Friday, May 27, 2011

‘BERI SAYA 1 NYAWA’


KUALA TERENGGANU: “Saya juga ada cita-cita seperti orang lain untuk berjaya dalam hidup dan pelajaran. Apa yang berlaku sudah berlaku dan tidak mungkin akan jadi sebaliknya.

“Apa yang saya harap, berilah saya satu ‘nyawa’ untuk meneruskan kehidupan,” kata Mohd Ashraf Hafiz Abd Aziz, 25, yang membuat petisyen di Mahkamah Tinggi di sini, memohon menukar nama kepada Aleesha Farhana.

Menurutnya, dia kini menyerahkan kepada hakim yang akan membuat keputusan pada 18 Julai depan.

“Apa yang saya mahukan hanyalah peluang untuk meneruskan kehidupan termasuk dalam karier dan pelajaran,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan hasrat Mohd Ashraf Hafiz untuk menukar nama kepada Aleesha Farhana Abd Aziz tertangguh lagi apabila Mahkamah Tinggi di sini, kelmarin, menetapkan 18 Julai depan untuk mendengar keputusan permohonan berkenaan.

______________________________________________________________________________

HARAM WALAU APA JUGA ALASAN

KUALA TERENGGANU: “Walau apa alasan sekalipun, perbuatan menukar jantina tetap haram di sisi Islam dan berdosa besar,” kata Timbalan Mufti Negeri Terengganu, M Rodzi Bidin.

Beliau diminta mengulas mengenai hasrat Mohd Ashraf Hafiz Abd Aziz, 25, yang memohon menukar namanya kepada Aleesha Farhana Abd Aziz di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, semalam.

M Rodzi berkata, lelaki yang menyerupai wanita hukumnya haram, apatah lagi lelaki yang menukar jantina untuk menjadi wanita.

“Ia mengubah kejadian Allah, alasan digunakan kononnya mempunyai naluri perempuan tidak boleh diterima kerana asal kejadian adalah lelaki dan perasaan serta sangkaan itu tidak lebih daripada hasutan dan mainan syaitan.

“Lelaki tetap lelaki dan perempuan tetap perempuan, keinginan untuk menjadi perempuan daripada lelaki atau sebaliknya tidak dibenarkan dalam Islam.

“Melainkan jika si pemohon mempunyai kes tertentu seperti khunsa, dia boleh memilih jantina sama ada lelaki atau perempuan mengikut kecenderungannya walaupun begitu ia perlu diperiksa dan ditentukan pakar,” katanya.

Mohd Ashraf Hafiz yang menjalani pembedahan menukar jantina di Thailand antara 2008 hingga 2009 mendakwa lebih cenderung kepada perwatakan wanita memfailkan petisyen memohon mahkamah membenarkannya menukar nama pada November tahun lalu.

Sumber: sini dan sini