Saturday, February 25, 2012

ANTARA ANGAN-ANGAN TERAKHIRKU SEBAGAI PEMBAWA HIV

Google image


Maaf aku masih terlalu sibuk dengan bermacam-macam komitmen setiap hari. Rasanya hampir selama 16 jam dalam keadaan aku sebagai PLHIV, pesakit diabetes, anaemia, thrombocytopenia dan entah apa-apa lagi. Semuanya menyumbang kepada kepenatan dan kelesuan badan yang teruk.

Sejujurnya aku selalu merasakan umurku dah tak berapa panjang. Sekurang-kurangnya peluang untuk hidup seperti biasa sama seperti insan lain dah tak lama. Bukan kerana HIV, tetapi kerana aku mengidap pelbagai penyakit kronik. Jauh sekali kerana aku rasa berputus asa. Tak tahulah kenapa.

Mungkin kerana aku tak mahu meletakkan harapan yang tinggi-tinggi. Banyak sangat terima kejutan dalam hidup, akhirnya sampai ke satu tahap aku dah tak kisah apapun. Always expect the unexpected, remember? Nikmati sahaja hidup secara A, B, C, D...

Kemungkinan besar tak lama lagi aku terpaksa melalui semula bone marrow biopsy. Dahlah dulu dia orang janji sekali sahaja. “Sekejap je, sikit je, doktor pakar yang buat dan tak sakit sangat pun...”

Macam-macam janji manisnya, tapi tandatangan terhadap risiko pembedahan dan pemindahan darah, wajib aku akur. Tahu-tahu tulang punggungku mereka tebuk 3 kali lubang sekaligus. Meraung aku dibuatnya, tapi sample tak dapat-dapat juga. Akhirnya HIV yang aku dapat.

Bukan tu sahaja, bila aku tanya doktor Cina di Hospital Ampang yang beritahu aku didiagnos HIV positive tu, kenapa buat bone marrow biopsy kalau sample tak ada dan prosedur tu tak perlu, nada suara jawapannya seperti menengking, “Itu saya ta tau!” Muka sepanjang masa masam mencuka.

Aku tanya lagi kenapa result 2 ujian HIV selepas bone marrow biopsy membuktikan aku negative dan tiba-tiba bertukar positive, pun senang sahaja dia kata, "Itu pun saya ta tau..." Malahan ditambah lagi kononnya aku ada HCV? Best kan?

p/s- Kepada ahli keluarga, berhati-hati apabila doktor menyuakan kertas persetujuan untuk pembedahan segera ketika pesakit masih mamai dengan ubat bius selepas menjalani satu pembedahan yang lain.

Begitulah yang terjadi kepada allahyarham birasku baru-baru ni. Beliau pesakit diabetes macam aku, terpaksa dibedah kerana berlaku jangkitan kuman akibat sengatan ikan sewaktu memancing.

Mula-mula potong satu jari tangan sahaja dan selepas tu apabila kuman merebak, terpaksa dibedah di lengan pula. Sekarang beliau selamat berada di alam kubur. Terasa segalanya berlaku dalam sekelip mata.

Sekarang ni, dia orang nak tebuk lagi. Isteri-isteriku awal-awal dah tak setuju. Kalau adik beradik aku tahupun begitu juga. Sekalipun adik beradikku tak tahu aku ada HIV dan tak faham sangatpun tentang penyakit-penyakit kronikku yang lain, tetapi semasa aku setuju buat bone marrow biopsy dulupun mereka dah membebel macam-macam. Maklumlah bercakap memang mudah.

Mak aku kalau tahu lagilah mengamuk. Kalau apa-apa hal terjadi (jangkitan kuman dan sebagainya) risiko aku tanggung sendiri. Keluarga dah nasihat tapi aku degil. Suka atau tidak, risikoku tinggi kerana aku ada diabetes.

Kalau tak tinggi risiko, mesti dia orang bius penuh supaya aku tak sedar semasa prosedur tempohari. Kerana bimbangkan risikolah dia orang cuma bius tempat tebuk tu aje. Itu dia orang yang kata, bukan aku kata. Pastu try kau orang google youtube – bone marrow biopsy. Tengoklah sendiri best atau tak.

Tak dibuat, risiko lain pula yang terpaksa ditanggung. Mungkin akan kedengaranlah ayat begini: "Itulah awak tak mahu buat bone marrow biopsy dulu, sekarang dah terlewat untuk rawatan." Balik-balik aku juga yang kena. Tak larat aku memikirkannya. Biarkan sahaja takdir datang sendiri apabila sampai masanya. Tempuhi dulu hidup satu persatu dengan syukur.

