa kondom). Ibu hamil yang menghidap herpes genital boleh menjangkiti anak di dalam kandungan. Anak yang dijangkiti boleh mendapat komplikasi radang otak, sawan, buta, atau terencat akal.

Adakah jangkitan berlaku melalui perkongsian menggunakan tandas, tuala atau barang-barang lain yang diguna oleh orang yang mengidap herpes?

Jawapannya adalah tidak mungkin atau susah berlaku kerana virus akan mati di luar tubuh.

Tanda dan Gejala




Herpes Simplex Jenis 1

Biasanya menyebabkan ruam, kudis berisi air pada bibir atau di dalam mulut. Seterusnya menyebabkan rekahan kulit (ulser) yang menyakitkan. Ia juga menjangkiti kawasan kemaluan dan menyebabkan ruam. Mata dan sistem saraf juga boleh terlibat sama. Gejala ini tidak akan terjadi serta-merta selepas terkena jangkitan, tetapi mungkin akan muncul selepas beberapa hari, minggu, atau beberapa tahun lagi.

Gejala-gejala lain termasuklah gusi bengkak serta merah, selaput putih pada lidah, bengkak kelenjar leher, demam, dan sakit-sakit otot. Ianya terjadi lewat selepas dijangkiti, selepas beberapa hari, minggu, atau bulan kemudian.

Herpes Simplex Jenis 2

Biasanya pada faraj, zakar, kerandut zakar, punggung, dan dubur. Juga boleh menjangkiti kawasan mulut semasa seks oral. Bila dijangkiti, orang akan berasa gatal-gatal atau sakit di kawasan terbabit, diikuti ruam yang mula timbul menyebabkan sakit semasa kencing (sekiranya pada zakar). Ruam menyebabkan lelehan cecair atau berdarah kemudian sembuh dalam tempoh 2 hingga 4 minggu. Gejala lain termasuklah demam dan  pembengkakan kelenjar.

Komplikasi
  • Bagi orang dewasa yang sihat, virus herpes tidak akan menyebabkan komplikasi yang teruk selain ruam pada kulit. Bagi mereka yang mempunyai sistem daya tahan yang lemah (pengidap HIV dan AIDS), mereka akan mengalami jangkitan herpes yang lebih teruk dan lama.
  • Risiko untuk memindah atau mendapat penyakit bawaan kelamin termasuk HIV adalah tinggi bagi orang yang menghidap herpes genital.
  • Ibu dengan ruam pada kemaluan boleh menjangkiti anak yang baru lahir semasa bersalin melalui saluran peranakan. Bayi yang dijangkiti akan mendapat komplikasi kerosakan otak, kebutaan, atau kematian. Kadar jangkitan mudah berlaku dan lebih tinggi pada bayi sekiranya infeksi herpes sedang aktif pada ibu semasa bersalin.
Rawatan

Tiada ubat untuk menyembuhkan penyakit ini. Walaupun begitu, ubatan anti-virus oral seperti Acyclovir (Zovirax), Famciclovir (Famvir) dan Valacyclovir (Valtrex) boleh membantu menyembuhkan ruam kulit dan mengurangkan jangkitan ulangan. Risiko jangkitan kepada pasangan juga boleh dikurangkan dengan pengambilan ubat anti-virus.



Pencegahan
  • Jangan berkongsi makanan dan peralatan dengan orang yang ada ruam atau rekahan kulit (ulcer).
  • Elakkan sentuhan fizikal dengan orang yang dijangkiti herpes. Jangan bercium dengan seseorang yang ada ruam pada bibir!
  • Amalkan seks selamat iaitu dengan pasangan sah (suami/isteri). Sekiranya dijangkiti herpes genital, beritahu pasangan anda segera.
  • Kekalkan sistem daya tahan yang kuat melalui senaman berkala, pemakanan yang sihat, dan rehat yang cukup.
  • Tunggu sehingga ruam pada kemaluan sembuh sepenuhnya sebelum memulakan hubungan seks.
  • Gunakan kondom getah bagi mengurangkan kemungkinan jangkitan pada pasangan anda.
Faktor-Faktor Yang Menyebabkan Jangkitan Berulang
  • Tekanan (stress)
  • Datang haid atau mengandung (perubahan hormon)
  • Pemakanan tidak sihat
  • Tidak sihat
  • Pembedahan
  • Geseran alat kelamin melalui aktiviti seks ganas

SUMBER : AO melalui INFO SIHAT - HERPES

HERPES GENITAL- INFO SIHAT




Apa Itu Herpes Genital?

