Saturday, November 12, 2011

GUIDE TO A BETTER LIFE


Seorang pesakit kanser pankreas yang meninggal pada tahun 2008 telah menulis sebuah buku yang bertajuk “The Last Lecture” di mana buku ni adalah antara bestsellers pada tahun 2007.

Berikut adalah salah satu legasi hebat yang beliau ditinggalkan.

Dalam surat beliau kepada isteri dan anak-anaknya, beliau telah menulis ‘Guide to A Better Life’ untuk menjadi panduan kepada mereka.

Diubahsuai daripada bahasa inggeris untuk dikongsikan dengan sahabat-sahabat di sini.

Berikut adalah 30 tips beliau tentang bagaimana untuk memperbaiki kehidupan kita.


Personaliti
1.      Jangan membandingkan kehidupan anda dengan orang lain. Anda tak tahu bagaimana perjalanan hidup mereka yang sebenarnya.
2.      Jangan ada perasaan negatif   pada perkara-perkara yang tidak dapat anda kawal. Tanamkan semangat positif di dalam kehidupan anda hari ini.
3.      Jangan berlebihan, tetapkan had.
4.      Jangan terlalu serius, tiada siapa yang serius.
5.      Jangan bazirkan tenaga dengan ber’gossip’.
6.      Bermimpilah ketika anda berjaga.
7.      Mengkagumi cuma membuang masa. Anda sudah ada apa yang anda perlukan.
8.      Lupakan kisah yang lama.  Jangan ingatkan pasangan anda tentang kesilapan beliau di masa lampau. Ia cuma akan merosakkan kebahagiaan anda sekarang.
9.      Hidup terlalu pendek untuk membuang masa membenci sesiapa. Jadi jangan membenci sesiapa.
10. Berdamailah dengan masa lalu supaya ia tidak merosakkan hari ini.
11. Tiada siapa yang dapat mengawal kebahagiaan anda kecuali anda sendiri.
12. Sedarlah bahawa kehidupan ini adalah umpama sekolah dan anda berada di sini untuk belajar. Masalah yang muncul seumpama ko-kurikulum dan akan menghilang seperti kelas algebra tetapi akan menjadi pembelajaran yang anda akan ingat sepanjang hayat.
13. Lebihkan senyum dan ketawa.
14. Anda tidak perlu menang dalam setiap pertelingkahan. Belajar untuk bersetuju.

Komuniti
15. Kerap menelefon ahli keluarga.
16. Setiap hari berikan sesuatu yang terbaik untuk orang lain.
17. Maafkan semua orang untuk segala-galanya.
18. Luangkan lebih banyak masa dengan seseorang yang berusia 70 tahun ke atas dan bawah 6 tahun.
19. Cuba buatkan sekurang kurangnya 3 orang tersenyum setiap hari.
20. Apa yang orang lain fikir tentang anda bukan masalah anda.
21. Pekerjaan anda tidak akan menjaga anda apabila anda sakit. Tapi keluarga dan kawan-kawan yang akan menjaga anda. Jadi sentiasa berhubung dengan mereka.

Kehidupan
22. Letakkan Allah dalam apa jua yang anda fikir, cakap dan akan lakukan.
23. Allah akan mengubati segala-galanya.
24. Buat perkara yang betul.
25. Bagaimana buruk atau baiknya sesuatu situasi itu, ia pasti akan berubah.
26. Walau bagaimana anda rasa, anda masih perlu bangun, siapkan diri dan bersedia.
27. Yang terbaik masih belum tiba, tetapi akan tiba.
28. Hapuskan perkara-perkara yang tidak berguna, tidak cantik dan tidak menggembirakan.
29. Bila anda terjaga di pagi hari, berterima kasihlah kepada Allah.
30. Kalau anda dekat dengan Allah, anda akan sentiasa gembira. Jadi, gembiralah.


AHP: Kredit kepada En. Fareez Fauzi.

PETUA UNTUK MENGHILANGKAN KEPENATAN DAN KESAKITAN MELALUI ZIKIR.




ZIKIR FATIMAH

Zikir ini Rasulullah s.a.w berikan kepada puteri baginda, Saiyyiditina Fatimah Az-Zahrah r.a apabila puteri baginda mengadu keletihan menguruskan urusan rumahtangga.

Pada suatu hari Fatimah mengeluh kepenatan kerana seharian mengerah tenaga menggiling roti menggunakan penggiling rotinya.