Kalau sampai ajalku pun aku redha. Selagi imanku terpelihara, apa yang nak digusar? Sekurang-kurang hidup tak menyusahkan orang sihat. Semuapun akan mati kecuali Allah. Tak ada apa yang nak diralatkan.

Namun aku berdoa semoga Allah izinkan aku dapat tunaikan beberapa hajatku dalam waktu terdekat. Nak pergi umrah lagi sekali. Nak menunaikan haji dan nak round satu Semenanjung dengan Vulcan 900 cc yang aku plan nak sambar dalam waktu terdekat.

Selain untuk menyebarkan kempen kesedaran HIV, aku nak kutip derma untuk bina Pusat Perlindungan Komuniti setakat yang termampu.

Sebenarnya chopper dan easy riding adalah jiwa aku sejak remaja. Aku pernah memiliki sebuah chopper yang ber cc kecil, tetapi tidak memberikanku kepuasan menunggang. Lagipun superbike sejak tua-tua ni aku dah tak berani. Kalau setakat kereta standard 2000 cc ke bawah, kau orang ajak aku race, anytime aje. Hahaha…

Apabila begini, desakan naluri untuk kembali menunggang chopper terlalu kuat. Terasa ‘hilang’ segala sakit dan masalahku apabila duduk di seat motor.

Setakat ni Allah belum izinkan, jadi kena sabarlah sikit. Tolong doa-doakan hajat aku tercapai, ya. Insya-Allah ada jalannya apabila Allah izinkan nanti. Ada sesiapa nak derma? Hahaha…

Kalau hajatku dikabulkan, aku nak ambil cuti sebulan tanpa gaji. Aku nak ride chopper aku tu dan pakai jaket yang tertulis “I’m HIV Positive”. Kat motor tu aku nak tampal sticker Positive Warrior. Ok kut?

Round satu Malaysia, edar risalah, ceramah, kutip derma untuk bantuan komuniti, singgah solat kat mana-mana masjid, ziarah dan boleh tumpang tidur rumah sahabat-sahabat komuniti. Tak adalah besar sangat belanja sepatutnya, kan?

Lepas tu kalau doktor nak tebuk tulang punggungku lagi, tebuklah. Kalau dia orang diagnos aku dengan macam-macam penyakit lain seperti kanser dan sebagainya pun,(nauzubillah) aku dah tak kisah. Apa risiko aku terima sahaja. Nak chemo ke, apa ke, suka hatilah.

Kalau Allah tak izinkan impianku ini, maknanya Allah akan beri aku sesuatu yang lebih baik. Okaylah tu, syukur lagi…

Cuma, selagi Allah berikan peluang, selagi itu aku perlu berjuang dan berusaha mencapai kesempurnaan hidup sebaik mungkin. Buat amal ibadah dan taburkan jasa.

Apa-apa hal aku akan cuba dapatkan kaunseling awal dengan Dr. Iskandar Firzada bin Osman dan doktor pakar hematology dari Hospital Ampang pada 12 haribulan Mac nanti di Hospital Kuantan.

Ok, jumpa lagi. Entry memanaskan blog aje ni. Beberapa angan-angan kecilku yang lain tu abaikan sahaja. Simpan di hati. Maaf, kerana segala komen tak sempat aku reply.

Friday, February 24, 2012

BEZA ANTARA HIV 1 DAN HIV 2 SERTA CARA JANGKITANNYA (PENTING)



Saya mendapat email daripada seorang pembaca yang saya namakan ’Siti’ yang bertanyakan beberapa soalan. Soalannya agak menarik, lalu saya jadikan sebagai soalan pilihan. Ada 2 soalan.



Soalan 1:


Apakah perbezaan dan persamaan di antara HIV1 dan HIV 2? Salah satunya saya negatif.


HIV adalah singkatan kepada Human Immunodeficiency Virus di mana Human merujuk kepada virus yang hanya boleh menjangkiti manusia.


“Immunodeficiency” pula merujuk kepada sistem imun yang dilemahkan dengan memusnahkan sel-sel penting yang melawan penyakit dan jangkitan.


Deficiency” merujuk kepada kekurangan sistem imun yang menyebabkan tidak boleh melindungi anda.


Manakala “Virus” hanya boleh membiak sendiri dengan mengambil alih sel dalam badan perumah. 


