Thursday, November 10, 2011

‘SUAMIKU LUAR TABII’

BUKTI...Liza menunjukkan cetakan dari laman sosial facebook berhubung hubungan luar tabii suaminya.

KLANG: “Selepas hampir tujuh tahun berkahwin dan dikurniakan dua anak, saya langsung tidak menyangka akan berdepan badai yang amat dahsyat apabila suami berubah cinta dengan menyintai kaum sejenisnya.

“Hati isteri mana yang tak remuk kerana suami yang disanjung rupa-rupanya gay,” rintih isteri yang hanya mahu dikenali sebagai Liza.

Ibu berusia 29 tahun itu berkata, pada mulanya dia mengesyaki suaminya yang berusia 30-an menjalin hubungan sulit dengan perempuan lain selepas mengesan beberapa petanda mencurigakan.

“Suami saya seorang yang lembut, begitu juga dengan tingkah laku dia, tetapi saya tak sangka sampai ke tahap dia melakukan hubungan songsang dengan kaum sejenisnya,” katanya yang juga kakitangan sebuah hospital swasta di ibu kota.

Liza berkata, perkahwinannya dengan suami diatur keluarga, namun dia mencintai dengan sepenuh hati lebih-lebih lagi selepas mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki berusia enam dan tiga tahun.

Menurutnya, perubahan sikap suaminya mula dikesan Mac lalu apabila sering marah tanpa sebab munasabah, panas baran dan sering memaki-hamunnya.

Liza semakin curiga apabila menemui kondom di bawah pelapik kaki di dalam kereta, namun apabila ditanya, suaminya memberi alasan ia milik rakan.

“Selepas kejadian itu, saya nekad untuk mengintip setiap perlakuan suami. Pada Ogos lalu, saya membohongi suami kononnya terpaksa bekerja sehingga lewat petang, padahal saya sengaja ingin memerangkapnya.

“Tanpa diketahuinya, saya pulang awal ke rumah dan sejurus tiba saya nampak ada lelaki lain yang tidak berbaju bersama suami di dalam bilik tidur kami.

“Apabila saya masuk ke rumah secara mengejut, muka suami pucat dan menggelabah, namun masih cuba berselindung dengan memberi alasan lelaki itu rakannya yang datang ke rumah untuk berehat,” katanya.

Selepas kejadian itu, perasaan Liza semakin kuat mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena terutama apabila membaca SMS berunsur lucah di dalam telefon bimbit milik suami dan perbualan di laman sosial facebook suaminya juga ada banyak perkataan lucah.

“Saya juga menemui e-mel berunsur lucah selain gambar bogel lelaki dan perempuan. Lebih mengejutkan, semua gambar dan e-mel lucah yang diterima suami datangnya daripada lelaki.

“Saya sungguh sedih, lebih-lebih lagi bila terbaca perbualan kotor suami saya dengan pasangan gaynya,” katanya.

Bagi mengatasi masalah dihadapinya, Liza mendapatkan nasihat daripada jabatan kaunseling di tempat kerjanya dan dia dinasihatkan banyak berdoa serta melakukan solat hajat supaya suaminya diberi petunjuk oleh Allah.

“Saya nampak ada perubahan pada sikap suami. Dia tidak lagi panas baran, tetapi saya tetap kecewa kerana perasaan suami terhadap pasangan songsangnya yang dia panggil ‘adik’ masih tidak berubah.

“Malah, suami saya mengaku dia melakukan hubungan sejenis dengan ramai lelaki dan memberi alasan pengalaman diliwat ketika zaman sekolah menengah menyebabkan dia jadi begitu,” katanya.

Berikutan itu, Liza meminta suaminya menjalani ujian mengesan virus HIV kerana bimbangkan risiko dijangkiti penyakit kelamin itu.

“Alhamdulillah, keputusannya negatif, tetapi saya tetap berasa tidak tenang kerana suami kini kembali kepada perangai lamanya selepas saya terbaca mesej lucah di telefon bimbitnya.

“Saya sayangkan keluarga, tidak mahu bercerai, tetapi saya keliru dengan keadaan ini,” katanya.