Beliau menyampaikan hasratnya untuk mendapatkan seorang pembantu. Lalu Rasulullah s.a.w berkata kepada puteri baginda,

“Ketahuilah akan ku ajarkan kepadamu sesuatu yang lebih baik daripada sesuatu yang engkau minta daripadaku. Apabila engkau hendak tidur, maka bertakbirlah 33x, bertasbihlah sebanyak 33x dan bertahmidlah sebanyak 33x, maka itu adalah lebih baik dari seorang pembantu rumah.” 

Sahabat-sahabat yang tercinta, inilah wasiat rasulullah s.a.w kepada puterinya yang tercinta dan pemimpin para wanita penghuni syurga.

Marilah kita ambil pengajaran dan manfaatkan pada kehidupan kita dunia dan akhirat.

Tentu banyak hikmahnya zikir ini kerana logicnya lebih baik baginda memberikan sahaja seorang pembantu. Ada riwayat yang mengatakan kebetulan ada tawanan yang menawarkan diri untuk berkhidmat dengan sukarela.

Mudah sahaja kan? J



Kredit kepada As


Friday, November 11, 2011

PESAN UNTUK RAKAN PLHIV YANG BARU DIDIAGNOS


Kali ni kita sembang santai-santai sikit ek? Kasi release tension. Guna bahasa pasar.

Di Malaysia ada hampir 100 ribu PLHIV dan purata jangkitan antara 10-12 orang setiap hari.

Kebelakangan ini aku berdepan dengan terlalu banyak kes rakan PLHIV yang baru didiagnos. Bila baru, faham-faham sahajalah tekanan dan kekeliruan dia orang. Macam-macam kerisauan yang mereka alami. Semuanya menyerbu serentak tanpa belas kasihan.

Memang kesian dengan dia orang tetapi kadang-kadang aku tak cukup masa dan tenaga untuk bantu. Nasib baiklah ramai sahabat-sahabat di sini yang sudi tolong.

Sebenarnya kalau rajin belek-belek entries lama, dah macam-macam tips dan pengalaman aku kongsi untuk menghadapinya terutama dalam kategori AKU.” Apa-apapun yang paling penting hubungan dengan Allah dan kekuatan dalaman masing-masing. Baru masalah boleh settle.

Aku pulak kononnya nampak KUAT dan STEADY je kan? HAHAHA… Kali ini mari aku bocorkan rahsia, jangan sampai jadi salah faham pulak dahlah…

Sebenarnya tiap kali berkongsi pendapat dan sokongan dengan PLHIV baru, aku seringkali tersengih sendiri. Beratus-ratus kali aku dah taip, jawab, SMS dan emel perkara-perkara yang sama. Kadang-kadang aku gelak sorang-sorang. Kau orang jangan terasa hati, tetapi itulah hakikatnya.

Apa taknya, kalau berbanding dengan kau orang, aku dulu jauh lagi teruk! Serius, HAHAHA…

Okay, mari aku kongsi. Harap-harap ada pengajaran kepada semua. Antara perkara pertama yang aku alami ketika itu ialah:

1.   Terkejut.
Ya Allah… terkejut giler! Sumpah aku tak pandai nak jelaskan. Eh, memanglah. Aku mana ada buat aktiviti berisiko. Rapid test dan ELISA selepas pemindahan darah aku negative. Aku langsung tak membayangkan HIV boleh kena kat aku hampir 3 bulan selepas tu.

Dahlah begitu, kononnya dikatakan aku ada hepatitis C. Bila buat check semula dengan swasta, tak ada pun hepatitis C. Sakit hati usah ceritalah.

2.   Rasa bersalah dan takut.
Rasa bersalah kepada isteri-isteri dan anak-anak aku. Aku takut mereka dijangkiti atau aku menyusahkan mereka. Risau mengaibkan keluarga serta ipar duai, sanak saudara dan entah apa-apa lagi entah.

Pulak tu sepanjang hampir 21 tahun berkahwin tak pernah pakai kondom. Ikut sedap je… Bayangkan sendirilah. Boleh pupus dan aib keturunan aku. Alhamdulillah mereka semua selamat.

Itu belum termasuk takut dan rasa bersalah memikirkan karier, masa depan, penghinaan… macam-macamlah. Yang aku fikir ialah HIV- HINA-SAKIT-MATI. Ala… sama je macam kau orang.

3.   Keliru.
Aku keliru dengan punca jangkitanku. Aku trauma dengan cara doktor menyampaikan berita kepadaku.

Itu tak termasuk aku panic memikirkan macam-macam diagnos penyakit kronik yang dikatakan aku mungkin alami sebelum ini. Konon aku kena kanser, leukemia, neutrophenia dan sebagainya.  