Human Immunodeficiency Virus (HIV) merupakan sejenis virus dari genus Lentivirus yang mana merupakan keluarga retrovirus yang menyebabkan Acquired Immunodeficiency Syndrome (AIDS).


Seperti yang umum ketahui, HIV mempunyai dua jenis iaitu HIV 1 dan HIV 2.

Perbezaannya ialah:


HIV 1 merupakan epidemik seluruh dunia dan mempunyai beberapa subjenis. Subjenis yang terbesar bagi HIV 1 adalah M (Major).


Selain subjenis M, terdapat juga subjenis O, P, dan N.


O merujuk kepada outlier, N merujuk kepada new dan P merujuk kepada pending the identification of further human cases.


HIV 2 hanya ditemui di sebelah barat Afrika seperti Angola, Brazil dan India. Sangat terhad di Eropah dan juga Amerika Syarikat. Ianya merupakan HIV yang jarang ditemui.


HIV 2 dikatakan mempunyai 8 subjenis yang mana setakat ini hanya subjenis A dan B yang menjadi wabak.


HIV 2 dikatakan kurang virulence dan infectivity berbanding HIV 1.


“Virulence” merujuk kepada kebolehan atau kecekapan sesuatu virus untuk menyerang tisu perumah. Lebih virulence adalah lebih cepat menyerang berbanding kurang virulence.


“Infectivity” pula merujuk kepada kebolehan sesuatu patogen (contoh kes ini adalah virus) yang menyebabkan jangkitan. Ini bermakna HIV 2 lebih lambat memusnahkan sistem pertahanan badan berbanding dengan HIV 1.


Hanya HIV 1 yang biasa ditemui di seluruh dunia kerana HIV 2 kurang virulence dan infectivity.


Ini bermakna, HIV 2 lebih lambat proses menyerangnya berbanding dengan HIV 1 yang lebih mudah menyerang dan menyebabkan ketahanan tubuh lemah.


Setakat ini, kedua-dua HIV ini belum ditemui ubat yang mampu untuk membunuhnya di dalam badan. Kedua-dua HIV ini merebak dengan cara yang sama dan kedua-duanya boleh menyebabkan AIDS.


Secara ringkasnya, persamaan bagi HIV 1 dan HIV 2 ialah ianya disebarkan dengan cara yang sama.



Soalan 2:


Bolehkan seseorang itu mempunyai HIV 1 dan HIV 2 sekiranya sudah mempunyai salah satu jenis HIV?


Saya sedang mencari maklumat tentang ini, masih belum jumpa dalam mana-mana rujukan. Tapi seingat saya, saya pernah membaca info tersebut yang sedia terdapat di blog ini. Jadi, berdasarkan kepada artikel tersebut, saya rasa seseorang yang dijangkiti HIV boleh dijangkiti semula oleh HIV yang lain.



Persoalannya:
Jika kedua-dua pasangan menghidap HIV, perlukah kami menggunakan perlindungan (kondom)?


Perlu. Anda mungkin menghadapi risiko dijangkiti dengan penyakit atau strain HIV yang berlainan (jangkitan semula).


Rujukan: http://akuhivpositif.blogspot.com/2011/10/seks-lebih-selamat-bagi-pasangan-hiv.html

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang jangkitan semula, saya nasihatkan anda klik link tersebut dan baca.


Untuk mengetahui maklumat asas lain berkaitan HIV, AIDS dan INFO boleh klik label ataupun kategori tersebut.


Harapan kami semoga anda memahami maklumat asas HIV dan AIDS terlebih dahulu untuk memudahkan anda memahami artikel yang berkaitan dan apa jua kekeliruan berkaitan HIV.


Masih banyak yang boleh dikongsikan dengan tajuk ini, namun saya hadkan kepada ini dahulu. Insya-Allah, jika ada masa, saya kongsikan pada masa hadapan.


Wallahualam.


Anonymous One: Segala salah dan silap harap dapat beri teguran.


Rujukan 1:      Wikipedia 
Rujukan 2:      Microbiology and immunology On-line
Rujukan 3:      Bio's Area
Rujukan 4:      About.com

Thursday, February 23, 2012

JOM RELEASE TENSION SAMBIL DENGAR CERAMAH USTAZ AZHAR IDRUS



“Ya Allah, betapa Engkau mengetahui keterbatasan upayaku… bantulah aku menghadapi segala dugaanMu ini. Sesungguhnya aku redha Ya Allah tetapi berilah aku sedikit kekuatan dan kelapangan membantu sesama insan atas dasar kasih sayangMu Ya Allah!”