ALASAN TIDAK LOGIK LELAKI SONGSANG

KUALA LUMPUR: Pengalaman pernah diliwat sewaktu zaman persekolahan hanyalah alasan membebaskan diri daripada dipersalahkan ketika melakukan perkara terkutuk lebih-lebih lagi dengan pasangan sama jantina, kata pakar motivasi dan kaunseling, Dr Rubiah K Hamzah.

Menurutnya, alasan seumpama itu sering kali digunakan golongan tertentu yang sudah ketiadaan idea lain demi menyelamatkan diri sekali gus meraih simpati.

“Kalaupun pernah mengalami detik hitam diliwat ketika remaja, pengalaman itu mana mungkin terbawa-bawa sehingga alam dewasa kerana ia jelas berbeza dari segi pemikiran dan cara hidup.

“Ini adalah alasan paling salah serta tidak logik diterima akal kerana perkahwinan terbabit pasti tidak berlaku, malah tidak mungkin mereka berupaya mempunyai zuriat jika benar suami memang terpengaruh dengan sejarah lampaunya itu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan muka depan akhbar ini semalam mengenai pengakuan seorang isteri beranak dua yang mendakwa kesal dengan rumah tangganya apabila suami didapati berlaku curang.

Lebih menyedihkan, suaminya dikatakan bukan menjalin hubungan dengan perempuan sebaliknya kaum sejenis yang dipercayai sudah berlarutan sejak lapan bulan lalu.

Dr Rubiah berkata, bagaimanapun, isteri masih boleh menyelamatkan perkahwinan dengan mengajak suami berjumpa kaunselor atau ustaz bagi merawat masalah itu serta berbincang dengan ahli keluarga terdekat.

Katanya, selagi boleh, rumah tangga tetap perlu dipelihara bagi mengelakkan anak-anak menjadi mangsa dan menerima kesan.


Wednesday, November 09, 2011

TIPS DAN PENGALAMAN SEBENAR SEORANG IBU PLHIV MELAHIRKAN BAYI BEBAS HIV


Alhamdulillah kita sangat beruntung kerana seorang sahabat kita, (seorang ibu muda PLHIV) sudi berkongsi pengalaman dan tips beliau memperolehi bayi yang bebas HIV. Kepada sahabat-sahabat yang biasa di sini tentu dapat meneka siapakah ibu muda berhati mulia tersebut.

Semoga pengalaman ini menjadi panduan kepada mereka yang memerlukan. Sebagai tanda terima kasih, marilah kita doakan semoga Allah kurniakan pahala yang berterusan kepada beliau sekeluarga dan semoga kebahagiaan tersebut membawa ke syurga. Aku yakin perkongsian ini sangat-sangat penting dan membantu.

Untuk disesuaikan sebagai sebuah entry, aku lakukan sedikit editing. Mohon maaf kepada mana-mana individu di bidang perubatan jika terdapat beberapa istilah perubatan yang kami gunakan tidak begitu menepati, salah ejaan dan quote. Mohon teguran jika perlu.

Apa-apapun, intipati pengalaman dan tips tetap dapat dikongsi. Mari baca emel beliau:

Sebenarnya AHP, keputusan untuk mengandung saya ambil kerana suami saya amat inginkan anak bersama saya. Apatah lagi dia masih bujang sebelum berkahwin dengan saya.

Setelah mendapat nasihat daripada beberapa rakan dan doktor, saya masih lagi ragu-ragu. Saya sendiripun sebenarnya memang inginkan anak lagi tetapi kerana memikirkan keselamatan suami (bukan PLHIV) dan nasib anak dalam kandungan, saya agak keberatan.

Kemudian saya berjumpa sendiri sahabat senasib yang telahpun melahirkan anak dan alhamdulillah anak mereka sihat dan bebas dari HIV sedangkan kedua-dua mereka adalah PLHIV. Saya minta pendapat mereka sehingga saya benar-benar yakin akan keselamatan semua pihak.
  
Setelah itu saya dan membuat sedikit research melalui google untuk mengetahui dan memahami waktu subur bagi seseorang wanita.