Herpes Genital adalah jangkitan virus yang disebabkan oleh virus Herpes Simplex Jenis 1 dan 2 (HSV 1 and 2).  Kebanyakannya disebabkan oleh HSV 2.

HSV 1 disebarkan melalui:
  • Berkongsi perkakas makan
  • Bercium dengan mereka yang mengalami ulser (cold sore)
HSV 2 disebarkan melalui hubungan seks:
  • Vagina
  • Oral
  • Dubur
Virus ini boleh disebarkan kepada orang lain walaupun tiada ulser di bahagian kemaluan. Setelah dijangkiti, virus ini akan kekal di dalam badan sehinggalah ia dirawat.

Bagaimana Anda Tahu Anda Dijangkiti Herpes?

Sesetengah individu tidak menunjukkan sebarang gejala atau tanda. Walau bagaimanapun, sesetengah daripada mereka mungkin mengalami gejala-gejala tertentu.

Antaranya adalah seperti gatal atau sakit yang berlaku setelah beberapa hari terdedah kepada virus.

Kemudian, muncul ruam yang bertukar menjadi merah dan melepuh pada bahagian:
  • Vagina
  • Punggung
  • Dubur
  • Buah zakar
  • Penis
Ulser pada penis:
  • Ruam yang melepuh kemudiannya akan pecah mengeluarkan cecair atau darah dan akhirnya sembuh 2 hingga 4 minggu kemudian.
  • HSV 1 menyebabkan ruam/ulser pada mulut, bibir, atau hidung.
  • Gejala seperti demam dan bengkak pada kelenjar limfa mungkin berlaku.




Apakah Yang Berlaku Kemudian?
  • Setelah ruam yang melepuh itu sembuh (sama ada dengan rawatan atau secara spontan), virus ini akan kekal berada di dalam badan tetapi tidak aktif (dorman).
  • Apabila sistem pertahanan badan anda rendah, ia akan diaktifkan semula dan menyebabkan ulser yang sangat sakit dan menyeksakan.
Sistem Pertahanan Badan Kita Rendah Apabila:
  • Kita merasa penat/lesu dan stres
  • Kita mengamalkan cara pemakanan yang tidak sihat
  • Semasa haid
Episod ulser ulangan adalah kurang teruk dan sembuh dalam jangka masa yang lebih pendek.

Bagaimana Herpes Genital Dirawat?
  • Setakat ini tiada ubat untuk Herpes Genital
  • Walau bagaimanapun, doktor akan memberi anda ubatan anti-virus untuk mengawal jangkitan ulangan dan merawat ulser/ruam yang melepuh
Apakah Komplikasi Jangkitan Ini?
  • Herpes Genital meningkatkan risiko jangkitan HIV
  • Jika jangkitan herpes aktif semasa proses kelahiran, bayi berisiko untuk dijangkiti penyakit
  • Jangkitan Herpes pada bayi yang baru lahir boleh menyebabkan meningitis (jangkitan selaput otak), sawan dan kerosakan otak
Bolehkah Kita Mencegah Herpes Genital?

Herpes Genital dapat dicegah melalui beberapa cara.

Cara yang paling baik adalah dengan mengelakkan diri dari hubungan seks.

Jika anda berumur 16 tahun ke bawah, menjalin hubungan seks adalah salah di sisi undang-undang kecuali anda telah berkahwin.
  • Undang-undang Malaysia menyatakan bahawa perhubungan seks dengan remaja perempuan yang berumur 16 tahun dan ke bawah, sama ada dengan persetujuan atau tidak akan mengakibatkan lelaki berkenaan disabitkan kesalahan merogol.
Jika anda aktif melakukan hubungan seks, amalkan hubungan seks yang selamat.
  • Setia pada seorang pasangan. Elakkan daripada bertukar-tukar pasangan.
  • Gunakan kondom. Walau bagaimanapun, kondom bukanlah 100% berkesan dalam pencegahan Herpes Genital, tetapi ianya mampu mengurangkan risiko jangkitan.
  • Elakkan pengambilan alkohol atau dadah di mana ia akan menjejaskan pertimbangan anda.
Jika anda juga menghidap penyakit Herpes Genital pada masa yang sama, anda berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan HIV semasa melakukan hubungan seks tanpa perlindungan.


SUMBER: AO melalui INFO SIHAT - HERPES GENITAL