Sibuknya tidak terkira, penatnya tidak terkata. Idea berlonggok di kepala, komen pembaca bertimbun, ziarah rakan blogger tidak berbalas, masih banyak emel yang yang belum diteliti, jemputan pertemuan mahabbah bersama PLHIV yang memerlukan perlu dipenuhi, SMS kadang-kadang tinggal sepi dan maafkan aku bila ada kalanya panggilan telefon tidak berjawab.

Terima kasih atas sokongan yang tidak mengenal lelah. Aku perlukan sedikit masa. Teruskan perjuangan, moga sentiasa tabah dan dalam limpah redha serta inayahNya. Mohon sedikit masa dan pengertian. Jumpa lagi, insyaAllah…

AHP:
positive4eva@gmail.com
017 980 5682 (panggilan sahaja)

Tuesday, February 21, 2012

BACHA BAZI - PENARI BUDAK LELAKI


Punca penularan terkini HIV nampaknya bertukar trend. Golongan penyalahguna dadah yang berkongsi jarum suntikan dan pekerja seks menunjukkan penurunan ketara. Pekerja seks semakin pandai mengambil langkah pencegahan.

Risiko jangkitan melalui perkongsian jarum suntikan dadah pula hanyalah sekitar 0.3% sahaja pada setiap kali mereka melakukan aktiviti. Masalahnya apabila mereka menyalahguna dadah, maka sibuklah mereka melakukan seks bebas tanpa langkah keselamatan.

Maklumlah bila kepala stone, maka rengganglah hubungan dengan Allah. Bila renggang, ikut sahaja apa yang nafsu kata. Begitu juga apabila kepala dah penuh dengan segala macam pil khayal atau arak. ‘Layan sedap’ sahaja yang difikirkannya.

Semua jadi berani. Pastu meraung! Bila kena, mulalah panic, paranoid dan melalut di blog ni...

Risiko sebenar akibat berkongsi jarum suntikan dadah adalah penyakit Hepatitis C.

Golongan yang paling tinggi terdedah kepada risiko jangkitan HIV sekarang adalah golongan homoseksual (gay), suri rumah dan pengamal seks bebas.

Jadi, aku harap, perkongsian cerita daripada blog sahabatku ini (sila klik) elok dijadikan renungan bersama. Belajar dan fikirkan sesuatu, tak perlu aku berceramah panjang.

Ini bukan bemakna aku bersikap diskriminasi dan meremehkan kecenderungan seksualiti yang Allah jadikan sebagai ujian. Aku cuma mengajak pembaca untuk sama-sama berjihad mencari keredhaan Allah.

Allah telah menetapkan segala-galanya mengikut fitrah dan jika berlaku masalah, ada penyelesaian dengan cara yang sebaik-baiknya.

Tahniah dan terima kasih kepada Saudara Naj Mi atas kesudian beliau berkongsi info yang bermanfaat ini. Aku memang mengalu-alukan para pembaca turut membaca setiap entry beliau kerana perkongsiannya yang banyak memberi inspirasi, infomatif, matang, dan positif.

Mohon maaf kepada saudara Naj Mi atas sedikit suntingan untuk disesuaikan dengan konsep blog ini. Mari baca:



Tahukah kita apa itu Bacha Bazi? Dalam bahasa omputih maknanya “Dancing Boys”. Lebih kurang maksudnya dalam bahasa Melayu kita ialah “Penari Budak Lelaki”. Saya tertarik dengan berita ini dan ianya bukan cerita rekaan tetapi cerita yang benar-benar berlaku di Afghanistan dan saya baru tahu mengenainya. Sekadar buat renungan kita bersama.


Di Afghanistan, wanita dan gadis tidak dibenarkan menari di khalayak ramai. Sebaliknya, budak-budak lelaki berumur belasan tahun boleh menari dengan berpakaian wanita dan bersolek. Biasanya yang mempunyai rupa paras menarik dan dianggap ‘jambu’, digalakkan menjadi budak penari. Rata-rata usia mereka sekitar 10 tahun hingga 19 tahun.


Untuk siapa mereka menari? Bacha Bazi adalah khusus untuk menghiburkan khalayak lelaki. Selepas acara tarian itu, mereka kemudian akan dipilih dan dibawa pulang oleh kalangan pembesar, orang-orang kaya dan berpengaruh untuk aktiviti seks.