KENAPA ANDA PERLU TAHU WAKTU SUBUR WANITA?

Ada 2 sebab utama:

1.         Untuk memudahkan mendapat zuriat
2.         Untuk mengelakkan daripada mendapat zuriat.

Kedua-duanya adalah sama penting. Ilmu ini mungkin boleh disebarkan dan digunakan secara praktikal.

FAHAMI KITARAN HAID

Saya cuba permudahkan sebab proses kitaran haid agak kompleks.

Umumnya kitaran haid wanita berlaku setiap bulan secara purata dalam tempoh 28-30 hari. Tetapi ada wanita yang punya kitarannya sendiri seperti dalam tempoh setiap 25 hari dan ada yang lambat sehingga 35 hari. Majoriti  puratanya ialah dalam tempoh 28-30 hari.

Terdapat beberapa fasa di dalam kitaran haid. Anda perlu memahami fasa-fasa tersebut.

Hari 1-4
Ini dipanggil fasa pengeluaran haid (menstruation). Ketika ini darah haid keluar. Hari pertama period adalah penting untuk diketahui kerana ianya dikira sebagai permulaan fasa tersebut.

Pada hari pertama haid datang, ia perlu ditanda di kalendar dan tamat selepas berapa hari. Sebaik-baiknya ditanda setiap bulan sekiranya anda ingin merancang untuk mengandung. Anda boleh mengagak kitaran period anda beberapa hari dalam sebulan.

Hari 5-13
Ini dipanggil fasa follicular. Pada fasa ini, hormon estrogen meningkat. Ketika fasa follicular ini, darah akan berkumpul di dinding rahim dan menebal untuk persediaan mengandung. Di kawasan ovari pula, telur yang berada di dalam bekasnya akan menjadi semakin matang.

Hari 14
Waktu inilah satu proses peneluran yang dipanggil ovulasi berlaku. Telur akan terkeluar daripada sarangnya disebabkan oleh peningkatan mendadak sejenis hormon yang dipanggil Luteinizing Hormone (LH). Telur ini sekiranya tidak disenyawakan oleh sperma akan mati dan hilang. Sekiranya ia disenyawakan, ia akan turun melalu saluran falopio ke rahim.

Hari 15-28
Ini dipanggil fasa luteal atau fasa secretory. Selepas telur dikeluarkan dari sarangnya, sejenis hormone dipanggil progesterone dirembes daripada sarangnya (corpus luteum).

Ini menyebabkan dinding rahim semakin menebal. Setelah progestrone semakin berkurang kerana tiada persenyawaan berlaku, maka dinding ini akan runtuh sebagaimana runtuhnya tembok Berlin. Proses akan mengalami kitaran semula pada hari pertama kitaran haid bermula semula.

Setelah anda faham kitaran haid di atas, waktu yang terbaik untuk bersama suami/isteri ialah pada hari ovulasi berlaku. Ini adalah kerana ketika itu telur baru sahaja keluar daripada sarangnya.

Bilakah secara tepat ia berlaku? Sebenarnya ia adalah lebih kurang 14 hari daripada hari pertama period seterusnya atau ketika fasa luteal bermula.
** (14 days from the 1st day of your NEXT period – NOT your previous period)

Tak faham? Macam ni. Katalah anda period dalam tempoh 28 hari, maka hari subur kepada wanita yang kiraannya dalam tempoh tersebut ialah: 28 – 14 hari = 14 hari.

Jadi, hari ke 14 itu adalah hari subur. Katakanlah period bulan itu dalam tempoh 30 hari, maka 30 hari – 14 hari = hari ke 16 ialah hari subur. Bukan lagi hari ke 14. Sekiranya periodnya dalam tempoh 35 hari pula, maka 35-14 = hari ke 21. Itulah waktu suburnya. Mudah bukan?

Ini adalah kerana fasa luteal pada kiraan biasanya tepat 14 hari setelah berlakunya ovulasi, sedangkan fasa folicullar boleh berubah-ubah. Jadi waktu subur adalah 14 hari sebelum hari pertama period yang seterusnya.