Aku pelik kenapa hospital buat bone marrow biopsy sedangkan sample tak dapat walaupun 3 kali tebuk. Aku pelik kenapa rekod dan fail rawatan aku hospital kata hilang. Aku memang keliru yang teramat-amat keliru.

Keliru pula ada macam-macam jenis. Keliru nak dapatkan bantuan, peluang, rawatan dan berkongsi masalah. Hampir meletup aku dibuatnya.

Masuk hospital sebab suspek denggi, tahu-tahu dikatakan kena macam-macam penyakit dan peluang hidup cuma 3-4 tahun. Akhir sekali HIV.

Aku memang takut hospital, tahu-tahu masuk hospital. Masuk HDW (Macam ICU), kena kuarantin di Isolation Room dan sebagainya sedangkan aku rasa sihat je. Semuanya secara mendadak. Yang pasti, platelet aku memang bermasalah, terlalu rendah.

4.   Nak bunuh diri.
Astaghfirullahal aziim… malu aku nak ngaku tetapi itulah hakikatnya. Walaupun taklah serius sangat tetapi ada beberapa kali terfikir untuk melakukannya. Kan aku dah cakap, aku lagi teruk daripada kau orang. Itulah akibat melayan bisikan iblis.

Aku siap memikirkan cara yang paling ‘selamat’ supaya orang tak tahu aku nak bunuh diri. Disebabkan aku ‘kaki kereta’, maka antara cara yang aku nampak ‘sesuai’ ialah dengan cara kemalangan jalanraya.

Macamana?
Aku plan nak drive laju-laju kat Karak hiway, area Genting Sempah kemudian sengaja babaskan kereta masuk gaung! Astaghfirullah…

Tetapi yang kelakarnya sempat pulak aku fikir, kalau aku tak mati tapi terlantar hilang upaya seumur hidup, macamana? Lagi teruk aku menyusahkan anak isteri… cancelled!

Sebab itulah aku cukup terasa hati kepada golongan agama yang cuma tahu menghukum. Dia orang mudah sangat berhujah dan mengeluarkan dalil tetapi hakikatnya tak faham HIV. Mereka kadangkala menjadi punca kekeliruan tersebut timbul.

Ramai yang sudi menolong tetapi ramai juga yang hanya tahu menghukum. Siapa yang sebenarnya yang tenggelam dalam kejahilan ya al fadhil ustaz…?

Bersepah isteri dan anak-anak yang tidak berdosa menjadi mangsa akibat HIV.  Ramai yang menjadi mangsa HIV akibat pemindahan darah atau organ. Ramai yang hampir rosak aqidah akibat HIV. Ramai yang bercerai berai akibat HIV. Ramai yang tak jadi nak kawin akibat HIV. Banyak family berpecah belah akibat HIV. Ramai yang menumpang di gereja kerana kesusahan dan HIV. Tanggungjawab siapa tu al fadhil ustaz? 

Bila dipolitikkan, tahu pulak kau orang melolong ya…

Lagi sedih, PLHIV yang insaf dan mahu kembali ke pangkal jalan tidak dibantu. Agaknya mereka terlalu hina, jijik dan tak layak untuk syurga?

Jangan tak tahu, ramai kawan-kawan aku daripada golongan agamawan ‘lari’ daripada aku sejak aku ada HIV. Mereka bukan tak tahu blog aku ni. Dulu aku ada ramai kawan bloggers daripada golongan tersebut di sebuah blog lain kerana aku suka cerita-cerita agama. Bukan main mesra kau orang masa tu ya, HAHAHA….

Tak apalah, mereka insan mulia, mesti sedang sibuk doakan aku tu… Tak sudi kawan tak apa, ada aku kesah. Tuhan tetap ada.

5.   Murung/ depress.
Bab ini pun satu hal. Berbulan-bulan aku phobia dan rendah diri nak bergaul dengan orang. Takut nak dapatkan rawatan. Tak mahu bergaul dengan masyarakat. Sentiasa rasa takut dengan bayang-bayang. Kalau makan minum, aku sentiasa pastikan dia orang tak kongsi makanan dengan aku. Makan dengan anak isteripun aku tak berapa selesa bimbangkan macam-macam perkara bodoh.

Berhari-hari tak tidur. Kalau tidur pun tak lena. Berkurung dan menangis sorang-sorang dalam bilik. Bayangkan umur hampir 45 tahun menangis macam budak-budak. Buruk benar rupanya kan? HAHAHA…

Tekanan kewangan usah cerita. Nak sembuh punya pasal, aku buat pembelian panic untuk supplement food. Kononnya sebagai rawatan alternatif. Habis saving berbelas ribu. Tak cukup dengan tu, buat loan lagi. Setiap bulan belanja untuk supplement food sahaja mencecah hampir RM 1000. Mengarut betul!