Lantaran kemiskinan, ramai budak lelaki menggilap bakat menari untuk menyertai kelompok Bacha Bazi. Sebahagian lagi ditipu dan akhirnya tanpa rela terjebak dengan gejala tersebut. Tidak kurang juga dijual sebagai dagangan seks. Bukan rahsia lagi, seks sejenis terutamanya perbuatan sodomi menjadi tabiat ramai lelaki di negara yang penduduknya beragama Islam itu. Perit untuk diakui, tetapi itulah hakikatnya.

Kisah Bacha Bazi pernah didedahkan oleh wartawan Afghanistan, Najibullah Quraishi yang kemudian memenangi anugerah kewartawanan. Pendedahan tersebut mendapat perhatian meluas media di Barat tidak lama dulu.

Gejala tersebut pernah diharamkan ketika rejim Taliban memerintah Afghanistan, tetapi kembali diamalkan di beberapa wilayah tertentu tanpa diheboh-hebohkan. Amalan itu sukar dibendung memandangkan golongan elit yang mengamalkan seks sejenis dan sodomi dikatakan makin membesar.


Paling menyayat hati, sebahagian daripada budak penari itu dilaporkan menjadi mangsa rogol, malah ada yang diseksa serta dibunuh. Bayangkan budak lelaki yang dalam usia persekolahan menjadi hamba kebuasan nafsu seks sejenis golongan yang berpengaruh.


Pihak berkuasa pula cuba menafikan tetapi pendedahan yang dibuat serta pengakuan sebahagian budak yang terlibat, tidak dapat menutup realiti. 

Sumber: sini



Pernah tak kita semua bayangkan cerita ini? Saya sendiri tidak pernah terbayang benda begini berlaku di negara yang luarannya nampak sangat kuat Islamnya itu. Kenapa boleh jadi begitu, ya???

Pashtun women in Pakistan


Penindasaan dan kekejaman terhadap kaum wanita dan para isteri juga amat dahsyat berlaku di Afghanistan dan juga di Pakistan. Saya pernah berbual dengan beberapa orang di kedai makan di Peshawar, Pakistan, sengaja bertanya ke mana perginya kaum wanita.

Lebih kurang begini ceritanya yang saya ingat (maaf kalau tersilap; semua ini hanya berpandukan kepada apa yang saya ingat saja ketika menulis entry ini). Mereka bercerita ada anak gadis yang dipukul dan dibunuh hanya kerana ia berbual dengan lelaki, malah jika mengintai “jantan” dari jendela tingkap rumah pun, jikalau saudara lelaki itu tahu, boleh mengundang malapetaka bahaya pada sang gadis. Kebiasaannya terjadi pada mereka yang terdiri daripada kaum Pashtun, terutamanya yang tinggal di pedalaman.

Kaum Pashtun paling ramai terdapat di Pakistan. Jika kita ternampak kelibat wanita yang tidak bertutup litup di sekitar Peshawar atau mana-mana di Pakistan, mereka kata wanita ini bukan dari suku kaum Pashtun.

Berita keganasan begini kerap juga kita dengarkan. Pernah saya terbaca kisah isteri yang dipotong hidung, malah disimbah asid hanya kerana telah melakukan kesilapan kecil.

Okay, berbalik semula kepada kisah Bacha Bazi ni. Rasanya benda begini pun memang dah ada berlaku di Malaysia, sama ada Mak Nyah atau Macho Man yang menari di khalayak ramai. Lebih kurang sama jer dengan Bacha Bazi tu. Bezanya mereka di Malaysia buat dengan sukarela, malah seronok lagi, tetapi di Afghanistan mereka terpaksa atau dipaksa melakukannya.

Entahlah. Pada akhir zaman ni, bolehkah perkara sebegini kita bendung? Kesian Bacha Bazi di Afghanistan tu. Macam mana kita nak selamatkan mereka? Boleh ke? Jangan kita kata itu hanya soal di negara sana saja kerana perkara begini boleh terjadi pada anak-anak kita juga. Ya, mengikut acuan cara dan “style” kehidupan kita di sini.

Bolehkah kita tolong mereka???

Jawapan dari saya, ya, kita boleh tolong. Kita tolong berdoa pada Allah, minta dihapuskan gejala Bacha Bazi yang berlaku di Afghanistan itu. Moga doa kita didengari Allah dan mana tahu, makbul doa kita itu nanti. Tak lupa juga tolong doakan juga buat negara kita, semoga Allah hindarkan amalan seperti ini dari terus bermaharajalela dan berleluasa.


Syukur yang teramat sangat kerana saya dikurniakan HIV. Syukur alhamdulillah.

Source: sini
Republished by Lifejacket.