Sekiranya tempoh period anda adalah tetap 28 hari, tak jadi masalah untuk mengira waktu subur anda. Sekiranya period anda berubah-ubah, inilah timbulnya masalah mengira waktu subur.

CARA LAIN MENGETAHUI WAKTU SUBUR

Pada waktu subur, suhu badan wanita akan naik sedikit, kira-kira 1 darjah celsius. Juga terdapat lendiran cecair yang jernih daripada kemaluan. ini adalah disebabkan hormon yang meningkat ketika itu.

Di Amerika terdapat kit untuk mengetahui kesuburan wanita melalui air kencing wanita tapi saya belum jumpa lagi di klinik-klinik di Malaysia.

MENGANGGAR WAKTU TERBAIK UNTUK MENDAPAT ZURIAT

Oleh kerana telur atau ovum tidak mempunyai jangka hayat yang panjang, iaitu dalam lingkungan 1-2 hari sahaja, maka tingkap untuk mendapatkan zuriat adalah sangat terhad. Oleh itu Allah mencipta sperma dengan kelebihan yang lain pula.

Selain daripada berjuta-juta sperma dilepaskan (setiap seorang lelaki adalah jutawan!), ia juga boleh bertahan selama 3-5 hari. Ini bermakna, sekiranya suami isteri bersama 3 hari sebelum waktu subur, atau 2 hari selepas waktu subur, maka ada peluang untuk telur itu berjumpa dengan sperma yang hidup lebih lama.

Setelah mengenalpasti waktu subur, berbincanglah dengan suami/isteri dan rancanglah untuk melakukan hubungan intim pada waktu subur tersebut.

Semasa hubungan intim itu berlangsung, suami masih perlu memakai kondom sehinggalah pasangan hampir mencapai waktu ejakulasi. Suami boleh memberi isyarat untuk tanggalkan kondom dan pemancutan berlaku......

Jika bertanya pada doktor, ada juga yang tidak menggalakkan tetapi ada juga doktor yang sangat memahami keinginan dan memberi nasihat dan pandangan positif.

Syukur juga ubat HAART yang saya makan adalah Combivir yang mengandungi AZT. Saya tidak pandai dalam hal ubat ini tetapi menurut doctor, AZT akan melindungi bayi dalam kandungan. (bab AZT ni boleh refer En. Mohamad Raffie bin Jaafar, beliau pakar!)

Beberapa minggu selepas itu saya alami symptom seperti pening dan demam dan disahkan hamil. Gembira tidak terkata tetapi mungkin kerana tiada rezeki kami, semasa usia kandungan saya 3 bulan, saya keguguran.

Menurut doctor lagi, saya keguguran kerana lasak dan makan makanan yang tidak sepatutnya seperti nanas. He, he... memangpun saya banyak makan nanas. Setiap hari, pagi petang, siang dan malam. Itulah akibatnya tetapi saya redha...

Kami ambil masa lebih kurang 1 tahun untuk berehat dan merancang semula kehamilan sehinggalah saya hamil kembali selepas itu.

Ini sahaja AHP, maaf jika ada yang tidak jelas atau jawapan saya masih tidak menjawab soalan yang sebenarnya atau berlebih-lebihan pula. AHP boleh tanya apa sahaja dan saya menjawab berdasar pengalaman saya sahaja.

Kalau nak cerita, ada macam-macam lagi tidak termasuk bab kena maki dengan misi semasa di labour room dan macam-macam perkara di luar tajuk.  Saya gembira AHP sudi berkongsi pengalaman ini sebagai panduan sahabat-sahabat kita.

Terima kasih dan semoga AHP sekeluarga bahagia selalu hendaknya dan sentiasa dilindungi ALLAH dalam apa jua keadaan.

SEKIAN DAN ASSALAMUALAIKUM.....


AHP:  
1.   Perhatian lagi sekali, virus HIV tidak terdapat dalam sperma dan HAART mampu menekan virus sehingga bawah 50 copies. (Tidak dapat dikesan)
2.   Inilah buktinya kebesaran Allah dan virus HIV sangat lemah. Jadi kenapa kita yang terlebih-lebih lemah semangat apabila diuji sebagai PLHIV?
3.   Kredit yang tidak terhingga kepada Puan Seroja. You are so... sweet!!


