Sunday, March 22, 2015

HIV: BENARKAH BERLAKU KES MALPRACTICE DAN SIKAP TIDAK PROFESIONAL SEPERTI INI DI HOSPITAL MERSING?





Para doktor dan jururawat serta semua staf sesebuah hospital atau klinik sangat banyak berjasa kepada orang ramai. Mereka yang prihatin dan berhati mulia sentiasa disanjung dan berada di tempat yang istimewa di hati patients mereka.

Cuma dalam isu HIV, berdasarkan pengalaman memberi kaunseling kepada people living with HIV (PLHIV) dan golongan yang berisiko, aku tetap menerima pelbagai aduan tentang sikap tidak profesional dan tidak beretika SEGELINTIR golongan perawat. Sikap tersebut telah menimbulkan kesan besar terhadap mangsa.

Akibatnya, aku pula yang terpaksa menuetralkan banyak kekeliruan, melayan berpuluh-puluh mesej dan e-mel yang sepatutnya telah diselesaikan. Sedangkan aku bukanlah doktor atau jururawat. 

Aku selalu dalam dilema apabila berdepan dengan kes sebegini. Apabila ditegur, macam-macam pula tuduhan yang aku terima selama ini. Kononnya aku tidak memahami, tidak menghormati bidang tugas pihak lain, sengaja mencipta kontroversi untuk meraih populari dan cuba menjadi keyboard warrior. Tidak ditegur, terasa gagal menyampaikan kebenaran. Untuk apa aku berjuang jika sekadar mahu dipuji dan selesa? 

Walaupun sikap tidak profesional dan malpractice ini cuma dilakukan oleh segelintir individu, tetapi untuk kebaikan profesion yang sangat mulia dan dihormati masyarakat, seelok mungkin marilah kita tukar pendekatan untuk menentang penularan HIV. Bukan dengan cara yang tidak tepat.

Mohon ampun dan maaf kepada staf Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atas paparan luahan e-mel salah seorang yang menghubungiku minggu ini. Aku tidak bermaksud mahu mencipta kontroversi bahkan aku tidak larat dengan kontroversi.

Aku sekadar menjalankan tanggungjawab kerana banyak juga kes-kes lain yang lebih penting untuk aku fokus. Namun aduan-aduan begini sentiasa juga aku terima. Masalah begini sangat senang diatasi jika kita terbuka dengan kritikan dan belajar daripada kesilapan. Kalau sudah betul semua, abaikan.




Mari baca:


Pagi tadi lebih kurang pukul 8 pagi, saya ke Hospital Mersing untuk mengetahui result darah bagi kanser berkaitan mulut dan kulit. Selepas nama dipanggil, saya bergegas masuk, mengucapkan salam, dan selamat pagi.

Saya disuruh duduk.

Soalan pertama, "Awak ni sakit apa sebenarnya?"
Baru saya nak jawab, soalan-soalan lain bertalu-talu ditanya.
"Awak main pelacur?"
"Berapa ramai awak main?"

Saya bagi semua detail because dengan doktor kita tak boleh nak menipu.

"Saya ingat awak pergi jumpa doktor gigilah,"
sambil disambut helai tawa jururawat dan seorang lagi doktor yang kebetulan baru masuk.

Saya tak kisah, nak kutuk ke, apa ke. Asalkan saya faham tentang masalah sebenar saya dan penyakit saya dirawat. Beliau menerangkan bahawa semua result ujian darah saya clear.

Soalan cepu emas daripada saya, "Doktor, saya nak tahu window period bagi HIV."

Beliau lantas menjawab,
"1 bulan hingga 10 tahun."

Saya balas,
"Maksud saya window bagi ujian darah untuk mengetahui status HIV."

Sekali lagi beliau menjawab,
"Yelah! 1 bulan - 10 tahun."

Saya terkedu, jururawat sebelah dah tersengih-sengih macam kerang busuk.

Beliau sambung lagi,
"Risau?"
"Lain kali mainlah pelacur lagi."