Mana ada rawatan alternative bro! Rawatan complementary boleh jugalah diterima.

Ada satu hari tu kerana tension dan tekanan-tekanan tertentu yang amat sangat, aku tiba-tiba mengamuk sakan. Habis aku sepahkan barang-barang dalam bilik. Habis kain baju aku campakkan merata-rata. Laci-laci aku terbalik dan tonggang langgangkan. Aku naik hantu tanpa sebab. Macam tongkang pecah jadinya. Kasihan isteri aku mengemaskan kembali tanpa sedikitpun bersungut.  

6.   Kesan sampingan HAART.
Alhamdulillah yang ini aku tak ada apa masalah sangat sebab aku dah sampai ke fasa menerima hakikat, faham dan bersedia. 2 kali kombinasi HAART aku ditukar. Macam-macam alahan aku rasa tetapi semuanya tak jadi kudis. Kalau rajin bukalah entries lama seperti yang aku bagitau tu.

Lain-lain tu, panjang sangatlah kalau aku nak cerita. Point aku, kau orang tak payah risaulah pasal semua ni. Sikit sangat ujian Allah ni berbanding nikmat dan rahmatNya.

Lama-lama nanti kau orang faham. Bila kau orang ingat-ingat semula semua ni, kau orang akan gelak sorang-sorang sambil berfikir, “Kenapalah aku bingung melulu. Patutnya aku bersyukur.”

Sesekali terkucil, tersenget-senget sikit macam Luka Rafieqa katakan tu, biasalah. Semua orang pun begitu.

Kau orang tahu, sejak aku ada HIV ni aku dapat macam-macam kelebihan. Nak ceritapun bimbang datang riak. Satu antaranya yang aku nak share dengan kau orang ialah, aku punya sahabat-sahabat yang sangat istimewa macam kau orang di sini.

Okay bro, sis… risau ada HIV ke? Relaks je!  

Kepada semua insan istimewa yang banyak membantu kebangkitanku, hanya Allah yang dapat membalas segala jasa. Maaf tidak mampu aku sebutkan satu persatu kerana senarainya amat panjang.  

Syukur, sesungguhnya hidup aku lebih bermakna sejak aku ada HIV.

Thursday, November 10, 2011

STD’s & HIV: KETAHUI RISIKO PASANGAN


Oleh DR L.Y. KAM

UJIAN kesihatan membantu mengenal pasti masalah dan risiko yang bakal dihadapi pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga serta anak-anak mereka kelak. Ujian kesihatan pra perkahwinan membolehkan seseorang untuk:

1.      Mengetahui status kesihatan diri sendiri dan pasangan serta belajar cara untuk menjaga atau mengekalkan kesihatan mereka
2.      Mengesan sekiranya mereka menghidap penyakit tertentu termasuklah Hepatitis B dan penyakit jangkitan kelamin (STD)
3.      Mengesan penyakit keturunan yang boleh memberi kesan kepada kesihatan anak-anak contohnya talasemia, hemofilia, anemia dan kekurangan G6PD.
4.      Mengetahui kesediaan bakal pengantin wanita dari segi kesihatan untuk mempunyai anak. Persediaan ini termasuklah suntikan vaksin Rubella, mengetahui kumpulan darahnya (dan kesesuaian dengan darah suami) serta anemia

Di negara kita, ujian kesihatan yang diwajibkan ke atas bakal pengantin sejak 2009 ialah ujian untuk HIV/Aids. Statistik menunjukkan sehingga akhir tahun 2009, sebanyak 87,710 kes jangkitan HIV dilaporkan.

Apa yang menyedihkan ialah wujudnya peningkatan kes jangkitan HIV di kalangan wanita iaitu daripada lima peratus pada tahun 1997 kepada 16.3 peratus pada tahun 2007. Sebanyak 70 peratus daripada wanita mendapat jangkitan virus HIV melalui hubungan heteroseksual, 60 peratus sudah berkahwin dan 40 peratus adalah suri rumah.

Lebih membimbangkan, pengetahuan penduduk negara ini mengenai jangkitan HIV masih belum memuaskan.

Hanya setengah (49.6 peratus) tahu dengan tepat cara jangkitan virus HIV dan dua pertiga (63 peratus) tahu bahawa risiko mendapat HIV boleh dikurangkan dengan menggunakan kondom secara betul ketika melakukan hubungan seks.