Tuesday, November 08, 2011

PLHIV MASIH BOLEH MILIKI ZURIAT


Bagi pasangan yang mengambil keputusan untuk meneruskan perkahwinan meskipun telah mengetahui dirinya atau pasangan dijangkiti HIV melalui ujian saringan yang dilakukan, mereka sebenarnya masih boleh menjalani hidup sebagai suami isteri normal.  Bagaimanapun, individu yang disahkan menghidap HIV harus segera bertemu pakar bagi mendapatkan nasihat mengenai cara-cara penjagaan kesihatan dan rawatan.

Ketua Unit Penyakit Berjangkit, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) yang juga merupakan Pengerusi Yayasan AIDS Malaysia, Profesor Dr. Adeeba Kamarulzaman, menyatakan bagi mengelakkan risiko jangkitan, pasangan dinasihatkan supaya menggunakan kondom sewaktu hubungan intim.

Ini kerana sekiranya salah seorang daripada mereka menerima rawatan dan jumlah virus di dalam tubuhnya juga adalah rendah, maka peratusan untuk menjangkiti pasangannya juga adalah rendah.  Dalam hal ini, mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa jumlah virus di dalam tubuh seorang pesakit HIV adalah berbeza-beza tahapnya.

Meskipun begitu, mereka juga sebenarnya masih boleh memiliki zuriat sekiranya ingin berbuat demikian.  Bagaimanapun, menurut beliau, perkara ini agak kompleks untuk diperkatakan kerana ia bergantung pada persetujuan kedua-dua pihak.  Sebagai persediaan, mereka perlu diberi maklumat sepenuhnya tentang perkara tersebut.

Bagi ibu-ibu hamil yang disahkan HIV negatif tetapi pasangannya pula merupakan pesakit HIV positif, bayi di dalam kandungan si ibu tidak terdedah pada risiko jangkitan HIV.  Bagaimanapun, sekiranya si ibu didapati positif, dia akan diberi rawatan sepanjang tempoh kehamilan, sewaktu kelahiran dan kepada bayi itu sendiri.  Dengan ini, kemungkinan risiko bayi dijangkiti HIV amat rendah.

“Bagaimanapun, di PPUM, saya dan Pakar-Pakar Obstektriks dan Pediatrik sedaya upaya melakukan yang terbaik apabila mengendalikan ibu hamil yang positif HIV.  Bermula pada tahun 1997, tidak pernah ada bayi yang positif HIV dilahirkan meskipun ibu atau bapanya adalah individu penghidap penyakit maut ini,” ujar Prof. Adeeba yang menyatakan ada juga bakal pengantin yang meminta beliau menukar keputusan ujian saringan setelah didapati positif HIV kerana takut dan malu.

Ubat Anti-HIV AZT

Bagi wanita yang mengambil keputusan untuk hamil, mereka sebaiknya dinasihatkan supaya berbincang dengan pasangan dan menjalani sesi kaunseling.  Selain itu, mereka juga boleh menghubungi Majlis AIDS Malaysia atau klinik wanita yang berhampiran untuk mendapatkan bantuan.

Wanita-wanita positif HIV mungkin memindahkan virus berkenaan kepada bayinya sewaktu hamil, semasa bersalin atau ketika memberikan susu badan kepada bayi.  Meskipun risiko jangkitan rendah, namun sebagai langkah berjaga-jaga, pesakit dinasihatkan agar mengadakan hubungan seks lebih selamat sebaik sahaja disahkan hamil.

Selain itu, individu terbabit juga perlu meminimumkan hubungan seks tidak selamat sewaktu subur dan mengelakkan hubungan seks di luar tempoh kesuburan dan selepas kelahiran.  Dalam pada itu, cuba dapatkan doktor atau bidan yang dipercayai serta tempat bersalin yang selamat dan elakkan menahan kesakitan terlalu lama.