Saya diam. Saya just nak tunggu jawapan adakah hingga 10 tahun untuk ujian darah untuk detect HIV. Langsung tiada jawapan.

Beliau cuma cakap,
"Kau buatlah ujian setiap tahun."

Saya bertanya,
"Sampai bila?"

Beliau menjawab,
"Sampai bila-bila!!"
Lagilah mengilainya jururawat-jururawat di sisi beliau.

Saya dah blur, still duduk lagi semata-mata nak tunggu jika ada kaunseling atau jawapan yang lain. Tiada.

Saya disuruh keluar dan ambil ubat krim sapu. Selepas keluar itulah saya terus Whatsapp abang.




Berdasarkan situasi di atas, (jika benar seperti yang dilaporkan), aku memahami mungkin doktor tersebut bermaksud untuk meninggalkan "rasa serik" terhadap aktiviti berisiko yang pernah dilakukan oleh patient tersebut.

Mungkin juga patient tidak bercakap 100% jujur tentang penyakitnya dan aktiviti berisiko semasa hadir untuk rawatan sebelum menjalani ujian darah. 

Tetapi, menghukum bukan tugas kita. Lumrah manusia pelbagai ragam terutama apabila panik dan diburu rasa bersalah. Cara tersebut bukanlah cara yang tepat dan akibatnya boleh mendatangkan banyak salah faham pada kemudian hari. 

Bagaimana jika saranan yang diberikan betul-betul diikuti? Sudah tentu ianya satu pembaziran dan deraan emosi. Tidak mustahil ianya turut menyebabkan meningkatnya penularan virus, stigma, diskriminasi, dan judgemental terhadap PLHIV serta melebarkan jurang dan mengurangkan rasa hormat antara pihak yang merawat dan dirawat. Tidak pasal-pasal orang lain pula yang menanggung kesan akibat sikap tidak profesional dan mematuhi etika tersebut.

Sebagai seorang yang berilmu, gunakanlah cara yang berhemah untuk mencegah penularan HIV dan memelihara aib patient. Termasuk perkara-perkara sulit dan kerahsiaan yang tidak sepatutnya menjadi bahan lawak semasa merawat atau kaunseling.

Kita kini di dalam era yang berbeza berbanding tahun 1980an. Memang memenatkan jika kita hanya bekerja umpama mesin kerana kita manusia biasa.

Mahu terima teguran ini, terimalah. Tidak mahu, terpulang. Kita ada tanggungjawab masing-masing dan setiap perbuatan akan dihisab Allah. 

Mohon maaf ya para doktor dan jururawat. Kawan-kawan aku pun ramai doktor dan jururawat, tetapi mereka semua hebat-hebat. Bahkan bukanlah 1 perkara yang pelik bahawa terdapat doktor, jururawat, dan staf KKM sendiri adalah PLHIV

Adakah kita antara yang menjadi punca penularan dan pelbagai masalah tanpa kita sedari akibat salah pendekatan untuk memberi maklumat yang tepat? 

Dapatkah kita agak apakah punca sebenar golongan berisiko sangat dingin untuk menjalani ujian darah secara sukarela? 

Bagaimanakah kesannya jika keengganan tersebut meningkatkan penularan dan lebih sukar untuk merawat mereka? 

Sama-sama kita fikirkan. Cool!


Getting to Zero.
Wallahu a'lam.


Memahami HIV dengan tepat dapat menyekat penularan dan meningkatkan kualiti hidup infected dan affected people. Kita berperanan memperbetulkan keadaan dan mengelakkan penganiayaan. 


"Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM) komited menentang PENGANIAYAAN, STIGMA, DISKRIMINASI, JUDGEMENTAL, DAN MENDIDIK MASYARAKAT secara terbuka."


Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP
Facebook: Ahp Pie


Info Berkaitan:

Facebook Fanpage PPWM:

Laman Web Rasmi PPWM:


No. Akaun PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui Facebook AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Abd. Shukor Mohd Yunus: shux@positivewarriors.org
Hishamudin Rahman: carphatz_04@yahoo.com