Antara ujian lain yang turut disarankan ialah saringan penyakit keturunan seperti talasemia dan hemofilia. Talasemia ialah penyakit disebabkan gangguan pada genetik darah yang diwarisi daripada ibu dan bapa. Sel darah merah pesakit mengandungi hemoglobin tidak normal yang menyebabkan sel darah berkenaan cepat musnah.

Di Malaysia, talasemia merupakan masalah kesihatan yang besar kerana beberapa kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa kadar pembawa gen talasemia adalah di dalam lingkungan tiga hingga lima peratus atau satu dalam 20 orang rakyat Malaysia. Dengan itu, dianggarkan seramai 600,000 hingga satu juta orang rakyat Malaysia adalah pembawa gen ini.

Penyakit hemofilia pula berlaku akibat kekurangan faktor pembekuan darah yang menyebabkan darah pesakit beku. Penyakit ini menghalang pesakit melakukan aktiviti cergas kerana mereka boleh mengalami pendarahan dalaman spontan terutama pada sendi dan otot walaupun tidak terhantuk atau terlanggar sebarang objek.

Walaupun hemofilia lebih kerap berlaku pada lelaki, ia juga boleh dihidapi oleh perempuan. Apa yang dibimbangkan ialah jika berlaku pada perempuan, keadaan menjadi lebih teruk kerana dia akan mewariskan penyakitnya kepada semua anak-anaknya sama ada menjadi pesakit atau pembawa.

Mungkin tidak ramai yang sedar dalam semua jangkitan virus, virus Hepatitis B paling mudah berjangkit sama ada melalui sentuhan dengan produk darah atau darah yang tercemar, hubungan seks dan jangkitan langsung dari ibu kepada anak dalam kandungan.

Di negara kita, imunisasi Hepatitis B sudah dimasukkan ke dalam program imunisasi kebangsaan sejak 1989, jadi semua bayi yang lahir pada atau selepas 1989 sudah mendapat perlindungan daripada virus berkenaan. Bagaimanapun individu yang lahir sebelum 1989 disaran menjalani ujian darah dan mendapatkan suntikan vaksin.

Ujian kesihatan pra perkahwinan ini bukanlah bertujuan menghalang atau menyekat mana-mana individu untuk berkahwin, sebaliknya memberi peluang kepada mereka mengetahui status kesihatan diri sendiri dan pasangan.

Ini akan membolehkan pasangan membuat tindakan wajar. Sama ada mahu meneruskan hasrat untuk berkahwin atau memilih pasangan lain, pilihan ada di tangan mereka selepas membuat pertimbangan semasak-masaknya.

Dalam ujian saringan HIV, pendidikan dan kaunseling akan diberikan sama ada pasangan disahkan positif atau sebaliknya. Sehingga kini, antara 0.05 hingga 0.1 peratus daripada mereka yang menjalani ujian saringan HIV pra-perkahwinan didapati positif.

Dalam kaunseling ini kedua-dua bakal pengantin akan diberitahu mengenai risiko yang akan dihadapi oleh pasangan atau anak. Begitu juga untuk penyakit keturunan. Biasanya pesakit atau pembawa genetik disaran untuk berkahwin dengan individu normal bagi mengurangkan risiko dan mengelakkan anak-anak mewarisi penyakit berkenaan.

Ini kerana jika dua pembawa penyakit berkahwin, kebarangkalian mempunyai anak-anak yang mendapat penyakit adalah sangat tinggi. Apa yang dikhuatiri ialah kemungkinan anak mewarisi penyakit pada tahap yang serius.

Tidak sedikit rumah tangga yang runtuh apabila salah seorang pasangan tidak dapat menerima hakikat dan menyalahkan pasangan apabila dikurniakan anak yang berpenyakit.

Ujian kesihatan dan kaunseling bertujuan memberi persediaan minda kepada pasangan mengenai kemungkinan yang bakal dihadapi. Kajian menunjukkan ujian kesihatan dan kaunseling sebelum perkahwinan mampu mengukuhkan kasih sayang antara suami isteri.

Sebagai persediaan menuju kehidupan berumahtangga dan tanda kasih sayang anda kepada pasangan, jalanilah segera ujian kesihatan yang perlu demi masa depan anda berdua dan anak-anak yang bakal lahir.

Untuk mendapatkan maklumat atau menjalani ujian kesihatan pra perkahwinan ini sila kunjungi mana-mana klinik atau makmal Pathlab terdekat.

PENULIS ialah Pengamal Kesihatan di PATHLAB