Ibu positif HIV yang hamil juga perlu melakukan pemeriksaan awal dan akan diberikan ubat anti-HIV seperti Azidothymidine (AZT) seawal bulan keempat kehamilan dan sewaktu melahirkan anak serta kepada bayi berkenaan sebaik sahaja dilahirkan.  Bagaimanapun, ubat ini perlu diambil di bawah pengawasan doktor.

Sebagai langkah mengelakkan jangkitan, bayi yang baru dilahirkan itu juga perlu dielakkan daripada menerima susu ibunya atau menghentikannya segera mungkin.

Oleh kerana bayi baru yang dilahirkan mempunyai antibodi ibunya, maka agak sukar untuk mengetahui sama ada bayi tersebut dijangkiti atau tidak.  Ujian Antibodi HIV untuk bayi biasanya dilakukan apabila usia bayi berkenaan sekurang-kurangnya 18 bulan.

Sekiranya bayi berkenaan disahkan positif HIV, anda perlu mendapatkan nasihat doktor dan rawatan perubatan yang intensif untuk bayi anda.  Bayi boleh diimunisasikan dari sebarang penyakit kanak-kanak sama seperti bayi-bayi lain.

Sumber:  Majalah Harmoni, 15 Mac 2010


AHP: Kredit kepada MAC dan Puan Seroja.

Monday, November 07, 2011

BERTEMU DR. ISKANDAR FIRZADA BIN OSMAN (10)

DR. ISKANDAR FIRZADA OSMAN
MD (USM), MMed (Family Medicine) (USM),
MAFPM (Mal.), FRACGP (Australia), FAFPM (Mal.),
Fellow in Adolescent Health (Melbourne)
Family Medicine Specialist / Primary Care Physician

Petang Jumaat (4 Nov 2011), aku ditemani isteri-isteriku menghadiri temujanji rawatan bersama Dr. Iskandar.

Seperti biasa sebelum bertemu Dr. Iskandar, isteri-isteriku akan mentertawa dan ‘memperli’ aku kerana persiapanku mengalahkan wartawan amatur dan seolah-seolah mahu berjumpa buah hati.

Apa taknya, aku sibuk mencatat segala apa yang bakal aku tanya. Kemudian aku akan merapikan diri sebaik mungkin. Kuku mesti pendek, mandi bersih-bersih, berus gigi betul-betul, bercukur licin linyau, rapikan janggut, rambut mesti kemas, pakaian sebersih dan seselesa mungkin dan akhir sekali sembur minyak wangi kegemaran sebelum berlatih senyum. Hahahaha…

Sedangkan pada hari-hari biasa, kalau seharian aku di rumah maka seharianlah aku ‘berseluar pelikat’ tanpa baju. Paling tinggipun pakai baju T kolar bulat.

Eh, apa taknya? Malulah jumpa doktor kalau kita selekeh benar. Doktor akan pantau kita secara keseluruhan termasuk mulut. Kalau nampak sangat tak berjaga, tak patutlah pulak kan. Mesti feel good untuk keyakinan diri.  

Nasib baik petang tersebut tidak ramai patient. Tidak lama menunggu, kami dijemput masuk. Nampaknya aku ada masa yang agak selesa menjalani sesi kaunseling dengan beliau.

Sebenarnya temujanji kali ini lebih kepada untuk mengambil bekalan Kaletra yang hampir habis. Jadi tidak begitu banyak isu berkaitan kesihatan dan rawatan yang aku boleh kongsikan.

Perbualan kami lebih kepada perbualan umum untuk aku memahami HIV/ AIDS. Selebihnya perbualan personal ala-ala kekeluargaan atau sesama rakan rapat. Yang ini tak dapatlah aku share, ya.

Antara maklumat umum yang dapat aku kongsi ialah:

1.   Rawatan HAART biasanya akan dimulakan apabila bacaan CD4 bagi PLHIV lelaki sekitar 350 dan wanita 250. Kenapa? Kerana realitinya imuniti wanita lebih bagus berbanding lelaki. Walau bagaimanapun ianya turut bergantung kepada bacaan viral load individu berkenaan.

2.   KKM belum memutuskan untuk memberikan ubat TB sebagai langkah pro aktif mencegah jangkitan TB di kalangan PLHIV kerana masih banyak pro dan kontra.

Antaranya, berkemungkinan membahayakan PLHIV yang memang sedia menjalani rawatan HAART kerana jumlah ubat-ubatan yang banyak boleh memberikan kesan sampingan terhadap fungsi buah pinggang dan hati.

Selain itu ubat TB hanya diberikan dalam tempoh 6 bulan sedangkan kemungkinan jangkitan adalah berterusan.

Setakat ini, ubat TB hanya akan diberikan apabila kes jangkitan telah berlaku kepada seseorang PLHIV. Lagipun setiap warganegara telah diberikan suntikan pencegahan awal (BCG) ketika kanak-kanak.

3.   Risiko jangkitan HIV akibat penyalahgunaan dadah yang berkongsi jarum suntikan hanyalah sekitar 0.3%. Hepatitis B sekitar 30% dan Hepatitis C sekitar 7%.

Kesimpulannya punca utama jangkita HIV adalah akibat mengamalkan hubungan seks yang tidak selamat!

Jika begitu, kenapa para penagih dadah secara suntikan sering dikaitkan dengan HIV/AIDS?

3.1 Kerana risikonya memang ada.
3.2 Kerana biasanya pula mereka akan melakukan hubungan seks yang tidak selamat dengan berbilang pasangan.

4.   Aku minta pandangan Dr. Iskandar tentang kesihatanku kerana sesekali akan berlaku najis bercampur sedikit darah segar semasa aku buang air besar jika aku makan makanan terlebih pedas dan ‘tajam’ (nanas). Aku bimbang ianya petanda awal kepada masalah anal fissure atau jika berlaku masalah  usus yang semakin menipis sejak mengambil Kaletra.

Dr. Iskandar menjelaskan bahawa jika darah yang keluar adalah darah segar ianya petanda awal terhadap masalah hemorrhoid (buasir).

Antara beberapa perkara yang aku mesti elakkan ialah kerap memakan makan-makanan pedas, duduk terlalu lama (aduih… aku kan blogger!) dan elakkan duduk atau mencangkung dalam tempoh yang lama semasa buang air besar.

5.   Dr. Iskandar meminta izin untuk mengambil darah dan menghubungi Hospital Ampang untuk mendapatkan fail lama rawatanku di sana kerana bacaan plateletku memang sentiasa rendah (sekitar 40-50 sahaja).

Uwaaa…!!! berdebar juga aku bila google info tentang masalah platelet rendah ni tetapi tak kisahlah. Apa-apapun perjuangan tetap diteruskan hingga nafas yang terakhir. Aku tak mahu senak-senakkan kepala.

Aku berdoa semoga aku sekadar tak boleh buat sebarang aktiviti lasak dan sahaja untuk mengelakkan pendarahan dalaman. Selain itu sudah tentu aku kena elakkan luka kerana boleh mengakibatkan pendarahan yang lama.

“Bismillahi tawakkaltu a’lallah…La hawla walaa quwwata illa billah.”

6.   Dr. Iskandar memaklumkan bahawa HbA1c (purata 3 bulan bacaan gula dalam darah) adalah 5.9% dan mengucapkan tahniah atas kawalan yang baik.

Beliau menasihatkan aku supaya kekal dengan keadaan tersebut untuk memastikan urusan rawatan lain tidak bermasalah. Beliau bimbang kerana antara kesan utama Kaletra boleh meningkatkan kandungan gula dalam darah terutama terhadap pesakit diabetes.

Itu sahajalah perkongsian kali ini. Semoga sedikit sebanyk info yang aku kongsi dapat memberikan manfaat untuk semua.

Terima kasih dan jazakumullah khier kepada Dr. Iskandar Firzada bin Osman dan semua kakitangan KK berkenaan. Hanya Allah yang dapat membalas segala jasabaik mereka. Selamat bercuti ke Bali kepada Dr. Iskandar & isteri.